Pages

Tuesday, April 5, 2011

Lelaki dalam video seks bukan Anwar: Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau dan ahli keluarga lain sudah menonton klip video seks yang disiarkan dalam laman blog semalam dan yakin lelaki terbabit bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada sidang media di kediamannya di sini, Dr Wan Azizah yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata mereka sebagai ahli keluarga terdekat lebih mengenali Anwar.

'Dalam kes video terbaru ini, kami sekeluarga memutuskan untuk menonton sendiri rakaman tersebut. Video tersebut adalah bukti paling kukuh bagi sesiapa yang mengenali Datuk Seri Anwar bahawa tuduhan terbaru ini satu lagi fitnah zalim dan palsu.
'Jelas kelihatan susuk tubuh badan pelaku dalam video tersebut amat berlainan daripada susuk badan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

'Hal ini diperkukuhkan lagi memandangkan sejak lebih setahun yang lalu, anak-anak Datuk Seri Anwar sering menemani beliau setiap kali melakukan aktiviti senaman dan fiioterapi selaku sebahagian daripada aktiviti pemuliharaan tulang belakang,' katanya membaca kenyataan media yang disediakan.

Jakarta digegar gempa bumi 5.4 magnitud



JAKARTA: Gempa bumi berukuran 5.4 pada skala Richter di Ujong Kulon, Banten, semalam menggegarkan kota Jakarta dan dua provinsi yang berjiran dengannya iaitu Banten dan Jawa Barat.

Katanya, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), gempa yang berlaku pada 11.34 pagi itu berpusat di laut, di 83 kilometer sebelah tenggara Ujung Kulon, dengan kedalaman 23 kilometer namun ia tidak berpotensi mencetuskan tsunami.

Kebanyakan pekerja yang berpejabat di bangunan tinggi di sini menyatakan terasa gegaran selama beberapa ketika dan mengalami rasa pening.
Keadaan sama dirasakan beberapa penduduk dari Sukabumi dan Bogor di Jawa Barat serta Tangerang di Banten.

Tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda akibat kejadian ini. - BERNAMA

Petua Senaman Untuk Mengempiskan Perut

by Pak Ngah - Farit Ismeth Emir




Baring di atas permukaan rata. Bengkokkan kedua belah kaki dengan tapak kaki terletak di atas permukaan. Angkat punggung perlahan-lahan sambil menahan nafas. Angkat setinggi yang boleh. Amalkan 2 kali sehari. Hasilnya akan kelihatan.
Rahsia Mudah Kuruskan Badan
1.Tetapkan matlamat anda untuk mengurangkan berat badan secara perlahan-lahan, iaitu penurunan dalam lingkungan 0.5kg hingga 1kg dalam seminggu. Angka 0.5kg adalah angka  biasa yang mampu dicapai oleh kebanyakan wanita. Jangan terlalu memaksa jika anda tidak mencapai sasaran awal.
2. Tidak perlu mengambil sebarang ubat-ubatan dengan tujuan menurunkan berat badan. Lebih-lebih lagi tanpa mendapat nasihat doctor.
3. Ambil makanan dan minuman yang rendah kalori dan mempunyai kandungan nutrien yang tinggi.
4. Kurangkan pengambilan makanan ataupun minuman yang manis. Lebihkanlah memakan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.
5. Elakkan memakan makanan ringan di antara waktu makan. Anda disyorkan untuk menggantikan dengan sekeping biskut krim kraker dengan secawan kopi atau teh kurang manis (rendah lemak).
6. Banyakkan minum air mineral.
6. Tetapkan waktu makan anda setiap hari.

AS setuju lanjutkan serangan



DISELAMATKAN: Seorang budak dirawat dalam sebuah feri Turkey yang membawa 250 mangsa perang dari Misrata, di pelabuhan Benghazi, kelmarin. -- Foto REUTERS


Seorang lagi pegawai Libya berpaling tadah
BREGA (Libya): Amerika Syarikat telah bersetuju melanjutkan serangan-serangan udara ke atas Libya semalam.
Di bandar minyak Brega pula, pasukan pemberontak Libya menghadapi serangan hebat daripada meriam-meriam pasukan Encik Muammar Gaddafi ketika mereka cuba mara semula, setelah terpaksa berundur hari sebelumnya.Serangan udara Amerika itu, sebahagian usaha tentera gabungan beberapa negara bagi melindungi orang awam di Libya, diteruskan semalam atas permintaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) ekoran 'cuaca kurang baik dalam beberapa hari ini di Libya,' kata Pentagon, kelmarin.Tentera Amerika telah merancang menarik balik pesawat-pesawat tempur dan peluru berpandu Tomahawknya daripada kempen serangan udara ke atas rejim Libya hujung minggu ini kerana sekutu-sekutu Nato akan mengambil alih memimpin pengeboman ke atas pasukan Encik Gaddafi itu.Sementara itu, seorang lagi pegawai berpaling tadah daripada rejim Encik Gaddafi itu.Bekas menteri luar dan presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ali Treiki, merupakan pegawai terbaru yang meninggalkan Encik Gaddafi, selepas seorang menteri luar dan penyokong rejim itu, Encik Mussa Kussa, melarikan diri ke Britain dua hari sebelumnya.Encik Treiki telah menemui ketua Liga Arab, Encik Amr Mussa, bagi rundingan di Kahirah, kelmarin.Beliau melepaskan tugas rasminya sebagai penasihat Encik Gaddafi tetapi tidak mengikrarkan kesetiaan kepada pemberontak, kata sumber Liga Arab.Encik Treiki merupakan utusan khas ke PBB hingga 2009 apabila beliau menjadi presiden Perhimpunan Agung PBB.Satu delegasi Britain juga dilaporkan berada di kubu pemberontak di Benghazi, hampir sebulan selepas satu pasukan khas lain yang tiba untuk menghubungi pemberontak ditangkap di negara itu.Seorang jurucakap pemberontak, Encik Mustafa Gheriani, telah mengesahkan kehadiran satu pasukan Britain bagi mengadakan rundingan dengan Majlis Nasional Peralihan kelmarin.Pasukan pemberontak telah maju hingga kurang 1 kilometer dari universiti Brega, tempat mereka mendirikan satu pos pemeriksaan, tetapi diserang pasukan Encik Gaddafi dengan meriam, lapor seorang koresponden AFP.Asap hitam kelihatan berkepul daripada bukit-bukit di pinggir bandar itu tetapi kurang jelas adakah para pemberontak melancarkan serangan semula.Letupan sekali-sekala kedengaran di kawasan padang pasir itu kelmarin apabila pemberontak dan pasukan Encik Gaddafi berbalas-balas tembakan roket dan senjata berat di bandar itu. -- AFP.Cyberita Online Luar Negara

