Pages

Thursday, August 30, 2012

Tentera Syria, pemberontak bertempur dekat lapangan terbang



BEIRUT 29 Ogos - Satu pertempuran sengit berlaku antara tentera Syria dengan pemberontak berdekatan lapangan terbang tentera Taftanaz yang terletak antara Aleppo dan Idlib, hari ini.
Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, letupan boleh didengari di lapangan terbang itu, pangkalan yang menempatkan pesawat pejuang dan helikopter untuk menggempur kubu pemberontak di dua bandar berkenaan.
Taftanaz sebelum ini pernah beberapa kali diserang oleh pemberontak yang berkubu di Aleppo dan Idlib.
Pertempuran di Aleppo berlanjutan sejak sebulan lalu dengan tentera gagal mengundurkan pemberontak dari bandar tersebut.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria menyatakan, seramai 189 orang termasuk 143 orang awam, 14 pemberontak dan 32 askar terbunuh di seluruh negara, semalam.
Sementara itu, Turki akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mewujudkan satu 'kawasan selamat' di Syria bagi menempatkan dan melindungi beribu-ribu rakyat Syria yang menyelamatkan diri dari konflik tersebut.
"Ankara mahu PBB melindungi pelarian dan membina kem pelarian di dalam Syria sendiri,'' kata Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu sebelum berlepas ke New York bagi menghadiri satu mesyuarat Majlis Keselamatan.
Turki berkata, Ankara akan menghadapi masalah jika terpaksa menempatkan lebih ramai pelarian di sana yang kini mencecah lebih 80,000 orang.
Dalam pada itu, lebih 20 anggota polis cedera akibat dibaling batu oleh pelarian Syria di sebuah kem di utara Jordan semalam, selepas kem itu menerima kemasukan pelarian dalam jumlah yang besar sejak beberapa hari lalu.
Seorang pegawai kerajaan yang enggan dikenali berkata, berpuluh-puluh pelarian Syria melancarkan tunjuk perasaan di kem Zaatari kerana tidak berpuas hati dengan tahap kehidupan mereka di tempat itu.
"Beberapa pelarian bertindak membaling batu ke arah polis dan menyebabkan lebih 20 anggota cedera. Bagaimanapun tidak ada yang maut dalam insiden itu," kata pegawai itu. - AFP

Saintis temui spesimen serangga tertua di dunia



NEW YORK 29 Ogos - Sekumpulan saintis menemui spesimen serangga paling tua di dunia yang dianggarkan berusia 230 juta tahun.
Penemuan fosil hasil kajian dua penyelidik dari Universiti Padova, Eugenio Ragazzi dan Guido Roghi itu didedahkan oleh kurator Muzium Sejarah Sejarah Alam Semula Jadi Amerika Bahagian Zoologi Invertebrat, David Grimaldi melalui penulisannya yang disiarkan dalam jurnal sains, Proceedings of the National Academy of Sciences.
Menurut Grimaldi, spesimen serangga itu yang merupakan seekor lalat dan dua ekor hama, ditemui dalam skala kecil dengan ukuran dua hingga enam milimeter di Dolomite Alps, timur laut Itali.
Jelasnya, penemuan fosil terbaru berusia kira-kira 230 juta tahun itu lebih tua berbanding fosil lain yang ditemui sebelum ini seperti serangga, labah-labah dan ketam.
Sebelum ini, rekod usia fosil serangga yang ditemui dianggarkan berusia 130 juta tahun.
Grimaldi berkata, dua spesimen baru itu merupakan spesies baru hama yang dinamakan sebagai Triasacarus fedelei dan Ampezzoa triassica.
Tambahnya, fosil berkenaan merupakan yang tertua dalam kumpulan khas, dikenali sebagai Eriophyoidea yang mempunyai kira-kira 3,500 spesies dan kesemua spesies serangga itu makan tumbuhan serta mampu membesar dengan saiz yang tidak normal.
"Anda fikir pada zaman Triassic, anda akan menemui hama yang bersaiz besar, tetapi sebenarnya tidak," katanya. - AGENSI

Tentera Syria gempur timur Damsyik



Kepulan asap tebal kelihatan di bandar Ain-Terma, pinggir Damsyik setelah askar kerajaan menggempur beberapa kawasan di pinggir ibu negara Syria, semalam. - REUTERS
BEIRUT 28 Ogos - Tentera Syria menggempur kawasan timur Damsyik awal pagi ini selepas melancarkan serangan udara menggunakan helikopter di ibu negara itu yang menyebabkan 60 orang maut, semalam.
Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, kejadian itu berlaku selepas 190 orang termasuk 116 orang awam, 40 anggota pemberontak dan 34 askar maut di seluruh Syria, semalam.
Agensi yang berpangkalan di Britain itu melaporkan serangan sengit dilancarkan di Zamalka, Qaboon, Jubar dan Ein Tarma sejak malam tadi.
Selepas melancarkan serangan besar-besaran di kawasan barat daya Damsyik pada minggu lepas yang menurut pemberontak, melibatkan pembunuhan besar-besaran di bandar Daraya, tentera kini memberi fokus kepada kawasan Ghuta, kawasan pinggir Damsyik.
Jaringan aktivis, Majlis Agung Revolusi Syria, berkata, tentera melancarkan serangan ke atas Harasta dan Irbin, kawasan luar bandar di timur Damsyik.
Ia melaporkan serangan meriam dilancarkan dari Harasta ke pusat bandar ketika helikopter dan jet pejuang dilihat meronda di udara.
Dalam pada itu, Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, tujuh lagi mayat yang masih belum dikenal pasti ditemui di Daraya, manakala 14 mayat yang lain ditemui di kawasan lain di wilayah itu.
Aktivis berkata, lebih 300 mayat ditemui sejak Ahad lalu di Daraya selepas tentera pimpinan Presiden, Bashar al-Assad melancarkan serangan berat sejak lima hari lalu. - AFP

Bashar tolak saranan Turki

BEIRUT: Presiden Bashar al-Assad berkata, cadangan mengenai zon penampan dikuatkuasakan Barat di wilayah Syria tidak realistik dan keadaan negara itu kini “lebih baik” walaupun lebih banyak masa diperlukan bagi mengatasi konflik terhadap pemberontak.
Bercakap dalam sesi temu bual dengan televisyen tempatan, Addounia, Bashar berkata, idea mengenai zon penampan itu tidak praktikal, termasuk bagi negara yang memusuhi Syria.

Komen itu dibuat sebagai tindak balas terhadap khabar angin mengenai kedudukannya sejak insiden pengeboman di Damsyik Julai lalu.

Kata Bashar, dia bercakap dari Istana Presiden di ibu negara Syria itu. Turki yang berjiran dengan Syria mencadangkan satu zon penampan dibina untuk orang awam dan diletak di bawah perlindungan negara asing ekoran pertempuran kian meningkat di Syria. Presiden Perancis, Francois Hollande, menyokong cadangan Turki itu. Syria pernah menjalin hubungan rapat dengan Turki tetapi situasi itu berubah disebabkan reaksi Bashar terhadap kebangkitan rakyatnya.

