Pages

Monday, October 18, 2010

Remaja sangka bungkusan mayat janin berisi wang




2010/10/18

KOTA KINABALU: Kes pembuangan bayi bagai tiada kesudahan apabila satu lagi janin bayi ditemui ditanam di kawasan lapang Pekan Lama Inanam berhampiran sebuah stesen minyak jam 10 malam kelmarin. 

Janin yang dianggarkan berusia dua bulan itu ditanam oleh satu pasangan dan ditemui remaja lelaki berusia 15 tahun curiga dengan kelakuan pasangan terbabit selepas dilihat tergesa-gesa membawa bungkusan ke kawasan itu.Ketika kejadian, remaja itu menunggu rakannya di kawasan berhampiran.Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria, berkata remaja itu melihat seorang wanita menggali tanah manakala pasangannya memerhati sekeliling sebelum meninggalkan kawasan itu. 

“Didorong rasa curiga, remaja terbabit menghampiri kawasan itu dan melihat kesan timbusan tanah. 

“Dia menggali tanah itu dan menemui bungkusan plastik hitam lalu membawanya pulang kerana menyangka ia wang yang cuba disembunyikan mereka. 

“Remaja itu bersama adiknya berusia sembilan tahun kemudian membuka plastik berkenaan dan terkejut selepas menemui ketulan daging yang kemudian disedari janin bayi. 
“Beliau dan bapanya melaporkan perkara itu kepada polis,” katanya di sini, semalam. 

Katanya, siasatan dilakukan bagi menentukan sama ada janin itu digugurkan secara paksa sebelum ditanam. 

Ahmad Sofi berkata, janin itu sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk bedah siasat dan hospital serta klinik swasta selain orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-242111 bagi membantu siasatan. 

15 batu misteri diterima keluarga Siti Balqis ghaib





2010/10/18

 WANITA UMNO DUN Jabi mengadakan majlis membaca surah Yasin beramai-ramai di rumah keluarga Siti Balqis.
WANITA UMNO DUN Jabi mengadakan majlis membaca surah Yasin beramai-ramai di rumah keluarga Siti Balqis.
JERTIH: Kegembiraan keluarga gadis misteri, Siti Balqis Mohd Nor, 22, mendapat 15 batu bernilai tinggi sejak Rabu lalu berakhir apabila batuan berkenaan didapati hilang semalam, selepas empat hari disimpan dalam bekas khas berisi air zamzam. 

Ibu gadis itu, Norizan Said, 47, berkata 14 daripada 15 batu bernilai antaranya zamrud, delima dan nilam sebesar duit syiling 20 sen tiba-tiba ghaib pagi semalam walaupun ia dikawal ketat oleh anak saudaranya, Mohd Zainuddin Mohamad, 42.Katanya, sebiji lagi batu bernilai diberikan kepada penasihat agama program Alam Ghaib TV3, Sharhan Shafie untuk membuat analisis terhadap penemuan batu berkenaan yang disifatkan kejadian aneh berlaku dalam rumah berkenaan.“Saya menyedari kehilangan batuan itu kira-kira jam 4 pagi tadi apabila melihat tempat menyimpan batu itu kosong. Makcik (Norizan) menugaskan saya menjaga batu-batu itu, tetapi terkejut ia hilang kerana tiada siapa yang boleh masuk ke dalam bilik itu kerana berkunci. 

“Mustahil batu bernilai tinggi itu dicuri manusia biasa kerana rumah ini turut dikawal ketat anggota polis peronda dari daerah ini,” katanya ketika ditemui. 

Sementara itu, Sharhan ketika dihubungi di Kuala Lumpur semalam, tidak terkejut dengan berita kehilangan 14 batuan mahal yang disimpan di rumah Siti Balqis, malah mengakui sebutir batu dalam simpanannya turut berdepan cubaan dilarikan jin pada malam sama. 

“Batu yang saya simpan juga hampir dighaibkan oleh jin pada malam sama, tetapi ia gagal dilarikan kerana saya sudah ‘memagar’ tempat simpanan batu permata dengan ayat suci al-Quran,” katanya. 
“Saya sudah syak batu permata dalam simpanan keluarga itu akan hilang kerana jin yang menjaga Siti Balqis didakwa berdendam disebabkan gagal untuk melarikan Siti Balqis selepas kawasan rumahnya dipagar menggunakan garam dan ayat suci al-Quran,” katanya. 

