Pages

Friday, August 31, 2012

Gempa bumi 7.9 skala Richter gegar Filipina



MANILA 31 Ogos - Satu gempa bumi kuat berukuran 7.9 skala Richter menggegarkan Filipina hari ini, menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan kepada beberapa negara.
Menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa tersebut berlaku pada pukul 8.47 malam waktu Malaysia dan berpusat di perairan timur negara ini, kira-kira 146 kilometer ke pekan Guiuan di wilayah Samar pada kedalaman 32 kilometer.
Amaran tsunami dikeluarkan kepada Indonesia, Taiwan, Jepun, Papua New Guinea dan Haiwaii. - REUTERS/AFP

Campur tangan perlu di Syria



Seorang anggota pemberontak Syria berehat di atas katil bersama senjata-senjata di sebuah rumah di daerah Saif al-Dawla, Aleppo, kelmarin. - Reuters
DUBAI 30 Ogos - Presiden Mesir, Mohammed Mursi berkata, pertumpahan darah di Syria hanya akan tamat jika ada 'campur tangan berkesan' dari pihak luar.
Mursi ketika berucap di majlis pembukaan persidangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Teheran, turut menggesa peralihan kuasa Syria kepada sistem demokrasi dan menyifatkan Damsyik sebagai kerajaan yang mengamalkan penindasan.
"Pertumpahan darah di Syria adalah tanggungjawab kita bersama dan kita semua perlu tahu bahawa ia tidak akan tamat tanpa campur tangan kita,'' katanya.
Saluran televisyen al-Jazeera melaporkan, delegasi Syria bertindak keluar dari persidangan itu ketika Mursi berucap.
Mursi berkata, perpaduan dengan rakyat Syria dalam 'menentang kerajaan yang hilang kesahihannya adalah satu tanggungjawab beretika' dan keperluan strategik.
"Kita semua perlu mengumumkan kesepakatan dengan mereka yang berusaha mencari kebebasan dan keadilan di Syria dan menterjemahkan simpati kita dengan visi politik jelas yang menyokong pemindahan kuasa kepada sistem pemerintahan demokrasi, menggambarkan kehendak rakyat Syria yang mahukan kebebasan,'' katanya.
Beliau turut melahirkan kesediaan Kaherah untuk membantu semua pihak menghentikan pertumpahan darah.
Mursi dalam pada itu turut memuji gelombang kebangkitan rakyat dikenali sebagai Arab Spring yang membolehkannya menjadi pemimpin tertinggi Mesir dan kini 'menyentuh' Syria.
Kehadiran Mursi ke persidangan NAM di Teheran turut menggambarkan hubungan yang semakin baik di antara Mesir dengan Iran, yang tegang sejak Revolusi Islam 1979.
Mursi adalah Presiden Mesir pertama ke Iran sejak revolusi tersebut. - REUTERS/AGENSI

Gempa bumi 6.6 skala Richter landa Laut Greenland



STOCKHOLM 31 Ogos - Satu gempa bumi dengan kekuatan 6.6 pada skala Richter menggegarkan Laut Greenland, semalam.
Pusat Geologi Amerika Syarikat melaporkan, kejadian tersebut berlaku kira-kira 93 kilometer di pulau Jan Mayen, barat laut Norway, dengan kedalaman 8.5 kilometer di bawah bumi.
Tiada kematian atau kerosakan dilaporkan dalam kejadian gempa tersebut. - DPA

Harga makanan dunia naik 10 peratus



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Ogos 2012
Harga makanan dunia naik 10 peratus
Harga makanan gandum dan jagung mengalami kenaikan manakala beras pula menurun. – Foto ihsan
WASHINGTON - Harga makanan dunia mengalami peningkatan 10 peratus bulan lalu, antara lain disebabkan oleh musim kemarau di Amerika Syarikat dan Eropah barat, demikian menurut Bank Dunia.

Sehubungan itu Bank Dunia menggesa kerajaan di seluruh dunia meningkatkan program bagi melindungi kebajikan rakyat masing-masing.

Dari Jun hingga Julai tahun ini, harga gandum dan jagung mengalami kenaikan 25 peratus, kacang soya 17 peratus dan hanya harga beras menurun empat peratus, kata Bank Dunia semalam.

Indeks Harga Makanan dikeluarkan Bank Dunia menunjukkan bahawa secara keseluruhan mengalami peningkatan enam peratus berbanding Julai tahun lalu dan satu peratus berbanding paras paling tinggi pada Februari 2011.

Amaran Israel buat pendatang




31 Ogos 2012
 Amaran Israel buat pendatang
Eli Yishai
TEL AVIV - Israel mengeluarkan amaran bakal  mengumpul ribuan pendatang Sudan yang tidak sah, kemudian menyumbat mereka ke dalam pusat tahanan jika, mereka gagal meninggalkan negara rejim secara sukarela.

Menurut Menteri Dalam Negeri Israel, Eli Yishai tindakan penahanan akan bermula pada pertengahan Oktober depan.

Israel berhadapan dengan kebanjiran lebih 60,000 pendatang Afrika yang berhijrah ke negaranya termasuk 15,000 pendatang daripada Sudan dengan alasan mencari kehidupan lebih sempurna selain terus menetap di negara tersebut.

Yishai berkata, kerajaannya gagal mengeluarkan pendatang itu dari tanah air mereka kerana telah menandatangani satu perjanjian pelarian antarabangsa yang melarang negara terlibat memaksa pendatang pulang ke negara asal.