Perdana Menteri Turki, Reccep Tayyip Erdogan kini menjadi antara pengkritik utama Syria dan meningkatkan kemungkinan campur tangan tentera di negara itu jika pemberontak Kurdis menjadi ancaman di situ. Mengenai isu itu, Bashar berkata, Syria tidak akan berundur disebabkan “kejahilan” sesetengah pegawai Turki.

“Rakyat Turki menyokong kita sepanjang krisis ini,” katanya. Sementara itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu, menggesa PBB menangani pelarian Syria di negara itu sendiri dan bukan membiarkan mereka membanjiri Turki.


Setakat ini, lebih 80,000 rakyat Syria menjadi pelarian akibat konflik di negara itu. - Reuters

Jepun jangka gempa bumi kuat

TOKYO: Kerajaan Jepun semalam mendedahkan kemungkinan berlakunya bencana alam paling buruk di mana gempa bumi gergasi di Lautan Pasifik mungkin akan membunuh 320,000 orang, iaitu lebih buruk daripada bencana tsunami, tahun lalu.
Jangkaan mangsa itu dibuat berdasarkan bencana di mana gempa bumi kuat dengan 9.0 magnitud menyebabkan tsunami besar yang pernah melanda pesisiran pantai Jepun di selatan Tokyo.
Jangkaan hipotesis bencana Pejabat Kabinet, akan menyaksikan gempa bumi melanda pada waktu malam dalam musim sejuk diikuti oleh angin kencang akan menyebabkan ombak besar setinggi 34 meter melanda ketika kebanyakan mangsa sedang tidur.

Kebanyakan 323,000 mangsa itu akan mati lemas disebabkan tsunami, dihempap objek yang jatuh atau akibat kebakaran disebabkan bencana itu, katanya.


Pada 11 Mac, tahun lalu, gempa bumi dengan 9.0 magnitud berlaku di Jepun pada awal tengah hari, menyebabkan tsunami setinggi 20 meter melanda negara itu.

Kira-kira 19,000 orang terbunuh atau masih lagi hilang ketika tsunami melanda loji nuklear Fukushima Daiischi menyebabkan kebakaran di reaktor dan menyebabkan krisis atom terburuk.

Menteri Pengurusan Bencana, Masaharu Nakagawa berkata, “Selagi kita tinggal di Jepun, kita tak boleh menolak kemungkinan gempa bumi dan tsunami.”

Laporan itu disediakan untuk senario terburuk supaya ia dapat membantu pegawai meningkatkan lagi persediaan menghadapi bencana. - AFP

Ulama Sunnah maut dibom




         
BOLGAR (Russia): Seorang pengebom berani mati wanita membunuh seorang ulama berpengaruh dan enam pengikutnya di wilayah Dagestan, selatan Russia, semalam. Insiden itu berlaku ketika Presiden Vladimir Putin melawat satu lagi wilayah didiami majoriti penduduk Islam, Tatarstan.

Ulama Sunnah terkemuka, Said Atsayev, 74, terbunuh apabila seorang wanita memasuki rumahnya dengan menyamar sebagai pengikut sebelum meletupkan bahan peledak di pinggangnya.


Kematian Said - juga dikenali sebagai Sheikh Said Afandi al-Chrikavi - berlaku ketika Putin menyeru rakyat Russia bersatu, serta memberi amaran kesan ke atas pelampau.

“Kita tidak akan biarkan sesiapa memusnahkan negara ini dengan mengeksploitasi perbezaan etnik dan agama.


“Pengganas, penjenayah, apa saja slogan ideologi digunakan hanya bertujuan menyemai kebencian dan ketakutan,” katanya. Dalam kejadian berasingan di Dagestan, seorang pengawal sempadan menembak mati tujuh rakan sekerjanya sebelum dibunuh anggota lain.


Interfax melaporkan, penyerang dilatih “penjenayah” - istilah digunakan merujuk kepada militan Islam. - Reuters

5 helikopter musnah diserang pemberontak




         
BEIRUT: Pemberontak Syria semalam mendakwa, mereka memusnahkan lima helikopter di sebuah pangkalan udara di antara Aleppo dan Idlib.

Seorang pemberontak yang terbabit dalam serangan itu, Abu Mossab, berkata mereka mengebom lapangan terbang tentera di Taftanaz dengan dua kereta kebal kerajaan yang ditawan.


Bagaimanapun, dakwaan itu tidak dapat disahkan lagi. Pertempuran sengit tercetus di lapangan terbang itu, mendorong tentera menggunakan helikopter melancarkan serangan ke bandar Taftanaz.

Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia berkata, 14 tentera kerajaan dan dua pemberontak maut dalam pertempuran itu.


“Letupan dapat didengar dari lapangan terbang itu yang dijadikan pangkalan pesawat pejuang dan helikopter kerajaan,” kata pertubuhan berkenaan. Di Aleppo, pertempuran sengit tercetus di beberapa daerah.


Di Damsyik pula, tentera menyerang kubu pemberontak untuk hari ketiga berturut-turut. - AFP

9 serang penduduk Palestin didakwa



30 Ogos 2012
9 serang penduduk Palestin didakwa
Sembilan remaja Israel termasuk lapan juvana didakwa kerana menyerang seorang remaja Palestin pada 17 Ogos lalu.
TEL AVIV - Sembilan remaja Israel termasuk lapan juvana didakwa, kelmarin selepas bertindak menyerang seorang remaja Palestin, Jamal Julani sehingga menyebabkan mangsa kritikal pada 17 Ogos lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Keadilan, lapan daripada mereka akan dibicarakan di Mahkamah Baitulmaqdis atas tuduhan melakukan hasutan perkauman dan serangan ganas.

Manakala, suspek kesembilan iaitu seorang remaja perempuan akan dibicarakan di Mahkamah Majistret atas dakwaan melakukan hasutan perkauman dan keganasan .

Difahamkan, kesemua suspek dipercayai membuat kacau di Dataran Zion dan mengganggu pejalan kaki terutamanya penduduk Palestin yang melalui kawasan itu.

Julani dan tiga saudaranya yang berada di kawasan tersebut turut dikejar oleh mereka sebelum dipukul sehingga cedera parah serta tidak sedarkan diri.

Bahana tiga taufan

Ramai penduduk Qingdao di timur laut China berkumpul melihat kesan yang dibawa taufan Bolaven menyebabkan ombak besar membadai pantai.
Ramai penduduk Qingdao di timur laut China berkumpul
melihat kesan yang dibawa taufan Bolaven
menyebabkan ombak besar membadai pantai.

