Pages

Tuesday, March 20, 2012

Pelajar sekolah diculik




Nor Mala Mohd. Lazin bersama suaminya, Mahadi Muda dan anaknya, Siti Nurul Aishah menunjukkan Siti Nur Fatihah (gambar kecil) yang didakwa diculik di Kuantan, semalam.


KUANTAN 19 Mac - Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga dilaporkan diculik ketika keluar bersama dua adiknya untuk membeli kad nilai tambah prabayar di sebuah kedai telefon bimbit berhampiran rumahnya di Taman Tas di sini semalam.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, itu keluar dari rumahnya pukul 12 tengah hari bersama dua adiknya iaitu Siti Nurul Aishah dan Mohd. Shahmi Aiman yang masing-masing berusia 11 tahun.
Ibunya, Nor Mala Mohd. Lazin, 34, berkata, dia terkejut apabila mendapati kedua-dua anaknya itu pulang tergesa-gesa ke rumah sambil menangis.
"Saya bertanya punca mereka menangis dan terperanjat apabila diberitahu kakak mereka (Siti Nur Fatihah) dilarikan orang," katanya di sini hari ini.
Dia dimaklumkan oleh Siti Nurul Aishah, mangsa dilarikan menggunakan sebuah kereta berwarna gelap oleh tiga individu termasuk seorang wanita tidak dikenali.
Tambahnya, kejadian berlaku ketika mangsa yang bersama dua adiknya itu dalam perjalanan ke kedai.
"Tiba-tiba sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berhenti berhampiran mereka sebelum seorang lelaki yang duduk di belakang membuka pintu dan menarik Siti Nur Fatihah.
"Kedua-dua adiknya itu cuba membantu menarik kakak mereka namun gagal berbuat demikian," katanya.
Kata Nor Mala, ketika kejadian dia berada di dalam rumah dan memberi izin ketiga-tiga anaknya pergi ke kedai itu.
"Fatihah anak yang baik, dia juga tidak akan ke mana-mana tanpa saya dan keluarga. Saya betul-betul risau," katanya.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar mengesahkan pihaknya menerima laporan kes itu kira-kira pukul 4 petang semalam.
"Siasatan dijalankan sama ada mangsa mengenali suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menculik daripada penjaga yang sah," katanya.

Konflik di Syria semakin buruk

BEIRUT 19 Mac - Lebih 80 orang terbunuh dalam pertempuran sengit antara pemberontak Tentera Pembebasan Syria dengan askar rejim Presiden Bashar al-Assad di pinggir Damsyik, hari ini.
Seorang aktivis pemberontak di ibu negara Syria itu, Haytham al-Abdullah mendakwa, kira-kira 50 anggota tentera kerajaan termasuk seorang pegawai terbunuh dalam pertempuran.
Saksi di Damsyik melaporkan askar kerajaan dikerahkan secara besar-besaran di seluruh ibu negara itu.
Pertempuran itu dilaporkan mula meletus pada subuh hari ini di daerah Mazzeh, pinggir Damsyik, yang menempatkan banyak bangunan keselamatan dan dikawal ketat.
"Pertempuran itu adalah yang paling dahsyat dan paling dekat dengan bangunan-bangunan keselamatan di ibu negara sejak pemberontakan meletus setahun yang lalu," kata seorang aktivis Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman.
Bunyi letupan dan tembakan kuat dilaporkan kedengaran di Mazzeh serta dua daerah berhampiran, Qaboon dan Arbeen.
Seorang penduduk mendakwa mereka dikejutkan dengan bunyi tembakan mesingan berat dan bom tangan roket (RPG).
"Pertempuran berlarutan kira-kira 10 minit, kemudian reda sebelum tercetus semula," katanya.
Pertempuran itu berlaku selepas dua bom kereta menggegarkan dua kawasan kediaman di Damsyik kelmarin, menyebabkan 27 orang maut.
Dua orang terbunuh apabila satu lagi bom kereta meletup di kawasan kediaman Aleppo, bandar raya kedua terbesar di Syria, semalam. - dpa/AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'Gen tamak' punca gemuk

