Pages

Thursday, October 17, 2013

Dipecat angkara sayang kasut

Beijing: Seorang pegawai kerajaan di China dipecat selepas dia dilihat didukung seorang penduduk ketika mengharungi banjir di bandar yang dilanda taufan kerana bimbang kasutnya rosak.
Gambar pegawai dikenali sebagai Wang itu mencetuskan kemarahan apabila ia dimuat turun di laman media sosial China, Sina Weibo.
Gambar itu diambil ketika Wang mengunjungi bandar Yuyao, di Zhejiang sewaktu kawasan terbabit dinaiki air bah selepas dilanda taufan hingga meragut 10 nyawa.

Menurut agensi berita kerajaan Xinhua, keterangan gambar di bawah foto mendakwa Wang didukung kerana dia memakai sepasang kasut mahal yang dibuat daripada kain.
Foto
FOTO menunjukkan Wang didukung seorang penduduk ketika meredah banjir dalam lawatannya ke Yuyao minggu lalu.

Bagaimanapun, majlis perbandaran Sanqishi yang juga majikan tempat Wang bekerja, mendakwa dia sudah dimaklumkan agar menanggalkan kasutnya untuk berjalan kaki ayam meredah air ketika ke kediaman mangsa banjir.

Namun, menurut laporan MSN, walaupun Wang bertegas mahu berjalan, penduduk tempatan tetap mendukungnya ketika mengharungi air banjir.

Wang didukung kali kedua oleh lelaki sama ketika kumpulan petugas perbandaran meninggalkan kediaman itu.

Sama ada Wang ingin berjalan kaki seperti mana dinyatakan dalam laporan itu atau sebaliknya, berita yang tersebar di Internet beserta fotonya yang dimuat turun menyaksikan dia kemudian dipecat sebagai pengarah pejabat pembinaan majlis perbandaran.

Ratusan ribu penduduk dipindahkan dari kediaman mereka selepas Taufan Fitow membadai tenggara China minggu lalu.

Taufan itu menyebabkan bekalan elektrik terputus di kebanyakan tempat dan khidmat kereta api laju turut digantung apabila angin kencang bertiup selaju 201 kilometer sejam.

Menurut laporan, sebahagian besar kawasan terjejas termasuk Yuyao menyaksikan hingga 25 sentimeter taburan hujan dalam tempoh 17 jam, selain turut ditenggelami air.

Kira-kira tujuh juta penduduk di wilayah Zhejiang terjejas. secara keseluruhannya.

Sementara itu, menurut akhbar South Morning China Post, pergaduhan tercetus di Yuyao minggu lalu selepas penduduk berang dengan laporan berita kerajaan yang menyatakan banjir sudah surut di bandar itu dan penduduk telah kembali menjalani kehidupan seperti biasa. - Agensi

Dua beradik 25 tahun terpisah bertemu di Arafah


Padang Arafah: Dua beradik warga Indonesia, Ani dan Marya yang tidak bertemu sejak lebih 25 tahun lalu selepas sengketa keluarga antara Ani dengan ibu mereka berhubung harta peninggalan bapanya, terkejut apabila mereka bersua di sini Selasa lalu.

Menurut Ani, hubungannya dengan adiknya Marya terputus sejak dia meninggalkan keluarganya selepas menerima bahagiannya untuk harta itu.

Dia dan suaminya kemudian meninggalkan kampungnya.

Pertemuan semula kedua-dua beradik itu penuh emosi apabila kedua-duanya berpelukan sambil menangis, menggambarkan kerinduan teramat sangat yang dihadapi kedua-dua beradik itu.

Ketika ditemui wartawan Okaz/Saudi Gazette yang berada di tempat itu, Ani berkata, dia begitu merindui keluarganya dan teringin untuk mengetahui keadaan mereka tetapi dilarang suaminya yang meminta dia membuat pilihan - sama ada kekal bersama-sama anaknya atau bercerai jika dia berkomunikasi dengan keluarganya.

Selepas beberapa tahun terputus hubungan, Ani bekerja di beberapa negara Arab dan Teluk kerana masalah kewangan yang dihadapi rumah tangganya.


Ini memaksa dia bekerja sebagai pembantu rumah sehingga dia memperoleh pekerjaan dengan sebuah keluarga di Teluk yang membawanya mengerjakan haji.


Ani kini merancang menjaga keluarganya apabila pulang ke Indonesia dan berikrar tidak akan meninggalkan mereka lagi, lebih-lebih lagi selepas mengetahui suaminya berkahwin lain ketika dia bertungkus-lumus bekerja di luar negara.

Ikan ganjil ditemui di perairan California



SEBAHAGIAN pengajar dari Institut Marin Pulau Catalina dan kakitangan sekolah pelayaran, Tole Mour memegang ikan ganjil yang ditemui di California pada Ahad lalu.


LOS ANGELES - Seekor ikan laut raksasa mirip ular sepanjang lima meter (m) ditemui di luar pantai California Selatan di sini pada Ahad lalu.
Bangkai haiwan berwarna cerah itu ditemui oleh seorang pengajar aktiviti menyelam dari Institut Marin Pulau Catalina, Jasmine Santana.
Ia yang kelihatan seperti ikan dayung dilaporkan mati atas faktor semula jadi.
Santana mengesan satu objek yang berkilauan pada kedalaman kira-kira 9m semasa dia menyertai lawatan menyelam di Teluk Toyon, Pulau Santa Catalina.
Dia kemudian mendapati terdapat bangkai ikan ganjil tersebut.
Lebih 15 orang membantu menaikkan makhluk tersebut ke pantai selepas ia ditemui.
Ikan spesies laut dalam itu jarang ditemui kerana ia hidup pada kedalaman lebih 914m.
Spesies berkenaan boleh membesar sehingga 15m sekali gus dianggap sebagai ikan bertulang yang terpanjang di dunia.
Sampel dan rakaman video ikan ganjil itu telah dihantar ke Universiti California di Santa Barbara untuk dikaji. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2hwp8KS54 
Hakcipta terpelihara