Pages

Sunday, February 5, 2012

Tahfiz buta al-Quran

 MINTA... pelajar tahfiz  mengutip derma di R&R  Seremban.
MINTA... pelajar tahfiz mengutip derma di R&R Seremban.
Oleh HADZLAN HASSAN, NORIAH IDRIS, ANIZA ZAINUDIN, NURUL HUSNA MAHMUD dan SHAHRUL REDZUAN ZULKIFLI
metahad@hmetro.com.my
         

MINTA... pelajar tahfiz mengutip derma di R&R Seremban.
PORT DICKSON: Mereka mengaku murid dan pelajar tahfiz ketika mengutip derma atau melakukan jualan amal kononnya untuk membiayai pelajaran. Namun apabila didesak, mereka tidak fasih membaca al-Quran, malah lebih mengejutkan ada yang tidak boleh membaca kitab suci itu walaupun berusia 14 tahun.

Itulah senario mengejutkan yang berlaku terhadap kanak-kanak dan remaja terbabit yang sebahagian besarnya anak ahli kumpulan bekas pertubuhan al-Mansur.


Pertubuhan itu ada kaitan dengan ajaran Azhar Wahab yang diwartakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2003 dan lapan lagi majlis fatwa negeri.

Seakan-akan kem tentera, kumpulan kanak-kanak terbabit direkrut menjadi ‘skuad elit’ bagi mengutip derma dan menagih simpati orang ramai selain dibayar RM10 seorang, menyebabkan ramai antara mereka lebih gemar keluar ‘bekerja’ berbanding mengikuti kelas pengajian al-Quran.


Perkembangan mengejutkan itu didedahkan bekas pengikut yang juga guru agama kelas al-Quran pertubuhan berkenaan.


Dia pernah mengajar kumpulan kanak-kanak terbabit di bangunan rumah kedai yang disewa pertubuhan itu sejak beberapa tahun lalu.


Suhaimi (bukan nama sebenar) yang kini insaf dan menjadi imam sebuah masjid di daerah ini mendakwa, dia keluar dari kumpulan itu kerana tidak tahan sikap pemimpin serta pengikut pertubuhan yang menyimpang daripada ajaran Islam.


“Saya mengajar kanak-kanak terbabit mengaji al-Quran dan seterusnya mahu menjadikan mereka tahfiz, namun kecewa kerana pertubuhan itu lebih mementingkan aktiviti jualan daripada kelas mengaji.

“Memang mereka mengikuti kelas al-Quran selepas solat Subuh, tapi selepas itu dihantar ‘berniaga’.


“Kira-kira jam 9 atau 10 pagi, mereka dihantar ke pusat beli-belah, stesen minyak atau hentian rehat dan rawat (R&R) sebelum pulang antara jam 1 atau 2 pagi dalam keadaan letih.


“Kanak-kanak terbabit juga lebih gemar keluar menjual barangan ahli pertubuhan berbanding mengikuti kelas agama kerana mereka boleh berjalan ke sana-sini dan tidak terperap dalam kelas pengajian,” katanya.


Beliau mengulas susulan laporan Metro Ahad 29 Januari lalu yang melaporkan ratusan anak yatim dan pelajar pusat tahfiz dikerah memungut derma bagi membiayai kegiatan menghidupkan semula ajaran sesat Azhar Wahab dengan berselindung di sebalik jualan amal di seluruh negara, terutama sekitar Lembah Klang.


Ajaran Azhar Wahab diwartakan sesat oleh sembilan majlis fatwa negeri, termasuk Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1970.


Lebih mengejutkan, siasatan wartawan Metro Ahad mendapati murid dan pelajar pusat tahfiz di Kedah yang tidak berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) itu dibekalkan dua produk kesihatan yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).


Mereka turut dibekalkan cakera padat video (VCD) yang bukan saja tiada kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN), malah klip video dalam VCD terbabit jelas bertentangan dengan imej pelajar tahfiz.


