http://www.kosmo.com.my
TANPA kesungguhan, kesabaran, sikap toleransi dan semangat kerjasama, perjalanan sejauh itu mungkin sekadar idea di atas kertas. Apatah lagi kalau perjalanan tersebut melibatkan urusan yang lebih besar iaitu menjadi tetamu Allah di Tanah Suci Mekah.
Mod pengangkutan yang pantas dan mudah tidak dipandang. Motosikal juga yang mahu digunakan lantaran mencari kelainan pengisian perjalanan. Kepada 11 penunggang jentera berkuasa tinggi itu, satu lembaran dan rekod baru telah dicipta pada 14 Mei lalu.
Program yang dikenali sebagai Ekspedisi 1Malaysia Kembara Ke Bumi Suci 2010 itu adalah anjuran Israq Adventure Sdn. Bhd.
Selaku pengendali bermotosikal tempatan yang berpengalaman dalam menganjurkan siri pengembaraan di dalam dan luar negara, kembara bermotosikal itu mengimbas sirah junjungan Nabi Muhammad S.A.W dan umat Islam dalam melaksanakan ibadah haji dengan menaiki unta.
“Sekurang-kurangnya dengan cara ini kita dapat memahami kesusahan yang dilalui oleh umat Islam terdahulu untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.
“Pengembaraan ke Mekah merupakan perjalanan yang sangat mencabar dan para peserta diuji dengan pelbagai rintangan serta dugaan,” kata Pengurus Israq Adventure, Azman Baharuddin, 47.
Katanya, kembara yang turut mendapat sokongan pelbagai pihak dalam merealisasikan hasrat murni itu bermula daripada cetusan idea Pengarah Ekspedisi, Nahrawi Marzoki, 54, pada tahun 2008.
Setahun selepas itu terbentuklah satu pentadbiran jawatankuasa ekspedisi termasuk mengadakan kerja-kerja tinjauan jalan, kerja-kerja dokumentasi dan logistik dalam menjayakan ekspedisi yang menelan belanja kira-kira RM500,000.
“Persiapan rapi dilakukan sebelum memulakan langkah menghadapi cabaran getir termasuk persediaan dari segi fizikal dan mental, jadual, persiapan dan persediaan motosikal agar perjalanan yang dilalui berjalan lancar,” ujarnya.
PELBAGAI permukaan laluan telah direntasi, dari tanah berpasir hinggalah kawasan bukit bukau.
Majlis pelepasan peserta konvoi secara rasminya disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pekarangan Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 11 Mei. Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Memulakan pengembaraan pada 14 Mei dari Kuala Lumpur, perjalanan yang dilalui adalah sejauh 17,800 kilometer (km) dalam tempoh 55 hari. Peserta selamat tiba di Tanah Suci Mekah pada 29 Jun dan mengerjakan ibadah umrah selama seminggu sebelum pulang ke tanah air pada 6 Julai.
Dalam menjayakan misi tersebut, mereka merentasi 11 negara iaitu bermula dengan Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Turki, Syria, Jordan dan Arab Saudi (berakhir di Mekah).
Memasuki negara pertama di Thailand, kumpulan ekspedisi memulakan cabaran pertama apabila menempuhi perjalanan sukar ketika merentasi Bangkok, Thailand.
Negara tersebut ketika itu menghadapi krisis politik. Namun, tiada sebarang kejadian buruk berlaku sebaliknya mereka meneruskan perjalanan dengan selamat untuk memasuki Laos.
Di Laos, kumpulan konvoi meneruskan cabaran dengan melalui beberapa daerah yang mengalami masalah kerosakan jalan dan melalui kawasan berbukit-bukau.
Layanan istimewa
Mengakui pengembaraan tersebut cukup berbeza dan amat bermakna, Azman menjelaskan, ekspedisi itu turut menjalankan aktiviti ziarah sepanjang perjalanan.
“Antara misi penting yang berjaya dicapai ialah singgah dan menziarah 40 buah masjid utama termasuk lima masjid tersohor iaitu Masjid Xian, Masjid Kalon (Uzbekistan), Masjid Umayyad (Syria), Masjid Nabawi dan Masjidil Haram di Arab Saudi.
“Para peserta juga berpeluang mengunjungi bandar dan tempat peninggalan sejarah zaman kegemilangan Islam antaranya melawat kampung halaman cendekiawan Islam tersohor, Imam Al-Bukhary di Uzbekistan serta berpeluang mengunjungi tempat kelahiran Nabi Ibrahim di Turki,” ujarnya. Azman memberitahu, para peserta konvoi juga tidak melepaskan peluang bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat Islam di sepanjang laluan di samping turut terlibat di dalam beberapa kerja amal.
Menurutnya, sepanjang perjalanan merentasi 11 negara peserta ekspedisi mendapat layanan istimewa dan sokongan padu daripada masyarakat setempat.
“Semasa merentasi sebuah bandar di China, apabila penduduk tempatan tahu kami hendak ke Mekah, mereka berasa sangat terharu.
