Pages

Sunday, April 1, 2012

Juara Pidato BM, Olga kahwini lelaki Melayu





Olga Vadimovna Vasilevskaya dan Shahabudeen Jalil selepas majlis akad nikah di Masjid Jami'il Huda, Kampung Melayu, Ampang, Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 31 Mac - Jika lima tahun lalu dia memilih untuk menyertai Pidato Bahasa Melayu, Piala Perdana Menteri 2007 dan muncul juara, kini gadis kelahiran Rusia itu memilih jejaka Melayu sebagai pasangan hidup.
Olga Vadimovna Vasilevskaya, 24, yang memegang Ijazah Bahasa Malaysia dan Pengajian Sejarah Melayu dari Universiti Moscow, Rusia bertemu jodoh dengan seorang usahawan tempatan, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman, 29.
Bukan hanya mencintai bahasa Melayu dan jejaka Melayu, Olga turut mengambil keputusan memeluk agama Islam pada 9 Mac lalu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan nama Islam, Azizah Abdullah.
Tepat pukul 10 pagi, Olga dan Shahabudeen Jalil sah menjadi pasangan suami isteri selepas majlis akad nikah di Masjid Jami'il Huda, Kampung Melayu, Ampang, di sini.
Dengan mas kahwin sebanyak RM300, sebentuk cincin dan rantai emas, majlis pernikahan mereka berlangsung dalam suasana meriah dengan kehadiran keluarga terdekat.
Pemilihan 31 Mac bagi majlis pernikahan itu adalah bersempena tarikh lahir Olga.
Majlis resepsi pula akan diadakan di Dewan Perdana Felda pada 21 Jun ini bersempena tarikh kelahiran Shahabudeen Jalil dengan kehadiran keluarga pasangan tersebut.
Selepas memenangi pertandingan Pidato Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2007, Olga menyambung pengajian di negara ini sebelum bekerja selama setahun sebagai Eksekutif Pemasaran Antarabangsa di Dunham-Bush iaitu sebuah syarikat kendalian rakyat Rusia di sini.

Sepuluh maut letupan di Yala








YALA 31 Mac - Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera dalam siri serangan bom di selatan Thailand, hari ini.
Tiga letupan bom selang beberapa minit menggegarkan pusat bandar Yala sekitar tengah hari ini, ketika orang ramai keluar untuk makan dan membeli-belah.
"10 orang disahkan maut, lebih 100 lagi cedera dalam letupan-letupan bom di Yala," kata jurucakap bagi tentera wilayah selatan, Kolonel Pramote Promin.
Ketiga-tiga letupan berlaku dalam lingkungan 100 meter, yang pertama dan kedua berpunca daripada bom motosikal manakala bom ketiga yang terkuat disembunyikan di dalam kereta, katanya.
Gabenor wilayah Yala, Dethrat Simsiri memberitahu televisyen Thailand, bom-bom tersebut dipercayai diledakkan dengan isyarat telefon mudah alih dan kebanyakan mangsa cedera dalam letupan bom kereta.
"Kami tidak pasti kumpulan pemisah mana yang disyaki melancarkan serangan, tetapi kami sedang menyiasat," kata Simsiri.
Beberapa rumah kedai dekat lokasi letupan terbakar dan banyak kereta dan motosikal rosak dalam letupan-letupan kuat itu.
Seorang anggota polis Yala berkata, lebih 50 orang yang cedera dibawa ke hospital berikutan letupan yang berlaku selang 10 minit.
Kata Promote, satu lagi letupan bom berlaku di daerah Mae Lan, wilayah Pattani dengan menyebabkan seorang anggota polis cedera.
Sebelum itu, satu letupan yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas menggegarkan sebuah hotel di daerah Hadyai, wilayah Songkhla, menyebabkan beberapa pelancong terhidu asap, kata polis. - Reuters/AFP

Turki bergelut dengan krisis pelarian

HATAY (Turki): Turki bergelut dengan krisis pelarian akibat tindakan ganas kerajaan Damsyik terhadap pemberontak hingga menyebabkan ribuan rakyat Syria melarikan diri ke sempadan negara jiran mereka.
Lebih 17,000 rakyat Syria melarikan diri ke Turki bagi mengelakkan pergolakan yang tercetus di negara mereka untuk bantahan antikerajaan sejak ia bermula pertengahan Mac tahun lalu.

