Pages

Tuesday, June 25, 2013

Kota purba Korea Utara diiktiraf


Gambar bertarikh 24 April lalu, merakamkan sebahagian struktur akademi Songkyongkwan berusia 1,000 tahun yang pernah menjadi sekolah terbaik semasa era pemerintahan Dinasti Koryo di wilayah Hwanghae Utara, Korea Utara. - AGENSI
KAESONG 24 Jun - Tinggalan kota purba di wilayah Hwanghae Utara di selatan Korea Utara, diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), semalam.
Kaesong yang menjadi ibu kota kepada Dinasti Koryo yang memerintah Korea Utara dan Korea Selatan dari 918 Masihi hingga 1392, terletak berhampiran kawasan industri Kaesong, yang terpaksa ditutup pada April lalu ekoran perselisihan antara kedua-dua negara terbabit.
Usaha Korea Utara untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut diluluskan pada mesyuarat UNESCO di Phnom Penh, Kemboja, semalam.
Kaesong memiliki 12 tapak berasingan, termasuk makam Raja Kongmin, runtuhan Istana Manwoldae dan akademi Songkyongkwan berusia 1,000 tahun yang pernah menjadi sekolah terbaik ketika era itu.
"Peninggalan budaya bernilai itu menjadi kebanggaan negara kami dan terdapat juga tinggalan budaya berharga yang menunjukkan sejarah panjang negara Korea.
"Ada juga tinggalan yang telah disimpan dalam tempoh yang panjang yang boleh menjadi kebanggaan kami di mata dunia," kata seorang penyelidik di Pejabat Pengurusan Bandar Kaesong bagi Pemuliharaan Warisan Kebangsaan, Kim Jin-sok.
Kaesong menjadi tapak kedua di Korea Utara yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia selepas kompleks Makam Koguryo di Pyongyang yang menerima pengiktirafan sama pada 2004.
Sementara itu, sebanyak 13 lokasi di seluruh dunia turut diwartakan sebagai Warisan Dunia UNESCO pada hujung minggu lalu termasuklah gunung berapi tertinggi dan paling aktif di Eropah, Gunung Etna di Itali dan Gunung Fuji, gunung tertinggi di Jepun. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130625/lu_09/Kota-purba-Korea-Utara-diiktiraf#ixzz2XB5qinLX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Remaja kelihatan seperti orang tua


Hartshorn (kanan) mewarisi penyakit lipodystrophy daripada ibunya (kiri), sementara kakaknya, Chloe (tengah), tidak pula dijangkiti penyakit itu. - AGENSI
LONDON 24 Jun - Dia baru berumur belasan tahun, namun rupanya jauh berbeza daripada remaja lain hingga penampilannya kelihatan seperti seorang wanita separuh usia.
Itulah yang menimpa Zara Hartshorn, 16, dari Rotherham, Yorkshire selepas dia didapati menghidap sejenis penyakit dikenali sebagai lipodystrophy.
Penyakit tersebut mempengaruhi keanjalan kulit Hartshorn sehingga menyebabkan kulitnya berkedut seperti wanita berumur 50 tahun ke atas.
Hartshorn mewarisi penyakit tersebut daripada ibunya, Tracy Gibson, namun kakaknya, Chloe, 17, tidak pula dijangkiti penyakit itu.
Sejak kecil remaja tersebut dibuli di sekolah dan sering dipanggil ‘monyet’ atau ‘nenek’ kerana keadaannya itu.
Bagaimanapun, seorang pakar bedah terkemuka di Amerika Syarikat (AS) yang dimaklumkan tentang keadaan Hartshorn menawarkan usaha untuk merawat penyakitnya itu.
Selepas dirawat, keyakinan diri Hartshorn meningkat dan dia kini bercinta dengan teman lelakinya, Ricky Andrews dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran di kolej.
Rawatan tersebut mengubah kehidupan remaja tersebut yang pernah menangis ketika berumur 12 tahun apabila diminta turun dari bas kerana dia memberi tiket bas untuk kanak-kanak sedangkan rupanya seperti orang tua. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130625/lu_08/Remaja-kelihatan-seperti-orang-tua#ixzz2XB5YP0v3
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ribuan biri-biri sertai tunjuk perasaan

SEORANG penternak Perancis berarak bersama biri-birinya dalam satu demonstrasi di Paris kelmarin.- REUTERS


PARIS - Lebih 10,000 penternak di Perancis mengadakan tunjuk perasaan bersama beribu-ribu haiwan ternakan di sini kelmarin, lapor sebuah media tempatan.
Bantahan tersebut dilakukan ekoran peningkatan harga makanan haiwan ternakan di negara itu.
Para penternak turut membawa jentera-jentera pertanian ketika bantahan.
Antara ternakan yang menyertai bantahan itu termasuk kambing biri-biri, lembu dan khinzir.
Kumpulan penternak berkenaan memberitahu bahawa pendapatan mereka jatuh merudum ekoran peningkatan kos makanan haiwan yang gagal ditampung oleh pengilang-pengilang di negara itu.- Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0625&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2XB2hUZFT 
Hakcipta terpelihara 

Upacara keagamaan unik di Filipina

ORANG RAMAI menutup badan mereka dengan lumpur dan daun pisang kering semasa menyambut Hari Saint John di kampung Bibiclat, utara Manila di Filipina semalam.- REUTERS


BIBICLAT - Beratus-ratus penduduk kampung ini di Filipina menutup badan mereka dengan lumpur dan daun pisang kering dalam satu perayaan yang disambut oleh penganut mazhab Katholik.
Upacara keagamaan unik itu diadakan pada setiap tahun oleh penduduk kampung di sini, sekitar 138 kilometer ke utara Manila sejak 1945 lagi.
Sebelum memakai kostum daun pisang, para peserta melumur seluruh badan dan muka mereka dengan lumpur supaya tidak dikenali oleh orang lain.
Penduduk kampung tersebut berbuat demikian untuk meniru seorang pendita Kristian, St. John yang dipercayai berpakaian seperti pengemis.
Menjelang fajar, mereka akan berkeliaran di kampung tersebut untuk meminta sedekah.
Penduduk setempat akan memberikan wang atau lilin kerana mempercayai dengan berbuat demikian, kehidupan mereka akan dirahmati Tuhan.
Selepas upacara tersebut selesai penduduk kampung itu akan berkumpul di gereja. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0625&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2XB1f9MvT 
Hakcipta terpelihara