Pages

Thursday, September 18, 2014

Lembu tiga mata, dua hidung mati


Nibong Tebal: Seekor anak lembu yang dilahirkan dengan tiga mata dan dua hidung di Ladang Byram, di sini, menarik perhatian orang ramai khasnya penganut agama Hindu untuk melihat sendiri keunikan haiwan berkenaan.
Pemiliknya, M Thangamani, 62, berkata, anak lembu betina itu dilahirkan jam 6.45 pagi Isnin lalu, namun haiwan berkenaan didapati mati jam 7.45 malam kelmarin selepas 37 jam dilahirkan.
Beliau berkata, keunikan haiwan itu menarik perhatian masyarakat India dari beberapa negeri selepas berita mengenai kelahiran lembu pelik itu mula menjadi viral dan tersebar di laman sosial termasuk Facebook.

“Sebelum anak lembu ini dilahirkan, saya terjaga secara tiba-tiba jam 2 pagi dan ketika itu hati saya resah seperti petanda sesuatu yang pelik akan berlaku menyebabkan saya tidak dapat melelapkan mata.
Foto
ANAK lembu berkepala dua memiliki tiga mata dan dua hidung.

“Pada pagi itulah saya menyaksikan kejadian paling mengejutkan dan pelik dalam hidup selepas mendapati anak lembu ini dilahirkan dengan tiga mata dan dua hidung. Dua mata di sisi kiri dan kanan seperti lembu normal manakala satu lagi berada di tengah-tengah kepalanya,” katanya.

Thangamani berkata, anak lembu istimewa itu dilahirkan seekor lembu betina yang dibelinya dari sebuah ladang di Pantai Remis, Perak, pada 2008 dan tidak mengesan sebarang tanda pelik dengan haiwan berkenaan.

Dia yang merasa bertuah dengan kelahiran anak lembu berkenaan pada mulanya bercadang menyerahkan haiwan berkenaan kepada sebuah kuil berhampiran, namun hasratnya itu terbantut selepas ia mati.

Kehadiran orang ramai yang berpusu-pusu datang untuk melihat haiwan pelik itu dipercayai menyebabkan lembu betina berkenaan merasa terganggu dan enggan menyusukan anaknya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/18

Si kudung dapat lesen


Bagaimanapun, bagi lelaki warga Latvia, Gatis Caunitis, kejayaan itu lebih menakjubkan memandangkan dia kudung kedua-dua belah tangan dan hanya menggunakan kaki untuk memandu kereta.
Caunitis, 26, dari Riga, berjaya melepas ujian memandu dan memperoleh lesen penuh kelmarin dengan hanya menggunakan kaki untuk mengawal kenderaannya.

Dia menggunakan kaki kiri untuk mengawal kereta dengan meletakkannya pada stereng.
Foto
STERENG dikawal dengan kaki kiri.
Foto
CAUNITIS menerima lesen memandu selepas lulus ujian walaupun memandu menggunakan kaki.
Foto
KAKI kanan digunakan untuk menghidupkan enjin kereta.

Kaki kanan pula digunakan untuk menekan pedal, menukar gear dan menghidupkan enjin.

Walaupun dia hanya menggunakan kakinya, penumpang yang pernah menaiki kereta bersama-sama Caunitis berkata, cara pemanduannya memang selamat.

Lelaki itu kehilangan kedua-dua tangannya pada usia enam tahun apabila dia terkena renjatan elektrik selepas memasuki sebuah unit bekalan tenaga itu yang tidak berkunci semasa bermain sembunyi-sembunyi.

Bagaimanapun, kecacatan itu tidak mematikan semangatnya untuk menjalani kehidupan seperti orang biasa atau menyekatnya daripada belajar memandu.

Dia bernasib baik apabila menemui guru memandu yang sanggup membimbingnya.

“Saya lulus teori dan praktikal pada cubaan pertama,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/18

Tawar jual cucu RM200


Rabat: Sepasang suami isteri menawar menjual bayi yang dilahirkan anak mereka berusia 15 tahun hasil hubungan luar nikah dengan seorang lelaki pada harga kira-kira RM200.

