Pages

Sunday, October 16, 2011

Topeng wajah sebenar dicipta



SH:
TOKYO - Ia adalah topeng yang jarang sekali ditemui kerana Jepun telah mencipta replika muka realistik.

Sebuah syarikat tempatan menghasilkan topeng Real-f dengan cara mengambil gambar wajah pelanggan lalu ditukar ke dalam imej tiga dimensi (3D) dan kemudianny dibentuk dalam acuan menggunakan vinil klorida.

Proses itu turut digelar sebagai fotokopi wajah manusia kerana topeng tersebut nampak seperti salinan wajah sebenar anda.

Apabila keseluruhan proses tersebut selesai, ia akan menghasilkan topeng bentuk 3D atau 3DPF yang dijual dengan harga AS$3,920 (RM12,250).

Jurucakap syarikat pembuat Real-f menyatakan mereka juga menyediakan perkhidmatan untuk menghasilkan replika penuh bahagian kepala dan muka sehingga ke paras bahu.

Ciptaan unik itu semakin berkembang daripada penggunaan satu kepada beberapa warna bagi menghasilkan kesan imej 3D stereoskopik.

Bagaimanapun, beberapa pihak khuatir topeng Real-f akan memberi kesan negatif kerana ia mungkin akan disalah guna oleh penjenayah. 'via Blog this'

Peramah hingga akhir hayat

MAUT... seorang pengguna jalan raya menutup mayat mangsa.
MAUT... seorang pengguna jalan raya menutup mayat mangsa.


LEDANG: Seorang lelaki maut di tempat kejadian manakala motosikalnya remuk teruk dipercayai selepas bertembung dengan sebuah lori di Sengkang Batu 19 Bukit Gambir, malam kelmarin.Shaidan Abdul Rahman, 33, yang dirempuh dari arah bertentangan dan diseret sejauh 10 meter, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan.Difahamkan, ketika kejadian jam 9 malam, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Seri Paya, Sengkang Batu 20, selepas bertemu rakannya di Pasar Malam Serom 3 Rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Adi, 30-an, berkata dia tidak menyangka kehadiran Shaidan ke gerai murtabaknya malam kelmarin adalah pertemuan terakhir mereka.Arwah singgah di gerai murtabak saya setiap minggu. Sebelum dia pulang, saya mengirimkan murtabak buat ibunya memandangkan kami tinggal sekampung. Namun, tidak lama kemudian, saya dimaklumkan dia terbabit dalam kemalangan dengan jarak hanya 1.4 Kilometer dari rumahnya,” katanya.Sementara itu, jurucakap polis berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.Mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannyaBerikutan itu, sesiapa yang ada maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Gempa bumi di Laut Banda

myMetroGempa bumi di Laut Banda: "KUALA LUMPUR: Satu kejadian gempa bumi berukuran 4.9 pada skala Richter berlaku di Laut Banda, Indonesia, jam 1.24 pagi semalam, kata Jabatan Meteorologi.

Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, pusat gempa itu berpusat 340km di barat daya Ambon, Indonesia dan 1,615km di tenggara Tawau, Sabah.


Gempa berkenaan tidak mendatangkan ancaman tsunami kepada Malaysia, kata jabatan itu. — Bernama"

'via Blog this'

Ajal gadis sunti


PARAH... mangsa dibantu pasukan penyelamat.
PARAH... mangsa dibantu pasukan penyelamat.



REMBAU: Hasrat seorang remaja menghabiskan cuti hujung minggu bersama rakan dipercayai teman lelakinya meragut nyawanya selepas dia terbunuh dihempap dahan pokok pulai seberat lapan tan di Hutan Lipur Gunung Datuk, di sini, semalam.
Nor Syahira Mat Edde, 14, dari Kem Terendak, Melaka dikejarkan ke Hospital Tampin kerana cedera parah di badan, tangan dan kaki, namun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di bilik kecemasan.

Rakannya, Mohammad Zul Afiq Abdullah, 22, turut dihempap pokok berkenaan namun hanya cedera di kepala.

Difahamkan, dalam kejadian jam 11.40 pagi, kedua-dua mangsa baru meletakkan motosikal yang ditunggangi berhampiran pokok berkenaan.

Menurut saksi yang juga penyelia hutan lipur itu, Abdul Rahman Idrus, 40, ketika kejadian, dianggarkan lebih 200 pengunjung dan pendaki berada di kawasan tapak kaki gunung itu.


“Difahamkan dua remaja dari Kampung Melekai, Johol, itu baru meletakkan motosikal berhampiran pokok berkenaan.