LONDON 19 Mac - Sedar atau tidak, rahsia untuk bertubuh langsing dan mengelakkan masalah berat badan berlebihan mungkin ada dalam gen manusia.
Ini kerana satu kajian saintis mendapati terdapat 'gen tamak' atau dikenali sebagai Bdnf dalam tubuh manusia yang boleh menyebabkan masalah obesiti berlaku.
Ketua penyelidik Pusat Perubatan Universiti Georgetown di Amerika Syarikat, Dr. Baoki Xu berkata, mutasi yang berlaku pada gen itu boleh menyebabkan komunikasi antara otak dan badan terganggu.
Ia sekali gus membuatkan individu tidak henti makan walaupun perut sudah kenyang dan meningkatkan berat badan dengan cepat.
Gen Bndf mempunyai versi 'pendek' dan 'panjang' yang menghantar isyarat kimia kepada otak untuk memberitahu perut sudah kenyang.
"Dalam versi panjang, mesej itu boleh disampaikan dengan baik kepada otak manakala versi pendek pula, isyarat kekenyangan mungkin tidak sampai sepenuhnya ekoran masalah yang dihadapi gen Bdnf.
"Jika terdapat masalah pada gen itu, sel saraf tidak boleh berkomunikasi sesama sendiri dan isyarat insulin serta leptin tidak berkesan, menyebabkan selera makan tidak berubah," katanya.
Xu berkata, kajian itu masih diteruskan untuk mengenal pasti sama ada komunikasi gen itu dapat diubah suai bagi mengelakkan masalah obesiti.
Katanya, penggunaan ubat-ubatan mungkin boleh mempengaruhi aktiviti Bdnf dan pihaknya percaya masalah gen itu mungkin merupakan kunci penting untuk mengurangkan masalah selera makan yang tidak henti-henti. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

Tubuh dipenuhi bulu

Tubuh dipenuhi bulu
BACHOK- Ibu mana yang tidak tersentuh bila melihat anak kandung yang dilahirkan tidak seperti kanak-kanak lain yang melalui hidup secara normal.
Namun, bagi bagi Asliza Omar,30,keganjilan tubuh anaknya, Nurul Afida Razi,3, yang berbulu diseluruhi badan tidak pernah membuatkan dia merasa rendah diri.
Menurut Asliza,bulu yang ada pada tubuh anak bongsu dari tiga adik-beradik wujud sejak dilahirkan dan menyebabkan dia mempunyai kad kanak-kanak kurang upaya(OKU).
“Sejak lahir lagi, bulu lebat di badan Nurul, namun dia tiada masalah kesihatan melainkan agak lambat bercakap.
“Saya telah merujuk Nurul Afida ke hospital dan setiap enam bulan dia akan dibawa untuk pemeriksaan. Ujian darah telah diambil dan menunggu keputusan daripada pihak hospital,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah di Kampung Changgong,semalam.
Asliza berkata, kali pertama sampel darah Nurul Afida diambil ketika berusia dua bulan, namun setelah dua tahun menunggu keputusan,pihak hospital memaklumkan sampel darah anaknya itu hilang.
Oleh itu katanya, dia membawa Nurul Afida kembali ke hospital terbabit pada 3 Julai 2011 dan temu janji terbarunya pada 9 April nanti.
Asliza berkata, dia sendiri tidak tahu bagaimana keadaan itu boleh berlaku terhadap Nurul Afida, namun tidak kekok untuk membawa anaknya itu ke mana-mana majlis.
Dua lagi adik beradik Nurul Afida, Mohd Zulkifli Hanif,8, dan Nurul Aimi,7 normal dan tidak mengalami kesihatan.
Menceritakan keadaannya, Asliza berkata, dia tidak pernah mengalami kejadian yang pelik semasa mengandungkan Nurul Afida, namun mengakui pernah melihat lembaga semasa berada di pantai.
“Sebulan sebelum saya hamil, beberapa minit sebelum Maghrib, saya bersiar-siar di pantai dan tiba-tiba terlihat satu lembaga seperti seekor kambing yang datang dari arah laut.
“Ia berwarna hitam dan berbulu, saya tidak terkejut atau menegur makhluk itu dan menganggap ia biasa sahaja. Beberapa minggu selepas itulah baru saya hamilkan Nurul Afida,” katanya.
Bagaimanapun, Asliza berkata, keadaan Nurul Afida tidak seteruk yang dihidapi beberapa kes sama yang berlaku di dunia, sehingga menjejaskan kehidupan seharian.
Menurutnya, bulu yang tumbuh pada badan Nurul Afida hanya kelihatan lebat, namun tidak menjejaskan saluran pernafasan atau penglihatannya.
Azliza berkata, dia dan suaminya, Razi Mohd Nor,37 yang bekerja sebagai nelayan reda dengan ketentuan tuhan dan mengharapkan anak itu kembali normal setelah mendapat rawatan dari pihak hospital.
Dalam pada itu, ketika dihubungi,Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu (HRPZ) akan memberi kenyataan berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Kejadian di dunia
Untuk rekod kanak-kanak perempuan di Thailand, Supatra Sasuphan,12, berbulu di seluruh badan dipercayai mengidap Sindrom Ambras itu sejenis penyakit akibat genetik kromosom. Mengikut rekod hanya 50 individu di dunia pernah mengidapnya.
Manakala,di Mumbai, India, tiga gadis Aavita,23, Monisha,18, dan Savitri,18, berdepan kemungkinan menjadi anak dara tua akibat pertumbuhan bulu tidak terkawal akibat penyakit Hypertrichosis Universalis.
Mengikut nisbah, penyakit itu dihidap seorang daripada satu bilion penduduk dunia.