15 pemberontak Yaman ditembak mati dalam pertempuran




BANTAHAN TERHALANG: Penunjuk perasaan yang terjejas oleh gas pemedih mata menerima rawatan berikutan pertempuran dengan polis di bandar Taez, di selatan Yaman, kelmarin. -- Foto REUTERS




SANAA (Yaman): Pasukan keselamatan Yaman telah menembak mati 15 pemberontak antirejim dan mencederakan puluhan lagi semalam dalam pertempuran berdarah yang masuk hari kedua di bandar Taez, selatan ibu kota, kata kakitangan perubatan.
'Angka kematian telah meningkat kepada 15 orang,' kata ketua sebuah hospital sementara di dataran tengah Taez, Encik Sadeq al-Shujaa.Pertumpahan darah itu berlaku apabila penunjuk perasaan berarak di ibu pejabat gabenor di bandar 200 kilometer dari ibu kota Sanaa itu menuntut peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh.Para saksi berkata para pemberontak telah menyerbu halaman dalam bangunan gabenor itu tetapi cuba dihalang oleh anggota polis berpakaian preman yang melepaskan tembakan.Kematian itu, sehari selepas seorang pemberontak lain ditembak mati di Taez, telah menaikkan angka kematian keseluruhan kepada lebih 100 orang, sejak pertempuran bermula di negara miskin di semenanjung Arab itu akhir Januari lalu.Dalam satu pertempuran serupa, 13 cedera kerana ditembak lewat kelmarin apabila polis bertempur dengan puluhan ribu pemberontak di bandar Hudaida di barat Yaman, kata saksi-saksi.Polis melepaskan tembakan apabila pemberontak berarak menuju bangunan utama pemerintah di bandar berhampiran Laut Merah itu, kata para saksi.Seramai 13 orang cedera kerana terkena peluru hidup, 30 lagi kerana diserang dengan batu atau belantan, manakala 400 lagi terhidu gas pemedih mata, menurut saksi.Tunjuk perasaan di Taez dan Hudaida itu antara langkah menuntut Encik Saleh menamatkan lebih tiga dekad pemerintahannya.Kumpulan pembangkang, Common Forum, Sabtu lalu telah menyeru Encik Saleh menyerahkan jawatannya itu kepada Timbalan Presiden Abdrabuh Mansur Hadi dalam satu 'visi baru bagi peralihan kuasa yang aman dan selamat'.Namun presiden itu, yang juga sekutu utama Amerika Syarikat dalam menghadapi kumpulan militan Al-Qaeda, telah memberitahu pembangkang agar menamatkan bantahan-bantahan itu, sambil menawarkan satu 'peralihan kuasa secara aman melalui cara berperlembagaan'.Namun belia-belia yang mengadakan bantahan itu berkata mereka mahukan pemerintahan autokratik Encik Saleh itu ditamatkan terus. -- AFP.Cyberita Online Luar Negara

Than Shwe bersara sebagai ketua tentera Myanmar




Than Shwe


YANGON 4 April - Bekas ketua junta Myanmar, Than Shwe bersara sebagai ketua tentera negara ini sejurus selepas menyerahkan kuasa kepada sebuah kerajaan 'awam' pada Rabu lalu.
Than Shwe minggu lepas membubarkan junta yang dikenali sebagai Majlis Keamanan dan Pembangunan Negara (SPDC), berikutan pilihan raya November lalu tanpa penyertaan pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi dan aduan mengenai penipuan dan intimidasi.
"Jeneral Kanan Than Shwe dan Timbalan Jeneral Kanan Maung Aye bersara pada 30 Mac lalu selepas menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam.
"Mereka tinggal di kediaman masing-masing di Naypyidaw. Kami tidak dapat menyatakan rancangan masa depan mereka. Setakat ini mereka masih berehat," kata seorang pegawai Myanmar, hari ini.
Hierarki tentera terus memegang kuasa di negara ini dan ramai penganalisis percaya Than Shwe, 78, akan memainkan peranan penting di sebalik tabir.
"Walaupun mereka sudah bersara, mereka akan memberikan nasihat apabila diminta oleh kerajaan," kata seorang lagi pegawai.
Bekas Perdana Menteri, Thein Sein yang juga sekutu utama Than Shwe mengangkat sumpah sebagai Presiden di Parlimen di Naypyidaw pada Rabu lalu, tetapi tiada kenyataan rasmi mengenai peranan Than Shwe pada waktu itu.
Thein Sein termasuk sekumpulan jeneral yang menanggalkan uniform tentera untuk bertanding dalam pilihan raya November lalu dan kini menjadi ahli politik yang menganggotai Parlimen yang dikuasai oleh tentera dan proksi mereka. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Umar Patek paling dikehendaki di Indonesia


JAKARTA 4 April – Seorang lelaki yang ditangkap di Pakistan pada awal bulan lepas, Umar Patek disahkan sebagai suspek pengganas paling dikehendaki di Indonesia.