“Kami kemudian terdengar jeritan kuat dan terkejut melihat seorang lelaki dan perempuan cedera di kepala dan kaki selepas dihempap pokok. Selain itu beberapa kenderaan dan motosikal turut dihempap dahan pokok,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku di hutan lipur berkenaan sepanjang menyelia kawasan itu sejak November tahun lalu.

Sementara itu, seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad, 45, berkata ketika kejadian dia mencari tempat letak kenderaan selepas menurunkan empat anaknya untuk mandi di kawasan jeram itu.

Menurutnya, sebaik meletakkan kereta, dia dikejutkan dengan bunyi kuat seperti benda jatuh.


“Saya terperanjat mendapati dahan pokok jatuh dan terkena bahagian depan kereta, mujur ketika itu hanya saya di dalamnya,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Zamrus Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.58 pagi dan enam anggota serta sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian.


“Pasukan bomba mengambil masa 30 minit untuk membersihkan laluan yang terhalang dengan dahan pokok.


“Siasatan mendapati pokok pulai dipercayai berusia 200 tahun seberat lapan tan itu sudah reput, menyebabkan ia tumbang,” katanya.


Kejadian itu menyebabkan kecederaan dan kerosakan pada kenderaan lain membabitkan dua kereta, dua motosikal dan satu basikal.
'via Blog this'

Derita dikejar along


PERLUKAN PERHATIAN... anak bongsu Liza dilahirkan sebagai OKU.
PERLUKAN PERHATIAN... anak bongsu Liza dilahirkan sebagai OKU.



KUALA LUMPUR: Dia mungkin beranggapan kisah hitamnya berakhir sejurus berpisah dengan suami sembilan tahun lalu, namun derita kehidupannya masih berlarutan hingga sekarang gara-gara tindakan lelaki itu mencagarkan lesen perniagaannya kepada along.
Sudahlah tidak menerima nafkah daripada bekas suami selepas dikurniakan dua anak, Liza, 40-an (bukan nama sebenar) terpaksa menyerahkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada along setiap bulan.
Semuanya angkara bekas suami yang berurusan dengan along dan lelaki itu masih menghubunginya dengan sesekali cuba bermain emosi untuk merujuk semula kononnya menyesali apa dilakukannya sebelum ini.

Liza berkata, dia sukar menerima semula bekas suami keduanya yang pernah menjalani hukuman penjara kerana melakukan perbuatan terkutuk terhadap anak perempuannya berusia 12 tahun (hasil perkongsian hidup dengan suami pertama).


“Dia sepatutnya menjadi tempat kami anak beranak bergantung hidup tetapi perkara lain terjadi. Entah apa salah saya, dia terus menganiaya kami sekeluarga apabila mencagarkan lesen menjaja saya kepada along untuk membuat pinjaman RM10,000.
'via Blog this'

Mogok jadi ganas

myMetroMogok jadi ganas:

TIMIKA (Indonesia): Tiga orang pekerja kontrak di sebuah syarikat perlombongan milik Amerika Syarikat di timur Indonesia yang sedang menghadapi mogok pekerja, ditembak mati dalam satu kejadian serang hendap, semalam.
Ketiga orang mangsa itu telah dibawa masuk oleh syarikat untuk membantu meningkatkan pengeluaran di kompleks Grasberg yang dimiliki oleh Freeport McMoRan dan merupakan satu daripada syarikat perlombongan emas dan tembaga terbesar dunia.
Polis daerah Timika di wilayah Papua yang bergolak berkata, dua mayat ditemui kelmarin dari sebuah kereta yang terbakar kepunyaan Freeport di jalan menuju ke lombong, manakala mangsa ketiga ditemui berdekatan.

Jurucakap polis, Mada Laksanta berkata, “Identiti ketiga-tiga mangsa masih disiasat. Hari ini kami akan menyiasat siapa penyerang mereka.”


“Dua pegawai tentera dan seorang pengawal keselamatan Freeport juga ditembak. Pegawai itu ditembak di kaki dan pengawal di lengan kanan,” katanya lagi.


Kira-kira 8,000 daripada 23,000 pekerja Freeport di lombong, dekat dengan bandar Timika mengadakan mogok sejak 15 September, menuntut kenaikan gaji.