Suhaimi berkata, kebanyakan kanak-kanak yang diperalatkan kumpulan terbabit adalah anak ahli kumpulan itu yang pernah diharamkan kerajaan, iaitu al-Mansur dan ketika dia mengajar dulu ada juga anak orang luar tapi jumlahnya terlalu kecil.


Lebih mengecewakan, katanya, ada remaja perempuan yang diperalatkan pertubuhan itu menjadi mangsa rogol ketika menjalankan aktiviti mengutip derma dan sepanjang pengetahuannya, dua kes rogol berlaku.


“Tiada laporan polis dibuat kerana mereka tidak suka orang luar campur tangan tapi sepanjang pengetahuan saya, dua kes rogol berlaku dengan satu daripadanya berlaku terhadap remaja lembam,” katanya.


Suhaimi berkata, kini kebanyakan anak orang luar dari pertubuhan itu keluar dari pusat pengajian berkenaan selepas mendapat tahu mereka diperalatkan dan yang tinggal hanya anak ahli yang taksub dengan pemimpin mereka.


“Saya kenal sangat mereka, kebanyakannya bekas ahli al-Arqam tetapi apa yang diamal dan dibawakan mereka kali ini lebih teruk daripada pertubuhan itu,” katanya.


Menurutnya, dia bertemu Azhar atau SM Amin tiga kali ketika lelaki berkenaan datang ke Lukut memberi ceramah kepada ahli supaya meneruskan taat setia dan menyokong perjuangan dan kepemimpinannya.


“Ketika memberi ceramah, dia akan bersalam, berpeluk dan bercium dengan semua orang, tidak kira lelaki atau perempuan, anak dara atau isteri orang, menyebabkan saya mula curiga dengan amalan dan perjuangan Islam yang didakwa diamalkannya.


“Pernah saya bertanya cerdik-pandai agama dalam pertubuhan itu tetapi dimarahi kerana mempertikaikan tindak-tanduk ‘tuanku’ mereka dan dimaklumkan semua orang tidak boleh berbuat demikian kecuali tuanku atau ayahanda mereka,” katanya.

Terima pelbagai gelaran

AL MAWLID... (dari kiri) Zaf VE, Azan Ruffedge dan Pot Innuendo.
AL MAWLID... (dari kiri) Zaf VE, Azan Ruffedge dan Pot Innuendo.

Oleh NORIAH IDRIS dan HIDAYATUL AKMAL AHMAD
metahad@hmetro.com.my
         

AL MAWLID... (dari kiri) Zaf VE, Azan Ruffedge dan Pot Innuendo.
KUALA LUMPUR: Dihina, diusik dan dilabel dengan pelbagai gelaran seperti ‘ustazah jadi-jadian’ selain dipulau rakan, saudara-mara dan adik beradik antara cabaran kehidupan empat artis ini selepas mendekatkan diri ke jalan Allah.

Pada zaman kemuncak mereka, siapa tidak kenal Catriona Noorhayati Ross Bahrain Ross (Cat), Saiful Amir Abdul Wahab (Pot Innuendo), Azan Addin Abdul Wahab (Azan Ruffedge) dan Zafri Nanarudin (Zaf VE).

Mereka bukan asing dalam industri hiburan tanah air. Masing-masing pernah merasai dunia glamor dan menyemarakkan dunia lakonan dan muzik melalui genre R&B dan hip-hop hingga menjadi kegilaan ramai, terutama anak gadis.

Cat kini bergelar penceramah bebas, manakala tiga lagi artis lelaki itu menubuhkan kumpulan nasyid Al Mawlid bersama Abdullah Ahmad (Lah VE) dan Amer Munawer Yusoff (Amer Ruffedge). Sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, keempat-empat artis ini mengambil kesempatan berkongsi cabaran dan pengalaman dalam mengharungi fasa baru dalam hidup mereka.

Tentera Iran siap sedia



         
TEHERAN: Pasukan Pengawal Revolusi Iran memulakan latihan tentera laut, semalam, sebagai menunjukkan kekuatan ketenteraan mereka, berhampiran Selat Hormuz, laluan kapal laut penting.