Pelarian yang trauma disambut di kem yang disifatkan pihak berkuasa tempatan sebagai “pusat kehidupan sosial” tidak seperti di Afghanistan dan Somalia yang disasarkan untuk memupuk moral yang lebih baik.

Pelarian, Mena, 33 yang melarikan diri ke Turki Jun tahun lalu terkejut apabila mendapat tahu kediamannya dibom dan saudara-maranya dibunuh tentera Syria. “Saya dibawa ke hospital setiap hari dan menerima rawatan intravena,” katanya ketika melakukan kerja sulaman di kelas kraftangan di kem Yayladagi di Hatay, kira-kira lima kilometer dari sempadan Syria. Kem pelarian di Turki menyediakan bantuan kemanusiaan, termasuk bantuan makanan tiga kali sehari, khidmat kesihatan, peruntukan air bersih dan bilik sembahyang. - AFP

Annan gesa gencatan senjata

DAMSYIK: Utusan khas antarabangsa Kofi Annan menggesa Presiden Syria Bashar al-Assad segera melaksanakan gencatan senjata ekoran pertempuran masih tercetus walaupun pemimpin itu berkata, dia telah menerima pelan damai dikemukakan.
Beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun di jalan raya di seluruh negara itu kelmarin sebagai tindak balas membantah keputusan pemimpin dunia Arab yang disifatkan mereka tidak mengambil tindakan sepatutnya bagi mengakhiri pergolakan di Syria.

Gesaan Annan itu dibuat ketika pihak pemantau berkata, bandar raya Homs yang menjadi pangkalan pemberontak masih dihujani serangan bom tentera kerajaan. “Kami berharap dia segera melaksanakan pelan damai itu,” kata juruckap Annan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu masih merangka pelan untuk misi pemerhati gencatan senjata di Syria jika persengketaan dihentikan, tetapi kerajaan Bashar belum lagi menghantar pegawai untuk rundingan sebagai tanda pengesahan, kata pegawai PBB. - AFP

Thailand bergegar



Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Adha Ghazali
bhnews@bharian.com.my
2012/04/01


  • Foto
    PENYELAMAT mengangkat mayat mangsa letupan bom di Yala, semalam. Gambar bawah kanan, PELANCONG asing diselamatkan dalam kejadian letupan gas di Hatyai.
  • Foto
    ANGGOTA bomba dan tentera Thailand memeriksa kawasan letupan bom di Yala, selatan Thailand.


  • Tiga letupan bom di Yala dalam tempoh 10 minit
  • Letupan gas perangkap penghuni hotel di Hatyai KANGAR: Tiga terbunuh, manakala 50 yang lain termasuk 11 rakyat Malaysia cedera dalam letupan di sebuah hotel yang menggegarkan Hatyai, Thailand, tengah hari semalam, tidak lama selepas tiga letupan bom mengorbankan 13 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain di Yala, selatan negara itu. Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussin, yang dihubungi malam tadi mengesahkan 11 rakyat Malaysia cedera dalam letupan bom di bahagian dapur restoran McDonald’s di Tingkat 1 Hotel Lee Garden di tengah bandar Hatyai.
    Rakyat Malaysia, khususnya yang berada di sekitar kawasan letupan di Yala diminta berhati-hati dan mengambil langkah berwaspada bagi mengelak terperangkap dalam kejadian berkenaan. - Nazirah Hussin, Duta Besar Malaysia ke Thailand

    Katanya, ketika kejadian jam 1 tengah hari itu, kira-kira 50 berada di dalam restoran berkenaan, termasuk warga Malaysia, semuanya dipercayai pelancong.

    “Semua rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian itu kini dimasukkan ke Hospital Hatyai. Pihak kedutaan sudah menghantar Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Mohd Aini Atan ke bandar terbabit untuk mendapatkan maklumat dan membantu mangsa rakyat Malaysia.

