Pages

Monday, July 4, 2011

Presiden Syria pecat gabenor Hama lepas ratusan ribu rakyat memberontak

DAMSYIK: Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, telah memecat gabenor Hama kelmarin. Tindakan itu diambil sehari selepas ratusan ribu rakyat Syria berhimpun di bandar yang menjadi lubuk pemberontakan itu. Dalam pada itu, para aktivis berkata tindakan keras terbaru pihak berkuasa Syria itu menyebabkan 28 orang maut.

Pemberontakan antirejim Syria itu berlaku Jumaat lalu berikutan gesaan daripada sebuah kumpulan di laman rangkaian sosial Facebook agar memprotes secara besar-besaran bagi menggulingkan Encik Assad dan rejim kuku besinya.

Di bandar Hama sahaja kira-kira 500,000 orang berarak di jalan raya tanpa pasukan keselamatan yang menghalang mereka, kata para aktivis. Mereka menyifatkannya sebagai satu tunjuk perasaan tunggal paling besar pernah diadakan sejak satu gerakan prodemokrasi tercetus pada 15 Mac lalu.

Encik Assad bertindak balas dengan memecat gabenor Hama, sebuah bandar yang mempunyai sejarah pertumpahan darah pada 1982 dengan 20,000 terbunuh apabila tentera Syria bertempur dengan pemberontak kumpulan Islam. Waktu itu Syria diperintah Allahyarham Hafez Al-Assad, ayah Encik Assad.

'Presiden Syria itu menandatangani satu dekri hari ini (kelmarin) memecat Doktor Ahmad Khaled Abdel Aziz daripada jawatannya sebagai gabenor Hama,' kata satu laporan berita ringkas yang disiarkan sebuah stesen televsiyen Syria.

Kebanyakan mangsa tunjuk perasaan di wilayah Idlib terbunuh pada Jumaat lalu apabila tentera Syria yang berkereta kebal menghancurkan kampung-kampung mereka sepanjang minggu lalu untuk menghalang pemberontakan.

'Seramai 16 orang terbunuh' di Idlib pada Jumaat lalu, kata Encik Ammar Qorabi, ketua Pertubuhan Kebangsaan bagi Hak Asasi, kelmarin.

Sekurang-kurangnya 20 orang pula ditangkap di kawasan Daraya dekat Damsyik kerana terbabit dalam bantahan antirejim Syria. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

Nato tidak akan henti serangan

TRIPOLI - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) kelmarin menegaskan tidak akan menghentikan serangan udara ke atas Libya walaupun selepas pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi mengancam akan menyerang warga Eropah jika serangan diteruskan.

Gesaan Gaddafi itu tidak diendahkan tentera pakatan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton menolak ugutan Gaddafi sebaliknya meminta pemimpin itu berundur daripada tampuk pemerintahan.

Dalam satu mesej telefon kepada 100,000 penyokongnya di Tripoli kelmarin, Gaddafi menggesa Nato menghentikan serangan ke atas Libya atau berhadapan risiko diserang pejuang negara Afrika Utara itu.

“Pejuang Libya boleh menyerang rumah, pejabat dan keluarga anda seperti yang anda lakukan terhadap pejabat, rumah dan kanak-kanak Libya yang anda anggap sebagai sasaran ketenteraan sah,” katanya.

Namun pakatan tentera bersekutu Barat tetap berdegil dan enggan menamatkan serangan sebaliknya mengumumkan akan meningkatkan serangan ke atas tentera Gaddafi.
SH

Ketua pemberontak tawar Gaddafi tinggal di Libya

BENGHAZI 3 Julai - Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dialu-alukan untuk bersara di negara ini sekiranya dia menyerahkan semua kuasa pemerintahannya, kata ketua pemberontak.

Tawaran tersebut dibuat tatkala Gaddafi menentang habis-habisan desakan antarabangsa supaya melepaskan jawatan, walaupun pegawainya memberi petanda untuk berunding dengan kumpulan pemberontak.