Sharhan mendakwa, beliau sendiri turut ternampak tangan jin berbulu sedang menarik bekas yang menyimpan batu di rumahnya, tetapi gagal. 

Tahanan Guantanamo ditawar pelacur





2010/10/18

MUKA depan buku Hicks (gambar kecil  atas penulis).
MUKA depan buku Hicks (gambar kecil atas penulis).
CANBERRA: Bekas tahanan Guantanamo, David Hicks, mengakui membuat pengakuan bersalah atas tuduhan terbabit dalam keganasan semata-mata untuk pulang ke tanah airnya, Australia, dalam bukunya yang bertajuk Guantanamo: My Journey. 

Dia juga menulis bahawa Amerika Syarikat menawarkan untuk mengurangkan tempoh tahanan sebagai tukaran mendapat maklumat mengenai al-Qaeda dengan menyeludup dadah dan menghantar pelacur untuk mendapatkan kerjasama tahanan.Dalam bukunya yang diterbitkan di Australia, kelmarin, Hicks, 35, menulis bahawa dia hanya mengaku salah atas dakwaan memberi sokongan material kepada al-Qaeda untuk keluar daripada pusat tahanan di Cuba.Dia berkata, satu-satunya pilihan yang ada ialah mengaku bersalah terhadap tuduhan jenayah meskipun tidak melakukannya atau membunuh diri. 

“Pengakuan bersalah ialah cara mengatakan sistem itu tidak adil dan saya tidak akan menang, bukan kerana saya pernah menyediakan sokongan kepada sebuah organisasi pengganas,” dia menulis. 

Terbaru, polis Australia sedang menimbang sama ada tahanan pertama Teluk Guantanamo untuk mengaku salah atas tuduhan melakukan keganasan perlu disaman untuk menyekatnya menerima sebarang keuntungan daripada buku biografi tulisannya. 

Hicks ditahan di Guantanamo lebih lima tahun sebelum membuat pengakuan pada 2007 yang mengembalikannya ke Australia untuk menjalani hukuman penjara sembilan bulan. 
Mengikut undang-undang Australia, penjenayah boleh disaman untuk mendapatkan wang yang ditentukan mahkamah persekutuan hasil jenayah mereka termasuk keuntungan tidak langsung daripada penulisan buku dan perjanjian membuat filem. 

Tidak jelas sama ada undang-undang itu layak dikenakan ke atas Hicks, oleh kerana dia mengaku bersalah di hadapan satu suruhanjaya tentera Amerika, sebahagian sistem keadilan yang dikritik secara meluas oleh peguam dan kerajaan sebagai tidak adil. 

Judy Jamieson-Green, jurucakap firma Random House Australia, enggan mengatakan sama ada Hicks akan mendapat keuntungan daripada jualan buku setebal 465 muka itu, yang dijual pada harga A$49.95 (RM152.68). 

“Ia bukan sesuatu yang saya boleh ulas. Ia adalah hal sulit antara Random House dan Hicks. Semua perkara berkaitan perundangan jelasnya adalah hal antara David dan peguamnya,” kata Jamieson-Green. – AP 

'Diracik, dimandi dan dikebumi'





