Pages

Friday, May 31, 2013

Nehal gadis India paling cantik


Nehal Bhogaita dinobatkan sebagai
Miss India Worldwide 2013.

Oleh Ziinine Abdesselam SEORANG gadis cacat pendengaran Nehal Bhogaita, 24, berdarah kacukan India Afrika yang lahir dan dibesarkan di United Kingdom (UK), mengalahkan 39 jelitawan lain dari seluruh dunia untuk dinobatkan sebagai Miss India Worldwide 2013.
Dengan kemenangan itu, Nehal Bhogaita mencatat sejarah sebagai satu-satunya peserta orang kelainan upaya (OKU) yang dimahkotakan sebagai wanita India paling cantik di dunia.
Sementara itu, ratu cantik dari Malaysia, Jasveer Kaur Sandhu pula muncul naib juara manakala tempat ketiga jatuh kepada Surbhi Sachdev dari Oman.
Dua lagi yang berjaya mara ke peringkat akhir ialah Geetanjali Kelath dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Ayushi Chhabra dari Nigeria.
Dalam pertandingan yang diadakan di Kuala Lumpur itu baru-baru ini, Nehal menampilkan personaliti yang menarik dengan persembahan tarian Bollywood sebagai acara rutin dan kemuncak pertandingan.
Dengan cara tersendiri dan tidak mudah menyerah kalah, Nehal walaupun tidak boleh mendengar muzik telah menari mengikut gegaran rentak muzik bagi menghiburkan tetamu.
Nehal yang bekerja sebagai pembantu komuniti di Action Deafness di UK, menghulur bantuan dengan cara memberi keyakinan dan mengajar golongan OKU menyesuaikan diri dalam kalangan masyarakat.
Di Action Deafness, beliau turut mengetuai projek tarian dengan mengajar golongan cacat pendengaran dan kumpulan yang sukar mendengar, tentang cara-cara menari.
Nehal berusaha menyeimbangkan kehidupan sehariannya sebagai pembantu komuniti dan tugas hakikinya sebagai pakar terapi di sebuah kecantikan di bandar Leicester.
"Pekerjaan ini memberi peluang kepada saya untuk bertemu dan membantu pelbagai lapisan masyarakat cara-cara membentuk kecantikan luaran dan dalaman," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sebelum ini, Nehal pernah menyertai pertandingan ratu cantik, Miss Deaf UK pada tahun 2007 di mana dia dinobatkan sebagai Ratu Berbakat.
Dalam pada itu kata Nehal, menari menjadi sebahagian daripada hidupnya walaupun tidak boleh mendengar muzik.
Walaupun tidak dapat mendengar irama muzik, dia dapat merasakan gegaran muzik melalui kaki dengan mengira rentaknya.
"Semasa kecil, saya suka menonton filem-filem Bollywood yang ditayangkan di televisyen.
"Saya melihat mereka menari dan berharap dapat menari seperti mereka satu hari nanti. Saya mula menyertai kelas tarian sewaktu berusia 11 tahun," ujarnya panjang lebar.
Berusaha memenuhi impiannya, pada 2011, Nehal menyertai pertandingan Just Dance dan berjaya berada dalam kelompok 14 teratas di UK.
Pada pertandingan itu, Nehal berpeluang mempersembahkan tarian di hadapan pereka tari terkenal Bollywood Farah Khan dan pengarah filem, Vaibhavi Merchant.
Dalam pada itu, sepanjang pertandingan Miss India Worldwide 2013 di Kuala Lumpur, Nehal, yang boleh membaca pergerakan bibir, ditemani adiknya, Jayeesha , 19, sebagai penterjemah.
Nehal telah membuktikan bakatnya dengan cemerlang pada pusingan akhir sekali gus merobohkan sempadan terhadap kecacatannya dalam kalangan masyarakat.
Kejayaan yang diperoleh itu sekali gus membuktikan kecacatan bukan penghalang kepadanya untuk mencapai kejayaan.
Malah, dia berpeluang menjadikan dirinya sebagai contoh bahawa tiada yang mustahil untuk melakukan sesuatu jika berusaha.
"Saya hendak menjadi ikon bukan sahaja kepada orang yang cacat pendengaran malah kepada semua orang bahawa sesiapa sahaja boleh mencapai cita-citanya," katanya.
Impian Nehal sekarang ialah membuat persembahan dengan melibatkan pelajar-pelajar cacat pendengaran dan sukar mendengar menunjukkan.
"Menjadi Miss India Worldwide 2013 memberi peluang kepada saya untuk membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil untuk dilakukan.
"Kini saya boleh menjadi contoh dan model inspirasi kepada orang kelainan upaya (OKU) seperti saya, selain memberi keyakinan dan keberanian kepada manusia yang sempurna untuk mencapai impian masing-masing," jelasnya.
Sepanjang menjadi Miss India Worldwide kata Nehal, dia ingin melancong ke negara-negara dunia ketiga bagi mengutip derma dan membantu golongan yang memerlukan.
Dia juga mengimpikan untuk bekerja dan diberi peranan sebagai pelakon atau penari dalam Bollywood.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Feminin/20130531/fe_01/Nehal-gadis-India-paling-cantik#ixzz3BTUb3Bcz
© Utusan Melayu (M) Bhd 


KOMBINASI gambar menunjukkan fenomena gerhana matahari separa yang dilihat di Balai Cerap Sydney di Sydney semalam.



SYDNEY - Sejumlah peminat astronomi berkunjung ke utara Australia untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari separa semalam.
Fenomena itu berlaku apabila bulan bergerak di antara bumi dan matahari.
Sebelum ini, gerhana penuh dapat dilihat di utara Australia pada November tahun lalu menyebabkan pemandangan menjadi gelap selama dua minit.
Bagaimanapun, gerhana matahari separa itu menyebabkan bulan hanya melindungi 97 peratus matahari.
Gerhana separa itu juga dapat dilihat di beberapa bahagian di Australia, Indonesia, New Zealand dan Pasifik Selatan.
Seorang ahli astronomi Amerika Syarikat, Jay Pasachoff sanggup datang ke Australia untuk menyaksikan fenomena gerhana matahari itu. Ia merupakan gerhana matahari kali ke-57 yang pernah dilihatnya.
Dia memandu ke sebuah bukit kecil di Outback yang terletak kira-kira 100 kilometer ke utara bandar Tennant Creek.
Pasachoff dan 100 orang lagi peminat amatur astronomi merakamkan fenomena itu dengan menggunakan kamera. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0511&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2SvV3NXGj 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki Hungary cipta kereta daripada kayu

Lelaki Hungary cipta kereta daripada kayuKereta daripada kayu yang direka Istvan Puskas. - Foto Ihsan: www.telegraph.co.uk
TISZAORS - Istvan Puskas, 51 mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mereka hampir keseluruhan kereta menggunakan kayu.

Kereta itu direka sejak empat bulan lalu di bengkelnya.

Apa yang menarik, tangki bagi meletak petrol menggunakan satu tong bir lama dan ‘gear box’ turut dicipta menggunakan kayu.

Kereta unik itu menggunakan kuasa enjin Poland Fiat 126 manakala stereng menggunakan kenderaan lama Mercedes Benz.

“Saya suka bekerja dengan kayu dan juga suka melakukan perkara yang mampu menarik minat orang ramai,” kata Puskas.

Cuti musim sejuk yang agak panjang memberi dorongan kepada petani ini mereka dan mencipta kereta.