Gaddafi masih memegang tampuk pemerintahan selepas lima bulan pemberontakan berlaku terhadapnya walaupun NATO melancarkan operasi pengeboman NATO ke atas Libya serta Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

"Sebagai menyelesaikannya secara aman, kami membuat tawaran kepada Gaddafi supaya meletakkan jawatan dan mengarahkan askarnya berundur, kemudian dia boleh membuat keputusan untuk tinggal di sini atau di luar negara," kata ketua pemberontak, Mustafa Abdel. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Terkini

Jakarta kota paling sesak di dunia

JAKARTA: Kesesakan lalu lintas di bandar raya ini memakan kos berbilion dolar setahun, peringatan bagi Indonesia dalam usahanya untuk membangun dan hakikat kehidupan seharian yang perlu dihadapi, kata penganalisis.

Ibu negara Indonesia itu berada di tangga terakhir dalam kaji selidik kepuasan sistem pengangkutan sedunia ke atas 23 bandar raya yang diterbitkan tahun lalu oleh firma penyelidikan perniagaan Frost & Sullivan.


Pungutan pendapat Indeks Pengalaman Perjalanan daripada 15,000 orang di seluruh dunia berpendapat bahawa pelancong di Jakarta mengalami pengalaman paling buruk, malah lebih teruk berbanding di Rio de Janeiro dan Kaherah - yang terkenal dengan kesesakan teruk. Manakala responden di Copenhagen, Seattle dan Sydney berpuas hati dengan pengalaman pengangkutan berdasarkan kriteria kelajuan, kos dan keselesaan. - AFP

myMetro | Jakarta kota paling sesak di dunia

Jerman lulus penjualan 200 kereta kebal ke Arab Saudi

BERLIN: Jerman membenarkan penjualan 200 kereta kebal Leopard kepada Arab Saudi selepas beberapa dekad melarang penjualan senjata berat kepada negara itu, lapor majalah mingguan berita tempatan, Der Spigel, semalam.

Laporan menyatakan, Majlis Keselamatan Persekutuan meluluskan penjualan itu minggu lalu.


Arab Saudi bercadang membeli 200 unit Leopard 2A7+, dijangka bernilai berbilion dolar daripada syarikat Kraus-Maffei and Rheinmetall.

Sejak 1980-an, Jerman melarang penjualan Leopard 2 kepada Arab Saudi kerana bimbang ia digunakan ke atas Israel. - AFP

myMetro | Jerman lulus penjualan 200 kereta kebal ke Arab Saudi

Kapten kapal AS ke Gaza terseksa dalam jel Greece

ATHENS: Kapten kapal Amerika Syarikat yang dipintas Greece selepas cuba berlayar ke Gaza, kini ditahan dalam keadaan “menyedihkan”, selain tidak mendapat bantuan konsulat negaranya.

Kapten John Klusmer ditahan ketika kapal Audacity of Hope yang menyertai flotilla kemanusiaan ke Gaza cuba meninggalkan perairan Greece Jumaat lalu.


Ketika itu, Greece melarang semua kapal yang menuju ke Gaza daripada berlepas.

Klusmer didakwa menipu dan diperintah hadir di mahkamah esok.


Pertubuhan US Boat To Gaza berkata, Klusmer kini ditahan dalam penjara.


Peguam pertubuhan itu, Richard Levy, berkata tiada katil atau tandas disediakan dalam sel Klusmer yang terletak di bandar pelabuhan berhampiran Athens.

Audacity of Hope yang membawa 3,000 surat sokongan untuk penduduk Gaza memulakan pelayaran secara tiba-tiba dan meninggalkan sembilan kapal lain yang menyertai flotilla berkenaan.


Perjalanan itu bagaimanapun segera dipintas pengawal pantai Greece. - AFP

myMetro | Kapten kapal AS ke Gaza terseksa dalam jel Greece

Hillary perlekeh ancaman Gaddafi serang Eropah

MADRID: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, meningkatkan tekanan Barat ke atas Muammar Gaddafi supaya berundur, semalam.

Sambil menolak ancaman pemimpin Libya terhadap serangan di Eropah, Hillary berkata, Gaddafi sepatutnya mengutamakan kepentingan rakyat dan membantu peralihan demokratik di negaranya.


“Daripada mengeluarkan ancaman, Gaddafi patut berundur dan memikirkan nasib rakyat Libya,” katanya.