Seoul/New Orleans: Semenanjung Korea bersiap sedia menghadapi taufan Tembin mulai hari ini selepas 16 terbunuh, enam daripadanya nelayan China, dan 10 lagi hilang selepas Korea Selatan dibadai taufan Bolaven yang kini melanda Korea Utara.
Selain itu, tujuh tahun selepas menyaksikan kemusnahan besar di New Orleans, sistem keselamatan dan binaan penahan banjir kota itu sekali lagi akan diuji taufan Isaac yang membawa angin kencang dan hujan lebat mulai semalam di Louisiana, selatan Amerika Syarikat.

Terputus bekalan elektrik

Taufan Bolaven menjadi punca beribu-ribu penduduk Korea Selatan terputus bekalan elektrik, membatalkan penerbangan, hampir 100 keluarga hilang tempat tinggal dan tanah pertanian bercucuk tanam selain menyebabkan dua kapal nelayan China melanggar batu di perairan selatan Pulau Jeju menyebabkan tujuh maut dan lapan hilang.

Bolaven diramal membawa angin kencang dan ribut ke wilayah timur China, Shandong dan Jiangsu selain Shanghai.

Jiangsu sudah memindahkan lebih 23,000 penduduk selain menghentikan khidmat feri di Tasik Taihu.


12 nelayan diselamatkan
Pengawal pantai Korea Selatan menyelamatkan 12 nelayan China dan enam lagi berenang ke tepi pantai atau ditolak ombak ke tepian. Empat lagi maut di tempat lain di Korea Selatan.

Media rasmi Korea Utara, Korean Central News Agency (KCNA) pula melaporkan bahawa angin kencang Bolaven menyebabkan bumbung sebuah stesen elektrik tercabut, memutuskan bekalan kuasa di bandar Kaesong selain merosakkan banyak kawasan pertanian.

Angin kencang dan hujan lebat juga melanda ibu kota negara itu, Pyongyang, tetapi tidak menyebabkan kematian sekadar menyebabkan air naik di jalan raya.

Taufan Tembin dijangka tiba di Korea Selatan mulai hari ini membawa angin selaju 30 meter sesaat dan menuju Korea Utara, esok.

Kelmarin, Tembin menyebabkan tiga penduduk yang tinggal dekat pantai cedera di Taiwan selepas bumbung rumah tercabut dirempuh ombak setinggi enam meter.

Taufan berkenaan berlaku ketika Korea Utara cuba membantu penduduknya dari segi makanan, tempat berlindung, penjagaan kesihatan dan air bersih selepas dilanda banjir pada Julai lalu.

Bah itu menyebabkan 170 maut di Korea Utara selepas beribu-ribu kediaman musnah dihanyutkan air, menurut laporan rasmi negara itu.


Taufan Isaac landa Louisiana

Di NEW ORLEANS, taufan Isaac mula melanda selatan Louisiana dengan angin kencang dan hujan lebat sehingga 50 sentimeter mulai semalam dan dijangka tiba di New Orleans awal hari ini.

Isaac adalah taufan pertama melanda Amerika tahun ini. Meskipun tidak sekuat Katrina iaitu ribut kategori 3 ketika melanda pada 29 Ogos 2005, Isaac yang berada dalam kekuatan kategori 1 mengingatkan semula kepada keadaan selepas Katrina. - AP/Agensi

Dipenjara potong zakar bekas kekasih



Sydney: Seorang wanita Australia yang mengaku membunuh bekas kekasihnya dan cuba untuk memotong zakarnya dipenjara tiga tahun dan sembilan bulan semalam dan mahkamah menerima bahawa tertuduh menderita kemurungan.

Jian Chen, 47, mengaku bersalah membunuh tanpa niat bekas teman lelakinya Jian Xiang Peng selepas diberikan ubat pelali hingga membawa maut dan ditikam pada Februari tahun berikutan pergaduhan mengenai wang dan anak lelaki pasangan terbabit.
Musnahkan ‘senjata raksasa’
Jian memberitahu seorang pakar psikiatri bahawa ‘sesuatu dalam dirinya’ meminta beliau memusnahkan ‘senjata raksasa’, di mana lelaki terbabit menggunakan zakar beliau untuk mencederakan wanita dan anak.”

“Saya tahu Peng menggunakan zakarnya untuk menarik wanita mendapatkan anak mereka, menggunakan kanak-kanak terbabit sebagai alat untuk memeras wang daripada kami,” kata Jian berikutan hukuman yang diterimanya.

“Ada sesuatu meminta saya melakukannya, jangan biarkan raksasa itu menjejaskan lebih ramai kanak-kanak.

“Saya ingat saya memotong zakarnya. Saya mengepam ke dalam tandas supaya beliau tidak menganiaya lebih ramai kanak-kanak dan beliau tidak boleh menganiaya lebih ramai wanita.”

Masuk ubat pelali dalam sup

Beliau memasukkan ubat pelali dalam sup mangsa sebelum menyerang dan menghubungi perkhidmatan kecemasan untuk melaporkan ‘seseorang sudah mati’, dengan memberitahu operator “Saya bunuh dia, bekas teman lelaki saya, beliau seorang yang kejam”, katanya mengakui menikam pada leher dan zakar mangsa.

Hakim Monika Schmidt berkata polis menemui mangsa dengan pergelangan tangan dan kakinya dipenuhi darah akibat kecederaan di leher dan pangkal peha.

“Satu usaha untuk memandulkan beliau dibuat. Beliau luka sebelah pangkal peha dan zakarnya dipotong,” kata Schmidt, sambil menambah bahawa beliau kemudian mati di hospital akibat kecederaan teruk.

“Laporan bedah siasat menunjukkan bahawa mangsa mengalami luka teruk. Ia diikuti mangsa tidak sedarkan diri.”

Schmidt memenjarakan Jian untuk tiga tahun sembilan bulan selepas mendapati tertuduh mengalami kemurungan yang sejak sekian lama. - AFP

Assad mesti tinggalkan kuasa: Presiden Mesir



PARIS: Presiden Mesir, Mohamed Morsi bersetuju bahawa tiada lagi pendekatan politik kepada Syria sehingga Presiden Bashar al-Assad tidak berundur daripada jawatannya.

Dalam satu kenyataan menerusi telefon antara Morsi dan Presiden Perancis, Francois Hollande, jurucakap kerajaan Perancis berkata: "Kedua-kedua ketua negara secara dasarnya mengutarakan keadaan semasa di Syria dan mendapati tiada lagi pendekatan politik yang boleh diambil selagi Bashar al-Assad masih berkuasa.” Dalam perbualan telefon itu, Hollande menekankan komitmennya untuk memberi bantuan yang efektif kepada pihak pembangkang Syria, termasuk bantuan kemanusiaan." - AFP

Presiden Mesir lawat Iran kali pertama selepas sedekad




TEHRAN: Presiden Mesir, Mohammed Morsi tiba di Tehran hari ini, iaitu lawatan pertama ketua negara itu ke Iran sejak lebih sedekad.
Morsi dalam rangka lawatan sempena menghadiri Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM). Stesen televisyen Iran dalam siaran langsungnya menunjukkan Morsi disambut oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad di dewan sidang kemuncak NAM itu.

