Pages

Monday, December 16, 2013

Jubah Abdul Rahman al-Sudais untuk bekas musuh Islam


Riyadh: Golongan ilmiah yang menghadiri persidangan keagamaan semalam dikejutkan dengan tindakan Imam Besar Masjidil Haram membuka jubah dipakainya sebelum disarungkan kepada lelaki Belanda yang pernah menghina Islam sebelum menjadi seorang Muslim.

Sebaik tamat ucapannya, Sheikh Abdul Rahman Al Sudais terus menghampiri Arnoud van Doorn sebelum menyarungkan jubah itu pada badannya.

“Memang tindakannya itu yang dilakukan di hadapan ratusan perwakilan amat mengejutkan,” lapor akhbar Sada, semalam.

Menurut laporan itu, Van Doorn menghadiri persidangan berkenaan yang memperjuangkan Nabi Muhammad (SAW).

Van Doorn, 47, yang juga bekas anggota Parti Kebebasan anti-Islam, dilaporkan memeluk Islam awal tahun ini dan menunaikan haji, Oktober lalu.



- Agensi

Tangan palsu pintar


AFP: Seorang anggota tentera yang kehilangan tangannya selepas diletupkan bom tangan di Afghanistan kini menjadi orang pertama di United Kingdom (UK) menerima tangan palsu yang dikawal otaknya.

Tangan futuristik dipasang ketika pembedahan yang turut memerlukan pengolahan sistem sarafnya dan digelar penanda masa depan perubatan prostetik.


Korporal Andrew Garthwaite, 26, dari South Shields, hilang tangannya selepas sebuah grenad dilepaskan roket meletup ketika operasi di Helmand, Afghanistan pada 2010.

“Ketika pertama kali dimaklumkan mengenai pembedahan itu, saya sangka ia sekadar kisah dongeng, mungkin ada orang mahu mengenakan saya.

Foto
SELAMA 18 bulan Garthwaite dapat rasa seperti ada tangan yang ‘tumbuh’ di dadanya.

Foto
GARTHWAITE dipercayai orang pertama di Britain yang menerima tangan bionic yang boleh dikawal otaknya.
Foto
HUJUNG saraf bahu Garthwaite yang sepatutnya menghala ke tangannya dialihkan ke otot dadanya.
“Namun hari ini saya dapat menggunakan tangan ini yang memang amat serasi malah dikawal hanya menggunakan pemikiran saya.


“Memang sukar dipercayai. Sudah tentu ada risikonya namun saya tidak risau kerana menganggap tiada apa-apa kerugian jadi sanggup mengambil risikonya.
“Ia seperti kisah sains fiksyen yang menjadi realiti,” katanya.

Garthwaite merupakan orang pertama di negara ini menjalani pembedahan pemindahan saraf dikenali sebagai Pensarafan Semula Otot yang memerlukan sistem saraf diubah suai supaya saraf yang pada asalnya digunakan untuk mengawal tangan dan lengannya dialihkan ke otot dada.

Hanya dua pusat di dunia mampu menjalankan pembedahan seperti itu, iaitu di Chicago dan Vienna.

Sejak 18 bulan kebelakangan ini Garthwaite belajar mengawal tangan palsunya menggunakan otak dengan memfokuskan pemikirannya terhadap saraf di dadanya itu.

Beliau membuktikan mampu melakukan kerja seharian mudah seperti menanam pokok di dalam pasu dan membuat sandwich jem menggunakan tangan palsu itu.

Berucap di Pusat Pemulihan Perubatan Tentera di Headley Court, Garthwaite berkata: “Perjalanan ini sangat panjang, terlalu banyak pahit dan manisnya. Mujur segalanya hampir selesai dan saya memang tidak sabar menyambut Krismas bersama isteri dan keluarga.”

Juruteknik prostetik terkemuka di Headley Court, Steve Lambert, yang membantu Garthwaite ketika tempoh pemulihannya berkata: “Saya bertugas dalam bidang trauma kompleks selama enam tahun, namun kes ini paling menyentuh hati saya.

“Saya melihat teknologi bidang ini berkembang begitu pesat dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini. Saya percaya inilah masa depan dunia perubatan.”

Pakar perunding pemulihan Hedley Court, Tim Jones yang merawat Garthwaite memuji kekuatan semangat pesakitnya itu.

“Beliau kuat semangat dalam usaha menguasai tangan palsunya.

“Bukan perkara mudah kerana anda perlu mengolah segala ‘wayar’ dalam otak anda. Sepatutnya ia juga dimasukkan dalam program Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).”

Pembedahan Garthwaite yang dilakukan di Universiti Perubatan Vienna pada 2011 manakala tangan palsunya berharga £60,000 (RM315,690) yang dibayar Kementerian Pertahanan.