16 pelarian Rohingya miliki pasport palsu




31 Ogos 2012
16 pelarian Rohingya miliki pasport palsu
Pelarian yang ditahan polis dihantar ke Balai Polis Lapangan Terbang untuk di soal siasat.
DHAKA - Pasukan keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Shahjalal, kelmarin menahan seramai 16 pelarian Rohingya yang dilaporkan cuba menaiki pesawat menggunakan pasport palsu Bangladesh termasuk suspek yang disyaki mendalangi jenayah tersebut.

Pegawai polis Atiqur Rahman berkata, jumlah trend pelarian Rohingya ke luar dari negara menggunakan pasport palsu semakin meningkat.

"Mereka tidak layak memegang pas perjalanan Bangladesh kerana berstatus pelarian," katanya.

Setakat ini, kira-kira 30,000 pelarian Rohingya didaftarkan mendiami dua kem pelarian di Teknaf dan kira-kira 500 ribu menjalani kehidupan di Bazar Cox selain beberapa kawasan di Chittaegong tanpa memiliki sebarang dokumen yang sah.

Malah, kira-kira 800,000 orang Islam Rohingya berada di kawasan Rakhine iaitu wilayah barat Myanmar sebagai tempat tinggal mereka.

Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Rohingya adalah kumpulan minoriti yang teraniaya di dunia yang mana, sebahagian daripada mereka terpaksa melarikan diri ke kem pelarian Bangladesh selepas diancam serangan bunuh etnik Rakhine, Myanmar.

Presiden Syria tolak idea zon penampan




30 Ogos 2012
Presiden Bashar al-Assad
Presiden Syria, Bashar al-Assad
BEIRUT - Presiden Syria, Bashar Al-Assad menolak bulat-bulat idea zon penampan untuk pelarian sebelum memasuki mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Idea zon penampan pada asalnya diusulkan Turki terhadap Syria bagi mengelak berlakunya kebanjiran pelarian negara bergolak itu memasuki sempadan negara-negara jiran.

"Idea berkenaan sebenarnya tiada di dalam senarai perbincangan dan keduanya ianya adalah satu idea tidak realistik oleh negara-negara yang bermusuhan dengan Syria," kata beliau dalam satu temu bual dengan rangkaian televisyen prorejim Addounia TV.

Beliau berkata, selepas berlakunya beberapa pertempuran besar di ibu negara termasuk serangan bom kereta yang mengucar-ngacirkan sebuah majlis pengebumian di bandar Jaramana, beliau akui memerlukan masa yang banyak jika mahu memenangi peperangan Syria.

"Saya masih belum dapat menyimpulkan semua itu dalam satu ayat yang mana sekarang ini kami sedang dalam perlaksanaan, keadaan di lokasi lebih baik tetapi kami belum berjaya dan perlukan masa yang lebih," katanya.

Sejak beberapa bulan yang lalu, tentera Syria dilihat tidak dapat mengawal serangan pelbagai arah oleh pemberontak yang menentang Bashar.

Kuasa ketenteraannya diakui tidak dapat menghapuskan pemberontakan yang kini merebak ke ibu negara, Damsyik dengan pertempuran terbesar dan menular ke bandar terbesar Syria, Aleppo.

Setakat ini, lebih daripada 200,000 penduduk Syria dilaporkan lari meninggalkan negara mereka sejak tercetusnya pemberontakan terhadap kepimpinan Bashar Assad tahun lalu.

2,600 pelajar asing dilema, lesen London Metropolitan University batal




31 Ogos 2012
London Metropolitan University
Pelajar-pelajar asing di London Metropolitan University berhadapan dilema.
LONDON - Sekitar 2,600 penuntut London Metropolitan University berhadapan dengan risiko dihantar balik ke negara masing-masing ekoran tindakan pihak berkuasa Britain membatalkan lesen mengajar dan mengambil penuntut dari negara-negara luar Kesatuan Eropah (EU), termasuk dari Malaysia.
Bagaimanapun tidak pasti jumlah pelajar Malaysia yang terlibat dan berhadapan dengan kesan tindakan tersebut.
UK Border Agency (UKBA) memberitahu bahawa kehadiran pelajar di London Metropolitan University tidak dipantau dan kebanyakan tiada hak untuk berada di pusat pengajian tinggi berkenaan, lapos BBC.
Sehubungan itu, universiti berkenaan tidak akan dibenar mendapatkan visa bagi pelajarnya.
Pengurusan pusat pengajian tinggi mahu mencabar tindakan UKBA.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Pelajar (NUS)  Liam Burns berkata: "Keputusan berat ini tidak masuk munasabah bagi pelajar, tidak munasabah buat institusi dan tidak masuk akal bagi negara."
Data Majlis Bagi Pelajar Antarabangsa UK menunjukkan antara negara bukan EU yang menghantar pelajar masing-masing ke  negara Eropah itu ialah China, India, Nigeria, Amerika Syarikat, Malaysia, Hong Kong, Arab Saudi, Pakistan, Thailand dan Kanada.
Menteri Imigresen, Damian Green berkata, universiti itu telah "kehilangan status diamanahkan" memandangkan satu kajian menunjukkan satu per empat penuntut luar negara tidak ada kebenaran untuk berada di UK.
"Kebanyakan penuntut tiada penguasaan standard bahasa Inggeris yang baik," kata Green.
Selain itu katanya, tiada bukti menunjukkan separuh daripada mereka hadir kuliah.
"Pelanggaran itu adalah sesuatu yang serius," kata beliau lagi.
Pelajar-pelajar itu mempunyai tempoh 60 hari untuk mencari penaja baru dan jika tidak akan dihantar pulang.
Green berkata, universiti itu telah dilarang mengambil pelajar sejak bulan lalu.
Laporan portal Times Higher Education memetik Menteri Universiti dan Sains UK, David Willetts berkata, sebuah pasukan petugas khas, yang diketuai oleh Majlis Pembiayaan Pendidikan Tinggi bagi England dan UUK - untuk membant penyeliaan pelajar-pelajar yang terejas dengan keputusan ini, yang pertama kali diambil.
"Adalah penting pelajar-pelajar tulen dibantu," katanya lagi.
Keputusan untuk membatalkan lesen universiti itu diputuskan ekoran laporan audit oleh UKBA.

