Pages

Tuesday, May 12, 2015

Misteri gua kristal Naica

Misteri gua kristal Naica

GUA Kristal Naica, terletak 300 meter di bawah tanah dan sepanjang 27 meter.

Ia ditemui pada tahun 2000 oleh sekumpulan pelombong ketika melakukan kerja-kerja mengorek terowong dan mengepam air bagi mengelakkan kawasan perlombongan Naica ditenggelami air.

Pada mulanya, kumpulan pelombong menemui beberapa batu yang kelihatan seperti kristal sebelum meneruskan operasi menggali dan menemui gua kristal gergasi lapor Daily Mail.

Gua istimewa itu turut menyaksikan penemuan kristal yang mempunyai ukuran diameter sebesar empat meter, panjang 12 meter dan berat 55 tan, sekali gus mungkin menjadi kristal terbesar pernah ditemui.

Lelaki Muslim laung azan di seluruh AS

Lelaki Muslim laung Hot Chillies azan di seluruh AS

SEORANG eksekutif pemasaran dari Michigan berjaya melaungkan azan di semua 50 negeri di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh 35 hari.

Jameel Syed, 40, memulakan 'pengembaraannya' dari Pusat Islam Detroit di pinggir bandar Rochester Hills, Michigan, di mana dia bertugas sebagai bilal.

Akhbar The Detroit Free Press melaporkan, bapa kepada dua orang anak itu merupakan pemuda Muslim pertama melaungkan azan di seluruh AS.

"Ia satu perjalanan yang menakjubkan. Saya juga terharu dengan sokongan, kasih sayang dan kemurahan hati komuniti Islam yang ditemui sepanjang pengembaraan ini," katanya kepada Press TV .

Menurut Syed lagi, misi melaungkan azan di semua 50 negeri di AS berjaya menemukannya dengan pelbagai komuniti Muslim dari etnik dan latar belakang berbeza.

Malah, dia juga berkongsi kisahnya dengan orang bukan Islam ketika berada dalam teksi dan lapangan terbang.

"Saya juga berpeluang melaungkan azan di pantai Hawaii dan sebuah bilik sembahyang di Disneyland. Malah, saya juga sempat melawat masjid di Chapel Hill di North Carolina dan bertemu dengan keluarga mangsa tiga pelajar Muslim yang dibunuh pemuda lelaki kulit putih, awal tahun ini," katanya.

Budak ketagih yogurt

Budak ketagih yogurt

EMILIE-Lea Hayward boleh dikatakan seorang kanak-kanak yang cerewet makan dan hanya menginginkan yogurt Petits Filous. Malah, dia boleh menghabiskan sehingga 30 botol yogurt sehari.

Setiap kali ibunya, Naomi, 32, ingin memberi makanan lain, dia akan menjerit dan mengamuk. Selain itu, dia juga tidak menyentuh coklat, aiskrim, atau gula-gula dan menolak perisa yogurt lain seperti strawberi dan raspberi.

“Dia pernah dibawa berjumpa pakar pediatrik dan nutrisi, namun tiada siapa yang dapat membantu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia hanya bermain makanan lain dengan tangan dan akan menjadi histeria jika cuba diberi makan.

“Pelbagai usaha telah saya lakukan. Saya cub berinya makan dengan cara bercerita, berikan dorongan dan minta bantuan kanak-kanak lain. Tetapi tiada satu pun yang berhasil. Ia benar-benar membimbangkan jika dia tidak mendapat zat secukupnya,” katanya kepada Daily Mail.

Bagaimanapun, doktor di Hospital High Wycombe pernah memberitahu Naomi bahawa anaknya itu sihat sama seperti kanak-kanak lain seusianya. 

Lidah terpanjang di dunia?

Lidah terpanjang di dunia?

KEUNIKAN memiliki lidah sepanjang 3 sentimeter memberi kelebihan kepada Adrianne Lewis, 18, dari Michigan, Amerika Syarikat, untuk menjilat hidung, dagu, siku dan matanya.

Dia kini sedang dalam rundingan dengan Rekod Dunia Guinness dan masih menunggu untuk melihat sama ada dia mampu mengalahkan pemegang rekod semasa, Nick Stoeberl, yang juga mempunyai panjang lidah yang sama.

