Pages

Saturday, July 30, 2011

Rindu anak terpisah 31 tahun


TANAH MERAH: “Saya ibu yang mengandung dan melahirkannya, tetapi hanya sempat menatap wajahnya sehingga dia berusia setahun. Selepas itu, kami terpisah,” kata warga emas, Ramlah Mohd Salleh, 61, yang mengharapkan kepulangan anaknya, Shahrul Azwan Alias, 32.
Menurut Ramlah, anaknya itu hasil perkahwinan pertamanya dan diambil bekas suami sejak 31 tahun lalu.

“Hanya dia (Shahrul Azwan ) diambil bekas suami, manakala dua kakak, seorang abang dan seorang adiknya di bawah jagaan saya.

“Saya tidak pernah berjumpa anak saya itu sejak 31 tahun lalu dan saya amat merinduinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kemahang Tiga, di sini, semalam.

Selain merindui anaknya itu, Ramlah menderita pelbagai jenis penyakit seperti asma, darah tinggi, jantung dan buah pinggang sehingga berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, untuk mendapatkan rawatan.

Ramlah berkata, selagi hayat masih ada, dia merayu anaknya itu menemuinya. “Walaupun terpisah sejak 31 tahun lalu, saya sentiasa mengingatinya. Saya berharap menemuinya selagi hayat masih ada.


“Datanglah menemui saya di sini. Saya sudah tua dan tidak mampu berbuat apa-apa dan mengharapkan bantuan anak untuk meneruskan hidup,” katanya.

Menurut Ramlah, sesiapa mempunyai maklumat anaknya itu boleh menghubunginya di talian 017-9136124.
http://www.hmetro.com.my

Mayat bayi dalam beg tangan wanita


PERIKSA...anggota polis memeriksa mayat bayi ditemui berbungkus dalam beg tangan.
PERIKSA...anggota polis memeriksa mayat bayi ditemui berbungkus dalam beg tangan.

NILAI: “Saya ingatkan beg tangan itu berisi duit, namun sebaik membukanya, saya terkejut melihat sehelai tuala berdarah dan apabila disentuh ia terasa lembut,” kata Azmi Talib, 48, pengguna jalan raya yang menemui mayat bayi lelaki di Kilometer 282.4, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur masuk Nilai, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, Azmi yang kebetulan berhenti di bawah jambatan di lebuh raya berkenaan untuk makan durian bersama seorang rakannya mula sangsi melihat beg tangan wanita dalam keadaan masih elok dalam longkang berhampiran.

“Saya dan rakan menaiki dua motosikal dalam perjalanan pulang ke Gombak dari Muar, Johor, berhenti di situ kerana terlalu penat. Kami kemudian berhenti untuk makan durian dibawa dari kampung.

“Kemudian saya pergi ke longkang untuk membuang air kecil lalu ternampak beg masih lagi elok dan tergerak hati untuk membukanya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, dia bagaimanapun terkejut selepas ternampak kain berlumuran darah.

Katanya, dia tidak berani membuka bungkusan kain dalam beg itu dan terus menahan sebuah kereta peronda polis yang kebetulan melalui kawasan itu.


“Seorang anggota polis itu kemudian mengangkat beg ke atas dan membuka bungkusan itu sebelum menemui mayat bayi lelaki yang cukup sifat,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi untuk melakukan siasatan sebaik dimaklumkan penemuan mayat bayi itu.
“Berdasarkan kepada siasatan awal mendapati bayi lelaki itu dipercayai baru dilahirkan kerana tali pusat dan uri masih ada padanya,” katanya.

“Malah, uri juga dibungkus dalam beg plastik berasingan dan diletakkan bersebelahan bayi itu. Bayi lelaki itu dibalut dengan tuala dan lampin di dalam sebuah beg tangan perempuan berwarna coklat,” katanya di sini, semalam.

Sepasukan polis dari Unit Forensik turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu kerja penyiasatan.

Beliau berkata, bayi itu dipercayai keturunan Melayu dan mayatnya itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Polis masih mengesan suspek membuang bayi itu dan orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 06-6033222 atau balai polis berhampiran.
http://www.hmetro.com.my

Bayi maut jatuh balkoni


DUBAI: Seorang bayi lelaki berusia 18 bulan maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat empat pangsapuri keluarganya di sini, semalam.
Pengarah Seksyen Siasatan Jenayah di Jabatan Siasatan Jenayah Polis Dubai (CID), Leftenan Kolonel Ahmad Humaid Al Merri, berkata tragedi yang menimpa keluarga dari Asia itu berlaku apabila bayi terbabit memanjat kerusi di balkoni terbabit ketika ibunya sedang sibuk. Dia terjatuh ketika membongkokkan badannya di balkoni berkenaan.

Bayi malang itu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Ketika polis tiba di lokasi kejadian, ibu bayi berkenaan amat sedih dan sukar ditenangkan. Dia memberitahu polis, dia tidak menyangka bayinya akan memanjat kerusi dan membongkok di balkoni, sambil menambah semua ahli keluarga bersedih atas kematian bayi itu.
http://www.hmetro.com.my

Suara ghaib arah bunuh


BEBAS TUDUHAN...Chee Beng dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, semalam.
BEBAS TUDUHAN...Chee Beng dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi, semalam.

SHAH ALAM: “Tertuduh mengalami penyakit jiwa dan diganggu bunyi ghaib,” kata Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad ketika membebaskan penjual telefon bimbit, Tan Chee Beng, 32, daripada tuduhan membunuh teman wanita berusia 16 tahun, dan cuba membunuh diri, di Cheras, dekat sini, tujuh tahun lalu.
Siti Mariah pada penghakimannya berkata, mahkamah menerima keterangan Chee Beng ketika membela diri bahawa dia berada dalam keadaan tidak siuman dan tidak menyedari perbuatannya apabila mendengar suara ghaib yang menyuruhnya membunuh mangsa dan diri sendiri.

Beliau berkata, ini disahkan laporan penilaian oleh saksi pembelaan kedua, Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Permai, Tampoi, Johor, Dr Badiah Yahya, yang menyatakan lelaki itu mengalami penyakit jiwa, halusinasi dan tahap kecerdasan intelektual (IQ) yang rendah.

