Pages

Monday, January 13, 2014

Matinya sang penyembelih

Baitulmaqdis: Berita kematian bekas Perdana Menteri Israel Ariel Sharon kelmarin mendapat reaksi sekata daripada pemimpin dan media Arab.
Tidak seperti kelaziman, kematian Sharon diraikan banyak pihak. 
Ia bukanlah aneh jika melihat kepada pelbagai kejahatan dan kezaliman pernah dilakukannya sebelum ini. Agensi berita Safa melaporkan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza secara terbuka meraikan kematian Sharon, malah penduduk Khan Younis dilihat berpesta sambil membakar gambar Sharon dan berkongsi manisan.

Pelbagai ulasan menampakkan kebencian masyarakat Arab dan Palestin terhadap Sharon yang memegang jawatannya selama lima tahun bermula 2001.
Foto
SHARON bersama bekas Menteri Pertahanan Moshe Dayan (kiri) dengan kepalanya dibalut akibat cedera ketika Peperangan Enam Hari pada Jun 1967.

Hamas - yang berjaya mengambil alih Semenanjung Gaza pada 2007, dua tahun selepas Sharon menarik balik tentera serta peneroka Israel - menganggap kematian bekas jeneral dan ahli politik itu ‘bersejarah’.

Berikut adalah antara reaksi mengenai kematian Sharon:

Khalil al-Haya (Hamas): “Tamatlah riwayat penjenayah yang tangannya dipenuhi darah Palestin.

“Nyata selepas lapan tahun dia tidak terlepas daripada takdirnya, samalah seperti penjenayah dan pemerintah kuku besi lain.”


Jibrail Rajoub (Pegawai kanan Fatah): “Saya kecewa kerana kematiannya bererti Sharon ‘mengelak’ dihadapkan ke tribunal antarabangsa bagi setiap kesalahan kemanusiaan dilakukannya termasuk kematian bekas Presiden Palestin Yasser Arafat.”


Dr Mustafa Barghouti (Pegawai Pertubuhan Pembebasan Palestin): “Kematian tidak sepatutnya diraikan. Malangnya Sharon tidak meninggalkan apa-apa kenangan manis untuk masyarakat Palestin.

“Dia memilih jalan peperangan selain bersikap agresif tanpa mempedulikan langsung perdamaian dengan Palestin.”


Wael Abu Faour (Menteri Hal Ehwal Sosial Lubnan: “Saya tidak meraikan kematian Sharon, namun dia penjenayah yang hidup atas kesengsaraan dan kematian jutaan manusia tidak berdosa.”

“Dengan kematiannya boleh dikatakan sedikit kejahatan di dunia ini juga terhapus.


Mohammed el-Srour (Penduduk Sabra): “Saya kecewa kerana sudah lama mengharapkan dia mati dibunuh budak atau perempuan Palestin yang menjadi mangsa Zionis sebagai balasannya membunuh ribuan kanak-kanak dan wanita kami.


Human Rights Watch (Pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa): “Sayangnya Sharon meninggal dunia tanpa balasan atas jenayah peperangan yang dilakukannya, selain pembabitannya dalam kejadian pertumpahan darah di kem pelarian Sabra dan Shatila pada September 1982.


Di Twitter satu mesej yang dikaitkan dengan Hamas turut mengucapkan “Selamat tinggal kepada penyembelih Sabra dan Shatila.”


Yousef Munayyer (Pengarah Eksekutif Pusat Palestin di Washington): “Sharon hanya meninggalkan kenangan buruk kemusnahan, kekejaman dan jenayah perang.”


Hussein Ibish (Pasukan Petugas Amerika Untuk Palestin): “Bagi kebanyakan masyarakat Arab, Ariel Sharonlah Yahudi yang paling sinonim dengan keganasan dan peluasan kuasa Israel.

“Sebut saja namanya kita terbayang pembunuhan paling dahsyat, penaklukan kuasa peneroka melampau selain provokasi paling ekstrim terhadap Palestin.


Agensi Berita Ma’an Palestin: “Gelaran “bulldozer” (jentolak) memang sesuai untuk Sharon yang hanya diingati kerana peranannya dalam pembunuhan dan penindasan warga Palestin selama beberapa dekad.”


Nabil al-Halafwi (Pelakon Mesir): “Sharon sudah lama meninggal dunia, cuma hari ini dia menghadap Pengadilan.”


Khayri Ramadan (Pembaca berita Mesir): “Si pembunuh Ariel Sharon mati hari ini dan namanya boleh dibakulsampahkan saja sebagai balasan kekejamannya terhadap saudara kita di Palestin dan Lebanon.

Sementara itu, agensi berita Wafa tidak langsung menyiarkan berita mengenai kematian Sharon.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Meragut rumput atas nama tuhan


Pretoria: Seorang paderi mempunyai cara tersendiri untuk mengajak pengikutnya ‘mendekati Tuhan’ - iaitu dengan meragut rumput seperti haiwan ternakan.