Tragedi bas ekspres



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Ogos 2012
 Tragedi bas ekspres
Rempuhan bas menyebabkan pelajar politeknik yang sedang bersarapan bertempiaran lari.
Tragedi bas ekspres
Keadaan bas remuk di bahagian hadapan selepas melanggar belakang sebuah lori treler sehingga meragut seorang nyawa di KM 362.7, arah Utara, Lebuhraya Utara Selatan, di sini.
DI sebalik penurunan kadar kemalangan yang dicatatkan dalam Op Selamat yang berakhir Ahad lalu, kejadian kemalangan terutama membabitkan kenderaan berat masih berlaku.

Terbaru, dalam kemalangan berasingan, dua bas terbabit dalam kemalangan.

Kes 1 : Maut selepas bas rempuh treler

DI SLIM RIVER, kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres dan sebuah treler membawa muatan besi di Kilometer 362.7 Lebuhraya Utara Selatan, kelmarin, mengakibatkan pemandu bas, Husain Jaafar, 29 maut, empat penumpang bas parah dan lapan lagi cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superitenden Othman Nanyan memaklumkan, kejadian berlaku pada kira-kira jam 10.45 malam dan ketika itu, bas ekspres dipandu mangsa yang membawa 18 penumpang sedang dalam perjalanan dari Klang menuju Butterworth.

Menurut beliau, setibanya di tempat kejadian, bas berkenaan dipercayai telah merempuh bahagian belakang lori treler dari arah sama yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun menyebabkan kedua-dua kenderaan tertunda sejauh 100 meter ke hadapan.

"Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu bas ekspres berkenaan dan maut serta merta akibat kecederaan dalaman. Mayatnya telah dikeluarkan oleh lima anggota Bomba dan Penyelamat Slim River.

"Penumpang bas yang parah dan cedera ringan dikejarkan ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, adik kembar mangsa, Hassan Jaafar, 29 berkata, dia merasa tidak sedap hati secara tiba-tiba pada malam kejadian, bagaikan ada sesuatu akan terjadi sehingga sukar melelapkan mata.

Menurutnya, dia baru cuba melelapkan mata kira-kira jam 12 tengah malam apabila mendapat panggilan dari adik beradik lain memaklumkan Husain meninggal dunia akibat kemalangan.

"Panggilan itu memang mengejutkan saya. Kali terakhir saya berjumpa Husain adalah pada Rabu lalu di rumahnya, di Kampung Dato' Manan, Tiak, Baling, Kedah.

"Arwah sempat minum air dan menyerahkan sejumlah wang kepada kami untuk membaiki keretanya tetapi tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara ketika itu, selain lebih banyak mendiamkan diri," katanya ketika ditemui di luar Unit Forensik Hospital Slim River, semalam.

Katanya, Husain bekerja sebagai pemandu bas di kem latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Sungai Limau, Kedah secara kontrak dan sedang bercuti, sebelum menyambung kerja pada September nanti.

"Dia memandu bas persiaran secara sambilan sejak sebulan lalu untuk mengisi masa lapang sebelum menyambung kontrak di kem berkenaan," katanya.

Kes 2: 10 pelajar nyaris maut

DI DUNGUN, Seramai 10 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang sedang menikmati sarapan pagi ketika waktu rehat di sebuah kedai makan berdepan detik mencemaskan apabila secara tiba-tiba dirempuh sebuah bas yang terbabas di persimpangan lampu isyarat, di Kampung Batu Tujuh, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 11.25 pagi itu dipercayai berpunca apabila bas ekspres dalam perjalanan dari arah Kemaman menuju ke Dungun itu dikatakan menghadapi masalah brek.

Sebaik tiba di Kilometer 84.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan di persimpangan lampu isyarat, hadapan PSMZA itu, bas berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar sebuah kereta Honda Civic lalu merempuh sebuah Perodua Kembara yang berada di sebelah kiri.

Bas dinaiki 10 penumpang itu kemudiannya merempuh tiang konkrit sebuah kedai makan menyebabkan 10 pelajar PSMZA yang sedang bersarapan pagi di kaki lima hadapan kedai tersebut lari bertempiaran menyelamatkan diri.

Bagaimanapun empat daripada pelajar tersebut, Azizul Hakimi, 18; Muji Rahman, 18; Ainil Iqmal, 18; dan Shahrul Azwari, 18, cedera di beberapa bahagian badan dipercayai terkena serpihan kaca dan besi dalam usaha untuk menyelamatkan diri ketika dirempuh bas terbabit.

Pemandu kereta Honda Civic, Ahmad Qasimi Mohamed, 27 dan rakannya yang duduk di tempat duduk hadapan, Melcolm Wee, 25, berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu sebelah kiri dan kedua-duanya dilaporkan cedera ringan.

Seramai 10 penumpang bas tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu bas, Zahari Muda, 39, dari Pengkalan Arang, Kuala Terengganu hanya cedera ringan.