Menurutnya, pembelaan tertuduh berhubung perkara itu juga tidak disangkal atau dicabar pihak pendakwaan. “Oleh itu, mahkamah berpendapat adalah wajar untuk membebaskan tertuduh daripada tuduhan membunuh mangsa dan cuba membunuh diri. Tertuduh diperintah diletakkan di bawah jagaan Hospital Bahagia selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor,” katanya. Mengikut pertuduhan pertama, Chee Beng didakwa membunuh Tan Hui Choo di tepi tangga, Tingkat 2, Balok A, Apartmen Sri Bayu, Taman Kemacahaya, Batu 9, Cheras, jam 6.20 pagi, pada 6 September 2004. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa kerana membunuh diri dengan menggunakan sebilah pisau di tempat, masa dan tarikh sama. Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau boleh didenda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Pada prosiding semalam, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Hana Hadinah Sheik Mohd Ghazali.

Manakala, Chee Beng diwakili peguam, Edmund Boon. Sepanjang perbicaraan, seramai 14 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan tampil memberi keterangan. Akhbar ini pada 1 September 2004 melaporkan seorang lelaki nekad mengelar leher dan menikam hingga mati teman wanitanya berusia 16 tahun kerana didorong perasaan cemburu. Hui Choo, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Perimbun, Kajang itu ditemui terbaring dengan baju kurung sekolahnya berlumuran darah di beranda kira-kira 10 meter daripada pintu rumahnya. Manakala, teman lelakinya yang ketika itu berusia 25 tahun ditemui terbaring berdekatan mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan nazak dipercayai cuba membunuh diri dengan sebilah pisau sepanjang 30 sentimeter di sisinya.
http://www.hmetro.com.my

Keluarga Saudi berpaling pada amah tanpa izin

MAKKAH: Menjelang Ramadan ini, penduduk di Arab Saudi semakin terdesak mencari pekerja bagi membantu mereka melakukan kerja rumah.
Permintaan meningkat dan pembekuan pengambilan tenaga kerja dari beberapa negara Asia menyebabkan gaji pembantu rumah naik tinggi.Dalam tinjauan yang dilakukan, ramai suri rumah di Arab Saudi berkata mereka amat memerlukan pembantu rumah bagi membantu mereka sepanjang Ramadan.Seorang majikan, Cik Futoon Al-Saad, berkata pembantu rumahnya melarikan diri sejak Syaaban.Menurut beliau, pembantu rumahnya meninggalkan nota tetapi beliau tidak faham apa yang ditulis kerana ia dalam bahasa Indonesia.Beliau terpaksa meminta bantuan pemandunya, yang berkata nota itu berbunyi: 'Saya sudah dapat kerja dengan gaji 2,500 riyal sebulan ($803) di rumah lain. Saya terpaksa melarikan diri daripada puan bagi mendapatkan gaji lebih baik daripada hanya 800 riyal yang puan bayar.'.Cik Futoon berkata beliau tiada pilihan lain dan terpaksa mencari pembantu rumah tiada izin.Beliau ikut nasihat seorang kawannya dan menghubungi seorang broker dari Indonesia dan memintanya mencarikan pembantu rumah.Broker itu berkata beliau boleh mendapatkanya sekiranya Cik Futoon sedia mengikut syaratnya, yang termasuk membayar gaji 2,500 riyal sebulan dan tugasnya tidak termasuk membasuh atau mencuci pinggan.Selepas tawar-menawar, pembantu rumah tan izin itu menerima gaji 2,283 riyal sebulan.'Saya gembira sekarang kerana saya dapat pembantu rumah yang akan membantu kerja saya sepanjang bulan puasa ini,' kata Cik Futoon.Seorang lagi majikan, Cik Suzan Gamlo, berkata beliau juga meminta bantuan seorang broker Indonesia untuk mencarikan pembantu bekerja dengannya sepanjang Ramadan. -- Agensi.
http://cyberita.asia1.com.sg

Bank di Benghazi kurang wang untuk dipulangkan kepada penduduk


BANK KURANG WANG: Puluhan pelanggan sebuah bank milik pemerintah Libya berkumpul di luar bangunan institusi kewangan itu di Benghazi kelmarin kerana mahu mengeluarkan wang mereka sempena Ramadan ini, namun pihak bank kekurangan wang. -- Foto AFP

BENGHAZI: Dengan menjelangnya Ramadan dalam beberapa hari lagi, rakyat Libya mengunjungi bank- bank di Benghazi setiap hari dengan harapan dapat mengeluarkan wang mereka bagi menyambut bulan suci Islam itu.
Namun, bank-bank di Benghazi, kubu pihak pemberontak yang sedang menentang pemerintahan pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, sejak lima bulan lalu, sedang menghadapi krisis dan gagal memenuhi kehendak majoriti pelanggannya itu.'Saya datang ke sini sejak lima hari lalu tetapi tidak mendapat wang,' kata seorang anggota polis yang sudah bersara, yang mahu mengeluarkan 200 dinar Libya ($200.85) walaupun pencen bulanannya sebanyak 350 dinar belum lagi dibayar sejak April lalu.Seorang lagi pesara yang sepatutnya menerima pencen, Encik Messe Abdullah, berkata beliau terpaksa berhempas pulas memenuhi pembiayaan keperluan keluarganya yang besar, dengan hanya dua anak lelakinya yang sudah bekerja.'Dalam masa empat hari, Ramadan akan tiba dan Ramadan agak mahal bagi orang seperti saya yang mempunyai keluarga besar seramai 15 orang,' kata lelaki berusia 65 tahun itu.Sekumpulan pelanggan kira-kira 100 orang kelmarin duduk di kawasan anak tangga di bawah pintu masuk cawangan bank BNP Paribas yang ditutup, sambil berdoa agar dipanggil masuk bagi membolehkan mereka mengeluarkan wang.'Ramadan akan menjelang. Terdapat keperluan tambahan tetapi saya tidak ada wang,' kata Cik Yasmin Muhammad, 62 tahun.Beliau menambah, keluarga- keluarga besar membelanjakan sehingga 3,000 dinar - atau 10 kali ganda gaji seorang pekerja awam - dalam Ramadan.Cik Najit Ali, seorang guru berusia 35 tahun dan ibu enam remaja yang belum bekerja, berkata selepas 10 hari beratur, beliau masih berharap dapat mengeluarkan wang untuk membantu menyara hidupnya itu.'Tidak ada wang atau gaji sejak April lalu,' kata beliau. 'Kami akan bersabar kerana Tuhan Maha Pemurah,' ujarnya.Sesetengah orang yang beratur sejak berminggu-minggu sebelum ini semakin marah kerana ramai di antara mereka yang belum diberi gaji sejak April atau Mac lalu.Yang lain pula mengadu hanya dapat mengeluarkan sebahagian daripada gaji yang dijanjikan kerana pihak bank mengehadkan pengeluaran wang kepada 100 hingga 200 dinar setiap orang. -- AFP.http://cyberita.asia1.com.sg