EMPAT tahun lalu, Rahmat Mahdan, 52, sedih apabila melihat taburan kertas yang tertera ayat-ayat suci al-Quran di sebuah pusat pengumpulan barang kitar semula.
Perasaan sayu itu lantas membuatkannya terdetik untuk melakukan sesuatu.
Demi mengelakkan keadaan tersebut daripada terus berulang, dia berazam untuk mendapatkan ruang sempurna bagi mengurus dan menyelamatkan wahyu Allah itu daripada dibiarkan sebegitu.
Nalurinya ternyata gusar apabila memikirkan tentang sikap tidak peduli segelintir umat Islam mengenai perkara itu.
Memang adakalanya, ayat- ayat al-Quran yang sudah terkoyak daripada kitabnya atau daripada petikan bahan bacaan ilmiah lain tidak lagi boleh disimpan atau dimanfaatkan. Namun, membuang dengan sesuka hati bukanlah jawapannya.
“Masyarakat pada hari ini mudah menyerahkan segala urusan kitar semula menggunakan khidmat pengumpul surat khabar lama yang selalu datang ke kawasan kediaman dengan lori.
“Lebih menyayat hati apabila bahan bacaan yang hendak dilupus itu terkandung ayat-ayat suci al-Quran.
“Adakah mereka terfikir tentang ‘nasib’ kesucian wahyu Allah itu?” keluh pemilik dan peneraju syarikat Percetakan Saufi Sdn. Bhd. tersebut.
Dia bagaimanapun tidak menafikan faktor kesibukan urusan kerja menjadikan segolongan orang terlupa akan hal itu.
Rahmat mula berfikir panjang untuk berbakti atas matlamat melindungi kandungan al-Quran dan hadis Rasulullah.
LAMBAKAN al-Quran dan buku ilmiah menunggu waktu dilupuskan.


Sebagai langkah awal, Rahmat mengumpulkan pandangan daripada beberapa orang tokoh agama seperti Imam Satu masjid Wilayah Persekutuan, Ustaz Moghni Israri dan Pengetua Darul Quran Selangor, Ustaz Azahari Othman.
Malah, kunjungan tenaga pengajar dari Masjidil Haram, Mekah, Dr. Syeikh Md. Idrees Al-Mashrafe ke Malaysia juga menjadi peluang buat Rahmat merujuk kepadanya mengenai hal tersebut.
Selanjutnya, Rahmat mengambil inisiatif dengan melihat sendiri cara terbaik pelupusan al-Quran di beberapa buah negara terpilih.
“Tiga tahun lalu saya berkesempatan ke beberapa lokasi seperti Hanoi, Singapura, Indonesia dan Syria untuk menimba pengalaman kerana saya sangat berhajat untuk membuka tapak khas bagi pengurusan pelupusan ayat-ayat suci.
Memelihara dan melupus
“Ayat suci al-Quran ini tidak akan dicampurkan dengan sebarang bahan bacaan lain. Saya mahu memeliharanya sebaik mungkin dan melupuskannya dengan cara betul,” terangnya.
Rahmat juga memberitahu, kebiasaannya sesetengah orang Islam memilih untuk membakar dan menanam ayat-ayat suci itu.
Bagaimanapun, jika diamati, helaian kertas yang terdapat ayat al-Quran tidak mampu hancur sepenuhnya apabila ia dibakar dengan cara biasa.
Malah ketika dibakar, serpihan itu mudah berterbangan dengan kesan petikan ayat yang masih tertera. Jadi, proses itu tidak mampu melupuskannya dengan sempurna.
“Ramai yang pilih untuk membuat cara begitu, kemudian ditanam. Tetapi jika ia ditanam di kawasan yang cenderung menjadi laluan orang ramai, ia tetap meragukan kerana kalimah al-Quran tidak boleh dilangkah,” jelasnya yang antara lain mengingatkan orang ramai tentang ‘nasib’ potongan ayat al-Quran yang turut terdapat dalam sesetengah kad jemputan perkahwinan.
Hajat terlaksana
Berkat kesungguhan mengejar matlamatnya, Rahmat kini mampu menarik nafas lega kerana dikurniakan rezeki untuk menyediakan sebidang tanah sebagai tapak pelupusan al-Quran.
Terletak di Batu 10 Cheras, Kajang, Selangor, lokasi itu menempatkan sebuah gudang yang dipenuhi timbunan al-Quran lama, hadis dan buku pembelajaran agama.
Di situ, kelihatan dua orang pekerja wanita tekun mengoyakkan helaian buku satu persatu.
INSINERATOR rekaan Rahmat perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum proses pelupusan dimulakan.