40 tahun hidup dalam kandang besi

Beijing: Seorang wanita China yang mengurung anak lelakinya dalam kurungan selama lebih 40 tahun merayu orang ramai menjaga anaknya itu jika dia mati kelak.
Peng Weiqing, 48, dikurung dalam kurungan di kediaman ibunya di Zhengzhou, ibu negara Henan sejak berusia enam tahun. 
Walaupun tindakannya itu mungkin dilihat kejam tetapi Peng Waimei berkata, dia melakukan demikian untuk melindungi Weiqing.

Waimei dan mendiang suaminya mengurung anak lelaki mereka dan memberinya makan dari luar jeriji kurungan itu selepas Weiqing mengalami beberapa masalah kesihatan sejak kanak-kanak lagi.
Foto
WAIMEI menyuapkan makanan ke mulut Weiqing dari luar jeriji kurungan.

Ketika Weiqing masih bayi, dia menghidap demam panas yang menjejaskan otaknya.

Dia kemudian mula menderita serangan sawan yang teruk ketika berusia enam tahun.

Bimbang Weiqing akan mencederakan diri sendiri dan tidak mampu untuk mendapatkan rawatan, bapanya membuat beberapa kurungan yang bersaiz besar apabila anak lelakinya itu kian membesar.

“Dia tidak boleh mengawal diri. Ketika kecil, dia selalu melukakan diri sendiri dengan pisau dan serpihan kaca.

“Malah, ketika berjalan pun, dia akan terjatuh hingga mukanya tercedera dan berdarah,” kata Waimei.

Dengan ketiadaan suami dan dia sendiri sudah mencecah 80 tahun, Waimei bimbang dengan keadaan anaknya itu jika dia mati kelak. - Agensi

Wanita hodoh berwajah baru


Warsaw: Seorang wanita Poland yang cacat mukanya kerana ketumbuhan besar mendapat wajah baru minggu lalu.

Wanita yang hanya dikenali sebagai Joanna itu mendapat wajah baru selepas menjalani transplan muka, yang kedua di negara itu.


Sebelum pembedahan, Joanna berdepan kesukaran untuk mengunyah dan menelan makanan mahupun bercakap.

Pakar bedah Dr Adam Maciejewski yang mengetuai pembedahan selama 23 jam itu berkata, dia berharap 80 peratus transplan kulit pada wajah pesakit akan pulih dan berfungsi kembali.

Foto
KEADAAN muka Joanna sebelum dibedah.
Foto
WAJAH Joanna selepas menjalani transplan muka.

Joanna mengalami kecacatan akibat neurofibromatosis - keadaan genetik yang menyebabkan ketumbuhan tidak mengancam nyawa tumbuh di sepanjang sarafnya.


Keadaan itu juga menyebabkan masalah tulang, tekanan terhadap saraf spina, kesakitan, kecacatan pembelajaran dan penglihatan serta pendengaran. Tiada rawatan dapat memulihkan keadaan itu.

Walaupun kebanyakan mereka yang mengalami masalah itu yang diwarisi daripada ibu atau bapa, 50 peratus memperolehnya secara rawak daripada mutasi gen sebelum dilahirkan.

Joanna kini dalam keadaan serius tetapi stabil selepas pembedahan di Pusat Kanser dan Institut Onkologi di Gliwice, Poland.

Pada Mei lalu, Maciejewski dan rakan sekerjanya menjalankan transplan muka pertama di Poland terhadap seorang lelaki yang koyak wajahnya akibat terkena mesin pemotong batu. Keadaannya dikatakan semakin pulih.

Pembedahan dijalani lelaki itu mengambil masa 27 jam dan dilakukan seminggu selepas dia terbabit dalam nahas berkenaan. - Agensi

Sejuta ‘like’ di FB sebagai mas kahwin


Sana’a: Seorang pemuda Yaman yang melamar kekasihnya terkejut apabila bakal bapa mentua menyuruhnya mendapatkan sejuta ‘like’ di Facebook (FB) sebagai mas kahwin.

Salim Ayyash meminta lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Osama menulis perkataan ‘like’ sejuta kali selama sebulan dalam setiap tweet selain kepada semua rakannya di Facebook.


Bagaimanapun, Osama diberitahu jumlah ‘like’ itu mungkin diberi ‘diskaun’ sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.



Salim yang merupakan personaliti Facebook terkenal di wilayah Taizz turut memberi amaran akan memantau akaun laman sosial Osama itu.


“Salim akan memantau aktiviti ‘online’ Osama bagi memastikan dia melaksanakannya.