Identiti Umar, seorang warga Indonesia keturunan Arab Jawa, disahkan menerusi pemeriksaan yang dilakukan oleh sepasukan petugas bersama yang dihantar ke Pakistan baru-baru ini, kata seorang pegawai kanan polis Indonesia yang enggan dikenali, semalam.
Katanya, satu lagi pasukan akan dihantar ke Pakistan untuk berurusan dengan pihak berkuasa di sana supaya Umar dapat diekstradisi ke negara ini.
“Kami juga akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Luar, Kementerian Kehakiman dan Hak Asasi Manusia serta agensi lain yang berkenaan pada masa akan datang,” jelas pegawai itu.
Menurut sumber itu, polis Indonesia akan mula menyediakan fail Umar berkaitan pembabitannya dalam serangan bom di Bali pada 2002 serta mempersiapkan saksi untuk memberi keterangan sekiranya dia dibawa pulang.
“Ali Imron dan Mubarok yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana terlibat dengan serangan bom di Bali pada 2002 perlu memberi keterangan terhadap Umar, dan begitu juga dengan Idris,” katanya.
Ali dan Mubarok menjalani hukuman penjara di Pusat Tahanan Metro Jaya di Jakarta Tengah, manakala Idris dibebaskan pada 2009 setelah selesai menjalani sebahagian daripada hukuman penjara 10 tahun. – Agensi
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Kumpulan al-Qaeda seludup senjata dari Libya

ALGIERS 5 April – Kumpulan militan al-Qaeda bertindak mengeksploitasi keadaan konflik di Libya bagi mendapatkan senjata api, termasuk peluru berpandu dan menyeludup senjata tersebut ke sebuah kubu di utara Mali.

Menurut pihak berkuasa Algeria, sebanyak lapan buah trak jenis Toyota berkonvoi meninggalkan timur Libya menuju ke Chad dan Niger sebelum ke utara Mali.

Penyeludupan senjata tersebut melibatkan senjata buatan Rusia termasuk bom tangan, rifel Kalashnikov, bahan letupan serta peluru. – Reuters

Jepun lepas 11,500 tan air


TOKYO 4 April – Jepun merancang untuk melepaskan kira-kira 11,500 tan air mengandungi bahan radioaktif ke laut bagi mengosongkan tangki di loji jana kuasa Daiichi di Fukushima supaya air yang mengandungi paras radiasi lebih tinggi boleh disimpan di situ.

Seorang jurucakap operator loji tenaga nuklear, Tokyo Electric Power Co.(TEPCO) berkata, air yang akan dibuang bagaimanapun hanya mengandungi paras radioaktif yang rendah.
“Kita tiada pilihan, selain melepaskan air yang dicemari bahan radioaktif ke laut sebagai langkah keselamatan.
“Kita perlu melepaskan air yang telah disimpan bagi membolehkan menampung air lebihan,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano pada satu sidang media, di sini hari ini.
Katanya, kira-kira 10,000 tan air tercemar yang kini disimpan di sebuah fasiliti di Fukushima akan dilepaskan ke laut bersama-sama 1,500 tan air daripada saluran di bawah reaktor No. 5 dan No. 6 di loji tersebut.
Jelas beliau, pelepasan air itu akan dibuat sebaik-baik semua persediaan yang perlu disiapkan.
Kerajaan Jepun hari ini turut meminta TEPCO supaya bertindak pantas menghentikan penyebaran radiasi ke laut ketika para jurutera yang terdesak menggunakan dakwat berwarna putih untuk mengesan punca kebocoran dari reaktor tersebut.
Seorang pegawai memberi amaran, usaha itu mungkin mengambil masa berbulan-bulan sebelum krisis nuklear akibat gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu itu dapat ditangani. – AFP/Reuters
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Polis lepas tembakan, 15 maut



Penunjuk perasaan antikerajaan mengangkat seorang rakan mereka yang cedera semasa bertempur dengan polis di selatan bandar Taiz, kelmarin. - REUTERS

SANAA 4 April - Sekurang-kurangnya 15 maut, sementara berpuluh-puluh lagi cedera apabila polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan dalam satu pertempuran buat hari kedua berturut-turut di bandar Taiz, selatan Sanaa, hari ini.
Keganasan itu tercetus semasa beribu-ribu penunjuk perasaan berarak melalui Taiz menuju Dataran Kebebasan, lokasi mereka berkhemah.
Menurut saksi, penunjuk perasaan menyerbu halaman ibu pejabat kerajaan di bandar itu, kira-kira 200 kilometer dari ibu negara sebelum anggota keselamatan berpakaian preman melepaskan tembakan bagi mengundurkan mereka.
Seorang lagi saksi berkata, tentera yang ditempatkan di situ menghalang laluan penunjuk perasaan semasa mereka melalui ibu pejabat kerajaan, mengakibatkan pertempuran tercetus dengan penunjuk perasaan dilapor melontar batu ke arah tentera.
Pemimpin pembangkang di Taiz, Bushra al-Maqtara berkata, tentera yang ditempatkan di bahagian bumbung bangunan berhampiran telah melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan, menyebabkan kumpulan tersebut segera mengepung ibu pejabat kerajaan.
Seorang doktor di sebuah klinik yang dibina di Dataran Kebebasan, Zakariya Abdul-Qader berkata, sekurang-kurangnya 15 maut sementara berpuluh-puluh yang lain dilaporkan cedera dalam pertempuran tersebut.
Pertumpahan darah terbaru itu berlaku sehari selepas seorang penunjuk perasaan ditembak mati di Taiz, menjadikan jumlah angka korban akibat pertempuran di bandar itu meningkat kepada 100 sejak Januari lalu.
Sementara itu, 13 lagi ditembak mati di bandar pelabuhan Hudaida, lewat malam semalam, apabila polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang berarak menuju bangunan utama kerajaan tempatan di bandar Laut Merah itu.
Seramai 13 turut cedera terkena peluru hidup, 30 dipukul dengan baton dan cedera dilontar batu, sementara 400 yang lain cedera selepas terhidu gas pemedih mata dalam kejadian itu. - Reuters/AP/AFUtusan Malaysia Online - Luar Negara

Gaddafi, anak mesti disingkir




SEORANG anggota pemberontak mengawal berhampiran kenderaan yang musnah ketika berbalas tembak dengan tentera Gaddafi di Brega, semalam.
SEORANG anggota pemberontak mengawal berhampiran kenderaan yang musnah ketika berbalas tembak dengan tentera Gaddafi di Brega, semalam.





