Pages

Monday, April 13, 2015

Budak dua tahun jadi deejay



ORATILE mengendalikan sistem muzik deejay di kediamannya di Johannesburg, Afrika Selatan pada 6 April lalu. - Agensi


JOHANNESBURG – Sukar dipercayai tetapi seorang budak lelaki, Oratile Hlongwane cekap mengendalikan sistem muzik sofistikated walaupun dia baru berusia dua tahun.
Digelar DJ AJ, Oratile merupakan deejay paling muda di Afrika Selatan.
Dia belum petah bercakap tetapi cekap memilih muzik daripada komputer riba, manakala aksinya memainkan kombinasi muzik menjadi viral di media sosial Afrika Selatan.
Ibu kanak-kanak itu, Refiloe Marumo memuji suaminya kerana membelikan Oratile sebuah komputer tablet iPad semasa dia masih di dalam kandungan.
Bapanya, Glen Hlongwane membelikan gajet tersebut kerana mahu memuat turun pelbagai aplikasi pendidikan bagi membantu mempercepatkan pembelajaran anaknya.
Hlongwane yang merupakan seorang jurulatih gimnastik dan deejay turut memuat turun aplikasi deejay untuk kegunaannya sendiri.
Semasa berusia setahun, DJ AJ sudah pandai memanipulasi iPad dan turut belajar menggunakan aplikasi deejay bapanya.
Ibu bapanya terkejut apabila menyaksikan anak mereka yang masih memakai lampin mengaplikasikan pengetahuannya menggunakan peralatan dejaay sebenar.
Satu rakaman video memaparkan Oratile beraksi sebagai deejay menjadi viral di internet. Kini, anak kecil tersebut mempunyai hampir 25,000 peminat di laman jaringan sosial Facebook.
Bakat luar biasa anak kecil itu mendorong banyak syarikat dan pusat beli-belah mengundangnya untuk membuat persembahan.
Populariti DJ AJ bagaimanapun turut menarik kritikan beberapa pihak yang menuduh ibu bapanya sebagai mempergunakan kebolehan anak mereka untuk mengaut keuntungan.
“Saya tidak akan mengeksploitasi anak saya,” kata bapanya. Ibu bapa DJ AJ tidak akan membenarkan anak mereka beraksi di kelab malam atau parti liar. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0413&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3X8S914vA 
Hakcipta terpelihara 

Dua beradik warisi ‘rumah sampah’



IMEJ menunjukkan bagaimana sukarnya seorang kanak-kanak melalui kehidupan di dalam sebuah rumah yang dipenuhi sampah.


NEBRASKA, Amerika Syarikat – Dua adik-beradik kembar di sini terkejut apabila mendapati keadaan rumah ibu mereka yang ditinggalkan sejak 20 tahun lalu masih sama iaitu dipenuhi sampah-sarap yang menyakitkan pandangan mata.
Geoff Johnson dan adiknya, Jennifer McShea, 37, kembali semula ke rumah tersebut baru-baru ini untuk memeriksanya selepas ibu mereka meninggal dunia pada 2013 selepas 12 tahun bertarung melawan penyakit kanser payu dara.
Sewaktu meninggalkan rumah tersebut pada usia 17 tahun, tiada istilah bilik buat Johnson dan McShea kerana semua ruang yang ada dipenuhi pelbagai barangan lama yang tidak boleh digunakan lantaran sikap ibu mereka yang pengotor.
“Sukar untuk saya menggambarkan perasaan malu yang amat kami rasai apabila membesar bersama seorang ibu yang pengotor,” ujar Johnson kepada portal, DailyMail.com.
Sebagai seorang jurugambar, Johnson telah menghasilkan rakaman imej keadaan rumah mereka yang sangat kotor hingga tidak boleh diduduki oleh sesiapa pun.
Dia turut menyelitkan elemen photoshop dengan meletakkan gambar anak lelakinya dan anak perempuan adiknya di dalam gambar tersebut bagi menunjukkan bagaimana kesengsaraan yang dialami mereka dalam suasana sedemikian sewaktu kecil. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0413&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3X8S1zqG4 
Hakcipta terpelihara 

Misteri kemunculan ikan lumba-lumba

SEORANG penduduk menyiram air ke atas seekor ikan lumba-lumba yang terdampar di pantai Hokota, timur laut Tokyo bagi mengelak haiwan itu mati kekeringan kelmarin. - REUTERS


TOKYO – Kemunculan lebih 150 ekor ikan lumba-lumba Melon-head di pantai negara ini kelmarin mencetuskan kebimbangan berlakunya kembali tragedi gempa bumi bawah laut yang mengorbankan 19,000 orang pada tahun 2011.
Walaupun tiada kajian saintifik untuk mengaitkan kedua-dua peristiwa tersebut, beberapa pendapat di internet mengaitkan kejadian 50 ekor ikan lumba-lumba Melon-head terdampar di pantai Jepun enam hari sebelum berlakunya tsunami pada tahun berkenaan.
“Apakah satu lagi akan datang? Bersiap sedialah untuk hadapi gempa bumi,” kata seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama maoeos40d.
Bangkai ikan lumba-lumba berkenaan yang dibedah oleh para saintis kelmarin tidak menemui sebarang tanda yang menyebabkan haiwan itu terdampar di pantai berdekatan Hokota, kira-kira 100 kilometer di timur laut Tokyo.
“Kami tidak menemui sebarang tanda jangkitan dalam tubuh ikan lumba-lumba itu seperti kanser. Kajian lanjut masih dilakukan bagi mencari punca kematian haiwan tersebut,” ujar pengkaji kanan Muzium Sains dan Alam Sekitar Kebangsaan, Tadasu Yamada yang dilaporkan oleh agensi berita tempatan, NHK.
Pihak kerajaan cuba menenangkan orang awam dengan menyatakan tiada data saintifik yang mengukuhkan andaian persamaan kedua tragedi tersebut.
Bagaimanapun, rekod menunjukkan sebelum kejadian gempa bumi melanda bandar Christchurch pada 20 Februari 2011, terdapat lebih 100 ekor ikan lumba-lumba mati terdampar di satu kawasan terpencil di New Zealand dua hari sebelum bencana itu berlaku. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0412&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3X8RQZrcn 
Hakcipta terpelihara 

