Pages

Saturday, October 29, 2011

Gempa sederhana di Ceram





2011/10/29

KUALA LUMPUR: Gempa sederhana 5.6 magnitud menggegarkan Ceram, Indonesia pagi ini. 

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan di sini, gempa kira-kira 7.50 pagi itu berpusat 191 kilometer dari timur laut Ambon dan 1,525 kilometer tenggara Tawau, Sabah. - BERNAMA

Penjara AS diminta benarkan banduan pakai hijab



2011/10/29

MINNEAPOLIS, Amerika Syarikat: Majlis Berkaitan Hubungan Islam-Amerika di Minnesota meminta Jabatan Syerif memberi kemudahan kepada banduan untuk memakai hijab selepas seorang wanita Islam yang didapati bersalah berhubung dakwaan keganasan terpaksa membuka hijabnya semasa berada dalam tahanan.

Tertuduh, Amina Farah Ali, 35, dan rakannya, Hawo Mohamed Hassan didapati bersalah pada minggu lalu kerana menyalurkan wang kepada kumpulan pengganas Al-Shabab di Somalia.
Peguam wanita itu, Dan Scott, berkata anak guamnya mahu memakai hijab kerana mematuhi ajaran Islam.

Katanya, Amina perlu menutup aurat apabila berada di sisi lelaki yang bukan muhrim.

"Dia mahu memakai pakaian tradisinya (hijab). Ia amat penting baginya," kata Scott.

"Dia kini dipenjara. Justeru, apa yang dia mahu tidak semestinya dapat. Tetapi dia berhak mengamalkan ajaran agamanya," kata peguam itu. - AP

16 cedera gempa 6.9 di Peru




2011/10/29

LIMA: Gempa bumi berukuran 6.9 melanda pesisiran selatan Peru, menyebabkan bangunan di Lima bergoncang dan mencederakan 16 orang berhampiran bandaraya Ica.

Menurut pihak berkuasa, tiada laporan kematian atau kerosakan besar walaupun sekurang-kurangnya dua rumah bata runtuh.
Jabatan Kaji Geologikal Amerika Syarikat menyatakan gempa bumi itu pada mulanya dilaporkan dengan kekuatan 7.0 dan berpusat di bawah laut kira-kira 50 kilometer ke barat daya Ica, berhampiran pusat gempa bumi 8 magnitud yang membunuh lebih 500 orang pada 2007. - Reuters

Liga Arab minta Assad henti pembunuhan orang awam


2011/10/29

DAMSYIK: Menteri Luar negara Arab meminta Presiden Syria, Bashar al-Assad, menghentikan pertumpahan darah ketika pasukan keselamatan negara itu menembak mati sekurang-kurangnya 36 orang dalam gerakan terbaru ke atas penunjuk perasaan pro-demokrasi.

Menurut kumpulan hak asasi manusia, keganasan terbaru berlaku ketika penunjuk perasaan menggesa dilaksanakan zon larangan terbang seperti di Libya bagi melindungi orang awam dan askar yang berpaling tadah.
Menteri Luar Liga Arab membuat rayuan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

“Jawatankuasa menteri Arab menyatakan penolakan terhadap pembunuhan berterusan orang awam di Syria dan menyatakan harapan kerajaan Syria akan mengambil langkah perlu bagi melindungi mereka," menurut kenyataan itu.

Kebanyakan kematian terbaru berlaku di bandar Hama di utara dan Homs di tengah Syria.

Pasukan keselamatan Syria mengepung masjid bagi menghalang orang ramai daripada menunjuk perasaan selepas solat Jumaat dan melepaskan tembakan bagi menyuraikan mereka. - AFP

Saif tegaskan beliau tidak bersalah: ICJ



2011/10/29

BEIJING: Saif al-Islam Gaddafi, anak pemimpin Libya yang digulingkan, memberitahu Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) beliau tidak bersalah terhadap dakwaaan jenayah kemanusiaan, menurut pendakwaraya mahkamah itu.

Mahkamah yang berpangkalan di The Hague itu berhubung secara tidak rasmi dengan Saif al-Islam, anak lelaki Muammar Gaddafi, dan mahu beliau ditahan dan dibicarakan berhubung dakwaan berkaitan perang saudara Libya.
Pendakwaraya ICJ, Luis Moreno-Ocampo, berkata hubungan dilakukan melalui perantara dan Saif al-Islam menyatakan beliau tidak bersalah dan mahu mengetahui apa yang akan berlaku jika beliau didapati tidak bersalah.