Dua bom meletup, 23 maut



KABUL 29 Julai - Seramai 23 orang awam di Afghanistan terbunuh hari ini dalam dua kejadian letupan bom membabitkan sebuah van mini dan sebuah traktor di wilayah Helmand yang bergolak di selatan Afghanistan.
Van mini tersebut sedang dalam perjalanan ke ibu negeri wilayah Lashkar Gah ketika letupan itu berlaku mengakibatkan kesemua 19 orang orang di dalamnya terbunuh.
Timbalan Ketua Polis, Kamaluddin Shirzai berkata, kesemua 19 orang di dalam kenderaan itu terbunuh termasuk seorang wanita.
Di daerah Garmsir di selatan Lashkar Gah pula, sebuah traktor terkena letupan di tepi jalan mengakibatkan empat orang terbunuh.
Kor Tentera Maiwand dari Helmand, Jeneral Sayed Malook berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) menggunakan alat letupan reka ganti (IED).
IED merupakan senjata kegemaran kumpulan Taliban yang telah menyebabkan ramai orang awam dan pasukan keselamatan terbunuh dalam tempoh 10 tahun ini. - AFP/Reuters
http://www.utusan.com.my

Banjir: Penduduk kecam kerajaan




Anggota tentera Korea Selatan membersihkan lumpur di sebuah kompleks apartmen ekoran kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat di Seoul, semalam. - AP


SEOUL 29 Julai - Pihak berkuasa Korea Selatan hari ini dikecam hebat selepas jumlah korban bencana banjir dan tanah runtuh terus meningkat kepada 59, manakala 10 lagi dilaporkan masih hilang.
Pakar penganalisis dan media 'menyerang' pihak berkuasa bandar raya Seoul dengan menuduh keadaan menjadi semakin teruk ekoran pembinaan perumahan berhampiran lereng bukit di selatan bandar raya ini.
Terdapat sesetengah lereng bukit dijadikan tempat letak kereta serta trek mendaki dan keadaan tersebut menyebabkan air hujan tidak dapat diserap malah sistem pengaliran semula jadi dijadikan tasik buatan.
"Kerakusan pembangunan oleh manusia menjadi antara faktor bencana itu berlaku.
"Malah pakar-pakar telah memberi amaran terhadap pembangunan yang dilakukan di lereng bukit, namun pihak berkuasa seolah-olah tidak mengambil endah perkara tersebut," kata akhbar Joogang Ilbo.
Beberapa penduduk di kaki Gunung Umyeon di selatan Seoul yang mencatatkan lapan kejadian tanah runtuh, bagaimanapun percaya bencana itu dapat dielakkan.
Bencana ribut pada September lalu memusnahkan banyak pokok di kawasan gunung dan usaha lambat kerajaan untuk menanam semula pokok-pokok tersebut memudahkan lagi kejadian tanah runtuh.
Sementara itu, kegagalan agensi kaji cuaca dalam melaporkan keadaan hujan dan ribut turut dikecam.
Keadaan hujan lebat menyebabkan lebih 11,000 penduduk tinggal sehelai pinggang, manakala bekalan elektrik bagi 130,000 rumah di seluruh negara terputus. - AFP
http://www.utusan.com.my

Katil seberat 1.8 tan



DENGAN menggunakan peralatan tradisonal, Roni membuat katil seberat 1.8 tan di Pusuruan, Jawa Timur. - KOMPAS.com.


PASURUAN - Seorang pembuat perabot di Jawa Timur menghasilkan sebuah katil seberat 1.8 tan dan berharga 170 juta rupiah (RM59,100).
Roni, 53, berkata, katil itu dihasilkan menggunakan kayu pokok berusia lebih satu abad dan boleh digunakan sehingga tujuh generasi.
Menurutnya, idea menghasilkan katil itu berikutan kebanjiran pembuat perabot di tempatnya yang menyebabkannya mahu membuat kelainan.
"Bagi saya adalah tidak salah untuk membuat kelainan supaya kita dikenali dan apa yang penting saya mahu Kota Pasuruan dikenali hingga ke luar negara melalui penghasilan perabot yang unik-unik," katanya kepada KOMPAS.com.
Katil ini dikatakan mempunyai panjang tiga meter dan lebar 2.8 meter. Untuk kelihatan lebih elegan, batang pokok yang mempunyai kepanjangan satu meter serta berdiameter 35 sentimeter dijadikan sebagai penyandar katil.
Katil ini dibuat secara tradisional menggunakan tangan dan memerlukan masa selama sebulan untuk disiapkan.
Bagi memudahkan pemindahannya, kaedah pasang siap diguna pakai dan antigempa dan antianai-anai kerana kayu yang digunakan telah dipanaskan sehingga kering dan disembur ubat antianai-anai sebelum proses pembuatan dimulakan. - AGENSI
http://www.utusan.com.my

