Pages

Wednesday, May 7, 2014

Ekspedisi temui 30 kg emas dalam kapal karam


Lima jongkong emas yang ditemui di dalam badan kapal api yang tenggelam pada September 1857 di Carolina Selatan. - AGENSI
CALIFORNIA 6 Mei - Satu ekspedisi yang dijalankan bagi mencari emas di dalam sebuah kapal api yang tenggelam pada September 1857 di Carolina Selatan, berjaya menemui hampir 30 kilogram emas, penemuan pertama sejak suku abad lalu.
Laman web Mail Online melaporkan, pencarian yang dilakukan oleh kapal Odyssey Marine Exploration of Tampa itu pada bulan lalu, berjaya membawa keluar emas dari kapal yang tenggelam akibat dibadai taufan yang menyebabkan 425 orang terkorban.
Sebelum ini, ekspedisi sama pernah diadakan pada hujung 1980an dan awal 1990an, sebelum berlakunya pertikaian undang-undang yang mengakibatkan operasi mencari terpaksa dihentikan.
Ketua ekspedisi, Mark Gordon berkata, mereka berjaya menemui lima jongkong emas dan dua keping duit syiling emas AS$20 Double Eagle, dengan berat setiap satu jongkong emas antara 3.5 kg dan 9.7 kilogram.
"Kami tidak menyangka dapat menemui emas dalam tempoh yang singkat, kawasan pencarian tidak berubah sejak kali terakhir ia diterokai pada 1991," jelas Gordon.
Ekspedisi yang dijalankan pada jarak kedudukan kira-kira 257.5 kilometer dari kawasan pinggir pantai itu dijangka berakhir pada hujung musim panas ini.
Tambahnya, ketika ini 41 anak kapal Odyssey Marine Exploration sedang giat menjalankan kajian terhadap kawasan pencarian dan dijangkakan lebih banyak emas akan ditemui setelah kajian tersebut selesai.
Kata Gordon, setakat ini pihaknya tidak dapat memberi gambaran berapa banyak emas yang masih tersimpan di situ.
"Emas yang terdapat di dalam kapal api itu dianggarkan bernilai AS760,000 (RM 2.3 juta) pada 1875, namun kini nilainya meningkat berjuta-juta ringgit," ujar Gordon.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140507/lu_09/Ekspedisi-temui-30-kg-emas-dalam-kapal-karam#ixzz30yUBjSkU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pendaki rakam kelibat bigfoot


video yang diambil Myles Lamont dipercayai bigfoot berjalan di kawasan pergunungan berhampiran Squamish, British Columbia, Kanada, dua tahun lalu. - AGENSI
VANCOUVER 6 Mei - Seorang pendaki Kanada dilaporkan berjaya merakam kelibat makhluk yang dipercayai seekor bigfoot, berjalan di kawasan pergunungan berhampiran Squamish, British Columbia, dua tahun lalu.
Laman web Mail Online melaporkan, pendaki tersebut Myles Lamont mendakwa dia berjaya merakam makhluk berkenaan ketika sedang melakukan aktiviti mendaki di Tantalus Range, utara Vancouver, sebelum memuat naiknya ke laman sosial YouTube.
Sehingga kini, video yang dirakam daripada jarak 2.1 kilometer itu sudah dilihat lebih 260,000 orang.
“Saya yakin terdapat bigfoot di kawasan pergunungan itu, saya dapat melihatnya dengan jelas, bagaimana makhluk tersebut bergerak di tengah-tengah kawasan bersalji.
“Makhluk itu mempunyai sepasang kaki, tidak memakai kasut dan tidak membawa beg galas," jelas Lamont.
Tambah Lamont, berjalan di atas permukaan salji yang lembut tanpa menggunakan kasut dan dapat bergerak dengan pantas, merupakan satu perkara yang sukar dilakukan tanpa bantuan peralatan yang sesuai.
“Dalam video itu kita dapat lihat makhluk tersebut mendaki kawasan curam sepanjang 300 meter, dan tanpa peralatan mendaki mustahil untuk manusia melakukannya dalam masa yang singkat," ujarnya.
Lamont turut menolak sebarang kemungkinan bahawa makhluk yang berjaya dirakamnya itu adalah seekor beruang atau binatang liar lain.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140507/lu_10/Pendaki-rakam-kelibat-bigfoot#ixzz30yTsmgP9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kabin pesawat Etihad umpama hotel



TEMPAT tidur kelas perniagaan yang bakal terdapat di dalam pesawat Airbus A380 dipamerkan kepada media di pusat inovasi syarikat Etihad Airways di Abu Dhabi pada 4 Mei lalu.


ABU DHABI, Emiriyah Arab Bersatu - Syarikat penerbangan Etihad Airways merancang mengubah kabin penumpang dua buah pesawat miliknya menjadi seperti sebuah hotel bertaraf lima bintang.
Antara kemudahan yang akan disediakan termasuklah bilik suite peribadi yang mempunyai ruang istirehat, bilik air, bilik mandi, bilik tidur dan juga seorang pembantu penumpang serta cef.
Ruangan eksklusif tersebut diletakkan di dalam pesawat jenis Airbus A380 dan Boeing B787 Dreamliner milik syarikat itu.
Bagaimanapun, penumpang yang mahu perjalanan istimewa itu perlu membayar sekitar £12,500 (RM40,675) untuk satu penerbangan sehala yang tidak dinyatakan destinasi pesawat tersebut.
Hiasan dalaman di ruangan tersebut direka khas dengan fabrik bermutu yang dibekalkan pembuat hiasan dalaman kereta Ferrari iaitu Poltrona Frau.
Ruangan tersebut turut mempunyai sebuah ruangan senaman dan almari pakaian untuk kemudahan penumpang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Etihad Airways, James Hogan berkata, perkhidmatan terbaharu syarikat itu bakal menaikkan taraf perkhidmatan penerbangan dan mengubah jangkaan keselesaan serta kemewahan.
"Kami akan menyediakan ruangan kabin penerbangan paling maju dalam industri penerbangan," katanya.
Pihak syarikat itu juga akan menyediakan ruang untuk penumpang Islam bersolat dengan dilengkapi arah kiblat semasa pesawat sedang terbang. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz30yHg9PDP 
Hakcipta terpelihara