Sidang Nam bakal pulih hubungan Mesir, Iran



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Ogos 2012
Ali Khamenei
Ali Khamenei berbincang dengan Mursi dan dikelilingi pegawai-pegawai Iran ketika sidang pembukaan Nam di Tehran, Iran.
TEHRAN - Pemerhati menyifatkan hubungan antara Iran dan Mesir bakal terjalin semula selepas kehadiran Presiden Mesir, Mohammed Mursi pada Sidang Kemuncak Negara-negara Berkecuali (Nam) di Tehran yang bermula semalam.

Lawatan Mursi kali pertama ke Iran lebih sedekad lalu itu, turut mengukir sejarah tersendiri, apabila Mursi mengambil peluang memulakan cadangan keamanan mengenai krisis Syria.

Stesen televisyen tempatan Iran, dalam siaran langsungnya, menunjukkan Mursi disambut oleh Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad di Dewan Sidang Kemuncak Nam.

Tehran menamatkan hubungan diplomatiknya dengan Mesir pada 1979 kerana keputusan Mesir menandatangani perjanjian damai dengan Israel.

Kepemimpinan Iran menyokong pemberontakan Mesir pada 2011 serta peralihan kuasa yang berpihak kepada Mursi sebagai presiden baru negara itu.

Sementara itu, Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam ucapan pembukaannya berkata, sebagai negara Islam, Iran tidak akan menggunakan senjata nuklear kerana sebarang senjata pemusnah adalah satu dosa.

"Saya desak semua negara Islam supaya tidak menggunakan senjata nuklear di Timur Tengah," katanya.

Nam dibentuk pada 1961, mempunyai 120 negara anggota yang mewakili kebanyakan negara membangun dan melihat ia sebagai bebas daripada pengaruh Washington dan Moscow.

Pentagon mahu saman penulis buku Osama ditembak



WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Ogos 2012
Buku Osama ditembak cetus kontroversi
Sebahagian muka depan buku No Easy Day yang menggambarkan butiran detik Osama bin Laden ditembak mati pada Mei 2011.
WASHINGTON - Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) mahu mengambil tindakan mahkamah ke atas bekas anggota pasukan khas Seal, yang menulis buku 'No Easy Day' berkaitan dengan operasi yang membawa kepada kematian Osama bin Laden di Pakistan, tahun lalu.

Kandungan buku itu yang didedahkan kelmarin dikatakan bercanggah dengan kenyataan awal White House.

eguam utama Pentagon, Jeh Johnson dilaporkan telah memaklumkan penulis itu bahawa dia telah melanggar perjanjian yang dia tidak  boleh mendedahkan rahsia tentera.

Johnson telah menulis kepada penulis terbabit semalam mengenai syarat tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat rahsia.

"Mengikut penilaian Jabatan Pertahanan, anda telah melanggar perjanjian tidak boleh mendedahkan maklumat," kata Johnson dalam suratnya kepada penulis buku itu.

Surat itu menambah, Pentagon sedang mempertimbangkan "kesemua remedi perundangan yang ada di pihak kami."

Pentagon mendakwa dia telah menandatangani dua borang pada 2007 dia dilarang mendedahkan maklumat kepada awam.

Buku itu yang ditulis menggunakan nama samaran "Mark Owen" akan menemui pasaran minggu depan.

Laporan memetik peguam berkata penerbitan buku ini tidak diteliti terlibat dahulu oleh Pentagon, CIA atau White House.

Mengikut syarat perjanjian perkhidmatan, penulisan dan penerbitan oleh anggota Seal memerlukan penelitian prapenerbitan terlebih dahulu.

Dua beranak terjun 10 meter

HANGUS...bangunan yang dibina sekitar tahun 1940-an terbakar.
HANGUS...bangunan yang dibina sekitar tahun 1940-an terbakar.

CEDERA...keadaan mangsa selepas terjun dari tingkat dua.
CEDERA...keadaan mangsa selepas
 terjun dari tingkat dua. 
 
KUALA LUMPUR: Dua beranak sempat terjun melalui tingkap setinggi 10 meter untuk menyelamatkan diri selepas kediaman mereka di bangunan tiga tingkat di Jalan Tun HS Lee, di sini, terbakar, petang semalam.
Dalam kejadian jam 3.50 petang itu, anak lelaki mangsa berusia 40-an terjun dahulu sebelum meminta bantuan orang ramai menyelamatkan ibunya berusia 60 tahun.

Saksi kejadian, Lee Kok Siang, 24, berkata, dia kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk ke sebuah bank sebelum ternampak api dan asap tebal dari bangunan berkenaan.

“Saya nampak seorang wanita berusaha untuk terjun manakala beberapa orang lagi sedang meletakkan kusyen untuk dijadikan alas di bawah bagi membolehkan warga emas itu terjun dengan selamat,” katanya.

Katanya, sebaik kedua-dua mangsa diselamatkan, orang ramai menghubungi ambulans untuk menghantar mereka ke hospital.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.52 petang sebelum jentera pertama tiba sembilan minit kemudian.


“Ketika pasukan bomba dan penyelamat tiba, kedua-dua mangsa yang terperangkap sudah diselamatkan dengan bantuan orang ramai dan difahamkan mereka cedera ringan serta dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.

Katanya, api marak dengan pantas berikutan struktur bangunan tiga tingkat yang dibina sekitar 1940-an itu diperbuat daripada kayu dan papan yang mudah terbakar.