Gaddafi, anak mesti disingkir



BENGHAZI: Pemberontak Libya semalam menegaskan, seluruh anggota keluarga Muammar Gaddafi perlu meninggalkan negara itu sebelum sebarang gencatan senjata dengan tentera rejim itu boleh dilaksanakan.
Akhbar New York Times melaporkan, dua anak pemimpin Libya itu menawar diri untuk menyelia peralihan kepada pemerintahan demokrasi berperlembagaan yang akan turut membabitkan penyingkiran bapa mereka.

Pemberontak bagaimanapun menolak sebarang tawaran membabitkan keluarga Gaddafi.

“Gaddafi dan anak mereka mesti meninggalkan Libya sebelum sebarang rundingan diplomatik boleh dilaksanakan,” kata jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan, Shamseddin Abdulmelah.

Menurutnya, rejim itu kehilangan semua hak untuk berunding mengenai jalan keluar selepas ia meneruskan pengeboman terhadap Misrata meskipun ia menghantar Timbalan Menteri Luar, Abdelati Laabidi ke Athens untuk berbincang bagi mencari jalan menyelesaikan konflik berkenaan.


“Bagaimana anda boleh berunding dengan senjata di hala pada anda?” kata Sahmseddin.

New York Times memetik seorang diplomat dan seorang pegawai Libya yang tidak disebut namanya sebagai berkata, peralihan kuasa itu akan diketuai oleh anak Gaddafi, Seif al-Islam.

Namun, menurut Shamseddin, reputasi Seif sebagai orang yang mahu melakukan perubahan dari dalam rejim itu sejak kebangkitan rakyat bermula 15 Februarli lalu adalah tidak berasas sama sekali.

“Orang ramai menyangka dia adalah reformis tetapi sejak revolusi bermula, dia menunjukkan siapa dirinya sebenar. Dia sama saja dengan bapanya,” kata jurucakap itu. - ReutersmyMetro | Gaddafi, anak mesti disingkir

Penduduk panik

CILACAP (Indonesia): Ribuan penduduk lari meninggalkan bandar pelabuhan di negara ini ke kawasan lebih tinggi, semalam apabila gempa bumi melanda perairan di selatan Jawa dengan ukuran 6.7 magnitud.

Pusat gempa yang terjadi di Lautan Hindi itu dilaporkan sedalam 24 kilometer, kata pusat kajian Geologi Amerika Syarikat, selepas menganggarkan kedalaman 10 kilometer pada awalnya dan berlaku kira-kira 277 kilometer di selatan perairan Pulau Jawa. Ahli Seismologi Indonesia menganggarkan ukuran 7.1 magnitud dan mengeluarkan amaran tsunami sambil berkata gegaran itu berpotensi menyebabkan ombak besar dan meminta penduduk menyebarkan amaran bahaya kepada orang lain melalui mesej pesanan ringkas (SMS).


Amaran itu kemudian dibatalkan.

Menurut media, apabila gempa berlaku, penduduk di bandar pelabuhan di Cilacap melarikan diri ke kawasan lebih tinggi dengan motosikal, kereta dan berjalan kaki.


“Mereka panik dan menjerit ‘gempa! gempa!,” kata seorang petugas media.


Ketua Teknikal Agensi Meteorologi dan Geofizik, Suharjono berkata gegaran akibat gempa turut dirasakan di daerah Pangandaran dan Cilacap. “Gempa mengejutkan penduduk daripada tidur,” katanya.

“Kami tidak menerima laporan kerosakan atau kemalangan jiwa setakat ini,” tambahnya. - AFP

Teheran gesa Ki-moon henti campur tangan AS di Timur Tengah

TEHERAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad meminta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon menghentikan campur tangan Amerika Syarikat dan Eropah di rantau itu.
“Campur tangan beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat di negara di rantau ini meningkatkan kebimbangan dan menjadikan keadaan bertambah rumit,” kata Mahmoud kepada Ki-Moon, menerusi telefon yang dipetik oleh laman web pejabat Presiden Iran itu.

Menurut laman berkenaan, Mahmoud meminta Ki-Moon menghalang ‘bencana’ seperti yang di Afghanistan dan Iraq daripada berlaku di rantau itu.

“Sudah tiba masanya untuk Setiausaha Agung PBB memainkan peranan bersejarah dan muktamad dalam menyelesaikan isu yang berlaku berdasarkan dialog dan kesefahaman supaya bencana yang berlaku di Afghanistan dan Iraq tidak berulang,” kata Mahmoud.

“Tindakan tidak selari negara Barat di Bahrain dan Libya dan sikap membisu mereka mengenai kekejaman rejim Zionis terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa menunjukkan sifat talam dua muka mereka,” kata Mahmoud.


Gesaan itu dibuat sehari selepas Teheran menuduh ‘pakatan Barat dan Zionis sebagai punca kepada peningkatan ketegangan antara republik Islam itu dengn negara Teluk Arab.

