Pages

Friday, December 17, 2010

Patung Rom berusia 2,000 tahun ditemui


SEORANG ahli arkeologi melakukan kerja-kerja pemindahan patung wanita tanpa kepala yang ditemui di tepi pantai Ashkelon, Israel kelmarin.


ASHKELON - Sebuah patung bersejarah ditemui di tepi pantai di sini selepas ribut selaju 96 kilometer sejam dengan ombak setinggi 12 meter melanda Israel pada minggu ini.
Semalam, sebuah akhbar melaporkan patung wanita tanpa kepala yang memakai jubah, seberat 200 kilogram , ditemui pada Selasa lepas di sebuah lereng di tepi pantai di sini, kira-kira 32 kilometer ke selatan Tel Aviv kelmarin.
Artifak itu dipercayai diukir ketika Israel ditakluki oleh Empayar Rom kira-kira 2,000 tahun lalu.
Penemuan menakjubkan itu yang ditemui oleh seorang penduduk tempatan akan dipamerkan di sebuah muzium di Israel.
"Patung itu jatuh ke dalam laut apabila lereng bawah laut di sini runtuh dan ia dihanyutkan ke tepi pantai," kata seorang penyelidik tempatan, Yigal Israeli. - Agensi

Wanita bogel naik bas di Singapura




GAMBAR yang disiarkan asianoneNews menunjukkan aksi seorang wanita bogel yang menunggu dan menaiki sebuah bas di Bedok, Singapura kelmarin.




SINGAPURA - Seorang wanita bogel dilihat menaiki sebuah bas di Bedok kelmarin, lapor asiaoneNewssemalam.
Gambar-gambar wanita itu berbogel menaiki sebuah bas dengan membawa beg di bahunya disiarkan di laman berita akhbar berkenaan.
Beberapa saksi memberitahu akhbar Lianhe Wanbao bahawa mereka melihat seorang wanita pertengahan umur menanggalkan pakaiannya sehelai demi sehelai semasa dia mendekati sebuah perhentian bas di Bedok pada petang kelmarin.
Akhbar berbahasa Cina itu melaporkan bahawa perhentian bas tersebut dipenuhi dengan orang ramai yang merenung aksinya.
Lima minit selepas menunggu, sebuah bas tiba dan beberapa saksi menyatakan dia berjalan di depan orang ramai untuk menaiki bas berkenaan.
Pemandu bas itu menghubungi polis apabila melihat wanita itu menaiki basnya dalam keadaan bogel.
Ekoran situasi itu, pemandu bas tersebut mengarahkan semua penumpang lelaki duduk di kerusi depan manakala wanita berkenaan duduk di kerusi bahagian belakang bas.
Salah seorang penumpang memberikan sehelai jaket kepada wanita tersebut untuk menutup tubuhnya.
Anggota-anggota polis kemudiannya menahan wanita tersebut dalam episod yang berlaku selama 45 minit.
Kejadian terbaru itu mencetuskan persoalan di negara berkenaan sama ada semakin ramai penduduk suka berbogel di tempat awam.
Sebelum wanita itu, seorang lelaki berumur dalam lingkungan 20-an dan 30-an didapati berbogel di restoran MacDonald's di Queensway, Singapura untuk memesan secawan kopi.
Namun, dia kemudiannya turut ditangkap polis pada awal minggu ini. - Agensi

Hulk Hogan kahwin wanita berusia 25 tahun



HULK HOGAN dan Jennifer McDaniel yang dikahwininya di pantai Clearwater, Florida pada Selasa lalu.


PANTAI CLEARWATER, Florida - Pengusti terkenal yang menjadi ikon ramai peminat, Hulk Hogan mengahwini teman wanitanya yang berusia 25 tahun, Jennifer McDaniel dalam majlis di rumahnya di pantai Clearwater, Florida pada Selasa lalu.
Namun, majlis itu dicemari dengan kedatangan polis yang dipanggil untuk meleraikan satu pergaduhan.
Ia berpunca apabila seorang jurugambar dilaporkan cuba untuk menceroboh dan bergaduh dengan pengawal keselamatan.
Hogan yang dikatakan cuba memastikan perkahwinan keduanya ini kekal lama sempat menghantar gambar cincin perkahwinannya di laman Twitter dan menulis: "Perkahwinan kali ini pasti akan mencipta sejarah."
Hogan, 57, yang nama sebenarnya, Terry Gene Bollea sebelum ini pernah berkahwin dengan Linda Claridge dan dikurniakan dua orang anak iaitu Brooke, 22, dan Nick, 20.
Majlis itu hanya dihadiri oleh kaum keluarga dan teman rapat.
Beliau dikatakan mula bercinta dengan Jennifer sejak tahun 2008 dan bertunang pada November tahun lalu. - Agensi

Google cipta aplikasi gambar organ dalaman manusia




PENGGUNA akan dapat melihat bentuk dalaman organ manusia menerusi Google Body Browser.