Bayi baru lahir ditinggalkan kepada sepasang suami isteri

ALOR SETAR 29 Julai - Sepasang suami isteri yang ingin menjamu selera di sebuah kedai makan di Shahab Perdana di sini terkejut apabila seorang gadis meninggalkan bayi lelaki yang dipercayai baru lahir kepada mereka.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam tadi, Ahmad Zaidi Muin, dan isterinya, Marina Midon, masing-masing berusia 34 tahun didatangi seorang gadis meminta isterinya memegang sebentar seorang bayi yang berbungkus dengan tuala berwarna coklat dengan alasan untuk ke tandas.
"Ketika itu kami baru tiba dari Kuala Nerang untuk menjamu selera di kedai makan kegemaran kami dan boleh dikatakan tiap minggu kami akan ke sini.
"Saya baru sahaja meletakkan kereta sebelum seorang gadis berusia lingkungan awal 20-an datang meminta kami jaga bayinya untuk ke tandas namun selepas sejam, dia tidak muncul-muncul," katanya di sini, malam tadi.
Menurut Ahmad Zaidi, dia dan isterinya kemudian membawa bayi itu ke rumah abangnya di Pokok Sena sebelum dinasihatkan membuat laporan polis.
"Kami kemudian membawa bayi lelaki ini ke Balai Polis Alor Setar kira-kira pukul 12 malam untuk melaporkan hal ini kerana bimbang kami dituduh menculik bayi tersebut," katanya yang sudah lapan tahun berkahwin dan belum dikurniakan cahaya mata
Tambahnya, tiada sebarang dokumen atau surat ditinggalkan oleh gadis tersebut kepada mereka.
Dia juga percaya bayi ini baru dilahirkan kerana terdapat kesan darah pada muka bayi ini. Ahmad Zaidi dan isteri juga berhasrat untuk mengambil bayi ini sebagai anak angkat mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes tersebut dan bayi lelaki itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan lanjut.
"Bayi berkenaan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya," katanya.
http://www.utusan.com.my

Mayat bayi dalam beg tangan



Anggota polis forensik mengangkat mayat seorang bayi yang ditemui di Kilometer 282.4, Lebuh Raya Utara-Selatan dari arah Utara berhampiran susur masuk Nilai, semalam.


SEREMBAN 29 Julai - Entah ke mana perginya sifat kemanusiaan segelintir individu yang bertindak kejam membuang bayi tidak berdosa walaupun perbuatan seperti itu sering didedahkan oleh media.
Tetapi itulah yang masih berlaku apabila seorang penunggang motosikal menemui mayat seorang bayi lelaki dalam sebuah beg tangan wanita di Kilometer 282.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara berhampiran susur masuk Nilai dekat sini petang ini.
Penunggang motosikal itu, Azmi Talib, 44, memberitahu, dia menemui beg tangan itu kira-kira pukul 2.30 petang ketika dalam perjalanan dari Muar, Johor menuju ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, dia singgah di bawah jejambat berkenaan untuk berehat seketika sebelum ternampak satu beg tangan wanita berwarna hitam berhampiran lokasi kejadian.
"Ingin tahu apa yang ada di dalam beg itu, saya membuka beg tangan tersebut dan nampak satu objek yang dibalut dengan tuala berwarna putih.
"Sebaik sahaja memegang objek itu, saya dapati ia lembik dan terkejut apabila melihat kaki bayi terkeluar dari hujung tuala berkenaan sebelum menghubungi pihak polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritendan Mohd. Yusoff Awang berkata, bayi berkenaan dipercayai berketurunan Melayu dan baru dilahirkan kerana masih terdapat tali pusat.
"Polis turut menemui satu bungkusan plastik mengandungi uri tidak jauh dari lokasi beg tangan itu dijumpai," katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
http://www.utusan.com.my

Ramai layari web semasa bertugas


ANTARA laman web yang kerap dikunjungi para pegawai kerajaan Britain ialah ESPNcricinfo.com.


LONDON - Satu pendedahan maklumat yang dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang kebebasan maklumat mendapati puluhan ribu laman web dilawati oleh para pegawai kerajaan Britain semasa mereka bertugas, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebanyak 1,000 laman web tertinggi yang sering dilayari oleh ribuan pegawai kerajaan di ibu pejabat kerajaan di sini sepanjang tempoh lima bulan telah didedahkan berdasarkan peruntukan undang-undang tersebut.
Ini menunjukkan para pekerja menghabiskan masa mereka dengan mengemas kini pungutan mata sukan kriket, keputusan loteri, menempah percutian dan mempelajari tarian gelek yang dibayar oleh pembayar cukai.
Antara laman web yang hangat ialah sexymp.co.uk tampil di dalam senarai paling popular itu dengan kunjungan 21,477 kali.
Laman web itu menyenaraikan ahli-ahli parlimen yang mempunyai daya penarik.
Senarai paling pelik iaitu preseed.co.uk yang menjual krim pelembap intim berada di kedudukan ke-625 dan dilayari sebanyak 13,295 kali.
Laman web ESPNcricinfo.com turut menjadi pilihan pegawai kerajaan apabila ia dikunjungi sebanyak 346,000 kali.
Turut menjadi pilihan para pegawai kerajaan itu ialah laman web bearsfaction.org.uk yang menerima kunjungan 27,634 kali dan berada di tempat ke-385.
Ia merupakan laman web aksi secara langsung terbesar di Britain.
- Agensi

Setiausaha KBS maut nahas kereta terbabas


KEADAAN Perodua Alza yang dinaiki Azlina remuk selepas terlibat dalam kemlangan di Kilometer 234.7, Lebuh Raya Pantai Timur, Kuantan semalam.



KUANTAN - Hasrat seorang Setiausaha Bahagian Antarabangsa, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Putrajaya menghadiri program Rakan Muda Ramadan di Kemaman, Terengganu musnah apabila dia maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 234.7, Lebuh Raya Pantai Timur di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 7.50 pagi itu, mangsa, Azlina Fazlon Mohd. Amin, 39, yang berasal dari Johor Bahru kenderaan Perodua Alza meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Kenderaan tersebut dipandu oleh rakannya yang bekerja sebagai kerani KBS, Salawati Jamaludin, 31, kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini selepas cedera parah di beberapa bahagian badan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh penghadang lebuh raya.

