Pages

Sunday, August 14, 2011

Taun pula merebak di Somalia



Seorang wanita Somalia memangku anaknya yang menangis kelaparan di khemah penempatan sementara di Mogadishu, kelmarin. - AFP


GENEVA 13 Ogos - Selepas dilanda kemarau dan kebuluran, penduduk Somalia kini terdedah kepada wabak taun yang semakin meluas dengan jumlah kes yang tinggi dicatatkan melibatkan mereka yang melarikan diri ke Mogadishu ekoran kekurangan makanan dan minuman, kata Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Wakil WHO, Dr. Michel Yao semalam berkata. sebanyak 4,272 kes cirit-birit teruk kebanyakannya melibatkan kanak-kanak direkodkan dan 181 orang maut dilaporkan setakat tahun ini di Hospital Banadir, Mogadishu, sahaja.
''Jumlah kes yang dicatatkan berjumlah dua atau tiga kali ganda lebih tinggi berbanding pada tahun lepas. Jadi boleh dikatakan wabak kolera kini semakin tersebar,'' katanya.
Wabak kolera sebelum ini direkodkan berlaku secara bermusim sejak tiga tahun lalu di negara-negara Afrika Timur.
Menurut WHO, wabak kolera kini disahkan melanda beberapa wilayah.
Yao berkata, pergerakan penduduk meningkatkan risiko penyebaran penyakit bawaan air itu.
Wakil agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Adrian Edwards berkata, kira-kira 100,000 orang yang diancam kemarau dan kebuluran di selatan negara ini, melarikan diri ke Mogadishu sejak dua bulan lalu.
Sebelum itu, 370,000 penduduk Somalia telah meninggalkan kampung halaman mereka bagi mencari perlindungan, makanan dan minuman di Mogadishu.
Kira-kira 1,500 rakyat Somalia pergi ke Kenya setiap hari dan kini ditempatkan di 440,000 tempat perlindungan sementara di Dadaab. -Reuters, utusan

Buruh culik gadis kerana tolak cinta

KUALA TERENGGANU: Hanya kerana kecewa cintanya ditolak pelajar tingkatan tiga, seorang buruh berusia 22 tahun dengan bantuan dua rakannya, termasuk pelajar tingkatan lima, bertindak nekad menculik gadis itu, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.15 malam, mangsa berusia 15 tahun yang belajar di sekolah menengah di Besut pergi berseorangan ke kedai runcit dekat rumahnya di Jalan Alor Peroi, Kuala Besut, untuk membeli barang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, ketika dalam berjalan pulang ke rumah, mangsa tiba-tiba didatangi sebuah kereta Perodua Kancil berwarna perak dinaiki suspek bersama dua rakannya sebelum suspek menarik mangsa masuk ke kenderaan.

Menurutnya, bapa mangsa berusia 36 tahun yang berada di depan rumah ternampak kejadian itu dan mendengar jeritan anaknya, lalu cuba mengejar kenderaan tetapi gagal.

“Bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut, jam 9.45 malam, dan hasil maklumat penduduk kampung, polis berjaya menjejaki kenderaan suspek.

“Polis kemudian ke rumah keluarga suspek berusia 17 tahun di Kampung Bharu Pengkalan Nangka, Kuala Besut dan menahan pelajar tingkatan lima itu bersama suspek berusia 25 tahun yang juga sepupunya. Bagaimanapun, suspek utama dari Kampung Gong Manok, Pasir Puteh, Kelantan, masih diburu polis,” kata Kamaruddin, semalam.


Polis kemudian menemui mangsa yang disembunyikan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gong Manok kira-kira jam 2.30 pagi dalam keadaan selamat dan menghantarnya ke Hospital Besut. Siasatan kita mendapati, mangsa mengenali suspek utama, namun tidak mengenali dua suspek yang ditahan. Mangsa memberitahu, suspek beberapa kali menyuarakan hasrat menjadikannya teman istimewa, tetapi tidak dilayan kerana masih bersekolah,” katanya.Katanya, polis turut merampas kereta Perodua Kancil digunakan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dua suspek berkenaan ditahan reman empat hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Besut.-SH

Terkejut anak hamil

KENINGAU: Seorang ibu yang curiga melihat anak gadisnya berusia 14 tahun gemar memakan benda masam selain perubahan saiz tubuhnya hampir pitam apabila dimaklumkan anaknya disahkan mengandung dua bulan selepas pemeriksaan di klinik kesihatan, di sini, kelmarin.
Lebih mengejutkan, gadis terbabit mendakwa kandungannya adalah hasil benih bapa tiri, yang juga suami ibunya.

