Pages

Showing posts with label satelit. Show all posts
Showing posts with label satelit. Show all posts

Thursday, January 24, 2013

Satelit 'mati' akan dikitar semula

ILUSTRASI oleh DARPA menunjukkan sebuah satelit digunakan bagi mengesan
 komponen-komponen berharga pada satelit komunikasi yang tidak lagi berfungsi
di orbit Bumi.

WASHINGTON - Agensi Projek Penyelidikan Pertahanan Amerika Syarikat (DARPA) membelanjakan hampir AS$180,000.00 (RM540,00.00) untuk menguji teknologi bagi mengitar semula komponen satelit di orbit Bumi.
Menurut DARPA, apabila jangka hayat sesebuah satelit tamat, beberapa bahagian tertentu seperti antena dan panel solar masih lagi berfungsi seperti biasa.
Namun, sehingga kini, tiada usaha untuk menyelamatkan atau menggunakan kembali komponen-komponen tersebut
Menurut pengurus programnya, David Barnhart, penggunaan semula komponen-komponen itu mampu menjimatkan kos pembuatan satelit dalam jangka masa panjang.
"Kami sedang mencuba untuk menambah pelaburan bagi menguji teknologi itu di samping mencari pendekatan baharu yang mampu menjimatkan kos," katanya.
Teknologi tersebut katanya, melibatkan sebuah robot mekanik dan sebuah satelit mini dihantar ke orbit untuk mengesan komponen-komponen satelit yang masih boleh digunakan.
Robot mekanik itu akan menggabungkan komponen kitar semula itu dengan satelit mini bagi membina satu sistem komunikasi baharu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2IqhFACz5 
Hakcipta terpelihara 

Monday, September 26, 2011

Satelit disah jatuh di Lautan Pasifik, timur Afrika

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Agensi Angkasa Negara (Angkasa) hari mengesahkan satelit milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah jatuh di dua laluan utama yang dikenalpasti.
Koordinator Observatori Negara Langkawi (ONL), Mhd. Fairos Assillam berkata, dua laluan tersebut ialah di Lautan Pasifik dan timur Afrika.
"Satelit yang pecah kepada 26 bahagian itu dipercayai telah terbakar dan bertaburan di dua kawasan tersebut semalam, tetapi waktu sebenar belum dapat dipastikan.
"Kita cuma boleh mengesahkan waktu satelit tersebut memasuki atmosfera bumi iaitu di antara jam 11.23 pagi dan 1.09 tengah hari (waktu Malaysia) semalam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, setakat hari ini belum ada mana-mana laporan serpihan satelit itu dijumpai atau mengorbankan orang awam dan mengalami kerosakan harta benda.
Pada 21 September, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) dan NASA mengesan Satelit Penyelidikan Atmosfera Atas (UARS) seberat enam tan yang berisiko untuk jatuh ke bumi dan diramalkan jatuh pada hari Jumaat lalu.
Tambah Mhd. Fairos, Malaysia antara negara yang terselamat daripada terkena serpihan itu kerana negara berada di laluan selamat.
Mengulas tentang orang ramai diingatkan tidak mengambil dan menyentuh objek pelik berhubung serpihan satelit, beliau memberitahu, serpihan tersebut dikhuatiri sangat panas disebabkan terbakar.
Selain itu, katanya, menurut Standard Operating Procedur, serpihan satelit itu mungkin mempunyai radiasi yang tidak dikenalpasti memandangkan sudah lebih 15 tahun di angkasa lepas.

Sunday, September 25, 2011

Satelit NASA jatuh di Lautan Pasifik


INILAH imej satelit - Upper Atmosphere Research Satellite (UARS) yang dilancarkan NASA pada 15 September 1991 menerusi kapal angkasa Discovery. Satelit sains Amerika Syarikat seberat enam tan itu akan memasuki ruang angkasa bumi hari ini dengan serpihannya akan mendarat di bumi. - foto REUTERS

WASHINGTON: Satelit Amerika Syarikat bersaiz sebuah bas yang jatuh ke bumi melepasi Afrika dan utara Atlantik sebelum jatuh di Lautan Pasifik berdekatan California, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Satelit seberat enam tan iaitu Upper Atmosphere Research Satellite (UARS) jatuh dari langit di antara jam 11.23 malam Jumaat dan 1.09 pagi Sabtu waktu tempatan tetapi bukti ia dilihat atau kerosakan ditemui.
"Kami belum menerima laporan mengenai sesiapa yang melihat dan boleh dipercayai," kata Ketua Saintis Orbit NASA, Nick Johnson. - AFP

Malaysia juga boleh ditimpa serpihan dari langit





KUALA LUMPUR – Insiden satelit milik Amerika Syarikat (AS) jatuh ke bumi akibat tarikan graviti tidak sepatutnya dipandang ringan memandangkan Malaysia juga tidak terkecuali daripada terkena serpihan objek seumpama itu yang jatuh dari langit.
Ketua Makmal Satelit, Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Ir. Renuganth Varatharajoo (gambar) berkata, bandar raya seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Ipoh merupakan lokasi yang berpotensi menyebabkan kemusnahan jiwa dan harta benda yang besar.
“Walaupun objek yang jatuh itu bersaiz 10 sentimeter panjang, kelajuannya tetap memberi impak sangat kuat,” kata beliau lagi.
Beliau mengulas insiden Satelit Penyelidikan Atmosfera Amerika Syarikat (UARS) yang jatuh ke bumi awal pagi semalam dengan dipercayai bertaburan di Lautan Pasifik.
Satelit itu dilancarkan ke orbit pada tahun 1991 untuk kajian lapisan ozon sebelum perkhidmatannya ditamatkan pada 2005.
Menurut Renuganth, satelit seperti UARS akan meluncur selaju 28,000 kilometer sejam sebaik sahaja memasuki atmosfera bumi sebelum terbakar dan berkecai.

Satelit AS jatuh ke bumi



GAMBAR UARS yang sempat dirakamkan di ruang udara Belanda pada 18 Jun 2010.


WASHINGTON - Sebuah satelit tamat tempoh seberat enam metrik tan milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berkecai semasa memasuki atmosfera bumi pagi semalam dengan serpihan-serpihannya jatuh bertaburan di rantau Lautan Pasifik.
Pusat Operasi Bersama Angkasa Lepas AS dan NASA dalam satu kenyataan memberitahu, serpihan-serpihan satelit sebesar sebuah bas itu tidak semestinya menjunam ke dalam laut tetapi mengesahkan ia jatuh dalam kawasan seluas 800 kilometer persegi di rantau Pasifik.
Setakat berita ini ditulis, pihak berkuasa belum ada mengenal pasti lokasi yang tepat tempat serpihan-serpihan tersebut jatuh.
GAMBAR satelit UARS yang dikeluarkan oleh NASA selepas ia jatuh ke bumi kelmarin. - AFP


Menurut kedua-dua agensi AS itu, satelit sepanjang 11 meter itu jatuh antara pukul 1.23 petang (5.09 petang semalam waktu Malaysia).
Semasa menembusi atmosfera bumi, ia berkecai kepada lebih 100 kepingan tetapi cuma sekitar 26 kepingan logam berat dengan serpihan terbesar seberat 135 kilogram dijangka menjunam ke bumi.
NASA meramalkan kelajuan serpihan satelit itu apabila memasuki ruang udara ialah kira-kira 109 meter sesaat.
NASA sebelum ini meramalkan satelit yang dikenali sebagai Satelit Penyelidikan Atmosfera Amerika Syarikat (UARS) itu jatuh ke bumi seawal Khamis lalu.

Saturday, September 24, 2011

Serpihan satelit NASA mungkin ke Kanada, Afrika, Australia

WASHINGTON: Serpihan angkasa terbesar dalam masa 30 tahun dijadual mencecah bumi dan antara kawasan yang dilintasinya termasuk Kanada, Australia dan Afrika, menurut NASA hari ini.

Ini berikutan kegagalan satelit Amerika Syarikat - Upper Atmosphere Research Satellite (UARS)- yang mempunyai 26 bahagian dijangka akan memasuki semula ruang angkasa bumi tetapi NASA menegaskan ia hanya membabitkan risiko yang kecil.
Data terkini NASA menunjukkan serpihan satelit yang akan memasuki semula ruang bumi antara jam 11 malam Jumaat (0300 GMT Sabtu) dan 3 pagi Sabtu (0700 GMT).
“Dalam tempoh masa itu, satelit berkenaan akan melintasi Kanada, Afrika dan Australia serta melepasi lautan luas di Pasifik, Atlantik and India.

"Risiko terhadap orang awam adalah amat-amat kecil," kata NASA.

NASA berkata, berat serpihan satelit yang akan melepasi ruang angkasa bumi itu dengan terkecil satu kilogram dan sehingga 158 kilogram, dengan serpihannya boleh melayang di angkasa sejauh 800 kilometer.

Satelit yang gagal dan terawang-awang itu gagal dikesan lokasi sebenarnya dan peratusannya mendarat di laut adalah 70 peratus.
“Dalam tempoh lebih 50 sejarah progran angkasa lepas, belum ada lagi menusia yang cedera akibat terkena serpihan angkasa ketika memasuki semula ruang bumi," kata saintis orbit NASA, Mark Matney. - AFP 

Thursday, September 22, 2011

Satelit usang diramal jatuh ke bumi Jumaat ini



WASHINGTON 21 Sept. - Sebuah satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) sebesar bas pesiaran yang berusia 20 tahun diramal jatuh ke bumi pada Jumaat ini.
Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) dan NASA mengesan Satelit Penyelidikan Atmosfera Atas (UARS) seberat enam tan yang berisiko untuk jatuh ke bumi.
Pasukan pakar bagaimanapun mengakui mereka tidak dapat mengesan lanjut berhubung perkara tersebut sehingga masa 20 minit atau mungkin seminit sebelum ia diramalkan terhempas.
"Kami tahu UARS akan terhempas di antara 57 latitud utara dan 57 latitud selatan yang meliputi kawasan didiami manusia.
"Masih terlalu awal untuk meramalkan lokasi dan masa UARS akan terhempas," kata Mark Matney, saintis serpihan orbit di agensi angkasa lepas AS.
UARS dilancarkan pada pada 1991 untuk mengukur lapisan ozon, angin serta suhu dan ia merupakan satelit terbesar NASA yang dijangka jatuh selepas satelit Skylab terhempas di barat Australia pada 1979.
NASA bagaimanapun menegaskan ancaman UARS terhadap manusia dan harta benda awam adalah kecil.
"Ketika terhempas, UARS dijangka tidak akan meletup kerana ia tidak mempunyai minyak dan serpihannya mungkin akan bertaburan meliputi kawasan 800 kilometer,'' jelas Martney. - AFP