ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membawa keluar salah seorang mangsa yang
terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa, Hulu Langat semalam.
HULU LANGAT - Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh manakala tiga lagi dilaporkan masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang menimpa blok dewan makan di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa dan Madrasah Baitul-Taqwa di sini petang semalam.
Sehingga pukul 11 malam tadi, pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan sembilan mangsa yang terselamat termasuk seorang warden asrama berusia 22 tahun.
Kesemua yang terselamat dihantar ke Hospital Ampang dan Hospital Kajang untuk rawatan lanjut.
Dalam kejadian pukul 2.15 petang itu, seramai 49 penghuni yang kesemuanya lelaki bersama lima penjaga berada di dalam bangunan tersebut dan sedang mengadakan latihan nasyid serta menghias dewan makan untuk majlis sumbangan derma bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang dijangka berlangsung pada pukul 5 petang.
Ketika kejadian, seramai 24 penghuni sempat melarikan diri manakala 25 yang lain termasuk lima penjaga dilaporkan hilang.
Kesemua penghuni yang terperangkap berusia antara tujuh hingga 17 tahun.
Runtuhan tanah itu dikatakan menimbus keseluruhan dewan makan yang terletak di bawah bukit tersebut.
Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, seramai lima mangsa pertama dapat dikeluarkan dengan bantuan orang ramai dan mereka dilaporkan selamat.
"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya pada sidang akhbar di tempat kejadian.
Mayat pertama semalam dibawa keluar pada pukul 4.30 petang oleh pasukan penyelamat selepas tertimbus di bawah runtuhan batu-bata manakala mayat kedua pula dibawa keluar kira-kira setengah jam kemudian.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai oleh pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Relawan Ikatan Rakyat (Rela) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, sebanyak tujuh ekor anjing daripada Unit Anjing Pengesan (K9) turut digunakan dalam operasi tersebut bagi mengesan mangsa yang tertimbus.
Seramai 384 anggota terlibat dalam operasi SAR yang bermula pada pukul 3 petang itu.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberitahu, operasi mencari dan menyelamat tetap akan diteruskan sehingga semua mangsa ditemui.
Ketika ditemu bual menerusi saluran Astro Awani, Ismail turut meminta orang ramai menjauhi tempat kejadian bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku di samping untuk memberi laluan kepada pasukan operasi menjalankan tugas dengan lancar.
"Setakat ini, saya difahamkan masih ada pergerakan berlaku pada tanah kerana cuaca yang masih hujan," tegasnya.
Bangunan rumah anak yatim dan madrasah itu dibina sejak tahun 2003.