Teheran sebelum ini, mengugut untuk menutup laluan itu sebagai tindakan balas terhadap sekatan ekonomi oleh kuasa Barat.
Peperangan baru Iran, dibuat sejak berminggu lalu dan diteruskan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Al Khamenei memberi amaran mengenai kemungkinan serangan oleh Amerika Syarikat atau Israel ke atas kemudahan nuklear Teheran.

Latihan selama sebulan itu dibuat selepas kuasa Barat meningkatkan kehadiran tentera laut mereka di Teluk Parsi yang diketuai oleh kapal pembawa pesawat, USS Abraham Lincoln.



Setakat ini, Iran belum membuat percubaan mengganggu kapal yang melalui selat itu, laluan untuk satu perlima minyak mentah dunia.


AS dan sekutunya berkata, mereka akan bertindak cepat untuk mana-mana cubaan menyekat laluan itu.

Bulan lalu, tentera laut Iran selesai melakukan latihan 10 hari di Teluk Parsi, tetapi Pengawal Revolusi - yang di bawah kawalan pemimpin agung - mewakili satu pasukan tentera yang lebih kuat, dan mengawal program utama seperti pembangunan peluru berpandu.

Media Iran mengumumkan beberapa latihan baru, tetapi tidak memberikan sebarang maklumat lanjut.

Khemenei dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen kelmarin, memberikan ucapan keras menentang cadangan Israel bahawa serangan tentera satu kemungkinan besar sekiranya sekatan ekonomi tidak mampu menghentikan program nuklear negara republik Islam itu.

Dia berikrar untuk membantu mana-mana negara atau kumpulan yang mahu menentang Israel dan berkata, serangan tentera akan memusnahkan kepentingan AS di Timur Tengah “10 kali ganda” lebih hebat daripada kemusnahan yang dilakukan kepada Iran.

Komennya itu mungkin satu isyarat kepada kuasa proksi Iran - yang diketuai oleh kumpulan militan Islam, Hezbollah - memberi mereka lampu hijau untuk menyerang Israel sekiranya hubungan antara dua musuh ketat itu semakin memuncak.

Kuasa Barat dan sekutunya bimbang, Iran akan menggunakan makmal pengayaan uranium - yang menghasilkan bahan api nuklear - untuk menghasilkan gred bahan senjata.

Iran berkeras ia hanya digunakan untuk menjanakan reaktor untuk tenaga dan penyelidikan perubatan. - AP

Polis Mesir guna peluru burung tembak penunjuk perasaan

 KAHERAH: Polis menembak gas pemedih mata dan tembakan menggunakan peluru burung ke arah penunjuk perasaan semalam, dalam keganasan berkaitan bola sepak yang menyebabkan 74 terbunuh, tiga hari selepas kejadian rusuhan di stadium di Port Said.

Anggota polis diletakkan untuk mengawal Kementerian Dalam Negeri daripada penunjuk perasaan yang membaling batu.
Menurut pegawai perubatan, di bandar Suez, dua mati akibat terkena tembakan peluru burung.

Pegawai hospital berkata, sembilan terbunuh di Kaherah dan Suez semenjak pertempuran dengan polis berlaku, Rabu lalu.



Orang ramai mula berkumpul di jalan kelmarin, menggesa kerajaan yang memerintah supaya meletak jawatan selepas berlaku keganasan di beberapa bandar.


Kementerian Kesihatan berkata, 1.051 cedera akibat gas pemedih mata yang ditembak ke arah jalan-jalan di Kaherah.

Penunjuk perasaan, sebahagian besar adalah penyokong tegar kelab bola sepak terkenal di Kaherah, juga dikenali sebagai “ultras. - AFP>

Ben Gazzara meninggal dunia

NEW YORK: Aktor Ben Gazzara yang terkenal di pentas Broadway dan Hollywood, meninggal dunia akibat kanser pankreas, malam kelmarin di Manhattan.
Dia berusia 81 tahun.


Gazzara banyak berlakon filem dan drama televisyen. Dia juga memainkan watak “Brick” dalam versi asli Broadway “Cat On A Hot Tin Roof” oleh Tennessee Wiliams.