“Pasukan bomba mengambil masa setengah jam untuk mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran dan api dipadamkan sepenuhnya jam 4.30 petang.

“Siasatan mendapati kebakaran bermula dari tingkat dua yang menempatkan kediaman mangsa,” katanya.

Katanya, punca sebenar kebakaran bangunan yang menempatkan kediaman, restoran dan kedai menjual cakera padat digital (VCD) itu masih disiasat dan kerugian dianggarkan mencecah RM3 juta.

Menurutnya, 10 jentera bomba dan penyelamat dari Balai Hang Tuah, Pudu, Chow Kit, Sentul dan Pantai dikejarkan ke tempat kejadian bersama bantuan bomba sukarela Bukit Bintang, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Tiada hasrat hasilkan senjata atom: Khameini



         
TEHERAN: Iran tidak berminat untuk menghasilkan senjata nuklear tetapi akan meneruskan usaha untuk mendapatkan tenaga nuklear untuk tujuan keamanan.

“Motto kami ialah tenaga nuklear untuk semua dan tiada senjata nuklear untuk sesiapa,” kata pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei kepada ketua kerajaan dari negara sedang membangun di Teheran.


Iran yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) berharap sidang itu akan membuktikan Barat gagal memencil dan menghukumnya. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon yang menghadiri sidang itu menggesa Iran mengambil langkah konkrit untuk membuktikan program nuklearnya bertujuan untuk keamanan. - Reuters

Bekas ketua hakim didakwa



Manila: Kerajaan Filipina semalam memohon jabatan keadilan, mengemukakan dakwaan kepada hakim Renato Corona, atas dakwaan rasuah, selepas beliau dipecat Mei lalu kerana mengelak cukai.


Kempen rasuah
Langkah itu sebahagian daripada kempen menentang rasuah yang dilancarkan Presiden Benigno Aquino yang didakwa berada pada paras teruk ketika pentadbiran bekas Presiden Gloria Arroyo.

Dalam aduan yang difailkan kepada Jabatan Keadilan, pesuruhjaya hasil dalam negara, Kim Henares, berkata bekas ketua hakim Mahkamah Agung itu berhutang 120.5 juta peso (RM8.4 juta) dalam bentuk cukai antara 2003 dan 2010.

Turut didakwa ialah anak perempuan Corona dan suaminya, yang dikatakan agensi cukai didapati melakukan kesalahan ketika mengisytiharkan pendapatan, aset dan jumlah bersih harta ketika membeli hartanah utama.


Kes berat

“Matlamat kita ialah pentadbiran baik sebagai cara hidup semua orang, tidak kira status anda dan presiden sebagai ketua eksekutif mempunyai tanggungjawab berat menjadikan ia kenyataan. Kes kami berat,” kata Henares sambil menambah jika disabitkan ketiga-tiga beranak itu berdepan hukuman penjara lima dan 10 tahun selain diarahkan membayar cukai.
Aquino, yang menang jawatan presiden pada tahun 2010 berlandaskan antirasuah, merasmikan kempen menyingkirkan Corona.

Beliau mendakwa Corona dilantik secara tidak sah oleh Arroyo untuk melindunginya daripada pendakwaan selepas meletak jawatan. - AFP

Pencipta senjata nuklear Pakistan cebur politik




         
ISLAMABAD: Orang yang bertanggungjawab menjadikan Pakistan negara kuasa nuklear dan kemudian mengaku membocorkan rahsia atom kepada Iran, Korea Utara dan Libya, mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam politik.

Keputusan Abdul Qadeer Khan itu akan mencetuskan rasa kurang senang di Amerika Syarikat, tempat beliau dilihat sebagai pariah.


Bagaimanapun, di negaranya sendiri, Abdul Qadeer dianggap wira kebangsaan kerana peranan pentingnya membangunkan senjata nuklear dan disanjung oleh masyarakat Islam kerana menjadikan Pakistan satu-satunya negara Islam berkuasa nuklear.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada sanjungan orang awam terhadapnya dapat diterjemahkan kepada sokongan politik.


Matlamat utama pergerakan baru yang dipimpin Abdul Qadeer - Tehreek-e-Tahaffuz Pakistan atau Pergerakan Untuk Melindungi Pakistan - bukan untuk meletakkan calon tetapi menggalakkan golongan muda negara itu menyertai pilihan raya Pakistan akan datang dan menolak ‘ahli politik yang tidak cekap, kata Abdul Qadeer kepada AFP.


“Pemimpin kebanyakan parti politik besar adalah perompak dan rasuah,” katanya ketika mengumumkan pergerakan barunya itu semalam. - AFP

Mursi sokong pemberontak




         
TEHERAN: Presiden Mesir, Mohamed Mursi semalam mengecam kerajaan Syria dengan menyifatkannya sebagai ‘menindas’ dan menggesa sokongan untuk pemberontak yang berusaha menggulingkan Presiden Bashar al-Assad.

Ucapan Mursi pada sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Teheran menyebabkan perwakilan Syria meninggalkan dewan.


Ucapan itu turut diselar Menteri Luar Syria, Walid Muallem yang menuduh kenyataan beliau akan menyebabkan lebih banyak pertumpahan darah di negara itu.

Ia turut memalukan Iran yang menganjur sidang kemucak dua hari NAM itu. Teheran ialah penyokong paling kuat kerajaan Bashar.


“Revolusi di Mesir adalah asas kepada Kebangkitan Arab yang bermula beberapa hari selepas Tunisia, kemudian diikuti oleh Libya dan Yaman dan revolusi yang berlaku di Syria ketika ini ialah untuk menentang rejim yang menindas.


