Salah seorang isteri Osama, Amal Ahmed Abdul Fatah yang berusia 29 tahun, paling muda. - Foto Ihsan
Salah seorang isteri Osama, Amal Ahmed Abdul Fatah yang berusia 29 tahun, paling muda. - Foto Ihsan ABC
ISLAMABAD - Tiga balu dan anak-anak Osama bin Laden dihantar pulang ke Arab Saudi dari Pakistan semalam sementara kematian ketua rangkaian Al-Qaeda itu akan genap satu tahun minggu depan.
Tindakan ini diambil selepas mereka ditahan oleh pihak berkuasa hampir setahun dan selesai menjalani hukuman penjara, yang dikenakan susulan kematian Osama yang ditembak oleh unit tentera khas Amerika Syarikat di Abbottabad pada 2 Mei lalu.
Ketiga-tiga balu Osama itu, yang menurut laporan BBC, mempunyai 11 anak, meninggalkan sebuah rumah di sini dengan menaiki bas mini di sebalik kawalan keselamatan yang ketat.
Pihak polis dikatakan menggunakan kertas untuk mengelak wajah mereka daripada dirakam oleh wartawan.
Mereka meninggalkan Pakistan dengan menaiki sebuah pesawat khas ke Arab Saudi.
Baru-baru ini, balu Osama - seorang warga Yaman dan dua lagi dari Arab Saudi, menjalani hukuman penjara lebih sebulan berhubung kesalahan memasuki negara itu secara tidak sah.
Mereka sepatutnya meninggalkan Pakistan minggu lalu tetapi tertunda ekoran masalah dokumen.