Sebahagian daripada 3,000 koleksi kasut Imelda.
Sebahagian daripada 3,000 koleksi kasut Imelda.
Imelda Marcos
Imelda Marcos
baju imelda marcos
Secara amnya, lebih 150 kotak berisi pakaian, gaun malam, dan kasut pasangan Marcos yang dipindahkan ke Muzium Manila rosak dalam bencana banjir bulan lalu.
Beliau begitu terkenal dengan himpunan sepatu yang menjadi impian wanita seluruh dunia untuk memilikinya, tetapi kini sebahagian koleksi 3,000 kasut Imelda Marcos yang masih disimpan selepas ditinggalkan lebih 26 tahun lalu di Filipina, rosak kerana dimakan anai-anai, ditenggelami banjir dan lapuk dimamah usia.

Imelda meninggalkan Filipina di saat kemuncak konflik pemberontakan dikuasai rakyat pada 1986, sekali gus meninggalkan sejumlah besar koleksi peribadi berjenama seperti pakaian, barangan seni di istana termasuk sekurang-kurangnya 1,220 pasang kasut wanita pertama itu.

Menurut pegawai muzium yang menempatkan barangan milik bekas wanita pertama Filipina itu, antara kasut yang rosak adalah sepasang tumit tinggi putih berjenama Pierre Cardin yang hancur dimamah anai-anai selain ratusan pasang sepatu yang tidak kelihatan seperti bentuk asal.

Ratusan pasang pakaian suaminya, Ferdinand Marcos termasuk kemeja formal kerajaan yang dipakai sepanjang tempoh memerintah selama dua dekad iaitu Barong telah lusuh dan reput kerana tidak dijaga oleh pihak pengurusan Muzium Manila.
"Ironinya, lebih daripada 150 kotak pakaian, aksesori gaun dan kasut pasangan Marcos telah dipindahkan ke Muzium Manila untuk disimpan dengan selamat selama dua tahun dan pihak kami menerima maklumat semua aset itu kini telah diserang anai-anai, terdedah pada kelembapan berikutan tempat simpanan bersebelahan dengan sungai," dedah pegawai.


Aset Imelda dibasahi ribut tropika

Menurut pegawai yang enggan dikenali, beberapa kotak kertas berisi harta Imelda ditinggalkan di tingkat bawah dewan muzium yang berkunci serta tidak dilindungi.

Malah, keadaan lebih teruk apabila aset bernilai bekas pasangan pemerintah Filipina itu terdedah dengan air hujan ribut tropika yang membadai negara itu pada bulan lalu.

Petugas muzium yang tidak menyedari kotak-kotak berkenaan mengandungi barangan berharga Imelda, membuka ruang tingkat empat bangunan itu selepas menyedari air mula keluar melalui pintu tingkat bawah itu.

"Selepas itu, petugas berkenaan menyedari ratusan kotak-kotak barangan Imelda musnah dan terus membawanya ke bilik pengeringan sebelum dibawa ke makmal muzium di mana sepasukan kurator kecil sehingga kini masih mengira jumlah sebenar kerosakan barangan pasangan itu," katanya.
Menurut kurator muzium, Orlando Abinion, beberapa barangan Marcos sudah rosak dan sukar dibaiki lagi kerana dimakan anai-anai.
"Amat menyedihkan sekali kerana sebahagian pakaian yang musnah itu pernah dipakai pasangan Marcos semasa menghadiri majlis-majlis rasmi utama dan mempunyai nilai sejarah penting kepada kita semua," katanya.

Imelda simbol pembaziran

Imelda R Marcos dilahirkan pada 2 Julai 1929, merupakan isteri kepada mantan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos.
Imelda, 83, pulang semula ke Filipina pada 1991 selepas dibuang negeri disebabkan krisis kepimpinan suaminya dan memenangi kerusi Kongres ketika bertanding di wilayah Leyte pada 1995.

Menurut sumber, wanita bercita rasa tinggi itu mengaku memiliki 3,000 pasang kasut, termasuk kasut berjenama daripada Amerika Syarikat (AS) dan jenama terkenal Eropah.

Kemewahannya itu, menghairankan dunia dan menjadi simbol kepada pembaziran di negara Asia Tenggara, di mana masih ramai rakyat Filipina berkaki ayam kerana hidup dalam kemiskinan.

Imelda mendakwa sebahagian kasut-kasut mahalnya itu merupakan hadiah pemberian daripada pembuat kasut tempatan di pinggir bandar Marikina.
Selepas pemberontakan pada 1989 berakhir, Presiden baru Filipina, Cory Aquino bertindak mempamerkan himpunan kasut mahal Imelda di Istana Presiden sebagai simbol gaya hidup mewah bekas wanita pertama negara itu.
Selepas Aquino melepaskan jawatannya pada 1992, ribuan koleksi sepatu Imelda akhirnya disimpan semula di bilik bawah tanah dan sudah tidak dipamerkan kepada umum. -The Mail