“Namun Salim berjanji akan membuat penilaian pada hujung bulan dan mungkin mengurangkan jumlah mas kahwin jika berpuas hati dengan kesungguhan Osama,” lapor akhbar Arab Saudi, Sada. - Agensi

Gempar ‘Pontianak Kota Kemuning’

Shah Alam: Penyebaran imej seorang wanita berambut panjang di sekitar Kota Kemuning, di sini, sejak beberapa hari lalu, menimbulkan misteri dalam kalangan penduduk setempat.
Imej dalam foto itu kini dikatakan tersebar luas pengguna telefon pintar dan dipercayai dirakam di sebuah kawasan pembinaan sekitar bandar raya ini sebelum diperoleh seorang penduduk.
Beberapa penduduk yang melihat gambar itu memberi pelbagai reaksi kerana sehingga kini tidak diketahui siapa merakam imej berkenaan.

Penduduk Shamsudin Daim, 40, berkata, imej dalam foto itu dipercayai dirakam pada waktu siang ketika beberapa pekerja menyiapkan kerja menambak tanah di sebuah tapak pembinaan.
Foto
GAMBAR yang dirakam seorang lelaki dengan imej wanita berambut panjang (dalam bulatan) di Kota Kemuning.

Bagaimanapun, katanya, ketulenan foto itu tidak dapat disahkan kecuali selepas ia dinilai pakar dalam bidang teknologi fotografi atau grafik jika gambar berkenaan menggunakan teknik pertindihan.

“Memang foto imej wanita berambut panjang itu tersebar meluas di sekitar Kota Kemuning. Cuma kita tidak tahu siapa merakamnya. Mungkin ia tulen atau mungkin juga tidak. Hanya pakar dapat menentukannya.

“Namun berdasarkan imej diperoleh, memang tertera imej seorang wanita berambut panjang,” katanya yang tidak mengetahui identiti perakam gambar itu.

Sementara itu, Bilal Surau Al-Hidayah Jalan Kebun Jamal Sanusi, 50, yang turut melihat imej berkenaan berkata, tiada yang mustahil dalam kehidupan manusia, terutama membabitkan sesuatu yang ghaib atau di luar pengetahuan.

“Cuma kita tidak boleh terlalu taksub selagi kita tidak tahu kesahihan gambar berkenaan atau sebaliknya.

“Perkara begini kadangkala boleh menjejaskan akidah kalau kita tidak berhati-hati jika orang ramai mempercayainya bulat-bulat,” katanya.

Diikat, disebat akibat ponteng sekolah

Nanchong: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun diikat oleh bapanya pada sebatang pokok sebelum disebat dengan kayu di depan orang ramai.
Kanak-kanak berkenaan dihukum demikian selepas ditangkap oleh bapanya kerana tidak ke sekolah walaupun diberi wang belanja kira-kira RM50. 
Si bapa mengesyaki perbuatan anaknya itu selepas dia pulang lewat minggu ini.
Selepas memandu mengeliling bandar Nanchong di Sichuan, wilayah di barat daya China, lelaki itu menemui anaknya berhampiran sebuah pasar. 
Foto
KANAK-kanak yang dipukul bapanya kerana ponteng sekolah.
Dia menangkap anaknya lalu mengikat murid itu pada sebatang pokok sebelum menanggalkan seluarnya dan menyebat punggungnya dengan kayu tanpa mempedulikan cuaca sejuk dan orang ramai yang lalu lintas di kawasan berkenaan. 
Walaupun terdapat undang-undang di China yang menghalang penderaan melampau terhadap kanak-kanak, tindakan lelaki itu masih dibenarkan kerana wujud undang-undang lain yang membolehkan pihak berkuasa mengarahkan ibu bapa melaksanakan disiplin ketat ke atas anak mereka sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan serius.

Menurut lelaki itu, anaknya tidak hadir ke sekolah beberapa hari tanpa pengetahuannya dan kanak-kanak itu tidak pulang tepat pada waktunya sehari sebelum dia memukulnya.

Keesokannya, dia menemui anaknya berkeliaran di jalan raya. Kanak-kanak itu cuba lari tetapi ditangkap bapanya. - Agensi

Dipecat kerana tak solat subuh


Riau: Seramai 19 pekerja kontrak kerajaan di wilayah Hulu Rokan dipecat kerana gagal menghadiri solat subuh yang dijadikan program keagamaan wajib pihak berkuasa tempatan pada setiap Jumaat.

“Kebanyakan yang dipecat adalah lelaki.



“Kejadian berlaku pada pertengahan November,” kata ketua Jabatan Sumber Manusia Rokan Hulu, Heni Widiastuti.

Pada 8 November lalu, ketua wilayah Parti Demokratik, Achmad, membuat pemeriksaan mengejut di masjid itu yang terletak di kompleks pejabat wilayah.

Syarat menghadiri solat subuh itu dilaksanakan tiga tahun lalu.