“Kertas-kertas itu diasingkan mengikut kategori. Helaian al-Quran tidak dicampur dengan helaian bahan bacaan lain. Proses itu perlu dipastikan dahulu sebelum ia dimasukkan ke dalam mesin peracik khas,” ujarnya yang ketika ini menghadapi cabaran mendapatkan tenaga kerja yang mencukupi.
“Saya kadangkala terpaksa menolak jika ada pihak yang mahu menghantar bahan untuk dilupuskan dalam kuantiti yang banyak. Bukannya tidak mahu terima tetapi kapasiti gudang dan tenaga kerja saya belum mengizinkan.
“Tetapi kalau setakat sekotak dua, saya masih terima,” ujar Rahmat yang mempunyai pengalaman selama 23 tahun dalam bidang percetakan.
Sementara itu, sebuah mesin pembakar khas (insinerator) ditemui krew Kosmo! di luar gudang tersebut. Diperbuat daripada keluli tahan karat, rekaannya mendapat sentuhan idea Rahmat sendiri dan ditempah khas setelah menimba pengetahuan sepanjang lawatannya ke beberapa buah negara sebelum ini.
“Maaf, kos mesin ini tidak boleh saya dedahkan. Yang pasti, apabila kita mereka sendiri, ia lebih murah. Nilainya tidak penting, paling utama saya mahu mendapat sokongan masyarakat untuk sama-sama berkongsi menyelamatkan al-Quran,” katanya.
Suhu 700 darjah Celsius
Proses pembakaran dilakukan secara berkala iaitu dua kali seminggu. Setiap kali sesi membakar, mesin itu dipanaskan terlebih dahulu dan ia mengambil masa selama enam jam.
Tempoh itu diperlukan bagi mencapai tahap suhu sehingga 700 darjah Celsius dan ketika itu barulah kertas-kertas dimasukkan dan dapat dibakar sepenuhnya sehingga hancur. Untuk proses pembakaran yang selesai dalam masa 30 minit itu sahaja, sebanyak empat tong gas diperlukan.
“Hasil daripada pembakaran itu, bahan bakar itu menjadi abu yang kemudian terkumpul di bahagian bawah dan belakang mesin pembakar itu,” terang Rahmat yang lazimnya akan menyudahkan sendiri proses tersebut.

SEORANG petugas sedang meracik helaian kertas yang sudah diasingkan mengikut kategori.


Menurutnya, pendekatan seperti membuang abu ke laut tidak digunakan kerana ia mungkin berhadapan dengan masalah. Antaranya adalah abu tersebut tidak tenggelam atau mengalir dengan teratur.
“Faktor cuaca seperti angin juga boleh menolak haluan abu tersebut. Silap perhitungan, habis muka dan badan melekat dengan abu itu,” selorohnya sambil tergelak kecil.
Maka, langkah seterusnya adalah dengan meletakkan abu tersebut di dalam bekas dan ‘dimandikan’. Abu terbabit digaul rata dengan air untuk memudahkannya dimasukkan ke dalam tong.
Tanpa perlu tong-tong itu dibawa jauh, Rahmat telah pun menyediakan telaga khas di kawasan yang sama. Dibina sedalam 3.5 meter, telaga itulah tempat ‘persemadian’ akhir bagi abu tersebut.
“Kita akan ‘kebumikan’ abu tadi ke dalam telaga ini. Proses ini menjimatkan masa, tenaga dan pengangkutan kerana pengurusan satu tan abu boleh disiapkan dalam masa 20 minit,” jelasnya.http://www.kosmo.com.my

Uji kenderaan baru guna alat kawalan jauh



SEORANG wanita menguji sebuah kenderaan Mitsubishi Outlander Sport dengan menggunakan alat kawalan jauh di sebuah kawasan di California baru-baru ini.


LOS ANGELES - Pengeluar kenderaan Mitsubishi menjadi syarikat yang pertama di dunia membenarkan pelanggan menguji kenderaan utiliti sport (SUV) dengan menggunakan alat kawalan jauh, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Syarikat dari Jepun tersebut menggunakan teknologi yang membolehkan pelanggan-pelanggannya menguji kenderaan Outlander Sport tetapi dengan kelajuan cuma 48 kilometer sejam.
Ujian seperti permainan video itu merupakan yang pertama di dunia.
Kenderaan yang diuji itu dilengkapi dengan perkakasan alat kawalan jauh termasuk kamera dan Sistem Panduan Arah (GPS).
Pelanggan-pelanggan dikatakan boleh menguji kenderaan itu yang berharga AS$22,387 (RM69,052) dengan menggunakan alat kawalan jauh dari rumah. - Agensihttp://www.kosmo.com.my

Robot menari, menyanyi dengan kawalan tetikus



ROBOT wanita (tiga dari kanan) setinggi 1.58 meter menyanyi dan menari bersama beberapa penari lain di Ekspo Kandungan Digital di Tokyo semalam.