    “Sehingga kini (jam 9.30 malam tadi) saya belum mendapat perkembangan terkini mengenai keadaan rakyat Malaysia atau punca letupan,” katanya. 
    Beliau juga mengesahkan sehingga lewat malam tadi tiada rakyat Malaysia cedera atau terkorban dalam tiga serangan bom di Yala.

    Nazirah turut meminta rakyat Malaysia, khususnya yang berada di sekitar kawasan letupan di Yala supaya berhati-hati dan mengambil langkah berwaspada bagi mengelak terperangkap dalam kejadian berkenaan.

    Sementara itu, Mohd Aini yang dihubungi malam tadi juga mengesahkan hanya 11 rakyat Malaysia cedera dalam letupan di Hatyai.

    “Bagaimanapun, identiti semua mangsa yang kini ditempatkan di Hospital Songkhlanagarind di Hatyai dan kampung asal mereka masih disiasat. Apapun, kita dapat sahkan bahawa tiga mangsa yang terbunuh setakat ini bukan rakyat Malaysia,” katanya.

    Mengulas kejadian itu, Mohd Aini berkata beliau difahamkan lebih 200 pengunjung hotel berkenaan terperangkap selepas letupan berlaku.

    “Apa pun, kita berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand untuk mengenal pasti semua mangsa, terutama mengesan rakyat Malaysia yang terbabit,” katanya.
    Sumber polis Thai yang dihubungi berkata kejadian letupan itu dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.

    Di YALA, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh dan 112 orang cedera dalam tiga letupan bom dalam tempoh 10 minit di bandar utama selatan Thailand ketika tengah hari apabila orang ramai sibuk membeli-belah.

    “Tiga butir bom meletup, yang pertama dalam sebuah kereta manakala letupan kedua serta ketiga adalah disebabkan bom yang disembunyikan dalam motosikal,” kata jurucakap tentera wilayah selatan, Pramote Promin.

    Beberapa rumah kedai berhampiran tempat letupan turut terbakar, manakala kereta dan motosikal yang diletakkan berhampiran rosak akibat letupan kuat.

    Kementerian Kesihatan Thailand berkata, sekurang-kurangnya 10 orang berada dalam keadaan kritikal kerana melecur teruk. 

    Seorang jurucakap polis Yala yang enggan dikenali berkata: “Bom berkenaan meletup dalam tempoh 10 minit”.

    Skuad bom dilihat memeriksa bangkai kereta yang musnah di tempat kejadian, manakala Polis Forensik menyiasat kejadian.

    Seorang anggota polis turut cedera dalam satu lagi letupan bom yang disembunyikan dalam motosikal di wilayah berjiran Pattani, kata polis.

    Pemberontakan di selatan Thailand, wilayah dengan majoriti penduduknya beragama Islam berlaku sejak 2004, meragut beribu-ribu nyawa.

    Minggu lalu, tentera mengakui menembak mati empat penduduk Islam ketika dalam perjalanan menghadiri sebuah majlis pengebumian berikutan tersalah sangka diserang militan, Januari lalu.

    Kejadian terburuk di wilayah berkenaan berlaku pada 25 Oktober 2004 apabila tujuh orang ditembak mati berikutan bantahan di bandar Tak Bai, manakala 78 yang lain lemas akibat terhimpit di dalam trak ketika dihantar ke pusat tahanan.
  • Askar AS takut 'musuh dalam burqa'





    2012/04/01

    TENTERA Afghanistan mengiringi antara militan yang menyamar dengan memakai burqa di Mehterlam.
    TENTERA Afghanistan mengiringi antara militan yang menyamar dengan memakai burqa di Mehterlam.
    Pejuang Taliban menyamar wanita 

    KABUL: Pemerintah tentera Amerika Syarikat di Afghanistan menyuruh sebahagian askar menjadi pengawal rakan mereka yang sedang tidur sebagai langkah keselamatan terbaru selepas diserang dengan pelbagai cara termasuk penggunaan burqa oleh militan Taliban.
    Arahan itu dikeluarkan pemerintah tentera Amerika di Afghanistan, Jeneral John Allen selepas dua penasihat tentera ditembak mati askar tempatan yang sepatutnya bekerjasama dengan mereka di Kementerian Dalam Negeri.