Menurut akhbar tempatan, polis menahan suami isteri itu selepas menerima laporan mereka cuba menjual bayi berkenaan di tempat awam di Safru, bandar di tengah Maghribi.


Mereka bagaimanapun dibebaskan selepas menandatangani ikrar untuk tidak meneruskan rancangan itu sementara anak mereka ditangkap untuk dibicarakan atas tuduhan mengadakan seks luar nikah dengan teman lelakinya.

Media tempatan memetik seorang jurucakap polis sebagai berkata, pihak berkuasa akan menyerahkan bayi itu kepada keluarga angkat. - Agensi


Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/18

Putus tunang kerana stokin koyak


Riyadh: Seorang gadis tempatan memutuskan pertunangan selepas dia melihat tunangnya memakai stokin koyak ketika lelaki itu mengunjungi rumahnya.

Gadis itu yang hanya dikenali sebagai Souad, sebelum ini bersetuju menerima lamaran lelaki berkenaan selepas mengetahui dia mewarisi harta bapanya.

“Pertunangan mereka hanya berkekalan sehingga minggu lalu apabila lelaki itu mengunjungi rumah tunangnya.



Tidak lama selepas tiba, gadis itu menghantar mesej pesanan ringkas kepada bapanya yang berbual di ruang tamu bersama tunangnya, meminta pertunangan itu diputuskan.

“Dia juga meminta bapanya melihat stokin yang berlubang yang dipakai tunangnya,” lapor akhbar Al Riyadh.

Menurut akhbar itu, mesej gadis itu kepadanya berbunyi: “Ayah, lelaki ini tidak sesuai untuk saya.


Lihat stokinnya yang berlubang.” Si bapa bersetuju dengan permintaan anaknya lalu memutuskan pertunangan mereka.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/18

Harga perawan RM16,000


Shanghai: Seorang wanita yang menyaman seorang lelaki kerana ‘mencabuli haknya terhadap keperawanan’ selepas lelaki berkenaan memikatnya dengan janji palsu, menerima hampir RM16,000 sebagai pampasan.

Pasangan berkenaan berpacaran, tetapi selepas wanita itu, Chen, mendapati teman lelakinya itu sudah berkahwin, dia menyamannya atas tuduhan menipu serta menuduh dia berpura-pura bujang dan berjanji untuk berkahwin dengannya.

Seorang jurucakap Mahkamah Rakyat Pudong mengesahkan kes itu dan keputusan berkenaan.

Pasangan berkenaan berkenalan menerusi laman sosial pada 2009, tetapi mula berpacaran pada 2013 sebelum kedua-duanya bercuti bersama-sama ke Singapura dan mengadakan seks.

Apabila lelaki itu, Li, tiba-tiba memutuskan hubungan mereka, Chen menyerbu rumahnya dan mendapati dia sudah beristeri.

Chen menyamannya dengan menuduh dia mencabuli ‘haknya terhadap keperawanan’ dan kesihatan serta menuntut ganti rugi RM261,000 atas alasan mengalami gangguan psikologi.

Mahkamah bagaimanapun hanya mengarahkan Li membayar RM16,000 kerana meragut perawan Chen dengan janji palsu.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/18

150,000 tetamu tempah penginapan di hotel yang belum siap



BILIK-BILIK hotel yang terdapat di sebuah hotel bawah laut yang sedang dalam pembinaan di Fiji.- Agensi


SUVA, Fiji - Seramai 150,000 tetamu telah membuat tempahan untuk menginap di sebuah hotel mewah bawah laut yang masih dalam pembinaan di sebuah pulau di sini, lapor Metro.uk kelmarin.
Pembinaan hotel berkenaan yang dibina oleh seorang bilionaire dari Amerika Syarikat bermula pada tahun 2001 tetapi sehingga kini ia masih belum siap.
Hotel yang terletak kira-kira kira-kira 13 meter di bawah laut itu mempunyai 25 bilik, sebuah restoran, bar, gim dan sebuah gereja.
Seorang jurucakap hotel berkata, setiap tetamu perlu membayar lebih £9,000 (RM47,227) seminggu untuk tinggal di hotel berkenaan yang hanya boleh diakses melalui sebuah lif ke dasar laut.
"Hotel ini mempunyai ciri-ciri keselamatan yang tinggi dengan setiap milik mempunyai dua pintu kalis tekanan dan sistem sokongan hayat berasingan.
"Tarikh pembukaan hotel ini masih dirahsiakan tetapi kami sudah mempunyai senarai menunggu hampir 150,00 tetamu," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0918&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3DcLrXNJV 
Hakcipta terpelihara 

Sotong sebesar bas mini ditangkap


Gambar tidak bertarikh memaparkan Kapten John Bennett bergambar bersama sotong gergasi di Laut Rose, Antartika, baru-baru ini. - AGENSI
AUCKLAND 17 Sept. - Sebuah kapal nelayan laut dalam berjaya menangkap seekor sotong gergasi yang jarang ditemukan sebesar saiz sebuah bas mini di kawasan lautan terpencil di Antartika.
Mail Online melaporkan, kapten kapal berkenaan, John Bennett bersama anak buahnya berjaya menangkap sotong seberat 350 kilogram itu di Laut Rose lapan bulan lalu.
Bennet berkata, ini merupakan kali kedua dia berjaya menangkap sotong gergasi dan berhasrat untuk menyimpan tangkapan terbaharunya bagi tujuan kajian.
"Kali pertama saya menangkap sotong gergasi adalah kira-kira tujuh tahun lalu dan kini sotong tersebut dipamerkan di Muzium Kebangsaan New Zealand, Te Papa," jelasnya.
Sotong yang mempunyai lapan sesungut dengan setiap satunya berukuran satu meter itu kini dibekukan sejak ditangkap bagi membolehkan para saintis membuat kajian.
Saintis sotong dari Universiti Teknologi Auckland, Kat Bolstad yang mengetuai penyelidikan terhadap sotong berkenaan menyifatkan haiwan tersebut sebagai 'begitu besar dan cantik'.
"Pada dasarnya ini merupakan satu spesies yang jarang ditemukan dan merupakan satu peluang keemasan bagi kami untuk mengkajinya.
"Kami begitu teruja untuk mengenali sotong ini yang dipercayai sotong betina dan mempunyai telur," jelas Bolstad.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140918/lu_11/Sotong-sebesar-bas-mini-ditangkap#ixzz3DcGqQmic
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lelaki lulus ujian memandu guna kaki


Gatis Caunitis menunjukkan lesen memandu yang diperolehinya walaupun tidak tidak mempunyai tangan akibat kemalangan pada usia enam tahun. - AGENSI
RIGA 17 Sept. - Seorang lelaki Latvia yang kehilangan kedua-dua belah tangannya akibat kemalangan, membuktikan kemampuan dirinya untuk mendapatkan lesen kereta apabila lulus ujian memandu pada percubaan pertamanya dengan mengawal stereng menggunakan kaki.
Gatis Caunitis seperti yang dilaporkan portal berita Mail Online, lulus dalam ujian memandu dan memperoleh lesen pada Ahad lalu walaupun dia hanya boleh memandu kereta gear automatik sahaja.
Lelaki berusia 26 tahun yang berasal dari Riga itu menggunakan kaki kiri untuk mengawal stereng, manakala sebelah lagi kakinya digunakan menekan minyak, menukar gear dan memasukkan kunci kereta.
Walaupun dia hanya menggunakan kaki untuk memandu, penumpang yang menaiki kereta bersamanya mengakui corak pemanduan lelaki kurang upaya itu sangat selamat.
Caunitis kehilangan kedua-dua tangannya pada usia enam tahun apabila terkena renjatan elektrik selepas memasuki bilik elektrik yang tidak berkunci ketika bermain bersama rakan-rakannya.
Namun, tragedi itu tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan secara normal dan buktinya, dia berjaya mendapatkan lesen memandu selepas dibantu oleh seorang pengajar.
"Pengajar di sekolah memandu tidak terkejut apabila melihat kecacatan saya dan dia juga tidak berasa takut dengan membenarkan saya memandu kereta.
"Saya berjaya melepasi ujian teori dan praktikal pada percubaan pertama," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140918/lu_10/Lelaki-lulus-ujian-memandu-guna-kaki#ixzz3DcGHaZ64
© Utusan Melayu (M) Bhd