TOKYO - Penyelidik-penyelidik di Institut Lanjutan Sains dan Teknologi Jepun mencipta robot wanita yang boleh menyanyi dan menari serta dikawal dengan tetikus.
Robot yang dinamakan HRP-4C itu dipamerkan pada Ekspo Kandungan Digital di Tokyo semalam.
Dengan menggunakan tetikus komputer, pengguna dengan mudahnya boleh mencipta pergerakan robot itu seperti menari dan melompat.
Satu perisian yang dicipta akan mengira jangkaan pergerakan robot itu seperti bila ia bakal melompat.
"Dengan perisian itu, kita berharap akan menjadikan robot bergerak, menyanyi dan berjalan dalam satu pertunjukan fesyen. Kami mahu mencipta satu kandungan baru teknologi industri," kata seorang penyelidik dari institut itu, Shinichiro Nakazawa. - Agensihttp://www.kosmo.com.my

Misteri kereta dipandu ke laut


SEPARUH badan kereta Corvette ditenggelami air laut di Pantai Pasifik dekat San Diego, Amerika Syarikat pada Khamis lalu.


SAN DIEGO - Separuh badan kereta sport Corvette baru berharga AS$50,000 (RM154,225) ditenggelami air laut di Pantai Pasifik dekat sini selepas ia dipandu oleh seorang lelaki misteri, lapor sebuah akhbar semalam.
Beberapa saksi berkata, kereta berwarna kuning itu berpusing di pasir pantai sebelum kenderaan tersebut tersekat di dalam laut.
Seorang lelaki berumur 39 tahun dan isterinya berusia 36 tahun ditahan polis untuk disoal siasat sebelum mereka dihantar ke sebuah pusat pemulihan dadah.
Menurut pasangan itu, mereka menyewa kereta itu daripada syarikat Hertz.
Pasangan tersebut menyatakan, mereka pergi ke Pub West End di pantai itu dan berkenalan dengan seorang lelaki misteri yang namanya tidak diketahui.
Lelaki berkenaan memberitahu pasangan suami isteri itu bahawa dia tidak pernah memandu kereta sport tersebut.
Dia kemudian meminta kebenaran daripada pasangan itu untuk memandu kereta itu.
Apa yang menghairankan ialah pasangan suami isteri tersebut bersetuju membenarkan lelaki berkenaan memandu kereta Corvette itu.
"Mereka (pasangan suami isteri itu) menafikan mengetahui bagaimana kereta itu boleh memasuki air laut," kata seorang pegawai polis, Leftenan Andra Brown.
"Pasangan itu cuma mengakui mereka merupakan penumpang dalam kereta berkenaan," tambahnya.
Lelaki misteri yang memandu kereta itu kemudian menghilangkan diri dan polis kini memburunya.
Jika lelaki itu ditemui, dia mungkin terpaksa membayar kos polis, perkhidmatan helikopter dan jabatan bomba yang dipanggil ke tempat kejadian. - Agensihttp://www.kosmo.com.my

Jurugambar Britain menang syarikat filem lucah




LONDON - Seorang jurugambar Britain, Lara Jade Coton (gambar) menang ganti rugi £82,000 (RM252,929) dalam samannya ke atas sebuah syarikat filem lucah di Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.
Jurugambar itu menyaman syarikat filem lucah TVX Films dari Texas, AS selepas ia menggunakan gambarnya untuk kulit video cakera digital (DVD) tanpa kebenarannya.
Syarikat filem itu menggunakan gambar yang dirakamkan semasa dia berumur 14 tahun. Gambar tersebut disiarkan di Internet sebelum ia digunakan oleh syarikat penerbitan lucah itu.
Jurugambar itu yang kini berumur 21 tahun berkata: "Saya tidak mahu dikenali sebagai gadis industri filem pornografi. Saya berasa gembira kerana kes itu pada akhirnya selesai."
Menurutnya, kes itu yang difailkan di sebuah mahkamah di Tampa, Florida, AS bukan bertujuan untuk mendapatkan wang.
"Saya perlu mempertahankan hak saya dalam pekerjaan termasuk reputasi profesional dan peribadi saya," katanya. Hakim yang memberikan kemenangan kepada jurugambar itu menyatakan, imej tersebut memberikan gambaran seolah-olah gadis berkenaan bekerja dalam industri lucah. - Agensihttp://www.kosmo.com.my

Kereta buatan Jepun dirosakkan


BEBERAPA orang melihat sebuah kereta yang diterbalikkan penunjuk perasaan di bandar Mianyang, wilayah Sichuan, China semalam.