“Perpaduan kami dengan perjuangan rakyat Syria dalam menentang rejim yang menindas adalah tugas beretika dan satu keperluan politik dan strategi,” kata Mursi dalam ucapannya. “Kenyataan beliau adalah campur tangan terhadap hal ehwal dalaman Syria dan menghasut pertumpahan darah berterusan di Syria,” kata Muallem, dipetik oleh televisyen Syria.

Ikhwanul Muslimin yang dianggotai oleh Mursi bersekutu dengan kumpulan penentang utama di Syria.


Beliau menjadi pemimpin Mesir pertama menjejakkan kaki di Iran sejak revolusi Islam pada 1979. Mesir memutuskan hubungan dengan Iran selepas revolusi itu apabila ulama yang menentang perjanjian damai negara itu dengan Israel dan menyambut baik pembunuhan Presiden Anwar Sadat, orang yang menandatangani perjanjian berkenaan, mengambil alih tampuk pemerintahan Iran.

Duduk bersebelahan dengan Presiden Mahmoud Ahmadinejad, Mursi menghadiri sidang berkenaan untuk menyerah jawatan ketua NAM kepada Iran.


Dalam ucapannya, pemimpin Mesir itu turut menyuarakan sokongan terhadap hak rakyat Palestin untuk mewujudkan sebuah negara sendiri. - AFP

2 manusia paling kerdil bertemu

CHANDRA bersama Jyoti mempamerkan edisi terbaru Buku Rekod Guinness yang turut memuatkan nama mereka.
CHANDRA bersama Jyoti mempamerkan edisi terbaru Buku Rekod Guinness yang turut memuatkan nama mereka.
KEUNIKAN Chandra dan Jyoti jelas dapat dilihat ketika mereka digandingkan dengan lelaki normal.
KEUNIKAN Chandra dan Jyoti jelas dapat dilihat ketika mereka digandingkan dengan lelaki normal.
LONDON: Dua manusia paling kerdil di dunia dipertemukan untuk kali pertama bagi meraikan pertubuhan yang membantu mempopularkan ‘kelebihan’ mereka, lapor media semalam.
Lelaki paling rendah di dunia, Chandra Bahadur Dangi, 72, bersemuka dengan wanita paling rendah di dunia, Jyoti Amge, 18, sempena pelancaran edisi terkini buku Rekod Dunia Guinness.

Lelaki dari Nepal dan gadis warga India itu mencuri perhatian dunia apabila ketinggian mereka diiktiraf Rekod Dunia Guinness, baru-baru ini. Walaupun dipisahkan jurang usia yang besar, Chandra dan Jyoti tetap mesra bergurau dalam suasana santai ketika sesi fotografi untuk pelancaran buku berkenaan.

Kedua-dua mereka mengenakan pakaian tradisional masing-masing. Gambar itu juga mencipta rekod dunia tersendiri apabila - untuk kali pertama - lelaki dan wanita paling rendah dipertemukan secara langsung. Sebuah buku terkini Rekod Dunia Guinness yang diletakkan di antara Chandra dan Jyoti menyebabkan naskhah itu menjadi luar biasa besarnya walaupun pada hakikatnya, ia hanya setinggi kira-kira 30.5 sentimeter.

Jyoti - berasal dari Nagpur, India - mendapat pengiktirafan itu pada hari dia menyambut ulang tahun kelahiran ke-18, pada 16 Disember tahun lalu.

Jyoti menghidap masalah tumbesaran, dikenali sebagai Achondroplasia, menyebabkan saiz badannya kekal setinggi 78.8 sentimeter.


Di sebalik keunikan itu, Jyoti menyimpan cita-cita tinggi dalam bidang hiburan dan mula membintangi beberapa filem Bollywood.

Dia dijadual melawat Britain bagi membantu pelancaran buku Rekod Dunia Guinness, bulan depan. Kata Jyoti, dia tidak sabar membuat kunjungan ke Britain. “Saya suka mengembara dan sejak mendapat pengiktirafan Guinness, saya berpeluang melawat banyak negara luar seperti Jepun dan Eropah,” katanya. Sementara itu, Chandra amat teruja apabila namanya tercatat dalam buku rekod dunia kali ini. “Ia jadi kebanggaan kepada saya, keluarga, kampung dan negara,” katanya. Dia dibesarkan di Kampung Rhimkola, 250 kilometer di barat Kathmandu sebelum keunikan fizikalnya dikesan dan mendapat pengiktirafan, Februari lalu. Chandra meninggalkan kampungnya untuk kali pertama dalam hidupnya apabila mengunjungi Kathmandu bagi membolehkan badannya diukur pegawai Rekod Dunia Guinness.

Dengan ketinggian 54.6 sentimeter, Chandra juga dianggap lelaki paling rendah dalam sejarah. - DM

Seoul tepis syor Tokyo

Pegawai Korea Selatan melancarkan sebuah tugu baru di Pulau Dokdo baru-baru ini.
Pegawai Korea Selatan melancarkan sebuah
tugu baru di Pulau Dokdo baru-baru ini.
 

Seoul: Korea Selatan semalam menolak secara rasmi cadangan Jepun yang mahu kedua-dua negara meminta mahkamah antarabangsa menyelesaikan perbalahan berhubung sebuah kepulauan yang menjadi rebutan sambil melabel pendirian Tokyo sebagai ‘salah’.

