Pages

Monday, October 6, 2014

Anak tiri, ibu tiri jadi suami isteri


Elisabeth Lorentz, 48, berkahwin dengan Eric Holder yang tiga tahun lebih muda daripadanya di daerah Alsace-Lorraine, timur laut Perancis. 
Wanita itu sebelum ini berkahwin dengan bapanya tetapi pasangan itu tidak ada hubungan darah. 

Undang-undang Perancis melarang perkahwinan antara anak tiri dengan ibu bapa tiri walaupun selepas ibu atau bapa tiri itu sudah bercerai.
Foto
Elisabeth (kiri) dan bekas anak tirinya, Holder.

Pasangan itu merayu hingga ke Istana Elysee. Mereka menerima sepucuk surat pada Mei lalu yang ditandatangani oleh Presiden Francois Hollande, mengesahkan perkahwinan seperti itu dilarang di negara berkenaan.

Bagaimanapun, mereka memperoleh hak untuk berkahwin daripada mahkamah tempatan Alsace-Lorraine. 

Pejabat pendakwa raya di Paris membantah keputusan itu tetapi tidak merayu. 
“Akhirnya kami berkahwin,” kata Elisabeth. 

Bekas suaminya yang juga bapa kepada pengantin lelaki antara 100 tetamu yang hadir pada majlis perkahwinan itu. 

“Dia tidak pernah melarang kami berkahwin,” kata pengantin perempuan itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

Kahwin diri sendiri


Grace Gelder berkata, dia melamar dirinya di bangku sebuah taman dan akhirnya mengadakan majlis perkahwinan dengan dihadiri 50 tetamu.
Grace, yang bekerja sebagai jurugambar berkata, selepas enam tahun membujang, dia ‘menjalinkan hubungan dengan dirinya.’ 

Menurutnya, ia lebih mudah dan selesa daripada menjalinkan hubungan dengan orang lain.
Foto
GRACE membaling bunga kepada tetamunya selepas melangsungkan perkahwinan.

Terdorong dengan lagu oleh penyanyi Björk berjudul Isobel, yang senikatanya antara lain berbunyi ‘My name’s Isobel, married to myself’ (Nama saya Isobel, berkahwin dengan diri saya), Grace yang menetap di London berkata, lirik itu sesuai dengan dirinya dan mengambil keputusan untuk berkahwin dengan dirinya sendiri.

Bermula dengan melamar dirinya di atas bangku di taman Bukit Parlimen, London November lalu, hingga majlis perkahwinan itu baru-baru ini, Grace berkata, kisah cintanya berjalan lancar.

Seperti pengantin lain, dia membeli baju, cincin dan menyatakan ikrar taat setia kepada pasangannya. Grace akhirnya berkahwin di sebuah ladang di Devon, dengan kehadiran kakak dan rakannya.

Dia mengakhiri upacara perkahwinan itu dengan mengucup cermin.

Bercakap kepada wartawan mengenai perkahwinannya, Grace berkata, memang ada yang berkata dia gila.

“Tetapi saya tidak kisah kerana saya bahagia dengan pasangan saya yang juga diri saya,” katanya.

Dia dikahwinkan oleh rakannya, Tiu, yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

“Saya yakin Grace akan menjalani kehidupan lebih bahagia selepas ini,” kata Tiu.

Menurut Grace, sebulan sebelum majlis perkahwinannya, dia menghadapi masalah sehingga terpaksa diyakinkan bahawa apa yang dilakukannya itu tepat.

Meskipun undang-undang tidak mengiktiraf perkahwinan seumpama itu, Grace berkata, dia bangga kerana tidak lagi membujang.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

AS akan guna bot peronda robotik



AFP - GAMBAR pada 21 Ogos lalu menunjukkan sebuah bot peronda berteknologi robotik beroperasi di Sungai James, Virginia, AS.


WASHINGTON – Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi akan menggunakan bot peronda tanpa anak kapal untuk mengiringi dan melindungi kapal perang yang menyeberangi laluan laut sensitif.
Sistem itu diadaptasi daripada kenderaan penjelajah Planet Marikh milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Pejabat Penyelidikan Tentera Laut AS semalam menyiarkan kejayaan 13 bot peronda robotik mengiringi sebuah kapal perang dalam satu latihan tentera di Sungai James, Virginia.
Latihan tersebut melibatkan lima kapal peronda kawalan jauh itu melindungi sebuah kapal perang manakala lapan lagi mengepung sebuah kapal musuh.
“Demonstrasi itu direka untuk meniru laluan transit di selat,” kata ketua penyelidikan tentera laut, Laksamana muda Matthew Klunder pada satu sidang akhbar.
“Laluan sensitif ini mungkin di Selat Melaka atau Selat Hormuz” tambahnya.
Menurutnya, bot peronda berteknologi robotik itu mungkin digunakan untuk mengiringi kapal-kapal perang AS pada tahun depan.
Satu bot peronda tersebut sepanjang 11 meter pada kebiasaannya dikendalikan oleh tiga atau empat kelasi.
Namun kata Klunder selepas dipasang dengan teknologi robotik, hanya seorang kelasi diperlukan untuk mengawal sehingga 20 bot tersebut.
Tentera AS memperkenalkan teknologi baharu itu menjelang ulang tahun ke-14 hari memperingati serangan ke atas kapal perang USS Cole di perairan Yemen.
Dalam serangan pada Oktober 2000 itu sebuah bot kecil sarat dengan bahan letupan diletupkan dekat kapal perang berkenaan yang menyebabkan 17 anak kapal terbunuh manakala 39 lagi cedera. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1006&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3FJL50haZ 
Hakcipta terpelihara