“Ada beberapa orang yang berkaitan dengan beliau berhubung dengan orang yang berkaitan dengan kami. Kami tiada hubungan langsung tetapi berhubung menerusi perantara," katanya ketika ditemui sejurus tiba di sini. - Reuters

NATO tetap tamatkan misi di Libya lusa



2011/10/29

BRUSSELS: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) secara rasmi memutuskan untuk menamatkan misi tujuh bulannya di Libya pada 31 Oktober ini, kata diplomat semalam, walaupun menerima desakan daripada kerajaan baru
negara itu supaya rondaan udara diteruskan sehingga akhir tahun ini.
Pesawat tempur NATO akan mengakhiri misi Isnin ini selepas terbang lebih 26,000 operasi tentera dan mengebom hampir 6,000 sasaran dalam operasi yang membantu pemberontak menumbangkan pemerintahan bekas pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi. Duta NATO yang mengadakan pertemuan di Brussels bersetuju sebulat suara untuk menamatkan Operasi Bersepadu (OUP) pada 31 Oktober, kata diplomat berkenaan yang enggan dikenali.


Pakatan itu membuat keputusan awal minggu lalu untuk menamatkan operasi pada 31 Oktober selepas menilai penduduk awam selamat daripada serangan berikutan kematian Gaddafi dan kejatuhan Sirte.

Keputusan rasmi semalam dibuat sehari selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebulat suara mengundi menamatkan mandat yang membo-
lehkan tindakan ketenteraan dilakukan di Libya bermula jam 11.59
malam waktu Libya pada 31 Oktober.
Setiausaha Luar Britain, William Hague, berkata keputusan PBB menunjukkan negara itu memasuki era baru tetapi pemimpin sementara Libya, Mustafa Abdel Jalil, memberi amaran Rabu lalu golongan yang setia kepada Gaddafi masih memberikan ancaman.

Resolusi itu, kata Hague kelmarin, adalah satu lagi batu loncatan penting ke arah masa depan Libya yang aman dan demokratik.

Operasi itu menyebabkan PBB berdepan perbalahan, dengan Russia, China, Brazil, India dan Afrika Selatan menuduh NATO melanggar mandat.

Pakatan Barat kini melihat bagaimana mereka dapat membantu rejim baru Libya.
Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen, menawarkan untuk membantu pemimpin baru negara itu memperbaharui sektor keselamatan tetapi ia berulang kali mengenepikan hasrat menghantar tenteranya. – AFP 

Budak tertimbus 5 hari diselamat

 ERCIS (Turki): Seorang budak lelaki berusia 12 tahun diselamatkan semalam, selepas terperangkap di bawah runtuhan bangunan akibat gempa bumi selama lebih 108 jam.

 Ketika jumlah korban tragedi Ahad lalu meningkat kepada 570 orang, anggota penyelamat berjaya menarik keluar Ferhat Tokay pada awal pagi, sekali gus memberi harapan baru untuk sukarelawan yang bertungkus-lumus dalam cuaca di bawah tahap beku.

 Harapan menemui lebih ramai mangsa yang masih terselamat pudar dengan pantas sehinggalah Imdat Padak, 18, ditemui selamat petang kelmarin.

 Ia segera meningkatkan kemungkinan masih ada yang bernyawa di bawah runtuhan bangunan di Ercis walaupun lebih 100 jam gempa berlaku.
 Rakaman televisyen menunjukkan seorang sukarelawan berusaha melindungi mata Ferhat ketika dia ditarik keluar bagi mengelak budak itu terkena kejutan cahaya digunakan anggota penyelamat.
 Kedua-dua mangsa muda itu dikejarkan ke hospital Ercis sebelum dibawa helikopter ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.
 Berdasarkan data dikemas kini pasukan penyelamat kerajaan, seramai 187 orang berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan setakat ini. Gempa bumi dengan kekuatan 7.2 magnitud itu berlaku di timur wilayah Van dan bandar Ercis mencatatkan kemusnahan paling buruk dengan kira-kira 80 bangunan runtuh.
 Sementara itu, salji sekali lagi turun di Van semalam, menambah penderitaan mangsa gempa yang berkhemah di tempat terbuka kerana bimbang bangunan yang masih selamat bakal runtuh akibat gegaran susulan. - AFP

