SEBUAH bas dua tingkat kelihatan berada di bawah garaj dan masih belum dibaik pulih di Kompleks Logistik MBMB, Batu Berendam. |
Kenderaan usia 30 tahun sukar dapat alat ganti
MELAKA TENGAH: Bas dua tingkat berwarna merah atau lebih popular sebagai ‘Bas London’ yang menjadi kebanggaan penduduk negeri ini kerana berjaya menarik ramai pelancong, kini tersadai sejak hampir setahun lalu dipercayai akibat sukar mendapat alat ganti selepas mengalami kerosakan.
Kenderaan terbabit yang menyediakan perkhidmatan di sekitar kawasan pelancongan pusat Bandaraya Melaka Bersejarah sejak 14 Ogos 2007, terpaksa ditempatkan di Kompleks Logistik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Batu Berendam, dekat sini.
Sumber memberitahu Berita Harian, kedua-dua enjin bas berusia 30 tahun yang dibeli dari London Bus Export Ltd di United Kingdom, mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat diperbaiki segera kerana alat gantinya perlu diperoleh dari tempat asalnya.
Katanya, akibat kerosakan teruk itu, MBMB terpaksa mengambil alih pengurusan kedua-dua bas itu daripada PMCT, sebelum diletakkan di Kompleks Logistik MBMB di Batu Berendam bagi proses pembaikan.
“Perkhidmatan dua bas itu diberhentikan serta-merta sejak September lalu, selepas kerja membaikinya tidak dapat diteruskan kerana menanti alat ganti dari London,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Perkhidmatan Bas London diperkenalkan kerajaan negeri sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.
Produk pelancongan ini popular di kalangan pelancong domestik untuk bersiar-siar di tapak bersejarah di sekitar pusat bandar raya. -bharian
No comments:
Post a Comment