Difahamkan, remaja terbabit menjadi mangsa rogol lelaki terbabit setiap kali ibu dan kakaknya tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Difahamkan, ibu mangsa mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku berikutan perubahan tubuh mangsa, terutama perutnya yang semakin membesar, selain gemar memakan asam.

Curiga dengan perubahan itu, ibu mangsa membawa anaknya menjalani pemeriksaan di klinik dan doktor mengesahkan gadis terbabit berbadan dua.

Terkejut dengan perkara itu, ibu mangsa mendesak anaknya menceritakan apa berlaku sebelum mangsa mengaku dirogol bapa tirinya sebanyak dua kali pada Jun dan Julai lalu.


Mangsa juga mendakwa diugut supaya merahsiakan kejadian itu daripada ahli keluarga lain.Ibu mangsa yang berang kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Zahari Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku di rumah mangsa di Kampung Kepayan Lama, Jalan Apin-Apin, sekitar Jun lalu.

“Mangsa dipaksa bapa tirinya melakukan hubungan seks ketika isteri dan kakak mangsa tiada di rumah.

“Mangsa juga diugut akan dicederakan jika menceritakan perkara itu kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Zahari berkata, berdasarkan laporan dibuat ibu mangsa, polis menjalankan gerakan memburu dan suspek berjaya ditahan di rumahnya.

“Suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Zahari berkata, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.-hmetro

Model perosak

SHONOLA...dihukum penjara enam bulan bersama adik dan rakannya kerana bersalah memecah masuk pasar raya di Croydon.
SHONOLA...dihukum penjara enam bulan bersama adik dan rakannya kerana bersalah memecah masuk pasar raya di Croydon.
LONDON: Rusuhan melanda beberapa bandar di England beberapa hari lalu menampakkan kemunculan watak baru sebagai dalang penjarah harta awam.
Jika biasanya perusuh terdiri daripada ahli kumpulan samseng atau penjenayah, kali ini ia turut membabitkan remaja yang pada zahirnya tidak ganas.

Antara individu yang berjaya ditahan ialah model wanita berusia 22 tahun dan dua remaja perempuan.

Model itu, Shonola Smith, kelihatan menyeka air matanya ketika hakim menjatuhi hukuman penjara enam bulan kerana memecah masuk pasar raya di Croydon.

Dia ditangkap bersama adiknya, Alicia, dan rakan mereka Donness Bissessar, 22, ketika polis menyerbu bangunan itu malam Isnin.

Ketika ditahan, Alicia membawa 10 bungkusan gula-gula getah yang dicurinya dari sebuah kedai serbaneka berhampiran.


Ketiga-tiga mereka tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan sebelum ini dan hakim mengarahkan mereka dipenjara enam bulan atas tuduhan menceroboh pasar raya dengan niat mencuri. Hakim, Robert Hunter, berkata ia satu tragedi apabila seseorang yang memiliki perwatakan baik dan berpelajaran akhirnya dipenjara atas kesalahan jenayah.“Bagaimanapun, saya tak boleh mengabaikan hakikat bahawa kamu menyebabkan kerugian kepada perniagaan dan penduduk setempat.Perbuatan kamu sangat serius dan hanya hukuman penjara layak untuknya. Mudah-mudahan ia menjadi pengajaran kepada yang lain,” katanya.Sementara itu, Hollie Bentley, 19 berdepan hukuman penjara kerana menggunakan Facebook menghasut orang ramai memulakan rusuhan.Hollie didakwa mengepos catatan “Siapa mahu?” di status Facebook miliknya.Walaupun tiada rusuhan berlaku di tempatnya di Wakefield, Yorkshire Barat, Hollie tetap ditahan kerana disyaki menggalakkan orang ramai mengganas.>Remaja kedua baru berusia 14 tahun dan berdepan empat tuduhan mencuri pakaian, cakera padat, dan minyak wangi dari beberapa pasar raya sekitar London.Dia kini diikat jamin sementara menunggu perbicaraan tidak lama lagi. - DM, hmetro

Chef lelaki mangsa cerai

Isteri marah anak lebih suka masakan bapa untuk bersahur bulan puasa 

KAHERAH: Seorang wanita Mesir mengemukakan permohonan cerai atas alasan bahawa kemahiran memasak suaminya lebih hebat berbanding dirinya sendiri, lapor akhbar Al-Masry Al-Youm.