Paderi bakar al-Quran tanding Presiden AS



MIAMI 28 Okt. - Seorang paderi Amerika Syarikat (AS) yang pernah bertindak membakar kitab suci al-Quran sehingga menimbulkan keganasan di Afghanistan semalam mengumumkan untuk bertanding jawatan Presiden pada pilihan raya Presiden Amerika 2012.
Terry Jones menerusi manifesto kempennya berjudul 'Stand Up America!' menyatakan hasrat untuk memasuki dunia politik bagi menghalang kos perbelanjaan yang tinggi, membawa pulang semua tentera AS di luar negara dan mengusir semua pendatang tanpa izin di negara ini.
Hasrat paderi tersebut bagaimanapun mungkin dilihat sebagai satu angan- angan sahaja apabila beliau dan rakan subahatnya, Wayne Sapp dikecam kerana terlibat dalam upacara membakar al-Quran di sebuah gereja di Florida pada Mac tahun lalu. - AFP

Bayi baik tidur dalam dakapan ibu



CAPE TOWN 28 Okt. - Kaum ibu dinasihati tidur sekatil dengan bayi mereka sehingga bayi mereka berusia sekurang-kurangnya tiga tahun kerana ia baik untuk kesihatan bayi.
Nasihat kontroversi itu dikeluarkan oleh pakar pediatrik yang mendapati bayi-bayi berusia dua tahun yang tidur bersendirian tidak dapat tidur nyenyak berbanding bayi yang tidur dalam dakapan ibu mereka.
Menurut Dr. Nils Bergman dari Universiti Cape Town, Afrika Selatan, kajian yang mereka jalankan mendapati jantung bayi yang tidur bersendirian akan berada dalam keadaan lebih tertekan.
Bergman berkata, bayi yang baru dilahirkan dinasihati tidur dalam dakapan ibu mereka untuk tempoh beberapa minggu dan kemudian tidur di katil ibunya sehingga berusia tiga hingga empat tahun.
Kajian tersebut turut mendapati bayi yang tidur bersendirian susah untuk rapat dengan ibunya dan perkembangan otak mereka juga akan terganggu.
Gangguan tidur pada usia yang masih kecil berkemungkinan akan menyebabkan mereka mempunyai kelakuan yang tidak baik ketika mereka besar nanti, katanya. - Agensi

'Menara pokok' berkembar dalam pembinaan




Lakaran artis mengenai konsep hutan di menara Bosco Verticale yang sedang dalam pembinaan di Milan, Itali. - Agensi


MILAN 28 Okt. - 'Menara pokok' berkembar yang diberi nama 'Bosco Verticale' yang dipenuhi pokok-pokok dan tumbuhan renek, mungkin menjadi menara pertama seumpamanya di dunia.
Menara berkembar yang sedang dalam pembinaan dengan setiap satu menara setinggi 111 meter dan 79 meter itu bakal menempatkan kira-kira 730 pokok, 5,000 tumbuhan renek serta 11,000 tumbuh-tumbuhan lain.
Pengarah Boeri Studios, Michele Brunello, 35, bertanggungjawab menguruskan projek tersebut yang telah direka sejak 2006.
"Idea untuk membina 'menara pokok' muncul ketika menyertai satu projek menanam pokok.
Menurutnya, Bosco Verticale dengan setiap satu menara setinggi 27 tingkat terletak di Milan, utara Itali itu akan turut menempatkan apartmen kediaman.
Pokok-pokok akan ditanam dalam pasu sebelum dipindahkan ke menara tersebut apabila siap sepenuhnya.
"Bosco Verticale direka untuk menempatkan pelbagai jenis tumbuhan yang boleh bertindak sebagai penapis pencemaran kepada penghuninya," katanya.
Setiap unit apartment itu dijual dalam lingkungan 560,000 pound (RM2.8 juta) untuk keluasan 80 meter persegi dan 1.7 juta pound (RM8.5 juta) bagi keluasan 200 meter persegi
"Menara tersebut bukan hanya menitik beratkan isu kehijauan dan semula jadi, malah ia turut mementingkan keselesaan dan keselamatan penghuninya.
''Kami telah melakukan pelbagai kajian serta ujian untuk memastikan semuanya berjalan lancar," ujar Brunello sambil menyatakan idea asal projek tersebut diilhamkan oleh arkitek terkenal Milan, Stefano Boeri. - AGENSI

