NORTH WALSHAM, England 2 Jan. – Seorang usahawan sanggup membelanjakan wang sebanyak 300 pound (RM1,637) semata-mata mahu melakukan pembedahan terhadap ikan emasnya yang mengalami masalah sembelit.
Mail Online melaporkan, usahawan yang enggan mendedahkan namanya itu membawa ikan emas tersebut ke Pusat Veterinar Toll Barn di sini, selepas mengalami kesukaran untuk mengeluarkan bahan buangan.
Pada mulanya usahawan tersebut menyangkakan prosedur bagi memulihkan masalah sembelit itu adalah mudah, sebelum kakitangan di pusat veterinar memberitahu pembedahan bakal memakan belanja sebanyak RM1,637.
Doktor haiwan, Faye Bethell, 29, berkata, dia menggunakan alat khas bagi membuang dua ketulan tumor yang terdapat di dalam badan ikan emas yang berusia dua tahun 10 bulan itu.
“Dua ketul tumor telah menganggu sistem pencernaan ikan tersebut dan jika tidak dibuang ikan emas itu akan mati.
“Ini merupakan kali pertama saya melakukan prosedur pembedahan seperti ini kepada seekor ikan emas. Pembedahan selesai dalam masa 50 minit dan haiwan kecil itu boleh berenang seperti biasa selepas pembedahan,” jelasnya.
Tambah Bethell, dia menutup semula bahagian ikan yang telah dipotong bagi membuang tumor berkenaan dengan menggunakan gam khas.