ASHA (kiri) dan Suraj.
Agensi
New Delhi: Seorang lelaki yang jatuh cinta dengan ibu mentuanya dan berakhir dengan mengahwini wanita itu kini menyesal dan mahu bercerai.
Suraj Mahto, 22, menjadi tajuk akhbar Jun lalu apabila dia meninggalkan isterinya, Lalita dan berkahwin dengan ibunya berusia 42 tahun, Asha Devi.
Hubungan menantu-ibu mentua itu bermula apabila Asha tinggal bersama anak dan menantunya di Puraini, sebuah kampung di negeri Bihar.
Dia menjaga Suraj yang sakit ketika itu dan sejak itu mereka jatuh cinta.
Apabila kembali ke rumahnya, mereka menghabiskan masa berjam-jam berbual menerusi telefon.
Lalita mengetahui hubungan itu dan meminta ibunya memutuskan hubungan, tetapi dia enggan.
Bapa Lalita, pekerja kilang di Delhi, juga tidak berjaya menghentikan hubungan itu.
Pasangan itu, walaupun mendapat bantahan penduduk kampung, akhirnya melarikan diri dan berkahwin 1 Jun lalu.
Dua bulan berikutnya, pasangan itu menyedari kesilapan mereka.
Media tempatan melaporkan Suraj berkata: “Saya sedar kesilapan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya. Saya tidak lagi anggap Asha isteri saya. Saya sudah mula menghormatinya sebagai ibu mentua.”
Menurutnya, dia akan bersujud di depan Lalita, meminta maaf dan menerimanya kembali. Mereka mempunyai seorang anak lelaki.
Asha juga dikatakan menyesal dan berkata, mereka sudah memfailkan tuntutan cerai.
“Saya mahu kembali kepada bekas suami saya secepat mungkin,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 5:03 AM