    Membuktikan ancaman terhadap keselamatan mereka ialah dengan tertangkapnya tujuh lelaki berpakaian wanita di daerah Mehterlam, wilayah Laghman, timur Kabul. 

    Ketegangan juga meningkat baru-baru ini juga disebabkan tindakan Staf Sarjan Robert Bales membunuh lapan orang dewasa dan sembilan kanak-kanak Afghanistan. 

    Malah, di beberapa kementerian kerajaan, askar Amerika dibenarkan membawa senjata selain diarah memastikan meja mereka berdepan dengan pintu supaya tahu siapa yang datang, kata pegawai kanan. 

    “Kami sudah ambil langkah perlu bagi melindungi diri sendiri termasuk ketika sedang tidur dan sistem pertahanan dalaman di pejabat,” kata Allen. 
    Langkah itu diambil selepas kontroversi meletus berhubung tindakan askar Amerika membakar al-Quran dan bahan agama lain pada Februari lalu yang mencetuskan bantahan dan rusuhan anti Amerika. 

    Pada bulan itu juga dua penasihat tentera Amerika ditembak mati di pejabat. Ia memaksa 300 penasihat ditarik dari pejabat kementerian kerajaan Afghanistan. 

    Pada tahun ini, 16 anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mati ditembak askar dan polis Afghanistan yang memakai pakaian seragam tentera asing itu. Ia mewakili 18 peratus daripada 84 askar asing yang maut tahun ini di negara itu. 

    Daripada 80 askar NATO yang dibunuh sejak 2007 oleh anggota keselamatan Afghanistan, 75 peratus berlaku sejak dua tahun lalu. 

    Dalam dua kejadian berasingan, Isnin lalu, askar Afghanistan menembak mati seorang anggota tentera Amerika dan dua dari Britain. 

    Dalam satu daripada kejadian itu, dua askar Britain dibunuh seorang askar Afghanistan di depan pintu masuk markas bersama tentera dan awam di selatan negara itu. 

    Dalam kejadian kedua, askar Amerika ditembak mati di satu sekatan jalan di wilayah Paktika, timur Afghanistan. – Agensi 

    Media sosial bantu burukkan rusuhan London


    • Foto
      SEKUMPULAN perusuh memecahkan pintu kedai sebelum mencuri barangan di dalamnya. Gambar kecil, MARK Duggan meninggalkan balu dan lima anak selepas ditembak mati.
    • Foto
      ANTARA mesej di Facebook mengenai rusuhan di London.
    • Foto
      ANGGOTA bomba memadamkan api di sebuah bangunan kedai di Croydon, London.
    • Foto
      AKHBAR menyiarkan pandangan Perdana Menteri Britain mengenai kekacauan terburuk di Britain.
    Laporan tidak ulas pembunuhan Mark Duggan yang dianggap pencetus kekacauan terburuk Britain

    LAPORAN dramatik menerusi televisyen memaparkan deretan kedai dibakar perusuh dan polis berkawal tetapi melihat saja kejadian rompakan dilaporkan antara faktor menyemarakkan lagi rusuhan di London dan bandaraya lain di Britain tahun lalu, lapor sebuah panel bebas.
    Rusuhan itu disiarkan di televisyen secara langsung manakala media sosial pula dipenuhi dengan mesej dan imej kekacauan yang menjejaskan imej Britain di seluruh dunia.

    Kami sokong penuh kebebasan akhbar. Kami hargai cabaran melaporkan kejadian besar membabitkan kekacauan umum. - Panel
    Kerajaan pimpinan Perdana Menteri David Cameron sejak itu mengadakan perbincangan dengan wakil dari Blackberry, Facebook dan Twitter mengenai tindakan menyekat ia berulang.

    Laporan bertajuk ‘5 Days in August’ (Lima hari pada bulan Ogos) menyebut: “Berdasarkan bukti rusuhan pada bulan Ogos itu dan dari apa yang orang ramai sampaikan kepada kami, jelas bahawa berita rusuhan itu menjadi lebih buruk dengan penyiarannya di televisyen dan anggota polis hanya melihat orang ramai merosakkan dan mencuri sesuka hati serta keupayaan media sosial membantu mereka yang bertindak beramai-ramai.”

