Pages

Friday, September 9, 2016

Bayi Terkecil Dunia Lakar Keajaiban


Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2016 2:14 PM

BERLIN: Bayi terkecil di dunia, Emilia Grabarczyk melakar keajaiban apabila masih meneruskan hidup sejak dilahirkan sembilan bulan lalu walaupun doktor meramalkan dia tidak akan hidup lama.

Ketika dilahirkan di Witten dekat barat Jerman, Emilia hanya memiliki berat 226 gram dengan ukuran 22 sentimeter, fizikal yang terlalu kecil untuk bertahan lama.

Namun berdasarkan perkembangan terbaharu, Emilia yang digelar sebagai "pejuang kecil" oleh doktor yang merawatnya, membuatkan ramai pihak kagum dengan semangat bayi itu untuk meneruskan hidup.

Kini dia memiliki berat kira-kira 3.17 kilogram, berat yang sihat seorang bayi, sekali gus menjadi bayi pramatang paling kecil yang masih hidup.

Rekod sebelum ini dipegang oleh Rumaisa Rahman yang dilahirkan di Pusat Perubatan Universiti Loyola di Chicago ketika usianya di dalam kandungan baru mencecah 25 minggu.

Ketika dilahirkan, Rumaisa berukuran 20 sentimer tinggi dengan berat 243 gram.

Doktor yang merawat Emilia, Brahman Gharavi berkata, kekuatan bayi itu untuk terus hidup merupakan satu keajaiban walaupun sebelum ini beliau merasakan bayi tersebut tidak mampu bertahan lama.

"Kebiasaannya bayi yang lahir dengan berat 396 gram sukar untuk terus hidup, tetapi Emilia melakukan sebaliknya.

"Malah berdasarkan pemeriksaan perubatan, Emilia tidak menunjukkan tanda-tanda kecacatan padanya," katanya seperti dilaporkan portal Mirror.

Kecoh Ada Pocong Di Jeli


Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2016 9:46 AM


KOTA BARU: Media sosial kecoh dengan cerita mengenai pengguna jalan raya yang dikatakan melihat pocong di laluan sunyi di Jeli.

Dilaporkan seorang lelaki yang memandu sepanjang laluan di Bukit Balah pada 3.20 pagi Isnin terkejut apabila melihat susuk seolah-olah mayat yang dibalut kain putih terbaring di tengah jalan.

Lelaki itu kemudiannya menghentikan keretanya dan menjerit meminta tolong. Dua penduduk kampung bergegas ke tempat kejadian untuk mengetahui apa yang berlaku.

Bagaimanapun, susuk umpama pocong itu tiba-tiba berdiri dan melompat-lompat sebelum hilang dari pandangan.

Media sosial juga berkongsi gambar pocong berkenaan dan laporan polis telah dibuat Mohd Yusuke Yahya yang juga pegawai Jabatan Perikanan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Jeli, Deputi Superitendan Yusof Jaafar berkata, insiden itu tidak berlaku.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai cerita seperti itu. Kami tidak menerima sebarang laporan mengenainya dan tindakan akan diambil terhadap pihak yang cuba menimbulkan kekecohan di kalangan masyarakat," katanya.

Lelaki Jerman Bina Basikal Terberat Di Dunia




Diterbitkan: Khamis, 8 September 2016 4:24 PM

 
JERMAN: Seorang lelaki Jerman berjaya membina sebuah basikal yang dipercayai paling berat di dunia dengan menggabungkan tayar jentera penabur baja dan besi buruk.

Menurut portal Oddity Central, Frank Dose yang berasal pekan kecil di Jerman, Schleswig-Holstein, bertungkus-lumus menyiapkan kenderaan gergasi dua roda tersbeut mulai Mac lalu dengan melibatkan anggaran kos sebanyak AS$4,700 (RM19,049).

Secara keseluruhannya, basikal milik Dose mencapai berat 1.08 tan, lebih 200 kilogram daripada basikal yang dibina oleh Jeff Peeters dari Belgium dengan berat 860 kilogram.

Kedua-dua tayar basikal Dose dianggarkan seberat beratus-ratus kilogram dengan mempunyai ukuran diameter 1.53 meter.



Namun di sebalik saiz dan berat basikal itu, Dose mengakui bahawa basikalnya mudah untuk ditunggang.

Malah dia mempamerkan kehebatan basikalnya itu pada 3 September lalu apabila mengayuh sejauh 100 meter dengan kelajuran lima kilometer sejam di hadapan kira-kira 5,000 penonton.

Lelaki berusia 49 tahun itu mendedahkan, dia membina basikal tersebut selepas dicabar oleh rakannya dan mahu membuktikan dia mampu melakukannya.

Dose kini menunggu pengesahan daripada Rekod Dunia Guinness untuk memberi pengiktrirafan terhadap hasil kerjanya dan proses itu dijangka mengambil masa selama beberapa bulan.