Buaya besar baham buaya kecil



SEEKOR buaya besar membaham kepala seekor buaya kecil di Corroboree Billabong, Australia baru-baru ini.


CORROBOREE BILLABONG, Australia - Seekor buaya besar sepanjang 5 meter (m) membaham sekor buaya kecil berukuran 2.5m panjang di sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Gambar itu dirakamkan oleh Lyn Minchin yang menaiki sebuah bot bersama rakannya, Michael Milatos dari Darwin.
Menurut Milatos, buaya yang besar itu mengheret buaya kecil tersebut tanpa sebarang masalah dengan menggunakan rahangnya. - Agensi

Motosikal paling panjang di dunia



COLIN FURZE menunggang sebuah motosikal yang mengandungi 25 tempat duduk di Grantham baru-baru ini.


GRANTHAM, Britain - Seorang tukang paip, Colin Furze mencipta motosikal paling panjang di dunia dengan mempunyai 25 tempat duduk dan mampu bergerak pada kelajuan 56.3 kilometer sejam, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Furze menghabiskan masa selama sebulan untuk mencipta motosikal itu.
Dia menggunakan rangka sebuah motosikal berkuasa 125cc dan memanjangkannya melalui penggunaan kerangka aluminium.
Furze menunggang motosikal sepanjang 100 meter itu sejauh lebih satu kilometer di landasan Saltby di sini.
Menurut Guinness World of Records, motosikal terpanjang yang pernah direkodkan ialah 14 meter.
Dia akan menghantar rakaman video mengenai motosikal itu selain tandatangan beberapa saksi kepadaGuinness World of Records untuk mendapat pengiktirafan sebagai motosikal paling panjang di dunia. - Agensi

Imej UFO dirakam secara langsung


IMEJ objek terbang tidak dikenali (dalam bulatan) dirakamkan oleh seorang jurugambar stesen televisyen KXAS di Fort Worth, Texas baru-baru ini.


FORT WORTH, Texas - Satu imej objek terbang tidak dikenali (UFO) dirakamkan oleh seorang jurugambar sebuah stesen televisyen secara kebetulan, lapor sebuah akhbar semalam.
Para penonton dapat melihat satu objek berwarna putih bergerak semasa menonton program siaran langsung mengenai perkembangan lalu lintas di Forth Worth di stesen televisyen KXAS pada pukul 5.40 pagi waktu tempatan baru-baru ini.
Di bahagian kanan atas video itu kelihatan cahaya terang dari langit yang kemudian lenyap daripada pemandangan. Tayangan gerak perlahan menunjukkan cahaya samar berwarna putih berada di sebelah kanan gambar.
Terdapat beberapa penonton yang membuat spekulasi bahawa ia mungkin terjadi disebabkan pantulan cahaya daripada menara televisyen.
Namun, terdapat juga beberapa orang yang menyatakan mereka telah melihat objek itu.
"Saya sedang duduk di luar rumah jiran saya dan saya melihat satu cahaya di langit bergerak di atas pokok.
"Jiran saya, Bill juga melihat imej itu," kata seorang saksi yang menghantar mesej di laman web stesen berkenaan.
Menurut seorang lagi saksi, imej itu kelihatan seperti tahi bintang yang sudah tiba di atmosfera Bumi. - Agensi

Hadiah kahwin paling bermakna


 NORMAN dan Memey  di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.
NORMAN dan Memey di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.

Norman, Memey bebas tuduhan khalwat selepas penantian hampir tiga tahun 

KUALA LUMPUR: "Ini hadiah perkahwinan paling bermakna bagi kami," kata pelakon Memey atau nama sebenarnya Suhaizah Suhaimi selepas beliau dan bakal suami, Norman Hakim dibebaskan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, dekat sini semalam daripada tuduhan berkhalwat, tiga tahun lalu.
Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon pula menangis dan melahirkan kesyukuran sebaik Hakim Syarie, Salehan Yatim membacakan keputusan itu atas hujah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tuduhan berkenaan.
Dalam penghakimannya, Salehan antara lain berkata, pendakwa gagal membuktikan dua daripada elemen khalwat, iaitu sama ada pasangan itu berada bersama-sama ketika tangkapan dibuat kerana keterangan saksi menunjukkan Norman berada di sebuah bilik di tingkat atas premis manakala Memey berada di kaunter pertanyaan dengan berpakaian lengkap.

Beliau berkata, wujud percanggahan dalam keterangan enam saksi pendakwaan kerana hanya saksi keenam iaitu pengadu kes yang memberitahu mahkamah beliau melihat pasangan itu bersama-sama dalam premis dan Norman lari dengan memanjat bahagian ruang atas bangunan itu.

Norman dan Memey diwakili Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan, dihadapkan di mahkamah berkenaan pada 21 Januari 2009, mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4/1A Jalan UP1, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini antara jam 1.45 pagi hingga 3 pagi, 30 Oktober 2008. Pasangan itu yang mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu.

Ketika ditemui pemberita, Memey yang berbaju kurung kapas dan bertudung ungu, menyifatkan dirinya seolah-olah baru bebas dari penjara selepas penantian hampir tiga tahun, manakala Norman pula bersyukur kerana dugaan itu berakhir dan berharap perkahwinan mereka dua bulan lagi akan berkekalan.
Bekas isteri Norman, Abby Abadi ketika dihubungi Berita Harian, berkata berita itu tidak memberikan kesan kerana peristiwa berkenaan sudah tiga tahun berlalu dan beliau juga sudah memaafkan perbuatan bekas suaminya itu.
http://www.bharian.com.my

Isteri tak tahu suami maut

Mangsa nahas bas belum sedar diri 
BAGAN SERAI: Seorang daripada dua mangsa yang parah dalam nahas bas ekspres dirempuh treler dekat sini, kelmarin, Fauziah Md Mokhtar, 24, belum mengetahui kematian suami, Konstabel Abdul Shahreer Abu Hasan, 23, dan bayi mereka, Mohamad Fariz Daniel, 2, kerana masih koma.
Abangnya, Fauzi, 25, berkata adiknya masih tidak sedarkan diri kerana kecederaan di kepala serta bahagian otak berikutan kemalangan berkenaan dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping (HT).
“Kerana keadaannya itu, dia belum mengetahui suami dan bayinya sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, semalam. Fauziah berasal dari Kampung Padang Setol, Kuala Nerang, Kedah. 