    Panel empat pakar itu dipengerusikan Darra Singh yang berkata bahawa ramai orang merasakan liputan berita 24 jam oleh BBC News dan Sky News memperbesar-besarkan keadaan rusuhan di kawasan mereka dan menyebabkan orang lain turut sama pergi ke kawasan bermasalah untuk turut menyertai perusuh lain.

    Panel itu, bagaimanapun, tidak bersetuju mengenai cadangan spontan untuk menutup rangkaian sosial ketika berlaku rusuhan umum, dengan merumuskan bahawa mendiamkan diri bukan jalan penyelesaian. 
    Panel yang melawat 21 komuniti dan menemubual beribu penduduk yang terjejas dengan rusuhan itu menyimpulkan ‘tidak diragukan lagi bahawa perusuh dibantu maklumat yang disebarkan media sosial.’

    “Teknologi komunikasi sentiasa maju dan boleh memberi manfaat kepada pihak berkuasa dan polis berbanding perusuh. Apa yang jelas, tiada jalan mudah menghentikannya dengan pantas.”

    “Disebabkan penduduk memandang penting media sosial dalam mengurangkan rusuhan daripada cepat merebak pada masa depan, kami cadangkan pandangan komuniti, pihak berkuasa dan lain-lain yang terbabit dalam rusuhan Ogos turut diambil kira apabila merancang pendekatan baru menanganinya.”

    Panel itu menambah: “Kami sokong penuh kebebasan akhbar. Kami hargai cabaran melaporkan kejadian besar membabitkan kekacauan umum.

    “Bagaimanapun, selain mengambil kira perkara ini, laporan televisyen mestilah tepat dan mempunyai kaitan antara isu yang dilaporkan dan imej yang dipaparkan.”

    Pada masa sama, ada alasan lain bagi menjelaskan sebab rusuhan itu berlaku termasuk latar belakang sosial serta ekonomi mereka yang melakukan rusuhan dan kebakaran.

    Satu daripada punca utama ialah tindakan polis menembak mati pengedar dadah Mark Duggan. Mengapa polis membunuhnya masih belum terjawab.

    Sekurang-kurangnya dua kajian utama memberi penerangan terhadap lebih 3,000 orang yang ditahan atas dakwaan merusuh.

    Hasil kajian bersama oleh The Guardian dan London School of Economics, membabitkan temubual dengan 270 perusuh, kebanyakannya adalah penganggur.

    Separuh daripada mereka adalah kulit hitam tetapi mereka tidak disifatkan sebagai perusuh perkauman. Panel bebas ditubuhkan kerajaan berkata, lima juta keluarga diabaikan di England.

    Ia memberikan gambaran suram kepada golongan ini: komuniti berpecah dengan golongan penganggur muda yang idamkan barangan berjenama yang sering diiklankan di sekeliling mereka tetapi tidak mampu membelinya.

    “Apabila orang tidak berasa mereka mempunyai sebab untuk keluar dari masalah, ia memberi kesan buruk kepada masyarakat seperti kita lihat pada Ogos lalu,” kata Darra Singh.

    Tetapi persoalan utama ialah mengapa polis membunuh Duggan. “Kami tidak tahu kerana kami masih lagi di peringkat permulaan,” kata ibu saudara Mark, Carole Duggan.

    Banyak persoalan sudah terjawab dengan laporan itu tetapi tidak bagi pembunuhan Duggan. Diharapkan rusuhan baru perlu meletus untuk mengetahui kebenarannya. – Agensi

    200 'Awang Hitam' merusuh


    SEBAHAGIAN daripada warga Nigeria berkumpul di Kondominium Venice Hill, Batu 9, Kajang semalam.


