Pages

Monday, October 21, 2013

3,000 gegaran goncang Visayas


2013/10/21

Foto
Penduduk mendirikan khemah sebagai penginapan sementara di depan sebuah gereja berusia 180 tahun yang runtuh di Bohol. - Foto AFP

Foto
Penduduk Maribojoc, pulau Bohol menggunakan buluh untuk menyeberang selepas jambatan runtuh berikutan gempa lima hari lalu. - Foto AFP
Angka korban gempa tengah Filipina cecah 185 orang

Tagbilaran: Institut Gunung Berapi dan Gempa Filipina (Phivolcs) mencatat 2,000 gegaran susulan sejak gempa melanda wilayah Visayas di tengah negara itu, lima hari lalu, dengan angka korban mencapai 185, semalam.

Angka sebenar gegaran susulan itu mungkin mencapai 3,000 jika Phivolcs ada sebuah lagi stesen di kawasan paling teruk dilanda gempa iaitu Bohol untuk mencatatnya, kata jurucakap institut berkenaan, Dr Jane Punongbayan.


Antara gegaran susulan terkuat berlaku petang Jumaat lalu di bandar Catigbian.

“Ia kedengaran seperti bunyi bergegar. Saya dengar bumbung runtuh dan suara menangis,” kata Punongbayan ketika bersama pasukannya meninjau bandar itu.

“Penduduk mungkin tidak kisah merasai dua hingga tiga gegaran sehari tetapi satu daripadanya agak kuat.

“Dalam masa beberapa hari, mungkin ada gempa yang akan meruntuhkan lagi bangunan yang sudah rosak,” katanya lagi.

Gegaran setiap 10 minit


Semakin dekat dengan pusat gempa itu, gegaran berlaku setiap 10 minit. Gegaran akan terhenti dalam masa dua hingga tiga minggu, kata Phivolcs.

Angka korban tertinggi adalah di Bohol dengan 172 kematian, 120 daripada mangsa maut dihempap bangunan, kata pegawai penerangan di pulau itu, Augusto Escopia.

“Kami anggarkan 180 hingga 185 orang maut di Bohol saja,” katanya, sehari selepas pihak berkuasa menamatkan operasi mencari mangsa dan menumpukan kepada usaha mencari mayat.

Gempa magnitud 7.2 yang melanda lima hari lalu juga menyebabkan 13 kematian di Cebu dan Siquijor, kata Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan.

Masalah terbesar yang dihadapi 1.2 juta penduduk Bohol ialah keperluan untuk tempat berteduh selepas beribu-ribu kediaman musnah atau rosak.

“Penduduk takut pulang kerana masih ada gegaran susulan. Ada kediaman yang retak. Mereka takut untuk masuk ke dalam,” kata Escopia.

Terletak kira-kira 600 kilometer dari Manila, Bohol terkenal dengan keindahan pantainya.

Beribu-ribu orang kini berkhemah di tempat terbuka di depan rumah atau bangunan runtuh.

Lebih 370,000 orang kehilangan tempat tinggal manakala 36,000 kediaman rosak di Bohol kerana gempa itu.

Banyak kumpulan bantuan tempatan dan asing kini menghantar bantuan termasuk keperluan asas kepada mangsa, katanya lagi. - AGENSI

Google Earth jejak kampung halaman


Bhopal: Dengan hanya menggunakan daya ingatan dan bantuan Google Earth seorang lelaki menemui semula keluarganya selepas dia terpisah daripada mereka lebih suku abad lalu.

Saroo Brierley yang kini menjadi ahli perniagaan Australia, menghasilkan sebuah buku perjalanannya mencari keluarga kandungnya dan membuat filem pendek dimuat naik di YouTube.
Menurut Saroo, 31, ketika kecil dia sering menghantar abangnya Guddu, menaiki kereta api dari kampung mereka di Khandwa, Madhya Pradesh.

Pada satu hari, katanya, dia merayu untuk mengikut Guddu menaiki kereta api, tetapi permintaan itu ditolak abangnya.


Namun, Saroo nekad melompat naik ke satu daripada koc kereta api yang ada di stesen berkenaan tanpa mengetahui ia menuju ke destinasi berbeza daripada Guddu.


Perbuatan Saroo itu menyebabkan dia dibawa 100 kilometer dari kampung asalnya dan selepas gagal mencari jalan pulang, dia diserahkan orang ramai kepada pihak berkuasa.

Kegagalan Saroo mengingati maklumat mengenai tempat tinggal serta ibu bapanya menyebabkan dia dijadikan anak angkat satu keluarga berasal dari Tasmania, Australia.

Selepas 25 tahun berlalu dia berusaha mencari keluarga asalnya menggunakan Google Earth dan daya ingatannya untuk kembali menemui keluarga.

“Saya hanya menggunakan peta fikiran untuk membawa saya kembali ke kampung asal di India dan menggabungkan memori itu dengan kemudahan Google Earth,” katanya.

Saroo kemudian mula mengesan kedudukan kampungnya di India dengan bantuan imej dari Google Earth.

Ternyata cubaan Saroo itu berjaya menemukan dia dengan keluarganya. - Agensi

4 pengantin luar tabii

London: Seorang lelaki yang pada asalnya wanita berkahwin dengan pasangannya yang sebelum ini seorang lelaki dalam perkahwinan pelik, lapor media semalam.
Acara itu menjadi lebih unik apabila pasangan terbabit diapit suami isteri yang pernah menjalani pembedahan menukar jantina juga.

