Pages

Wednesday, August 8, 2012

Konflik Syria: Iran pertahan Presiden Bashar

Konflik Syria: Iran pertahan Presiden Bashar
Saeed Jalili mengadakan pertemuan dengan Bashar al-Assad di Damsyik. - Foto ihsan CNN
ALEPPO, Syria - Tekanan di rantau Timur Tengah dilihat meningkat semalam dengan Iran melahirkan sokongan kepada Syria sambil menyifatkan negara yang berhadapan dengan konflik berterusan itu sebagai "paksi ketahanan".

Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) pula menganggap Syria, yang dilanda konflik yang berlarutan lebih 17 bulan, sebagai pusat proksi dan aktiviti keganasan.

CNN melaporkan, ketua keselamatan Iran, Saeed Jalili mengadakan pertemuan dengan Presiden Syria Bashar al-Assad di Damsyik semalam.

Beliau dipetik berkata, Iran tidak akan membiarkan "musuh" memecahbelahkan Syria, yang dilihat sebagai "paksi ketahanan, yang mana Syria adalah bahagian yang penting."

"Apa yang berlaku di Syria bukan isu dalaman, sebaliknya satu konflik antara paksi yang berdepan dengan tentangan dan di satu sebelah lagi paksi musuh di rantau ini dan dunia, dengan matlamat mahu menyerang peranan bertahan Syria," katanya Saeed dipetik media kerajaan.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton yang bercakap dengan media di Pretoria berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana yang mengeksploitasikan suasana di Syria sama ada secara langsung atau dengan menghantar wakil.

3 suspek terlibat samun ditahan



HAMDAN Majid (dua dari kiri) bersama tiga pegawai menunjukkan peralatan yang digunakan kumpulan penjenayah yang menyamun empat mangsa dalam tempoh lapan hari di Seremban di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, Seremban, semalam. - UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN
SEREMBAN 7 Ogos - Polis menumpaskan satu kumpulan samun yang terlibat dalam empat kes di sekitar negeri ini berikutan penangkapan dua lelaki dan seorang remaja perempuan dipercayai ahli kumpulan itu sejak penghujung bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, ketiga-tiga mereka dipercayai terlibat dalam empat kes samun yang berlaku antara 24 hingga 31 Julai lalu.
"Remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai terlibat dalam jenayah itu ditahan di Ipoh, Perak pada pukul 12.45 tengah hari ini.

LAUTAN MANUSIA



Ribuan umat Islam menunaikan solat secara berjemaah di Masjidilharam, Mekah, pada Sabtu lalu. - REUTERS
SETIAP tahun umat Islam dari seluruh dunia yang berkemampuan akan berkunjung ke Mekah sama ada untuk menunaikan haji atau umrah, menjadikan kota itu dipenuhi lautan manusia.
Bagaimanapun, pengalaman berpuasa dan menunaikan umrah pada bulan Ramadan merupakan yang paling dinanti-nanti penganut Islam seluruh dunia.
Selain ketika musim haji, Masjidilharam akan sesak dengan lautan umat Islam dari serata dunia tanpa mengira masa setiap kali ketibaan bulan suci itu.
Setiap daripada mereka tidak mahu mensia-siakan kemuliaan Ramadan kerana keberkatan dan pahala yang dijanjikan Allah pada bulan suci itu berlipat ganda berbanding musim haji dan umrah di luar Ramadan.
Umat Islam juga tidak melepaskan peluang untuk menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah yang menjadi lambang perpaduan ummah.