Nahas kira-kira jam 12.25 pagi di Kilometer 201.5, Lebuh Raya Utara-Selatan, berhampiran Plaza Tol Bukit Merah itu menyebabkan Abdul Shahreer yang bertugas sebagai anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Batalion 5, Simpang Renggam, Johor dan Mohamad Fariz maut selepas mereka terpelanting keluar sebaik bas ekspres dinaiki dirempuh treler gula yang terbabas ke laluan bertentangan. 

Pemandu treler, A Yogeswara Rao, 25, dan kelindannya, K Supramaniam, 30, turut terbunuh dalam kejadian itu. 

Kemalangan turut menyebabkan lima penumpang bas ekspres cedera termasuk dua parah, manakala 25 lagi cedera ringan. 
Selain Fauziah, seorang lagi yang parah ialah pemandu bas ekspres, Mohamad Azizi Baharin, 25. 
http://www.bharian.com.my

Anggota polis bebas daripada tuduhan bunuh


SAHARI (kanan) memeluk anaknya Shafiq Haikal selepas mahkamah  membebaskannya daripada tuduhan membunuh lelaki Indonesia lima tahun lalu.
SAHARI (kanan) memeluk anaknya Shafiq Haikal selepas mahkamah membebaskannya daripada tuduhan membunuh lelaki Indonesia lima tahun lalu.

SHAH ALAM: Selepas lima tahun direman dalam penjara dan menanggung kesedihan kehilangan anak perempuan yang mati didera teman lelaki isteri sendiri, seorang anggota polis semalam tersenyum gembira kerana dapat menyambut Ramadan bersama keluarga apabila dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi, di sini atas tuduhan membunuh.

Sahari Usul, 34, bapa kepada mangsa dera, Syafiah Humairah, kanak-kanak berusia tiga tahun yang dibunuh teman lelaki ibunya, Februari tahun lalu, dilepas dan dibebaskan selepas mahkamah mendapati wujud keraguan dia mempunyai niat melakukan jenayah bunuh itu pada 2006.
Bagaimanapun dua lagi anggota polis yang dituduh bersama Sahari, Koperal Ailias Yahaya, 54, dan Konstabel Saiful Azlan Shah Abdullah, 47, disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah berkenaan yang bersidang di depan Hakim Dr Badariah Sahamid.
Mereka bertiga didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, membunuh seorang lelaki Indonesia, Yusrizal Yusuf di Ladang Caledonia di Kilometer 22, Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor, Batu Arang, Gombak, antara jam 10 malam hingga jam 11.30 malam pada 13 Januari 2006. 

Selepas dibebaskan, Sahari terus mendukung anak lelaki sulungnya yang dibawa kakaknya ke mahkamah dan mengucapkan rasa syukur serta gembira dengan keputusan mahkamah itu. 

Ketika ditemui kemudian, anggota polis itu berkata, beliau mahu melawat kubur Syafiah Humairah dan mahu pulang ke Sarawak. Keluarga Ailias dan Saiful Azlan Shah yang turut hadir di mahkamah kelihatan menangis teresak-esak selepas keputusan dibacakan hakim. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azri Harun dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam manakala pembelaan diwakili peguam Kuldeep Kumar (Sahari), M Athimulan (Ailias) dan Ravi Shankar Ghandi (Saiful Azlan Shah). 
http://www.bharian.com.my

Maut dilanggar bapa undur MPV


Nuramni ATIRAH CHE PAUZI-utusan



Anak tunggal selepas 15 tahun kahwin
BACHOK: Seorang suami yang terpaksa menunggu 15 tahun untuk mendapatkan anak tetapi dalam sekelip mata anak berusia setahun sembilan bulan itu pergi menghadap Ilahi apabila dilanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kampung Tok Jawa, Tawang, dekat sini, semalam.
Paling menyayat hati kenderaan itu dipandu ayah mangsa, Che Pauzi Mamat, 44, ketika mengundurkan kereta itu di rumah mereka untuk membeli barang kelengkapan menjelang Ramadan.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, Nuramni Athirah Che Pauzi, ditemui di kiri tayar depan MPV milik bapanya dalam keadaan lemah.

“Pada mulanya saya ingat dia dalam rumah, manakala isteri pula ingat anak bersama saya. Ketika itu, saya juga tidak menyedari arwah berada dekat dengan kereta. Saya hanya menyedari apabila ada orang menjerit dan merasa seperti melanggar sesuatu.

“Saya terkejut melihat dia bawah kereta. Saya panggil isteri untuk membantu, malah sempat mengusap dada dan beri bantuan pernafasan, namun gagal,” katanya yang membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Kedai Lalat, Kota Bharu sebelum jenazahnya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Che Pauzi berkata, kehilangan arwah adalah dugaan berat untuknya kerana Nuramni Athirah dilahirkan selepas 15 tahun berkahwin.
Arwah ialah anak menerusi perkahwinannya bersama Noraini Othman, 38, tiga tahun lalu, manakala perkahwinannya terdahulu tidak memperoleh cahaya mata.

Kakitangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Kubang Keranji, Kota Bharu itu berkata, dalam keadaan panik, dia memanggil isterinya yang ketika itu berada dalam rumah untuk segera membantu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Yahya Salleh, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.
http://www.bharian.com.my

Pesakit mental rentung di hospital dirawat

Warga Indonesia terperangkap dalam bilik kurungan HKL sebelum sempat terima rawatan

KUALA LUMPUR: "Kami menghantar abang ke hospital selepas dia mengamuk. Tetapi beberapa jam kemudian, abang ditemui rentung dalam bilik kurungan sementara," kata Dori Abdul Ghani, 26, ketika menceritakan kejadian kebakaran di Unit Kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam, yang meragut nyawa Dedy Mulia Abdul Ghani, 33.
Mangsa seorang warga Indonesia yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) tiba di hospital terbabit pada jam 9 malam selepas dihantar polis dan adiknya untuk mendapatkan rawatan kerana dipercayai mengalami masalah sakit mental.
Bagaimanapun, dalam kejadian pada jam 12.30 malam itu, seramai 15 pesakit lain yang sedang mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan itu berjaya dibawa keluar oleh kakitangan hospital dan ditempatkan di wad sementara.