BEIJING - Para penunjuk perasaan semalam mengambil bahagian dalam hari kedua protes terhadap Jepun walaupun pemerintah China meminta rakyatnya bertenang.
Menurut sebuah agensi berita semalam, para penunjuk perasaan anti-Jepun membaling batu ke arah restoran Jepun, memecahkan tingkap kereta buatan negara itu dan bertempur dengan polis di bandar Mianyang, wilayah Sichuan.
Sikap penduduk China itu berlaku selepas hubungan ekonomi antara kedua-dua negara kian tegang pada bulan lalu.
Ketegangan itu bermula selepas pihak berkuasa Jepun menangkap seorang nelayan China apabila kapalnya berlanggar dengan bot peronda Jepun dekat sebuah pulau yang menjadi perebutan kedua-dua buah negara.
Pulau yang menjadi rebutan itu, Senkaku, mempunyai potensi simpanan minyak dan gas yang banyak di Laut China Utara.
Selepas tunjuk perasaan pertama berlaku kelmarin, pemerintah China semalam meminta rakyatnya bertenang namun ia tidak dihiraukan oleh penduduk di wilayah Sichuan.
"Kami menyatakan bahawa patriotisme sepatutnya disuarakan dengan rasional dan berdasarkan undang-undang. Kami tidak bersetuju dengan tindakan tidak rasional yang melanggar undang-undang dan peraturan," kata jurucakap Kementerian Luar China, Ma Zhaoxu. - Agensihttp://www.kosmo.com.my

Lelaki kahwin dua dalam tempoh 24 jam


AZHAR HAIDRI (kanan) duduk bersama saudara-maranya di Multan malam kelmarin.


MULTAN - Seorang pemuda Pakistan berumur 23 tahun, Azhar Haidri merancang untuk berkahwin dengan dua wanita dalam tempoh 24 jam. Rancangan itu mendapat perhatian ramai penduduk di Pakistan kerana pemuda tersebut mahu menyelesaikan dilema yang menghantui dirinya.
Dilema yang dihadapinya itu ialah dia jatuh cinta dengan seorang wanita berusia 21 tahun, Rumana Aslam.
Bagaimanapun, keluarganya mahu Azhar berkahwin dengan seorang wanita berumur 28 tahun, Humaira Qasim yang menjadi tunangnya sejak dia kecil.
Dia pada mulanya enggan untuk berkahwin dengan wanita pilihan keluarganya itu.
Namun, disebabkan ancaman kemungkinan keluarganya berpecah-belah, dia merancang untuk berkahwin dengan kedua-dua wanita tersebut.
"Saya membuat tawaran saya akan bernikah dengan kedua-duanya," kata Azhar sebelum dia bernikah dengan wanita pilihan keluarganya itu di bandar Multan semalam.
Menurutnya, kedua-dua wanita itu bersetuju untuk berkahwin dengannya.
Dia akan berkahwin dengan wanita pilihan hatinya itu pada hari ini.
Beberapa stesen televisyen di Pakistan merancang untuk membuat liputan majlis perkahwinan Azhar secara langsung kerana ia dianggap unik.
Kedua-dua wanita itu menyatakan mereka berpendapat tolak ansur merupakan satu cara penyelesaian yang terbaik.
Mereka merancang untuk hidup sebagai kakak dan adik serta rakan.
"Saya berasa gembira kerana kami akan menyintai lelaki yang sama," kata Rumana.
Azhar yang merupakan seorang pengamal perubatan herba menganggap dirinya bertuah.
"Adalah sesuatu yang jarang berlaku apabila dua wanita bersetuju untuk berkahwin dengan seorang lelaki," katanya. - APhttp://www.kosmo.com.my