Bekas PM Syria kecam Assad



Imej daripada AFP TV merakamkan orang ramai membawa keluar mayat seorang kanak-kanak daripada runtuhan bangunan setelah rumah keluarganya runtuh akibat dibedil tentera kerajaan semasa bertempur dengan pemberontak di daerah Bustan al-Qasr di utara Aleppo, kelmarin. - AFP
DAMSYIK 7 Ogos - Kabinet baru Syria mengadakan mesyuarat tergempar semalam selepas Perdana Menteri, Riad Hijab berpaling tadah dan mengecam Damsyik sebagai 'rejim pengganas'.
White House pula menganggap pengkhianatan itu menunjukkan kerajaan Presiden Bashar al-Assad sedang 'runtuh dari dalam'.
Tetapi, Menteri Penerangan Syria, Omran al-Zoubi berkata, hanya Hijab yang tidak menghadiri sidang tergempar itu dan menolak laporan yang menyatakan terdapat menteri lain yang berpaling tadah.
Pengganti Hijab, Omar Ghalawanji yang mengetuai mesyuarat tersebut turut menegaskan semua menteri menghadiri sidang tergempar itu.
Wakil BBC, Jim Muir yang berada di negara jiran Lebanon berkata, media kerajaan turut membuat laporan yang menggambarkan keadaan Damsyik seperti biasa.
Aktivis pembangkang sebelum ini menyatakan, ekoran tindakan Hijab itu, dua lagi menteri akan berpaling tadah, tetapi menteri ketiga yang berbuat demikian iaitu Menteri Kewangan Mohammad Jalilati telah ditahan ketika cuba melarikan diri.
Zoubi, bagaimanapun cuba meredakan kesan daripada pengkhianatan Hijab itu dan menafikan terdapat menteri lain yang berpaling tadah.
"Kami tidak ada dengar apa-apa berita daripada bekas Perdana Menteri (Hijab) dan beliau tidak pernah muncul di kaca televisyen," katanya yang dipetik oleh agensi televisyen kerajaan, Sana.
Menteri Kewangan Syria yang dikatakan telah membuat temu bual melalui telefon turut menegaskan beliau masih memegang jawatan itu dan sedang bekerja di pejabatnya.
Menteri Pembiayaan Agama, Mohammad Abdul-Sattar al-Sayyed turut menafikan beliau telah berpaling tadah, lapor Sana. - AGENSI

47,500 penduduk Syria lari ke Turki



Ankara: Kira-kira 1,300 penduduk Syria lagi termasuk seorang jeneral yang berpaling tadah, lari ke Turki ketika sengketa perang memuncak di negara itu, lapor agensi berita Anatolia semalam.

Kehadiran mereka menjadikan bilangan pelarian Syria ke Turki kepada 47,500 orang. Jeneral belot itu disertai 12 pegawai dan 25 warga Syria yang cedera, lapor Anatolia. Pihak berkuasa Turki enggan memberitahu angka sebenar berapa ramai jeneral bertindak belot berada di Turki, mengatakan ada di kalangan mereka pulang semula menyeberangi sempadan untuk menyertai perjuangan menentang pentadbiran Presiden Bashar al-Assad. Mereka dianggarkan lebih 20 orang.
Jeneral Muhammed Ahmed Faris, juruterbang tentera yang menjadi warga Syria pertama ke angkasa lepas, lari ke Turki Ahad lalu selepas berpaling tadah daripada rejim Bashar.

Gabung dengan pemberontak

Pegawai kanan Syria masuk ke Turki untuk bergabung dengan pemberontak Tentera Syria Merdeka (FSA) hampir setiap hari sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan mereka sering ditemani anggota tentera kanan.

Selain menerima pelarian itu, Turki juga melindungi tentera Syria yang belot dengan menempatkan mereka dalam kem berasingan berhampiran sempadan yang menyaksikan kawalan keselamatan lebih ketat.
Sementara itu Menteri Penerangan Syria, Omran al-Zoubi berkata, bekas Perdana Menteri yang belot, Riad Hijab belum lagi muncul menyebabkannya tidak dapat mengesahkan apa-apa perkara. Beliau juga menolak laporan ramai menteri membelot.

Kami tidak dengar apa-apapun daripada bekas Perdana Menteri dan dia juga tidak muncul di televisyen, kata Omran kepada agensi berita Sana.

Pemangku jawatan Perdana Menteri, Omar Ghalawanji mengadakan mesyuarat tergempar kelmarin dan menegaskan semua menteri hadir dalam rundingan pada Isnin lalu.

Dua lagi didakwa belot

Pada pihak pembangkang, mereka berkata, selain Perdana Menteri, dua lagi menteri turut belot manakala seorang lagi, Menteri Kewangan, Mohammad Jalilati ditahan ketika diarah berhenti.

AFP

Nasib 48 warga Iran di tangan AS




         
TEHERAN: Iran semalam berkata, Amerika Syarikat bertanggungjawab atas nyawa 48 rakyatnya yang menjadi tebusan di Syria ekoran laporan pemberontak yang tidak disahkan mendakwa tiga daripadanya terbunuh dalam serangan bom.