Dori berkata, beliau dan seorang lagi adiknya, Arifin, 25, tidak menyangka abang sulungnya yang dihantar ke hospital untuk rawatan pada jam 9 malam itu dikembalikan dalam keadaan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran.

“Kami terpaksa mengikatnya sebelum menghubungi polis meminta bantuan untuk ke hospital. Selepas melihat abang diletakkan dalam bilik kurungan, saya pulang ke rumah pada jam 10.30 malam untuk mengambil isteri sebelum dihubungi pengawal keselamatan Unit Kecemasan yang meminta kami datang ke hospital dan memaklumkan abang saya meninggal,” katanya ketika ditemui di perkarangan hospital, di sini, semalam.

Katanya, abang sulungnya yang bekerja sebagai peniaga buah durian dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tujuh tahun menghidap sakit mental sejak sekian lama dan pernah dimasukkan ke wad pesakit mental untuk rawatan lanjut.
“Kami tidak tahu bagaimana biliknya boleh terbakar sedangkan sebelum dibawa ke hospital, kami sudah memeriksa dan tiada alat berbahaya dengannya termasuk mancis.

“Masih terngiang-ngiang lagi jeritan abang yang merayu supaya membawanya ke wad dengan segera sebaik tiba di hospital. Bagaimanapun tiada seorang kakitangan hospital yang tampil memeriksa keadaannya selepas dua jam berada di hospital berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 12.35 pagi sebelum menghantar dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Chow Kit yang tiba 10 minit kemudian.

“Kebakaran dipercayai bermula daripada salah satu bilik rawatan di Unit Kecemasan yang ketika itu didiami seorang mangsa untuk rawatan. Api yang marak dengan cepat menyebabkan mangsa gagal diselamatkan sebelum ditemui dalam keadaan rentung, manakala 15 pesakit lain berjaya dikeluarkan,” katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian

Najib nafi setuju projek paip gas

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam menafikan memberi persetujuan kepada sebuah syarikat tempatan melaksanakan projek paip gas trans-Asian sepanjang 8,000 kilometer yang menyalurkan bahan api itu dari Mersing, Johor ke tanah besar China. 
Malah Perdana Menteri menegaskan pembinaan projek mega yang kosnya dilaporkan mencecah RM295 bilion itu tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Ekonomi (EC) yang dipengerusikannya.

“Tidak. Saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini (projek paip gas trans-Asian),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn di sini, semalam.
Najib mengulas mengenai dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Panelpoint Sdn Bhd, Che Nordin Ismail kelmarin bahawa pihaknya mendapat ‘mandat bertulis’ daripadanya untuk meneruskan pembinaan fasa pertama projek itu di Selatan Semenanjung.

Syarikat itu yang dikatakan bekerjasama dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, Rochester Foundation dilaporkan akan membentuk konsortium bagi melaksanakan projek jaringan paip gas asli pertama di rantau ini yang menghubungkan paip gas di Mersing dengan kepulauan di utara Indonesia, Ho Chi Minh City dan Hanoi di Vietnam, Hong Kong sebelum disalurkan ke Guangzhou, China.

Ditanya mengenai khabar angin kerajaan akan menswastakan syarikat utiliti negara iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Najib berkata kerajaan tidak bercadang untuk berbuat demikian.
http://www.bharian.com.my

Polis bebas 6 individu

YB Sungai Siput turut dilepas 
KUALA LUMPUR: Bukit Aman membebaskan enam individu termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj semalam selepas hampir tiga minggu ditahan mengikut Ordinan Darurat 1969 kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mengancam keselamatan negara.
Selain Jeyakumar, 56, turut dibebaskan ialah Sarasvathy Muthu, 58; Letchumanan Aseer Patham, 49; Sukumaran Munusamy, 50; Saratbabu Raman, 25, dan Choo Chon Kai, 33.
Pembebasan enam individu itu diumumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataan yang dikeluarkan di ibu negara, kira-kira jam 5.30 petang semalam. 

Ismail berkata, pembebasan semua individu terbabit dibuat selepas siasatan mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) No. 5, 1969 ke atas mereka, selesai. 

“Dengan pembebasan mereka, tindakan selanjutnya akan ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataan itu di sini, semalam. 

Keenam-enam individu terbabit adalah sebahagian daripada 31 ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di Plaza Tol Sungai Dua, Kepala Batas di Pulau Pinang selepas disyaki terbabit dalam kegiatan yang mengancam keselamatan negara. 
Ketika penahanan itu dilakukan, mereka dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk mempromosikan perhimpunan haram BERSIH 2.0 anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) di ibu negara, 9 Julai lalu. 

Polis turut menemui pelbagai risalah selain kemeja-T membabitkan perhimpunan haram itu dalam bas sewa khas digunakan mereka ketika serbuan dibuat. 
http://www.bharian.com.my

4 kanak-kanak maut tertimbus tanah runtuh di Sumatera

JAKARTA: Empat kanak-kanak terbunuh dan dua lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di sebuah kampung di wilayah Sumatera, Selatan Indonesia, kata seorang pegawai, awal pagi tadi. 
"Kanak-kanak sedang bermain di bawah cerun curam apabila kejadian tanah runtuh itu berlaku lewat petang semalam," kata jurucakap agensi pengurusan bencana, Sutopo Purwo Nugroho.

Nugroho berkata, salah seorang daripada kanak-kanak yang meninggal dunia berumur tujuh tahun, manakala tiga lagi mangsa berusia sepuluh tahun.
"Hujan lebat mengakibatkan tanah runtuh," katanya.