Parti Islam menang di Tunisia



TUNIS 28 Okt. - Parti Islam utama Tunisia memenangi pilihan raya pertama negara ini, semalam dengan mendapat 90 daripada 217 kerusi di Dewan Perhimpunan, sembilan bulan selepas diktator Zine el Abidine Ben Ali digulingkan dalam kebangkitan rakyat.
Menurut saksi dan Kementerian Dalam Negeri, protes hebat berlaku di tengah bandar Sidi Bouzid, tempat di mana pemberontakan bermula pada Disember lalu, selepas keputusan sementara pilihan raya diumumkan.
Parti Ennahda kini memiliki kerusi terbanyak di Dewan Perhimpunan yang akan menggubal semula Perlembagaan, melantik Presiden dan membentuk kerajaan, kata ketua pilihan raya, Kamel Jendoubi.
Kamel juga mengumumkan pembatalan enam calon daripada parti Petisyen Untuk Keamanan Dan Pembangunan kerana 'penyelewengan wang'.
Parti itu itu dipimpin tokoh korporat Tunisia, Hechmi Haamdi, yang bertapak di London dan dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Ben Ali, mendapat tempat keempat dengan memenangi 19 kerusi.
Hechmi, bagaimanapun menarik balik pencalonannya dari Dewan Perhimpunan itu walaupun selepas pengumuman keputusan piihan raya itu dibuat.
Hechmi yang berkempen dari London menggunakan stesen televisyen satelitnya, Al-Mustakillaberkata, beliau risau penyokongnya akan menunjukkan kemarahan mereka selepas Ennahda menolak untuk menyertakan partinya dalam perbincangan membentuk kerajaan baru.
Saksi berkata, lebih 2,000 orang penyokong Hechmi berarak ke ibu pejabat Ennahda di Sidi Bouzid dan membaling batu ke arah pasukan keselamatan ketika keputusan pilihan raya itu diumumkan. - AFP

1 lagi mangsa gempa terselamat



ERCIS, Turki 28 Okt. – Seorang lagi mangsa ditemui hidup-hidup di celah runtuhan bangunan, awal pagi ini, selepas lima hari bencana gempa bumi kuat melanda timur Turki yang mengorbankan kira-kira 570 penduduk.
Menurut agensi berita Anatolia, Ferhat Tokay, 13, dibawa keluar dari runtuhan apartmen dengan memakai alat sokongan leher oleh pasukan penyelamat selepas terperangkap dalam runtuhan selama 108 jam.
Remaja tersebut dilaporkan mengalami kecederaan.
Semalam, siaran televisyen turut menyiarkan seorang remaja lelaki diselamatkan dari celah runtuhan dikenali sebagai Imdat Padak, 18 tahun. Dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Pihak berkuasa melaporkan setakat ini, seramai 187 mangsa berjaya diselamatkan daripada runtuhan.
Kira-kira 2,000 bangunan ranap dalam bencana itu dan pihak berkuasa mengisytiharkan sebanyak 3,700 bangunan tidak selamat untuk diduduki.
Hujan dan cuaca sejuk menyukarkan operasi mencari dan menyelamat, manakala beribu-ribu mangsa yang kehilangan tempat tinggal masih ditempat di khemah-khemah sementara.
“Cuaca semakin sejuk dan anak-anak saya mula batuk, malah kami tidak tahu berapa lama kami akan duduk di sini (khemah perlindungan),” kata seorang mangsa, Sermin Yildirim yang sedang sarat hamil lapan bulan dan berkongsi khemah tersebut bersama empat keluarga lain.
Gempa bumi sekuat 7.2 pada skala Richter yang melanda Turki pada Ahad lalu turut mengakibatkan kira-kira 2,555 penduduk cedera, selain kemusnahan infrastruktur yang besar. – Agensi

Budak maut dirempuh guru




MOHD. ZAMRI (kanan) mengangkat mayat Nor Afina (gambar kecil) yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.