Dia juga pernah berlakon bersama adik beradik Coen dalam “The Big Lebowski” pada 1998 dan beberapa siri televisyen, antaranya “Law and Order: Special Victim Unit.”


Peguam Gazzara berkata, aktor itu meninggal dunia di hospital di Manhattan. - AFP
myMetroBen Gazzara meninggal dunia:

'via Blog this'

Peristiwa berdarah berulang di Homs


PEREMPUAN dan kanak-kanak dalam tunjuk perasaan antara mangsa  tentera kerajaan.
PEREMPUAN dan kanak-kanak dalam tunjuk perasaan antara mangsa tentera kerajaan.


HOMS: Lebih 200 penduduk di bandar Homs, Syria, terbunuh atau tercedera dalam satu serangan kejam ketika penduduk memperingati hari pembunuhan berama-ramai di Hama, oleh tentera Syria, semalam.
Aktivis berkata, dalam kejadian awal pagi semalam, pihak tentera menggunakan kereta kebal, mortar dan mesingan untuk menyerang kawasan Khaldiyeh.

Sumber berkata, serangan di kawasan itu bermula selepas tentera Pembangkang Pembebasan Syria menyerang pusat pemeriksaan Tentera Syria dan membunuh 10 anggotanya.

Sejak itu kawasan Khaldiyeh sering diserang menyebabkan beberapa bangunan musnah.


Sumber berkata, “Hospital di Homs penuh dengan orang ramai yang memerlukan rawatan. Klinik sementara juga dibuka di masjid. Mereka kekurangan bekalan darah.”


Seorang aktivis di Homs, Hadi al-Abdullah berkata tentera pembangkang menahan 16 anggota tentera Syria.

Menurut aktivis lain, pihak kerajaan menyerang kawasan Bab Tadmour, Bab Dreib dan Karm el-Shami berturut-turut, sementara serangan ketenteraan di Khaldiyeh turut dipertingkatkan.

Video sebuah bangunan terbakar yang dikatakan di kawasan al-Inshaat dimuat naik di internet, yang menurut aktivis diserang oleh tentera kerajaan.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, 14 anggota tentera terbunuh dalam pertempuran dengan tentera pembangkang di mana lima anggotanya turut terbunuh.

Menurut kumpulan itu lagi, 217 orang terbunuh di Homs iaitu 138 adalah di Khaldiyeh.myMetroPeristiwa berdarah berulang di Homs:

'via Blog this'

Gempa landa Filipina, tiada amaran tsunami


05/02/2012 2:09am

MANILA 5 Feb. - Satu gempa bumi berukuran 6.0 skala Ritcher melanda pantai timur Filipina semalam, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku pada pukul 9.09 malam waktu Malaysia di Pulau Samar pada kedalaman 60 kilometer.

Tambahnya, gempa itu berlaku kira-kira 100 kilometer di utara bandar Guiuan. - AFPUtusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

KDN tidak tolak kemungkinan





PUTRAJAYA 4 Feb. - Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada seorang rakyat Malaysia terbunuh dalam serangan ke atas kubu kuat militan Abu Sayyaf dan pertubuhan Jemaah Islamiah (JI) di selatan Filipina kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, rakyat Malaysia yang terbunuh itu dikenal pasti mempunyai kaitan dengan pertubuhan JI dan Darul Islam.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut mengenai identiti anggota kumpulan itu yang terbunuh masih dijalankan untuk membuktikan kewarganegaraannya.

"Saya ucapkan takziah dan terima kasih kepada anggota keluarga mereka yang terbunuh kerana memberi kerjasama membantu mengecam mereka yang terbunuh.

"Dalam masa sama, kita memerlukan pengesahan asid deoksiribonukleik (DNA) dan sebagainya untuk mengenal pasti mereka yang terbunuh.

