Pages

Saturday, March 3, 2012

Wajah bengkak seperti bola selepas guna pewarna rambut


LONDON: Seorang wanita muda yang gemarkan gaya wajah baru mengalami kecacatan penglihatan buat sementara waktu dan dirawat di hospital selama tiga hari ekoran tindak balas pewarna rambut yang dibelinya di pasar raya.

Wajah Carmen Rowe membengkak seperti “bola” selepas menggunakan pewarna rambut hitam Clairol “Nice n Easy” yang dibelinya di sebuah pasar raya tempatan di Asda. Dia dimasukkan ke Hospital Morriston Swansea keesokan harinya selepas mengalami wajah bengkak menyebabkan dia tidak dapat melihat. Bagaimanapun, wanita berusia 25 tahun itu berkata, dia menjalankan ujian pada kulit 48 jam sebelum menggunakan pewarna itu tanpa menghadapi sebarang masalah dan telah mewarnakan rambutnya sejak dia berusia 13 tahun.


Carmen akhirnya dibenarkan keluar dari hospital selepas tiga hari rawatan apabila bengkak di wajahnya surut dengan pengambilan steroid dan antibiotik. Namun, dia dimasukkan semula ke hospital sebanyak empat kali bulan seterusnya selepas mengalami sakit dan bengkak di wajahnya. Doktor akhirnya mengesan tindak balas alahan terhadap Paraphenylenediamine di dalam pewarna rambut itu.

Carmen dari Swansea berkata: “Saya bangun dan kepala saya bengkak hingga sya tidak dapat melihat. Saya sudah menjadi buta.


“Saya lihat ke cermin dan separuh daripada wajah saya sudah bengkak. Kelihatannya separuh daripada kepala saya bagaikan telah dipam menjadi sebiji bola. “Saya terus ke hospital dan ketika sampai di sana, kepala saya makin membengkak, malah telinga saya juga menjadi besar. Doktor menahan saya di wad serta-merta.


“Perkara paling teruk ialah apabila kepala saya mula keluar nanah. Saya terpaksa membungkus kepala dengan tuala, ia cukup teruk dan baunya seperti anjing basah,” katanya.

“Saya tahu remaja sering mewarnakan rambut mereka pada usia 13 atau 14 tahun dan ia mungkin bahaya untuk mereka.


“Saya hanya ingin memberi amaran kepada ibu bapa apa yang mungkin terjadi. Ia adalah alahan yang boleh berlaku bila-bila masa saja,” katanya

myMetro | Wajah bengkak seperti bola selepas guna pewarna rambut: "p"

'via Blog this'

Tusuk pemutar skru di kepala isteri

Seorang pakar menunjukkan kecederaan wanita malang itu.

TAMIL NADU - Pergaduhan suami isteri di Madurai, India, berakhir dengan tragedi menyakitkan apabila si suami yang begitu marah bertindak menusuk sebatang pemutar sru bersaiz sederhana ke kepala isterinya.

Pakar bedah saraf, D.K Selvamuthukumaran memberitahu, wanita berumur 35 tahun itu dalam keadaan separa sedar dan tidak mampu bertutur ketika dimasukkan ke Pusat Penyelidikan dan Hospital Madurai Meenakshi, dua minggu lalu.

Selain menembusi otak mangsa, pemutar skru sepanjang 22 sentimeter (cm) itu turut menikam tengkorak sebelah kirinya,

“Doktor mengambil masa kira-kira lima jam untuk mengeluarkan pemutar skru yang ditusuk melalui lubang hidungnya,” katanya yang turut menambah mangsa masih hidup selepas sekumpulan doktor berjaya merawat pendarahan di kepalanya itu.

Tusuk pemutar skru di kepala isteri - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Black Madam akan didakwa

PHILADELPHIA: Seorang wanita yang menggelar dirinya ‘Black Madam’ mungkin berhadapan dengan tuduhan dalam kes kematian seorang pelancong London yang menjalani suntikan membesarkan pinggul secara haram di sebuah hotel di sini tahun lalu.

Padge Victoria Windslowe, 42, ditangkap Rabu lalu ketika dia bersiap untuk menganjurkan ‘parti mengepam,’ di mana dia akan meyuntik pelanggannya.

Dia berdepan dengan tuduhan melakukan serangan yang menyebabkan kematian dan menjalankan amalan yang mengelirukan apabila seorang pelanggannya, penari bogel, mengalami masalah peparu serius selepas disuntik, kata jurucakap polis Philadelphia, Lt John Walker.

“Padge adalah ‘orang yang mempunyai kepentingan’ dalam kematian wanita berusia 20 tahun dari London yang menerima suntikan di sebuah hotel berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia,” kata Walker.


Menurutnya, Padge kemungkinan besar akan didakwa atas tuduhan membunuh dalam kes itu jika pegawai perubatan memutuskan suntikannya menyebabkan kematian Claudia Aderotimi.


“Claudia mengadu sakit dada dan sukar bernafas selepas suntikan itu.

“Sejak tahun lalu kami tahu Padge yang menyuntik Claudia.

“Tetapi siasatan tertangguh kerana polis menunggu keputusan mengenai punca kematian wanita London itu,” kata Walker.

“Pemeriksa Perubatan Delaware County, Fredric Hellman berbincang dengan pendakwa raya dan berusaha untuk menyelesaikan kes kematian Claudia Aderotimi secepat mungkin,” kata jurucakapnya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, Hellman masih menanti keputusan ujian daripada makmal Pentadbiran Makanan dan Dadah.

Sejak beberapa tahun lalu, pelbagai laporan diterima berkait dengan kes suntikan kosmetik secara haram di New York, Los Angeles dan beberapa negeri lain.

Solange Magnano, model dan bekas Ratu Cantik Argentina, mati di Buenos Aires pada 2009 selepas menghadapi masalah kesihatan setelah menjalani suntikan untuk membesarkan pinggulnya. - Reuters


myMetro | Black Madam akan didakwa:

'via Blog this'

Putin selar Barat kerana sokong pemberontak Syria

myMetro | Putin selar Barat kerana sokong pemberontak Syria: "MOSCOW: Perdana Menteri Russia, Vladimir Putin semalam menyelar Barat kerana menyokong kumpulan pembangkang Syria dalam menentang kerajaan.

Menurutnya, tindakan itu memburukkan lagi konflik di negara berkenaan.


Pada masa sama, pemimpin Russia itu menggesa kerajaan Syria dan penentangnya berundur dari bandar-bandar yang dikepung bagi mengakhiri pertumpahan darah.

Menurutnya, keengganan Barat untuk mendesak penentang Presiden Bashar Al-Assad, menggalakkan mereka untuk terus melancarkan pemberontakan bersenjata.


“Adakah mereka mahukan Bashar mengundurkan tenteranya supaya kumpulan pendatang dapat mengambil alih?” tanya Putin ketika pertemuannya dengan pengarang beberapa akhbar terkenal Barat.


Putin mencemuh permintaan Barat kepada Bashar dengan berkata, perkara selanjutnya yang mereka mahukan pemimpin Syria itu lakukan ialah memakai baju hujan diperbuat daripada kayu dan memainkan muzik di rumahnya.

“Bashar tidak boleh mendengar muzik itu kerana ia adalah hari pengebumiannya. Bashar tidak sekali-kali akan bersetuju terhadap permintaan Barat itu,” kata Putin. - AP"

'via Blog this'

Keselamatan Zionis tanggungjawab AS

NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam menyifatkan sokongan negaranya terhadap Israel sebagai sesuatu yang tidak boleh persoalkan.

Menjelang pertemuannya dengan Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu, Obama juga berkata, beliau mahukan Israel mengekalkan kelebihan kekuatan tenteranya.

Kedua-dua pemimpin itu dijangka menjadikan program nuklear Iran sebagai topik utama pada perbincangan mereka di Rumah Putih, Isnin depan.

Dalam ucapannya pada kempen pungutan derma untuk pilihan raya semula di New York, Obama turut membincangkan mengenai perubahan geopolotik hasil daripada kebangkitan rakyat di dunia Arab.


“Satu daripada matlamat jangka panjang kita di rantau itu ialah untuk memastikan komitmen kita yang tidak boleh dipersoalkan terhadap keselamatan Israel bukan saja dari segi melengkapkan keupayaan tentera yang ia perlukan dan bukan setakat menyediakan kelebihan kualitatif dari segi ketenteraan untuk negara itu,” kata Obama.