Media tempatan melaporkan, tragedi perceraian pasangan berkenaan, Mohammed Said dan isterinya, Nahal, berlaku pada awal Ramadan.
Mohammed Said adalah seorang tukang masak di sebuah hotel lima bintang di Kaherah, ibu kota Mesir. Beliau dikatakan mengejutkan keluarganya dengan kemahiran memasak apabila mengambil alih tugas dapur daripada isterinya ketika permulaan Ramadan kali ini. 

Atas sebab itu, Nahal memutuskan untuk bercerai dengan suaminya, lebih-lebih lagi selepas dua anak lelakinya mahukan bapa untuk mengambil alih tugas memasak sahur bagi hidangan keluarga. 

Menurut akhbar Al-Masry Al-Youm, Nahal berasa malu apabila anaknya menganggap dia sebagai seorang tukang masak yang teruk. 

Tidak lama selepas itu, Nahal mengambil keputusan ke mahkamah bagi memohon cerai Khula kerana berasakan dia bukan isteri baik. 
Khula adalah satu fasal berdasarkan undang-undang Islam merujuk kepada hak bagi seseorang wanita untuk mendapatkan perceraian dan menerima nafkah. 

Apabila suaminya dimaklumkan mengenai saman berkenaan, dia menegaskan dirinya tetap mencintai Nahal dan anak serta sekadar mahu membantu isteri apabila pulang ke rumah dari tempat kerja meskipun dalam keadaan letih. 

Bagaimanapun, Nahal yang dikahwininya selama 10 tahun berkata di hadapan pegawai Biro Penyelesaian Pertikaian Keluarga bahawa beliau mahu mengambil alih tugas memasak bagi membolehkan suaminya menumpukan perhatian kepada ibadat sepanjang Ramadan ini. – Agensi , bharian

Bumi pernah ada dua bulan

LAKARAN artis mengenai Bumi dan dua bulan.
LAKARAN artis mengenai Bumi dan dua bulan.

Jurnal Nature kemuka teori keadaan 4.4 bilion tahun lalu

FLORIDA: Pakar astronomi berpendapat bahawa Bumi pernah dikelilingi dua bulan, suatu keadaan yang pastinya dikagumi penyair, mereka yang mabuk asmara mahupun penulis lagu.
Bagaimanapun, bulan yang lebih kecil melanggar bulan lagi satu yang disifatkan sebagai ‘percikan besar’ menghasilkan hanya satu bulan hingga hari ini.
Planet itu ditakdirkan untuk berlanggar. Tiada jalan lain. Pelanggaran besar ini berhalaju rendah. - Erik Asphaug, Saintis planet di Universiti California
Ahli astronomi mengetengahkan teori untuk menerangkan mengapa keadaan bahagian bulan yang jauh lebih berbukit berbanding yang berhadapan dengan Bumi.

Teori berkenaan didedahkan dalam jurnal Nature, lengkap dengan model komputer menunjukkan bagaimana ia berlaku. Pakar lain berkata, idea berkenaan munasabah tetapi belum cukup kuat.

Semua ini dikatakan berlaku 4.4 bilion tahun lalu sebelum ada kehidupan di Bumi untuk melihat dua bulan itu. Kedua-dua bulan itu juga masih muda selepas terbentuk kira-kira 100 juta tahun lebih awal apabila sebuah planet gergasi melanggar Bumi.

Kedua-dua bulan itu mengelilingi Bumi dan terbit di langit bersama, yang lebih kecil mengikuti bulan yang lebih besar.
Bulan yang lebih kecil agak ringan sedikit, manakala yang satu lagi tiga kali lebih lebar dan 25 kali lebih berat, manakala gravitinya juga lebih kuat berbanding yang kecil.

“Planet itu ditakdirkan untuk berlanggar. Tiada jalan lain. Pelanggaran besar ini berhalaju rendah,” kata penulis bersama kajian, Erik Asphaug, saintis planet di Universiti California, Santa Cruz.

Apa yang dikatakan Asphug sebagai pelanggaran perlahan sebenarnya berlaku pada kelajuan lebih 8,050 kilometer sejam.

Disebabkan bulan lebih kecil lebih 965 kilometer lebar, proses pelanggaran berterusan untuk beberapa lama.

Asphaug menyamakan bulan lebih kecil itu bertindak seperti sebutir peluru yang ditembak dengan berkata: “Orang akan bosan melihatnya kerana ia mengambil masa 10 minit bagi peluru itu untuk terbenam dalam bulan. Jika anda menyaksikan perkara ini, anda perlukan sebuah beg bertih jagung yang besar untuk menunggu ia terhenti.”