Pekerja yang kebanyakanan dari etnik Melanesian berkata, mereka dibayar gaji paling rendah antara pekerja Freeport di dunia. Mereka mendapat gaji antara AS$1.50 (RM4.69) AS$3.50 (RM10.94) sejam. - AFP

'via Blog this'

Israel rancang bina penempatan baru

myMetroIsrael rancang bina penempatan baru: "BAITULMUQADDIS: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mengkritik Israel kerana merancang untuk membina 2,600 unit rumah di timur Baitulmuqaddis dan berkata aktiviti pembangunan perumahan di situ, “tidak boleh diterima.”

Pejabat akhbar Ban berkata dalam satu kenyataan, “Dia sangat bimbang dengan usaha berterusan oleh Israel dengan merancang untuk memajukan penempatan baru di timur Baitulmuqaddis yang diduduki.”
“Perkembangan terbaru ini tidak dapat diterima, terutama usaha berterusan rundingan damai (Israel-Palestin) masih dijalankan dan bertentangan dengan arahan Quartet supaya kedua-dua pihak tidak melakukan provokasi,” kata kenyataan itu.

Kumpulan anti-penempatan The Peace Now, semalam berkata, rancangan Israel untuk membina unit perumahan di kawasan penempatan baru di timur Baitulmuqaddis menyebabkan penduduk Palestin marah dan mahu ia diberhentikan sebelum mereka bersetuju untuk duduk di meja rundingan damai.



Menurut kumpulan itu lagi, pelan pembangunan penempatan di atas tanah yang telah dirampas oleh Israel pada 1967 itu, telah diluluskan awal minggu ini oleh jawatankuasa Majlis Perbandaran Israel."

'via Blog this'

Letup paip gas untuk balas dendam kematian ketua media Al-Qaeda

myMetroLetup paip gas untuk balas dendam kematian ketua media Al-Qaeda: "ADEN (Yaman): Ketua Jabatan Media kumpulan Al-Qaeda di Semenanjung Arab terbunuh dalam serangan udara yang dilakukan ke atas pangkalan kumpulan itu di Yaman, semalam.

Menurut Kementerian Pertahanan Yaman, sebagai membalas dendam, ahli kumpulan itu telah meletupkan paip gas yang digunakan untuk mengeksport gas.
Kementerian itu berkata, seorang warga Mesir, Ibrahim al-Banna terbunuh dalam serangan yang dilakukan oleh askar Yaman di kawasan kumpulan radikal itu di wilayah Shabwa yang terletak di selatan Yaman, kelmarin.

Penduduk dan pegawai tempatan percaya, serangan itu dilakukan oleh pesawat negara asing.



Penyerang yang tidak dikenali, dipercayai askar militan, kemudian bertindak meletupkan paip gas - Reuters."

'via Blog this'

Al-Qaeda cuba ambil hati penduduk

myMetroAl-Qaeda cuba ambil hati penduduk: "MOGADISHU: Kumpulan Al-Qaeda memberi bantuan makanan, duit dan pakaian kepada penduduk Somalia sebagai menunjukkan hubungan baiknya dengan pemberontak kumpulan Shebel.

Daripada gambar yang dikeluarkan oleh kumpulan pemberontak, kumpulan pemerhati IntelCenter berkata, bantuan itu dihantar dalam satu majlis berprofil tinggi dalam usaha untuk mendapat sokongan padu rakyat tempatan.
Menurut agensi bantuan, penghantaran barang-barang ke tempat yang memerlukan sangat sukar kerana masalah keselamatan.

Kumpulan pmberontak juga sering mencuri barang makanan dan ubat manakala pekerja bantuan sering diugut akan diculik. - AFP"

'via Blog this'

Pangkalan AS diserang

myMetro Pangkalan AS diserang:

KABUL: Empat orang penyerang berani mati melancarkan roket dan memandu sebuah trak yang sarat dengan bom ke sebuah pengkalan Pasukan Pembangunan Semula Wilayah Amerika Syarikat, awal pagi, semalam.
Menurut Ketua Polis Wilayah, General Mohammad Qasim Jangalbagh, walaupun mereka gagal melepasi pagar pengkalan yang terletak di daerah Rakha, mereka melancarkan roket dan berjaya menembusi menara keselamatan.
Tiga orang menyerang dengan berjalan kaki manakala seorang lagi meletupkan kenderaan mengandungi bom di luar pagar.

Kata Jangalbagh, dua pemandu terbunuh dan dua pengawal keselamatan cedera dalam serangan itu. Semua penyerang itu turut dibunuh.


Jurucakap Nato mengesahkan kejaian serangan itu dan berkata tiada rakyat Amerika yang mati atau cedera dan tiada kerosakan besar di bangunan itu.