Dalam ucapan di depan 100,000 penyokongnya di Dataran Hijau di Tripoli kelmarin, Gaddafi menyeru Nato menghentikan pengeboman ke atas Libya atau berdepan dengan pejuangnya di Eropah. “Berundur kerana anda tidak mungkin berpeluang menewaskan rakyat Libya yang berani,” katanya.


Kata Gaddafi, Nato kini menyerang kediaman, pejabat dan orang awam Libya yang dianggap sasaran ketenteraan oleh Nato. - Reuters

myMetro | Hillary perlekeh ancaman Gaddafi serang Eropah

Hizbullah bela pejuang

BEIRUT: Pemimpin Hizbullah berkata, pihak berkuasa sama sekali tidak akan dapat menahan empat anggota kumpulan bersenjatanya yang dikaitkan dengan pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan.

Menurut Sheikh Hassan Nasrallah semalam, usaha pihak berkuasa memberkas anggotanya itu pasti tidak akan berjaya walaupun dilakukan selama “300 tahun”.


Dalam kenyataan dibuat melalui televisyen itu Hassan berkata, partinya juga tidak mempunyai apa-apa peranan dalam pembunuhan Rafik Hariri.

Ahli perniagaan kaya-raya itu menjadi Perdana Menteri Lubnan untuk tempoh 1992 hingga 1998.


Dia diingat sebagai tokoh bertanggungjawab menstruktur semula Beirut selepas berakhirnya perang saudara selama 15 tahun.


Rafik dibunuh pada 14 Februari 2005.

Kenyataan Hassan semalam adalah komen pertamanya sejak siasatan mensabitkan anggota Hizbullah dalam pembunuhan Rafik.


Seorang pegawai kanan Hizbullah dan tiga yang lain didakwa bertanggungjawab dalam pembunuhan berkenaan.

Bagaimanapun, Hassan menolak siasatan tribunal berkenaan kerana ia didominasi Amerika Syarikat dan Israel.


Keputusan itu, katanya, dianggap satu serangan terhadap Hizbullah dan pejuangnya. - AP

myMetro | Hizbullah bela pejuang

Gunung berapi di Sulawesi meletup

JAKARTA: Gunung berapi di Pulau Sulawesi di Indonesia meletup, semalam memuntahkan asap dan debu setinggi 5,000 meter ke udara.

Gunung Soputan di utara Sulawesi itu meletup kira-kira jam 6.03 pagi tetapi penduduk yang tinggal berhampiran kawasan terpencil itu tidak berpindah, kata saintis yang memantau keadaan gunung berapi itu, Ling Kusnadi.


“Gunung berapi itu meletup pagi tadi (semalam). Selain daripada memuntahkan debu dan asap, ia juga mengeluarkan gas panas di sekeliling kawahnya.

“Zon pemindahan disarankan pada jarak enam kilometer dari gunung berapi tetapi hanya kawasan hutan yang meliputi jarak sedemikian,” katanya. - AFP

myMetro | Gunung berapi di Sulawesi meletup

Harta karun bernilai RM51 bilion ditemui bawah kuil

THIRUVANANTHAPURAM (India): Harta karun berupa emas, berlian dan batu permata berharga yang tersembunyi sejak berabad lamanya ditemui di ruang bawah tanah sebuah kuil di selatan India, kata pegawai pentadbiran kuil, semalam, manakala pihak berkuasa mengerahkan polis berkawal di tempat suci itu.

Media tempatan berkata pasukan pencari menemui patung emas setinggi empat kaki bertatahkan zamrud, rantai emas sepanjang 15 kaki dan mahkota dihiasi batu permata. Anggaran nilai harta itu adalah AS$17 bilion (RM51 bilion) tetapi pihak berkuasa berkata, mereka belum mengetahui nilai sebenar penemuan itu. “Kebanyakan harta yang ditemui di kuil itu adalah pemberian pengikut dan kepunyaan pemimpin kerajaan Travancore yang disimpan di kuil berkenaan,” kata pegawai pihak pentadbiran kuil.