Kementerian Luar berkata, 48 individu terbabit bukan Pengawal Revolusi seperti didakwa pemberontak Syria, sebaliknya berada di negara itu untuk beribadah Timbalan Menteri Luar, Hossein Amir Abdollahian, berkata disebabkan AS menyatakan sokongannya terhadap kumpulan pengganas serta menghantar senjata ke Syria, negara terbabit bertanggungjawab atas keselamatan 48 rakyat Syria yang diculik di Damsyik. “Iran berharap negara terbabit dalam konflik Syria mengambil langkah perlu memastikan keselamatan rakyat Iran di situ,” katanya. Iran turut mendapatkan bantuan Turki dan Qatar untuk membebaskan tahanan terbabit. - AFP

Tentera Syria gempur Aleppo




         
DAMSYIK: Tentera Syria mengebom kawasan penting dikuasai pemberontak di Aleppo semalam, sehari selepas Perdana Menteri, Riad Hijab, membuat pengumuman berpaling tadah dan menyertai pembangkang.

Walaupun pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi Manusia mendakwa pertempuran sengit menggegarkan bandar komersial itu, wartawan tidak menganggap ia serangan besar-besaran seperti diancam rejim Presiden Bashar al-Assad sebelum itu. Menurut pertubuhan berpangkalan di London itu, pemberontak digempur di kawasan Bab Antakya, Aziziyeh, Bab Janin dan Sabaa Bahrat di pusat bandar, selain berhampiran Istana Keadilan di bahagian barat. Pemberontak juga menghadapi serangan bom di Shaar, Shakhur dan Qatarji di timur.


“Pertempuran membunuh 46 orang dan kebanyakannya orang awam,” kata pertubuhan itu. Pegawai kanan keselamatan Syria berkata, pihak berkuasa selesai menghantar tentera tambahan ke Aleppo menjadikan jumlah mereka kira-kira 200,000.

Katanya, mereka bersedia melakukan serangan besar-besaran di bandar itu sejak kali terakhir dijalankan pada 20 Julai lalu.


Akhbar prokerajaan, al-Watan, melaporkan operasi tentera itu masih di peringkat awal, tetapi setakat ini membunuh berpuluh-puluh pemberontak.


Sementara itu, Riad dilaporkan berada di Jordan mengukuhkan rancangannya selepas menyelinap melepasi sempadan Syria pada malam Ahad lalu.

Dia menjadi pegawai kerajaan paling tinggi berpaling tadah menyokong pembangkang setakat ini. Jurucakap pembangkang berkata, Riad menuju negara penyokong kuat pemberontak, Qatar. - AFP

500 duri landak terpacak pada muka anjing

DOKTOR yakin masih ada duri dalam badan Bella Mae.
DOKTOR yakin masih ada duri dalam badan Bella Mae.
NORMAN: Bella Mae, anjing bulldog berusia tiga tahun dari Oklahoma, mempelajari sesuatu yang mungkin tidak akan dilupakannya selepas diserang seekor landak hingga menyebabkan 500 duri landak melekat pada mukanya.
Doktor veterinar di Norman menjalankan pembedahan untuk membuang duri berkenaan dari kepala dan kaki anjing itu.
   
  • FotoDOKTOR menjalankan pembedahan mencabut duri daripada muka, leher, kaki dan dada Bella Mae.
  • FotoMUJUR tidak ada duri yang terkena matanya.
Mereka percaya sebahagian duri berkenaan masih berada di dalam tubuh Bella Mae meskipun anjing itu kini pulih daripada serangan itu.

Jerry dan isteri, Allison Noles memberitahu stesen televisyen KWTV bahawa anjing itu bermain dengan haiwan peliharaan mereka yang lain berhampiran kolam keluarga itu apabila mereka berdepan dengan seekor landak.

Keluarga itu percaya landak terbabit berada di kolam mereka untuk meminum air yang kini sukar didapati di Oklahoma.

Pasangan itu yakin Bella Mae berada terlalu rapat dan mencetuskan kemarahan landak berkenaan, menyebabkan ia melancarkan serangan.