Batuan dan kerak dari bulan kecil melayang dan bertaburan di bulan yang besar tanpa membentuk satu kawah, kecuali ia berlaku pada kepantasan lebih tinggi.

Kira-kira sehari selepas itu, semuanya selesai dan permukaan dekat dan jauh bulan kelihatan berbeza, kata Asphaug.

Martin Jutzi dari Universiti Bern di Switzerland berkata, kajian itu untuk menerangkan keadaan permukaan berbukit di bulan.

Asphaug menjelaskan, keadaan di situ seperti sesuatu ditambah pada permukaan. – Agensi

Pil khayal ketagihan Hollywood

Foto
PERUBAHAN ketara pada wajah dan fizikal selepas pengambilan pil khayal.

Foto
FERGIE pernah mengambil pil khayal.



Dadah bermutu rendah boleh rosakkan otak

LOS ANGELES: Penggunaan 'crystal methaphetamine' atau pil khayal kini menjadi dadah terbaru mendapat pilihan di Hollywood selepas kokain.
“Dadah itu mula diedarkan dan semakin mendapat sambutan,” kata pakar ketagihan dan penulis Younger (Sexier) You, Dr Eric Braverman.
Dadah itu mula diedarkan dan semakin mendapat sambutan Lagipun, ia tidak perlu diimport dan mungkin boleh dibuat di rumah. Oleh itu, ia antara yang sukar untuk dikesan oleh polis atau dikawal. - Dr Eric Braverman, Pakar ketagihan/ Penulis Younger (Sexier) You
“Lagipun, ia tidak perlu diimport dan mungkin boleh dibuat di rumah. Oleh itu, ia antara yang sukar untuk dikesan oleh polis atau dikawal,” katanya.

Beberapa selebriti mengakui mereka mula menggunakan dadah terbabit. Di sebalik kejayaannya, Fergie, penyanyi ‘Black Eyed Peas’, mengakui sudah ketagih dengan dadah berkenaan.

Tidak lama selepas itu, anak lelaki Farrah Fawcett dan Ryan O’Neal, Redmond turut mengambil bahan berkenaan selepas pihak berkuasa menemui dadah itu di rumahnya di Malibu.

Kesan kepada ketagihan dadah khayal ini adalah ia boleh menjejaskan kesihatan dengan dahsyat. Dadah itu boleh menjejaskan keupayaan otak untuk mengawal bahagian yang mengeluarkan isyarat keseronokan dan ia boleh mengakibatkan kerosakan otak, kata Braverman. 
Penggunanya juga akan mendapat tenaga fizikal berterusan sekiranya terus menggunakannya. Biarpun diketahui mempunyai kesan kemusnahan yang menakutkan, ‘cyrstal meth’ masih terus mendapat tempat dalam industri hiburan.

“Sering kali banyak tekanan untuk mempertahankan hubungan Hollywood dan ‘crystal meth’ meningkatkan prestasi seksual seseorang,” kata Braverman.

Alasan lain yang menjadikan dadah ini semakin popular dalam industri perfileman disebabkan ‘meth’ yang biasanya dirujuk sebagai kokain bermutu rendah disebabkan ia lebih murah berbanding dadah lain.

“Dadah ini amat murah dan dibuat daripada bahan kimia yang boleh anda dapati dari kedai ubat,” kata pengasas dan pengarah pusat rawatan alkohol dan dadah Passages Malibu, Pax Prentiss.

“Dadah paling mahal adalah heroin dan ia tidak biasa di kalangan seseorang selebriti yang mempunyai ketagihan heroin untuk membayar sejumlah AS$500 (RM1,500) sehari atau AS$200,000 (RM600,000) setahun.

“Tetapi bagi dadah jenis ini, ia hanya membabitkan kos antara AS$20 (RM60) hingga AS$40 (RM120) sehari menyebabkan meth semakin diminat,” katanya. – Agensi

Duta Olimpik, model antara perusuh

Demonstrasi ganas dedah penjenayah di sebalik topeng warga kota elit
Foto
PENDUDUK Greater Manchester lalu dekat papan iklan polis menyuruh mereka memaklumkan identiti suspek penjenayah ketika rusuhan di bandar itu.