KEPALA BATAS - Seorang kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila kepalanya dikatakan pecah selepas dirempuh dan digilis sebuah kereta dalam kejadian di luar Sekolah Kebangsaan Pasir Gebu di sini semalam.
Kejadian pukul 12.10 tengah hari itu menimpa Nor Afina Khalida Zamri, 3, ketika dia sedang duduk di atas motosikal bersama bapanya, Mohd. Zamri Hashim, 36. Ketika itu, dua kakaknya, Nor Ellys Najwa, 9, dan Nor Alia Farhana, 7, baru hendak menaiki motosikal tersebut.
Tanpa diduga, motosikal itu terus dirempuh sebuah kereta dipandu seorang guru sebuah sekolah di Kuala Muda yang terbabas menyebabkan Nor Afina tercampak sebelum digilis kenderaan terbabit.
Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Supritendan Suhaimi Mohd. Noor berkata, kereta itu hanya berhenti selepas bergesel dengan sebuah lagi kenderaan yang diletakkan di luar sekolah.
Katanya, sebaik diperiksa, mangsa yang tinggal di Kampung Permatang Rawa di sini didapati tidak lagi bernyawa akibat cedera parah di kepala.
"Dua kakak mangsa mengalami luka di beberapa bahagian badan dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Kepala Batas manakala Mohd Zamri tidak cedera.
"Pemandu kereta itu yang cedera turut dirawat di hospital itu sebelum dia ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai dan membahayakan," katanya.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakau Tua di sini semalam.

Amil serah diri kerana keluarga malu





JOHOR BAHRU - Disebabkan malu wajahnya disiarkan di akhbar, bekas imam di sebuah masjid di Kulaijaya di sini akhirnya menyerah diri kepada polis semalam bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan wang zakat fitrah tahun lepas.
Menurut Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor, Supritendan Mohd. Luthfi Ismail, bekas imam itu, dikenali sebagai Redzuan Mohd. Said itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulaijaya kira-kira pukul 8 pagi semalam.
Katanya, suspek bertindak demikian apabila dihubungi ahli keluarga yang memujuk agar dia menyerah diri setelah malu wajahnya disiarkan di televisyen dan akhbar.
"Hasil siasatan awal polis mendapati suspek mengaku selama ini dia berada di Ipoh, Perak dan bekerja sebagai guru tahfiz.
"Dia kini ditahan untuk membantu siasatan dan reman akan dibuat esok (hari ini).
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak media kerana membantu kami menyiarkan maklumat sehingga suspek sendiri membuat keputusan menyerah diri kepada polis," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! semalam melaporkan polis sedang memburu suspek yang dipercayai terlibat dengan penipuan wang zakat tahun lepas.
Suspek yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) sebagai Amil Fitrah bagi kawasan Kulaijaya disyaki gagal menyerahkan kembali wang kutipan zakat sebanyak RM18,000.
Sementara itu, Pengerusi MAIJ, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, satu mesyuarat akan diadakan minggu hadapan untuk mencari sistem terbaik bagi mencegah insiden penipuan wang zakat daripada berulang.
Katanya, meskipun kes penipuan yang membabitkan suspek merupakan kes terpencil, namun ia secara tidak langsung menjejaskan nama baik banyak pihak.
"Seingat saya, ini merupakan kes pertama seumpamanya yang berlaku di MAIJ tetapi kami akan mengambil tindakan lanjut bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang.
"Saya akan memanggil semua pegawai saya minggu hadapan dan mengadakan mesyuarat bagi memperkemas sistem kutipan dan penyerahan wang zakat," katanya ketika dihubungi Kosmo!semalam.
Menurut Zainal, pada mesyuarat terbabit, pihaknya akan cuba mencari jalan mendapatkan kembali wang kutipan zakat yang dilaporkan hilang itu.
Katanya, kutipan zakat sepatutnya diserahkan kepada MAIJ sebaik sahaja selesai tempoh bayaran tetapi disebabkan cuti perayaan dan kesibukan, wang tersebut seringkali lewat diserahkan.
"Mungkin selepas ini kami akan tetapkan wang kutipan diserahkan seminggu sekali dan tidak perlu menunggu sehingga habis tempoh kutipan ataupun mana-mana amil yang dipertanggungjawabkan tidak boleh menyimpan wang melebihi RM10,000 atau sebagainya," katanya.
Sementara itu di Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berharap semua Majlis Agama Negeri berhati-hati dalam memilih dan seterusnya melantik golongan amil bagi mengutip wang zakat pada masa akan datang.
Menurutnya, walaupun setiap tahun diadakan semakan berkenaan pemilihan golongan amil oleh setiap negeri tetapi ia perlu dilakukan dengan lebih teliti bagi membendung masalah ini berulang.
"Soal songlap duit ia tidak kira siapa, jadi pihak majlis agama kena berhati-hati pada pelantikan golongan amil pada masa akan datang," katanya di sini semalam.