Tiga askar terbunuh di selatan Yaman

SANAA: Lelaki bersenjata dilaporkan menembak mati tiga askar manakala seorang lagi cedera dalam serangan di pusat pemeriksaan di Wilayah Daleh, selatan Yaman, kata Kementerian Pertahanan, hari ini.

“Serangan bersenjata itu dilakukan terhadap anggota tentera yang sedang bertugas di pusat pemeriksaan berkenaan," kata kementerian itu dalam laman webnya.
Kementerian berkenaan berkata, siasatan sedang dijalankan dengan mengaitkannya ia serangan pengganas. - AFP

Dua lagi jeneral tentera Syria berpaling tadah

ANKARA: Dua lagi jeneral tentera Syria meninggalkan negara itu untuk menyokong pemberontak menyingkirkan Presiden Bashar al-Assad di Damsyik, kata diplomat Turki, semalam.
Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah pegawai kanan tentera Syria berpaling tadah kepada sembilan orang sejak revolusi rakyat tercetus tahun lalu.

Kebanyakan mereka meninggalkan Syria untuk mendapatkan perlindungan di Turki.
Sumber itu berkata, dua jeneral itu tiba di Turki Jumaat lalu.

Sementara itu, kira-kira 200 penduduk Syria melintasi sempadan ke Turki semalam, menjadikan jumlah semasa pelarian kepada 16,100 orang.

Pernah menjadi sekutu rapat Syria, Turki kini menjadi antara kerajaan paling lantang mengkritik gerakan rejim Bashar menekan kebangkitan rakyat. - AFP

myMetro | Dua lagi jeneral tentera Syria berpaling tadah:

Zionis punca masalah dunia

myMetro | Zionis punca masalah dunia:TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, berkata penjajahan Palestin adalah masalah sejarah dan kewujudan rejim Zionis menjadi penghinaan terhadap kebebasan, keadilan serta semua negara merdeka.
“Eropah dan Amerika Syarikat membelanjakan berpuluh-puluh bilion dolar kekayaan mereka untuk Zionis setiap tahun bagi membantu rejim penjenayah itu terus menjajah Palestin,” katanya ketika berucap kepada konvoi aktivis pro-Palestin yang dalam perjalanan ke Baitulmaqdis, semalam.

Mahmoud juga mengecam Barat kerana tidak mempersoalkan kewujudan Israel.
Kata Mahmoud, di sebalik dakwaan sikap liberal Barat, tiada mana-mana negara dibenarkan bertanya atau melakukan penyelidikan mengenai bagaimana rejim Zionis diwujudkan.

“Isu Palestin bukan perbalahan peribadi atau konflik di antara pengikut mana-mana nabi, tetapi pertikaian mengenai dominasi dan pengurusan dunia,” katanya.