Kata Kapten Ebony Calhoun, “Ia satu serangan yang agak kompleks tetapi berjaya dipatahkan.”

Katanya, keadaan pengawal keselamatan itu tidak terlalu serius tetapi mereka telah dipindahkan ke pengkalan AS yang lebih besar untuk rawatan.
Jangalbagh berkata, ada kerosakan di pangkalan itu.
Selain Pasukan Pembangunan Semula, pangkalan itu juga menempatkan kumpulan ketenteraan dan orang awam yang bekerja di jabatan membantu pengurusan tadbir wilayah, perkhidmatan dan infrastruktur.

Kumpulan Taliban menghantar mesej pesanan ringkas ke The Associated Press mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu.

Serangan di Panjshir itu sehari selepas serangan di sempadan Afghanistan yang membunuh seorang polis dan seorang orang awam. -AP

'via Blog this'

Mahkamah tolak rayuan Jafar


Jafar Panahi
Jafar Panahi



TEHERAN: Mahkamah Rayuan menolak rayuan dan mengekalkan hukuman penjara enam bulan, 20 tahun larangan membuat filem dan lawatan kepada pengarah yang memenangi anugerah antarabangsa, Jafar Panahi.
Menurut keluarganya, keputusan yang dibuat dua minggu lalu, masih belum dilaksanakan.
Akhbar Iran mengesahkan keputusan itu semalam. Menurutnya, “Tuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah kerana berlakon tanpa menghiraukan keselamatan negara dan melakukan propaganda menentang Iran.”

Akhbar itu berkata, dalam rayuan yang sama, hukuman penjara enam tahun ke atas pembuat filem Mohammad Rasoulof telah dikurangkan selama setahun.

Lelaki tiada tangan, kaki jalani hidup baru

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


BOSTON 15 Okt. - Seorang lelaki berusia 65 tahun yang tidak mempunyai kaki dan tangan menerima dua tangan baru selepas menjalani dua pembedahan pemindahan yang jarang dilakukan di Hospital Brigham dan Wanita di sini semalam.

Pembedahan selama 12 jam yang dilakukan terhadap Richard Mangino pada minggu lalu itu melibatkan pasukan pembedahan terdiri daripada lebih 40 orang termasuk doktor, jururawat dan staf perubatan.

Pihak hospital berkata, pembedahan yang merumitkan itu termasuk pemindahan kulit, tendon, otot, ligamen, tulang dan saluran darah di kedua-dua lengan dan tangan Mangino.

Menurut doktor, Mangino sudah mampu menggerakkan jarinya hanya beberapa hari selepas pembedahan dan menganggap ia sebagai satu pencapaian yang membanggakan.

Sementara itu, Mangino berkata, dia kini sedang menyesuaikan diri secara berperingkat dan tidak bimbang lagi untuk melakukan perkara mudah seperti membancuh kopi atau menyarung pakaian.

Katanya, dia sentiasa berdoa untuk memiliki keupayaan tersebut supaya dapat menyentuh muka, membelai rambut dan mengajar cucu-cucunya membaling bola.

Mangino yang berasal dari Revere, Massachusetts kehilangan kedua-dua tangan dan kakinya selepas mengalami kecutan sepsis, sejenis penyakit jangkitan darah pada 2002. - REUTERS

'via Blog this'

Shah Rukh Khan Duta Kebersihan

Berita Harian Online | Shah Rukh Khan Duta Kebersihan:




2011/10/16

Shah Rukh Khan
Shah Rukh Khan
MUMBAI: Pelakon tersohor filem Hindi, Shah Rukh Khan, dinamakan Duta Muhibah Untuk Sanitasi dan Kebersihan dalam satu upacara pembukaan Forum Sanitasi dan Kebersihan Global Majlis Kerjasama Bekalan Air dan Sanitasi (WSSCC) di hab kewangan India itu.

Ketika membuat pengumuman itu baru-baru ini, penganjur forum global pertama sanitasi yang menarik lebih 300 peserta dari seluruh dunia, berkata Shah
Rukh Khan bersetuju dengan sukarela menyertai satu kempen bagi memastikan sebahagian besar kawasan di dunia dan penduduk India yang tidak mempunyai capaian memperbaiki sistem tandas mendapat kemudahan itu. Mengulas peranan barunya, pelakon Bollywood itu berkata, “Agak memalukan dan tragik setiap 30 saat seorang kanak-kanak maut akibat cirit-birit yang boleh dicegah, iaitu dua kematian kanak-kanak tidak sepatutnya setiap minit. Tandas untuk semua akan menjadikan India dan dunia sebuah tempat lebih sihat dan bersih, terutama kepada wanita miskin, gadis dan yang lain dalam lingkungan masyarakat.” – Agensi

'via Blog this'

Tandas Jakarta terkotor di Asia

Berita Harian Online | Tandas Jakarta terkotor di Asia:




2011/10/16

Kajian WTO letak Indonesia di tangga ke-12 daripada 18 negara

JAKARTA: Tandas di Indonesia dikategorikan sebagai tandas paling kotor di Asia, lapor satu kajian Pertubuhani Tandas Sedunia (WTO).
Organisasi itu meletakkan Indonesia di tangga ke-12 di kalangan 18 negara Asia yang diadili untuk tandas yang paling kotor.
“Kami mempunyai tandas yang paling teruk berbanding negara Asia Tenggara lain,” kata pengasas Persatuan Tandas Indonesia (ATI) Naning Adiwoso.

“Walaupun kedudukan kami lebih baik daripada Vietnam tetapi kita jauh lebih teruk berbanding Filipina, Malaysia, Singapura dan Thailand,” katanya.

Naning berkata kedudukan itu ditentukan WTO berdasarkan jumlah kuman ditemui di tandas yang diperiksa secara rawak setiap negara.

Naning berkata sekurang-kurangnya, 80 juta kuman ditemui dalam satu tandas dan kuman itu boleh membawa kepada penyakit berjangkit seperti demam kepialu.
Beliau menegaskan bahawa amalan mengepam tandas tidak mampu memusnahkan kuman, malah pembersihan dan sanitasi berterusan diperlukan.

“Pendidikan dalam keluarga memainkan peranan penting kerana ramai yang menganggap tandas kurang penting, justeru mereka membuang air besar atau kecil di sungai atau di tempat terbuka,” katanya.

Beliau berkata dengan peningkatan penduduk, negara itu memerlukan jumlah tandas awam yang banyak.

ATI ditubuhkan 10 tahun lalu dengan sasaran mendidik rakyat Indonesia mengenai keperluan untuk mengamalkan kebersihan tandas. Organisasi itu akan mengadakan acara sebagai menyambut Hari Tandas Sedunia pada 19 November. – Agensi

'via Blog this'

Gempar ‘anak pocong’ depan rumah

Kosmo! Online - Negara:
SEORANG penduduk kampung yang enggan dikenali menunjukkan
 objek kecil dililit seperti pocong di Kampung Parit Sempadan, Batu Pahat semalam.

BATU PAHAT – Penduduk Kampung Parit Sempadan, Parit Raja di sini gempar pagi semalam dengan penemuan satu objek misteri yang dikafan seperti pocong di sebatang jalan menghala ke rumah seorang penduduk di situ.
Objek sepanjang 15 sentimeter itu ditemui oleh seorang penduduk kampung yang berjalan kaki menghantar anaknya untuk belajar mengaji kira-kira pukul 8.30 pagi.
Seorang pesara kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Haji Mat memberitahu, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai penemuan objek misteri itu, dia bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, ia dibungkus dengan kain putih dan diikat seperti jenazah sebelum diletakkan di pangkal pokok yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari rumahnya.
Di sebalik penemuan itu, dia percaya ada kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pihak tertentu dengan niat untuk mengugut keluarganya.
“Saya berdebar-debar apabila melihat objek berbentuk pocong itu kerana percaya ia adalah amaran kepada keluarga saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Haji Mat memberitahu, kejadian pelik itu adalah yang pertama kali ke atas keluarganya sejak menetap di kampung itu pada tahun 1973.
'via Blog this'

Naza sasar jual 16 unit Indian Motorcycle

Kosmo! Online - Negara:



MOTOSIKAL model Chief Blackhawk Dark dari Indian Motorcycle.


SHAH ALAM – Naza Group berhasrat menjual 16 unit Indian Motocycle tahun ini dan 48 lagi tahun depan.

Pengurus Besar Two Wheels Naza Motor Trading Sdn. Bhd., Nik Danial Nik Mahmood berkata, kumpulan itu akan melabur RM5 juta untuk mempromosikan jenama baharu itu termasuk sebuah bilik pameran untuk Harmony Fabulous Sdn. Bhd. di Naza Automall Petaling Jaya.

“Kesemua 16 unit jenama legenda Amerika itu akan diedarkan oleh Harmony Fabulous,” kata beliau pada majlis pelancaran motosikal berkenaan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim di sini semalam.

Harmony Fabulous memeterai hak pengedar tunggal Indian Motorcycle untuk Malaysia dan Singapura dengan syarikat Amerika tahun lepas.

'via Blog this'

Bayi keliru mana satu iPad, majalah




BAYI perempuan ini keliru apabila majalah yang diberikan tidak berfungsi sama seperti iPad milik ibunya. - YouTube


LONDON - Benarkah pengasas bersama firma elektronik Apple Corp, mendiang Steve Jobs telah menunjukkan hala tuju masa depan manusia?
Sebuah akhbar di Britain melaporkan itulah yang kelihatan berlaku kepada seorang bayi perempuan.
Baru berusia setahun, bayi itu sudah pandai mengetik skrin komputer iPad milik ibunya tetapi apabila sebuah majalah diletakkan di hadapannya, dia menjadi keliru.
Anak kecil tersebut tidak faham mengapa gambar dalam majalah tidak bergerak seperti imej di skrin iPad apabila ditekan.
Telatah lucunya mencetuskan sensasi di laman perkongsian video YouTube selepas ibunya menghantar rakaman klip video berkenaan yang disiarkan baru-baru ini.
"Bagi anak saya, majalah adalah komputer iPad yang tidak berfungsi. Semua itu berlaku kerana Steve Jobs. Dia mungkin tidak berminat dengan buku apabila meningkat dewasa kelak," kata tulisan pada penghujung klip video berkenaan. - Agensi

Bangkok hadapi banjir terburuk sejak 50 tahun

Kosmo! Online - Dunia:


GUNI-GUNI pasir disusun di sekeliling ibu pejabat Bangkok Bank di Bangkok semalam. - AP


BANGKOK - Pekerja-pekerja penyelamat bertungkus-lumus mengukuhkan tembok-tembok guni pasir sekitar bandar raya ini semalam ketika ibu kota Thailand berkenaan diancam banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun selepas semua wilayah di utara ditenggelami air bah.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri Yingluck Shinawatra cuba meyakinkan 12 juta penduduk di sini bahawa mereka akan terlepas daripada bencana alam itu yang telah menenggelamkan lebih satu pertiga negara berkenaan sejak Julai lalu.

Sekurang-kurangnya 297 orang disahkan terkorban dengan kerugian akibat banjir yang menukar banyak perkampungan dan kawasan industri menjadi tasik itu kini mencecah AS$3 bilion (RM9.37 bilion).

Bahagian utara, timur laut dan tengah Thailand paling teruk terjejas manakala ibu kota Thailand yang berada cuma dua meter dari aras laut turut terancam selepas air dari beberapa empangan di utara melimpah ke dalam Sungai Chao Phraya yang mengalir menerusi kota metropolitan itu.

Yingluck bagaimanapun berkata, ibu kota Thailand itu cukup terlindung selepas pihak berkuasa meninggikan tebing di tiga kawasan di luar bandar raya ini.

Di sebalik jaminan pihak berkuasa, penduduk bertindak menyimpan barangan keperluan seperti air minuman, mi segera, beras dan makanan dalam tin dengan beberapa pasar raya utama di sini kehabisan stok makanan.

"Jika kami tidak membuat persediaan, sukar untuk membayangkan apa yang akan terjadi kepada kami jika kerajaan lambat menghulurkan bantuan," kata seorang pekerja bank di sini, Sompong Pinmaninsab.

Setakat ini, 25 daripada 77 wilayah Thailand digenangi air banjir. Sejumlah 1.62 juta tanah pertanian atau sekitar 16 kali ganda saiz pulau Hong Kong ditenggelami air.

Hampir 800,000 kediaman pula musnah atau rosak dengan ribuan penduduk terpaksa bersesak tinggal di pusat-pusat penempatan sementara.

Wilayah Ayutthaya, Pathum Thani dan Nakhon Sawan di utara bandar raya ini mengalami kesan yang paling buruk.

Banyak rumah, jalan raya dan taman perindustrian musnah dilanda air bah.

Dalam usaha melindungi ibu kota Thailand, pihak berkuasa mengukuhkan pertahanan terakhirnya iaitu tembok penghadang banjir sejauh 4 kilometer di sepanjang sebuah terusan dan pintu air di wilayah Pathum Thani di utara bandar raya ini.

Banyak pejabat, kedai dan restoran di wilayah berkenaan ditenggelami air paras dada dengan penduduknya terpaksa berulang-alik dengan menaiki bot. - Reuters

'via Blog this'