Pada awalnya perkahwinan di antara pengantin ‘lelaki’ yang dikenali sebagai Felix dengan ‘isterinya,’ Helen Fenlon adalah yang pertama seumpamanya berlaku di Britain.
Bagaimanapun dakwaan itu disangkal sepasang ‘suami isteri’ lain, Janis dan Maxwell Burr.

Pasangan Burr itu mengaku berkahwin pada malam tahun baru 2005. Hasil inspirasi daripada ketabahan Felix dan Helen yang melangsungkan perkahwinan secara umum, Janis dan Maxwell meminta pasangan Fenlon itu menjadi pengapit ketika mereka mengulangi ikrar perkahwinan untuk kali kedua, baru-baru ini.

Selepas majlis itu, Janis, 45, yang juga pembantu pekerja sosial dan dulunya dikenali sebagai Ian berkata, Maxwell ialah teman sejiwanya.
Foto
(DARI KIRI) Helen, Janis, Maxwell dan Felix.
Janis memberitahu, dulu dia sering memakai pakaian kakaknya ketika berusia enam tahun. Janis juga menabung sehingga £10,000 (RM51,034) untuk menjalani pembedahan penukaran jantina pada 2003.

Sementara itu, Maxwell, 71, adalah pesara tukang masak yang dulunya bernama Mary sebelum bertemu dan jatuh cinta pada Janis ketika bercuti pada 2002. Dia menjalani pembedahan menukar jantina beberapa bulan selepas Janis melakukannya. Apabila undang-undang meluluskan perkahwinan golongan seperti mereka pada 2005, kedua-duanya lalu melangsungkan perkahwinan.
Maxwell berkata, acara perkahwinan itu cukup bersejarah buat mereka.

“Melangsungkan perkahwinan kali kedua di Pusat Sivik Scunthorpe memang menakjubkan. Saya seolah-olah bagaikan di syurga,” katanya dalam satu kenyataan. - Agensi

Bangunan bebas kuman di China

Bangunan bebas kuman di ChinaNilon antibakteria ini didakwa mampu menghapuskan kuman di sekitar pejabat tersebut

IA mungkin kelihatan seperti sebuah istana gergasi berbentuk aneh, tetapi ia sebenarnya adalah blok pejabat paling bersih kerana bebas daripada kuman.

Dipetik DailyMail, rekaan pelik digelar Bubble Building itu adalah hasil idea kreatif studio 3GATTI yang sebelum ini pernah mencipta bangunan berbentuk payung dan menara telekomunikasi yang dilitupi rumput.

Bahagian luar pejabat yang terletak di tengah-tengah bandar Shanghai itu juga akan dilengkapi nilon antibakteria yang boleh mengembung.

Menurut 3GATTI, pembinaan struktur unik itu juga  berfungsi untuk menghapuskan kuman di sekeliling premis tersebut.

"Bentuk gelembung di luar bangunan direka untuk bergerak mengikut arah tiupan angin. Bahagian luar pula dinaikkan sepenuhnya ketika waktu bekerja bagi memastikan pengudaraan lebih baik, namun ia akan ditutup pada waktu malam," jelas jurucakap 3GATTI itu lagi.

Kediaman Gaddafi jadi taman awam

Kediaman Gaddafi jadi taman awamTRIPOLI - LIBYA. Kediaman bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di sini akan dijadikan taman awam, menurut Menteri Pelancongan, kelmarin.

Ikram Bash Imam berkata, pembinaan peringkat awal telah dilakukan di kompleks Bab al-Azizya tersebut.

"Kami sedang berusaha untuk menjadikan kompleks itu sebagai sebuah kawasan hijau, selain tempat beriadah penduduk setempat," jelasnya pada laporan Al- Jazeera.

Difahamkan, kawasan berkeluasan enam kilometer persegi itu dibangunkan oleh Raja Idris (1951-1969) dan ia diperluaskan dengan bantuan kontraktor asing ketika pemerintahan Gaddafi pada 1980-an.

Bagaimanapun, kompleks yang menjadi simbol pemerintahan Gaddafi selama 40 tahun itu musnah akibat serangan udara dilancarkan tentera Perjanjian Atlantik Utara (Nato) pada 2011.

Biola Titanic berharga RM4.5 juta

GAMBAR bertarikh 16 September lepas menunjukkan biola milik ketua kugiran Titanic, Wallace Hartley. - AFP


LONDON - Sebuah biola milik ketua kugiran Titanic ketika kapal itu tenggelam dijual pada harga £900,000 (RM4.5 juta) dalam satu lelongan kelmarin.
Harga tersebut sekali gus mencatat rekod dunia untuk memorabilia Titanic.
Biola milik Wallace Hartley itu ditemui terikat pada mayatnya selepas dia lemas bersama kira-kira 1,500 penumpang dan kru kapal berkenaan pada 1912.
Alat muzik itu dijual kepada seorang pengumpul Britain selepas perang bidaan selama 10 minit, menurut firma Henry Aldridge and Son yang mengendalikan lelongan tersebut di bandar Devizes, barat daya England.
Ketulenan biola lin itu disahkan oleh beberapa pakar baru-baru ini.
"Kami amat gembira. Biola ini dilelong pada bidaan bermula serendah £50 (RM253)," kata jurucakap firma berkenaan, Christine Aldridge. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1021&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2iLAM6he2 
Hakcipta terpelihara