Tehran menamatkan hubungan diplomatiknya dengan Mesir pada 1979 kerana keputusan Mesir menandatangani perjanjian damai dengan Israel.

Kepemimpinan Iran menyokong pemberontakan Mesir pada 2011 serta peralihan kuasa yang berpihak kepada Morsi sebagai presiden baru negara itu. - AP

Assad dakwa tentera Syria perlu masa untuk menang



DAMSYIK: Presiden Syria, Bashar al-Assad hari ini berkata, pasukan keselamatannya perlu masa untuk menang dalam peperangan saudara dan mengutarakan pandangan memperkenalkan zon bebas bagi menempatkan pelarian.

Assad memberikan kenyataan itu selepas muncul dalam program temubual dengan stesen Addounia yang pro-rejim selepas kejadian serangan bom di pinggir Damsyik yang mengorbankan 27 orang, Selasa lalu. “Saya boleh menyatakan bahawa kami sedang maju dan keadaan di medan perang semakin bertambah baik. Namun, kami masih belum menang lagi dan ia akan mengambil masa," katanya.
Beliau juga menolak kenyataan bahawa ideanya mewujudkan zon bebas berkenaan di sempadan Turki bagi memboleh pelarian mudah memasuki ke negara jiran jika berlaku konflik. - AFP

Kes Amuk JPM: Highlander dan Power Rangers



WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Ogos 2012
Kes Amuk JPM: Highlander dan Power Rangers
Keratan Akhbar muka depan 14 Julai lalu
Kes Amuk JPM: Highlander dan Power Rangers
Muhdalena Ahmad, 28, memakai topeng ketika meninggalkan perkarangan Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini hari ini. -Foto Bernama
SHAH ALAM – Kejadian amuk di pekarangan Kompleks B Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 9 Julai lalu yang mengejutkan negara memasuki bab baru apabila salah seorang yang didakwa penyerang, Muhdalena Ahmad, 28, memulakan prosiding mahkamah.

Muhdalena, yang tiba di Mahkamah Putrajaya dengan topeng Power Rangers berwarna merah, mengingatkan semula kepada pengakuan suaminya, Mohd Irwan Mohd Foad, 28, seperti yang dilaporkan Sinar Harian sebelum ini.

Dalam laporan itu, Mohd Irwan berkata Muhdalena pernah muncul dalam mimpi penyerang lelaki yang mati ditembak, Khalil Afandi Abd Hamid, 47, dengan memakai baju kurung merah, mungkin sebab itu dia memilih Power Rangers merah dan tidak Batman atau Transformers.

Malah, lebih mengejutkan, Mohd Irwan mendedahkan Khalil Afandi sentiasa membayangkan dirinya watak utama filem Highlander dan tidak pernah mati kerana bertukar-tukar jasad dan menegaskan isterinya adalah insan terpilih untuk bersamanya menumbangkan kerajaan yang kononnya tidak mengamalkan pemerintahan Islam.

Malah, Khalil Afandi turut menggunakan internet sebagai medium menyebarkan fahamannya dan mempunyai beberapa orang pengikut taksub.
Muhdalena, yang merupakan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan itu.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mendatangkan cedera parah kepada seorang anggota polis Ridzuan Megat Ahmad manakala bagi tuduhan kedua, dia didakwa membawa sebilah pedang.

Sebelum ini, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya yang diadakan di wad ortopedik Hospital Putrajaya di mana dia sedang menerima rawatan akibat daripada kecederaan yang dialaminya dalam kejadian itu.

9 serang penduduk Palestin didakwa




30 Ogos 2012
9 serang penduduk Palestin didakwa
Sembilan remaja Israel termasuk lapan juvana didakwa kerana menyerang seorang remaja Palestin pada 17 Ogos lalu.
TEL AVIV - Sembilan remaja Israel termasuk lapan juvana didakwa, kelmarin selepas bertindak menyerang seorang remaja Palestin, Jamal Julani sehingga menyebabkan mangsa kritikal pada 17 Ogos lalu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Keadilan, lapan daripada mereka akan dibicarakan di Mahkamah Baitulmaqdis atas tuduhan melakukan hasutan perkauman dan serangan ganas.

Manakala, suspek kesembilan iaitu seorang remaja perempuan akan dibicarakan di Mahkamah Majistret atas dakwaan melakukan hasutan perkauman dan keganasan .

Difahamkan, kesemua suspek dipercayai membuat kacau di Dataran Zion dan mengganggu pejalan kaki terutamanya penduduk Palestin yang melalui kawasan itu.

Julani dan tiga saudaranya yang berada di kawasan tersebut turut dikejar oleh mereka sebelum dipukul sehingga cedera parah serta tidak sedarkan diri.

Buku Osama ditembak cetus kontroversi




30 Ogos 2012
Buku Osama ditembak cetus kontroversi
Sebahagian muka depan buku No Easy Day yang menggambarkan butiran detik Osama bin Laden ditembak mati pada Mei 2011.
WASHINGTON - Seorang bekas anggota Seal, sayap tentera laut Amerika Syarikat (AS), menghasilkan buku berkenaan dengan operasi khas Osama bin Laden ditembak mati di Pakistan awal Mei 2011 - memberi butiran berbeza dengan kenyataan-kenyataan pegawai tertinggi negara itu sebelum ini.

Menurut buku itu, berjudulNo Easy Day, Osama ditembak di kepala ketika menjenguk dari biliknya di tingkat dua sebuah rumah besar di Pakistan.

Malah buku itu juga menyebut Osama, yang diburu oleh AS sejak 2001 susulan peristiwa 11 September, tidak bersenjata ketika ditembak.

Buku itu akan berada di pasaran pada 4 September ini.

Pengakuan penulis ini berbeza berbanding apa yang dikatakan oleh pegawai-pegawai AS selepas operasi bahawa Osama ditembak ketika berdiri di pintu bilik dengan senjata.

Penulis buku itu menggunakan nama samaran "Mark Owen". Dia merupakan bekas anggota Seal yang terlibat dalam operasi tersebut.

Jabatan Pertahanan AS sedang meneliti kandungan buku itu sama ada penulisnya telah melanggar terma dan syarat perkhidmatan Seal dalam menghasilkan tulisan tersebut.

Buku-buku sedemikian perlu dikemukakan untuk tujuan penelitian prapenerbitan.

Kata penulis itu, Osama ditembak ketika bekas ketua rangkaian Al-Qaeda menjenguk keluar, sekali gus mencetuskan semula kontroversi lama.

Malah buku ini keluar ketika tinggal tiga bulan sebelum pemilihan jawatan Presiden AS di mana Barack Obama mahu mempertahankan jawatannya.

Selepas operasi itu, penasihat antikeganasan White House, John Brennan berkata, Osama berdepan dengan anggota Seal menyebabkan dia terpaksa ditembak.

Timbul persoalan sebelum ini mengapa Osama tidak ditangkap, bukannya ditembak mati.

Bagaimanapun White House membetulkan kenyataan pada hari berikutnya ketika itu dengan berkata, semasa ditembak Osama memang tidak bersenjata.

Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan, Tommy Vietor enggan mengulas mengenai buku itu.

PBB: Gaza tidak sesuai untuk kehidupan menjelang 2020 melainkan tindakan segera diambil




29 Ogos 2012
GAZA - Semenanjung Gaza akan menjadi kawasan yang tidak sesuai untuk kehidupan manusia menjelang 2020, sekiranya tindakan segera tidak diambil untuk memperbaiki kedaifan yang dialaminya daripada segi kemudahan sanitasi, bekalan elektrik, pendidikan dan kesihatan untuk memenuhi keperluan penduduk generasi muda di kawasan itu, yang terus meningkat, kata laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.
  
Laporan itu berkata lapan tahun lagi, populasi Gaza dijangka meningkat daripada 1.6 juta kepada 2.1 juta, bertambah lebih 500,000 orang, yang semuanya memerlukan makanan, tempat tinggal dan pendidikan.
  
Gaza adalah antara wilayah yang mempunyai jumlah penduduk muda paling ramai di dunia memandangkan separuh daripada penduduknya berusia kurang 18 tahun, kata beliau.
  
Maxwell Gaylard, Residen dan Penyelaras Kemanusiaan PBB, berkata walaupun beliau melihat jumlah golongan muda yang ramai itu sebagai komoditi yang memiliki potensi, tetapi peluang yang amat berharga ini boleh bertukar menjadi suatu beban sekiranya ia tidak disertai bantuan antarabangsa.
  
“Mereka perlu diberi pendidikan, pekerjaan dan peluang lain untuk menjadi warga berguna. Jika tidak, akan timbul perasaan kecewa, putus asa dan berlakulah kekacauan," kata Gaylard.
  
Kira-kira 80 peratus penduduk Gaza yang mendiami semenanjung sempit ini hanya bergantung hidup dengan bantuan badan antarabangsa, kata laporan itu, yang turut menjelaskan bahawa 40 peratus rakyat Palestin yang tinggal di kawasan pesisir pantai, hidup di bawah paras kemiskinan.

Semenanjung seluas 365km persegi ini juga sering terputus bekalan elektrik. Selain sebuah stesen janakuasa yang terdapat di Gaza, tenaga elektrik untuk wilayah ini juga diperoleh daripada dua pembekal utama lain.
  
Ketika ini, sekitar 242 MW tenaga elektrik dibekalkan ke wilayah ini dan jumlah ini perlu digandakan untuk memenuhi permintaan yang sentiasa meningkat berikutan pertambahan penduduk.
  
Laporan itu juga memberi fokus tentang kedaifan kemudahan sanitasi hingga menyebabkan penduduk Gaza begitu sukar mendapatkan air yang selamat diminum dan kira-kira 90 peratus air minuman diperoleh daripada alat akuafer, tetapi ia tidak selamat diminum kerana tidak dirawat.
  
Malah, air daripada akuafer mungkin sukar didapati lagi menjelang 2016 apabila penduduk terpaksa menggali lebih dalam untuk sampai ke paras air bawah tanah yang begitu cepat kehabisan, kata Jean Gough, wakil UNICEF ke wilayah Palestin yang diduduki Isreal itu kepada pemberita di Gaza.
  
Beliau berkata tiada langsung sampel air bawah tanah daripada kawasan ini yang memenuhi standard kebersihan antarabangsa.

Laporan itu juga berkata keperluan terhadap air minuman dianggar mencecah 260 juta meter padu setahun menjelang 2020 -- lebih 60 peratus daripada air yang diperoleh ketika ini daripada akuafer.
  
Gaza, yang dibedil teruk dalam serangan tiga minggu Israel pada 2008 dan 2009, juga memerlukan tambahan 440 sekolah, 1,000 doktor dan 800 katil hospital menjelang 2020.
  
Gaylard, yang berpendapat bahawa sekatan yang dikenakan Israel ketika ini menghalang rakyat Palestin untuk menambah baik kehidupan mereka, menegaskan bahawa rakyat Palestin memerlukan keselamatan dan keamanan untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan di semenanjung Gaza.
  
“Keadaan yang dihadapi ini bukan berpunca daripada bencana alam. Ia berpunca sepenuhnya daripada angkara manusia dan oleh itu kami menyeru agar sekatan yang dikenakan ditarik balik, manakala pendudukan di semananjung Gaza pula, dihentikan," katanya. - Bernama

Ratusan organ manusia ditemui dalam lokar




30 Ogos 2012
PENSACOLA - Hobi pelik seorang bekas pemeriksa kesihatan menyimpan koleksi organ dalaman manusia seperti otak, jantung dan paru-paru di dalam bekas makanan plastik akhirnya terbongkar, menurut pihak berkuasa di Florida, kelmarin.

Polis memaklumkan organ dalaman yang telah diawet dan dipercayai milik kira-kira 100 individu itu ditemui oleh seorang lelaki yang baru membeli lokar tersebut dalam satu sesi lelongan di Pensacola pada minggu lalu.

Pihak berkuasa turut menemui formaldehid, sejenis bahan kimia untuk tujuan pengawetan yang disimpan di dalam cawan minuman.

"Kami belum dapat memastikan tujuan utama individu itu menyimpan kesemua organ yang semakin mereput itu dan siasatan masih dijalankan," kata Pengarah Pejabat Pemeriksa Kesihatan, Jeff Martin.

Penumpang berpakaian seksi dilarang naik pesawat




30 Ogos 2012
LAS VEGAS - Beberapa syarikat penerbangan Amerika Syarikat membuat peraturan baru iaitu melarang penumpang berpakaian seksi dan berunsur provokasi dari menaiki pesawat mereka.

“Penampilan penumpang memberi imej penting yang akan memberi reputasi baik kepada syarikat penerbangan,” kata Penasihat Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika (FAA) Kenneth Quinn.

Menurutnya, krew pesawat juga berhak untuk mengusir penumpang yang tidak mematuhi etika berpakaian ditetapkan.

"Kami pernah mengusir seorang remaja lelaki yang mengenakan t-shirt memparkan kata-kata lucah dan seluar londeh," katanya.

Minggu lalu, seorang wanita berang apabila dia bersama seorang lagi rakan dilarang menaiki pesawat Southwest Amerika kerana memakai pakaian yang menampakkan lurah buah dada.

Bekas tahanan EO ditembak depan sekolah anak





Anggota polis memeriksa mayat Archuthan yang mati ditembak berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan di Selayang Baru semalam.



