Pages

Saturday, April 14, 2012

Babun mampu kenal huruf



MARSEILLE 13 April - Babun mampu mengenal perkataan yang mempunyai empat huruf pada skrin komputer, menurut dua saintis dari Perancis, Dr. John Grainger dan Dr. Joel Fagot.
Penyelidik dari Universiti Aix-Marseille itu mendapati, selepas dilatih, haiwan tersebut mampu membezakan antara perkataan yang dieja dengan betul dan kombinasi huruf yang tidak tepat, walaupun tidak dapat membacanya.
Keputusan kajian tersebut menunjukkan kebolehan mengenalpasti perkataan di kalangan babun lebih berkait dengan pengenalan objek, berbanding kemahiran linguistik.
"Kesimpulannya babun mampu menguasai latihan membezakan perkataan dan bukan perkataan, jadi kami sangat gembira apabila mereka mampu melakukannya," kata Dr. Grainger.
Kajian tersebut dilakukan terhadap sekumpulan babun Guinea dalam satu makmal yang dibina di universiti itu.
"Dalam penyelidikan ini, babun dibiarkan bebas untuk menyertai ujian dan akan dikenal pasti secara automatik oleh ujian komputer apabila mereka keluar dari kumpulan sosial secara sukarela serta memasuki satu daripada 10 sistem ujian yang disediakan," kata Dr. Fagot yang mereka cipta sistem tersebut.
Di dalam bilik khas yang disediakan, haiwan tersebut akan didedahkan dengan skrin komputer yang memaparkan sama ada perkataan dengan empat huruf tepat atau huruf yang tidak tepat.
Babun tersebut perlu menyentuh secara tepat sama ada tanda tambah untuk bukan perkataan atau bentuk bujur untuk perkataan.
Seekor daripada babun yang terlibat mampu mengenalpasti sehingga 300 perkataan secara tepat. - AGENSI

Jam tangan pintar Sony




Jam tangan pintar SmartWatch keluaran Sony, memudahkan pengguna melayari Internet menggunakan sistem operasi Google, Android. - Agensi


SAN FRANCISCO 13 April - Syarikat elektronik, Sony memperkenalkan jam tangan yang boleh melayari Intenet menggunakan aplikasi sistem operasi Google, Android.
Menurut Sony, SmartWatch boleh melayari Internet melalui sambungan tanpa wayar menggunakan teknologi Bluetooth ke telefon pintar Android.
Jam tangan berharga AS$150 (RM465) itu boleh dibeli di Internet dan kedai Sony.
Presiden unit pelanggan Sony Mobile Communication, Paul Hamnett berkata, SmartWatch menyediakan akses kepada bahan kandungan dan hiburan secara langsung.
Katanya, SmartWatch boleh bertukar daripada memaparkan masa kepada skin sesentuh untuk melayari Internet.
Gegaran atau pemberitahuan panggilan telefon pintar dipaparkan di skrin seluas 1.3 inci dan pengguna hanya perlu mengangkat lengan untuk melihat emel atau mesej teks serta Facebook dan Twitter.
Sony berkata, aplikasi mini lain untuk SmartWatch juga boleh didapati di kedai dalam talian Google Play. - AFP

FUTURISTIK




Kapal layar mewah trimaran, Adastra, yang mempunyai ciri-ciri seperti kapal angkasa, menarik perhatian orang ramai ketika pelancarannya di Zhu Ha, China, kelmarin. – AGENSI


KAPAL layar mewah trimaran dikenali sebagai Adastra yang mencecah harga AS$15 juta (RM46 juta) berjaya mencuri tumpuan ramai ketika pelancarannya di Zhu Ha, China, kelmarin.
Adastra yang mempunyai reka bentuk seperti ‘kapal angkasa’ ditempah oleh pasangan Anto dan Elaine Maiden yang juga merupakan pelayar dari Hong Kong.
Mempunyai panjang 42.5 meter dan lebar 16 meter, Adastra dengan berat 52 tan direka oleh John Shuttleworth Yacht Designs dan dibina oleh McConaghy Boats dalam tempoh lima tahun.
Ia mempunyai kelajuan maksimum 22.5 knot dan mampu mencapai jarak 4,000 batu nautika pada kelajuan 17 knot.
Kapal layar mewah yang direka khas ini mampu belayar dari United Kingdom ke New York.
Adastra boleh memuatkan sembilan tetamu dengan ruang untuk enam krew. Ia digerakkan oleh satu enjin Caterpillar C18 dan boleh dikawal menggunakan iPad mahu pun Apple pada jarak 50 meter. – AGENSI

Pertempuran pertama selepas gencatan senjata di Syria




Gambar dikeluarkan saluran televisyen pembangkang Syria, Shaam News Network menunjukkan kerosakan bangunan akibat dibedil di daerah Bab Dreib, Homs, kelmarin. - AFP


BEIRUT 13 April - Pasukan tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad dilaporkan bertempur dengan pemberontak berdekatan sempadan Turki hari ini, pertempuran pertama selepas gencatan senjata anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dilihat berjalan lancar selepas dikuatkuasakan kelmarin.
Pengarah Pemantau Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman berkata, pertempuran itu berlaku di wilayah barat laut, Idlib, bersempadan Turki selepas tentera ditempatkan bagi mengusir pemberontak di kawasan tersebut.
Menurutnya, beberapa penyerang ditahan ketika pertempuran bermula, namun angka kematian tidak dinyatakan dan pertempuran dipercayai telah dihentikan.
Rami berkata, gencatan senjata yang dianjurkan oleh perutusan khas PBB, Kofi Annan, sepatutnya dilaksanakan di seluruh negara, namun tiada tanda-tanda penempatan tentera di kawasan bandar ditarik balik.
Sementara itu, Jawatankuasa Koordinasi Tempatan berkata, pertempuran besar berlaku di perkampungan Kherbet Joz semalam, berdekatan dengan Turki dan berpuluh-puluh kereta kebal dikerah ke kawasan tersebut.
Sekurang-kurangnya 10 terbunuh termasuk tujuh orang awam, manakala berpuluh-puluh yang lain cedera dalam pertempuran tersebut.
PBB mendakwa, tentera Assad telah membunuh lebih 9,000 penduduk sejak pemberontakan terhadapnya memuncak sejak 13 bulan lalu.
Pihak berkuasa mendakwa, pemberontakan tersebut berpunca daripada kumpulan pemberontak yang ditaja pihak luar yang didakwa mereka telah membunuh lebih 2,500 anggota polis dan tentera. - REUTERS

Potong alat sulit rakan selepas saudara dirogol

Berita Harian Online | Potong alat sulit rakan selepas saudara dirogol:




2012/04/14

MUMBAI: Seorang lelaki berusia 38, tahun menjatuhkan hukuman bunuh paling mengerikan ke atas rakannya malam Selasa lalu dengan memotong alat sulit mangsa selepas saudara perempuannya mengadu dirogol lelaki berkenaan. 

Dia menyerah diri kepada polis Pant Nagar di Ghatkopar.


Polis terkejut apabila lelaki berkenaan datang ke balai dengan memegang alat pemotong. Memperkenalkan dirinya sebagai Kannan Muttu Kumar Swami Pillai, dia kemudian mengaku membunuh rakannya, Govindan, 35.

Pillai mendakwa Govinda merogol saudara perempuannya, dan dia membunuhnya bagi membalas dendam. Pillai kemudian diiringi polis ke tempat dia membuang mayat Govindan selepas mengelar leher dan memotong alat sulit mangsa. 

Pillai mendakwa dia memberikan tempat tinggal dan kerja kepada Govindan. 

“Dia memberikan tempat tinggal kepada Govindan, apabila mangsa berpindah ke Mumbai lima tahun lalu. Pillai juga memberikan peluang kerja kepada Govindan dalam perniagaan makanan ikan yang diusahakannya. 

“Namun Isnin lalu dia mengetahui Govindan selalu bercakap dengan saudara perempuannya dan merogol wanita itu,” kata pegawai polis Panta Nagar. 
Pillai memutuskan untuk memberikan pengajaran kepada Govindan dan membawa mangsa keluar bersuka ria pada malam Selasa lalu. – Agensi

Budak sepintar Stephen Hawking

Berita Harian Online | Budak sepintar Stephen Hawking:





2012/04/14

  HEIDI kanak-kanak berusia empat tahun disahkan mempunyai IQ kurang satu markah berbanding pakar fizik dunia.
HEIDI kanak-kanak berusia empat tahun disahkan mempunyai IQ kurang satu markah berbanding pakar fizik dunia.
Heidi mempunyai IQ kurang satu markah berbanding pakar fizik dunia 

LONDON: Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun warga British diterima sebagai individu yang mempunyai kecerdasan akal (IQ) yang hanya kurang satu markah berbanding pakar fizik dunia, Stephen Hawking, kata Persatuan Kecerdasan Akal (IQ) Tinggi (Mensa) yang dipetik akhbar The Sun.


Ketua Eksekutif Mensa British John Stevenage, berkata organisasi itu bangga mengalu-alukan Heidi Hankins dari Winchester, England, ke ranking itu selepas beliau mendapat markah 159 dalam ujian IQ dan meletakkannya hanya satu markah di belakang IQ Hawking iaitu 160 markah.

Ujian yang diambil kanak-kanak terbabit khusus dibuat untuk kanak-kanak seusia dengannya dan mengandungi campuran soalan yang berupa penyelesaian masalah dan permainan perkataan. 

Akhbar Korean Herald pula melaporkan bapa kanak-kanak itu, Matthew Hankins, 46, berkata dia dan isterinya sejak awal sudah mengetahui yang anak mereka istimewa. 

“Kami selalu fikir Heidi bijak kerana dari kecil dia sudah pandai membaca. Saya ingin tahu mengenai IQ anak kami dan hasilnya adalah luar jangkaan. 

“Saya membelikannya satu set buku bacaan kanak-kanak Oxford ketika dia berusia dua tahun dan Heidi membaca keseluruhan set yang mengandungi 30 buku dalam masa sejam. 
“Sebenarnya apa yang dilakukan Heidi ini adalah yang boleh dilakukan kanak-kanak berusia tujuh tahun. 

“Heidi cuba bercakap sejak mula lahir dan pada usia setahun dia fasih bercakap dan banyak perkataan diketahuinya,” katanya. 

Matthew yang juga pensyarah kesihatan awam di Universiti Southampton, berharap anaknya boleh melompat kelas setahun untuk membolehkan kanak-kanak itu selari dengan cabaran. 

Mensa adalah persatuan IQ tinggi tertua dan terbesar dunia. Ia adalah organisasi bukan kerajaan dan terbuka kepada mereka yang mendapat markah 98 peratus atau lebih tinggi daripada standard ditetapkan dengan IQ dipantau atau ujian kecerdasan lain yang diluluskan. 

Aktres Hollywood Sharon Stone mempunyai IQ sebanyak 154, manakala penyanyi Columbia turut termasuk dalam individu istimewa dengan IQ sebanyak 140. – Agensi

AS tahan Shah Rukh Khan, India marah

shah rukh khan
NEW YORK - India melahirkan rasa marah dengan tindakan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) menahan aktor popular Bollywood, Shah Rukh Khan kira-kira 90 minit di lapangan terbang White Plains dekat sini, hari ini.
Menteri Hal Ehwal Luar India, SM Krishna berkata, dasar menahan dan kemudian meminta maaf di pihak berkuasa AS tidak harus berterusan.
Aktor itu tiba di lapangan terbang White Plains dengan menaiki pesawat peribadi untuk menghadiri satu majlis di Universiti Yale.\
Pihak berkuasa kastam dan perlindungan sempadan memohon maaf atas insiden itu.
Jurucakap Kedutaan AS di Delhi, Peter Vrooman juga memohon maaf "jika Shah Rukh Khan berhadapan dengan situasi yang tidak selesa atau sebarang kelewatan."
Tidak jelas sebab aktor itu ditahan di lapangan itu.
Pada 2009, Shah Rukh Khan ditahan selama dua jam di lapangan terbang Newark dan kemudian dibebaskan selepas campur tangan India di AS.
Ketika itu, Shah Rukh Khan berkata dia ditahan sebab membawa nama Islam.
Pegawai-pegawai AS menafikan Shah Rukh Khan ditahan, tetapi menekankan bahawa dia hanya disoal siasat.
"Permohonan maaf Amerika menjadi sesuatu yang mekanikal," kata Krishna hari ini.
Krishna juga telah meminta Duta India di AS, Nirupama Rao mengemukakan protes kepada kerajaan negara itu.

Sekutu Hosni diharam tanding

KAHERAH: Parlimen Mesir semalam meluluskan undang-undang yang mengharamkan anggota pentadbiran rejim Hosni Mubarak bertanding merebut jawatan awam.
Keputusan itu adalah perkembangan terbaru dalam kemelut politik negara itu.

Undang-undang berkenaan yang perlu diluluskan oleh Majlis Tentera yang memerintah sementara Mesir, akan menyaksikan bekas pegawai, termasuk bekas ketua perisikan, Omar Suleiman, (gambar) dilarang bertanding pada pilihan raya presiden bulan depan.

Pindaan terhadap undang-undang kegiatan politik itu mengharamkan mana-mana presiden, naib presiden, perdana menteri atau pemimpin atau anggota kanan Parti Demokratik Kebangsaan yang sudah dibubarkan daripada bergiat cergas dalam politik selama 10 tahun,” kata anggota Parlimen pada sesi sidang yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Ia dikuatkuasakan terhadap pegawai era Hosni yang berkhidmat pada dekad lalu hingga ke tarikh beliau digulingkan.

Ini bermakna, Ahmed Shafiq, perdana menteri terakhir yang berkhidmat dengan Hosni, juga tidak layak bertanding.

Bekas ketua perisik, Omar Suleiman yang dilantik menjadi naib presiden oleh Hosni pada minggu-minggu terakhir pemerintahannya, menegaskan sebelum ini, pencalonannya untuk jawatan presiden akan mengembalikan kestabilan di negara itu.

Ketika mengumumkan pencalonannya, bekas jeneral itu cuba untuk menjauhkan dirinya dengan Hosni.
“Jika saya pernah menjadi ketua perisikan dan kemudian naib presiden, itu tidak bermakna saya adalah sebahagian daripada rejim yang ditentang oleh rakyat,” katanya dalam wawancara sebelum mengemukakan pencalonannya.

Majlis Tinggi Angkatan Tentera yang mengambil alih pemerintahan selepas penggulingan Hosni berkata, ia akan menyerahkan kuasa kepada pemerintahan awam Jun ini selepas presiden baru dipilih.

Pendaftaran untuk jawatan tertinggi di Mesir itu ditutup Ahad lalu. - AFP
-metro

Tergantung satu jam


MALANG...pasukan penyelamat melakukan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa maut akibat renjatan elektrik.
MALANG...pasukan penyelamat melakukan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa maut akibat renjatan elektrik.


KENINGAU: “Saya terdengar bunyi dentuman dan melihat kawan saya terpelanting selain percikan api turut kelihatan. Sejurus kemudian, saya lihat dia terkulai di atas tangga,” kata Michael Gubongo, 32, mengenai kematian rakan sekerjanya akibat terkena renjatan elektrik, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika mangsa, Gilbert Santos Alani, 39, yang juga juruteknik penyelenggaraan menyelenggara sambungan lampu jalan di pencawang berhampiran Tamu Apin-Apin, di sini.

Mangsa mati di tempat kejadian dipercayai akibat terkena renjatan elektrik berkuasa tinggi dan mayat mangsa dibiarkan tergantung hampir sejam sebelum pasukan penyelamat tiba dan menurunkannya.

Michael berkata, sebelum itu, orang ramai yang berada di tempat kejadian tidak berani menurunkan mayat mangsa kerana takut terkena renjatan elektrik yang dipercayai masih mengalir di pencawang berkenaan.

“Saya berada berhampiran mangsa ketika kejadian dan menyedari sesuatu tidak kena apabila melihat dia seperti ‘ditendang’ arus kuat. Ketika kejadian dia cuba menyambung wayar lampu jalan ke kabel utama di pencawang itu,” katanya.

Michael berkata, dia cuba membantu, tetapi membatalkan hasrat itu apabila melihat percikan api pada tangga digunakan mangsa.


“Walaupun sedih, saya hanya mampu melihat badannya terjuntai di atas tangga tanpa mampu memberi sebarang bantuan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang sudah berkahwin dan memiliki tiga anak, menetap di Kampung Biah Tengah, di sini.

“Sebelum ini, dia sering bercerita mengenai hajatnya untuk berhijrah dan bekerja di Afrika sebagai penyelia elektrik. Dia tidak menunjukkan sebarang kelakuan ganjil dan kami sudah bekerja bersama sejak 12 tahun lalu,” kata Michael.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Janil Jaya berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 11.15 pagi sebelum mengarahkan dua jentera termasuk kenderaan utiliti bersama 11 anggota ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati seorang lelaki tergantung dalam keadaan terkulai di pencawang elektrik di tepi jalan berhampiran Tamu berkenaan.

“Kami mengambil masa kira-kira setengah jam sebelum menurunkan mayat mangsa yang dipercayai terkena renjatan elektrik,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mematuhi ciri keselamatan ketika melakukan penyelenggaraan elektrik.

“Kami mendapati mangsa hanya berseluar pendek, tidak memakai sarung tangan dan hanya berselipar ketika kejadian.

“Kecuaian sebegini sepatutnya tidak berlaku. Kemalangan boleh dielak jika semua pihak mengutamakan keselamatan, lebih-lebih lagi dalam pekerjaan berisiko tinggi seperti ini,” katanya.
-metro

Pijak anak sampai mati


PILU...anggota keluarga menuntut mayat bayi berkenaan di HRPB, semalam.
PILU...anggota keluarga menuntut mayat bayi berkenaan di HRPB, semalam.


IPOH: Berang apabila adik ipar menegur sikap buruknya yang kerap mengabaikan keluarga dan sering memukul anak, seorang lelaki bertindak di luar batas kemanusiaan apabila memijak bayi lelakinya yang berusia dua minggu hingga mati.
Dalam kejadian jam 9 pagi kelmarin di rumah keluarga berkenaan di Taman Bernam Jaya, Ulu Bernam, dekat sini, lelaki terbabit yang berusia 40-an sebelum itu menyerang adik iparnya dengan parang.
Sumber polis berkata, bagaimanapun, mangsa yang berusia 32 tahun bernasib baik kerana hanya cedera ringan di telinga dan jari kaki kirinya.

Menurutnya, suspek yang bekerja dengan syarikat pengumpul barang lusuh sering mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga dan memukul enam anaknya setiap kali bertengkar dengan isterinya yang berusia 36 tahun.


“Perbuatan ganas suspek menyebabkan adik iparnya yang tinggal berhampiran hilang sabar lalu menegur sikap buruknya itu. Bagaimanapun, tindakan itu tidak disenangi suspek hingga mencetuskan pergaduhan,” katanya.

Potong telinga suspek pengeboman

HELMAND: Sekumpulan penduduk di wilayah ini bertindak memotong kedua-dua telinga lelaki yang disyaki bertanggungjawab memasang jerangkap samar.
Jerangkap samar yang dipasang itu meletup kelmarin dan mengorban dua orang awam. Setelah kejadian, penduduk menangkap seorang lelaki yang disyaki terbabit. Jurucakap pejabat pentadbiran Helmand, Daud Ahmadi berkata, lelaki itu nyaris digantung. Tetapi beberapa saksi menandatangani akuan menafikan dia terlibat. Namun, penduduk sudahpun memotong telinga lelaki itu. - AP

Tiada jemaah Syria tunai umrah

MAKKAH: Tiada jemaah umrah dari Syria tiba di bandar suci ini untuk melakukan ibadah berkenaan sejak Januari lalu.
Seorang anggota jawatankuasa Haji dan Umrah di Dewan Perniagaan dan Industri Makkah berkata, perkembangan itu disebabkan pembatalan penerbangan dan perjalanan bas dari negara itu yang dilanda keganasan sejak tahun lalu.

Ia ditambah buruk dengan penutupan kedutaan dan pejabat konsul Arab Saudi di Syria. “Kami belum menerima sebarang permohonan untuk mengerjakan umrah dari Syria,” kata Ahmad Bajuather, pemilik syarikat haji dan umrah yang menguruskan jemaah dari negara itu.

Menurutnya, jika syarikat umrah dibenarkan mengaturkan perjalanan warga Syria untuk melakukan ibadah itu, mereka akan menolak.

“Memandangkan keadaan di Syria ketika ini, ramai rakyat negara itu sudah pasti mahu datang bekerja dan tinggal di negara ini. Mereka tidak mahu pulang ke negara asal kerana sengketa politik dan kesulitan ekonomi. Kami berdepan dengan risiko tinggi jika mahu mengatur kedatangan jemaah Syria,” kata Ahmad.

Ketua Jawatankuasa Pengangkutan Tempatan, Jameel Al-Qurashi berkata, rakyat Syria menghadapi kesukaran untuk menunaikan umrah tahun ini kerana Arab Saudi bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Damsyik. - AN

14 tahun makan gaji buta

MINDEN: Seorang pesara Jerman yang menamatkan perkhidmatannya baru-baru ini menghantar e-mel kepada 500 rakan sekerjanya memberitahu mereka bahawa dia tidak melakukan apa-apa tugas selama 14 tahun.
Ucapan terakhir lelaki berusia 65 tahun itu ialah menghebahkan kepada rakan sekerjanya mengatakan dia meraih lebih 600,000 pound (RM3 juta) tanpa menggerakkan satu jari pun.

“Sejak 1998, saya datang ke tempat kerja tetapi bukan ada di pejabat dalam erti kata sebenar. Jadi, saya memang telah bersedia untuk bersara - Selamat Tinggal,” tulisnya.

Namun, dia tidak terfikir e-mel itu bukan hanya berlegar di pejabat di North Rhine-Westphalia saja, tetapi ia turut didedahkan kepada media. “Saya tidak mahu katakan apa-apa lagi,” katanya kepada akhbar tempatan ketika petugas media menemuinya di depan pintu rumahnya di Minden.

“E-mel itu bukan untuk tatapan umum,” katanya. Lelaki yang tidak didedahkan identitinya dan bekerja sebagai juruukur sejak 1974 itu berkata, situasi terbabit berlaku kerana kesilapan majlis perbandaran yang melantik dua orang untuk satu tugas dan rakannya melakukan semua tugas itu. - Agensi

Berlusconi akui bayar pelacur

PASANGAN kembar Imma dan Eleonora De Vivo.
PASANGAN kembar Imma dan Eleonora De Vivo.


SILVIO Berlusconi.
SILVIO Berlusconi.

ROME: Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi membayar lebih 100,000 pound (RM500,000) kepada pelacur yang dijangka memberi keterangan dalam perbicaraan kes pelacuran ‘bunga bunga.’
Peguamnya semalam mengesahkan bayaran itu dibuat, tetapi menafikan ia cubaan untuk mempengaruhi keterangan wanita berkenaan.
Rekod bank yang diperoleh pendakwa raya menunjukkan bilionair itu membayar RM525,000 kepada bintang harapan Anglo-Itali yang kemudian menjadi ahli politik, Nicole Minetti dan gadis panggung yang menghadiri partinya iaitu pasangan kembar Imma serta Eleonora De Vivo.

Ketiga-tiganya akan dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan Berlusconi, yang menghadapi tuduhan membayar untuk mendapatkan khidmat seks kepada pelacur bawah umur, penari keturunan Maghribi yang bergelar Ruby atau ‘si pencuri hati.’


Berlusconi juga dituduh menyalahgunakan jawatannya apabila cuba membebaskan wanita itu daripada tahanan polis.

Perbicaraan yang bermula setahun lalu itu masih berjalan dan disambung Isnin ini.

Berlusconi dan Ruby atau nama sebenarnya Karima El Mahroug menafikan tuduhan itu.

Menurut pendakwa raya, kembar De Vivo antara lebih 30 wanita yang didakwa dibayar Berlusconi untuk mendapatkan khidmat seks.

Berlusconi sebelum ini pernah berkata, walaupun dia ‘nakal,’ dia memerlukan stamina lelaki berusia 30 tahun untuk melakukan perbuatan sedemikian.

Nicole yang mempunyai ibu yang bekerja sebagai jurulatih tari dan berasal dari Britain tetapi tinggal di Itali, dituduh dalam perbicaraan berasingan kerana mendapatkan pelacur untuk parti seks ‘bunga bunga’ Berlusconi di kediamannya di luar Milan.

Berlusconi, 75, menegaskan parti yang diadakan di kediamannya itu hanya parti makan malam untuk rakan dan pembantunya. - Agensi 
-metro

‘Spiderman’ panjat hotel di Doha



ROBERT memanjat tanpa menggunakan tali. -AFP


DOHA – Pemanjat legenda Perancis, Alain Robert kelmarin memanjat Hotel The Torch Doha setinggi 300 meter di sini dalam masa 93 minit dan 47 saat sekali gus mencatatkan rekod baharu Guinness.
Ia merupakan bangunan tertinggi di Qatar dan dibina untuk Sukan Asia pada tahun 2006.
“Setiap bangunan berbeza. Bangunan ini agak sukar menyebabkan saya berasa teruja dan sedikit gementar pada masa yang sama. Perasaan ini adalah normal,” katanya yang diberi nama jolokan ‘Spiderman’.
Robert, 50, pernah memanjat lebih 85 bangunan di seluruh dunia. – Agensi

Korea Utara malu roket berkecai



GAMBAR fail menunjukkan roket Unha-3 yang membawa satelit di pusat pelancaran Tangachai-ri, Korea Utara pada 8 April lalu.


PYONGYANG – Korea Utara semalam mengumumkan roket jarak jauhnya, Unha-3 gagal menuju ke orbit yang merupakan pengakuan yang memalukan.
Kegagalan tersebut sekali gus memberi tamparan hebat kepada pemimpin muda negara komunis itu, Kim Jong-un yang berusia dalam lingkungan 20-an.
Jong-un menggantikan bapanya, Kim Jong-il yang mati dipercayai kerana serangan sakit jantung pada Disember tahun lalu.
Pelancaran itu dibuat bagi meraikan ulang tahun ke-100 kematian pengasas Korea Utara, Kim Il-sung yang juga datuk Jong-un.
Ia juga dilakukan bagi meraikan kebangkitan Jong-un yang kini dilaporkan mahu meneruskan ujian nuklear yang ketiga dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan tentera negaranya.
Satelit yang dihantar itu didakwa Korea Utara akan digunakan untuk tujuan penyelidikan.
Korea Utara menegaskan, roket membawa satelit itu ke orbit berkecai sebelum jatuh ke laut selepas bergerak dalam jarak yang lebih pendek berbanding sebuah lagi roket yang pernah dilancarkan sebelum ini.
Roket tersebut hanya terbang selama beberapa minit sebelum meletup di laut yang memisahkan Semenanjung Korea dan China.
Pada tahun 2009, sebuah roket Korea Utara berkecai selepas bergerak sejauh 3,800km.
Pasukan Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD) memberitahu, bahagian pertama roket itu jatuh ke dalam laut di barat Korea Selatan.
Pelancaran roket itu melanggar sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ia turut menerima kecaman AS, Rusia, Korea Utara dan Jepun yang mengancam mengetatkan lagi sekatan bagi menghalang Korea Utara membangunkan senjata nuklearnya.
Sementara itu, Setiausaha PBB, Ban Ki-moon meminta Korea Utara supaya berhenti daripada melakukan tindakan provokatif susulan kegagalan pelancaran roket jarak jauh negara berkenaan.
Kenyataan Ki-moon di Geneva dibuat selepas timbuh spekulasi bahawa negara yang dikembali sebagai Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) itu merancang untuk melakukan ujian nuklear seterusnya.
Pada masa yang sama, Setiausaha Agung berkenaan menjelaskan bahawa PBB masih komited untuk menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada Korea Utara.
“Setiausaha Agung PBB menggesa DPRK supaya tidak meneruskan tindakan provokatif yang boleh meningkatkan situasi tegang di rantau Korea,” kata jurucakapnya, Martin Nesirky.
Pelancaran roket jarak jauh tersebut “amat dikesali” dan pada masa yang sama, ia melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB, kata Ki-moon melalui jurucakapnya itu. – Agensi