Doktor veterinar di Pusat Kesemasan Untuk Haiwan, Leonardo Baez memberitahu KWTV, dia belum pernah melihat serangan landak sebegitu teruk ke atas haiwan peliharaan. - DM

Myanmar diberi amaran keras




AFP
BEBERAPA anggota bomba memadamkan kebakaran di beberapa rumah yang terbakar semasa keganasan terhadap penduduk Rohingya 
di Sittwe, Myanmar pada 15 Jun lalu.


RIYADH - Arab Saudi mendakwa pemerintah Myanmar melakukan pembersihan etnik terhadap penduduk minoriti Rohingya di barat negara berkenaan, lapor media Arab Saudi semalam.
Majoriti rakyat Myanmar menganut agama Buddha.
Agensi berita rasmi SPA melaporkan, Kabinet Arab Saudi mengutuk kempen penghapusan etnik dan serangan kejam ke atas warga Rohingya di Myanmar selain perbuatan memaksa mereka meninggalkan kampung halaman yang disifatkan bertentangan dengan hak asasi manusia.
Dipengerusikan oleh ketua kerajaan Arab Saudi, Raja Abdullah (gambar kecil), Kabinet negara ini kelmarin menggesa agar masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab menyediakan perlindungan dan kualiti hidup yang diperlukan penduduk Islam Myanmar serta menghalang mereka daripada terus menjadi mangsa kekejaman.
Seorang pegawai pemerintah di Yangon berkata, seramai 80 orang terbunuh dalam pergaduhan melibatkan penganut Buddha dan orang Islam Rohingnya di ibu negeri Rakhine, Sittwe, barat Myanmar sejak Jun lalu manakala tiga lagi orang maut pada Ahad lalu.
Keganasan itu tercetus selepas insiden seorang wanita Rakhine dirogol dan dibunuh.
Penduduk etnik Rakhine menuduh penduduk Royingya melakukan kejadian tersebut.
Ekoran itu, penduduk Rakhine membalas dendam dengan membunuh 10 etnik Rohingya.
Pertumpahan darah yang berlanjutan mencetuskan kesangsian berhubung usaha reformasi oleh Presiden Thein Sein yang menerima pujian Barat.

Perogol guna Facebook berdepan hukuman penjara



SINGAPURA - Seorang perogol bersiri yang menemui mangsa-mangsanya dengan menggunakan aplikasi temu janji Facebook berdepan dengan hukuman penjara selama 45 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Perogol itu, Azuar Ahamad, 41, mengaku bersalah kelmarin kerana merogol tiga wanita dan melakukan serangan seksual terhadap seorang lagi mangsa.
Pihak pendakwa raya meminta bekas eksekutif di sebuah syarikat logistik itu dihukum penjara selama 45 tahun.
Dia juga boleh disebat atau didenda bagi setiap kesalahan tersebut.
Azuar dihadapkan ke mahkamah selepas polis mendapati dia merakamkan perbuatannya dengan menggunakan telefon bimbit. - AFP

Televisyen Syria siar imej Bashar




STESEN televisyen Syria menunjukkan Bashar menemui Saeed di Damsyik semalam.


DAMSYIK - Presiden Bashar Al-Assad muncul di televisyen Syria buat kali pertama dalam tempoh lebih dua minggu semalam apabila beliau melayan kunjungan utusan dari Iran ketika tenteranya menggempur pemberontak di bandar Aleppo.
Dalam imej itu, Saeed Jalili yang merupakan penasihat kanan pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menemui Bashar selepas beliau tiba dari Lebanon, sehari selepas Perdana Menteri, Riad Hijab berpaling tadah memihak kepada pemberontak yang dikenali sebagai Tentera Pembebasan Syria (FSA).
"Bashar dan Saeed membincangkan hubungan dua hala antara Syria dan Iran selain situasi di rantau berkenaan," lapor stesen televisyen Syria.
Kali terakhir rakaman Bashar disiarkan adalah ketika beliau menerima kunjungan ketua tentera yang baharu, Jeneral Ali Ayyub pada 22 Julai lalu, empat hari selepas serangan bom meragut empat nyawa ketua kanan keselamatan negara berkenaan.
Media Iran memetik Saeed sebagai memberitahu Teheran percaya satu dialog kebangsaan antara semua pihak terbabit merupakan jalan penyelesaian kepada krisis di Syria dan bukannya campur tangan asing.
"Kami berharap dapat mengambil langkah efektif berhubung hala tuju baharu ini," kata Saeed.
Di Beirut kelmarin, beliau mengeluarkan amaran kepada negara-negara yang menyokong pemberontak.
"Mereka yang percaya bahawa dengan mencetuskan kekacauan di negara-negara rantau ini menerusi penghantaran senjata dan mendalangi keganasan, mereka dapat menjamin keselamatan tetapi mereka sebenarnya silap," katanya kepada Menteri Luar Lebanon Adnan Mansour.
Di Aleppo, pertempuran antara tentera dan pemberontak menggegarkan beberapa kawasan di pusat bandar raya berkenaan awal semalam.
Kumpulan Pemerhati Syria Bagi Hak Asasi Manusia menyatakan, sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dalam pertempuran di Aleppo dengan angka kematian di seluruh Syria setakat semalam berjumlah 57 orang. - AFP