“Perbalahan yang tercetus antara negara Islam, khususnya Iran dan negara di rantau ini adalah hasil daripada pakatan Barat dan Zionis,” kata Menteri Luar Iran, Ramin Mehmanparast. - AFPmyMetro | Teheran gesa Ki-moon henti campur tangan AS di Timur Tengah

Penentang diserang hebat

"BREGA: Pemberontak Libya berdepan dengan serangan besar-besaran daripada tentera Muammar Gaddafi ketika mereka mara ke bandar minyak utama ini, semalam.

Anggota kumpulan berkenaan berada kira-kira satu kilometer dari Universiti Brega, tempat mereka mendirikan pusat pemeriksaan sebelum tentera Gaddafi mula mengebom mereka. Kumpulan pemberontak pernah menawan bandar berkenaan sebelum berundur beberapa hari lalu.


Menurut koresponden AFP, kepulan asap hitam kelihatan di pinggir bandar tetapi tidak pasti sama ada pemberontak menyerang balas. - AFP
myMetro | Penentang diserang hebat

Banyak lemak punca buta


LONDON: Mengumpul lemak ketika usia pertengahan mungkin meningkatkan risiko seseorang lelaki menjadi buta pada penghujung usianya.


Pembesaran bahagian pinggang meletakkan lelaki dalam bahaya mendapat pemerosotan makula (AMD) berkaitan usia, punca utama kehilangan penglihatan, kata penyelidik.
Peningkatan kecil dalam saiz pinggang sekali pun dilihat menambah risiko AMD sehingga 75 peratus. Namun wanita jelas tidak terjejas, berikutan kehadiran hormon estrogen.
Lemak perut mengeluarkan estrogen ke dalam badan dan kajian haiwan menyatakan hormon itu boleh menyebabkan pembengkakan dalam salur darah pada bahagian belakang mata.

Wanita memiliki paras tinggi estrogen sepanjang hayat mereka dan kelihatan kurang sensitif terhadap kesannya, lapor akhbar Daily Mail.

Penyelidik di Universiti Melbourne memantau perubahan pada bahagian pinggang lebih 21,000 lelaki dan wanita berusia antara 40 dan 69 tahun selama beberapa tahun bagi mengesan jumlah mendapat AMD.

“Kajian kami menggariskan pentingnya obesiti abdomen sebagai faktor risiko AMD,” kata saintis, menurut kenyataan Melbourne.
Hasilnya menunjukkan walaupun perubahan kecil dalam kadar pinggang/peha lelaki, ukuran pinggangnya berbanding peha, menjurus kepada peningkatan mendadak risiko AMD. – Agensi
Berita Harian Online | Banyak lemak punca buta

Pemandu selamat kereta terjunam


   ANGGOTA keselamatan memeriksa kenderaan mangsa yang tersepit di antara dua bangunan selepas terjatuh dari tingkat enam di Melbourne, semalam.
ANGGOTA keselamatan memeriksa kenderaan mangsa yang tersepit di antara dua bangunan selepas terjatuh dari tingkat enam di Melbourne, semalam.


Kenderaan wanita tersepit di celah bangunan


MELBOURNE: Seorang wanita semalam terselamat selepas kereta dinaikinya terjunam dari tingkat enam sebuah bangunan tempat meletak kereta di Melbourne dan tersepit di antara dua bangunan.
Mangsa diselamatkan 40 minit selepas kenderaannya jatuh kira-kira 30 meter dan tersepit di tingkat bawah antara dua bangunan.
“Saya tidak tahu bagaimana wanita terbabit boleh muncul selamat dalam insiden ini,” kata seorang saksi Michael Rockefeller kepada pemberita di tempat kejadian.


“Ia kedengaran seperti sebuah trak terhempas. Bunyi bising kedengaran selama lima hingga enam saat. Ia diikuti satu dentuman kuat,” katanya.


Wanita yang cedera di kepala serta tulang belakang itu dikejarkan ke Hospital Royal Melbourne dengan keadaannya dilaporkan serius namun stabil.


Polis masih menyiasat bagaimana kereta mangsa melanggar tiang besi dan wayar penghalang di tempat meletak kereta terbabit.
Paramedik berkata, tali pinggang keledar mungkin menyelamatkan nyawa mangsa kerana ia menghalang mangsa daripada tercampak ke bahagian tempat duduk penumpang yang remuk teruk.


“Saya rasa banyak perkara yang menyelamatkan nyawanya . Beg udara, tali pinggang keledar dan tuah,” kata paramedik, Matthew Riddle.


“Amat menakjubkan beliau masih hidup, kemalangan terbabit menyebabkan kecederaan yang dialami wanita terbabit juga unik.


“Ia amat berbeza dalam satu kemalangan berkelajuan tinggi. Hentakan datang dari satu arah tetapi ia kelihatan kereta itu seperti melanggar beberapa bangunan sebelum jatuh menyebabkan beliau terlanggar dalam beberapa kedudukan,” katanya. – AFP Berita Harian Online | Pemandu selamat kereta terjunam

Pekerja loji guna garam kesan radioaktif




ORANG ramai beratur bagi mengesan radioaktif sebelum memasuki kawasan pusat pemindahan  bagi mereka yang datang dari zon sekitar gempa bumi dan tsunami.
ORANG ramai beratur bagi mengesan radioaktif sebelum memasuki kawasan pusat pemindahan bagi mereka yang datang dari zon sekitar gempa bumi dan tsunami.

TOKYO: Pekerja di loji nuklear Fukushima Daiichi semalam menggunakan sejenis garam mandian berwarna putih dalam usaha terdesak untuk mengesan laluan air radioaktif yang mengalir keluar dari reaktor yang bocor dan memasuki lautan Pasifik.


