Pages

Monday, April 16, 2012

400 banduan larikan diri



         
DERA ISMAIL KHAN: Kira-kira 400 banduan melarikan diri dari sebuah penjara di barat laut Pakistan awal semalam.

Kejadian berlaku selepas penjara berkenaan diserang oleh militan, kata seorang pegawai kanan polis.


Sebahagian mereka yang melarikan diri dari penjara di bandar Bannu yang terletak berhampiran sempadan Afghanistan itu ialah militan.

Kumpulan Taliban Pakistan yang ada hubungan dengan al-Qaeda mengaku melancarkan serangan itu.


“Kami berjaya membebaskan ratusan anggota kami,” menurut kenyataan yang dikeluarkan kumpulan berkenaan. - AP

Tulang dinasour ditemui di Mongolia

 HOHHOT (China): Sebuah kawasan terpencil di wilayah autonomi Mogolia, ditutup untuk melindungi tulang dinosaur yang baru ditemui.
Jurucakap Biro Sumber Tanah di Bandar Bayan Nur, Lian Chunxi berkata pihak berkuasa tempatan sudah menjemput pakar untuk memeriksa tulang yang ditemui oleh pengembala tempatan. - Agensi 

Pai ‘mayat’ laris


PERNAMBUCO (Brazil): Beratus-ratus penduduk dikhuatiri telah memakan daging paha dan pinggul mangsa pembunuhan selepas daging mereka dijadikan inti pai.
Penjaja, Isabel da Silbeira menjualnya setiap hari kepada penduduk tempatan di sekitar bandar ini.

Polis percaya, makanan itu yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai empanada, mengandungi bahagian tubuh sekurang-kurangnya dua wanita yang dibunuhnya bersama-sama suaminya, Jorge, 50.

Kedua-duanya dibantu oleh wanita berusia 25 tahun, Bruna Cristina da Silva, juga kekasih Jorge.

Laporan sebelum ini menyatakan, Jorge ialah pakar karate.

Sebahagian mayat Alexandra Falcao, 20, dan seorang lagi wanita berusia 31 tahun ditemui dalam peti sejuk sementara sebahagian lagi tertanam di belakang rumah pasangan itu di Garanhuns, timur laut Brazil.


Polis turut menemui kanak-kanak berusia lima tahun, dipercayai anak seorang gadis berumur 17 tahun yang dilapor hilang dari bandar berhampiran pada 2008.

Ketua Polis, Wesley Fernandes berkata, ketiga-tiga mereka merancang membunuh seorang pemuda sebagai mangsa ketiga mereka.



“Mereka sudah membuat perancangan dan menetapkan tarikh untuk membunuh lelaki itu. Kedua-dua pembunuhan yang mereka lakukan sama saja - menikam hingga mati, mengalirkan darah, memotong mayat mangsa dan mengambil bahagian paling enak untuk dibuat inti empanada.

“Apabila Isabel keluar, dia akan menjaja pai itu. Ia habis dalam sekelip mata. Ia amat popular,” kata Fernandes.

Pegawai polis itu juga berkata, ketiga-tiga suspek turut memakan mayat mangsa kerana yakin ia boleh membersihkan jiwa mereka. “Dengan membolehkan orang lain memakan daging itu juga, mereka menganggap ia akan membantu mereka menjadi suci juga,” kata Fernandes. Polis mula menjejaki ketiga-tiga suspek selepas seorang wanita terbabit ditangkap menggunakan kad kredit seorang mangsa yang hilang bulan lalu. - Agensi

Jacob Zuma kahwini isteri keempat minggu depan




         
JOHANNESBURG: Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma yang baru saja meraikan hari jadinya yang ke 70, minggu lalu, akan berkahwin kali ke enam minggu depan dengan tunangnya, Bongi Ngema, sebagai isteri keempat.

Poligami adalah sebahagian daripada budaya kaum zulu dan dibenarkan di Afrika Selatan.
Zuma, dari bangsa Zulu, mempunyai 21 anak, menurut laman web presiden itu.

Jurucakap Zuma, Mac Maharaj berkata: “Presiden Jacob Zuma akan merasmikan hubungannya dengan tunangnya itu dalam satu majlis tertutup minggu depan.”


Majlis itu akan diadakan di Nkandla di wilayah KwaZulu Natal, katanya.



Isterinya yang lain adalah Sizakele Zuma, Nompumelelo Ntuli-zuma dan Tobeka Madiba-Zuma.

Sebelum ini dia pernah berkahwin dengan Menteri Dalam Negeri, Nkosazana Dlamini-Zuma dan Kate Matsho-Zuma yang membunuh diri pada 2000.

Untuk majlis rasmi, Zuma biasanya akan membawa isterinya secara bergilir-gilir sebagai wanita pertama - Reuters

Serangan gegar Kabul

ANGGOTA tentera Afghanistan dikerah ke kawasan pertempuran di Kabul.
ANGGOTA tentera Afghanistan dikerah ke kawasan pertempuran di Kabul.

KABUL: Kumpulan Taliban melancarkan beberapa serangan serentak di sekurang-kurangnya tujuh kawasan di sekitar ibu negara Afghanistan ini, mensasarkan ibu pejabat Nato, Parlimen dan kedutaan.
Serangan turut dilakukan di tiga bandar raya di timur negara itu.

Sekurang-kurangnya tiga penyerang terbunuh di Kabul dan tiga lagi mati apabila mereka meletupkan bom kereta di Jalalabad, yang turut mencederakan lima orang.

Sehingga jam 11 malam (waktu Malaysia) penyerang masih melancarkan serangan roket dan berbalas tembak dengan pasukan keselamatan, lapor wartawan AFP di Kabul.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid mengaku kumpulan itu bertanggungjawab dan berkata, ramai pengebom berani matinya melancarkan serangan terhadap Kabul dan tiga wilayah lain. Serangan di ibu negara itu bermula dengan pengeboman di kawasan Wazir Akbar Khan yang menempatkan pangkalan Nato dan beberapa kedutaan, termasuk Amerika Syarikat.

Tembak-menembak meletus sejurus selepas letupan itu, memaksa mereka yang terperangkap di jalan raya meluru mencari tempat berlindung.


Lebih 10 letupan yang menyusul menggegarkan Kabul dan tembakan kuat bergema di bandar raya itu selama dua jam selepas letupan pertama.

Dalam kenyataan menerusi e-mel, Zabiullah berkata, serangan itu mensasarkan ibu pejabat Nato, Britain dan Jerman, Parlimen Afghanistan, Hotel Serena, Kabul Star dan kawasan di sepanjang Jalan Darulaman, tempat terletaknya Kedutaan Russia.



Pada masa sama, pejuang Taliban melancarkan serangan terhadap penempatan tentera Afghanistan dan Nato di ibu negeri wilayah Nangarhar, Logar dan Paktia, katanya.

“Dalam serangan ini, puluhan mujahidin yang dilengkapi senjata ringan dan berat, mesingan, pelancar roket dan kelengkapan serangan berani mati, menyerang sasaran masing-masing,” kata Zabiullah.

“Laporan awal yang kami terima menunjukkan sejumlah besar tentera asing, anggota polis dan askar Afghanistan terbunuh atau cedera,” katanya.

Menurut jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat, serangan berlaku di sekitar kedutaan itu. Kementerian Luar Jerman pula berkata, kerosakan berlaku di sekitar kedutaannya tetapi tidak ada sesiapa yang cedera.

Wartawan Associated Press di Kabul berkata, penyerang yang berkubu di bangunan tinggi melancarkan serangan roket ke pelbagai arah.

Tidak dapat dipastikan sasaran mereka tetapi tembakan senjata lain kelihatan disasarkan terhadap Kedutaan Britain.

Pejabat Luar Britain di London berkata, semua kakitangannya selamat. Dalam pada itu, jurucakap Taliban juga mendakwa anggotanya melancarkan serangan terhadap istana presiden. Bagaimanapun, dakwaan itu tidak dapat dipastikan kesahihannya. - Agensi

Separuh penduduk Qatar ada masalah kegemukan

DOHA: Negara paling kaya di dunia, Qatar adalah juga negara paling ramai iaitu lebih separuh penduduknya mengalami masalah kegemukan manakala 17 peratus penduduknya menghidap kencing manis.

Ini dibandingkan dengan Amerika yang mana satu pertiga penduduk dewasa mengalami kegemukan dan lapan peratus menghidap kencing manis.


Daripada 1.7 juta penduduknya, hanya 250,000 adalah warga asal Qatar yang kini tinggal di villa lengkap dengan penghawa dingin dilayan pembantu rumah, berbanding dua generasi lalu apabila kehidupan mereka lebih tradisional.

Warga Qatar juga mula menghidap kencing manis satu dekad lebih awal sekali gus meningkatkan kes darah tinggi, lumpuh separuh badan, penyakit jantung dan buta, lapor akhbar Daily Mail. 

Negara Arab kecil yang kaya minyak dan gas asli itu menjadi negara terkaya di dunia tahun lalu berdasarkan keluaran kasar dalaman negara. 

Beberapa tahun lalu, warga Qatar mula berminat makanan segera dengan pembukaan cawangan restoran KFC dan McDonald’s seperti cendawan tumbuh di pasar raya berhawa dingin. 

Hassan Tiaz, 19, memberitahu majalah Atlantic: “Ini kerana di Qatar, kebanyakan daripada kita hanya duduk, merokok dan makan makanan segera. Tidak banyak kerja yang perlu dibuat. 
“Semuanya automatik dan kami hanya duduk di pejabat dan kereta berhawa dingin. Semuanya tersedia untuk kami.” katanya. 

Negara itu turut mengalami kadar cacat kelahiran yang tinggi dan gangguan genetik dan pakar menyalahkan budaya berkahwin dengan anggota keluarga dekat dan sepupu sebagai punca. 

Pengurus program Persatuan Diabetes Qatar, Sharoud Al-Jundi Matthis berkata: “Ini adalah masalah sangat serius bagi masa depan Qatar,” katanya. – Agensi

Puting beliung landa 5 negeri Amerika

SEBUAH kediaman rosak akibat puting beliung di Thurman, Iowa.
SEBUAH kediaman rosak akibat puting beliung di Thurman, Iowa.

Lima maut taufan mengganas di Oklahoma, Kansas, Nebraska, Iowa dan Wichita 

KANSAS CITY: Sekurang-kurangnya 12 puting beliung melanda sebahagian kawasan negeri Oklahoma, Kansas, Nebraska dan Iowa kelmarin sebelum melalui Kansas dan tempat lain menyebabkan lima terbunuh dan merosakkan sedikit harta benda awam di kawasan dataran tengah dan selatan Amerika Syarikat.


Lima terbunuh apabila satu puting beliung melanda barat laut bandar Woodward di Oklahoma semalam. Jurucakap Jabatan Pengurusan Kecemasan Oklahoma, Keli Cain, berkata pejabat pemeriksa perubatan negeri mengesahkan kematian itu.

Datuk Bandar Woodward, Roscoe Hill berkata dia tidak mendengar loceng amaran dibunyikan mengenai puting beliung yang melanda jam 12.18 tengah hari waktu tempatan. 

Di Iowa, sebuah hospital di bandar Creston, rosak menyebabkan pesakit dipindahkan ke hospital lain. 

Satu puting beliung juga melalui bandar Wichita, Kansas. 

Pakar meteorologi, Brandon Redmond, bersama unit Pasukan Berjaga-jaga Cuaca Buruk, berkata puting beliung itu lalu dengan kenderaannya yang terangkat lebih 60 sentimeter, di selatan Iowa. 
“Puting beliung menyelubungi kenderaan kami. Itu saat paling menakutkan bagi saya,” katanya. 

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, keadaan paling teruk berlaku di Oklahoma, Nebraska dan Kansas. Tempat lain yang dilanda angin kencang membawa batu sebesar besbol. 

Ribut besar juga diramal melanda kawasan dari Texas hingga Minnesota. Agensi cuaca itu juga memberi amaran taufan yang melanda lewat malam lebih bahaya kerana ia kurang disedari disebabkan kegelapan dan hujan. 

Di Dawn, pinggir Oklahoma, satu puting beliung merosakkanteruk sebuah rumah selain menyebabkan pokok tumbang dan memutuskan bekalan elektrik, kata jurucakap pihak berkuasa bandar, Kristy Yager. 

Tahun ini, musim puting beliung melanda Amerika bermula awal dan menjadi punca 57 kematian di kawasan Midwest dan Selatan, menimbulkan kebimbangan ia mengulangi catatan pada 2011 yang terburuk dalam tempoh satu abad. – Reuters

Pemandu treler dijel empat tahun




KEADAAN treler yang merempuh empat buah kenderaan dan menyebabkan sembilan terkorban di Kilometer 41.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Plaza Tol Hutan Kampung pada 2007.


ALOR SETAR - Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan yang meragut sembilan nyawa termasuk tujuh sekeluarga di Plaza Tol Hutan Kampung, Lebuh Raya Utara-Selatan di Kepala Batas dekat sini lima tahun lalu dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM9,000.
Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Zainol Fitri Hassan, 39, dari Taman Melor, Kulim setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan keraguan munasabah dalam kes itu.
Mahkamah turut memerintahkan supaya lesen memandu tertuduh digantung selama empat tahun mulai semalam.
Tertuduh yang merupakan pemandu lori bernombor PDR 7988 didakwa memandu secara melulu sehingga menyebabkan sembilan nyawa melayang selepas merempuh empat buah kenderaan di Kilometer 41.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini pada pukul 3.50 petang 29 Mei 2007.
Tujuh sekeluarga yang terbunuh ialah Suraya Ilias, 32; Mohamad Azlan Ilias, 21; Sawiyah Ilias, 27; Muhammad Alif Syafiq Ilias, 6; Nurul Izzati Ilias, 4; Ilias Salleh, 54, dan Uzmadaniel Syahril, 1.
Dua lagi mangsa yang terbunuh ialah Wan Rohani Wan Ibrahim, 54, dan Mohd. Arif Irfan Mohd. Taqiyudin, 1.

166 pasangan berkahwin




SEBAHAGIAN daripada 166 pasangan yang berkahwin di Kampung Naushehra Dhala, India kelmarin.


KAMPUNG NAUSHEHRA DHALA, India - Seramai 166 pasangan Sikh yang berpendapatan rendah berkahwin di sini yang terletak di sempadan India-Pakistan kelmarin.
Perkahwinan itu dianjurkan kerana pada kebiasaannya kos untuk berkahwin di negara ini melibatkan perbelanjaan yang tinggi. - AFP

Lokasi tempat mangsa Titanic tertanam ditemui




IMEJ menunjukkan sehelai kot dan kasut dekat bangkai kapal Titanic yang karam di dasar Lautan Atlantik.


NEW YORK - Rangka tulang mangsa kapal penumpang Titanic yang karam di Lautan Atlantik mungkin tertanam dalam lumpur di dasar laut itu, kata seorang pegawai persekutuan kelmarin.
Satu gambar yang dirakamkan pada tahun 2004 tetapi didedahkan buat kali pertama pada minggu lalu menunjukkan sehelai kot dan kasut but di dalam kawasan berlumpur di lokasi kapal tersebut karam.
Pegawai itu, James Delgado yang merupakan Pengarah Warisan Maritim di Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) memberitahu agensi berita AP, kasut yang terdapat pada dasar laut tersebut bukan terkeluar dari sebuah beg milik penumpang lain.
Gambar itu dirakamkan semasa satu ekspedisi NOAA dan pengasas pencari bangkai kapal Titanic, Robert Ballard dilancarkan pada tahun 2004.
Akhbar New York Times melaporkan mengenai gambar itu pada Sabtu lalu.
Pengarah filem Titanic, James Cameron yang pernah mengunjungi sebanyak 33 kali lokasi serpihan tempat kapal itu karam didasar lautan memberitahu akhbar berkenaan, dia tidak menemui sebarang rangka manusia.
"Kami menemui kasut. Kami menemui beberapa pasang kasut yang mungkin mengukuhkan dakwaan bahawa terdapat tinggalan manusia pada satu tempat. Namun, kami tidak menemui sebarang tinggalan rangka manusia," katanya.
Kapal itu karam pada 14 April 1912 selepas ia melanggar bongkah ais di perairan antarabangsa di Lautan Atantik.
Seramai 1,500 orang terbunuh apabila kapal itu karam dan terputus dua selepas ia melanggar bongkah ais. - Agensi

Taliban serang Kabul



BEBERAPA anggota keselamatan melakukan rondaan selepas satu serangan berani mati berlaku di daerah Behsood, Jalalabad semalam.


KABUL - Pergerakan Taliban melancarkan satu siri serangan termasuk di ibu kota Afghanistan di sini semalam.
Serangan itu melibatkan pangkalan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), bangunan parlimen dan kedutaan Barat.
Taliban turut melancarkan serangan di tiga buah lagi bandar.
Seramai dua anggota Taliban terbunuh dan lima lagi cedera di sini.
Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid mengaku pergerakannya bertanggungjawab melakukan serangan itu.
Menurutnya dalam satu kenyataan, sejumlah pengebom berani mati menyerang Kabul dan tiga buah wilayah lagi iaitu Paktia, Nangarhar dan Logar.
Serangan itu bermula pada waktu tengah hari dengan letupan berlaku di kawasan kejiranan Wazir Akbar Khan yang menempatkan sebuah pangkalan NATO dan sejumlah kedutaan termasuk pejabat kedutaan Amerika Syarikat (AS).
Bunyi tembakan kedengaran sejurus selepas serangan menyebabkan sejumlah orang di jalan raya mencari tempat berlindung.
Lebih 10 letupan bergema di Kabul.
Asap menjulang tinggi semasa siren bergema.
Dalam satu kenyataan e-mel, Zabuillah berkata, serangan itu menjadikan ibu pejabat NATO sebagai sasaran.
Dia menyatakan turut menjadi sasaran serangan ialah kedutaan Britain dan Jerman, Hotel Kabul Star dan lokasi di tepi jalan Darulaman yang menempatkan kedutaan Rusia.
Menurutnya, pada masa yang sama, para militan melancarkan serangan kemudahan NATO dan Afghanistan di bandar wilayah Nangarhar, Logar dan Paktia.
"Dalam serangan itu, puluhan ribu mujahidin dilengkapi dengan senjata berat dan ringan, baju untuk pengebom berani mati, roket, bom pelancar roket dan bom tangan menyerang sasaran mereka," katanya.
Dia yang memberitahu agensi berita AP menerusi telefon menyatakan bahawa kumpulan tersebut telah merancang untuk melakukan serangan tersebut sejak dua bulan lalu.
Menurutnya, serangan itu dilakukan bagi menunjukkan kekuatan Taliban selepas NATO menggerakkan kumpulan tersebut telah lemah.
"Kami kuat dan kami boleh menyerang di mana-mana sahaja yang kami mahu," katanya.
Para militan juga melancarkan serangan mortar di sebuah kawasan di sekitar sebuah pangkalan NATO di sebatang jalan raya di Jalalabad di pinggir Kabul.
Kementerian Luar Jerman menyatakan terdapat kerosakan di kedutaan itu tetapi ia dianggap tidak melibatkan kecederaan dan kematian.
Kedutaan AS menyatakan dalam satu kenyataan bahawa terdapat serangan di pekarangan kedutaan tersebut.
Seorang wakil rakyat, Mohammad Nahim Lalai Hamidzai dari Kandahar menyatakan dia memanjat sebuah menara bangunan parlimen dan melepaskan tembakan ke arah anggota-anggota Taliban.
"Saya melepaskan 400 hingga 500 butir peluru dari senapang Kalashni-kov milik saya," katanya. - Agensi

Khalifah Umar dan Isterinya


Pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab r.a., terdapat sepasang suami isteri yang selalu bertengkar dan bergaduh. Si isteri tidak henti-henti membebel. Sedang memasak pun dia membebel, sedang membasuh pun dia membebel, sedang tidur pun kalau boleh dia nak juga membebel.
Si suami tidak tahan dengan perangai isterinya yang sangat suka membebel. Dia pun marah balik isterinya kerana membebel. Si isteri pula menjawab. Si suami mula meninggikan suara.
Dari situlah mereka bertengkar dan bergaduh saban hari. Lama kelamaan si suami merasakan yang isterinya sudah melampau. Memandangkan keadaan rumahtangga mereka semakin parah, si suami pun mengambil inisiatif untuk pergi berjumpa dengan Saidina Umar untuk mengadu kelakuan isterinya.

Sebaik sahaja tiba di rumah Saidina Umar, si suami terdengar isteri Saidina Umar sedang membebel di dalam rumah. Tetapi tidak terdengar pula suara Saidina Umar membalas.
Mendapati isteri Saidina Umar pun begitu, si suami tidak jadi hendak mengadukan hal isterinya. Katanya dalam hati, kalau isteri Khalifah pun begitu, apatah lagi isteriku.
Ketika dia berpaling hendak pergi, tiba-tiba Saidina Umar memanggilnya dan bertanya, “Apa hajat kamu datang ke mari?”
Si suami tadi menjawab,
“Aku datang hendak mengadu hal isteri aku, tapi aku lihat isterimu pun berkelakuan demikian terhadapmu.”
Saidina Umar tersenyum lalu berkata :
“Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, bersabung nyawa melahirkan zuriat untukku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku? Sabarlah, sesungguhnya keadaannya itu tidak lama (nanti akan baik sendiri).”

Khalifah Umar yang terkenal dengan ketegasannya dan garang dalam peperangan juga menunjukkan kelembutan dalam rumah tangga.