KAHERAH 16 Mei – Mahkamah Mesir, hari ini menjatuhi hukuman mati ke atas bekas Presiden, Mohammed Mursi dan ulama Islam terkenal, Yusuf Al-Qaradawi atas kesalahan melakukan rusuhan di penjara pada 2011 bagi menentang Presiden, Hosni Mubarak.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/mursi-qaradawi-dijatuhi-hukuman-mati-1.92588#sthash.vhzj9W5X.dpuf
Agensi berita BBC memetik kenyataan Hakim Shaaban el-Shami sebagai berkata, Mursi merupakan salah seorang daripada 100 anggota pergerakan Ikhwanul Muslimin yang dijatuhi hukuman tersebut oleh mahkamah.
Mursi mendengar keputusan itu di kandang pesalah, manakala sebahagian besar tertuduh yang lain tidak hadir, termasuk Yusuf Al-Qaradawi yang kini menetap di Qatar.
Bagaimanapun, hukuman itu hanya akan dilaksanakan selepas mendapat pengesahan daripada Mufti Besar Mesir, pihak berkuasa agama paling tinggi di Mesir.
Keputusan akhir hukuman akan diumumkan pada 2 Jun ini.
Sebelum ini Mursi dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun oleh mahkamah atas kesalahan mengeluarkan arahan supaya menahan penunjuk perasaan di Istana Presiden pada 2012.
Penyokong Mursi mendakwa kes melibatkan pemimpin mereka itu bermotifkan politik dan mahu menutup kes penggulingan beliau oleh pihak tentera.
Dalam perkembangan lain, tiga hakim mahkamah Mesir dilaporkan ditembak mati oleh sekumpulan lelaki bersenjata, beberapa jam selepas bekas Presiden, Mohammed Mursi dijatuhi hukuman mati.
Polis berkata, ketika kejadian ketiga-tiga hakim berkenaan berada di dalam bas di bandar al-Arish, Semenanjung Sinai, sebelum mereka diserang oleh kumpulan bersenjata.
“Dua orang hakim lain turut cedera dalam serangan tersebut,” jelas anggota polis.