Rekahan ditemui dalam salah satu lubang penyenggaraan minggu lalu dilaporkan terus mengeluarkan air radioaktif dan mencemari alam sekitar, sekali gus menunjukkan kesulitan semakin besar yang dialami di loji nuklear berkenaan.
Pengurus Tokyo Electric Power Co (TEPCO) yang bertanggungjawab ke atas loji itu, Teruaki Kobayashi, berkata penggunaan garam itu juga bertujuan menyekat air radioaktif daripada terus mengalir dan mengurangkan pencemaran sama seperti langkah yang dilakukan untuk menghalang tumpahan minyak.
Pada masa sama ia cuba menutup kebocoran menggunakan gabungan bahan kimia polimer, habuk kayu dan kertas surat khabar yang dihancurkan di bahagian yang dipercayai punca kebocoran.


Jika langkah ini gagal dilakukan, ia memberi isyarat bahawa jurutera menyasarkan lubang penyenggaraan yang salah.


Laporan menyatakan, air radioaktif memenuhi kawasan sekitar loji dan menghalang pekerja daripada menghidupkan sistem penyejuk untuk menstabilkan reaktor yang terlalu panas.


Ahad lalu, pegawai kerajaan membuat kesimpulan bahawa ia mungkin mengambil masa beberapa bulan sebelum sistem penyejuk dapat dipulihkan sepenuhnya.
Malah jika ia dapat dilakukan pun, pekerja loji itu mungkin mengambil masa beberapa tahun untuk membersihkan kawasan sekitar. – AP Berita Harian Online | Pekerja loji guna garam kesan radioaktif

GCC kutuk campur tangan Iran gugat keselamatan


Tuduh Teheran sebar hasutan, cetus pertelingkahan penduduk


RIYADH: Negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), termasuk Arab Saudi mengutuk 'campur tangan terang-terangan' Iran dalam hal ehwal serantau dan berkata Teheran sedang menggugat kestabilan negara mereka.
Menteri Luar GCC yang mengadakan pertemuan di sini kelmarin berkata dalam satu kenyataan bahawa mereka “amat bimbang berhubung campur tangan berterusan Iran” di rantau itu.

Selain Arab Saudi, Bahrain dan Kuwait, kumpulan GCC dianggotai Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Dalam pertemuan itu, mereka menuduh Iran merancang untuk menjejas keselamatan negara GCC dan menyebarkan hasutan serta mencetuskan pertelingkahan di kalangan penduduk.

Teheran juga ‘melanggar kedaulatan’ negara anggota kumpulan serantau itu.
Mesyuarat GCC itu diadakan selepas jawatankuasa hal ehwal luar parlimen Iran dan keselamatan nasional berkata Khamis lalu “Arab Saudi perlu tahu untuk tidak bermain api di rantau sensitif di Teluk Parsi.”
Namun, Riyadh menyelar apa yang digambarkannya sebagai satu kenyataan “tidak bertanggungjawab” mengandungi “tuduhan palsu dan kesalahan nyata ke atas Pentadbiran Diraja Arab Saudi.”

Kenyataan Iran “menyemarakkan perpecahan,” kata Majlis Perundingan Saudi menurut agensi berita SPA.

Arab Saudi menyertai satu pasukan Teluk yang memasuki Bahrain bulan lalu untuk membantu pihak berkuasa di negara jiran itu menamatkan bantahan sebulan penduduk Syiah yang menuntut perubahan dalam pentadbiran diraja negara pulau itu.

Menteri Luar GCC mengutuk ‘campur tangan Iran dalam hal ehwal dalaman Bahrain sebagai bertentangan dengan konvensyen antarabangsa dan peraturan kejiranan baik.’

Mereka berkata pengerahan pasukan Pertahanan Semenanjung ke Bahrain atas permintaan pihak berkuasanya adalah sah dan sejajar dengan perjanjian pertahanan bersama antara negara GCC.

Menteri Luar GCC juga mengkritik kenyataan ‘tidak bertanggungjawab’ jawatankuasa keselamatan nasional dan hal ehwal luar parlimen Iran yang menggesa pengunduran pasukan Arab Saudi dari Bahrain.

Iran perlu ‘menghentikan dasar permusuhan dan menghormati peraturan kejiranan baik untuk memulihara keselamatan dan kestabilan di rantau ini yang penting untuk seluruh dunia, kata mereka. – AFP
Berita Harian Online | GCC kutuk campur tangan Iran gugat keselamatan

Gempa bumi kuat landa Jawa Tengah


Foto
BOT nelayan terdampar di tepi laut apabila nelayan menghentikan sementara aktiviti mereka akibat gempa bumi di Cilacap, Jawa Tengah, semalam.


Foto
PENDUDUK berpusu-pusu pulang ke rumah selepas amaran tsunami ditarik balik di Cilacap, Jawa Tengah, Indonesia, semalam.
JAKARTA: Satu gempa bumi kuat melanda Jawa Tengah awal pagi semalam, menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran tsunami awal yang menyebabkan beribu-ribu penduduk melarikan diri ke kawasan tinggi.


Tiada laporan menyebut kecederaan atau kerosakan.
Berikutan amaran tsunami terbabit, kebanyakan penduduk di Cilacap berhampiran dengan pusat gempa melarikan diri ke masjid besar. Bagaimanapun penduduk terbabit kembali bersorak dan berpelukan antara satu sama lain malah ada yang melutut tanda syukur selepas amaran gelombang besar berkenaan ditarik balik.
“Kami semua amat takut selepas melihat apa yang berlaku di Jepun dan juga di Aceh pastinya.


“Tetapi Tuhan mendengar doa kami dan menyelamatkan kami,” kata Sukitno seorang penduduk.


Jabatan Kajian Geologikal Amerika Syarikat berkata gempa bumi sekuat 6.7 skala richter yang melanda pada jam 3 pagi berkenaan berpusat 318 kilometer di selatan Jawa dan 24 kilometer dari pentas lautan.