Lesego Daniel dari Afrika Selatan yang menjadi paderi di Pusat Rabboni di Garankuwa, utara Pretoria turut didakwa memijak dan menendang pengikutnya ketika mereka melakukan upacara keagamaan baru-baru ini.



Media semalam melaporkan, paderi kontroversi itu sudah melakukan pelbagai kekasaran atas nama agama, tetapi pengikutnya tetap mempertahankan perbuatannya itu.

Bagaimanapun, pengguna media sosial menggelar Daniel “gila” apabila lelaki terbabit memuat naik gambar menunjukkan dia memijak pengikutnya di laman Facebook.

Foto
PENGIKUT Daniel pertahan tindakannya menyuruh makan rumput.






Lesego Daniel dari Afrika Selatan
Berdasarkan gambar itu, ada antara pengikutnya dilihat menahan sakit ketika dipijak.Sebelum ini, Daniel pernah mengarahkan pengikutnya melelapkan mata ketika dia cuba memulihkan seorang wanita yang menghadapi kehamilan ‘syaitan.’

Sambil mempertahankan tindakan paderi itu, pengikutnya menjelaskan kepada media mengapa mereka mentaati arahannya.

Pelajar undang-undang, Rosemary Phetha, 21, berkata mereka rela memakan rumput kerana ia menunjukkan - dengan kuasa Tuhan - apa saja boleh dilakukan.

“Memakan rumput menyembuhkan sakit tekak yang saya hidapi sejak lebih setahun,” katanya.

Pengakuannya itu turut disokong Doreen Kgatle, 27, dari Garankuwa.

“Saya tidak boleh berjalan tetapi selepas memakan rumput seperti diarahkan, saya mula mendapat kekuatan dan sejam kemudian, saya boleh berjalan semula,” katanya.

Sementara itu, pengguna Facebook Melvin Jeddy Bowtie berkata, dia melihat banyak perkara tidak masuk akal dilakukan paderi itu dan ia tidak lucu.

“Daniel sudah menukar pengikutnya menjadi kambing,” katanya dalam satu kenyataan.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/13

Bas pelancong diubah suai jadi hotel tujuh bintang



Agensi
BAS pelancongan berkenaan diubah suai menjadi suite penginapan mewah bertaraf hotel tujuh bintang.



Agensi
PENGINAPAN satu malam di dalam bas berkenaan berharga AS$8,000.


LONDON - Sebuah bas pelancongan lama yang pernah digunakan oleh pemandu Formula Satu (F1), Jenson Button kini ditawarkan sebagai penginapan bertaraf hotel tujuh bintang.
Mereka yang berminat boleh menginap di dalam bas berkenaan pada kadar bayaran AS$8,000 (RM26,148) untuk penginapan satu malam.
Tetamu 'hotel' tersebut akan diberi layanan istimewa oleh satu pasukan pelayan peribadi yang sedia berkhidmat pada setiap masa.
Bas mewah itu dilengkapi televisyen plasma bersaiz 106 sentimeter, dapur mewah gaya Amerika, almari pakaian dan bilik mandi bersalut emas.
Dinamakan Icon, bas berkeluasan 46.4 meter persegi itu boleh menempatkan sehingga empat tetamu pada sesuatu masa.
Ia merupakan kediaman bermotor terbesar di Britain.
"Kediaman bergerak ini dibina untuk kehidupan di litar perlumbaan di Eropah dan pernah menjadi tempat tinggal beberapa pemandu F1 termasuk Jacques Villeneuve dan Jenson Button," kata pemiliknya, Andrew Morris. - Agensi.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2qGtjQi7b 
Hakcipta terpelihara 

Sinabung terus hambur lahar, gas



AFP
GUNUNG SINABUNG memuntahkan lahar dekat Karo 
di Sumatera Utara baru-baru ini.


JAKARTA - Gunung Sinabung di barat Sumatera terus memuntahkan batu panas dan lahar sehingga memaksa lebih 25,000 penduduk meninggalkan kediaman mereka, kata seorang pegawai semalam.
Pengarah Mitigasi Bencana Kebangsaan, Tri Budiarto berkata, gunung berapi setinggi 5,000 meter berulang kali memuntahkan batu panas dan gas sejak kelmarin.
"Sehingga kini, seramai 25,516 penduduk telah dipindahkan dan tiada sesiapa dibenarkan untuk berada dalam lingkungan lima kilometer dari kawasan letusan," kata Budiarto.
"Kami juga meminta mereka yang tinggal dalam lingkungan tujuh kilometer dari gunung berkenaan supaya berpindah atas faktor keselamatan," tambahnya.
Menurut Budiarto, lahar panas yang mengalir dari gunung tersebut sejak beberapa minggu lalu kini melimpah ke dalam beberapa batang sungai di sekitarnya.
"Berlaku letupan apabila lahar panas ini memasuki sungai tetapi tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
"Kami menasihati penduduk tidak menjalankan sebarang aktiviti di kawasan sungai yang terjejas,'' katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0113&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2qGsDk4FG 
Hakcipta terpelihara