KUALA LUMPUR - Seorang bekas tahanan Ordinan Darurat (EO) yang baru beberapa bulan dibebaskan mati ditembak dua lelaki ketika menunggu untuk menjemput anaknya di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan di Selayang Baru dekat sini semalam.

Setiausaha ditipu kekasih Nigeria




HOCK SENG menunjukkan gambar lucah di telefon bimbit yang dirampas daripada warga Nigeria yang ditahan kelmarin.


MELAKA - Hanya dalam tempoh dua bulan, seorang janda anak satu kerugian RM233,227.96 gara-gara terjerat dengan ayat-ayat cinta lelaki Nigeria menyamar sebagai doktor yang dikenalinya menerusi laman sosial Facebook pada awal Mei lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, dalam tempoh perkenalan di alam siber itu, lelaki Nigeria itu mendakwa dia bekerja di Switzerland manakala mangsa yang berusia 56 tahun bekerja sebagai seorang setiausaha di sebuah syarikat.
Menurut beliau, setelah usia perkenalan mencecah hampir sebulan, suspek memberitahu bahawa dia ingin mengirim wang sebanyak AS$380,000 (kira-kira RM1,444,000) kepada mangsa kerana ingin membuka sebuah klinik di negara ini.
"Suspek juga memberitahu akan datang ke Malaysia pada penghujung bulan Mei untuk mengambil wang tersebut.
"Pada 30 Mei lalu, suspek mendakwa wang yang dibawa oleh seorang wanita sudah tiba di Kuching, Sarawak, namun pembawa wang tersebut ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atas kesalahan membawa wang tunai," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
Hock Sing berkata, suspek yang berhubungan dengan mangsa kemudian merayu agar mangsa menolongnya membayar RM54,500 kepada JKDM kononnya sebagai yuran kerana membawa wang tunai.
Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank seorang wanita tempatan pada penghujung Mei lalu.
"Keesokan harinya, janda itu memasukkan sebanyak RM6,500 ke dalam akuan sama setelah suspek mendakwa ada caj lain," kata beliau.
Jelas Hock Sing, pada 1 Jun lalu, mangsa sekali lagi memindahkan wang berjumlah RM77,227.96 ke dalam akaun sama setelah suspek memaklumkan perlu membayar cukai sebanyak tujuh peratus kerana wang yang dibawa itu.
Pada 4 Jun lalu, mangsa sekali lagi memindahkan wang sebanyak RM85,000 kononnya sebagai bayaran tambahan cukai tujuh peratus yang dikenakan.
Pada 5 Jun lalu, mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek kononnya wang sudah tiba di Kuala Lumpur dan meminta mangsa membayar RM10,000 kepada pembawa wang berkenaan melalui satu akaun bank lain.
Menurut Hock Sing, mangsa yang berasal dari sini kemudian diminta ke sebuah hotel di Kuala Lumpur kononnya untuk mengambil wang tersebut daripada seorang lelaki Afrika yang ditemani seorang lelaki tempatan.
"Mangsa diperbodohkan lagi apabila lelaki Afrika itu menyuruh mangsa membayar RM10,000 bagi membeli sejenis cecair kononnya bagi mencuci mata wang dolar Amerika Syarikat yang dibawa dalam sebuah peti besi," kata beliau
Bagaimanapun, kata beliau, mangsa terselamat daripada terus kerugian apabila dia tidak membawa duit dan mula berasa curiga dengan kedua-dua lelaki terbabit.
Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Banda Hilir pada 16 Ogos lalu.
Polis yang menjalankan siasatan berhubung kes tersebut menahan pemilik akaun yang digunakan suspek.
Pemilik akaun tersebut merupakan seorang pelajar wanita tempatan berusia 23.
Susulan penangkapan wanita itu, polis kemudian menahan tiga lagi lelaki Nigeria di sebuah resort di Putrajaya pada pukul 3 pagi kelmarin.
Polis turut merampas tiga telefon bimbit milik warga asing berkenaan. Semakan telefon bimbit berkenaan mengandungi klip video lucah yang dipercayai digunakan oleh lelaki-lelaki Afrika itu untuk memikat mangsa-mangsa mereka.

Muhdalena pakai topeng power Rangers elak gambar dirakam




Muhdalena memakai topeng Power Rangers ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA – Wanita yang cedera ditembak dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM) bulan lalu menarik perhatian ramai apabila memakai topeng Power Rangers sebagai taktik bagi mengelak wajahnya dirakam.
Tertuduh Muhdalena Ahmad, 28, berkelakuan sedemikian ketika hadir bagi mendengar sebutan kali pertama kesnya di Mahkamah Sesyen Putrajaya di sini semalam.
Dalam prosiding itu, Hakim Mohd. Kafli Che Ali memberi tempoh selama sebulan kepada Muhdalena, 28, untuk melantik peguam bela sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan dalam tempoh 90 hari.
Mohd. Kafli memutuskan demikian untuk memberi peluang kepada tertuduh menyelesaikan semua urusan dokumentasi bagi kes pembelaan secepat mungkin, sekali gus membolehkan pihak pendakwaan memulakan perbicaraan.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 12 September depan bagi tarikh sebutan semula kes itu untuk tertuduh melantik peguam.
Muhdalena yang hadir berpakaian baju kurung dan bertudung merah dilihat tenang sambil mengangguk faham ketika mendengar arahan Mohd. Kafli itu.
Ditemani bapanya, Ahmad Adam, 55, ibu kepada dua anak itu dilihat memakai topeng mainan Power Rangers sejurus prosiding selesai bagi mengelak wajahnya dirakam jurugambar di luar mahkamah.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah ketika didakwa kali pertama pada 16 Julai lalu di bilik wad, Hospital Putrajaya atas dua pertuduhan melakukan ugutan jenayah kepada anggota polis, Ridzuan Megat Ahmad dan membawa senjata iaitu sebilah pedang.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks B, JPM, Presint 1, Putrajaya kira-kira pukul 2.30 petang, 9 Julai lepas.
Dalam kejadian tersebut, seorang lelaki, Khalil Afandi Abd. Hamid, 47, yang menggelar dirinya Imam Mahadi terkorban.
Bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan membawa pedang, Muhdalena didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai JKJR buta fail saman RM1 juta


Rozali menunjukkan matanya yang buta
di Mahkamah Tinggi Kota Bharu semalam.
 
KOTA BHARU - Seorang kakitangan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kelantan memfailkan saman RM1 juta terhadap pemilik syarikat pengeluar produk penjagaan mata selepas mendakwa ubat titis yang digunakan menyebabkan sebelah matanya buta, tiga tahun lalu.
Pegawai JKJR, Rozali Che Mat, 40, memfailkan writ saman tersebut menerusi peguam, Shaharuddin Mohamed di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nariman Badruddin di sini semalam.
Rozali yang menamakan pemilik syarikat tersebut, Mohd. Zulkifli Dollah serta rakan kongsinya Mohd. Azuan Alwi sebagai defendan mendakwa, mata kanannya buta hanya selepas menggunakan satu titisan ubat yang dibeli daripada syarikat defendan.
Syarikat produk penjagaan mata yang terkenal itu sebelum ini beralamat di Tumpat namun telah ditutup dan kini dikatakan beralamat di Petaling Jaya, Selangor.
Sehubungan itu, bapa kepada empat orang anak dari Pengkalan Chepa itu menuntut ganti rugi teruk dan teladan sebanyak RM1 juta serta ganti rugi lain yang diserahkan kepada budi bicara mahkamah.
Rozali ketika ditemui di mahkamah memberitahu, dia pergi ke premis perniagaan itu di Pondok Haji Ahmad, Kampung Genting, Pengkalan Kubor pada 19 Disember 2009 kerana mengalami kegatalan pada mata kanannya yang dimasuki habuk ketika bekerja di Labok, Machang.
Semasa mendapat rawatan di premis itu, plaintif mendakwa matanya disembur dengan sejenis ubat sebelum disyorkan membeli dua ubat terapi set siang dan malam untuk dititiskan ke dalam mata.
"Pulang ke rumah pada pukul 11 pagi, saya terus menitiskan ubat titis tersebut ke mata kanan saya dan kira-kira lima jam kemudian saya dapati mata saya mengalami keputihan seperti bernanah yang meliputi mata hitam saya," kata plaintif.
Rozali menambah, pada masa itu, matanya terasa sakit, bengkak serta penglihatannya terjejas namun menyangka ia mungkin tindak balas ubat lalu terus berhenti menggunakan ubat titis tersebut.
Jelas plaintif, selepas dua hari, matanya semakin teruk menyebabkan dia pergi ke sebuah klinik pakar mata di Kota Bharu.
Pemeriksaan doktor pakar itu kemudian mengesahkan mata kanannya buta malah jawapan sama turut diberikan oleh doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

Wanita enggan lepas beg ditetak



ORANG ramai membantu Rohairani yang cedera teruk di tangan kiri akibat ditetak peragut di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Seorang wanita ditimpa malang apabila pergelangan tangan kirinya hampir putus akibat ditetak penjenayah ketika dia berusaha menyelamatkan beg tangannya daripada diragut di hadapan sebuah pusat jualan tudung di Jalan Sultanah Zainab di sini semalam.
Kejadian pada pukul 1.20 petang itu berlaku ketika mangsa Rohairani Abdullah, 36, yang bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik di sini baru keluar dari kereta untuk ke kedai tudung.
Ketika ibu kepada dua orang anak itu berjalan ke kedai tudung, beg tangannya tiba-tiba diragut seorang lelaki sebelum penjenayah itu menetak bertubi-tubi tangan mangsa yang enggan melepaskan beg tersebut.
Seorang penjual tudung, Hidayah Daud, 21, yang menyaksikan kejadian itu berkata, dia melihat peragut itu cuba menarik beg tangan mangsa manakala seorang lagi lelaki menunggu di atas motosikal Honda EX5 di tepi jalan kira-kira 20 meter dari tempat wanita itu diragut.
Kejadian tersebut berlaku di tepi kedainya dan tindakan mangsa yang enggan melepaskan beg tangannya menyebabkan mangsa ditarik kira-kira tiga meter dari lokasi mula-mula mangsa diragut.
“Tindakan mangsa tidak melepaskan beg tangannya menyebabkan peragut itu marah lalu menetak tangan mangsa lebih tujuh kali,” kata saksi itu.
Menurut gadis itu, kejadian selama tiga minit itu menyebabkan orang ramai yang lalu lalang tergamam, panik dan hanya mampu menjerit kerana takut melihat tindakan kejam penjenayah itu.
“Peragut yang berputus asa kemudian meninggalkan wanita itu tanpa dapat meragut beg tangan mangsa,” kata Hidayah sambil memberitahu dia juga takut untuk membantu mangsa kerana penjenayah itu bersenjatakan parang.
Ekoran kejadian itu, kawasan tersebut dipenuhi darah yang meleleh daripada tangan mangsa yang cedera.
Katanya, kira-kira 15 minit kemudian ambulans tiba untuk membawa mangsa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) dekat sini bagi mendapatkan rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan serius iaitu ada antara luka tersebut sedalam 38 sentimeter manakala urat pergelangan tangan kiri mangsa juga putus.
Sehingga malam tadi peragut berhati haiwan itu belum ditangkap manakala kecederaan tangan mangsa belum dapat diketahui statusnya.

Nama kedai cetus kemarahan




RAJESH SHAH menunjukkan kad perniagaannya.


AHMEDABAD, India - Sebuah kedai pakaian lelaki di India diminta menukar namanya selepas nama Hitler yang digunakan membangkitkan kemarahan masyarakat setempat.
Akhbar MailOnline melaporkan pemilik kedai berkenaan, Rajesh Shah mendakwa dia tidak menyedari nama kedainya, Hitler telah mencetuskan kontroversi.
Rajesh berkata, nama tersebut diperoleh daripada gelaran yang diberikan kepada rakan kongsi perniagaan datuknya.
Gedung pakaian itu yang terletak di Ahmedabad, dalam wilayah Gujerat, mencetuskan kemarahan penduduk setempat dan komuniti orang Yahudi di bandar berkenaan.
"Secara jujurnya, apabila saya memohon untuk menggunakan nama Hitler, saya hanya mengetahui bahawa dia seorang lelaki yang tegas," kata Rajesh.
"Cuma baru-baru ini saya tahu cerita tentang Hitler apabila saya melayari internet," tambahnya.
Menurut lelaki itu, dia sanggup menukar nama kedainya yang dibuka sejak dua minggu lalu jika dia dan rakan perniagaannya diberikan sejumlah pampasan ekoran mereka telah kehabisan wang.
Adolf Hitler merupakan diktator Jerman yang banyak melakukan pembunuhan dan jenayah perang semasa Perang Dunia Kedua termasuk dikaitkan dengan penghapusan bangsa Yahudi. - Agensi

Bom 250kg diletupkan




SUSUNAN gambar menunjukkan bom peninggalan Perang Dunia Kedua seberat 250kg diletupkan di pusat bandar Munich, Jerman kelmarin.


MUNICH - Sepasukan pakar letupan di Jerman meletupkan bom peninggalan Perang Dunia Kedua seberat 250 kilogram (kg) di pusat bandar raya ini.
Agensi berita Jerman, DAPD memetik seorang jurucakap polis sebagai berkata, bom lama itu berjaya diletupkan petang kelmarin.
Namun, beberapa serpihan bom yang terbakar menyebabkan beberapa bangunan berdekatan yang dikosongkan dijilat api.
Bom tersebut ditemui pada pagi Isnin lalu di daerah Schwabing di sini.
Usaha untuk mematikan bom berkenaan gagal dengan beberapa pakar memutuskan untuk meletupkan bom tersebut.
Pesawat-pesawat Tentera Berikat menggugurkan bertan-tan bom di Jerman semasa Perang Dunia Kedua untuk melumpuhkan tentera diktator Adolf Hitler.
Puluhan ribu bom itu yang belum meletup dipercayai masih berada di bawah tanah di Jerman. - AP

Orang utan melecur terbakar




ORANG utan jantan ini cedera selepas terjatuh ke atas tanah yang mempunyai unggun api.