Sekurang-kurangnya 148 orang terbunuh apabila banjir kilat melanda Teluk Wondama daerah di Papua, akhir tahun lepas. - AFP
http://www.bharian.com.my

Lelaki mohon tukar nama Aleesha Farhana meninggal dunia

pix_gal0
Mohd Ashraf Abd Aziz
KUALA TERENGGANU: Mohd Ashraf Abd Aziz, 26, (gambar) yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana meninggal dunia jam 4.50 pagi tadi selepas dimasukkan ke wad ICU, Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, awal pagi semalam.

Allahyarham dilaporkan mengalami tekanan darah rendah akibat kemurungan apabila permohonannya menukar nama ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Petani akui duit bawa masalah


SANJAY Singh anggap wang yang diterima selepas menjual tanah kepada penaja F1 menjejaskan kehidupannya.
SANJAY Singh anggap wang yang diterima selepas menjual tanah kepada penaja F1 menjejaskan kehidupannya.

Hidup penduduk jual tanah kepada penganjur F1 India porak peranda

DANKAUR-SARLARPUR (India): Wang yang banyak tidak semestinya membawa kehidupan yang lebih baik sebaliknya menjadi lebih buruk.
Itulah yang dialami beratus-ratus petani yang menjual tanah mereka bagi memberi laluan untuk membina litar perlumbaan sirkit Formula Satu (F1) India di sini.
Seorang petani berkenaan, Sanjay Singh menyifatkan kehidupannya memang sukar tetapi mudah tidak lama dulu bagi keluarganya seramai enam orang.

Mereka sangat rapat hasil daripada bercucuk tanam di sebidang tanah kecil yang ditanam timun, sayur dan tanaman lain. Kini, keadaan itu sudah lenyap.

Pembinaan litar baru di luar New Delhi di sini bernilai AS$350 juta (RM1.03 bilion), dijadualkan menyaksikan pelancaran Grand Prix India yang pertama pada 30 Oktober depan tetapi ia juga mengubah hidup mereka menjadi tunggang langgang.

“Kami menjual tanah kepada penganjur perlumbaan,” kata Singh ketika memantau pembinaan rumah dua tingkatnya di kampung Dankaur-Sarlarpur yang bertentangan litar itu.
“Kami dapat wang sebagai tukaran tetapi ia hanya membawa masalah,” kata lelaki berusia 49 tahun tanpa mendedahkan jumlah pampasan yang dipercayai lima juta rupee (RM331,550), kata pegawai.

“Kami bina rumah baru dan kini mempunyai kereta tetapi kami tidak gembira kerana sumber pendapatan hidup menerusi bercucuk tanam sudah dirampas,” tambahnya.

Di sekitar penempatan yang berdebu dihuni 500 keluarga, terletak 80 kilometer dari ibu negara, ada pembinaan berjalan menandakan penduduk yang ada wang membaiki rumah yang hampir roboh. – AFP
http://www.bharian.com.my

Ketua pemberontak kena tembak, dibakar


Abdel Fattah Younes
Abdel Fattah Younes

Gaddafi disyaki dalang pembunuhan Abdel Fattah Younes

BENGHAZI/NALUT: Ketua pemberontak tentera Libya ditembak mati dalam kejadian yang disyaki berpunca daripada pertelagahan dalam pergerakan menyingkirkan Muammar Gaddafi atau dibunuh oleh penyokong Gaddafi.
Pembunuhan Abdel Fattah Younes yang dianggap misteri menjejaskan pergerakan anti Gaddafi ketika mereka semakin kukuh selepas diiktiraf negara Barat sebagai pemerintah baru Libya.
Fattah juga bertahun-tahun dekat dengan pentadbiran Gaddafi sebelum berpaling tadah bagi menjadi ketua tentera Majlis Pentadbiran Kebangsaan (TNC).

Penyokong yang berkabung kematiannya membawa mayat Fattah penuh dengan kesan tembakan dan dibakar ke medan utama di Benghazi, kubu kuat pemberontak di timur Libya.

“Kami bawa mayatnya ke sini semalam. Dia ditembak kemudian dibakar. Dia menelefon kami pada 10 pagi (Khamis) dan memberitahu dia dalam perjalanan ke sini,” kata anak saudara Fattah, Abdul Hakim.

Fakta pembunuhan Fattah juga masih kabur selepas dia diminta ke Benghazi ketika berada di medan tempur di bandar Brega.
“Pembunuhan ini nampaknya satu operasi anjuran penyokong Gaddafi. Anggota keselamatan Gaddafi memenuhi misi mereka untuk membunuh Fattah,” dakwa wartawan Libya dan aktivis berpejabat di London, Shamis Ashour.

“Mereka harap dapat cetuskan perbalahan di kalangan pemberontak. Nampaknya ada tali barut (Gaddafi) di kalangan pemberontak.

“Fattah berada di medan perang dan dipujuk kembali ke Benghazi dan dibunuh sebelum tiba di sana. Ini satu tamparan hebat kepada pemberontak,” katanya lagi.

Pembunuhan itu berlaku ketika pemberontak mula menyerang kawasan sebelah barat dan menerima lebih banyak daripada masyarakat antarabangsa yang diharapkan membolehkan mereka menerima aset berbilion dolar Libya yang dibekukan di negara asing.

Selepas khabar angin bertiup kencang, pemimpin politik pemberontak, Mustafa Abdel Jalil memberitahu Fattah dan dua pengawal peribadinya dibunuh sebelum menghadiri sesi soal siasat dengan jawatankuasa kehakiman pemberontak mengenai isu ketenteraan.

Tidak jelas di mana pembunuhan itu berlaku. Fattah tidak dipercayai ramai pemimpin kanan pemberontak kerana rekodnya sebelum ini menindas penentang Gaddafi.

Tetapi, kematiannya dianggap memberi tamparan hebat kepada mereka kerana 30 negara sudah memberi pengiktirafan kepada mereka ketika kemajuan di medan perang agak perlahan.

“Ramai ahli TNC adalah penyokong Gaddafi sejak lama dulu. Mereka adalah penasihat dan menyertai TNC selepas pemberontakan meletus beberapa lama,” kata Geoff Porter, perunding agensi North Africa Risk Consulting. – Reuters
http://www.bharian.com.my