Manila dilanda banjir




SEORANG bapa mendukung anak di belakang badannya semasa dia menggunakan tali untuk menyelamatkan diri ketika banjir melanda di Kampung Tumana, pinggir Manila semalam.


MANILA - Separuh bandar raya Manila ditengelami air semalam, kata beberapa pegawai ketika hujan lebat melumpuhkan ibu kota Filipina itu.
Puluhan ribu penduduk meninggalkan rumah mereka manakala sejumlah penduduk terperangkap di atas bumbung.

REUTERS
SEBUAH kereta terperangkap di sebatang jalan raya di Manila.


Sebuah kawasan setinggan dilanda tanah runtuh menyebabkan 15 orang mati dekat bandar raya ini.
Jumlah itu mengakibatkan 68 orang maut sejak minggu lalu kerana cuaca buruk di negara ini.
Seorang peramal kaji cuaca, Gine Nievarez memberitahu: "Jika kami meletakkan peratusan, sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk Manila dilanda banjir." - AFP

Gunung berapi New Zealand meletus




BEBERAPA buah rumah di sebuah ladang dilitupi debu yang dihamburkan daripada gunung berapi Tongariro, New Zealand semalam.


WELLINGTON - Gunung Tongariro di sebuah taman negara New Zealand semalam meletus buat kali kedua dalam tempoh lebih sedekad lalu.
Beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan selepas gunung tersebut menghamburkan debu tebal.
Kelmarin, gunung tersebut hanya menghamburkan batu dan debu selama 30 minit.
Sejumlah penduduk meninggalkan rumah bagi menyelamatkan diri.
Jabatan Pemuliharaan semalam menyatakan tiga pendaki yang tinggal di sebuah pondok berjaya menyelamatkan diri keluar dari kawasan gunung tersebut dengan selamat. - Agensi

Ikhwanul Muslimin dakwa Mossad jadi dalang



KAHERAH - Pergerakan Islam terbesar di Mesir, Ikhwanul Muslimin menyatakan di laman webnya bahawa serangan ke atas sebuah balai polis di Sinai pada Ahad lalu dipercayai didalangi agensi perisikan Israel, Mossad.
Menurut Ikhwanul Muslimin, serangan yang meragut nyawa 16 anggota polis itu merupakan percubaan untuk menggugat kedudukan Presiden Mesir, Mohamed Morsi.
Kenyataan tersebut memberitahu, Mossad cuba meredakan kebangkitan rakyat Mesir yang menumbangkan Presiden Hosni Mubarak pada tahun lalu.
Bagi mencapai matlamat tersebut Tel Aviv perlu menimbulkan keadaan untuk menyemak semula syarat perjanjian damai antara Mesir dan Israel.
"Jenayah ini didalangi oleh Mossad yang cuba menggagalkan revolusi rakyat Mesir dan buktinya adalah rejim Zionis memberi arahan kepada rakyatnya di Sinai supaya segera beredar dari kawasan itu beberapa hari lalu," kata kumpulan tersebut di laman webnya pada Isnin lalu.
"Jenayah tersebut lebih mudah dilakukan kerana pasukan keselamatan kita di Sinai tidak mencukupi untuk melindungi rantau itu dan sempadan negara ini. Justeru, syarat perjanjian antara kita dengan Israel terpaksa disemak semula," tambah kenyataan berkenaan.
Mesir melabelkan lelaki-lelaki bersenjata Islam yang melakukan serangan tersebut sebagai 'kafir' dan berjanji akan melancarkan operasi memburu mereka.
Insiden serangan tersebut menyebabkan hubungan antara Kaherah dan kedua-dua Israel serta Palestin menjadi tegang. - Reuters

Bank Standard Chartered sembunyi transaksi dengan Iran



SEORANG lelaki mengayuh basikal di ibu pejabat Standard Chartered di London semalam.


NEW YORK - Pihak berkuasa perbankan di sini mengancam akan membatalkan lesen operasi Bank Standard Chartered di negeri New York, Amerika Syarikat (AS).
Dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Kewangan Negeri New York (DFS), pihak berkuasa berkenaan menuduh bank Britain itu sebuah 'institusi penyangak' kerana menyembunyikan AS$250 bilion (RM796.6 bilion) hasil transaksinya dengan Iran yang melanggar undang-undang AS.
Pihak DFS menyatakan, Standard Chartered berkomplot dengan pemerintah Iran dan menyembunyikan sekitar 60,000 transaksi rahsia untuk menjana yuran perkhidmatan mencecah jutaan dolar sejak hampir 10 tahun lalu.
Perbuatan Standard Chartered itu turut didakwa mendedahkan sistem perbankan AS kepada pengganas, penyeludup dadah dan negara yang mengamalkan rasuah.
Kehilangan lesen perbankan New York mendatangkan kerugian besar ke atas sebuah bank asing kerana ia menyekat akses ke dalam pasaran bank AS.
Menurut DFS, Standard Chartered memproses transaksi berjumlah AS$190 bilion (RM605.4 juta) pada setiap hari untuk pelanggan global.
Standard Chartered merupakan bank Britain ketiga yang disiasat pada musim panas tahun ini.
Pada Jun lepas bank Barclays Plc bersetuju membayar AS$453 juta (RM1.4 bilion) untuk menyelesaikan siasatan AS dan Britain berhubung perbuatan memalsukan penanda aras faedah pinjaman pada Jun lalu.
Sebulan kemudian, sebuah panel Senat AS mengeluarkan laporan yang mengkritik usaha bank HSBC untuk mengawasi transaksi meragukan termasuk daripada penyeludup dadah Mexico. - Reuters

Masjid di AS dibakar, mungkin kerana khianat



AP
SEORANG anggota bomba memadamkan api di bangunan masjid di Joplin yang terbakar kelmarin.


JOPLIN, Missouri - Sebuah masjid di barat daya negeri Missouri, Amerika Syarikat terbakar kelmarin dalam kebakaran kedua di pusat Islam tersebut dalam tempoh kurang sebulan.
Pihak berkuasa menyelongkar timbunan runtuhan masjid tersebut seharian kelmarin untuk mencari bukti kemungkinan kebakaran disebabkan oleh perbuatan khianat.
Pejabat Syerif Daerah Jasper memberitahu, tiada kecederaan dilaporkan tetapi bangunan masjid Persatuan Islam Joplin ranap dalam kebakaran yang mula dilaporkan sekitar pukul 3.30 pagi.
Beberapa penyiasat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Biro Alkohol, Tembakau Dan Senjata Api serta Jabatan Syerif Daerah Joplin berada di lokasi kejadian seharian kelmarin.
Mereka memindahkan timbunan runtuhan dengan sebuah jentolak dan beberapa peralatan lain.
Turut berada di lokasi berkenaan adalah sekumpulan penduduk Islam yang berkumpul untuk melakukan solat Maghrib dan berbuka puasa di laman masjid itu.
Ia merupakan kali kedua pihak berkuasa dipanggil ke masjid itu sepanjang musim panas tahun ini.
Masjid berkenaan terletak di dalam sebuah bangunan bekas gereja di pinggir bandar ini.
Satu kebakaran dilaporkan sekitar waktu yang sama pada berlaku pada 4 Julai lalu dan didapati berpunca daripada perbuatan khianat tetapi tiada dakwaan dibuat setakat ini.
FBI turut menyiarkan rakaman sistem kamera litar tertutup suspek dan menawarkan ganjaran AS$15,000 (RM47,797) untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek tersebut. - AP