Jepun dan Indonesia terdedah kepada ancaman gempa bumi berikutan kedudukan kedua-dua negara di lokasi Lingkaran Api Pasifik. – AP Berita Harian Online | Gempa bumi kuat landa Jawa Tengah

Anak Gaddafi mahu bapa berundur




Seif al-Islam el-Gaddafi
Seif al-Islam el-Gaddafi

Pemimpin Libya belum beri persetujuan berhubung isu peralihan pemerintahan demokrasi


BENGHAZI: Sekurang-kurangnya dua orang anak pemimpin Libya, Muammar Gaddafi mencadangkan peralihan pemerintahan negara itu kepada demokrasi, termasuk melucutkan kuasa bapa mereka.
Akhbar The New York Times yang memetik sumber tidak dinamakan, melaporkan peralihan kuasa itu akan diterajui salah seorang anak Gaddafi, Seif al-Islam el-Gaddafi.
Laporan itu menyatakan belum dapat dipastikan sama ada Gaddafi, 68, bersetuju dengan cadangan yang disokong Seif dan Saadi el-Gaddafi, tetapi ada petunjuk memberi isyarat Gaddafi mahukan penyelesaian konflik yang sudah mengorbankan banyak nyawa penduduk awam itu.


“Kedua-dua anak Gaddafi mahu peralihan pemerintahan di negara itu tanpa bapa mereka,” lapor akhbar itu memetik sumber yang rapat dengan Seif dan Saadi.


Walaupun Seif dan Saadi ingin perubahan ekonomi ala Barat dan sistem politik terbuka, beliau dijangka menghadapi tentangan daripada dua lagi saudara lelakinya yang berpendirian keras, Khamis dan Mutuassim.


“Mutuassim yang juga penasihat keselamatan kebangsaan dianggap pesaing Seif untuk menggantikan bapa mereka,” kata akhbar itu.
Pemberontak Libya bagaimanapun menolak cadangan itu dan bertegas bahawa seluruh keluarga Gaddafi mesti diusir sebelum sebarang persetujuan dibuat dengan pasukan tentera rejim.


“Gaddafi dan anaknya perlu pergi sebelum sebarang rundingan boleh diadakan,” kata jurucakap Majlis Peralihan Kebangsaan, Shamseddin Abdulmelah.


Beliau berkata, Rejim Gaddafi kehilangan hak untuk berunding apabila pasukan keselamatannya terus menerus menyerang Misrata.


“Bagaimana kita boleh berunding dengan tembakan senjata terus dilepaskan?” katanya.


Semalam, Gaddafi menerima tamparan apabila bekas menteri luar dan presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ali Treiki, menjadi orang kanan terbarunya yang berpaling tadah.


Sumber Liga Arab berkata, Treiki meletak jawatan sebagai penasihat Gaddafi tetapi tidak menyertai kumpulan pemberontak.


Sementara itu utusan Gaddafi yang juga Timbalan Menteri Libya, Abdelati Laabidi meninggalkan Athens dan selepas perbincangan dengan Perdana Menteri George Papandreou dan menteri luar Dimitris, Droutsas bagi mencari penyelesaian konflik. – AFP Berita Harian Online | Anak Gaddafi mahu bapa berundur

Tiada perjanjian praperkahwinan pengasas majalah Playboy


HUGH HEFNER dan kekasihnya, Crystal Harris


LOS ANGELES - Pengasas majalah Playboy, Hugh Hefner yang memiliki kekayaan bernilai AS$80 juta (RM242.08 juta) enggan membuat perjanjian praperkahwinan dengan bakal isterinya yang merupakan bekas model majalah bogel tersebut, Crystal Harris, lapor sebuah akhbar semalam.
Hefner yang berusia 84 tahun difahamkan tidak mengambil peduli nasihat orang lain tentang perancangannya untuk mendirikan rumah tangga dengan Harris.
Dia tetap berpendirian bahawa wanita berusia 24 tahun itu menyayangi dirinya tanpa memandang soal harta atau kemewahan.
Pasangan itu bakal melangsungkan perkahwinan pada 18 Jun depan selepas Hefner melamar Harris pada Krismas lalu.
Hefner menghantar komen di laman Twitter beberapa bulan lalu yang berbunyi: "Selepas saya memberi Harris cincin, dia terus menangis. Ini merupakan hujung minggu paling gembira dalam memori saya."
Ketika status perjanjian praperkahwinan mereka tetap diperkatakan, perkahwinan pasangan itu terus menjadi kontroversi.
Bekas teman wanita Hefner, Kendra Wilkinson berkata kepada E!: "Saya belum membuat keputusan untuk datang pada majlis itu atau sebaliknya. Saya tidak bergurau. Saya sebaliknya marah apabila mendengar tentang perkahwinan mereka."
Wilkinson bagaimanapun bertuah selepas Hefner membenarkannya menggunakan rumah agam miliknya untuk majlis perkahwinan bersama bintang bola sepak Amerika, Hank Baskett pada tahun 2009.
Seorang lagi bekas kekasih Hefner, Holly Madison pula lebih kecewa dan melepaskan kemarahannya kepada Harris.
"Dia (Harris) memiliki karakter misteri. Saya telah lihat ramai wanita yang cuba mengenali rapat dengan Hefner. Ada setengah daripada mereka yang bermotif jahat.
"Ramai kenalan yang mengucapkan tahniah kepada Hefner menerusi Twitter. Tetapi, saya ingin berada di sana bagi menyaksikan perkahwinan mereka," jelasnya.- Agensi
Kosmo! Online - Dunia

TV tertua di Britain dilelong


SET televisyen Marconi 702 yang berusia 75 tahun


LONDON - Set televisyen tertua di Britain yang dipasang pada 1936, akan dilelong pada harga bidaan bermula £5,000, (RM24,415), lapor sebuah akhbar semalam.
Set televisyen jenis Marconi 702 itu yang didatangkan dengan skrin berukuran 30.48 sentimeter, masih berfungsi dengan baik walaupun sudah beroperasi selama 75 tahun.
Ia dibeli pada harga bawah £100 (RM488) oleh seorang lelaki, G. B. Davis selepas tiga minggu siaran televisyen bermula di Britain.
Pada masa itu, cuma terdapat satu saluran di Britain yang bersiaran selama tiga jam setiap hari.
"Set ini dijual oleh keluarga pemilik asalnya (telah meninggal dunia) dan merupakan televisyen tertua di Britain yang masih berada dalam keadaan baik," kata pakar agensi lelongan Bonhams yang mengendalikan lelongan itu, Laurence Fisher. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Lelaki meluncur di sisi jerung putih


CHRIS FALLOWS berdayung di sisi seekor jerung putih.