LONDON: Seramai 700 sudah didakwa manakala 1,900 lagi ditahan kerana melakukan rusuhan dan mencuri selain merosakkan harta benda awam selepas protes terhadap kematian seorang lelaki kulit hitam yang ditembak mati polis bertukar ganas, Sabtu lalu.
Antara yang didakwa termasuk Duta Olimpik Britain, Chelsea Ives, 18, yang dituduh mencuri, berkelakuan ganas dan membaling batu ke arah polis ketika rusuhan meletus di utara London, Ahad lalu.
Akhbar melaporkan, ibu bapanya mengecam anak mereka antara perusuh di televisyen dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa. Dia ditahan untuk dihadapkan ke mahkamah, Rabu depan.

Dalam kes lain, seorang model menitiskan air mata di mahkamah selepas dihukum penjara enam bulan kerana cuba mencuri barangan sebuah pasar raya ketika rusuhan. 

Shonola Smith, 22, ditahan di luar Argos di Croydon bersama kakaknya, Alicia dan rakan mereka, Donness Bissessar, 22.

Mereka mengaku masuk ke kedai itu untuk mencuri, malam Isnin lalu. Alicia dan Bissessar dikenakan hukuman sama. 
Orang lain yang turut menghadapi pendakwaan termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, penari balet yang masih remaja dan pelajar universiti.

Seorang graduan universiti, Natasha Reid, 24, turut mengaku mencuri televisyen di sebuah kedai elektronik dan menyerah diri kerana tidak dapat tidur akibat rasa bersalah, kata peguamnya.

Datuk Bandar London, Boris Johnson, berkata hukuman dikenakan ke atas semua tertuduh setimpal dengan kesalahan mereka.

“Inilah yang mahu dilihat penduduk London,” katanya.

Sementara itu, ribuan anggota polis berkawal sebagai langkah berjaga-jaga di kota utama Britain.

Ratusan kedai dipecah masuk dan dicuri, bangunan dibakar dan lima orang terbunuh dalam kekacauan terburuk negara itu sejak beberapa dekad lalu.

Ia sebagai menjawab pandangan Perdana Menteri, David Cameron bahawa anggota keselamatan mulanya gagal mengawal perusuh atas alasan ‘terlalu sedikit anggota polis ditempatkan di tempat awam dan taktik digunakan gagal.’

Keadaan terkawal mulai Selasa apabila 16,000 anggota polis mula berkawal di London, tiga kali ganda daripada malam sebelumnya.

Parlimen Britain kembali bersidang bagi perdebatan kecemasan kekacauan itu, Khamis lalu dengan Cameron menjanjikan pihak berkuasa menggunakan undang-undang bagi menyekat masalah berulang. – AP 

Guru maut langgar lari.


Khuzainah Omar
JOHOR BAHRU – Seorang guru maut dipercayai menjadi mangsa langgar lari dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Pendidikan, Taman Universiti di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.35 malam itu, mangsa, Khuzainah Omar (gambar), 52 , guru Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 4 di sini sedang menunggang motosikal jenis Suzuki sebelum dipercayai bergesel dengan sebuah kereta ketika tiba di lokasi berkenaan.
Suami mangsa, Mohammad Amir Marjonid, 52, berkata, isterinya ketika itu dalam perjalanan ke kedai dari rumah mereka yang terletak di Jalan Pertanian, Taman Universiti.
-kosmo

Tiga maut treler rempuh treler


TRELER (kanan) yang dipandu Mohammad Zu remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 106, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di Kuala Krai semalam.


KUALA KRAI - Tiga termasuk sepasang suami isteri maut selepas treler yang mereka naiki hilang kawalan sebelum merempuh sebuah treler lain yang berhenti di bahu jalan di Kilometer 106, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu, pemandu treler, Mohammad Zu Yusoff, 47, dan isteri, Kamariah Ibrahim, 43, serta kelindan treler terbabit, Nik Mohd. Shahrizan Yaacob, 32, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supritendan Abdul Rahman Ja’apar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut turut melibatkan sebuah lagi lori yang sehingga petang semalam masih gagal dikesan.
Menurutnya, lori tersebut dikatakan cuba memotong treler yang dipandu Mohammad Zu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabit bergesel.
“Pergeselan menyebabkan mangsa (Mohammad Zu) tercampak ke atas jalan raya sebelum digilis tayar belakang trelernya.
“Treler mangsa kemudian merempuh bahagian belakang sebuah lagi treler yang berhenti di bahu jalan berhampiran lokasi kejadian,” katanya di sini semalam.
Tambahnya, rempuhan tersebut menyebabkan Kamariah dan Nik Mohd. Shahrizan tersepit dan mati di tempat kejadian.-kosmo

Sahur terakhir seorang duda

MAHMUD AHMAD menunjukkan tempat bapa saudaranya, Sabtu Husin ditemui mati rentung di tempat tidurnya akibat kebakaran di rumahnya di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU – Seorang duda berusia 57 tahun ditemui mati rentung di atas sebuah katil dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Bagan Baru, Permas Jaya dekat sini semalam.
Kejadian pukul 5.25 pagi itu menyebabkan mangsa, Sabtu Hussin yang tinggal bersendirian dalam sebuah rumah pusaka di kampung itu meninggal dunia selepas mengalami kecederaan teruk akibat terbakar.
Kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai baru sahaja selepas bersahur.
Bagaimanapun, anak saudara mangsa, Sapiah Wan Hitam, 37, suami dan dua anak mereka berusia lima tahun dan enam bulan yang tinggal bersebelahan berjaya menyelamatkan diri.
Kakak mangsa, Ramlah Hussin, 61, yang tinggal tidak jauh dari tempat kejadian berkata, dia hanya menyedari mengenai kebakaran itu selepas dimaklumkan oleh anak perempuannya.-kosmo

Anak bunuh bapa berperangai pelik




ANGGOTA polis menjalankan operasi memburu dan menjejaki suspek (gambar kecil) yang dipercayai bersembunyi dalam hutan di Kampung Paya Terap, Kuala Nerang semalam.



ALOR SETAR – Seorang penoreh getah yang melarikan diri setelah dipercayai menetak bapanya sehingga maut dengan sebelah kaki kanannya putus dari atas buku lali di Kampung Pasir Putih, Tualak di sini Khamis lalu berperangai pelik sejak kebelakangan ini.
Menurut adik ipar suspek, Mohd. Nazrin Zainol, 32, abang iparnya itu sering ketawa dan bercakap bersendirian dalam bilik di rumahnya, namun tidak dapat mendengar dengan jelas apa yang dituturkan.
Katanya, dia tidak mengetahui punca abang iparnya berperangai pelik kerana lelaki itu cuba mengelak apabila ditanya perkara tersebut.
Dia berkata demikian ketika ditemui ketika bersama-sama pasukan keselamatan menjejaki suspek di Kampung Paya Terap di sini semalam.
Menurut Mohd. Nazrin, suspek itu dipercayai menuntut satu ilmu, namun tidak diketahui ilmu yang dituntutnya kerana tidak diberitahu kepada anggota keluarga.
“Tiada siapa dalam keluarga yang tahu tentang ilmu yang dia tuntut,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, Seman Sirun, 60, diserang anaknya dengan parang menyebabkan kaki kanannya putus dari atas buku lali selain parah di kepala dan tangan.-kosmo

Telefon bimbit jadi penyelamat



BEBERAPA orang ahli keluarga mangsa menunjukkan tempat Noredreen Natasya dilarikan di Kuala Besut, Terengganu semalam. Gambar kecil ialah Suhaimi.


BESUT – Tiga pemuda berpakat melarikan seorang gadis sunti berusia 15 tahun merentasi sempadan Terengganu- Kelantan selama lima jam malam kelmarin semata-mata dengan niat untuk memaksa pelajar tingkatan tiga itu mengahwini seorang daripada suspek.
Bagaimanapun, komplot mereka menculik Noredreen Natasya Suhaimi gagal selepas gadis itu sempat menggunakan telefon bimbitnya untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seorang rakan yang akhirnya berjaya membantu polis menyelamatkannya dan menahan dua suspek.
Insiden itu bermula pukul 9.15 malam kelmarin apabila gadis tersebut berjalan keluar dari sebuah kedai runcit di Alor Peroi di sini sebelum ditarik ke dalam sebuah kereta Perodua Kancil.
Jeritan mangsa menarik perhatian bapanya, Suhaimi Mustafa (gambar kecil), 36, yang berada di rumah kira-kira 80 meter dari situ. Dia nampak anaknya ditarik ke dalam kereta itu tetapi tidak sempat menolong.
Bimbang keselamatan anaknya, Suhaimi terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut.
Noredreen Natasya ketika ditemui Kosmo! Ahad di rumahnya semalam memberitahu, kereta yang dinaikinya dipandu laju sebelum mereka berhenti di sebuah rumah kosong dipercayai milik salah seorang suspek di Kampung Gong Manor, Pasir Puteh, Kelantan, iaitu kira-kira 15 kilometer dari tempat dia dilarikan.
Dia mendakwa mengenali salah seorang penculik itu.
“Lelaki itu selalu kacau saya. Dia kerap telefon dan hantar SMS kepada saya.
“Dia jugalah yang mengajak saya untuk bernikah dengannya ketika saya diculik. Saya cukup takut tapi Alhamdulillah semuanya selamat,’’ katanya yang enggan mendedahkan wajahnya untuk diambil gambar.

Gambar kepala dipenggal trend baru dalam internet


ILUSI fotografi horsemaning menunjukkan seorang lelaki dan kepalanya sedang duduk di sofa.


NEW YORK, Amerika Syarikat AS – Selepas seni meniarap seperti papan, planking, popular di internet, alam siber itu kini hangat dengan trend fotografi terbaharu dinamakan horsemaning, lapor sebuah akhbar semalam.
Konsep fotografi itu menyerupai gambar bersejarah pada tahun 1920-an apabila beberapa individu menyamar seperti kepala mereka telah dipenggal.
Kini, orang ramai berlumba-lumba menyiarkan gambar mereka melakukan aksi serupa di Internet dengan menggunakan pelbagai latar.
Antara aksi yang cukup popular ialah seorang lelaki sedang bersandar di
sofa sambil tangannya diletakkan di atas kepala yang berada di sebelahnya.
Ilusi itu dihasilkan dengan individu tersebut menyembunyikan seluruh badan daripada kamera kecuali mukanya. – Agensi, kosmo

Terkejut lihat lembu depan pintu


SEEKOR lembu jantan terpaku di depan pintu rumah seorang wanita di Enniskillen, Ireland Utara.


ENNISKILLEN, Britain – Seorang wanita Ann Maguire terkejut melihat seekor lembu jantan besar seberat satu tan tercegat di pintu rumahnya, lapor sebuah akhbar semalam.
Maguire berkata, dia mendapati lembu jantan berwarna coklat itu asyik merenung cermin kaca pada pintu depan kediamannya di sini, negeri Ireland Utara.
Bagaimanapun, tanpa disangkanya, dia ketawa apabila menyedari haiwan itu seperti seronok dapat melihat refleksi sendiri pada cermin itu.
“Ia seperti memuji ‘betapa kacaknya aku’ di hadapan pintu depan rumah saya. Kejadian ini sungguh melucukan,” kata Maguire kepada sebuah akhbar tempatan.
Lembu itu yang terlepas
dari sebuah treler, kemudian beredar sebelum ia ditangkap penduduk setempat ketika merayau-rayau di bandar ini.
– Agensi, kosmo

Telefon pintar ‘lembab’ di pedalaman


PENDUDUK di pedalaman disaran agar tidak menggunakan telefon pintar jika mereka mahukan penerimaan terbaik semasa membuat panggilan.

LONDON, Britain – Penduduk kawasan pedalaman disaran tidak membeli telefon pintar jika mereka mahu memastikan penerimaan isyarat terbaik semasa membuat panggilan, menurut satu kajian seperti yang dilaporkan sebuah akhbar semalam.
Kajian oleh agensi telekomunikasi Ofcom mendapati telefon bimbit lama dengan rangkaian 2G dapat membuat panggilan dengan jelas di lokasi pedalaman kerana ia memiliki ruang dalaman lebih luas untuk antena.
Telefon pintar 3G seperti iPhone pula walaupun boleh digunakan untuk mengakses rangkaian berkelajuan tinggi, e-mel dan Internet, memiliki prestasi kurang memuaskan untuk membuat panggilan di ceruk rantau.
“Di pedalaman, kami mendapati telefon lama 2G yang murah menghasilkan prestasi lebih baik berbanding telefon pintar yang mahal untuk membuat panggilan,” kata satu Ofcom dalam satu kenyataan.
“Selain kelebihan antena, telefon lama ini tidak perlu menukar daripada rangkaian 2G kepada 3G seperti telefon pintar,” tambah kenyataan tersebut. – Agensi, kosmo

Stesen komuter China ada beg tinju gergasi




SEORANG lelaki mencuba beg tinju yang dipasang di stesen komuter Xujiahui, Shang Hai.


SHANGHAI, China – Beberapa beg tinju dipasang di stesen komuter Xujiahui di sini untuk membantu orang ramai supaya ‘lebih bertenang’ lapor sebuah akhbar semalam.
Ditaja jenama sukan terkenal, Adidas, pengguna komuter yang marah, penat atau mabuk boleh menumbuk dan menendang beg tinju gergasi itu untuk melegakan perasaan mereka selepas ia dipasang baru-baru ini.
Pemasangannya juga diharap dapat mengurangkan kes petugas stesen komuter dimaki hamun penumpang akibat tertinggal tren seperti yang kerap berlaku sebelum ini.
Di permukaan beg tinju itu tertera pelawaan kepada orang ramai untuk menggunakan ‘kemudahan’ tersebut yang memberitahu: “Setiap tahun, anda menghabiskan masa sekitar 1,824 minit di platform komuter. Jangan bazirkan masa, sudilah lepaskan satu dua tumbukan untuk mengurangkan tekanan dalam diri anda!” – Agensi, kosmo

Penyerang Ashraf didakwa


PAPARAN YouTube menunjukkan seorang perusuh mencuri barang daripada beg sandang Ashraf (kanan) sambil diperhatikan rakan-rakan mereka dalam rusuhan di London pada 8 Ogos lalu.

LONDON – Polis Britain mendakwa seorang lelaki kerana merompak pelajar Malaysia, Muhammad Ashraf Haziq Rosli di sini dalam insiden yang ditonton oleh berjuta-juta orang menerusi klip video di Internet, kata agensi polis Scotland Yard semalam Dalam klip video berkenaan, Ashraf yang mengalami patah tulang rahang dalam kekacauan di Barking, timur bandar raya ini, dilihat sedang dibantu untuk berdiri oleh beberapa lelaki sebelum mereka sebaliknya meragut barang-barang di dalam beg sandangnya. Susulan kejadian itu, polis Britain mendakwa Reece Donovan yang berusia dalam lingkungan 20-an dan berasal dari Romford, di sini, kerana merompak Ashraf. Seorang jurucakap polis berkata, Donovan dihadapkan ke mahkamah lewat semalam. Dia ditangkap pada Khamis lalu berikutan kemarahan orang ramai berhubung serangan yang berlaku ke atas pelajar Malaysia berusia 20 tahun itu. Ashraf menjalani pembedahan kerana patah tulang rahang pada Rabu lepas susulan serangan tersebut dan dibenarkan keluar dari hospital pada keesokan harinya. Klip video serangan tersebut ditonton hampir tiga juta kali di laman perkongsian video YouTube dengan insiden itu dikecam Perdana Menteri David Cameron yang menganggapnya sebagai ‘menjijikkan’. Polis Britain telah menangkap lebih 1,600 orang semasa rusuhan empat hari yang menggemparkan bandar raya ini dan beberapa bandar utama lain di Britain pada minggu ini.

Angkara bekas suami

KUALA LUMPUR: Lelaki bertopeng yang merogol, menyamun dan menyimbah sejenis cecair ke atas seorang wanita ketika hendak berbuka puasa di Seksyen 2, Wangsa Maju di sini, dua hari lalu, disyaki bekas suami mangsa sendiri.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan yang dihubungi semalam berkata, bekas suami mangsa ditahan ketika menziarahi bekas isterinya itu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa jam selepas kejadian.

Katanya, hasil soal siasat, lelaki itu mengaku melakukan perbuatan berkenaan dipercayai bermotifkan dendam akibat masalah rumah tangga mereka. Pasangan itu bercerai setahun lalu.

“Wanita berusia 32 tahun itu tinggal bersendirian dan ibu tunggal kepada tiga orang anak berusia tiga hingga 11 tahun yang berada dalam jagaan bekas suaminya.

“Siasatan lanjut ke atas cecair yang digunakan untuk menyimbah muka mangsa didapati sejenis bahan peluntur,” katanya.

Katanya, polis turut menjumpai rantai leher milik mangsa yang dicuri lelaki terbabit ketika dia ditahan.


Semalam, Harian Metro melaporkan seorang wanita yang baru pulang ke rumahnya selepas membeli juadah berbuka di bazar Ramadan di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, dirogol, disamun dan disimbah sejenis cecair oleh seorang lelaki bertopeng. Selepas meletakkan juadah berbuka di dapur, mangsa masuk ke bilik untuk menukar pakaian sementara menunggu waktu berbuka dan ketika itu lelaki terbabit yang bertopeng menghampiri mangsa dan merogolnya. Selepas ditinggalkan dalam keadaan kesakitan mangsa menjerit meminta pertolongan dan jeritannya didengari jiran yang kemudian membawanya ke HKL.Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menemui mayat bayi lelaki yang tersangkut pada perangkap sampah di sungai berhampiran Kampung Puah Bahagia, di sini, kira-kira jam 4 petang semalam.Menurut Zakaria, siasatan awal mendapati bayi lelaki itu dipercayai dibuang sebelum ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan.