Pages

Sunday, August 31, 2014

‘MH370 hak saya’


Alor Gajah: Teka-teki mengenai siapa pemilik sebenar nombor pendaftaran kenderaan MH370 terjawab apabila ia sebenarnya ‘harta’ seorang warga emas dari Melaka.
Sebelum ini, gambar sebuah kereta Proton Wira menggunakan nombor plat berkenaan menjadi ‘viral’ dan tersebar di laman sosial, tetapi sebenarnya ia hasil teknik pengubahsuaian gambar.

Gambar itu tersebar berikutan tragedi pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Semakan Metro Ahad mendapati nombor plat berkenaan yang didaftar pada sebuah motosikal Honda C70 adalah milik pesara tentera, Othman Ahmad, 68.

“Bertahun-tahun motosikal ini hanya terbiar di dalam bengkel anak sebelum tiba-tiba muncul seorang lelaki dari Merlimau, Jasin mahu membeli motosikal berkenaan dengan harga RM500.

“Ketika itu saya tidak sedar nombor pendaftaran motosikal berkenaan sama dengan kod pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang. Apabila anak sulung beritahu, baru saya tersedar dan tidak mahu menjualnya lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah, di sini, baru-baru ini.
Foto
OTHMAN dan isteri, Radhiah Penjot, 64, menunjukkan geran motosikal yang didaftarkan atas namanya.
Othman berkata, tidak lama selepas itu seorang lelaki mendakwa dari Mersing, Johor datang menawarkan harga sama untuk membeli motosikalnya.

Katanya, dia sekali lagi menolak kerana nombor pendaftaran MH370 ada sejarahnya yang tersendiri.
“Nombor pendaftaran MH370 menjadi satu sejarah dan hanya saya menggunakan nombor pendaftaran itu. Saya turut bersimpati dengan mangsa serta ahli keluarga penumpang serta anak kapal pesawat yang sehingga kini belum ditemui,” katanya.

Othman yang pernah bertugas di Markas 5 Briged Kem Lok Kawi, Sabah berkata, dia membeli motosikal itu pada 1979 di Masjid Tanah dan dibawa ke Sabah sebelum berkahwin dan berpindah semula ke kampungnya di Kampung Ramuan China Besar.

“Ketika itu (1979), menunggang motosikal ini cukup bergaya kerana harga kereta waktu itu mahal, jarang orang lain dapat menggunakannya, tetapi saya dapat milikinya dan dijaga elok hinggalah saya bersara,” katanya.

Othman berkata, dia sanggup menjual motosikal itu dengan nombor pendaftaran sekali jika sesuai harganya kerana berhasrat menderma sebahagian wang jualan kepada badan kebajikan dan masjid.

“Motosikal itu sudah lama rosak. Selepas berbincang dengan keluarga, daripada terbiar dan tersadai, apa salahnya saya jual jika kena dengan harganya.

“Jika ada yang sanggup beli dengan harga berpatutan, saya akan jual kerana berhasrat menderma sebahagian hasil jualan kepada badan kebajikan dan masjid, manakala selebihnya untuk kegunaan sendiri,” katanya yang mempunyai enam anak berusia 20 hingga 41 tahun.

Othman berkata, motosikal itu tidak pernah terbabit dengan kemalangan dan dia masih menyimpan geran motosikal itu dengan baik.

“Selama ini tidak terlintas pun akan dikenali kerana motosikal ini orang lain tidak pernah pandang pun tetapi selepas pesawat MH370 hilang, ramai mencari siapa pemilik kenderaan yang mempunyai nombor pendaftaran MH370.

“Saya dimaklumkan ada yang sanggup meminta bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengesan pemilik nombor kenderaan MH370 ini sebelum mereka dapat cari saya,” katanya yang kini menternak lebih 200 kambing serta ayam kampung.

Rakan Othman, Sazali Puteh, 56, berkata, mungkin ada pihak tertentu akan mengambil kesempatan berikutan nombor pendaftaran MH370 menjadi perhatian.

“Saya harap Othman berhati-hati dengan pihak yang ambil kesempatan dengan apa dimiliki dan pastikan individu membelinya (motosikal) ikhlas dan jujur,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/31

Geram diganggu tonton kartun


Liu Mai sedang menggunakan gerudi pada tembok apartmen berkenaan di tingkat lapan dan terkejut apabila melihat Tang Chu, 10, menggunakan pisau untuk memotong abah-abah digunakannya di beberapa aras di atasnya. 
“Saya sedang memasang lampu keselamatan dan tiba-tiba terasa abah-abah digunakan bergerak. 

“Alangkah terkejut saya apabila melihat budak itu memotongnya. Saya menjerit namun tidak dihiraukannya... Memang pengalaman itu terlalu ngeri,” katanya.
Foto
LIU tergantung lebih 80 kaki dari atas bangunan yang dibaik pulihnya.

Dia terpaksa mengharungi detik cemas selama 40 minit dengan hanya satu tali sementara rakan sekerja berusaha menariknya ke tempat selamat.

Jurucakap bomba berkata, kanak-kanak itu tidak berfikir panjang kerana berang apabila tidak dapat mendengar rancangan kartun kegemarannya di televisyen. 

Bapanya Tang Peng berkata anaknya sudah memohon maaf atas kejadian itu selain menggantikan abah-abah mangsa. 

“Saya juga duduk berbincang dengan anak saya itu dan memberitahunya betapa teruk sikapnya sehingga membahayakan nyawa seseorang,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/31

Kepercayaan ‘halang’ ubat anak


Brett King dan isterinya Naghmeh dipercayai membawa Ashya bersama enam lagi anak mereka berusia antara dua hingga 23 tahun menaiki feri ke Cherbourg, Perancis, kelmarin tidak lama selepas kanak-kanak itu menjalani pembedahan untuk membuang tumor barah sebesar limau tangerin yang agresif di otaknya.
Rakaman CCTV menunjukkan King, 51, membawa Ashya keluar menggunakan kerusi roda dari Hospital Awam Southampton dan doktor bimbang tindakan itu memudaratkan kanak-kanak terbabit berikutan tiub makanannya bakal kehabisan bateri.

Pembantu ketua konstabel Chris Shead memberi amaran tindakan pasangan berkenaan mampu membahayakan nyawa cahaya mata mereka.
Foto
Naghmeh bergambar bersama Ashya selepas pembedahan anaknya itu.

“Kami tidak tahu sama ada mereka mempunyai bateri tambahan atau tahu cara untuk mengecas bateri yang ada. Jika tidak keadaan Ashya pasti akan semakin teruk,” katanya.

Jurucakap Pejabat Perhubungan Awam Jehovah’s Witness bagaimanapun menafikan tindakan mereka bermotifkan kepercayaan agama sebaliknya menganggap tindakan itu akibat rasa terdesak bagi mencari ubat bagi merawat keadaan Ashya.

Rakan keluarga itu berkata, King dan Naghmeh sukar menerima diagnosis doktor bahawa kanser itu mungkin menyerang anak mereka dan menjangkakan kanak-kanak itu hanya mampu hidup empat bulan lagi. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/31