Mahmoud berkata, Zionis melaga-lagakan dunia dan mencipta ketegangan antara kerajaan serta rakyatnya, selain mengepalai keganasan antarabangsa.
“Penjajahan ini untuk mengukuhkan rejim Zionis di Palestin sebagai pusat penting di Timur Tengah yang juga pusat sumber tenaga semula jadi dunia,” katanya.

Konvoi pro-Palestin itu tiba di Teheran kelmarin dan mereka bercadang meneruskan perjalanan ke Baitulmaqdis untuk menyertai ribuan aktivis kemanusiaan dari seluruh dunia berkumpul bagi memperingati ulang tahun ke-36 Hari Tanah Palestin pada 30 Mac ini.
Banyak konvoi memulakan perjalanan dari beberapa lokasi berbeza di seluruh dunia dan bergerak menuju negara jiran Palestin, seperti Jordan, Mesir, Syria dan Lubnan dalam usaha menghampiri Baitulmaqdis Timur. - Press TV

'via Blog this'

Wanita hasrat jadi paling gemuk di dunia bakal kahwin tukang masak


Clack Parker


ARIZONA: Seorang wanita yang cuba menjadi paling gemuk di dunia akan berkahwin dengan seorang tukang masak.
Susanne Eman berkata, hubungannya dengan Parker Clack, 35, memang “sempurna”.

Susanne berkata: “Kami sudah dijodohkan sejak azali. Saya suka makan dan Clack pula suka memasak.
“Dia boleh membantu saya mencapai impian dengan memberi saya makan,” katanya.

Ibu kepada dua anak, Susanne, 33, mempunyai berat 342 kilogram tetapi berharap untuk mencapai lebih daripada 730 kilogram untuk muncul sebagai wanita paling berat.

Susanne berkata mengenai tunangnya: “Masakannya adalah sebahagian tarikan. Mana mungjin saya tolak seorang lelaki yang mempunyai kepakaran di dapur? “Spaghetti bolognese masakannya kegemaran saya. Saya boleh makannya sepanjang hari.
Clack yang tinggal di Casa Grande, Arizona, menggelar dirinya “Peminat Si Gemuk” Clack berkata: “Saya menyokong Susanne, ia membuatkan dia gembira dan saya sukakan wanita gemuk.

“Bagaimanapun, saya bimbang dengan kesihatannya tetapi makan membuatkan dia tersenyum,” katanya. - TS

myMetro | Wanita hasrat jadi paling gemuk di dunia bakal kahwin tukang masak:

Dua jururawat dituduh bunuh pesakit kerana simpati

myMetro | Dua jururawat dituduh bunuh pesakit kerana simpati:MONTEVIDEO (Uruguay): Pendakwa raya di negara ini memfailkan dakwaan membunuh terhadap dua jururawat kerana melakukan sekurang-kurangnya 16 pembunuhan kerana simpati.
Jururawat lelaki terbabit yang berusia 39 dan 46 tahun, masing-masing didakwa membunuh pesakit di Pusat Rawatan Rapi Neurologi swasta dan unit rawatan rapi hospital kerajaan. Teman wanita seorang daripada suspek dituduh menyembunyikan maklumat berhubung kait dengan kes itu.

Hakim Rolando Vomero yang bertanggungjawab dalam siasatan kes itu tidak memberitahu dengan jelas berapa banyak kematian yang disiasat. Namun, dia berkata, seorang daripada suspek mengakui membunuh 11 pesakit dan seorang lagi lima pesakit. Menurutnya, tertuduh menggunakan pelbagai kaedah untuk mengakhiri nyawa pesakit. “Dalam satu kes, suspek menyuntik morfin ke dalam saluran darah manakala dalam satu lagi kes, mereka mengepam udara ke dalam saluran darah yang mengakibatkan kematian dalam tempoh beberapa minit,” katanya. - AFP

'via Blog this'

Si Manja seperti makhluk asing


WAJAH menakutkan kucing Don Sphynx dengan empat taring dan telinga runcing seperti tanduk.
WAJAH menakutkan kucing Don Sphynx dengan empat taring dan telinga runcing  seperti  tanduk. 


BISHKEK (Kyrgyzstan): Dengan wajah seperti ini anda mungkin ingin bersembunyi di dalam rumah saja.
Rupa kucing Don Sphynx yang kelihatan seperti makhluk asing ET ataupun Gremlin menarik perhatian ratusan pengunjung dalam pameran kucing. Kucing dengan wajah menakutkan dalam foto ini yang seolah-olah mengalami hari malang dipamerkan di Bishkek, Kyrgyzstan hujung minggu lalu. Kira-kira 100 haiwan dari Kazakhstan dan Kyrgyzstan mengambil bahagian dalam acara itu, memberikan peluang kepada pamiliknya untuk mempamerkan haiwan peliharaan mereka yang cantik mahupun pelik.

Anak kucing ini menarik perhatian dengan giginya yang berbentuk seperti empat taring dan lidah merah menyala. Dengan berkulit hitam berkedut ia menunjukkan matanya yang hijau kehitaman serta telinga runcing seperti tanduk. Kucing kacukan ini disifatkan sebagai manja, suka berkawan dan bermain, selain cerdik.
Kucing Don Sphynx tanpa bulu berasal dari Russia. Pembiakan pertama bermula pada 1987 di bandar raya Rostov-on-Don di Russia.

Profesor di Institut Pedagogi Negeri, Elena Kovaleva menemui beberapa kanak-kanak lelaki bermain bola sepak dengan sebuah beg. Di dalam beg itu ada seekor kucing yang ketakutan dibawanya pulang dan dipelihara, tetapi ia membesar kehilangan banyak bulu dan kemudian melahirkan anak kucing tanpa bulu. - DM
myMetro | Si Manja seperti makhluk asing:

Cedera diserang Rottweiler


CEDERA...ibu mangsa, Radziah Mohd Adas menunjukkan kesan gigitan Rottweiler (gambar kecil) di belakang  Dhiya.
CEDERA...ibu mangsa, Radziah Mohd Adas menunjukkan kesan gigitan Rottweiler (gambar kecil) di belakang Dhiya. 


BUKIT MERTAJAM: “Sambil menahan sakit, saya tidak tahu bagaimana hendak melawan anjing itu,” kata Dhiya Qairina Muhammad Nur Akmal, 7, yang cedera diserang anjing jantan ketika menunggang basikal berhampiran rumahnya di Bandar Perda, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, mangsa menunggang basikal untuk ke rumah rakannya tanpa menyedari seekor anjing hampir dua kali ganda saiz badannya memerhatikannya.
Anjing berkenaan yang dipercayai Rottweiler tiba-tiba menerkam dan menggigit belakang mangsa menyebabkan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Perda itu menjerit kesakitan.

“Saya berasa sakit sangat di belakang namun tidak mampu berbuat apa-apa kecuali menjerit kerana anjing itu sangat besar,” katanya ketika ditemui di Hospital KPJ, di sini, semalam.

Kebetulan jeritan mangsa didengari bapanya, Muhammad Nur Akmal Abdul Latif, 47, yang sedang membaiki kereta sebelum bergegas untuk melihat apa yang berlaku.

myMetro | Cedera diserang Rottweiler:

‘Lelaki tarik kakak’


SEDIH...Nor Mala menangis ketika menceritakan kejadian Siti Nur Fatihah diculik. Gambar kecil, Siti Nur Fatihah, diculik.
SEDIH...Nor Mala menangis ketika menceritakan kejadian Siti Nur Fatihah diculik. Gambar kecil, Siti Nur Fatihah, diculik. 



KUANTAN: ‘Baby...tolong kakak,’ jerit seorang remaja perempuan berusia 15 tahun sebelum dipercayai diculik tiga individu termasuk seorang wanita ketika dalam perjalanan pulang selepas membeli kad prabayar bersama dua adiknya kira-kira 100 meter dari rumahnya di Taman Tas, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, Siti Nur Fatihah Mahadi, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan di sini, diseret ke dalam sebuah kereta Honda berwarna ungu gelap yang berhenti di depan kedai berkenaan sebelum memecut meninggalkan kawasan itu.
Ketika kejadian, Siti Nur Fatihah bersama dua adiknya, Muhammad Syahmi Aiman dan Siti Nurul Aisyah, 11, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka.

