Pages

Monday, May 2, 2016

Keajaiban dunia ke-8 ditemui?

Keajaiban dunia ke-8 ditemui?

25 APRIL 2016 SEORANG pemburu emas Nazi, mendakwa bahawa dia telah menemui harta karun peninggalan Nazi pada era Perang Dunia Kedua yang dianggarkan bernilai  £350 juta.
Kurator Muzium, Bartlomiej Plebanczyk percaya, dia telah menemui bilik bawah tanah yang sebelum ini tidak diketahui orang, selepas dia menggeledah kompleks terowong Nazi dan kubunya.
Harta karun yang dikenali sebagai bilik 'Amber' itu berusia 300 tahun yang terletak di Catherine Palace, berhampiran St. Petersburg, hilang lebih daripada 70 tahun yang lalu dengan beberapa saksi mendakwa mereka pernah melihat  'harta'  itu sedang dimuatkan ke dalam kapal Jerman.
Sementara itu, Plebanczyk mendakwa penemuannya  itu adalah harta karun yang pernah disebut-sebut sebagai Keajaiban Dunia ke-8.
Dalam pada itu, memetik media tempatan Plebanczyk kini sedang memohon keizinan  untuk menggali lebih ke dalam  ruang bilik bawah tanah itu, agar membolehkannya  memasukkan kamera video untuk meninjau keadaannya.
"Saya akan cuba menggunakan radar, bagi membolehkan saya menyelongkar lebih lagi.
"Saya perlu menggerudi bilik bawah tanah itu dan akan cuba menurunkan video di sana.
"Bagaimanapun, saya perlu menunggu persetujuan pegawai pemuliharaan sejarah tempatan," katanya dipetik Express.co.uk

Lelaki cipta ‘basikal terbang’



FURZE dirakam terbang dengan hoverbike yang dibina menggunakan kerangka basikal. - AGENSI


LONDON – Seorang lelaki Britain mencipta sebuah kenderaan futuristik yang dinamakan sebagai hoverbike dan boleh bergerak di udara menggunakan dua buah kipas baru-baru ini.
Colin Furze yang mencipta hoverbike itu menyifatkannya sebagai kenderaan paling hebat pernah ditunggangnya. Penciptaan kenderaan itu dibina berdasarkan cadangan daripada beribu-ribu penonton yang mahu dia mencipta mesin boleh terbang.
Furze mencipta mesin itu menggunakan dua buah kipas besar yang dihadapkan ke bawah dan disambungkan kepada dua buah motor serta sebuah rangka basikal. Kipas tersebut digunakan untuk membolehkan kenderaan itu terapung dan berlegar di udara.
Empat rakaman video yang dimuat naik di laman perkongsian video YouTube menunjukkan cara pembinaan kenderaan itu serta hasil terakhir yang diperoleh Furze.
Berdasarkan video terakhir yang dimuat naiknya, Furze dilihat mengendalikan mesin yang sukar dikawal itu di sebuah padang. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz47UJcp53d 
Hakcipta terpelihara 

Wanita 100 tahun jadi model iklan fesyen


GILBERT dipilih menjadi model iklan bagi butik Harvey Nichols sempena meraikan ulang tahun majalah Vogue yang ke-100.


LONDON – Sebuah butik terkemuka di sini memilih seorang model berusia 100 tahun untuk memperagakan koleksi pakaiannya di dalam iklan majalah terkemuka, Vogue baru-baru ini.
Butik Harvey Nichols itu memilih warga emas tersebut, Bo Gilbert sempena meraikan ulang tahun bersejarah majalah berkenaan yang ke-100 pada tahun ini.
Ketika sesi penggambaran dijalankan, Gilbert berjaya membuktikan golongan tua masih boleh bergaya tanpa rasa takut pada usia lanjut serta menangani masalah penuaan dalam industri fesyen.
Gambar itu dirakam oleh jurugambar, Phil Poynter yang bekerja dengan butik-butik fesyen terkenal seperti Prada, Louis Vuitton dan Lacoste.
Gilbert dilihat sangat bergaya apabila dia mengenakan kot berwarna merah jambu, seluar berwarna putih dan busana Victoria Beckham serta memakai cermin mata Valentino.
“Saya agak terkejut selepas melihat gambar-gambar yang dirakam itu kerana saya kelihatan sangat cantik walaupun telah tua,” kata Gilbert.
Selain itu, Gilbert akan beraksi dalam satu filem pendek yang dihasilkan butik tersebut dan kempen iklannya turut dipaparkan dalam keluaran bulan Jun bagi Vogue edisi Britain.
Pada April lalu, majalah Vogue edisi Britain memilih penyanyi terkenal, Rihanna sebagai penghias muka depan mereka. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz47UIm9skW 
Hakcipta terpelihara 

Pulangkan buku selepas 67 tahun


AUCKLAND 1 Mei – Seorang wanita di New Zealand terlepas daripada dikenakan denda sebanyak AS$17,000 (RM66,538) gara-gara lewat memulangkan buku yang dipinjam daripada sebuah perpustakaan di sini selama 67 tahun.
Perpustakaan Awam Epson berkongsikan rekod yang menunjukkan tarikh asal seorang pelanggannya meminjam sebuah buku sebelum dipulangkan semula selepas 67 tahun. AGENSI
Menurut kenyataan Perpustakaan Awam Epsom, wanita yang dirahsiakan namanya itu turut memulangkan kad asal pinjaman buku berkenaan yang tertera tarikh 17 Disember 1948.
“Seorang pelanggan datang ke perpustakaan dan memulangkan buku yang dipinjam sejak 67 tahun lalu.
“Dia mengaku tidak sengaja membawa buku tersebut apabila berpindah ke Auckland bersama keluarganya,” jelas kenya­taan itu.
Staf perpustakaan, Zoe Cornelius berkata, buku tersebut berada dalam keadaan baik apabila dipulangkan dan wanita berkenaan tidak dikenakan sebarang denda lewat memandang­kan dia meminjam buku terbabit ketika masih kanak-kanak.
“Kanak-kanak tidak tertakluk pada peraturan tersebut, jadi dia terlepas daripada denda.
“Dia berasa malu kerana lewat memulangkan buku ber­kenaan, tetapi turut berasa gembira kerana telah banyak kali membaca bahan bacaan tersebut sejak berpuluh-puluh tahun lalu,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pulangkan-buku-selepas-67-tahun-1.304530#sthash.48JIwrCW.dpuf

Mayat sami disadur dengan emas

In this photo taken March 16, 2016, a man takes a photo of the

gambar bertarikh 16 Mac lalu memaparkan jasad Fu Hou yang disadur dengan lapisan emas di Quanzhou, tenggara China. – AGENSI
FUJIAN 1 Mei – Seorang sami me­nerima penghormatan daripada sebuah tokong di Quanzhou, tenggara China apabila mayatnya yang telah diawet disadur dengan emas, baru-baru ini.
Menurut laman Daily Mirror, Fu Hou meninggal dunia pada 2012 ketika berusia 94 tahun.
Jasadnya sebelum itu telah diawet dan disimpan di dalam sebuah bekas besar.
Hou dikatakan menerima penghormatan tersebut kerana telah menghabiskan sebahagian besar hayatnya di Tokong Chongfu selepas mula menjadi sami pada umur 17 tahun.
Sebaik sahaja disahkan mati, mayatnya terus dibersihkan dan diawet oleh dua pakar sebelum dimasukkan ke dalam bekas besar itu dalam keadaan bertafakur.
Akhbar The Telegraph melaporkan, upacara ‘pengebumian sementara’ itu dibuat mengikut agama Buddha sepenuhnya.
Selepas beberapa tahun ‘di­semadikan’ dalam bekas besar itu, jasad Hou yang masih berada dalam keadaan yang baik itu dikeluarkan.
Proses menyadur mayatnya dengan lapisan emas dimulakan dengan membersihkan jasad Hou dengan alkohol sebelum tubuhnya dibalut dengan beberapa helaian kain.
Jasad Hu seterusnya disapu dengan sejenis syelek khas sebelum disadur dengan emas di Tokong Puzhao sebagai penghormatan terhadap sami berkenaan.
Keseluruhan proses tersebut mengambil masa tiga bulan dan ja­sad Hou akan dipamerkan di Tokong Chongfu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mayat-sami-disadur-dengan-emas-1.304555#sthash.CNFC2iek.dpuf