Terapi selaman rawat bayi



Pasangan ibu dan anak menghadiri sesi terapi selaman di kolam Yayasan Gezenguz, Budapest.


BUDAPEST - Sebuah yayasan amal di Hungary menyediakan sesi terapi saraf di dalam air untuk merawat bayi dan kanak-kanak.
Terletak di ibu kota Hungary, terapi tersebut diperkenalkan kepada umum oleh Yayasan Gezenguz.
Kaedah rawatan unik di dalam kolam khas itu didapati berkesan untuk merawat bayi yang mengalami kecederaan semasa lahir termasuk kecederaan saraf.
Selain itu, terapi sama turut digunakan dalam proses rehabilitasi kanak-kanak yang mengalami kecacatan otak atau penyakit kongenital lain. - Reuter

Nayef dilantik Putera Mahkota Arab Saudi



PUTERA NAYEF


RIYADH - Menteri Dalam Negeri Arab Saudi yang berusia 78 tahun, Putera Nayef bin Abdul Aziz dinamakan sebagai pewaris takhta kerajaan Arab Saudi yang baharu.
Pelantikan Putera Nayef sebagai Putera Mahkota Arab Saudi dibuat menerusi perintah diraja yang dibacakan di televisyen negara itu kelmarin.
Memegang jawatan Menteri Dalam Negeri selama hampir empat dekad, beliau kini menggantikan tempat Putera Sultan bin Abdul Aziz yang meninggal dunia di New York pada minggu lalu dan dikebumikan di sini Selasa lepas.
Putera Nayef turut dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi dekri diraja tidak menyebut siapa yang akan memegang jawatan Menteri Pertahanan selepas portfolio tersebut kosong ekoran kematian Putera Sultan.
Putera Nayef dilihat calon pilihan untuk pelantikan tersebut sebelum dekri berkenaan diumumkan.
Pemerhati-pemerhati politik kini menunggu untuk melihat siapa yang akan dilantik sebagai Menteri Pertahanan dengan harapan portfolio itu akan diberikan kepada anggota keluarga diraja yang lebih muda.
Setakat ini, semua jawatan menteri utama dipegang oleh anak beranak pengasas negara Arab Saudi, Raja Abdul Aziz.
Anak-anak raja berkenaan kini berusia dalam lingkungan 70-an dan 80-an dengan sebahagian mereka mengalami masalah kesihatan.
Pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah sendiri baru keluar dari sebuah hospital di sini pada Sabtu lepas selepas menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang. - AFP

Pekerja Thailand dibenar bekerja di Jepun




GAMBAR yang dirakam dari udara ini menunjukkan ratusan kereta ditenggelami air di kilang milik Honda di Ayutthaya, utara Bangkok pada awal Oktober lalu. - AFP


TOKYO - Tokyo dijangka membenarkan beribu-ribu pekerja Thailand yang digaji oleh oleh syarikat-syarikat Jepun dan terjejas akibat banjir besar yang melanda Thailand untuk datang bekerja di Jepun.
Berpuluh-puluh syarikat Jepun di Thailand terpaksa memberhentikan produksi berikutan banjir telah memusnahkan kilang mereka, selain menjejaskan rangkaian bekalan produk.
Kesan yang dialami gergasi automotif Jepun seperti Toyota dan Honda nyata membimbangkan pentadbiran Tokyo.
"Jepun akan menerima pekerja Thailand berdasarkan kepada syarat-syarat tertentu. Misalnya, syarikat perlu memastikan mereka akan kembali semula ke Thailand," kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Osamu Fujimura.
Para pekerja itu akan dibenarkan untuk tinggal di Jepun selama enam bulan. Keputusan tersebut diambil selepas kerajaan menerima permintaan daripada syarikat Jepun yang cuba untuk mengurangkan kerugian di Thailand dengan meningkatkan pengeluaran di Jepun.
"Kemusnahan akibat banjir menerusi impaknya kepada rantaian bekalan mengakibatkan kesan serius bukan sahaja kepada ekonomi Jepun, malah aktiviti ekonomi semua ahli anggota negara ASEAN," tambah Fujimura. - AFP