Menceritakan kejadian itu, Nurul Aisyah berkata, tiba-tiba kereta dipandu seorang wanita berhenti di depan mereka sebelum seorang lelaki yang duduk di belakang keluar dan menarik kakaknya masuk ke dalam kenderaan itu.

“Kakak menjerit kepada Muhammad Syahmi ‘Baby..tolong kakak’ sebelum dia dan saya cuba menyelamatkan kakak dengan menarik tangannya sekuat hati,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

myMetro | ‘Lelaki tarik kakak’:

Pelacur remaja Bangladesh guna steroid

Kosmo! Online - Dunia

HASHI (kanan) menunggu pelanggan di depan sebuah rumah pelacuran di kawasan setinggan Kandapara, Tangail pada 5 Mac lalu.


DHAKA - Terdapat kira-kira 900 remaja perempuan dengan sebahagian daripada mereka berusia seawal 12 tahun hidup sebagai pelacur di kawasan setinggan di Tangail.
Dikenali sebagai setinggan Kandapara, kawasan 'panas' itu menjadi tumpuan lelaki untuk mendapatkan khidmat seks terutamanya pada waktu petang.
Pelacur-pelacur remaja itu yang menawarkan perkhidmatan dengan bayaran serendah AS$0.60 (RM1.80) dipaksa mengambil dadah steroid agar mereka kelihatan lebih dewasa.
"Saya lebih berisi setelah mengambil 'ubat' ini (steroid) dan dapat melayan sehingga 15 pelanggan sehari," kata seorang pelacur berusia 17 tahun yang mahu dikenali sebagai Hashi.
Menurutnya, kebanyakan pelacur remaja di sini diumpan sindiket pelacuran yang kemudian menjual mereka kepada ibu ayam.
Dia memperoleh pendapatan kira-kira AS$9.75 (RM29.80) hingga AS$12.19 (RM37.26) sehari dengan jumlah pelanggan antara 15 hingga 20 pelanggan.
Seorang lagi pelacur yang hanya mahu dikenali sebagai Maya, 17, memperoleh pendapatan antara AS$3.66 (RM11.18) hingga AS$6.11 (RM18.67) sehari apabila dia melayan seramai 15 hingga 20 lelaki.
Pendapatan pelacur tersebut menjadi hak ibu ayam yang mengeluarkan wang bagi membeli mereka.
Beberapa pelacur yang sudah berusia atau tidak lagi kelihatan cantik memilih untuk tinggal di Kandapara kerana bimbang akan dipulau jika mereka kembali ke pangkuan masyarakat. - Reuters

'via Blog this'

Ahli perniagaan buat eksperimen najis panda


AN YANSHI yang memakai kostum kepala beruang panda menolak najis haiwan itu dari sebuah lori di ladang teh miliknya di Ya'an pada Sabtu lalu.



YA'AN - Seorang ahli perniagaan, An Yanshi menggunakan najis beruang panda sebagai baja untuk ladang teh miliknya di sini.
Dia menjadikan baja itu sebagai bahan eksperimen untuk membesarkan pokok teh hijaunya.
Ahli perniagaan itu juga akan menjual satu cawan teh hijau yang dibaja dengan najis tersebut pada harga AS$200 (RM611.43).
Yanshi memperoleh bekalan najis tersebut dari sebuah pusat pembiakan haiwan itu yang terletak berhampiran ladangnya. - Reuters

Kosmo! Online - Dunia:

Orkestra buat persembahan unik

Kosmo! Online - Dunia:


AFP - SERAMAI 11 anggota Orkestra Simfoni Sydney membuat persembahan di atas sebuah palang Jambatan Pelabuhan Sydney di Sydney semalam.


SYDNEY - Sekumpulan anggota Orkestra Simfoni Sydney mengadakan konsert eksklusif sempena ulang tahun ke-80 pembinaan Jambatan Pelabuhan Sydney di sini semalam.
Digelar 'penyangkut baju' dalam kalangan penduduk tempatan, jambatan itu yang menghubungkan bahagian selatan dan utara Pelabuhan Sydney dibuka secara rasmi kepada lalu lintas pada 19 Mac 1932.
Projek membina struktur sepanjang 1,149 meter (m) itu mengambil masa lapan tahun dan turut meragut nyawa 16 pekerja.
Bagi meraikan ulang tahun ke-80 jambatan tersebut, 11 anggota orkestra itu yang turut memasuki usia 80 tahun pada tahun ini membuat persembahan di atas sebuah palang jambatan setinggi 134m itu.
"Mereka menyampaikan dua buah lagu termasuk lagu tema filem Chariots of Fire," kata seorang jurucakap orkestra berkenaan.
Menurut pihak penganjur, kumpulan penonton itu terdiri daripada tujuh 'wira jambatan' yang mempunyai hubungan istimewa dengan struktur tersebut.
Sebahagian mereka terdiri daripada keturunan jurutera jambatan tersebut, J.J.C Bradfield, anak saudara seorang lelaki yang memasang paku rivet pertama pada jambatan tersebut dan seorang wanita, Joan McDonald.
McDonald memiliki sijil kelahiran yang menyatakan dia dilahirkan di dalam sebuah ambulans di jambatan berkenaan.
Struktur berkenaan merupakan antara mercu tanda yang paling kerap diabadikan dalam gambar di bandar raya ini.
- AFP

'via Blog this'

Isteri tinggalkan suami diberi hadiah RM30,572

Kosmo! Online - Dunia:



AFP - ANITA NARRE memegang replika cek RM30,572 di New Delhi semalam.


NEW DELHI, India - Seorang wanita, Anita Narre menerima sekeping cek bernilai AS$10,000 (RM30,572) kerana keberaniannya meninggalkan suaminya selepas mendapati rumah keluarga lelaki itu tiada kemudahan tandas.
Cek tersebut merupakan sumbangan sebuah pertubuhan amal antarabangsa itu disampaikan oleh Menteri Kesatuan Untuk Pembangunan Luar Bandar, Panchayati Raj Jairam Ramesh pada satu majlis di sini semalam.
Anita meninggalkan rumah mertuanya selepas beberapa hari dia mendirikan rumah tangga di sebuah kampung di wilayah Madhya Pradesh.
Dia mengahwini suaminya, Shivram Narre pada 13 Mei 2011
Anita, 23, meninggalkan suaminya kerana dia enggan membuang air besar di tempat terbuka seperti yang biasa dilakukan oleh penduduk di kawasan pedalaman India.
Dia hanya pulang ke pangkuan suaminya selepas keluarga mertuanya membina sebuah tandas di rumah mereka.
Tindakannya itu telah mendorong kaum wanita di kampung berkenaan mendesak suami mereka supaya menyediakan kemudahan tandas di rumah masing-masing. - Agensi

'via Blog this'

Empat mati ditembak di depan sekolah Yahudi

Kosmo! Online - Dunia:


AFP - BEBERAPA anggota polis memeriksa kawasan sekitar sebuah sekolah Yahudi yang menjadi lokasi empat orang maut ditembak di Toulouse semalam.


TOULOUSE, Perancis - Seorang lelaki bermotosikal melepaskan tembakan semalam di depan sebuah sekolah Yahudi di bandar ini.
Menurut pejabat pendakwa raya, dalam kejadian itu, seorang rabai Yahudi, dua anak lelakinya dan seorang lagi kanak-kanak mati.
Ia merupakan kejadian tembakan ketiga yang melibatkan serangan bermotosikal di negara ini dalam tempoh seminggu.
Pihak pendakwa raya kini mencari bukti sama ada kejadian tersebut mempunyai kaitan dengan pihak pengganas.
Namun, motif serangan itu setakat ini masih belum diketahui.
Sebelum ini, dua serangan maut berlaku di Toulouse yang menyebabkan tiga anggota tentera Perancis terbunuh manakala seorang lagi cedera.
Menurut laporan media, anggota tentera itu berketurunan Arab.
Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy melawat sekolah itu dan mengarahkan kawalan keselamatan dipertingkatkan di bangunan milik Muslim dan Yahudi.
Beberapa saksi menyatakan lelaki yang melepaskan tembakan itu merupakan pekerja di sekolah berkenaan.
Perancis mempunyai paling ramai penduduk Yahudi di barat Eropah iaitu seramai 500,000 orang.
Negara ini turut mempunyai lima juta pendu-duk Muslim yang dianggap terbesar di barat Eropah. - Agensi

'via Blog this'