NEW YORK - Enjin carian Internet, Google, sedang mencipta satu aplikasi tiga dimensi (3-D) yang membolehkan pengguna melihat anatomi tubuh manusia, lapor sebuah akhbar semalam.
Dikenali sebagai Google Body Browser, aplikasi tersebut yang akan dilancarkan tidak lama lagi berfungsi seperti peta dunia Google dengan pengguna boleh melihat bahagian luaran, organ dalaman serta tulang manusia.
Pengguna boleh memanipulasi aplikasi untuk melihat gambar organ manusia.
Satu klip video pengenalan mengenai cara aplikasi tersebut berfungsi telah disiarkan di Internet baru-baru ini.


Seorang penulis blog yang menyaksikan klip video berkenaan berkata, dia teruja dengan potensinya.
"Kita dapat melihat bagaimana aplikasi ini dapat membantu pembelajaran anatomi manusia," katanya.
"Pada tahun lalu, saya dapat menggunakan satu aplikasi serupa dan ia memudahkan pelajar mempelajari sistem tulang manusia," tambah penulis blog tersebut. - Agensi

Pakaian Paltrow cetus perhatian


PAKAIAN Gwyneth Paltrow mencuri perhatian dalam majlis tayangan perdana filem Country Strong di sebuah pawagam Beverly Hills, California pada Selasa lalu.


BEVERLY HILLS - Pelakon yang popular menerusi filem Iron Man, Gwyneth Paltrow, 38, tampil berani dengan tidak memakai seluar dalam ketika menghadiri tayangan perdana filem terbarunya berjudul Country Strong, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada malam Selasa lalu, Paltrow kelihatan memakai skirt labuh lengan panjang berwarna putih.
Skirt yang dipakai oleh pelakon siri televisyen popular, Glee itu kelihatan sopan dengan menutup keseluruhan tubuhnya jika dilihat dari depan, tetapi ia terbelah pada bahagian tepi paha dan tubuh belakangnya.
Belahan itu jelas menunjukkan bahawa dia tidak memakai seluar dalam.
Pakaian tersebut adalah rekaan pereka terkenal, Emilio Pucci. - Agensi

Juri arah Putera Jefri bayar RM66.14 juta


THOMAS dan Faith Zaman.


NEW YORK - Adik Sultan Brunei, Putera Jefri Bolkiah kalah kepada satu pasangan peguam suami isteri, Thomas dan Faith Zaman di sebuah mahkamah di sini kelmarin.
Ekoran kekalahan itu, juri memutuskan Jefri perlu membayar AS$21.10 juta (RM66.14 juta) kepada pasangan tersebut.
Bayaran itu meliputi AS$10.1 juta (RM31.66 juta) kepada Thomas dan AS$11 juta (RM34.5 juta) untuk Faith.
Pasangan itu mendakwa Putera Jefri berhutang dengan mereka berjuta-juta dolar dalam bentuk yuran perkhidmatan.
Juri mendapati pasangan itu tidak melakukan sebarang kesalahan dan Putera Jefri berhutang sebanyak AS$10.1 juta kepada mereka dalam bentuk yuran perkhidmatan.
Peguam Faith, Mark Cymrot berkata, pihak juri memberikan award sebagai ganti rugi kepada pelanggannya, AS$11 juta selepas mendapati satu perjanjian pekerjaan dengan putera berkenaan adalah ikhlas dan perlu dihormati.
Putera Jefri sebelum ini mendakwa dalam perbicaraan itu bahawa pasangan peguam tersebut mencuri lebih AS$7 juta (RM21.9 juta) daripadanya menerusi pelbagai bentuk penipuan.
Namun, Thomas dan Faith menyatakan mereka menerima gaji yang rendah selain diberi kebebasan untuk melakukan apa yang perlu dilaksanakan.
Perbicaraan kes tersebut kemudiannya menjadi hangat ekoran pendedahan beberapa patung erotik bekas tunang Putera Jefri, Micha Raine.
Putera Jefri sebelum ini melantik pasangan tersebut untuk membantunya mengelak daripada menyerahkan sebahagian daripada asetnya sebagaimana yang diarahkan oleh kerajaan Brunei yang diperintah oleh abangnya, Sultan Hassanal Bolkiah.
Keputusan juri itu menggembirakan pasangan tersebut.
"Bagi kami, ini adalah justifikasi yang besar buat orang biasa. Kami bukan individu seperti Putera Jefri," kata Faith. Namun, para pegawai di Hotel New York Palace milik Putera Jefri nyata kecewa dengan keputusan itu.
"Kami tetap yakin bahawa berdasarkan kepada bukti yang dikemukakan, hotel ini menjadi mangsa kepada skim penipuan," jelas pihak pengurusan hotel terbabit dalam satu kenyataan.
Pasukan peguam Putera Jefri akan mengemukakan rayuan. Putera Jefri tidak hadir ketika keputusan itu diumumkan. - Agensi