"Saya dimaklumkan proses ini tidak akan mengambil masa yang lama dan ketika ini wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Task Force dan Counter Terrorism berada di Filipina untuk membantu menguruskan jenazah mereka yang terbunuh," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas serangan tentera Filipina terhadap kubu kuat kumpulan Abu Sayyaf dan pertubuhan JI di Sulu, wilayah selatan Filipina hingga menyebabkan 15 militan kumpulan itu terbunuh.

Dalam serangan waktu Subuh itu, tiga pemimpin kanan paling dikehendaki kumpulan tersebut iaitu pemimpin Abu Sayyaf warga Filipina, Umbra Jumdail; rakyat Malaysia, Zulkifli Hir (gambar) dan warga Singapura, Abdullah Ali Alias Muawiyah turut terbunuh.

Menurut Hishammuddin, pihak polis Filipina turut mengesahkan terdapat seorang lagi anggota kumpulan itu yang terbunuh dalam serangan tersebut.

"Saya menerima laporan terkini hari ini bahawa terdapat seorang lagi yang terbunuh, tidak melibatkan warganegara kita dan pengesahan mengenai perkara itu akan dibuat oleh negara berkenaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kejadian serangan yang berlaku itu membuktikan tindakan kerajaan yang proaktif dan pre emptive (awal) dalam menangani isu keselamatan kian berjaya hingga memaksa dan mengusir kumpulan militan keluar dan berkubu di negara lain.

Sementara itu, Pasukan Petugas Khas (Operasi dan AntiKeganasan) Bukit Aman sudah mengambil DNA isteri, ibu, anak dan adik kepada Zulkifli manakala DNA keluarga Amin Bacho dan Jeknal Adil, dua angggota kumpulan militan Darul Islam yang dipercayai turut terbunuh dalam insiden itu akan diambil esok, di Tawau, Sabah.

Difahamkan, terdapat enam dari 15 orang yang terbunuh dalam kejadian itu juga rakyat Malaysia, namun belum dapat disahkan.Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

Kedutaan Syria 'diserang'


KAHERAH 4 Feb. - Rakyat Syria di luar negara bertindak menyerang pejabat-pejabat kedutaan negara itu di beberapa negara sebagai tindak balas ke atas serangan tentera rejim Bashar al-Assad yang mengorban lebih 200 orang di bandar Homs, awal hari ini.

Di Mesir, sejumlah rakyat Syria bertindak memecahkan dan membakar perabot dan peralatan di pejabat kedutaan negara itu di Kaherah.

Kedutaan Syria di Britain, Jerman dan Amerika Syarikat turut menjadi sasaran selepas aktivis hak asasi manusia melaporkan tentera kerajaan membedil daerah Khalidiya di bandar Holms menyebabkan sekurang-kurangnya 217 orang terkorban.

Tunjuk perasaan turut berlaku di kedutaan Syria di beberapa bandar raya lain termasuk di London dan Kuwait.

Pegawai Kedutaan Syria di Mesir, Ammar Mohamed berkata, mereka telah diserang awal pagi tadi tetapi keadaan kini terkawal. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Pertempuran di Mesir masuk hari ke-3


KAHERAH 4 Feb. - Pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis antirusuhan di Mesir berlarutan masuk hari ketiga hari ini, ketika aktivis berdebat bagaimana meningkatkan momentum untuk menggulingkan pemerintah tentera.

Setakat ini, enam orang terkorban di Kaherah dan Suez dalam pertempuran antara polis antirusuhan dengan beribu-ribu pemuda yang berang ekoran insiden rusuhan ketika satu perlawanan bola sepak yang mengorbankan 74 orang, Rabu lalu.

Ramai menyalahkan kerajaan atas insiden di Port Said itu dengan sesetengah daripada mereka menyifatkannya sebagai cubaan yang disengajakan oleh saki-baki pengikut yang setia kepada bekas Presiden Hosni Mubarak untuk menghuru-harakan Mesir.

Penunjuk perasaan berhimpun di bangunan Kementerian Dalam Negeri di tengah Kaherah disertai kumpulan muda revolusi untuk menyerang tentera yang mempertahankan bangunan tersebut menggunakan gas pemedih mata, belantan dan peluru hidup.

Menurut beberapa penunjuk perasaan, mereka bukan mahu menakluki kementerian itu tetapi membuat provokasi kepada pihak berkuasa bagi menggalakkan lebih ramai lagi menyertai mereka. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Queensland banjir teruk



Banjir menenggelami pekan Moree, kira-kira 610 kilometer ke utara Sydney, kelmarin. – REUTERS


SYDNEY 4 Feb. – Keadaan banjir di Australia bertambah teruk hari ini ketika pihak berkuasa bergelut menghalang paras air terus meningkat di Queensland.

Seorang wanita dilaporkan hilang di Queensland selepas dihanyutkan air, manakala beribu-ribu lagi masih terputus hubungan.

Perdana Menteri Julia Gillard berkata, lapan helikopter tentera akan dikerah membantu operasi mencari, pemindahan dan misi menyalurkan bekalan di timur negara ini, selepas hujan lebat selama beberapa hari lalu menyebabkan banjir dan beratus-ratus orang dipindahkan, manakala berpuluh-puluh lagi diselamatkan.

Di bandar Charleville, Queensland, pihak berkuasa berada dalam keadaan berjaga-jaga ekoran bimbang tambak sementara runtuh jika paras sungai Warrego terus meningkat dan menenggelamkan seluruh bandar itu. – AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

223 korban cuaca sejuk di Eropah


KIEV 4 Feb. - Sebanyak 223 mangsa menjadi korban cuaca buruk yang melanda Eropah sepanjang minggu ini, dengan Ukraine mencatat angka kematian paling tinggi iaitu 101 orang.

Sebanyak 64 daripadanya ditemui maut di jalanan akibat cuaca sejuk melampau, sementara beribu-ribu lagi terperangkap di perkampungan pergunungan di Serbia. Di Itali, terusan Venice membeku, malah Rom juga diselimuti salji.

Suhu paling rendah dicatatkan di Republik Czech iaitu jatuh sehingga -38.1 darjah Celsius di bawah paras beku sepanjang malam kelmarin.

Hampir 1,600 penduduk mendapatkan rawatan bagi masalah frost-bite dan hipotermia, manakala beribu-ribu lagi ditempatkan di pusat perlindungan sementara.

Di Poland, cuaca beku mencatatkan lapan lagi kematian sepanjang 24 jam lalu, menjadikan angka korban meningkat 37 orang sejak cuaca sejuk mencengkam negara itu seminggu lalu.

Sementara itu di Bulgaria, sebahagian Sungai Danuba membeku, enam mangsa ditemui terkorban menjadikan jumlahnya 16 orang sepanjang minggu ini. - AFPUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Tentera Syria bedil Homs



Sebahagian daripada penduduk yang terbunuh di bandar Homs akibat bedilan tentera kerajaan Syria. - AGENSI


BEIRUT 4 Feb. - Lebih 200 orang terbunuh akibat bedilan tentera Syria di bandar Homs, menurut aktivis hari ini, ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersiap sedia untuk mengundi satu draf baru resolusi yang menyokong gesaan negara Arab yang mahukan Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan.

Angka korban itu dilaporkan oleh dua kumpulan aktivis besar di Syria, menjadikan serangan ke atas Homs yang terburuk sejak tercetusnya kebangkitan rakyat di Syria 11 bulan lalu.

Penduduk berkata, tentera Syria mula membedil kawasan kediaman Khalidiya pada kira-kira pukul 8 malam (2 pagi waktu Malaysia) menggunakan mortar dan meriam.

Menurut mereka, sekurang-kurangnya 36 rumah musnah teruk.

"Ketika serangan, kami berada di dalam rumah. Kami bergegas berlindung sejurus mendengar bunyi bedilan," kata seorang penduduk di Khalidiya, Waleed.

Punca serangan masih tidak jelas, tetapi beberapa aktivis percaya ia disebabkan gelombang tentera yang belot di Homs, kubu kuat penunjuk perasaan dan pemberontak bersenjata semakin meningkat.