Harta karun itu ditemui di kuil kurun ke-16, Sree Padmanabhaswamy di selatan Kerala, kuil diraja bekas pemimpin Travancore yang terletak dalam negeri Kerala. Beratus-ratus polis bersenjata dikerah untuk berkawal di sekeliling kuil dan pengesan logam dipasang di pintu masuk kuil selepas penemuan pertama harta karun itu dilaporkan Sabtu lalu. Nilai harta karun itu melebihi jumlah perbelanjaan untuk bidang pendidikan yang diperuntukkan kerajaan persekutuan setiap tahun. Golongan intelektual dan pemimpin agama saling berdebat mengenai bagaimana harta itu patut digunakan. - AFP

myMetro | Harta karun bernilai RM51 bilion ditemui bawah kuil

Kembar dalam perut maut


PERIKSA...pegawai perubatan memeriksa wanita sarat mengandung  selepas  ambulans yang menghantarnya terbabit kemalangan.
PERIKSA...pegawai perubatan memeriksa wanita sarat mengandung selepas ambulans yang menghantarnya terbabit kemalangan.



Foto
CEDERA...anggota bomba cuba menenangkan mangsa yang cedera.


KUCHING: Seorang ibu yang mengandung anak kembar terbunuh selepas ambulans yang membawanya untuk melahirkan anak di hospital terbabas dan merempuh pokok di Batu 9, Jalan Penrissen, di sini, awal pagi semalam.
Sebelum kejadian pada jam 1 pagi, ambulans dipandu Sapuan Ain, 37, dikatakan dalam perjalanan kira-kira lima jam membawa mangsa, Mura Rungor, 33, yang sarat mengandung 40 minggu dari Hospital Sri Aman ke Hospital Umum Sarawak (HUS) Difahamkan, sebaik tiba di tempat kejadian, ambulans dipandu Sapuan yang turut dinaiki jururawat Sunny Ngadei, 40, dan pembantu perubatan hilang kawalan ketika mengelak seekor anjing melintas jalan.

Kenderaan itu kemudian terbabas dan merempuh pokok di tepi jalan menyebabkan ia remuk di bahagian depan.
Kemalangan itu menyebabkan Mura dan kandungannya meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan, manakala Sapuan patah tulang rusuk kiri.

Sunny yang mengiringi mangsa ke HUS turut parah di beberapa bahagian badan termasuk patah kaki kanan dan pembantu perubatan lingkungan 40-an bernasib baik kerana hanya cedera ringan. Kemalangan itu menyebabkan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang dikejarkan ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan.

Ambulans membawa Mura dikatakan bertolak pada jam 9 malam, kelmarin dari Hospital Sri Aman untuk menghantar mangsa dari Kemantin, Sri Aman ke HUS sebelum tiba di bandar raya ini, lima jam kemudian.
Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 1.54 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Kami mengambil masa enam minit untuk mengeluarkan mangsa termasuk pemandu dan jururawat yang menaiki ambulans itu sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap polis berkata, keluarga mangsa sudah dihubungi untuk memaklumkan kejadian itu dan polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.

myMetro | Kembar dalam perut maut

Jerut diri selepas disaman


PILU...Chinnammah (kiri) menceritakan kejadian. Gambar kecil, Rajathurai.
PILU...Chinnammah (kiri) menceritakan kejadian. Gambar kecil, Rajathurai.

JASIN: Akibat tertekan selepas disaman polis, seorang remaja nekad menggantung diri dalam bilik di rumahnya di Taman Bemban Utama, di sini, kelmarin.
Mayat, M Rajathurai, 15, ditemui ibunya, S Chinnammah, 49, dalam keadaan leher diikat dengan kain kira-kira jam 5 petang selepas membuka pintu bagi melihat anaknya tidur.

Empat jam sebelum ditemui mati, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bemban itu disaman kerana menunggang motosikal tanpa lesen di Bemban.
Chinnammah berkata, dia tidak menyangka anak bongsunya bertindak demikian selepas tertekan akibat disaman.

Katanya, kejadian bermula kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas dia meminta anaknya ke kedai berhampiran membeli makanan.

Bagaimanapun, dia mendakwa tidak mengetahui anaknya itu menaiki motosikal dan menyangkakan keluar menaiki basikal seperti kebiasaannya.
“Saya mula gelisah kerana kelibatnya belum dilihat berikutan sudah terlalu lama keluar.