“Saya fikir ia mungkin diwarisi kerana ibu, nenek dan moyang saya semuanya mempunyai lidah yang panjang,” katanya kepada Daily Mail.

Difahamkan, pihak Ripley’s Believe It Or Not ada menawarkannya untuk ditampilkan dalam buku itu selepas dia menghantar penyertaan ketika masih berusia 13 tahun.

Bagi berkongsi segala kebolehannya kepada orang ramai, Adrianne turut menghasilkan saluran YouTube sendiri sejak dua tahun lalu dan sehingga kini telah memuat naik lebih 250 video dengan lebih 855 pengikut.

Patung 'selfie' putera Uthmaniyyah dirosakkan

Patung 'selfie' putera Uthmaniyyah dirosakkan
Patung 'selfie' putera Uthmaniyyah sebelum dirosakkan. - Foto DHA

AMASYA - TURKI. Patung 'selfie' putera zaman pemerintahan Uthmaniyyah yang dibina di tepi sungai Amasya di bandar Turki dirosakkan hanya beberapa jam selepas didirikan.

Replika telefon bimbit yang dipegang patung itu dirosakkan, manakala patung putera itu dan pedang masih dalam keadaan baik.

Salah seorang penduduk tempatan yang ditemui berkata, pembinaan patung sedang ber'selfie' adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak melambangkan sejarah Turki.

"Semua orang tahu, telefon bimbit masih tidak wujud pada zaman itu. Ini adalah satu penghinaan dengan menggambarkan putera dalam keadaan begitu," katanya dipetik BBC.

Sementara itu, Datuk Bandar, Cafer Ozdemir berkata, patung itu tidak mewakili mana-mana putera dan ia didirikan hanya untuk menarik perhatian pelancong.

"Patung itu dibina bukan untuk merendahkan martabat mana-mana pemimpin dan tiada salahnya untuk menambah unsur moden pada patung itu," katanya.

Zon mati di Lautan Atlantik

Zon mati di Lautan Atlantik
Ahli biologi Jerman dan Kanada menemui zon mati di Lautan Antlantik Utara.

SEPASUKAN ahli biologi marin dari Jerman dan Kanada buat pertama kalinya menemui zon mati di perairan tropika Lautan Atlantik Utara baru-baru ini, di mana ikan dan kehidupan marin lain yang berada dalam zon berkenaan berpotensi untuk mati.

Penemuan itu dibuat hasil penyelidikan Helmholtz Center for Ocean Research diketuai Johannes Karstensen.

Zon mati adalah kawasan laut yang sangat sedikit kandungan oksigennya.

Biasanya, hanya sebahagian kecil mikroorganisma laut mampu hidup di kawasan tersebut dan secara ekonominya, kewujudan zon mati hanya merugikan industri perikanan.

Misalnya di Lautan Baltik, tangkapan ikan berkurangan akibat adanya zon mati.

"Lokasi zon mati ini terletak berhampiran barat Afrika yang mempunyai kandungan oksigen 20 kali lebih rendah dari bacaan biasa.

"Kami bimbang, kewujudan zom mati ini akan memberi impak kepada penduduk di Cape Verde," katanya. - IBT

Kereta terbang terhempas ketika ujian

Kereta terbang terhempas ketika ujian
Kereta terbang AeroMobil terhempas, Jumaat lepas.

SLOVAKIA - Kereta terbang pertama di dunia keluaran sebuah syarikat teknologi terhempas dalam satu ujian penerbangan di Slovakia, Jumaat lepas.

Menurut Fox News, kereta terbang tersebut yang juga prototaip ketiga keluaran syarikat AeroMobil dikemudi penciptanya, Stefan Klein ketika kejadian.

Saksi memberitahu, kereta terbang tersebut berpusing dan memaksa Klein membuka payung terjun pada ketinggian 900 kaki untuk pendaratan yang selamat.

Kereta terbang tersebut remuk teruk manakala Klein selamat tanpa sebarang kecederaan.

Menurut kenyataan dari AeroMobil, data penerbangan dari ujian tersebut akan digunakan dalam ujian akan datang selepas kereta terbang tersebut dibaiki.

"Dalam proses mencipta kenderaan baru, terutamanya prototaip, kemungkinan sesuatu yang buruk terjadi adalah tinggi, dan ianya normal.

"Ini adalah tempoh 'belajar' dan penting untuk kami untuk mengenal pasti (masalah) dan memperbaikinya dalam rekaan kami yang seterusnya," dipetik dari kenyataan tersebut.

AeroMobil bertanggungjawab menghasilkan kereta terbang tersebut sejak tahun 1990 dan enjin Rotax 912 yang digunakan mampu diisi di stesen minyak konvensional.

Jane Goodall pengkaji dunia Cimpanzi

Jane Goodall Pengkaji Dunia Cimpanzi

“CIMPANZI telah banyak mengajar saya. Pengalaman menghabiskan banyak masa bersama haiwan ini di dalam hutan membentuk pemahaman saya terhadap tingkah laku manusia dan alam semula jadi” – Jane Goodall.

Sekitar Julai 1960, Jane Goodall memulakan pengembaraannya dari England ke Tanzania untuk menyelami ke dalam dunia cimpanzi liar dengan hanya berbekalkan buku nota dan sepasang teropong.

Hari ini, hasil kerja Goodall berkisarkan tentang spesies terancam terutamanya cimpanzi, dan menggalakkan orang ramai untuk sama-sama menjadikan dunia ini sebagai tempat yang lebih baik untuk manusia, haiwan dan alam sekitar yang dikongsi bersama.

Kini, Goodall merupakan seorang primatologist Inggeris, ethologist, antropologi dan Utusan Keamanan Pertubuhan Bang-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau juga dianggap sebagai pakar terkemuka di dunia dan terkenal dengan kajiannya selama 55 tahun terhadap interaksi sosial dan keluarga cimpanzi liar di Taman Negara Gombe Stream, Tanzania.

Selain itu, Goodall juga adalah pengasas Institut Jane Goodall dan Program Roots & Shoots, dan bekerja dalam bidang melibatkan kebajikan pemuliharaan serta haiwan. Juga telah berkhidmat dalam Projek Hak Bukan Manusia sejak ditubuhkan pada tahun 1996.


Kehidupan awal

Dame Jane Morris Goodall dilahirkan di London, England, pada tahun 1934 dan merupakan anak kepada pasangan Mortimer Herbert Morris-Goodall, seorang ahli perniagaan serta Margaret Myfanwe Joseph, seorang penulis novel di bawah nama pena Vanne Morris-Goodall.

Ketika kanak-kanak, bapanya memberi anak patung cimpanzi yang diberi nama Jubilee dan sejak itu rasa sayang terhadap haiwan mula bercambah. Hari ini, anak patung itu masih elok dan diletakkan di atas meja soleknya di London.

Goodall adalah salah seorang sembilan pelajar cemerlang yang menerima ijazah kedoktoran (PhD) dalam Ethologi tanpa mendapatkan ijazah sarjana terlebih dahulu.

Kerjaya Goodall sebagai pakar cimpanzi bermula apabila salah seorang rakannya mengajak beliau ke Kenya. Sejak itu, beliau menyimpan wang dan melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi pelayan kedai makan sehingga mampu ke Kenya manaiki bot.

Beliau berlayar dari London ke Afrika dengan kapal penumpang, The Kenya Castle. Dua bulan kemudian, Goodall tiba ke destinasi dan bertemu dengan Louis Leakey, seorang ahli antropologi terkenal bersama isterinya, Mary.

Selepas beberapa lama bekerja dengan Leakeys di Uvalde Gorge, Leakey memberi kebenaran kepada Goodall untuk melakukan kajian mendalam terhadap cimpanzi di Taman Negara Gombe di Tanzania.


Pakar cimpanzi

Goodall terkenal dengan kajian beliau mengenai kehidupan sosial dan keluarga cimpanzi. Beliau memulakan kajiannya dalam komuniti cimpanzi Kasakela di Tanzania pada tahun 1960.

Sesetengah saintis mengkritik tindakan Goodall memberi nama kepada cimpanzi yang sedang diperhatikan sperti David Greybeard dan Goliath, dan bukannya menggunakan nombor.

Difahamkan, Goodall adalah antara individu pertama yang mendakwa spesies itu juga mempunyai persamaan dengan manusia dari segi emosi, kecerdasan, keluarga dan hubungan sosial.


Jane Goodall Institut

Pada tahun 1977, Goodall menubuhkan Jane Goodall Institut (JGI) yang menyokong penyelidikan Gombe, di mana beliau adalah pemimpin global dalam usaha untuk melindungi cimpanzi dan habitat mereka.

Dengan 19 pejabat di seluruh dunia, JGI diiktiraf secara meluas bagi inovatif, pemuliharaan dan pembangunan program komuniti berpusat di Afrika.

Program belia globalnya, Roots & Shoots bermula pada 1991 dan kini mempunyai lebih 10,000 kumpulan di lebih 100 buah negara.

Disebabkan limpahan nota, tulisan tangan, gambar dan data di rumah Goodall di Dar es Salaam, Pusat Kajian Primat Jane Goodall Institut telah diwujudkan di University of Minnesota untuk menempatkan dan menyusun segala data.

Kini, semua arkib asal Goodall diletakkan di sana dan telah didigitalkan serta dianalisis untuk disimpan secara atas talian.

Hari ini, Goodall menghabiskan banyak masa memberi syarahan, berkongsi mesej dan harapan untuk masa depan selain menggalakkan golongan muda membuat perubahan dalam dunia mereka.

Selain itu, beliau juga merupakan lembaga pengarah bagi tempat perlindungan cimpanzi terbesar di dunia di luar Afrika, Save the Chimps, di Fort Pierce, Florida, Amerika Syarikat.

Lukisan Picasso catat rekod lelongan paling tinggi

Lukisan Picasso catat rekod lelongan paling tinggi
Lukisan agung Picasso dilelong lebih RM647 juta. - Foto AFP

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Lukisan Pablo Picasso memecah rekod sebagai karya seni paling mahal yang dijual dalam lelongan iaitu dengan harga RM647 juta.

Memetik BBC, lukisan Picasso yang bertajuk 'Women of Algiers' (version 0) dijual selepas 11 minit mendapat bidaan oleh pembeli melalui telefon.

Sementara itu, karya Alberto Giacometti yang bertajuk 'Pointing Man' pula memecah rekod dunia sebagai arca paling mahal dijual dengan RM509 juta dalam jualan lelongan di pusat lelongan Christie di New York semalam.

Bagimanapun identiti pembeli tidak diketahui.

Sebelum ini, karya seni paling mahal dijual dalam lelongan adalah bernilai RM513juta oleh pelukis Francais Bacon yang bertajuk 'Three Studies of Lucian Freud' pada tahun 2013.

Jurugambar kaji rona kulit manusia



ANTARA potret yang dihasilkan bagi menunjukkan perbezaan rona kulit manusia di seluruh dunia.- AGENSI


OHIO, Amerika Syarikat – Seorang jurugambar dari Brazil menggunakan kaedah fotografi bagi menunjukkan kepelbagaian dalam komuniti yang tidak terhad kepada warna kulit hitam dan putih semata-mata.
Menerusi projek Humanae yang dipamerkan di Galeri Gund di Gambier di sini, Angelica Dass telah menghasilkan katalog dan merekodkan sebanyak mungkin tona kulit yang terdiri daripada pelbagai kaum, jantina dan umur orang ramai dari seluruh dunia.
Setakat ini terdapat kira-kira 2,500 potret yang dipamerkan melalui sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Sepanyol, Brazil dan Amerika Syarikat.
Dass hanya mengambil gambar potret individu tersebut dengan tidak meletakkan informasi mengenai bangsa, jantina, umur, kelas sosial atau agama, tetapi membezakan kesemua gambar tersebut menerusi warna kulit.
Ujarnya, objektif projek itu adalah untuk mencetuskan perbincangan mengenai identiti etnik tanpa menyentuh faktor seperti warganegara, keturunan, status ekonomi, umur atau tahap estetika.
“Batasan yang mungkin dicapai adalah bagi melengkapkan semua penduduk dunia dan projek ini masih dalam proses untuk diteruskan pada masa akan datang,” ujar Dass. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0511&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3ZtaQScTs 
Hakcipta terpelihara 

Jambatan kertas jadi tumpuan

Alan Hinkers, menyeberangi jambatan unik yang dihasilkan daripada

Alan Hinkers, menyeberangi jambatan unik yang dihasilkan daripada 22,000 helaian kertas berwarna merah di Lembah Grisedale, London, baru-baru ini. - AGENSI
HELVELLYN, LONDON 11 Mei – Sebuah jambatan unik yang hanya diperbuat menggunakan kira-kira 22,000 helai kertas berwarna merah tanpa menggunakan gam, menjadi tumpuan kepada penjalan kaki dan penunggang basikal di Lembah Grisedale, di sini, baru-baru ini.
Menurut portal Mail Online, jambatan kertas berwarna merah itu merupakan sebahagian hasil seni yang terletak di sepanjang anak sungai di Lembah Grisedale.
Penggiat alam sekitar, Steve Messam dari Teesdale, menghabiskan masa tiga tahun untuk membina jambatan unik tersebut yang dikendalikan oleh Taman Kebudayaan sebagai sebahagian daripada Program Kecantikan Tasik 2015.
Beliau berkata, struktur jambatan itu kukuh dan mampu menyokong berat pejalan kaki kerana dihasilkan daripada 4.5 tan (225 kilogram) helaian kertas yang sama seperti kekuatan kayu oak.
Jambatan kertas sepanjang lima meter itu mula dibuka kepada orang awam mulai Jumaat lalu.
Seorang pendaki gunung, Alan Hinkers dari Yorkshire Utara yang merupakan pejalan kaki pertama melalui jambatan unik itu berkata, dia sangat takut ketika menyeberanginya.
“Ketika melalui jambatan itu, saya merasa cemas memandangkan jambatan ini diperbuat daripada kertas dan tidak yakin dengan kekuatan jambatan tersebut,” ujarnya.
Katanya lagi, walaupun hujan lebat, tetapi jambatan kertas itu tidak menunjukkan tanda rosak dan masih kukuh.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/jambatan-kertas-jadi-tumpuan-1.90796#sthash.FFcQAOG1.dpuf

Makhluk asing wujud?


Gambar papar bukti didedahkan

Gambar makhluk asing yang dirakam oleh Bernard Ray sekitar tahun
Gambar makhluk asing yang dirakam oleh Bernard Ray sekitar tahun 1947 hingga 1949, dipamerkan kali pertama di National Auditorium, New Mexico, baru-baru ini. AGENSI
NEW MEXICO 11 Mei - Dua keping gambar yang diambil oleh seorang ahli geologi, menjadi bahan bukti penting menyatakan bahawa objek terbang tidak dikenali (UFO) yang terhempas di Roswell, di sini pada tahun 1940-an, dinaiki oleh makhluk asing.
Laman web Inquisitr melaporkan, gambar yang memaparkan sebahagian daripada bentuk badan makhluk asing itu diambil oleh Bernard Ray sekitar tahun 1947 hingga 1949 dengan menggunakan filem Kodachrome.
Pakar UFO mengesahkan, gambar tersebut tulen dan tidak wujud sebarang unsur penipuan selepas menjalankan kajian selama lima tahun.
“Kami percaya gambar ber­kenaan adalah tulen kerana pada masa itu lakaran makhluk asing masih belum wujud dan tidak mungkin manusia boleh memikirkan cara menghasilkan model sedemikian.
“Ini jelas menunjukkan memang wujud perhubungan antara makhluk asing dengan Bumi sejak dahulu lagi,” kata pakar UFO Mexico, Jaime Maussan ketika menjadi pengacara dalam rancangan Be A Witness, yang memaparkan imej makhluk asing berkenaan kepada umum buat pertama kali di National Auditorium, baru-baru ini.
Kata Maussan, gambar tersebut dijumpai di dalam kotak yang dipenuhi dengan gambar-gambar lama di rumah loteng milik Ray di Arizona, Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, pengkaji dan penulis buku UFO terkenal, Richard Dolan tidak setuju dengan keputusan kajian berkenaan dengan berkata, foto tersebut perlu dianalisis dengan lebih mendalam kerana bukti bergambar tidak memberi maklumat yang jelas.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/makhluk-asing-wujud-1.90798#sthash.ZPEKqkfD.dpuf