Korea Selatan menerima nota dari Jepun minggu lalu yang mencadangkan kedua-dua pihak merujuk perbalahan tuntutan Pulau Dokdo atau Takeshima kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi mencari penyelesaian.
Maklum balas Korea Selatan disampaikan menerusi diplomat Jepun di Seoul semalam, kata jurucakap Kementerian Luar.

Nota itu menjelaskan pendirian Seoul bahawa perbalahan tidak wujud mengenai tuntutan ke atas kepulauan yang dikawal Korea Selatan di Laut Jepun itu yang dikenali sebagai Dokdo bagi orang Korea dan Takeshima di Jepun, kata jurucakap berkenaan, Cho Tai-Young, kepada wartawan.

“Kami sudah jelaskan bahawa Dokdo adalah wilayah kami berdasarkan sejarah, geografi dan undang-undang antarabangsa.

“Kami tidak akan pergi ke ICJ. Kami juga gesa kerajaan Jepun menyedari idea salah mereka mengenai Dokdo dan membetulkannya dengan segera,” kata Cho sambil menyifatkan tuntutan Jepun ke atas pulau itu sebagai tidak berasas dan tidak sah.

Menteri Luar Jepun, Koichiro Gemba, mengakui amat kecewa dengan tindak balas Korea Selatan yang tidak membentangkan cadangan balas untuk menyelesaikan isu itu. - AFP

Bashar wajar diganti

Morsi dipaparkan pada skrin di ruang dewan media ketika pelancaran sidang NAM di Tehran, Iran, semalam.
Morsi dipaparkan pada skrin di ruang dewan media
 ketika pelancaran sidang NAM di Tehran, Iran, semalam.
 

Tehran: Pemberontakan di Syria bertujuan menentang penindasan rejim pemerintah dan menyambung bantahan penduduk seperti yang berlaku di beberapa negara Arab sebelum ini, kata Presiden Mesir, Mohamed Morsi, memalukan Iran yang menyokong kuat pemerintahan Damsyik di sidang Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) di sini, semalam.

“Revolusi di Mesir berpunca daripada bantahan dunia Arab, yang bermula beberapa hari selepas Tunisia mendapat pemimpin baru diikuti Libya dan Yaman. Sekarang kebangkitan meletus di Syria bertujuan menentang rejim penindas.

Mesir sedia bekerjasama

“Rakyat Palestin dan Syria mahukan kebebasan, maruah dan keadilan. Mesir bersedia bekerjasama dengan semua pihak untuk menghentikan pertumpahan darah,” katanya kepada perhimpunan yang mengumpulkan pemimpin negara berkecuali termasuk pemimpin agung dan presiden Iran.

“Pertumpahan darah di Syria adalah tanggungjawab kita semua dan kita tahu ia tidak akan berhenti selagi tiada campur tangan aktif. Krisis Syria menyebabkan kita risau,” katanya lagi.


Wakil Syria tinggalkan sidang

Ucapan itu menyebabkan wakil Syria di sidang NAM itu bertindak meninggalkan sidang, lapor media Mesir. “Delegasi Syria keluar ketika Presiden Morsi mula membincangkan soal negara mereka,” lapor agensi berita MENA.

Morsi berada di Tehran untuk menyerahkan giliran kepemimpinan pergerakan itu kepada Iran. Beliau adalah pemimpin Mesir pertama menjejakkan kaki ke Iran sejak revolusi Islam pada tahun 1979.

Gambaran Morsi mengenai konflik di Syria sebagai revolusi menentang penindasan bertentangan dengan pendapat Tehran dan Damsyik yang menyatakan kebangkitan itu berbeza dengan bantahan di negara Arab sebelum ini kerana membabitkan pengganas didalangi negara asing abertindak bagi pihak Amerika Syarikat dan negara rantau itu.

Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dan Presiden Mahmoud Ahmadinejad beberapa kali memuji bantahan dunia Arab sebagai ‘Kebangkitan Islam’ yang diilhamkan oleh revolusi di Iran sendiri.
Bagaimanapun, Syria menolaknya dengan menyatakan apa yang berlaku adalah berbeza.

Mesir beberapa kali menyatakan sokongan kepada pejuang pembebasan Syria, melihatnya sebagai kesinambungan kebangkitan yang menyaksikan perubahan pemerintah di Tunisia, Libya dan Mesir. - AFP/AP

Thai cipta rekod mengurut dunia




SEBAHAGIAN daripada 641 orang yang mengurut di pinggir Bangkok semalam.


BANGKOK - Seramai 641 tukang urut mengurut 641 orang secara serentak selama 12 minit di sini semalam sekali gus mencipta rekod baharu Guinness World Record.
Acara mengurut beramai-ramai itu dianjurkan Kementerian Kesihatan Awam Thailand bagi mempromosikan industri spa dan urut di negara ini.
Rekod lama dicatatkan di Australia pada tahun 2010 apabila 263 diurut serentak selama lima minit.
"Ia mudah kerana ini (mengurut) kami lakukan pada setiap hari untuk hidup," kata salah seorang tukang urut wanita, Chayanan Chanwuttisawan, 53, yang mengambil bahagian dalam acara tersebut.
"Saya tidak pernah menyangka kami mempunyai peluang untuk diiktiraf seperti ini," tambahnya.
Thailand memang terkenal sebagai 'ibu kota mengurut' di dunia.
Menteri Kesihatan, Wittaya Buranasiri berkata, dia mahu industri mengurut memberi lebih banyak pendapatan kepada negaranya. - AP

Penulis nafi bermotif politik



KULIT depan buku No Easy Day.


WASHINGTON - Seorang bekas komando tentera Amerika Syarikat (AS), Matt Bissonnette menyatakan dia tidak mempunyai motif politik semasa menulis buku No Easy Day yang memberikan maklumat berlainan tentang cara Ketua Rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden (gambar) mati ditembak pada Mei tahun lalu di Abbotabad, Pakistan.
Bissonnette menulis buku itu dengan menggunakan nama pena Mark Owen.
Dia merupakan kumpulan enam anggota komando tentera laut AS yang menyerbu banglo yang menjadi tempat persembunyian Osama selepas tiba dengan menggunakan helikopter.
Buku itu sepatutnya dijual pada 11 September tetapi tarikh penjualannya dipinda pada minggu depan selepas pihak media menyiarkan sebahagian kandungan buku berkenaan.
Menurut Bissonnette kepada stesen televisyen CBS kelmarin menerusi program 60 Minutes, buku tersebut tidak mempunyai motif politik ekoran pilihan raya Presiden AS akan berlangsung pada November depan.
Buku itu, katanya, adalah tentang serangan pengganas di AS.
Osama dianggap sebagai dalang serangan pengganas pada 11 September 2001 di AS yang menyebabkan bangunan berkembar World Trade Centre di New York dirempuh dua pesawat sehingga mengakibatkan lebih 3,000 orang terbunuh.
Buku itu menceritakan bahawa Osama sebenarnya ditembak terlebih dahulu di bahagian kepala semasa dia muncul di pintu dan mereka tidak mengetahui sama ada ketua Al-Qaeda tersebut bersenjata.
Osama kemudian kembali ke bilik tidurnya dan diekori anggota-anggota komando.
Anggota-anggota komando itu mendapati Osama rebah di lantai dengan berlumuran darah dan terdapat lubang di bahagian kanan kepalanya.
Dua wanita meraung di mayat Osama.
Anggota-anggota komando itu mendapati lelaki yang terbaring itu ialah Osama selepas mereka menyapu darah di mukanya.
Menurut buku tersebut, anggota-anggota komando itu kemudian menembaknya beberapa kali sehingga dia terbaring tanpa bergerak.
Maklumat tersebut bertentangan dengan kenyataan pentadbiran AS bahawa Osama hanya ditembak selepas dia kembali ke bilik tidurnya kerana bimbang ketua Al-Qaeda itu mahu mengambil senjata. - Agensi

Pemandu 101 tahun langgar kanak-kanak




CARTER (tiga dari kanan) berbual dengan dua anggota polis di lokasi nahas apabila keretanya (kanan) merempuh sembilan kanak-kanak di luar sebuah sekolah di Los Angeles pada Rabu lalu.


LOS ANGELES - Sembilan orang kanak-kanak cedera empat daripada mereka parah apabila seorang pemandu lelaki berusia 101 tahun merempuh mereka di luar sebuah sekolah di sini, kata beberapa pegawai dan saksi.
Seorang jurucakap Jabatan Bomba Los Angeles, Erik Scott berkata, dua lagi orang dewasa turut cedera dalam nahas yang berlaku pada Rabu lalu.
Pemandu itu, Preston Carter berkata, dia hilang kawalan manakala brek keretanya gagal berfungsi.
"Saya minta maaf," katanya kepada seorang jurukamera stesen televisyen ABC7. - AFP

Gunung berapi 140 juta tahun ditemui



GAMBAR yang disiarkan semalam menunjukkan tinggalan gunung berapi itu di Kepulauan Kwo Chai, Hong Kong.


HONG KONG - Sekumpulan ahli geologi Hong Kong semalam mendedahkan peta dan tinggalan gunung berapi gergasi yang meletus 140 juta tahun lalu.
Gunung berapi gergasi itu terletak di tenggara Hong Kong.
Diameter gunung tersebut ialah 18 kilometer dan ia dikenali sebagai Gunung Berapi Besar Pulau Tinggi.
Hakisan dan cuaca menyebabkan hanya sedikit tinggalan gunung itu dapat dilihat seperti di Kepulauan Kwo Chau.
Menurut agensi berita Bernama, Jabatan Pembangunan dan Kejuruteraan Sivil Hong Kong membuat pengumuman rasmi tentang penemuan itu semalam.
Seorang jurutera di jabatan itu, Denise Tang berkata, gunung tersebut pernah menghamburkan 1,000 kubik kilometer debu. - Agensi

Motosikal tandas bergerak sejauh 300 kilometer




SEORANG wanita menunggang motosikal tandas di Omiya, pinggir Tokyo kelmarin.


TOKYO - Syarikat pengeluar motosikal tandas di Jepun semalam menyatakan ia boleh bergerak sejauh 300 kilometer (km) jika diisi penuh dengan najis dan kumbahan haiwan.
Ia dianggap sebagai motosikal pertama dijana dengan najis sebagai bahan bakar di dunia.
Motosikal itu mempunyai tiga roda dan mempunyai mangkuk tandas di tempat duduk.
Namun, pihak pengeluar motosikal itu, TOTO menyatakan orang yang menunggangnya tidak mengeluarkan najis untuk membolehkan ia bergerak.
"Minyak bio yang dijadikan bahan bakar itu tidak dihasilkan daripada najis manusia.
"Ia adalah daripada najis dan kumbahan ternakan," kata jurucakap syarikat tersebut, Kenji Fujita.
Motosikal itu dipamerkan di bilik pameran syarikat tersebut di pinggir Tokyo.
Menurutnya, para pelanggan amat berminat dengan kenderaan tersebut dengan sebahagian mereka merakamkan gambar.
Setakat ini motosikal itu tidak akan dijual. - AFP