PONTIANAK - Beberapa penduduk kampung yang cuba mengusir seekor orang utan keluar daripada sebatang pohon rambutan telah membakar haiwan tersebut secara tidak sengaja.
Menurut akhbar MailOnline kelmarin, orang utan jantan itu bersarang di atas pokok berkenaan setelah habitat asal haiwan berkenaan diganggu oleh manusia.
Insiden itu berlaku di kampung Lower Wajok, Kalimantan Barat.
Bimbang rambutan mereka akan habis dimakan, beberapa penduduk kampung cuba mengusir orang utan itu dengan membuat unggun api di pangkal pokok tersebut.
Api itu dipadamkan kemudian tetapi orang utan berkenaan jatuh ke tanah dan cedera.
"Selama 60 tahun saya tinggal di kampung ini, ini kali pertama peristiwa seperti ini berlaku," kata seorang penduduk kampung berusia 60 tahun, Ali Zakaria.
Mengulas kejadian pada Ahad lalu, Ketua Pusat Sumber Konservasi Alam Semulajadi (BKSDAS) di Kalimantan Barat, Niken wuri Handayani berkata, beberapa petugas agensinya dipanggil untuk merawat tetamu tidak diundang itu.
"Orang utan ini diberikan rawatan dan akan sembuh beberapa hari lagi sebelum dibebaskan semula ke rimba," kata Niken.
"Orang utan bukan spesies haiwan peliharaan," tambahnya
Menurut pegawai berkenaan, penduduk kampung telah dididik untuk tidak mencederakan orang utan dan menghubungi mereka jika haiwan itu menceroboh kampung.
Ujarnya, BKSDAS bertanggungjawab memantau sekitar 4,500 hingga 5,000 ekor orang utan yang hidup di Kalimantan Barat. - Agensi

Panjat gunung batu untuk gambar perkahwinan



PASANGAN pengantin, Bob Ewing dan Antonie Hodge merakamkan 
gambar perkahwinan mereka di puncak gunung batu Seneca Rocks di Virginia Barat.
CHARLESTON - Sejauh manakah anda sanggup lakukan untuk mengabadikan ikatan perkahwinan anda?
Di Amerika Syarikat (AS), sepasang pengantin baharu, Bob Ewing dan isterinya, Antonie Hodge bertindak mendaki sebuah gunung batu setinggi 275 meter dengan lengkap berpakaian pengantin.
Mereka berbuat demikian untuk merakam gambar perkahwinan yang unik dan luar biasa.
Walaupun berdepan kesukaran, usaha pasangan itu berbaloi apabila gambar perkahwinan mereka ditonton lebih 500,000 kali di internet.
Gambar perkahwinan yang dirakam itu menunjukkan lokasinya adalah di puncak Gunung Seneca di negeri Virginia Barat.
Idea untuk mendaki gunung yang curam dan sempit itu datang daripada pengantin perempuan ekoran ibunya, Evangeline Hodge merupakan seorang pendaki gunung.
Turut sama melakukan pendakian termasuklah ibu pengantin perempuan dan rakan-rakan mereka yang juga merupakan pendaki amatur.
"Saya perlu membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya mampu mendaki gunung batu ini," kata Hodge.
Mereka melakukan pendakian tersebut baru-baru ini dengan bantuan tali dan abah-abah. - Agensi

NASA siarkan lagu pertama dari planet Marikh




Will.I.Am menyanyikan lagu Reach for the Stars di Makmal Propulsi Jet milik NASA di Pasadena, California di hadapan sekumpulan pelajar.


LOS ANGELES - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) kelmarin menghantar lagu pertama untuk disiarkan dari planet Marikh sebagai sebahagian daripada usaha memberi inspirasi kepada golongan muda supaya berminat terhadap sains.
Lagu bertajuk Reach for the Stars nyanyian Will.i.am daripada kumpulan terkenal Black Eyed Peas itu dihantar semula oleh robot Curiosity yang kini sedang mendarat di planet merah tersebut sejak awal bulan lalu ke Makmal Propulsi Jet milik NASA di Pasadena, California.
"Rasanya seperti bermimpi," kata Will.i.am ketika menerangkan bagaimana pentadbir NASA, Charles Bolden menghubunginya untuk menyatakan cadangan menyiarkan lagu dari planet Marikh ke Bumi.
Lagu yang mengandungi lirik I know that Mars might be far, but baby it ain't really that far itu menggunakan 40 buah orkestra termasuklah hon Perancis dan bukan sekadar bunyi yang dijana secara elektronik.
"Saya mahu menunjukkan kerjasama antara manusia, ada orkestra, lagu yang tidak lapuk dek zaman dan boleh diterjemahkan ke dalam pelbagai budaya. Bukannya irama hip hop atau dance," kata Will.i.am di hadapan sekumpulan pelajar. - AFP

Wanita, Kristian pembantu presiden



WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Ogos 2012
Mohammed Mursi
Mohammed Mursi
KAHERAH - Seramai 21 anggota termasuk dua wanita dan dua individu beragama Kristian dilantik menjadi pembantu dan penasihat kepada Presiden Mesir, Mohammed Mursi sebagai menunaikan janjinya ketika kempen pilihan raya presiden, Jun lalu.

Pelantikan itu dilakukan selaras dengan prinsip yang mahu membawa peralihan politik yang lebih liberal, tetapi masih mengekalkan kuasa dominan dalam pentadbiran di bawah parti pro-Islam, Ikhwan Muslimin.

Ketika kempen pilihan raya itu tahun ini, Mursi berusaha meluaskan sokongan dan meredakan kebimbangan penguasaan Ikhwan Muslimin dengan berjanji untuk melantik seorang individu wanita dan Kristian untuk menjawat jawatan naib presiden.

Namun, pengikut konservatif Islam yang digelar Salafi membantah pelantikan itu dan berkata, mereka tidak akan menerima naib presiden Kristian atau wanita, kerana golongan ini tidak dibenarkan berkhidmat sebagai ketua negara.

Awal bulan ini, Mursi melantik seorang hakim kanan, Mahmoud Mekki, sebagai naib presiden.

Namun, Isnin lalu, jurucakap kerajaan mengumumkan pembentukan pasukan presiden, merangkumi empat pembantu kanan dan 17 anggota majlis penasihat, termasuk tujuh daripadanya adalah anggota dari parti liberal dan 10  yang lain adalah kalangan pro Islam.