“Tiba-tiba muncul kereta polis di depan rumah dan anak saya masuk ke rumah sebelum mengambil MyKadnya.
“Saya yang terkejut terus bertanya kepada polis terbabit dan mereka menjelaskan anak saya ditahan kerana menunggang motosikal tanpa lesen berhampiran pekan Bemban,” katanya selepas ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, dia terus ke Balai Polis Bemban yang terletak dua kilometer dari rumahnya bagi mengetahui kejadian sebenar.

Katanya, dia mengakui memarahi anaknya dengan tujuan menasihatinya sebelum membawanya pulang.

“Ketika menarik tangannya, dia menggigil dan saya terus membawanya pulang. “Selepas makan, dia terus masuk bilik yang dijadikan tempat kami sekeluarga sembahyang dan tidur.

“Dua kali saya menjenguknya dan ketika mahu menyuruhnya ke kedai, saya terkejut apabila mendapati dia tergantung dengan leher dicerut kain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

ibu kepada empat anak itu.

Dia cuba mengejutkan anaknya itu tetapi tiada tindak balas dan meminta bantuan jiran menghantarnya ke Hospital Jasin.

“Ketika tiba di Jabatan Kecemasan, dia disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya dibedah siasat,” katanya.

Dia berkata, anaknya akan tidur jika mempunyai masalah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.myMetro | Jerut diri selepas disaman

Berganti laki kikis wang


KESAL...Alaa menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.
KESAL...Alaa menunjukkan laporan polis yang dibuatnya.

KUALA LUMPUR: Menggunakan taktik tipu, kahwin, curi dan menghilangkan diri, seorang wanita dikatakan mengaut keuntungan jutaan ringgit daripada beberapa ‘suaminya’ dengan mangsa terbaru seorang ahli perniagaan Palestin yang mendakwa kerugian hampir RM1 juta.
Alaa A M Aldunna, 32, berkata perkahwinannya dengan wanita tempatan berusia 29 tahun itu berlangsung November tahun lalu selepas berkenalan dengannya di sebuah hotel, di sini.

“Selepas ditipu dan wang saya dicuri, saya dimaklumkan pihak tertentu, rupa-rupanya saya suaminya yang ketujuh. Enam lagi suaminya sebelum ini warga Malaysia dan mereka juga ditipu,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Alaa berkata, ketika berkenalan, wanita itu memperkenalkan diri Datuk Nazatul, malah turut mendakwa dia seorang kerabat diraja.

“Saya percaya dia menggunakan ilmu hitam kerana selepas berkenalan saya mengikut segala kata-katanya. Perkahwinan saya dengannya juga dilakukan tergesa-gesa dan segala-galanya diuruskannya.

“Kami berkahwin di bilik hotel. Jurunikah dan saksi semuanya dibawa Nazatul, malah ibu dan abangnya bersubahat untuk menipu saya,” katanya. myMetro | Berganti laki kikis wang

Bicara bermula



KERATAN Kosmo! 12 September 2010.


SHAH ALAM - Perbicaraan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain akan berlangsung selama tiga bulan di Mahkamah Tinggi di sini bermula hari ini.

Perbicaraan kes itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir dengan kira-kira 50 saksi pendakwaan dijangka dipanggil memberi keterangan.

Kes itu membabitkan bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T. Thilaiyagan, R. Matan dan R. Khatavarayan, yang mengaku tidak bersalah membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot No. 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, pada 30 Ogos tahun lalu.

Pathmanabhan, 42; Thilaiyagan, 20; Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Barisan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd. Yusof, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd. Ghani sementara kesemua tertuduh diwakili peguam Manjeet Singh, Puspha Ratnam, Amer Hamzah Arshad, Datuk Ng See Teong, Ravi Nekoo dan Gurbachan Singh.

Kesemua mangsa dilaporkan hilang sejak 30 Ogos tahun lalu selepas dikatakan pergi ke Banting atas urusan pembelian tanah.

Kosmo! Online - Negara

46 pelajar disengat tebuan tanah



ZAID melihat kesan sengatan tebuan pada tubuh salah seorang murid sekolah di HPRZ II, Kota Bharu semalam.