"Angka kematian berjumlah sekurang-kurangnya 217 orang di bandar Homs dengan 138 daripada mereka di daerah Khalidiya,"

"Tentera Syria membedil daerah itu dengan mortar dari beberapa lokasi. Beberapa bangunan turut terbakar dan musnah," kata ketua Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdulrahman.

Menurut aktivis Syria, serangan ke atas Khalidiya, kubu kuat anti-Assad, dilancarkan bagi menakut-nakutkan kawasan kediaman pemberontak lain.

Serangan dilancarkan menjelang rundingan diplomat-diplomat Majlis Keselamatan mengenai draf baru resolusi bagi menyokong gesaan Liga Arab yang menuntut Assad meletak jawatan, lewat hari ini. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Arnab jadi anjing penggembala



GAMBAR klip video YouTube menunjukkan
Champis menggembala biri-biri tuannya
di perkampungan Kal, Sweden.


STOCKHOLM, Sweden - Seekor arnab bernama Champis bukan sahaja pandai melompat tetapi ia juga mahir menggembala biri-biri peliharaan tuannya.

Champis dipercayai memiliki kebolehan tersebut selepas ia menyaksikan dan meniru perbuatan beberapa anjing penggembala terlatih di ladang ternakan tuannya di perkampungan kecil Kal, utara Sweden.

Arnab jantan berusia 5 tahun itu mencetuskan sensasi di internet pada minggu lalu selepas klip video memaparkan kebolehan ia menggembala biri-biri ditonton lebih 700,000 kali di laman perkongsian video YouTube.

Klip video yang dimuat naik pada Jun lalu itu menunjukkan Champis berkejar ke sana dan ke mari untuk mengawal ternakan biri-biri milik Nils-Erik dan isterinya, Greta Vigren di ladang mereka.

"Arnab ini mula berperangai pelik seperti seekor anjing penggembala sejak musim bunga tahun lalu tetapi ia tidak mengganggu ternakan ayam tuannya," kata seorang rakan pasangan itu, Dan Westman yang merakam dan memuat naik aksi Champis di YouTube. - APKosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Dua negeri Australia tenggelam


GAMBAR disiarkan oleh pihak berkuasa New South Wales menunjukkan bahagian utara negeri berkenaan ditenggelami air bah kelmarin.


SYDNEY - Ribuan penduduk terputus hubungan semalam selepas hujan lebat menyebabkan air beberapa tebing sungai pedalaman timur Australia melimpah dengan sebahagian keluarga diancam ular berbisa ketika berlindung di bumbung rumah, kata pasukan penyelamat.

Di Queensland sahaja lebih 11,000 orang terputus hubungan, setahun selepas sekitar 35 orang maut dalam banjir kilat yang turut menenggelamkan 30,000 kediaman di negeri berkenaan dan New South Wales (NSW).

Beberapa pekerja penyelamat berkata, paras air sungai di beberapa bahagian meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh setengah abad dengan air bah menenggelami sebahagian besar tanaman termasuk kapas, tebu, kacang soya dan jagung.

Bacaan banjir di beberapa batang sungai di negeri NSW dan Queensland mencatat paras melebihi 13 meter.

Biro Meteorologi Australia pula meramalkan banjir akan berterusan selama beberapa hari malah, di beberapa kawasan, ia dijangka berlanjutan hingga beberapa minggu.

Beberapa pekerja penyelamat berkata, bandar Moree yang terketak di kawasan paling teruk terjejas banjir di utara NSW kini terputus hubungan dengan dunia luar.

Pihak berkuasa menggunakan beberapa buah helikopter dan pesawat untuk menyelamatkan mangsa dan menggugurkan bantuan dengan ramai penduduk diancam ular-ular berbisa yang mendiami bumbung rumah mereka bagi mengelak air banjir.

"Kawasan paling teruk terjejas bagi kami adalah di sekitar bMoree dengan 10,000 orang terputus hubungan," kata seorang jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Negara, Phil Campbell

Menurutnya, setakat ini, lebih 2,000 orang sudah dipindahkan dengan lebih 16,000 orang terputus hubungan di NSW. - ReutersKosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'