Selain itu, kakitangan turut diwajibkan berpuasa setiap Isnin dan Khamis, menghadiri kelas mengaji setiap petang Rabu dan menyertai solat setiap jam 3 petang.

Seorang daripada pekerja dipecat yang enggan namanya disiarkan meluahkan rasa terkejut dan kecewa dengan keputusan itu.

Dia yang bertugas di situ selama lima tahun mendakwa tidak diberi sebarang amaran.

Selain itu, alasan diberikan iaitu tinggal terlalu jauh sehingga terpaksa bermalam di pejabat jika mahu menghadiri solat subuh jemaah setiap Jumaat tidak diendahkan.

“Pada hari kejadian saya tidak sihat, namun terlupa memaklumkan bos saya,” katanya.

Bagaimanapun, Heni berkata pekerja terbabit menandatangani perjanjian berdepan tindakan dipecat jika gagal mematuhi polisi ditetapkan.


- Agensi

Kanak-kanak lelaki secerdik Einstein


Sherwyn Sarabi, 4, mempunyai IQ setaraf dengan beberapa cendekiawan dunia termasuk Albert Einstein, Bill Gates dan Stephen Hawking. - AGENSI
SOUTH YORKSHIRE, England 14 Dis. - Seorang kanak-kanak lelaki di sini mempunyai kecerdasan luar biasa apabila dia mencatat markah setinggi 160 dalam ujian tahap kecerdasan otak (IQ), baru-baru ini.
Menurut pakar psikologi pendidikan, Dr Peter Congdon, Sherwyn Sarabi, 4, berkemungkinan boleh mempunyai IQ setaraf dengan beberapa cendekiawan dunia termasuk Albert Einstein, Bill Gates dan Stephen Hawking.
"Sarabi mencatatkan markah tertinggi dalam ujian IQ yang dijalankan baru-baru ini, sekali gus menunjukkan dia merupakan seorang kanak-kanak yang luar biasa.
"Sarabi juga mampu berkomunikasi seperti orang dewasa dan menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi," katanya.
Sarabi menyertai Mensa iaitu sebuah organisasi antarabangsa khusus untuk golongan IQ tinggi pada usia tiga tahun.
Seawal usia 10 bulan, kanak-kanak istimewa itu sudah mula bercakap dan berkomunikasi menggunakan ayat penuh pada usia 20 bulan, sekali gus mengejutkan ibu bapanya, guru dan doktor yang merawat.
Sarabi mempunyai tahap mentaliti kanak-kanak berusia lapan tahun, iaitu dua kali ganda berbanding usia sebenarnya, selain pernah membaca lebih 940 buah buku terutamanya ensiklopedia.
Kini, Sarabi mula bersekolah di Sekolah Swasta Rastrick di Huddersfield.
Ibunya, Amanda Sarabi, 37, yang merupakan bekas guru berkata, dia gembira dengan perkembangan anak lelakinya itu.
"Sarabi sering bertanyakan pelbagai soalan kepada saya dan menjadi tugas saya untuk cuba menjawab sebaik mungkin agar dia memahami apa yang berlaku di sekelilingnya," ujarnya . - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131215/lu_07/Kanak-kanak-lelaki-secerdik-Einstein#ixzz2ndDFiRLR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Merakam Imej Makhluk Asing


Sudah pasti ia hanyalah sebuah gambar tunggal, dan ya, mereka mungkin tidak pernah perasan akan kelibat makhluk asing itu sehinggalah apabila mereka telah melihat dan meneliti gambar tersebut. Walaubagaimana pun, sebelum gambar tersebut diambil, sudah terdapat pelbagai laporan yang dibuat mengenai kelibat imej misteri itu.


Sebagai contoh dalam kejadian di Voronezh, Rusia pada 27 September 1989, beberapa orang kanak-kanak melihat kelibat makhluk asing yang berketinggian 9 kaki tinggi dengan sebuah robot pengiring jalan bersama. Bahkan di Taiwan pada Disember 2012, seorang pegawai polis di kawasan gunung tanpa sebarang pokok telah melihat makhluk asing dengan ketinggian sama seperti dalam gambar ini. Apa yang boleh dikatakan, kewujudan makhluk asing ini adalah benar dan ia masih berada diluar sana.

Menurut pihak ADGUK News, sekumpulan pendaki muda telah menegaskan yang mereka telah berjaya menangkap gambar makhluk asing tinggi berwarna kelabu di dalam sebuah hutan tebal di berhampiran Plovdiv, Bulgaria.

Kumpulan itu mula mendaki di Yundola, iaitu sebuah kawasan padang rumbut yang besar antara pergunungan Rila dan Rhodoppe, apabila mereka terserempak dengan makhluk misteri ini. Salah seorang dari mereka telah berjaya merakam imej makhluk asing ini.-penpatah
sumber