BACHOK – Kegembiraan sekumpulan 46 pelajar Sekolah Kebangsaan Badak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badak dekat sini menyertai Program Larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia bertukar duka apabila mereka diserang ratusan ekor tebuan tanah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi kelmarin, kira-kira 46 pelajar terbabit telah disengat tebuan ketika melalui sebuah denai kira-kira 500 meter dari sekolah mereka.

Seorang mangsa, Wan Mohd. Farid Firdaus, 10, memberitahu, ketika kejadian dia bersama beberapa rakan lain sedang melalui kawasan tersebut sebelum badannya disengat tebuan tersebut.

Menurutnya, ketika melalui kawasan tersebut dia ternampak seorang pelajar SMK Badak yang turut menyertai larian itu membaling batu ke arah satu kawasan semak.

“Mulanya saya tidak tahu apa yang dilakukan pelajar terbabit kerana selepas membaling batu ke kawasan semak, dia melarikan diri dan ketika saya yang sampai ke situ, saya ternampak banyak tebuan keluar dari sarang dan menyerang saya.

“Saya berlari sekuat hati menuju ke sekolah dengan sebahagian badan saya disengat tebuan. Saya terus dihantar ke klinik untuk rawatan sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya yang terkena enam sengatan iaitu di kepala, badan tangan dan paha.

Kosmo! Online - Negara

Maut tergantung lepas disaman



ANGGOTA keluarga Rajathurai berkumpul di rumahnya yang menjadi lokasi dia ditemui mati tergantung di Taman Bemban Utama, Jasin semalam.


JASIN - Seorang ibu trauma apabila menyaksikan anaknya mati dalam keadaan tergantung di siling rumah selepas disyaki tertekan sebaik menerima dua saman polis dalam kejadian di Taman Bemban Utama di sini kelmarin.

Kejadian pukul 5 petang itu mengakibatkan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Seri Bemban, M. Rajathurai, 15, mati di lokasi kejadian iaitu selepas hampir empat jam disaman ekoran menunggang motosikal tanpa lesen dan topi keledar.

Lebih menyedihkan, mayat anak bongsu daripada empat beradik itu ditemui sendiri oleh ibunya, S. Chinammah, 49, yang masuk ke bilik remaja berkenaan untuk memintanya pergi ke kedai membeli kelapa.

Mengimbau semula kejadian tersebut, Chinammah memberitahu, sebelum kejadian dia menyuruh Rajathurai pergi ke kedai berdekatan untuk membeli beberapa barang dengan berjalan kaki atau berbasikal sahaja pada pukul 1.35 petang.

"Bagaimanapun, tanpa pengetahuan saya, dia telah meminjam sebuah motosikal milik rakan abangnya untuk pergi ke kedai sambil dibonceng seorang rakannya.

"Sebaik tiba di satu simpang kira-kira tiga kilometer dari rumah saya, anak saya telah ditahan oleh polis," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Kosmo! Online - Negara

Bersih: Titah khas Agong



Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin


KUALA LUMPUR – Istana Negara malam ini mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Kosmo! Online - Negara

Bugatti dilelong RM2.08 juta, harga asal cuma RM290



JACK PERKINS memandu kereta lumba Bugatti di sebuah lokasi pada tahun 1950-an.


SUSSEX, Britain - Sebuah kereta lumba Bugatti yang dibeli pada harga £60 (RM290) pada 1950 telah dijual dalam satu lelongan pada harga £430,000 (RM2.08 juta) pada Festival Kelajuan di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Kereta itu milik Jack Perkins dari Ruby, Warwickshire yang dibelinya di Nottinghamshire dan diubah suai untuk digunakan dalam perlumbaan.

Perkins yang merupakan seorang jurutera menggunakan kereta itu dalam perlumbaan Indianapolis 500 pada 1936 dan Kejuaraan Kebangsaan Amerika pada 1938.

Dia meninggal dunia pada 1992 dan berlumba sehingga Jun 1988 semasa berumur 78 tahun.

Balunya, Jean kemudian memutuskan untuk mempamerkan kereta itu di Muzium Kenderaan Haynes di Somerset sehingga Disember 2010.