“Pada malam itu mereka datang ke hotel tempat peserta menginap dengan menyediakan jamuan dan membuat majlis doa selamat kepada kami,” ujar Azman.
Ketika di Iran, mereka turut tersentuh dengan kemurahan hati penduduk Islam yang sanggup memberi makan dan minum selepas mengetahui kumpulan konvoi adalah jemaah umrah dari Malaysia.
“Ramai yang belanja kami makan sewaktu singgah di sana dan ada juga mekanik yang membaiki pacuan empat roda kami tanpa mengenakan bayaran,” katanya.
PESERTA sempat bergambar kenangan di kawasan tanah tinggi sewaktu merentasi Chengdu ke Ti Ping Wu di China.
Sebahagian besar daripada cabaran pengembaraan tersebut ditempuhi di China.
Di negara tersebut cuacanya agak berbeza dan ekstrem serta peserta terpaksa menempuh laluan yang tidak menentu serta jalan yang rosak.
Kata Azman, laluan sukar ditempuhi terutama ketika dalam perjalanan menuju ke Kunming melalui Yuanjing.
Perkara tersebut berlaku kerana pihak berkuasa di China melarang penggunaan motosikal di lebuh raya dari Mengla ke Kunming. Hal tersebut menyebabkan konvoi terpaksa mengharungi jalan kampung yang tidak berturap dan berdebu.
“Di China, kita tidak boleh nak ramal terutamanya dari sudut keadaan jalan dan cuaca disebabkan negara ini terlalu besar.
“Kemalangan-kemalangan kecil yang melibatkan beberapa peserta banyak berlaku semasa melalui perjalanan di China,” jelasnya.
Perjalanan dari Kunming menuju ke bandar Panzihua juga mencatatkan pengalaman tersendiri. Perjalanan yang melalui kawasan tanah tinggi berkedudukan 2,800 meter dari paras laut menyebabkan ada peserta yang mengalami masalah kesukaran bernafas.
Pengalaman pahit di China
Ketika di China, motosikal salah seorang peserta ekspedisi, Nahrawi dilanggar lori muatan pasir sewaktu rombongan berehat di sebuah stesen minyak sebelum memasuki Kyrgyztan.
“Nahrawi cuma mengalami cedera ringan, namun enjin motosikalnya mengalami kerosakan teruk dan terpaksa dibawa pulang ke Malaysia,” ujarnya.
Antara pengalaman pahit yang dialami sepanjang kembara tersebut ketika rombongan berada di Iran. Tiga peserta ekspedisi ditahan oleh pihak berkuasa negara tersebut kerana mereka merakam gambar di kawasan bandar.
“Mereka digari dengan mata ditutup sebelum dibawa ke balai polis untuk disoal siasat.
“Pasport dan kamera turut dirampas sebelum diserahkan semula ke Kedutaan Malaysia di Iran,” katanya.
Menurut Azman, saat kaki menjejakkan kaki di Mekah, pengalaman tersebut sukar digambarkan.
“Kami terhutang budi kepada banyak pihak khususnya Kementerian Luar yang memberi sokongan dan Kedutaan Malaysia di negara-negara yang kami singgah yang banyak memudahkan urusan kami.
“Penganjuran ekspedisi itu secara tidak langsung meyakinkan rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam bahawa pemergian ke Mekah melalui jalan darat bukanlah sesuatu yang mustahil,” jelas Azman.
PESERTA ekspedisi sempat singgah menikmati buah-buahan yang dijual peniaga tempatan Chengdu, China.
Sementara itu, salah seorang peserta, Senator Mohd. Khalid Ahmad, 56, bersyukur kerana pengembaraan yang dirancang berakhir dengan jayanya dan semua peserta pulang dengan selamat.
Menurut Mohd. Khalid, kejayaan itu dicapai melalui semangat berpasukan para peserta selain sokongan rakyat Malaysia.
“Perjuangan selama 55 hari dengan pelbagai ujian tidak sedikit pun mematahkan semangat, malah ia telah menjadi dorongan kepada kami untuk tiba di Mekah seperti yang dirancang.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan keselamatan peserta dari mula langkah pertama sehingga berakhirnya ekspedisi,” katanya.
Kepada Nahrawi, melalui kejayaan itu, beliau kini merancang untuk menganjurkan pengembaraan menunaikan haji pada tahun 2013.
Bagaimanapun, kembara itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
“Saya berharap impian untuk mengatur program menunaikan haji dengan pacuan empat roda mendapat sokongan daripada pelbagai pihak,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi peserta ekspedisi, Musa Mohammad, 42, mengakui berasa bertuah kerana berpeluang mengikuti ekspedisi yang julung-julung kalinya. Menyifatkannya sebagai satu pengalaman berharga, kembara itu memberi kesan yang mendalam pada dirinya untuk mendekatkan diri kepada Allah.
“Banyak yang saya pelajari melalui kembara ini, antaranya pengurusan masa. Contohnya, solat harus dilakukan pada awal waktu tanpa berlengah-lengah.
“Melalui pengembaraan ini juga saya rasa bersyukur berada di sebuah negara yang aman damai seperti Malaysia,” ujarnya.