Amerika Syarikat juga perlu bekerjasama dengan Israel untuk mewujudkan keamanan yang berkekalan di rantau berkenaan. Dan itu satu cabaran, katanya.

Ketika beliau berbincang mengenai dasar luar, seorang wanita menjerit: “Gunakan kepimpinan anda! Jangan berperang di Iran!”

Obama tersenyum dan menjawab dengan berkata: “Tidak ada siapa yang mengisytiharkan peperangan, wanita muda. Anda terlalu cepat membuat andaian.”

Obama juga mengesyorkan supaya proses damai Israel-Palestin dihidupkan semula sebagai satu langkah ke arah mewujudkan keamanan yang berkekalan di Asia Barat.

Ketika ini, hubungan baik dengan Palestin kurang menjadi tumpuan bagi Israel kerana pemimpinnya memberi lebih banyak tertumpu kepada rancangan melancarkan serangan terhadap kemudahan nuklear Iran. - AP


myMetro | Keselamatan Zionis tanggungjawab AS:

'via Blog this'

Si Lanun cacat kembali beraksi

TRAGEDI...Padilla dirodok tanduk lembu selepas jatuh ke tanah.
TRAGEDI...Padilla dirodok tanduk lembu selepas jatuh ke tanah.
PADILLA nekad untuk muncul semula di gelanggang esok.
PADILLA nekad untuk muncul semula di gelanggang esok.

BARCELONA: Seorang matador Sepanyol yang hilang mata kirinya akibat dirodok lembu akan kembali bertarung semula di gelanggang hujung minggu ini dengan memakai penutup mata.

Juan Jos� Padilla yang kini digelar sebagai “Si Lanun” akan mempertaruhkan nyawanya selepas lima bulan dia dilihat terhoyong-hayang keluar dari gelanggang Zaragoza dengan berlumuran darah sambil menjerit “saya tidak dapat melihat”.


Walaupun dia berkata, dia sudah “bersedia sepenuhnya”, dia mengakui mungkin terdapat elemen bahaya tambahan kerana dia tidak dapat melihat jika lembu itu berada di sebelah kirinya.

Padilla, 38, cedera Oktober lalu selepas dia jatuh ke tanah sebelum tanduk lembu merodok rahangnya dan keluar melalui matanya.


Penonton perlawanan lembu Fiesta Del Pilar Zaragoza di gelanggang Misericordia terkejut dengan insiden itu. Dia kemudian menjalani pembedahan selama lima jam untuk memulihkan kerosakan teruk pada mata, tulang, otot dan kulit manakala wajahnya diperbetulkan semula menggunakan plat titanium dan jaring. Padilla akan melakukan perlawanan profesionalnya yang pertama esok sejak insiden itu di bandar Olivenza di barat Sepanyol. Dia berkata: “Ahad ini bagaikan impian menjadi nyata selepas beberapa bulan yang sukar dan saya sedar sepenuhnya tiada siapa menyangka saya akan kembali ke gelanggang,” katanya. Isteri Padilla, Lidia dan dua anaknya dikatakan menjadi penyebab di sebalik kemunculan semula itu tetapi dia berkata: “Ibu bapa saya tidak faham mengapa saya ingin kembali ke gelanggang,” katanya. Dia juga mendedahkan dia berasa sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan itu dan telah membunuh 10 ekor lembu di ladang persendirian sebagai latihan. Ia bukan kali pertama Padilla, matador popular yang memenangi hati ramai peminat kerana ketabahan dan kerelaannya untuk menghadapi lembu paling liar, cedera dirodok.


Pada 2001, penduduk asal Jerez itu mengalami kecederaan parah di lehernya ketika perlawanan di Pamplona.

Kemunculannya semula ke gelanggang dilakukan ketika perdebatan sengit mengenai sukan lawan lembu di Sepanyol berterusan dengan penyokong berkata, ia adalah kunci utama budaya negara itu dan pengkritik pula mendakwa ia satu kekejaman terhadap haiwan.


Keadaan itu mendapat tekanan sejak bermula krisis ekonomi pada 2007, apabila pembiayaan awam untuk mempromosikan sukan lawan lembu itu dipotong dan wilayah Catalonia mengharamkannya pada tahun lalu.

myMetro | Si Lanun cacat kembali beraksi:

'via Blog this'

Undi Parlimen uji Ahmadinejad

Berita Harian Online | Undi Parlimen uji Ahmadinejad: "TEHRAN: Iran semalam memilih Parlimen baru dalam undian yang dianggap satu ujian baru kepada Presiden Mahmoud Ahmadinejad khususnya di kalangan golongan konservatif sejak pertikaian keputusan undi meletus pada 2009 yang memberi kuasa semula kepada Ahmadinejad.

Pemilihan kali ini adalah untuk mengisi 290 kerusi parlimen tetapi diboikot pembangkang utama dan kumpulan reformis selepas pemimpin mereka dikenakan tahanan rumah sejak setahun lalu.
Pemimpin agung Ayatollah Ali Khamenei, mengundi sejurus selepas pilihan raya bermula dengan menggesa 48 juta pengundi mengambil bahagian bagi menyokong ‘masa depan, prestij, keselamatan dan kekebalan negara,’ lapor televisyen tempatan.
Pengundian kali ini pada dasarnya adalah perjuangan antara konservatif yang menyokong Ahmadinejad dan pembangkang tegar yang membencinya. Masing-masing mendakwa kesetiaan tidak berbelah bagi kepada Khamenei.

Tidak seperti 2009 apabila kemenangan Ahmadinejad dipertikaikan, bantahan tidak dijangka dalam pengundian kali ini.

Namun, ketua polis Iran, Ismail Ahmadi Moghaddam, berkata pasukan keselamatan sedia menghadapi sebarang masalah. – AFP"

'via Blog this'

Kebencian terhadap Obama meluap

PENYIASAT Arpaio menunjukkan beberapa perkara meragukan dalam sijil lahir Obama.
PENYIASAT Arpaio menunjukkan beberapa perkara meragukan dalam sijil lahir Obama.
Syerif dakwa sijil lahir presiden AS palsu, iklan stesen kereta api guna bahasa kasar

PHOENIX: Seorang Syerif di pejabat Syerif Maricopa County, Arizona, Joe Arpaio, 80, mendakwa, siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati bahawa sijil kelahiran Presiden Barack Obama adalah palsu.

“Hasil daripada siasatan terperinci yang dijalankan kakitangan saya selama enam bulan, saya percaya bahawa sijil kelahiran Obama dicetak menggunakan komputer,” katanya.
Arpaio, seorang anggota Republikan yang disifatkan sebagai syerif paling lantang bersuara, menggesa Kongres menyiasat penemuannya, termasuk undang-undang menyatakan bahawa mereka yang memalsukan dokumen melakukan dua jenayah, iaitu menghasilkan dokumen palsu dan mengemukakannya kepada umum.
“Saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak menuduh presiden Amerika sekarang melakukan jenayah, tetapi ada banyak persoalan yang memerlukan jawapan. Kami berhasrat meneruskan siasatan bagi mendapatkan jawapan itu,” katanya.

Pada April 2011, Obama mengemukakan butiran terperinci sijil kelahirannya dalam usaha meredakan spekulasi dikalangan anggota Republikan bahawa beliau tidak dilahirkan di Amerika, syarat yang diperlukan perlembagaan untuk menyandang jawatan presiden.

Arpaio berkata, siasatan dijalankan oleh lima anggota sukarela selepas menerima permintaan daripada kumpulan pelobi politik Tea Party di kawasan Phoenix.
Rumah Putih berulang kali menafikan dakwaan bahawa Obama tidak dilahirkan di Amerika.
Sementara itu, lain pula halnya di Stesen Kereta Api Bawah Tanah Dupont Circle Metro (DC Metro Station) Washington, apabila satu papan iklan yang mengkritik program pembaruan penjagaan kesihatan Obama, diakhiri dengan kata-kata ‘pergi jahanam Barack!’

“Barack Obama mahu ahli politik dan birokrat menguasai keseluruhan sistem perubatan di Amerika. Pergi jahanam Barack,” kata kenyataan awal iklan itu sebelum diakhiri dengan ayat itu.

Seorang anggota Kongres Demokrat dari Virginia, Jim Moran, menulis surat kepada Pengarah Urusan Metro, menggesa beliau menurunkan iklan terbabit.

“Iklan itu menunjukkan sikap biadab terhadap presiden Amerika dan tidak dimiliki pihak berkuasa Pengangkutan Metropolitan Washington (WMATA),” katanya.

Bagaimanapun, WMATA berkata, bahasa yang digunakan di dalam iklan terbabit boleh digunakan dan dilindungi di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika yang menjamin kebebasan bersuara.

“Iklan WMATA tertakluk di bawah undang-undang forum umum dan dilindungi perlembagaan,” kata pihak berkuasa Metro dalam satu kenyataan. – Reuters/AFP
Berita Harian Online | Kebencian terhadap Obama meluap:

'via Blog this'

Gantung kertas pada leher semasa mengemis



FABRICIO VIEIRA menggantung sekeping kertas pada lehernya semasa dia meminta wang daripada penumpang sebuah tren di Lisbon kelmarin.


LISBON, Portugal - Seorang lelaki berusia 30 tahun, Fabricio Vieira sanggup mengemis di dalam sebuah tren di sini kelmarin.
Dia yang kini menganggur menggantung sekeping kertas pada lehernya semasa dia mengemis meminta wang di dalam tren itu.
Kertas itu tertulis mesej yang menyatakan dia memerlukan pertolongan untuk membeli makanan.
Vieira yang mengalami kecacatan mendakwa dia kadangkala terpaksa tidur di tepi jalan kerana tidak mampu menyewa kediaman.
Pengangguran di 17 buah negara Eropah yang menggunakan mata wang euro melonjak kepada 10.7 peratus pada Januari lalu sekali gus menjadi kadar tertinggi sejak penubuhan zon mata wang berkenaan pada tahun 1999. - Agensi

Salji turun di Masjid Al-Aqsa


TIGA penduduk Palestin bermain salji di sebuah taman di Baitulmuqaddis semalam.


BAITULMUQADDIS - Masjid Al-Aqsa dan sebahagian besar Israel serta wilayah-wilayah di Palestin semalam dilitupi salji buat kali pertama dalam tempoh empat tahun.
Salji lebih tebal dilaporkan turun di rantau Galilee, utara Israel dan kawasan Hebron Tebing Barat.
Stesen radio Israel melaporkan bahawa sekolah-sekolah di kawasan yang paling teruk terjejas disebabkan salji telah ditutup manakala perkhidmatan bas antara bandar juga dibatalkan.
Timbunan salji setebal lebih tiga meter dicatatkan di puncak Gunung Hermon di kawasan Bukit Golan yang dikuasai Israel sejak salji turun pada Rabu lepas.
Fenomena tersebut adalah yang pertama kali berlaku sejak salji tebal turun di bandar ini pada musim sejuk 2008. - AFP

Lebih 20,000 penduduk Syria terperangkap



GAMBAR yang disiarkan di stesen televisyen Syria TV semalam menunjukkan beberapa buah bangunan diliputi salji di Baba Amr di bandar Homs.


DAMSYIK - Satu konvoi bantuan pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) melakukan persediaan untuk memasuki kawasan penduduk Baba Amr di bandar Homs semalam, sehari selepas tentera Presiden Bashar Al-Assad menyerang bandar berkenaan sekali gus menamatkan kepungan selama empat minggu.
Lebih 20,000 orang awam dipercayai terperangkap di daerah berkenaan ekoran serangan berterusan tentera pemerintah.
Seorang jurucakap ICRC berkata, pihaknya dan pertubuhan Bulan Sabit Merah Syria bersedia memasuki Baba Amr dengan membawa tujuh buah trak sarat dengan bekalan bantuan kemanusiaan.
"Kami bersiap sedia untuk memasuki daerah Baba Amr," kata jurucakap ICRC, Sebastien Carliez di Geneva.
Perkembangan tersebut berlaku selepas pihak pemberontak menyatakan mereka berundur dari Baba Amr kelmarin, hari kedua serangan darat yang dilancarkan Divisyen Perisai Keempat yang diketuai oleh adik Presiden Bashar, Maher.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy membidas serangan ke atas Baba Amr yang disifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.
"Lebih 8,000 orang terbunuh termasuk beratus-ratus kanak-kanak dengan bandar Homs berdepan risiko hilang dari peta dunia," kata Sarkozy. - Agensi