Keluarga Perkins kemudian memutuskan untuk melelong kereta itu dalam satu acara lelongan pada hujung minggu lalu.

Identiti pemilik baharu kereta itu tidak diketahui. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Jual permainan Transformers demi kekasih



SHANE FENTON bersama koleksi permainan Transformers yang disimpan di dalam bilik tidur utama di rumahnya di Boddam, Scotland.


BODDAM, Scotland - Seorang pengajar teknikal sebuah syarikat marin, Shane Fenton terpaksa menjual koleksi permainanTransformers miliknya yang bernilai £200,000 (RM967,815) atas permintaan kekasihnya, lapor sebuah akhbar semalam.

Fenton yang berusia 32 tahun membuat keputusan untuk menjual koleksi permainan itu yang dikumpulnya sejak kanak-kanak bagi membayar hutang rumahnya di sini.

Koleksi permainan itu melibatkan lebih 1,000 model patungTransformers itu yang disimpan di bilik tidur utama rumah mereka.

"Benar, saya dapat membayar hutang rumah jika saya menjual permainan itu," kata Fenton.

Menurutnya, kekasihnya itu mahu memulakan hidup berkeluarga dan mempunyai anak menyebabkan koleksi permainan tersebut yang disimpan di dalam bilik tidur utama itu perlu dijual bagi membolehkan mereka menggunakan bilik berkenaan.

Selama ini, bilik tidur itu tidak boleh digunakan kerana ia hanya menyimpan alat permainan berkenaan.

"Saya memberitahu Fenton bahawa dia bukannya kanak-kanak lagi. Dia akan berusia 33 tahun pada tahun depan," kata kekasihnya itu yang enggan namanya didedahkan.

Pasangan tersebut kini sibuk membuat senarai alat permainan itu yang akan dijual. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia

Parti Thaksin menang besar pilihan raya Thai

YINGLUCK SHINAWATRA mengangkat tangan ke arah para penyokongnya di ibu pejabat parti Puea Thai di Bangkok semalam.


BANGKOK - Parti pembangkang Thailand, Puea Thai yang mencalonkan adik Thaksin Shinawatra, Yingluck Shinawatra sebagai bakal perdana menteri wanita pertama menang besar dalam pilihan raya umum negara itu semalam.

Setakat pukul 8 malam tadi, parti Puea Thai memperoleh majoriti mudah dengan memperoleh 255 daripada 500 kerusi parlimen.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis Diraja Thailand, sebanyak 83.69 peratus undi sudah dikira pada pukul 8 malam.

Parti Demokrat yang dianggotai Perdana Menteri Abhisit Abhisit Vejjajiva memperoleh 163 kerusi, parti Bhumjai Thai memenangi 35 kerusi, parti Chart Thai Pattana mendapat 21 kerusi dan parti Chart Thai Pattana Phea Pandin menang di 10 kerusi parlimen.

Parti-parti kecil seperti Palong Chan memenangi tujuh kerusi, Rak Thailand mendapat empat kerusi, parti Matubhum cuma membolot dua kerusi manakala Rak Santi dan Parti Demokrat Baharu masing-masing memperoleh satu kerusi.

Yingluck yang merupakan seorang ahli perniagaan berusia 44 tahun yang memperoleh status sebagai bintang rock berjaya menawan hati berjuta-juta pekerja dalam undi tersebut.

Wanita itu dianggap sebagai satu-satunya pemimpin yang akan membantu masalah penduduk miskin di negara tersebut.

"Yingluck telah membantu kita dan kini parti Puea Thai boleh menyelesaikan masalah kami dan mereka (ahli-ahli parlimen parti itu) akan menyelesaikan kemelut negara ini," kata seorang kakitangan kerajaan, Saiksa Chankerd.

"Orang ramai mahukan perubahan dan mereka memperolehnya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Sekuriti Asia Plus di Bangkok.

Kemenangan parti itu mungkin dapat menstabilkan semula Thailand selepas enam tahun negara ini dilanda ketegangan termasuk keganasan sehingga para penunjuk perasaan menawan dua buah lapangan terbang utama di Bangkok. - Agensi

Kosmo! Online - Dunia