    KAJANG - Kira-kira 200 'Awang Hitam' yang tinggal di Kondominium Venice Hill, Batu 9 di sini merusuh setelah mereka tidak berpuas hati dengan tindakan tujuh anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) yang didakwa memukul seorang pelajar warga Nigeria di pekarangan kondominium itu semalam.
    Rusuhan pada pukul 12 tengah hari itu menyebabkan sebuah pondok pengawal di pintu masuk utama dan salah satu pejabat pengurusan di blok Tower 3 kondominium tersebut rosak dipecahkan kumpulan tersebut.
    Seorang saksi berkata, warga Nigeria terbabit bertindak berkumpul di tepi jalan dengan membawa parang dan batang besi kerana tidak berpuas hati rakan mereka dipukul.
    Kejadian itu dikatakan berpunca apabila suspek berusia 35 tahun yang juga seorang pelajar sebuah kolej di sini didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang tukang cuci wanita tempatan berusia 43 tahun.
    Lelaki berkenaan didakwa bertindak memeluk, mencium serta mencabul mangsa terbabit ketika wanita melakukan kerja mencuci di tingkat 15 blok Tower 3 kondominium tersebut pada pukul 11.30 pagi.

    Dua korban renjatan elektrik


    ANGGOTA polis dan penduduk kampung mengangkat mayat Rosli dan Mohd. Daishan di Kampung Tengah, Bukit Panau, Tanah Merah malam kelmarin untuk dibawa ke Hospital Tanah Merah.


    TANAH MERAH - Dua lelaki mati selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba menaikkan bendera menggunakan buluh dalam kejadian di Kampung Tengah, Bukit Panau, dekat sini malam kelmarin.
    Rosli Hussin, 47, yang merupakan Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan rakannya seorang penoreh, Mohd. Daishan Ibrahim, 37, masing-masing ditemui mati pada kira-kira pukul 12 tengah malam di tempat kejadian dengan kesan lebam di telinga dan kaki akibat terkena arus elektrik bervoltan tinggi.
    Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superitendan Abdul Aziz Mahmud, berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa memegang buluh sepanjang 12 meter yang dipercayai basah dengan niat menaikkan bendera sebuah parti politik.
    Tanpa diduga, buluh yang dipasang dengan bendera itu terkena kabel yang berada pada ketinggian sembilan meter sebelum kedua-dua mangsa terkena kejutan elektrik.
    Menurut Abdul Aziz, kejadian itu kemudian disedari penduduk kampung sebelum mereka mendapatkan bantuan pihak polis dan hospital berdekatan.

    2 beradik terselamat, kereta putus dua


    KEADAAN kereta Proton Iswara terputus dua dalam kemalangan di Lebuh AMJ berhampiran Rembia, Alor Gajah malam kelmarin.


    ALOR GAJAH - Dua beradik terselamat walaupun kereta yang dinaiki mereka terputus dua setelah terlibat dalam kemalangan di Lebuh AMJ berhampiran Rembia di sini malam kelmarin.
    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, dalam kejadian pukul 9.10 malam itu, kereta jenis Proton Iswara yang dipandu Soo Yang Shin, 18, dari arah Rembia menghala ke bandar Melaka dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.
    "Kereta ini kemudian bertembung pula dengan sebuah kereta jenis Honda Civic dipandu seorang lelaki menyebabkan Proton Iswara itu terputus dua.
    "Yang Shin dan adiknya, Soo May Xin, 16, yang duduk di bahagian hadapan bagaimanapun terselamat dengan mengalami kecederaan parah," katanya di sini semalam.
    Menurutnya, kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
    Katanya, pemandu kereta jenis Honda Civic berkenaan, Salehuddin Ishak, 42, turut terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

    Loteri RM1.95 bilion sudah ada pemenang



    ORANG RAMAI beratur untuk membeli tiket loteri Mega Millions di sebuah kedai serbaguna di Los Angeles kelmarin.



    NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) – Hadiah loteri terbesar di dunia berjumlah AS$640 juta (RM1.95 bilion) dilaporkan telah dimenangi oleh sekurang-kurangnya seorang pemenang semalam dengan media tempatan menyatakan, tiket bertuah itu dijual di negeri Maryland.
    Nombor kemenangan tersebut - 2, 4, 23, 38, 46 dan 23 diumumkan di sini pada pukul 11 pagi waktu AS.
    Namun, firma yang mengendalikan loteri berkenaan, Mega Millions masih belum membuat pengumuman rasmi mengenainya.
    Saluran televisyen AS, MSNBC memetik kenyataan seorang pegawai loteri di negeri Maryland apabila melaporkan berhubung kemenangan tersebut.
    Akhbar Washington Post yang menggunakan sumber sama, melaporkan tiket kemenangan itu dijual di daerah Baltimore.
    Bagaimanapun, masih belum jelas setakat ini sama ada tiket loteri di Maryland itu merupakan satu-satunya tiket kemenangan loteri berkenaan.
    Beberapa pakar menyatakan, ia mungkin mengambil berhari-hari malah, hingga beberapa minggu sebelum seseorang tampil untuk menuntut hadiah cepumas itu ekoran pemenang biasanya akan berbincang mengenai aspek perundangan dengan peguam mereka sebelum mengambil hadiah.
    Sebanyak 176 juta tiket atau lebih 2 tiket loteri berkenaan bagi setiap warga AS telah dijual di kedai serbaguna dan kios di seluruh negara.
    Peluang untuk memenangi loteri berkenaan pula ialah satu dalam 176 juta.
    “Saya tahu peluang untuk menang tipis tetapi jika saya menang, saya akan berpindah ke New Zealand kerana terdapat lebih banyak kambing daripada manusia di negara itu. Terlalu ramai orang di New York,” kata seorang imigran Romania, Cosmin Barbos, 37 selepas membeli tiket loteri Mega Millions.
    Satu tiket loteri itu berharga AS$1 (RM3.06)
    Pemenang boleh memilih untuk mengambil wang tunai serta-merta atau menerima wang tersebut menerusi 26 pembayaran tahunan.
    Hadiah cepumas tersebut akan ditolak sejumlah cukai negeri dan persekutuan AS.
    Cepumas berkenaan meningkat kepada AS$640 juta selepas tiada pemenang untuk loteri berkenaan sejak cabutan pada 24 Januari lalu.
    Mengulas mengenai loteri tersebut, akhbar tempatan Kansas City Star menyatakan, cepumas itu mencukupi untuk membeli sebuah pesawat Boeing 787 Dreamliner bersama sebuah pulau persendirian di Thailand.
    Namun, beberapa akhbar lain pula melaporkan tentang nasib malang yang menimpa empat pemenang loteri cepumas di AS sebelum ini.
    Ia termasuk kisah Jack Whittaker yang memenangi AS$315 juta (RM964.5 juta ) pada 2002 tetapi wang kemenangannya tidak kekal lama akibat dicuri dan sifatnya yang gemar berbelanja mewah. – AFP

    Serangan berdarah di Yala

    ANGGOTA-ANGGOTA pasukan penyiasat Thailand memeriksa lokasi serangan bom di Yala semalam.


    YALA, Selatan Thailand – Sebelas orang maut manakala puluhan yang lain cedera dalam tiga serangan bom di bandar ini, kata pihak tentera.
    Siri letupan itu menggegarkan pusat bandar ini selang beberapa minit sekitar tengah hari semalam.
    “Sebelas orang disahkan terbunuh, lebih 110 lagi cedera dalam letupan bom di Yala,” kata jurucakap pasukan tentera selatan Thailand, Kolonel Pramote Promin.
    “Tiga buah bom meletup dengan serangan pertama melibatka sebuat trak berisi bom disususli letupan bom kereta 20 minit kemudian manakala bom ketiga disembunyikan dalam motosikal,” tambahnya..
    Beberapa rumah kedai di sekitar lokasi kejadian terbakar dengan sejumlah kereta dan motosikal turut rosak dalam letupan kuat berkenaan.
    Seorang anggota polis di sini turut memberitahu, lebih 50 mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital.
    “Bom-bom tersebut meletup selang 10 minit,” katanya.
    Pramote berkata, sebutir bom kecil meletup di sebuah kedai makan di daerah Mae Lan, dalam wilayah Pattani tetapi beliau masih belum menerima maklumat sama ada berlaku kemalangan jiwa dalam letupan tersebut.
    Sejak 2004, selatan Thai yang bersempadan dengan Malaysia digegarkan dengan insiden tembakan dan serangan bom yang meragut ribuan nyawa manusia dan berlaku hampir setiap hari. – AFP