Nilai Facebook RM141.1 bilion, Twitter RM11.6 bilion


SAN FRANCISCO - Laman jaringan sosial, Twitter mempunyai nilai AS$3.7 bilion (RM11.6 bilion) pada tahun ini, melonjak AS$1 bilion (RM3.1 bilion) berbanding tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Penilaian terbaru itu dikeluarkan sendiri oleh Twitter selepas ia mengumpul modal tambahan AS$200 juta (RM627.5 juta) untuk pembangunan tanpa memerlukan ia diapungkan di bursa saham Amerika Syarikat (AS).
Suntikan modal tersebut diketuai oleh Kleiner Perkins Caufield & Byers yang merupakan antara firma permodalan terbaik di Lembah Silikon, AS.
Pengumuman mengenai nilai itu dibuat kelmarin.
Sementara itu, pencapaian memberangsangkan Twitter dilihat lebih baik berbanding saingannya, Facebook yang mempunyai nilai AS$45 bilion (RM141.1 bilion), baru-baru ini.
Bekas pelajar Universiti Harvard, Mark Zuckerberg yang berusia 26 tahun dikenali di seluruh dunia sebagai pengasas Facebook.
Twitter yang diasaskan bersama artikek perisian, Jack Dorsey, Biz Stone dan Evan Williams dan beribu pejabat di sini, memiliki 190 juta pengguna di seluruh dunia setakat bulan lalu.
Firma komputer itu kini menggaji lebih 350 pekerja. Dua usahawan berjaya, Mike McCue dan David Rosenblatt dilantik menduduki kerusi lembaga pengarah firma berkenaan. - Agensi

Pengasas WikiLeaks bebas


17/12/2010 2:45am

LONDON 17 Dis. – Pengasas WikiLeaks, Julian Assange berjanji untuk membersihkan namanya dari tuduhan melakukan serangan seksual dan meneruskan usahanya dalam laman web pendedahan itu selepas beliau dibebaskan dengan ikat jamin, semalam.
“Saya akan membuktikan yang saya tidak bersalah dan meneruskan kerja saya di WikiLeaks,” kata Assange ketika meninggalkan Mahkamah Tinggi dengan dikerumuni oleh jurugambar dan jurukamera.
Beliau dan peguamnya bertegas bahawa tindakan untuk mengekstradisinya dari Britain ke Sweden untuk berhadapan dengan tuduhan melakukan serangan seksual terhadap dua wanita adalah bermotifkan politik.
Mahkamah Tinggi London semalam mengekalkan keputusan mahkamah rendah sebelum ini yang membenarkan pengasas Assange dibebaskan dengan diikat jamin. – AFP

Jangan ikut syaitan



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ وَمَن يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاء وَالْمُنكَرِ وَلَللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ مَا وْلَا فَضْلُ ازَكَا مِنكُم مِّنْ أَحَدٍ أَبَداً وَلَكِنَّ اللَّهَ يُزَكِّي مَن يَشَاءُ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui

Surah An-Nuur, Ayat 21

Orang yang menghebahkan tuduhan buruk akan diazab diakhirat

إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).