Pages

Sunday, October 10, 2010

Buang keratan tubuh

PADA malam 8 Mac 2009, Jeffrey Howe (berusia 48 tahun) meleteri kawannya, Stephen Marshall, 38, dan kekasihnya, Sarah Bush, 21. Howe bengang dengan sikap Marshall yang tidak mahu membayar sewa dan enggan membantunya membayar bil elektrik dan air, sedangkan pasangan itu hampir enam bulan menumpang di rumahnya di Southgate, utara London.

Ketika Howe menuju ke dapur, Marshall mengejar sahabatnya sebelum menikamnya dua kali. Selepas menyedari Howe sudah mati, Marshall memenggal kepalanya sebelum memotong kaki dan tangannya.

Lebih mengerikan, Marshall yang berhati kering itu mencungkil mata dan memotong telinga mangsa. Sisa-sisa tubuh sahabat yang dibunuhnya kemudian dibuang di dua daerah berhampiran kediaman mereka iaitu Hertfordshire dan Leicestershire.

Bahagian kaki dan tangan mangsa yang disumbatkan ke dalam beg plastik sampah dibuang di tiga kawasan berasingan manakala badan mangsa dibuang ke dalam parit, semuanya di sekitar Hertfordshire.

Kepalanya pula dicampakkan ke pinggir hutan di Asfordby, Leicestershire. Marshall membuang sisa tubuh mangsa ini dengan bantuan Bush.

Jenayah Marshall terbongkar apabila penduduk di sekitar Cottered, Hertfordshire menemui kaki kiri mangsa yang dibuang berhampiran kawasan hutan kediaman mereka pada 22 Mac, dua minggu kemudian. Sehingga 11 April berikutnya, saki baki anggota badan mangsa ditemui, kecuali tangan.
Ketika ditahan polis, Marshall menafikan dia melakukan jenayah itu, namun pelbagai bukti yang ditemui menunjukkan suspek satu-satunya pelaku pembunuhan kejam terbabit.

Pegawai polis, Michael Hanlon yang menyiasat kes ini berkata, suspek nekad membunuh Howe untuk mendapat ‘keuntungan’ daripada kematian mangsa.

“Dia (Marshall) enggan membayar sewa rumah, mencuri makanan dan tidak mahu keluar dari rumah mangsa bersama kekasihnya.

“Dengan membunuh mangsa, dia mengambil alih kediaman itu. Niat jahatnya jelas kerana dia juga menggunakan wang mangsa untuk berbelanja dan menjual barang berharga di rumah berkenaan,” katanya.

Ketika kes dibicarakan, Mahkamah Diraja St Albans mendedahkan Marshall didakwa bukan kali pertama membunuh dan memotong mangsa bunuh sebagaimana ng dilakukannya terhadap Howe.

Seorang saksi yang tidak didedahkan namanya memberitahu mahkamah, Marshall banyak terbabit dengan jenayah bunuh dan dia akan memotong mangsa sebelum menanamnya untuk melupuskan bukti.

Saksi berkenaan juga mendedahkan, suspek biasanya membunuh mangsa dengan pisau dapur yang panjang sebelum memotongnya menggunakan mesin gergaji berantai atau gergaji biasa.

Daripada siasatan polis, Marshall mengaku melakukan sekurang-kurang empat pembunuhan, termasuk kes Howe, dengan modus operandi sama dilakukan terhadap mangsa.

Mangsa pertamanya adalah gangster, Gilbert Wynter yang dibunuh akibat persengketaan berkaitan pengedaran dadah. Mangsa seterusnya seorang lelaki yang dinamakan John Manchester yang dibunuh selepas mangsa menipu wang milik keluarga suspek sebanyak £100,000 (RM493,855).

Kedua-dua mangsa diperlakukan seperti Howe dan sisa tubuh mereka ditanam sekitar utara England.

Selain itu, suspek juga dikaitkan dengan pembunuhan pemuda, Minesh Nagrecha. Pemuda itu ditikam 12 kali tetapi ketika tangkapan, suspek berjaya menyembunyikan jenayahnya dan terlepas tindakan undang-undang.

Pembongkaran jenayah ini mendapat liputan meluas di England. Media menggelar Marshall sebagai Pembunuh Jigsaw atau ‘Jigsaw Killer’.

Pada Januari lalu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap kesalahan dilakukan Marshall dengan minimum 36 tahun penjara.

Kekasihnya, Bush yang juga pelacur turut dikenakan hukuman penjara tiga tahun sembilan bulan kerana didapati bersubahat dan memberi keterangan palsu.


INFO

MANGSA: Jeffrey Howe

UMUR: 48 tahun (ketika kejadian)

SUSPEK: Stephen Marshall, 38, dan Sarah Bush, 21

FAKTA JENAYAH: Bagi mendapat kepentingan peribadi, Marshall membunuh sahabatnya, Howe semata-mata untuk dapat mengambil alih rumah dan menggunakan wang simpanan mangsa. Suspek menikam mangsa dari belakang, kemudian memotong kepala, kaki dan tangan sebelum membuangnya di dua daerah berhampiran kediaman mereka iaitu Hertfordshire dan Leicestershire, England. Penjenayah terbabit turut mencungkil mata dan memotong telinga mangsa

FAKTA KES: Siasatan polis mendapati Marshall melakukan sekurang-kurang empat pembunuhan, termasuk kes Howe, dengan modus operandi sama. Januari lalu, Mahkamah Diraja St Albans menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap kesalahan dilakukan Marshall dengan minimum 36 tahun penjara. Kekasihnya, Bush turut dikenakan hukuman penjara tiga tahun sembilan bulan kerana didapati bersubahat dan memberi keterangan palsu

Silap hadir majlis pengebumian

LONDON: Margaret Griffiths, 74, menyertai sekumpulan orang menghadiri satu majlis pengebumian selepas terbaca notis dalam sebuah akhbar mengenai kematian Ron Jones.
“Dia terkejut mendengar saya berkata begitu.” Kejadian berlaku kerana terdapat dua Ron Jones yang hampir sama usia dan menetap di kawasan yang sama di Merthyr Tydfil, Wales Selatan dan kedua-duanya mempunyai pekerjaan yang sama.

Lebih menarik lagi, Jones yang masih hidup itu turut menghadiri majlis berkenaan tetapi Margaret tidak melihatnya. - Agensi

Jangan tonton porno: Mufti Arab Saudi

RIYADH: Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz bin Abdullah Al-Asheikh memberi amaran kepada lelaki dan wanita muda supaya tidak menonton gambar atau filem pornografi.
Beliau turut berkata, menjual atau mengedar gambar atau filem porno dengan apa cara sekalipun adalah satu perbuatan mencabul.

“Ia bertujuan menyesatkan golongan muda dan menghancurkan masyarakat,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, teknologi moden perlu digunakan untuk kebaikan manusia sejagat, termasuk pelajaran.

Beliau mengulas pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat (CITC) yang berkata, ia menyekat 240,000 laman Internet sejak enam bulan lalu. Kebanyakannya mengandungi pornografi.

Terdapat 11 juta penduduk Arab Saudi menggunakan Internet ketika ini. - Agensi

Permintaan aneh Lady Gaga

LOS ANGELES: Meskinpun ramai yang mengaku Lady Gaga memiliki suara yang baik, penyanyi itu sering menjadi tajuk akhbar kerana pakaiannya yang aneh.


Lady Gaga
Lady Gaga

Menurut laporan, Gaga seringkali meminta tong oksigen ditempatkan di dalam bilik persalinannya, madu disimpan di kawasan belakang pentas, makanan yang dihidangkannya tidak berulang dan makanan berbeza disajikan setiap hari sepanjang seminggu.

Penyanyi itu berkata, baik oksigen mahupun madu perlu sentiasa disediakan ketika dia mengadakan persembahan konsert.

Gaga mengarahkan setiap penganjur menyajikan makan malamnya pada jam 5 petang.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan penganjur didakwa melanggar kontrak.

Mengenai jenis makanan, Gaga dikatakan memilih berbeku untuk malam Ahad, masakan Asia atau Mexico pada Selasa dan Rabu.

Pada Khamis pula, penyanyi itu mahukan masakan asli Amerika dan daging dikhususkan pada Jumaat.

Gaga memilih pasta dan ayam belanda panggang untuk Sabtu. Dia juga mengarahkan penganjur menyajikan minuman tanpa ais setengah jam sebelum membuat persembahan.

Untuk memuaskan kehendak hatinya, Gaga turut memengarahkan penganjur berhenti menyajikan ais sama sekali pada waktu itu. - Agensi

Penduduk serbu rumah gadis ghaib rakam gambar jin





2010/10/10

ORANG ramai mengambil gambar jin dan makhluk halus didakwa dimasukkan ke dalam tabung khas sebelum  dihanyutkan ke laut oleh bomoh, malam tadi.
ORANG ramai mengambil gambar jin dan makhluk halus didakwa dimasukkan ke dalam tabung khas sebelum dihanyutkan ke laut oleh bomoh, malam tadi.
JERTIH: Rumah gadis yang mengalami gangguan misteri yang menyebabkannya sering ghaib di Kampung Gong Nangka, Apal, dekat sini, diserbu ratusan penduduk selepas dua lelaki datang menawarkan diri merawat gadis itu mendakwa berjaya menangkap sembilan makhluk halus malam kelmarin. 

Dalam kaedah rawatan tradisional jam 7.30 malam itu, dua lelaki menggunakan kaedah masing-masing bagi merawat Siti Balqis Mohd Nor, 22, yang ghaib ‘dilarikan’ makhluk ketika senja dan dinihari, sejak dua bulan lalu.Dua lelaki itu yang menawarkan khidmat percuma selepas membaca kisah itu di akhbar sejak Selasa lalu, berpecah dua ketika sesi rawatan dengan seorang daripadanya berada di dalam rumah mengerjakan solat dan seorang lagi di luar rumah menggunakan jampi.
Kira-kira 15 minit selepas rawatan, seorang lelaki yang berada di luar rumah mendakwa melihat satu lembaga yang didakwanya dapat ditangkap. 

Dia mendakwa dapat menangkap sembilan jin atau makhluk halus yang menyebabkan beratus-ratus penduduk menyerbu rumah gadis itu. 

Selepas menangkap sembilan makhluk itu, bomoh itu memasukkannya ke dalam bekas khas bertutup bagi mengelak makhluk berkenaan terlepas. 

Orang ramai yang menyaksikannya tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar dan video, kebanyakannya menggunakan telefon bimbit untuk dijadikan kenangan dan bahan bukti kejayaan bomoh berkenaan. 
Usaha Berita Minggu mendapatkan komen dan mengambil gambar dua bomoh itu gagal kerana mereka tidak mahu menonjolkan diri sebaliknya memberitahu makhluk halus yang ditangkap, dihanyutkan ke laut. 

Siti Balqis pula mengakui kini berasa lebih tenteram kerana dalam tempoh 48 jam lalu, beliau sudah tidak lagi ghaib. 

“Saya harap usaha murni semua pihak yang menghulurkan bantuan akan membuahkan hasil dan membolehkan saya kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya. 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Ramlan Ali. 

Ibunya, Norizan Said, 47, berkata, sejak kisah anaknya disiarkan, 17 bomoh menawarkan diri merawat Siti Balqis secara percuma tetapi kejadian malam tadi adalah kemuncaknya apabila bomoh berkenaan dapat menangkap makhluk yang sebelum ini didakwa menjadi punca anaknya ghaib. 

Katanya, sejak kisah anaknya disiarkan media, keluarganya juga berasa lega kerana tidak perlu lagi menanggung perbelanjaan besar untuk mengupah bomoh sama ada berasaskan rawatan Islam atau kaedah tradisional kerana semuanya kini menawarkan khidmat merawat anaknya secara percuma. 

Pemburu tiga juta virus komputer





PENAMPILANNYA bersahaja tetapi luar biasa. Begitulah personaliti seorang konsultan virus komputer, Dr. Looi Hoong Thoong, 67, ketika ditemu bual di pejabatnya di Looi Software, Pulau Tikus, Pulau Pinang baru-baru ini.
Biarpun pertama kali bertemu, sikap peramahnya membuatkan perbualan kami tidak terhenti dan berjaya merungkai seribu satu cerita daripada anak jati Bukit Mertajam ini.
Siapa Hoong Thoong yang turut dikenali sebagai Uncle Looi ini?
Mendekati diri warga emas terbabit, beliau rupa-rupanya antara pencipta program antivirus terawal dunia, V-Buster.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Arkitektur ini berkata, kerjaya sebagai pereka program komputer memerlukan ketajaman fikiran dan ia lebih mencabar berbanding arkitek pembinaan.
Berbanding seorang arkitek, kata Looi, mereka hanya duduk di atas kerusi sambil memikirkan projek yang hendak dilaksanakan. Ia tidak melibatkan pengiraan dan kod bahasa seperti pereka perisian.
“Kerjaya kreatif ini bermula ketika usia saya sembilan tahun apabila saya berjaya mencipta sebuah alat pencetak gambar hitam putih bersaiz kecil.
“Tidak sangka dengan menggunakan peralatan sedia ada di rumah sahaja seperti kaca, transistor dan litar, saya berjaya menghasilkannya walaupun dalam bentuk tidak seberapa,” ujarnya yang mengaku tidak gemar menelaah bahan bacaan sejak zaman persekolahan.
“Inilah gaya hidup saya sejak di bangku sekolah sehinggalah melanjutkan pengajian ke Universiti Adelaide di Australia pada tahun 1962.
Langkah pertama
“Emak selalu memukul saya kerana malas membaca buku. Guru-guru di sekolah juga selalu memarahi saya kerana tidak memberi tumpuan di dalam kelas.
“Saya rasa tidak perlu membaca semua buku itu. Cukup dengan melihat formula mahupun tajuk-tajuk di dalamnya, saya sudah mengetahui kandungannya.
“Keputusan peperiksaan saya juga cemerlang,” jelas Looi yang menganggap ia kebolehan semula jadi beliau.
Bapa kepada tiga cahaya mata ini menjelaskan, minat dalam bidang elektronik bermula selepas beliau menyaksikan tayangan filem bersiri popular pada awal tahun 1960 iaitu The Man From U.N.C.L.E.
V-BUSTER yang sezaman dengan perisian antivirus lain seperti McAfee dan Dr. Solomon mempunyai 1.5 juta pengguna berdaftar di seluruh negara.


Setelah menonton, beliau berjaya mencipta pintu pagar kawalan radio di rumahnya yang masih berfungsi dengan baik sehingga kini.
“Rakan-rakan kata saya gila kerana sebelum ini saya tidak tahu langsung mengenai peralatan elektronik.
“Tetapi dengan membuat sedikit uji cuba, saya berjaya membuatnya berfungsi sehingga kini,” cerita beliau.
Bagaimanapun, pada era kemunculan mikro-komputer, Looi berjinak-jinak dengan dunia pengkomputeran pula.
“Pada awal tahun 1980-an, harga komputer terlalu mahal. Ketika itu saya tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk membeli sebuah komputer yang berharga RM5,000.
“Saya sedaya upaya mengunjungi kesemua kedai buku dan membelek majalah serta buku-buku yang ada kaitan dengan cara mencipta komputer,” katanya.
Beritahunya lagi, dengan memasang litar integrasi yang lengkap dengan beberapa peralatan seperti transistor dan diod pemancar, Looi sekali lagi berjaya menghasilkan sebuah unit pemprosesan sepusat (CPU) dengan rangka luarnya menggunakan kayu.
Bagaimanapun, katanya, beliau terpaksa membeli sebuah monitor terpakai yang sudah rosak daripada seorang rakan pada harga RM2,000 sebelum membaiki dan memasukkan perisian ringkas.
“Disebabkan kurang perisian, saya teruja untuk mencipta program sendiri.
“Saya cuba belajar membuat program pada mesin kod,” ujarnya.
Pada masa itu, beliau mula memahami cara untuk bermain dan menyalin maklumat.
Mengenai permulaan kerjaya sebagai pemburu virus, katanya, semuanya bermula selepas seorang rakan memberinya dua keping disket antivirus, Brain dan Denzuko.
Pengguna
“Sebaik balik ke rumah, saya terus membuat salinan disket itu. Malangnya, CPU komputer saya pula dijangkiti virus yang berpunca daripada disket itu.
“Sepanjang hari saya membelek komputer itu dan cuba membaikinya termasuk mencipta satu program antivirus ringkas menggunakan mesin kod ciptaan sendiri bagi menggantikan bahagian yang dijangkiti virus,” terangnya yang gemar bercucuk tanam.
V-BUSTER berupaya mengesan 750,000 virus komputer.


Walaupun telah berjaya menghasilkan perisian antivirus sendiri, Looi tidak menjualnya.
Beliau cuma membuat salinan perisian itu sebelum mengedarkan secara percuma kepada rakan-rakan.
Hanya tidak lama kemudian barulah beliau menjualnya pada harga RM4 di kedai IRM Komputer di Komtar, Pulau Pinang dengan jenama V-Buster.
Menjelang tahun 1991, V-Buster sudah pun dikenali di pasaran Australia, Amerika Syarikat dan Eropah.
Malangnya, orang ramai kurang mempercayai produk tempatan. Menurut Looi, pernah ada sebuah bank tempatan yang mahu menggunakan program beliau tetapi ditentang oleh pengarah bank berkenaan atas alasan status bank berkenaan akan jatuh kerana memakai program tempatan.
“Namun, syarikat multinasional dan korporat serta universiti asing menggunakan perisian saya.
“Ini kerana pada tahun 1990-an, program saya boleh mengesan lebih banyak virus berbanding perisian lain,” kata Looi.
Sekarang, V-Buster berupaya mengesan dan memusnahkan lebih 750,000 virus komputer dan Internet.
“Program saya laris seperti kek panas di Amerika Syarikat dan Eropah tetapi agak lemah di pasaran tempatan.
“Mungkin disebabkan orang kita begitu sukar mempercayai perisian keluaran tempatan,” keluhnya yang pernah menerima lebih 20 anugerah kecemerlangan sepanjang penglibatan dalam bidang tersebut.
Sehingga kini, terdapat 1.5 juta pengguna berdaftar yang menggunakan perisian antivirus tersebut di negara ini.
Sepanjang kerjayanya memerangi virus komputer, Looi sudah menemui lebih tiga juta virus.

Menderita dek sihir pelalau



MURUNG dan suka menyendiri berkemungkinan simptom terkena sihir.


WANITA berusia 44 tahun ini baru bertemu jodohnya dua tahun lalu. Bukan sengaja menolak jodoh atau ingin digelar andartu, namun guru yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur ini menjelaskan ada satu cerita pahit di sebalik kehidupannya.
“Setiap kali pulang ke kampung dan berkumpul dengan saudara-mara, soalan bila mahu kahwin pasti ditanyakan kepada saya.
“Saya memang tidak pernah berniat untuk menolak jodoh tetapi apakan daya, tidak ada seorang pun yang datang meminang saya, melainkan suami saya sekarang,” kata wanita yang mahu dikenali sebagai Jemilah ini.
Dengan usia yang semakin bertambah, naluri anak perempuan tunggal dalam lima beradik ini sudah lama terseksa. Semuanya dikatakan berpunca daripada sihir pelalau yang dititipkan kepadanya melalui rojak buah 22 tahun lalu.
Yang paling menyedihkan, sihir itu dihantar oleh rakan baiknya sendiri.
Murung
“Benda itu ada dalam diri saya sejak di bangku sekolah lagi. Pada mulanya saya fikir saya lemah semangat dan mudah tertekan, sebab itu saya pernah diserang histeria di sekolah beberapa kali.
“Rupa-rupanya saya ialah mangsa sihir. Saya sendiri tidak tahu tapi keluarga dan rakan-rakan rapat yang beritahu,” katanya.
Menurut Jemilah, semasa proses pengubatan, ustaz yang merawatnya mengatakan dia terkena sihir pelalau.
“Pada mulanya saya tidak tahu telah disihir, malah saya tidak percaya kerana seingat saya, saya tidak mempunyai musuh.
“Namun, selepas beberapa kali meracau dan menjadi pemurung, emak dan ayah tidak senang duduk dan mula mengikhtiarkan pelbagai cara untuk mengubati saya.
“Kebanyakan pengamal perubatan tradisional itu memberitahu saya disampuk benda ghaib, namun tidak dapat dipastikan apakah bendanya.
“Sejak itu, kehidupan saya berubah 180 darjah. Saya lebih suka menyendiri. Tidur malam saya tidak lena kerana rasa seperti ditindih dan sering bermimpi perkara yang mengerikan. Kulit saya mula rasa kering dan pedih.
“Mujur sihir itu tidak menjejaskan pelajaran saya. Kalau diingatkan semula, saya tidak tahu bagaimana saya boleh fokus dalam pelajaran sedangkan fikiran saya selalu runsing ketika itu,” kata graduan Universiti Jordan ini.
SIHIR pelalau dipercayai menyebabkan sesetengah wanita lambat mendapat jodoh. - Gambar hiasan


Mula terkena sihir pada tahun 1988 pada usia 22 tahun, jin yang dikatakan bersarang dalam tubuh Jemilah hanya keluar pada tahun 1999.
“Saya sudah puas berubat. Dengar saja ada orang yang pandai mengubat, saya pergi. Kadang-kadang sampai tak larat nak pergi berubat.
“Keadaan saya beransur pulih tetapi ‘benda ghaib’ itu masih ada dalam badan,” ceritanya.
“Sampailah pada tahun 1999, saya berubat dengan seorang ustaz di Rawang, Selangor. Alhamdulillah, berkat usaha dan doa yang tidak pernah putus, dia dapat membebaskan saya daripada sihir tersebut,” imbas Jemilah.
Ditanya bagaimana dia ini mendapat tahu dikenakan sihir pelalau, Jemilah yang berasal dari Klang, Selangor memberitahu, apabila berubat dengan ustaz terbabit, dia pernah meracau.
“Saya tidak sedar apa yang berlaku, tetapi rakan dan emak yang menemankan saya berubat menceritakan semula apa yang terjadi.
“Sebenarnya, selepas ‘dipaksa’ oleh ustaz itu, jin tersebut berterus terang. Siapa yang menghantarnya, melalui cara apa, mengapa dan apa tujuannya,” ujar Jemilah.
Dari situ baru Jemilah tahu segala-galanya.
“Jin yang memasuki badan saya dihantar oleh rakan baik saya. Namanya tidak perlulah saya sebutkan.
“Menurut mereka yang menyaksikan pengubatan itu, jin berkenaan mengaku dia mengacau saya kerana tiga sebab.
“Pertama kerana saya selalu cepat menjawab apabila cikgu bertanya soalan di dalam kelas.
“Kedua, kerana sifat saya yang periang dan disenangi oleh guru dan rakan. Ketiga, kerana saya aktif dalam persatuan dan sering mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan.
“Tujuan saya disihir supaya hubungan saya dingin dengan semua orang yang rapat dengan saya.
“Tidak hairanlah, ramai yang mengatakan muka saya seperti orang kebingungan, mudah marah dan cepat tersentuh,” jelas Jemilah yang baru dua tahun bergelar isteri kepada seorang anak murid ustaz yang mengubatinya dahulu.
Muntah darah
Ceritanya lagi, saat jin itu dikeluarkan, dia memuntahkan semula rojak buah yang dimakan 22 tahun lalu yang diberikan oleh rakannya itu.
ROJAK buah yang dimakan 22 tahun lalu dimuntahkan semula oleh Jemilah. - Gambar hiasan


Mendalami apa itu sihir pelalau, kata Jemilah, sihir jenis itu digunakan untuk menghalang seseorang terutama perempuan daripada dipinang atau dikahwini.
“Mereka yang terkena sihir pelalau dikatakan lambat menerima jodoh kerana apabila ada lelaki yang ingin berdampingan dengannya, mereka akan nampak muka pesakit pucat seperti mayat ataupun tidak berseri,” tambahnya yang bersyukur kerana keluarga memahami masalahnya dan tidak pernah memaksanya berkahwin.
Walaupun pada mata kasar Jemilah boleh dianggap sudah sembuh dan jauh daripada cengkaman pelalau, dia masih dapat merasakan ada benda lain yang menumpang di tubuhnya.
“Ada masanya saya dapat merasakan saya sedang bertarung dengan makhluk lain dalam diri saya. Saya berharap ia cuma ilusi kerana saya sudah tidak sanggup menanggung seksa disihir lagi.
“Bagi wanita di luar sana, jika anda seorang periang dan keletah anda sering menarik perhatian ramai, seeloknya dikurangkan. Takut ada yang busuk hati,” nasihatnya sebelum meminta diri petang itu.

Hiasan pagar istana dicuri




HANYA dua kuntum bunga hiasan (dalam bulatan) yang tinggal manakala yang lain dilarikan pencuri dari pagar belakang Istana Nur Nadhirah, Kuala Terengganu baru-baru ini.


KUALA TERENGGANU- Kira-kira 650 ukiran bunga hiasan tembaga pada pagar bahagian belakang Istana Nur Nadhirah, Jalan Kamarudin di sini hilang dipercayai dicuri baru-baru ini.
Kejadian itu hanya disedari kira-kira pukul 9 pagi Khamis lalu ketika pihak polis menjalankan pemeriksaan rutin di sekitar kawasan itu.
Istana itu menjadi tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin apabila Seri Paduka berangkat pulang ke bandar raya ini.
Ia berlaku sehari sebelum keberangkatan pulang Seri Paduka bagi menyaksikan upacara pelepasan peserta kejohanan sukan berkuda Sultan's Cup Endurance di negeri ini semalam.
Difahamkan, individu yang terlibat dalam kehilangan ukiran tersebut mungkin menyangka ia mengandungi emas kerana warnanya yang kekuningan atau mahu menjualnya kepada peniaga barangan lusuh.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan ketika ditemui mengesahkan kejadian itu namun beliau tidak mahu mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan.

Bandar di Hungary jadi kota hantu



LUMPUR toksik merah melitupi sebatang jalan di Devecser kelmarin.


AJKA – Bandar Kolontar di Hungary sunyi seperti sebuah bandar hantu selepas penduduknya dipindahkan semalam berikutan kebimbangan sebuah takungan yang menyimpan bahan buangan toksik berhampiran lokasi tersebut pecah untuk kali kedua.
Sekurang-kurangnya tujuh orang maut manakala lebih 120 yang lain cedera apabila dinding takungan sebuah loji aluminium pecah pada Isnin lepas.
Kejadian menyebabkan sejumlah 700,000 kubik meter lumpur toksik merah mengalir deras dan membanjiri beberapa buah bandar di barat Hungary.
Jurucakap perkhidmatan pengurusan bencana, Tibor Dobson berkata, pakar-pakar kini bimbang takungan berkenaan bocor sekali lagi.
Sebagai langkah berjaga-jaga, katanya, lebih 800 penduduk Kolontar dipindahkan dengan menaiki beberapa buah bas menjelang subuh semalam.
Menurutnya, selain Kolontar, sejumlah 5,300 penduduk bandar Devecser yang terletak berdekatan, turut diarah bersiap sedia untuk berpindah. – AP

Rujuk semula selepas 44 tahun berpisah


PADANG BESAR 9 Okt. - Ibarat kata pepatah 'Kalau sudah jodoh tidak ke mana' itulah yang terjadi kepada pasangan warga emas yang telah bercerai sejak 44 tahun lalu namun kembali bersatu sebagai suami isteri pada majlis akad nikah yang ringkas, semalam.
Pasangan itu, Man Mahmud, 75 dan Wan Kamaliah Wan Hussin, 74, diijab kabul semula sebagai suami isteri disaksikan anak, cucu-cucu dan cicit mereka di rumah Wan Kamaliah di Kampung Lubuk Machang, Batu Bertangkup, Chuping di sini pada pukul 2.45 petang semalam.
Pengantin lelaki yang berpakaian baju Melayu melafazkan dua kali lafaz akad nikah dengan mas kahwin RM12 dan sebentuk cincin serta hantaran belanja kahwin berjumlah RM1,000.
Menurut Wan Kamaliah, keputusan berkahwin semula dengan bekas suaminya itu dibuat dalam tempoh dua minggu setelah dicadangkan oleh anak-anak mereka.
"Tok Wan anggap semua ini sebagai takdir Allah kerana kami bertemu jodoh kembali dan berharap kami dapat menjalani sisa-sisa usia ini dengan tenang," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
Dia berkata, kali pertama diijab kabul dengan suaminya yang juga merupakan sepupunya adalah ketika dia berusia 13 tahun manakala suaminya berusia 14 tahun atas pilihan keluarga masing-masing.
Bagaimanapun, setelah 17 tahun mendirikan rumah tangga tanpa dikurniakan cahaya mata, kedua-duanya mengambil keputusan untuk berpisah secara baik.
"Walaupun telah bercerai kami masih bertegur sapa kerana duduk sekampung selain kami juga mempunyai talian persaudaraan," katanya.
Setelah bercerai, kedua-duanya mendirikan rumah tangga dengan pasangan lain tetapi Wan Kamaliah turut berpisah dengan suami baru manakala Man pula kematian isterinya namun dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia 42 tahun.
Selepas itu, Wan Kamaliah terus keseorangan selama 30 tahun manakala Man pula menjadi duda sejak 11 tahun lalu.
Dalam pada itu, menurut Man yang merupakan pesara Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), perkahwinan kali ini akan dapat mengubat kesunyiannya sejak kematian isteri.