Broker muda dipaksa makan 8 biji burger

Seorang broker muda di London dipaksa makan sebanyak lapan biji
Seorang broker muda di London dipaksa makan sebanyak lapan biji burger pada majlis meraikan kakitangan baharu di syarikatnya hingga mengakibatkan dia jatuh sakit. AGENSI

LONDON 12 April – Seorang broker muda di kota raya ini dilapor dipaksa makan sebanyak lapan biji burger pada satu majlis meraikan kedatangan kakitangan baharu di sebuah syarikat broker komoditi antarabangsa hingga mengakibatkan dia jatuh sakit.
Video kejadian buli itu mula tersebar di Internet sejak kelmarin menunjukkan pekerja baharu berusia 23 tahun itu dipaksa makan satu demi satu burger, sambil dikelilingi rakan sekerjanya yang bersorak dan bertaruh ratus­an pound jika broker muda itu berjaya menghabiskan makanan tersebut.
Menurut Mail Online yang tidak mendedahkan nama mangsa buli itu, broker muda itu dilihat sakit teruk semasa dia dan beberapa kakitangan baharu lain cuba makan lapan biji burger beserta keju di pejabat mereka di daerah kewangan, London dalam tempoh 60 minit.
Video berdurasi 1 minit 41 saat itu bermula dengan broker muda berpakaian kasual itu duduk di mejanya yang penuh dengan longgokan burger sebelum dia dipaksa makan kesemua burger tersebut oleh rakan sekerjanya dalam tempoh yang ditetapkan.
Broker itu dilihat menyahut cabaran itu dan makan burger ber­kenaan diselangi dengan minum air, sebelum dilihat jatuh sakit sambil memegang kepalanya.
Rakaman video itu mendapat kecaman orang ramai dan menyifatkan kejadian itu sebagai budaya terburuk berlebihan di London.
Jurucakap syarikat itu berkata, mereka sedar tentang kejadian itu yang mula berlaku pada tahun lalu dan akan menangani perkara itu secara dalaman serta mengambil tindakan serius terhadap suspek.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/broker-muda-dipaksa-makan-8-biji-burger-1.80286#sthash.hzosz5XJ.dpuf

Lelaki jadi ‘suami’ 10 wanita

Penganggur bakal bapa sebanyak 16 kali

Keith MacDonald bersama salah seorang bekas kekasihnya. Macdonald
Keith MacDonald bersama salah seorang bekas kekasihnya. Macdonald dipercayai telah menjadi suami kepada sekurang-kurangnya 10 orang wanita di Britain. AGENSI
LONDON 12 April - Lelaki yang disifatkan sebagai ‘bapa paling tidak berguna di Britain’ dilapor kembali mencari teman baharu selepas berpisah dengan teman wanitanya yang sedang hamil, meskipun telah mempunyai 15 orang anak ketika dia baru berusia 30 tahun.
Keith MacDonald, 30, seorang penganggur dari Sunderland dipercayai telah menjadi ‘suami’ kepada sekurang-kurangnya 10 orang wa­ni­ta dan dijangka menjejaskan duit pembayar cukai di Britain berjumlah lebih 2 juta pound (RM10.7 juta) akibat perbuatannya itu.
Walaupun MacDonald bakal menjadi bapa sebanyak 16 kali, dalam satu wawancara dengan sebuah stesen televisyen swasta lelaki itu mendedahkan dia baharu berpisah dengan seorang wanita yang sedang hamil tetapi tidak mengakui kandungan itu adalah anaknya.
“Tidak ada bayi, anak itu bukan kepunyaan saya dan saya kini bujang,’’ kata MacDonald, sebagaimana lapor Mail Online.
MacDonald yang muncul dalam rancangan Jeremy Kyle berkata, kebanyakan wanita yang menjadi kekasihnya ditemuinya semasa dia menaiki bas dan selepas itu, dia akan mengajak mereka keluar dan dia menyifatkannya terlalu mudah untuk berbuat demikian.
“Itulah yang saya lakukan dan mereka tidak pernah berkata tidak. Sekiranya mereka menyukai anda, hanya perlu dapatkan nombor telefon dan hantar khidmat pesanan ringkas bagi satu temu janji,’’ kata lelaki yang mula menjadi bapa ketika dia berumur 15 tahun selepas berhenti sekolah.
Bulan lalu MacDonald mencetuskan kekecohan selepas dia tampil dalam dokumentari stesen Channel 5, ‘40 kanak-kanak daripada 20 wanita’ dengan memberitahu rancangan itu bahawa dia tidak mendapat pekerjaan kerana ‘tidak bagus dalam pendengarannya’ dan menghabiskan kebanyakan masa­nya bermain permainan video.
Macdonald berkata, dia agak sukar mendapat kekasih baharu selepas reputasinya di Sunderland didedahkan dalam rancangan itu bahawa dia sedang pergi ke Birmingham untuk menarik perhatian wanita di situ pula.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-jadi-8216-suami-8217-10-wanita-1.80284#sthash.UkclefWY.dpuf