Banduan minta izin pakai tudung di penjara




AMINA FARAH ALI (kanan) dan Hawo Mohamed Hassan berjalanmeninggalkan sebuah mahkamah daerah di Minnesota selepas menghadiri perbicaraan pada Ogos tahun lalu. - AP


MINNEAPOLIS, Amerika Syarikat (AS) - Majlis Berkaitan Hubungan Islam-Amerika di Minnesota meminta Jabatan Syerif memberi kemudahan kepada banduan untuk memakai tudung selepas seorang wanita Islam yang didapati bersalah berhubung dakwaan keganasan terpaksa membuka tudungnya semasa berada dalam tahanan.
Tertuduh, Amina Farah Ali, 35, dan rakannya, Hawo Mohamed Hassan didapati bersalah pada minggu lalu kerana menyalurkan wang kepada kumpulan pengganas Al-Shabab di Somalia.
Peguam wanita itu, Dan Scott berkata, anak guamnya mahu memakai tudung kerana mematuhi ajaran Islam. Menurutnya, Amina perlu menutup aurat apabila berada di sisi lelaki yang bukan muhrim.
"Dia mahu memakai pakaian tradisinya (tudung). Ia amat penting baginya," kata Scott.
"Dia kini dipenjara. Justeru, apa yang dia mahu tidak semestinya dia dapat. Tetapi dia berhak mengamalkan ajaran agamanya," tambah peguam itu.
Mengulas isu tersebut, Syerif Daerah Sherburne, Joel Brott berkata, Amina tidak boleh memakai tudung di penjara atas faktor keselamatan.
Pakaian awam termasuk tudung katanya, tidak dibenarkan dipakai di penjara kerana ia mungkin digunakan sebagai senjata atau menyembunyikan identiti banduan.
Namun, ujar Brott, pihaknya sedang berunding dengan pihak berkuasa persekutuan sama ada untuk memberikan pengecualian kepada Amina atau sebaliknya. - AP

Kerani bergaji RM399 menang kuiz RM3.07 juta



SUSHIL KUMAR memegang cek bernilai AS$1 juta (RM3.07 juta) sambil bergambar bersama bintang Bollywood, Amitabh Bachchan.


NEW DELHI - Seorang kerani kerajaan dengan gaji bulanan cuma AS$130 (RM399) menjadi peserta pertama yang pernah memenangi AS$1 juta (RM3.07 juta) dalam rancangan kuiz popular di negara berkenaan.
Kemenangan Sushil Kumar dalam kuiz Who Wants to Be a Millionaire versi India menjadikannya ikon kepada jutaan belia di India yang mahu membebaskan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.
Kejayaan pemuda berusia 26 tahun yang berasal dari pedalaman negeri Bihar, timur India itu mirip plot filem popular 2008, Slumdog Millionaire.
Filem tersebut yang memenangi beberapa anugerah Oscar, mengisahkan tentang seorang pemuda miskin yang menjadi kaya selepas memenangi kuiz berkenaan.
Kumar dan isteri yang baru lima bulan dikahwininya menangis semasa hos rancangan itu, Amitabh Bachchan, menyerahkan cek AS$1 juta kepada mereka selepas dia berjaya menjawab semua soalan dengan betul.
"Anda mencipta sejarah. Kecekalan dan keazaman anda membolehkan anda pergi begitu jauh dalam program ini," kata Bachchan.
Program yang dirakam pada Selasa lepas itu akan ditayangkan di India pada minggu depan.
Bercakap mengenai kemenangannya, Kumar berkata, dia terpaksa menonton rancangan kuiz itu di rumah jiran kerana tidak mampu membeli set televisyen.
Menurutnya, dia akan menggunakan sebahagian wang kemenangan tersebut untuk menduduki peperiksaan pentadbiran awam bagi menjamin masa depan yang lebih cerah.
Sebahagian lagi wang tersebut akan digunakan untuk membeli kediaman baharu buat isterinya, membayar semua hutang ibu bapanya dan dijadikan modal untuk adik-beradiknya membuka perniagaan kecil. - AP