CAPE TOWN, Afrika Selatan - Seorang peluncur ombak, Chris Fallows berdayung menghampiri seekor jerung putih sambil berdiri di atas papan luncur bagi membuktikan pemangsa itu tidak seganas seperti yang digambarkan dalam filem Jaws, lapor sebuah akhbar semalam.
Sebelum ini, ramai peluncur ombak takut berbuat demikian kerana jerung putih dipercayai gemar menyerang peluncur ombak kerana mereka kelihatan seperti seekor penyu di permukaan laut.
Namun, bagi Fallows, 36, pendapat tersebut adalah tidak benar.
"Kebarangkalian untuk jerung putih menyerang manusia secara spontan adalah amat kecil," katanya.
Lelaki itu mengendalikan ekspedisi melihat ikan jerung di perairan di sini.
Namun, mereka yang tidak memiliki keseimbangan badan yang baik, dilarang meniru aksi tersebut. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Utusan khas Gaddafi cari penyelesaian krisis Libya


Abdul-Ati al-Obeidi berjabat tangan dengan Perdana Menteri Greece, George Papandreou dalam pertemuan mereka di Athens, Greece pada Ahad lalu.


BENGHAZI, Libya - Seorang utusan khas pemerintah Libya, Abdul-Ati al-Obeidi kelmarin memberitahu Perdana Menteri Greece, George Papandreou bahawa Muammar Gaddafi sedang mencari jalan untuk menyelesaikan krisis di Libya selepas serangan udara tentera sekutu Barat dilihat cuba menumbangkan pemerintahannya sejak dua minggu lalu.
Al-Obeidi yang juga Timbalan Menteri Luar Libya dijangka meneruskan kunjungan ke Turki dan Malta sebagai isyarat bahawa rejim Gaddafi bersedia untuk berlembut bagi menyelesaikan krisis dalaman Libya.
"Daripada komen utusan khas Libya, jelas bahawa rejim tersebut cuba mencari penyelesaian," kata Menteri Luar Greece, Dimitris Droutsas dalam satu kenyataan selepas pertemuan di Athens.
Droutsas menegaskan bahawa Greece menyokong desakan masyarakat antarabangsa supaya Libya mematuhi resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang memberi kebenaran terhadap serangan udara, selain menuntut Gaddafi dan puak pemberontak menamatkan pertempuran.
"Hormati dan laksanakan sepenuhnya resolusi PBB, segera kuatkuasakan gencatan senjata, tamatkan keganasan dan pertempuran terutama ke atas orang awam Libya," kata Droutsas.
Kerajaan Gaddafi sebelum ini pernah mengumumkan beberapa gencatan senjata, namun tidak mematuhinya.
Jumaat lalu, utusan khas Libya mennyatakan kerajaan Gaddafi cuba untuk mengadakan perbincangan bersama Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis dalam usaha menghentikan serangan udara yang bermula pada 19 Mac lalu. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

TEPCO guna garam mandian untuk sekat kebocoran radiasi


Para pekerja yang memakai pakaian khas menyembur pelekat sintetik di loji nuklaer Fukushima Dai-ichi dalam usaha menyekat kebocoran radiasi daripada terus masuk ke dalam laut.


TOKYO - Para jurutera pengendali loji nuklear Fukushima Dai-ichi, Tokyo Electric Power Company (TEPCO) menggunakan garam mandian dalam usaha terbaru mereka untuk mengesan satu kebocoran yang berlaku pada salah satu reaktornya.
Garam mandian itu digunakan bagi menghasilkan warna putih, sekali gus membantu mengesan punca kebocoran. TEPCO turut merancang memasang sejenis 'langsir' sebagai cubaan menghalang air beradiasi daripada terus memasuki laut. TEPCO bagaimanapun masih belum menyatakan apakah material yang akan digunakannya.
"Kami perlu menghalang penyebaran air tercemar daripada terus merebak ke laut secepat mungkin. Kami telah meminta TEPCO supaya bertindak pantas," kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano.
Edano turut memberi amaran bahawa radiasi terkumpul daripada kebocoran itu boleh memberi impak besar kepada Lautan Pasifik.
Pada hujung minggu lalu, mereka mencampurkan serbuk kayu dan surat khabar dengan polimer serta simen untuk menyekat kebocoran. Setakat ini, usaha tersebut gagal untuk menampal retakan pada satu pit konkrit pada reaktor No. 2 yang menyebabkan air mengandungi radioaktif masuk ke dalam laut.
Jepun menyatakan bahawa tiga daripada enam reaktor di loji terbabit secara keseluruhannya berada dalam keadaan stabil.
Dalam perkembangan lain, TEPCO mula membuang lebih 10,000 tan air yang mengandungi tahap radiasi rendah ke laut bagi menstabilkan loji tersebut. "Kami tiada pilihan, ini adalah langkah keselamatan," jelas Edano.
Tindakan itu diambil untuk menambah ruang penyimpanan yang semakin penuh dan menjejaskan usaha pembaikan. TEPCO menegaskan bahawa air yang tercemar itu tidak akan menjejaskan kehidupan marin. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia