Pages

Friday, July 5, 2013

Wanita kahwin dengan jambatan

Foto
JODI bersama ‘pasangan hidup’ pilihannya.
Paris: Tertarik dengan getaran yang ada pada sebuah jambatan, seorang seniman Australia membuat keputusan aneh apabila menjadikan binaan itu sebagai pasangan hidupnya.
Jodi Rose memang sering mengembara ke serata dunia untuk merekodkan getaran pada mana-mana jambatan gantung bagi menyiapkan projek muzik Singing Bridges.

Apabila dia tiba di kawasan Saint-Jean-de-Fos di selatan Perancis, hatinya tersentuh dan segera jatuh cinta kepada sebuah jambatan berusia 600 tahun.
Kata Jodi, dia berkahwin dengan jambatan Le Pont du Diable itu pada 17 Jun lalu dalam majlis tertutup dengan dihadiri hanya 14 orang tetamu.

Seorang daripada mereka ialah Datuk Bandar Saint-Jean-de-Fos.

Pengantin perempuan mengenakan pakaian tradisional dengan baju panjang putih dan membawa sejambak bunga. Media melaporkan, walaupun perkahwinan itu tidak diiktiraf menurut undang-undang Perancis, Jodi berkata, ia tetap bermakna dan kukuh seperti pasangan suami isteri lain. “Saya menghormati mereka yang berkahwin atas dasar romantik dan perasaan seksual, hubungan ini pula berbentuk simbolik yang mementingkan getaran semangat,” katanya.

Jambatan itu, kata Jodi, memahami bahawa dia juga menyayangi jambatan - juga lelaki - lain tetapi hubungan mereka membabitkan kepelbagaian kehidupan.

“Ia dibuktikan dengan arus berpusar sungai yang mengalir di bawah tubuh jambatan ini,” katanya. Jodi berkata, jambatan itu memiliki ciri suami yang diidamkannya - kukuh, dapat dipercayai, sensasi, baik dan segak.
Jambatan Le Pont du Diable - juga dikenali sebagai Jambatan Syaitan - dibina pada abad ke-11 dan terbukti memiliki daya tahan yang sangat tinggi untuk merentasi masa begitu lama. - Agensi

Redah banjir dapatkan makanan untuk isteri

YONG menunjukkan makanan yang dibawanya untuk isteri yang sedang menunggu di rumah selepas terperangkap dalam banjir.


CHONGQING, China - Seorang lelaki di sini sanggup meredah banjir semata-mata untuk mendapatkan makanan panas buat isterinya yang sedang mengandung dan terperangkap di dalam rumah mereka, lapor akhbar Chongqing Evening News.
Lelaki itu, Yin Yong yang berasal dari wilayah Tongnan mendapati rumah dua tingkat miliknya ditenggelami banjir pada pukul 2 petang waktu tempatan semalam.
Paras air itu dikatakan terlalu dalam buat isterinya yang sedang mengandung lima bulan untuk menyelamatkan diri.
Air banjir telah menenggelamkan bahagian dapur rumahnya dan menyukarkan Yong memasak makanan untuk isterinya.
Memandangkan tiada tanda-tanda bahawa banjir itu akan surut, Yong membuat keputusan untuk berenang dan mencari makanan panas untuk isterinya.
Yong mengambil masa setengah jam untuk berenang sejauh 500 meter ke kawasan seberang. Dia kemudian berjaya mendapatkan sedikit nasi panas dan sayur-sayuran di rumah rakannya sebelum berenang semula ke rumahnya.
Yong dan isterinya diselamatkan oleh pasukan penyelamat pada kira-kira pukul 8 malam. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2Y7M6ylwI 
Hakcipta terpelihara 

Alga hijau penuhi pantai di China

ALGA berwarna hijau memenuhi pantai di Qingdao, wilayah Shandong, China semalam.


BEIJING - Laut di sekitar China dipenuhi alga apabila tumbuhan tersebut memenuhi pantai selepas ia dibawa oleh ombak di perairan Laut Kuning, kata beberapa pegawai laut.
Beberapa gambar menunjukkan pengunjung pantai berenang dan bermain dalam arus berwarna hijau di timur Qingdao, wilayah Shandong.
Beberapa jentolak turut digunakan untuk memindahkan bertan-tan alga tersebut dari kawasan pantai.
Pentadbiran Lautan China di laman webnya menyatakan bahawa alga yang dikenali sebagai enteromorpha prolifera itu muncul pada minggu lalu.
Ia menular ke kawasan seluas 28,900 kilometer (km) persegi, sekali gus menjadi fenomena alga terbesar di negara itu setakat ini.
Rekod tumbuhan alga terbesar sebelum ini dicatatkan pada tahun 2008 yang meliputi kawasan sekitar 13,000km persegi.
Agensi berita Xinhua melaporkan, sejumlah pegawai di Qingdao telah memindahkan sekitar 7,335 tan alga. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2Y7LoOrKF 
Hakcipta terpelihara 

Morsi tumbang selepas setahun


RATUSAN ribu penduduk meraikan penggulingan Presiden Mesir, Mohammed Morsi di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Pihak tentera menggulingkan Presiden Mesir pertama yang dipilih melalui proses demokrasi, Mohammed Morsi kelmarin, setahun selepas beliau berkuasa.
Tentera kemudian menubuhkan sebuah pentadbiran sementara yang diketuai oleh ketua hakim, Adly Mansour sebagai pemangku presiden Mesir.
"Saya bersumpah akan memulihara sistem pentadbiran negara, menghormati perlembagaan dan undang-undang serta melindungi kepentingan rakyat," kata Mansour dalam majlis angkat sumpah di Mahkamah Agung Perlembagaan Mesir di sini semalam.
Angkatan bersenjata Mesir turut menggantung perlembagaan dan membuat perancangan untuk mengadakan pilihan raya Presiden yang baharu.
Morsi menyifatkan tindakan tentera itu sebagai rampasan kuasa sepenuhnya.
Selepas pengumuman mengenai rampasan kuasa tersebut disiarkan di televisyen, berjuta-juta penunjuk perasaan anti-Morsi bersorak gembira.
Mereka berpesta sambil menjerit "Tuhan Maha Besar" dan "Hidup Mesir".
Di Dataran Tahrir di sini yang menjadi pusat kebangkitan rakyat menentang pemerintahan rejim Hosni Mubarak pada 2011, orang ramai menari sambil mengibarkan bendera Mesir.

PASUKAN keselamatan cuba meleraikan pergaduhan antara penyokong dengan penentang Morsi di Kaherah kelmarin.


Namun, gelombang kebangkitan rakyat kali ini lebih besar berbanding dua tahun lalu.
Terdahulu, tentera Mesir yang terpanggil susulan demonstrasi anti-Morsi di seluruh negara memberi tempoh 48 jam kepada beliau meletak jawatan.
Namun, Morsi, 61, tidak menghiraukan kata dua itu dengan alasan beliau adalah pemerintah Mesir yang dipilih oleh rakyat.
Kedegilan Morsi mendorong pihak tentera merampas kuasa pada malam kelmarin.
Presiden Mesir pertama yang dipilih menerusi proses pilihan raya bebas dan adil itu akhirnya tumbang di tangan rakyat.
Beliau senasib dengan bekas presiden Mubarak yang digulingkan dalam gelombang kebangkitan rakyat pada 2011.
Pada Februari 2011, Mubarak terpaksa berundur selepas tentera Mesir memihak kepada rakyat yang mahukan beliau berundur.
Morsi yang sebelum ini merupakan penyokong pergerakan persaudaraan Islam Ikhwanul Muslimin kini dikenakan tahanan dalam rumah manakala beberapa penasihat kanan beliau turut ditahan.
Perkembangan itu berlaku selepas seminggu Mesir dilanda keganasan yang meragut hampir 50 nyawa.
Sepanjang tempoh tersebut, berjuta-juta orang membanjiri jalan raya dan dataran di Mesir untuk mendesak beliau meletak jawatan.
Sementara itu, kuasa Barat meminta semua pihak agar bertenang dengan demokrasi segera dipulihkan di Mesir. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2Y7LcBv6w 
Hakcipta terpelihara 

Pakai sangkar kepala untuk berhenti merokok



SEORANG lelaki Turki memakai sebuah sangkar kepala yang dicipta khas untuk berhenti merokok.


KUTAYHA, Turki - Seorang lelaki Turki di sini sanggup mencipta sebuah sangkar kepala dan mengunci kepalanya di dalam sangkar tersebut semata-mata kerana mahu berhenti merokok, lapor akhbar Turki, Hurriyet kelmarin.
Lelaki itu, Ibrahim, 42, yang berasal dari Kutayha, wilayah barat Turki menghasilkan sebuah sangkar berbentuk topi keledar.
Kuncinya pula diberikan kepada isteri dan anak lelakinya. Tindakan itu dibuat supaya dia tidak boleh membuka sangkar kepala tersebut untuk merokok ketika berada di luar rumah.
Ibrahim berkata, dia cuba mengubah tabiat merokok sehingga dua kotak sehari sejak 26 tahun lalu.
Akhbar sama melaporkan bahawa Ibrahim menghasilkan sangkar tersebut sejak dua tahun lalu. Sejak memakainya, dia sudah tidak merokok lagi. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0705&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2Y7LGf8jV 
Hakcipta terpelihara