Pages

Saturday, August 9, 2014

Terubat rindu 10 tahun


Pertemuan itu membuahkan harapan pasangan itu yang turut berharap dapat menemui anak lelaki mereka yang turut hilang dalam bencana itu. 
Raudhatul Jannah yang berusia empat tahun ketika hilang berpaut pada kepingan kayu bersama abangnya, Arif Pratama, 7, ketika dibadai arus Tsunami yang memusnahkan kediaman mereka pada 2004. 

Ibu mangsa, Jamaliah dan suaminya, Septi Rangkuti yang terselamat dalam bencana itu menyatakan mereka sudah berputus asa dalam mencari anak mereka dan tidak menyangka yang mereka masih hidup.
Foto
JAMILIAH (kiri) mencium Raudhatu, 14. Di belakang mereka adalah ayah budak perempuan ini, Septi. Mereka dipertemukan pada 7 Ogos, selepas 10 tahun Raudhatu, dihanyut tsunami, pada 2004 (Foto kecil, Raudhatu ketika berusia 4 tahun). FOTO Reuters

Namun, Jun lalu, abang Jamaliah bertemu dengan seorang kanak-kanak dilihat mirip Raudhatul dan mendapati dia adalah anak saudaranya yang hilang.

Raudhatul memberitahu, dia diselamatkan seorang nelayan dan dijaga keluarga angkat selepas kejadian itu. 

Ibu bapanya yang sudah berpindah ke Sumatera Utara datang semula ke Acheh untuk menemui anak kandung mereka selepas diberitahu mengenai perkara itu. 

Jamaliah dan Septi menganggap pertemuan semula dengan Raudhatul itu adalah satu keajaiban dan kini berharap agar dipertemukan dengan anak lelaki mereka. 

“Kami sangat berharap dapat bertemu semula dengannya. Laporan polis sudah dibuat agar mereka dapat membantu mencarinya,” kata Septi. 

Mereka mengakui agak sukar untuk mempercayai yang Raudhatul masih hidup ketika diberitahu mengenainya oleh abang Jamaliah. 

“Tidak mungkin dia masih hidup kerana sudah 10 tahun dia hilang dihanyutkan Tsunami. Namun ketika kami melihatnya, kami dapat merasakan hubungan tali kekeluargaan itu masih kukuh,” kata Septi. 

Tragedi Tsunami yang melanda Acheh meragut lebih 170,000 nyawa dan memusnahkan hampir keseluruhan wilayah itu. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/08

Derita lelaki sunyi tiada isteri


Chongqing, China: Gara-gara hidup kesunyian, seorang warga emas dilaporkan menelefon polis sebanyak 1,483 kali sepanjang tahun lalu.

Malah, menurut sumber polis, warga emas yang cuma didedahkan identiti sebagai Zhao itu biasanya membuat panggilan telefon berkenaan ketika mabuk dan terdesak untuk meluahkan perasaannya.


“Pada satu hari, dia menghubungi polis hanya kerana tertinggal kunci di dalam rumahnya.

“Terpaksa pula saya menelefon bekas isterinya supaya membantu dia,” katanya. Menurut sumber itu, dia mengesyaki Zhao, 71, selalu meminum arak.


Selepas panggilan pertama itu, Zhao mula menelefon Balai Polis Daping beberapa kali sehari.


Menurut sumber berkenaan, Zhao pernah dilaporkan membuat panggilan sebanyak 29 kali seminggu. “Zhao mendakwa dia kesunyian dan mahu berbual dengan seseorang apabila mabuk. “Kami boleh memahami situasinya tetapi dia terlampau kerap menelefon,” katanya.

Difahamkan, Zhao berpisah dengan isterinya lebih 20 tahun lalu, manakala anak perempuan mereka menetap di Beijing.


Zhao bagaimanapun enggan berpindah ke rumah penjagaan kerana tidak sanggup mematuhi polisi ketat yang melarang minuman keras selain kos pembiayaan tinggi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Misteri 3 kawah Siberia

Big hole on Taymyr near Nosok

View of the crater in Antipayuta
Sides of Yamal crater near Bovanenkovo

Crater near Bovanenkovo gas field

Yamal crater near Bovanenkovo from above
Siberia: Kemunculan tiga lubang di kawasan terpencil di Russia masih menjadi misteri walaupun saintis sudah mengemukakan beberapa teori bagi menjawabnya.

Bermula dengan kehairanan sesetengah pihak mengaitkan fenomena itu dengan campur tangan makhluk asing, kesan peluru berpandu atau akibat hentaman tahi bintang.


Lubang atau juga dikenali sebagai kawah pertama itu mempunyai kedalaman 70 meter dan selebar 30 meter, manakala lubang kedua berukuran lebih kecil, iaitu selebar 15.3 meter.



Lubang ketiga pula berukuran hanya 4 meter.


Lubang pertama ditemui seorang penduduk tempatan secara kebetulan, dan lebih menarik ia berlaku di suatu tempat dikenali sebagai Yamal - bermaksud Hujung Tanah.


Apa yang menyebabkan ia menjadi lebih misteri ialah, lubang itu dipercayai terbentuk bukan disebabkan pemendapan, sebaliknya letusan dari dalam tanah.

Lubang pertama dikesan pada pertengahan Julai lalu sebelum beberapa hari kemudian, lubang kedua yang lebih kecil tetapi sama sifatnya dengan yang pertama ditemui.


Saintis juga menemui lubang ketiga di kedudukan beberapa ratus kilometer jaraknya beberapa hari selepas itu.

Beberapa orang yang sampai ke situ berkata, pengalaman melihat lubang besar dan dalam itu amat menakutkan, terutama apabila mendengar bunyi ketulan tanah jatuh ke air.


Kadar kandungan gas metena di situ juga dilaporkan tinggi.


Selepas saintis melihat lubang berkenaan, beberapa penjelasan ditawarkan bagi menjelaskan mengapa ia berlaku. Penyelidik dari Institut Kriosfera Bumi percaya lubang itu adalah kesan aktiviti alam semula jadi. Satu daripada kemungkinan puncanya ialah ais yang ada di bawah tanah mencair menyebabkan gas di dalamnya terbebas secara mendadak.


Fenomena itu menyebabkan berlaku letusan dari dalam ke permukaan tanah. Ketua saintis Marina Leibman berkata, mereka perlu menyelidik ketiga-tiga lubang misteri itu sebelum dapat memberi penjelasan muktamad. “Setiap lubang menyediakan maklumat tambahan kepada saintis,” katanya. Ketua Unit Pembangunan Artik Russia, Vladimir Pushkarev pula berkata fenomena itu sangat menarik untuk diselidik. Pakar geografi di Universiti Alaska Fairbanks itu berkata, dia yakin lubang berkenaan terbentuk akibat letusan yang kuat. “Ia sangat menarik kerana fenomena begitu belum didokumentasikan dan agak baru kepada kami,” katanya. Saintis Universiti New South Wales di Australia, Chris Fogwill berpendapat ia terjadi akibat fenomena ‘pingo.’ Ia merujuk kepada timbunan tanah yang sering terbentuk di Artik serta sekitarnya.


Beberapa saintis lain menyokong teori Fogwill. Semenanjung Yamal menyimpan rizab gas terbesar di Russia dan lubang terbesar dikesan kurang dari 32 kilometer dari telaga gas terbesar di negara itu di Bovanenkovo. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Keluarga temui anak hilang ketika tsunami

Keluarga temui anak hilang ketika tsunami

Jamaliah (kiri) mencium Raudhatul Jannah sambil diperhatikan Septi dan neneknya Sarwani selepas menunaikan solat di Masjid Baiturrahman di Banda Aceh semalam. - Foto REUTERS 



Banda Aceh: Sepasang suami isteri di wilayah ini dipertemukan semula dengan anak perempuan mereka yang hilang dihanyutkan tsunami tahun 2004, semalam.

Pertemuan itu memberi harapan untuk mereka mencari anak lelaki mereka yang juga hilang di dalam bencana itu.

Raudhatul Jannah berusia empat tahun manakala abangnya berusia tujuh tahun ketika kedua-duanya dihanyutkan oleh ombak deras yang melanda kediaman mereka di wilayah Aceh pada 26 Disember 2004.

Pernah putus asa

Bagaimanapun, ibu mereka, Jamaliah dan bapa mereka Septi Rangkuti terselamat daripada tsumami yang berpunca daripada gempa bumi mengorbankan hampir 10,000 nyawa di Acheh, bahagian barat Pulau Sumatera. Mereka dikatakan pernah berputus asa untuk mencari dan mempercayai anak mereka masih hidup.

Namun takdir mengatasi segalanya apabila pada Jun lalu, abang Jamaliah bertemu dengan seorang gadis di sebuah perkampungan di Aceh dalam perjalanan pulang dari sekolah kelihatan mirip wajah Raudhatul.

“Sejak itu beliau cuba bertanya kepada penduduk kampung dan mendapati gadis itu terperangkap di dalam ombak besar tsunami dan dihanyutkan ke pulau terpencil berdekatan wilayah itu,” kata sumber.
Raudhatul dikatakan dibawa pulang ke tanah besar oleh seorang nelayan dan dibesarkan oleh seorang ibu tua.

Pertemuan luar biasa

Sebaik mendengar khabar itu, kedua-dua ibu bapa Raudhatul yang tinggal di wilayah utara Aceh pergi ke bandar terbabit untuk menemui gadis yang didakwa mirip anak perempuan mereka.

Pertemuan itu akhirnya meyakinkan pasangan berkenaan bahawa itu adalah anak perempuan mereka yang kini sudah berusia 14 tahun.

Jamaliah yang menganggap pertemuan itu sebagai sesuatu yang luar biasa berkata, anak perempuan beliau sudah ditemui dan sukar menggambarkan perasaannya ketika detik pertemuan menyayat hati itu.

“Kami dapat merasakan keserasian dan beliau akan berpindah ke utara Sumatera untuk tinggal bersama kami dan kini kami berharap agar dapat menemui anak lelaki kami pula,” katanya. - AFP

Stefano kagum wanita berhijab


SRI DIAH
9 Ogos 2014

Stefano ketika sedang menjalankan tugasnya di Rome, Itali.
Stefano ketika sedang menjalankan tugasnya di Rome, Itali. 
Stefano bersama isteri yang banyak menyokongnya, Bayu Bintari Fatmawati.
Stefano bersama isteri yang banyak menyokongnya, Bayu Bintari Fatmawati.



DIA berusaha mencari kehidupan hakiki, ALLAH SWT membuka hati anak kelahiran Rome, Itali untuk mendekati Islam di bumi yang agama Kristian Katolik paling ramai di dunia.

Dalam pencariannya itu beliau mula rapat dengan komuniti Islam di kota cinta itu. Dia hidup dan menjalinkan hubungan baik bersama-sama mereka dalam pelbagai aktiviti Islam dan turut mempelajari Islam selama beberapa tahun.

Berusaha kenali Islam

Juru foto dan wartawan bebas untuk beberapa akhbar dalam talian di seluruh dunia, Stefano Romano, 40, berkata, beliau cuba mendekati Islam dengan caranya. Walaupun susah, memerlukan iman yang kuat dan banyaknya dugaan datang tanpa disangka, beliau tetap yakin Islam adalah agama yang sebenar.

"Akhirnya ALLAH membuka pintu hati ini untuk kembali kepada fitrahNya sebagai umat Islam dan tanggal 18 Oktober 2010 bertempat di Masjid Besar, Rome dengan tenangnya saya melafazkan syahadah.

"Bermulalah perjalanan hidup saya sebagai Muslim, saya mendalami selok belok agama Islam bersama kumpulan minoriti di sekitar Rome dengan niat untuk menjadi umat Islam sejati. Saya mahu menjadi insan yang taat akan perintah agama dan menjadi sebenar-benar Muslim," katanya.

Menurutnya, beliau lahir dalam keluarga yang kuat berpegang kepada ajaran Kristian, namun atas reda dan menghormati pendiriannya. Keluarga Stefano merestui pilihannya untuk menganut Islam.

Sebelum memeluk Islam lagi, Stefano yang dilahirkan pada tahun 1974 bergaul mesra dengan komuniti Islam yang terdiri dalam kalangan penduduk asal Itali.

Kerja-kerja dakwah

Kini, beliau terbabit dalam kerja-kerja dakwah bersama  pemastautin  Islam dari Indonesia dan Malaysia. Setiap hari dirinya terus istiqamah dalam takdir dan iman terhadap Islam.

Stefano kerap terlibat dalam aktiviti keagamaan bersama-sama golongan minoriti Benggali, Syria, Thailand dan Filipina.

“Sebagai insan yang tidak jemu mencari ilmu mengenai Islam, sesekali saya turut dipanggil untuk memberikan ceramah agama kepada komuniti lain. Saya turut diberi kesempatan untuk menyampaikan khutbah di Masjid Besar Rome.

“Kini dalam usaha untuk mendalami Islam, saya masih lagi memperkukuhkan bacaan saya dalam pengajian al-Quran. Saya masih mengikuti kelas mengaji di Kedutaan Besar Indonesia di Rome, pada setiap pagi Ahad," katanya yang mempunyai kelulusan dalam bidang Falsafah dan Psikologi dari salah sebuah universiti di Itali dan sangat mencintai keindahan seni foto dengan pengkhususan gambar potret.

Malah baginya minat terhadap bidang fotografi itulah membuatkan beliau jatuh cinta terhadap Islam. Beliau kerap menjadikan komuniti Bangladesh, Filipina, Indonesia dan Malaysia sebagai objek fokusnya dalam memotret.

Minat hijab, budaya kaum

Wanita, kanak-kanak, pemakaian hijab dan budaya sesuatu kaum antara fokus utama yang menjadi minat beliau. Budaya yang cantik dan melambangkan kesucian Islam adalah kecintaannya dalam membidikkan lensanya.

Dirinya kagum melihat wajah wanita yang berhijab. Pada wajah mereka yang polos itu terhampar cahaya iman yang sebenar. Stefeno selalu mencari-cari iman di wajah mereka, melihat ciri seorang wanita yang tetap cantik di sebalik hijab yang disarung.

Stefano mempunyai peminatnya yang tersendiri. Gambar yang beliau hasilkan selalu mendapat komen positif daripada peminat fotografinya. Mereka menanti-nantikan hasil karya beliau setiap kali selepas sesuatu acara disertainya.

Beauty must be always shared  - adalah motto Stefano dalam memotret. Beliau sangat berpegang pada hakikat sekeping gambar akan bercerita dengan sejuta perkataan.

Sebagai juru foto dan wartawan, Stefano banyak terlibat dalam kebanyakan aktiviti rasmi dan tidak rasmi di Kedutaan Besar Malaysia, Kedutaan Besar Indonesia dan Kedutaan Besa Filipina di Rome, Itali.

"Saya turut menyumbang tulisan dan karya fotonya ke akhbar-akhbar dalam talian di Indonesia, Filipina, Bangladesh, Thailand  dan Itali.

Aktiviti-aktiviti bersama komuniti di Rome mempunyai banyak keistimewaannya. Ada masanya, saya juga turut dipanggil untuk bertugas di daerah lain. Saya seronok melakukan pelbagai aktiviti fotografi.

"Perbezaan budaya dan cara pemikiran banyak mengajar saya untuk tidak berfikir secara individu. Keindahan akan terserlah jika kita bekerja dengan penuh minat dan tanggungjawab secara ikhlas. Dakwah saya untuk Islam ialah melalui fotografi. Saya ingin membetulkan rasa silap faham masyarakat Itali terhadap Islam,” ujarnya.

Terpaksa tutup aurat?

Bagi masyarakat Itali mereka menganggap wanita Islam yang menutup aurat adalah atas paksaan dan desakan suami atau ayah mereka. Hal ini semakin menjadi rumit apabila komuniti Arab di sana turut mengesahkan ajaran ini.

“Tanggapan inilah yang selalu saya perbetulkan. Inilah punca warga Itali menjadi anti kepada Islam dan mereka memandang serong terhadap penganut  Islam.”

“Agama lain tidak menerangkan menutup aurat bagi wanita adalah ajaran agama. Malah wanita yang tidak menutup aurat adalah berdosa. Namun bagi saya, wanita yang menutup aurat akan kelihatan begitu cantik. Itulah yang selalu saya abadikan menerusi lensa kamera saya,” katanya.

Ekspresi wajah wanita dan kanak-kanak adalah sumber penting bagi inspirasinya dalam memotret. Keindahan wajah wanita yang berwajah polos atau wajah kanak-kanak yang suci tanpa dosa adalah umpama wajah-wajah bidadari baginya.

Pada 8 Ogos ini, beliau mengadakan bengkel fotografi di Yogyakarta. Sementara itu, 13 hingga 16 Ogos akan datang, Stefano bakal mengadakan pameran fotografinya di Jakarta. Beliau juga akan mengendalikan sesi memotret gambar wanita dan hijab bersama Yuma Fashion di Jakarta pada 13 Ogos.

Kemeja daripada emas


Pankaj Parakh membuat sepasang kemeja daripada emas sempena sambutan ulang tahun kelahirannya ke-45, baru-baru ini. - AGENSI
MUMBAI 8 Ogos - Seorang hartawan tekstil India menempah sepasang kemeja diperbuat sepenuhnya daripada emas sempena ulang tahun kelahirannya ke-45 bagi menunjukkan hasil kejayaan yang dicapainya kepada dunia.
Portal Mail Online melaporkan, Pankaj Parakh yang tidak menamatkan persekolahan dan tidak memiliki sebarang sijil kelayakan berjaya membina sebuah empayar tekstil bernilai berjuta-juta pound di India.
Pankaj berkata, beliau mahu memakai sesuatu yang istimewa sempena sambutan ulang tahun kelahirannya dengan menempah baju seberat lebih empat kilogram itu.
"Saya mahu memakainya ketika pergi ke Kuil Siddhivinayah di Mumbai," katanya.
Pankaj mendapat idea untuk membuat kemeja tersebut selepas membeli emas bernilai 127,000 pound (RM685,418).
Menurut laporan media tempatan, Pankaj menjadi perhatian ramai ketika berarak di jalan-jalan raya berdekatan rumahnya di Yeola, 260 kilometer dari Mumbai.
"Banyak wanita menunjukkan minat terhadap saya dan saya juga dapat melihat lelaki-lelaki lain kelihatan cemburu dengan saya sepanjang perarakan itu," katanya.
Lelaki itu berkata, dia juga tidak keluar rumah tanpa memakai barangan kemas seberat dua atau tiga kilogram.
"Saya tertarik dengan emas sejak saya berumur lima tahun dan hobi saya kini adalah mengumpul emas," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140809/lu_10/Kemeja-daripada-emas#ixzz39qCPL52M
© Utusan Melayu (M) Bhd