Pages

Friday, May 17, 2013

Air manis tingkatkan risiko batu karang



Pengambilan setin air bikarbonat atau minuman manis setiap hari, boleh meningkatkan risiko penyakit batu karang. - AGENSI
BOSTON 16 Mei - Satu penyelidikan mendapati, tabiat suka minum setin air karbonat dan minuman manis dalam sehari, boleh meningkatkan risiko penyakit batu karang sebanyak hampir suku peratus.
Kajian terbaharu pakar perubatan Hospital Wanita dan Brigham di Boston, Amerika Syarikat (AS), Dr. Gary Curhan itu mendapati, hubungan antara jenis cecair dan batu karang mungkin bergantung kepada jenis minuman yang diambil.
“Kami mendapati pengambilan minuman yang mempunyai kandungan gula tinggi boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang.
“Individu yang minum air karbonat dan minuman manis sebanyak setin atau lebih dalam sehari, berdepan risiko sebanyak 23 peratus untuk membentuk batu karang dalam buah pinggang mereka," jelasnya.
Kira-kira tiga daripada 20 lelaki Britain dan seorang daripada 20 wanita mempunyai tanda-tanda batu karang pada peringkat tertentu dalam usia mereka dan mereka dinasihati minum air masak bagi mencegah pembentukan penyakit batu karang.
Malah kajian Curhan yang dijalankan terhadap 194,095 pesakit dalam tempoh lapan tahun mendapati, sesetengah jenis minuman boleh memberi manfaat kepada orang ramai.
Sebagai contoh katanya, air kopi, teh dan jus oren boleh mengurangkan tahap pembentukan batu karang. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130517/lu_05/Air-manis-tingkatkan-risiko-batu-karang#ixzz2TVVCxmh6
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kecewa model landasan kereta api atas loteng diarah buka



Robert Burdock kecewa selepas diarahkan membuka model landasan kereta api di loteng rumahnya atas alasan keselamatan dan kesihatan. - AGENSI
LONDON 16 Mei - Seorang peminat model kereta api kecewa apabila pihak berkuasa perumahan mengarahkannya membuka model landasan kereta api yang dibina di rumahnya atas alasan keselamatan dan kesihatan.
Robert Burdock, 61, berkata model landasan kereta api bernilai 10,000 pound (RM45,700) sepanjang 21.3 meter itu dibina di loteng rumahnya di Buckfastleigh, Devon sejak 40 tahun lalu.
Ayah kepada tiga orang anak dan beberapa orang cucu itu berkata, dia membelanjakan antara 8,000 pound (RM36,560) dan 10,000 pound (RM45,700) untuk memasang model tersebut.
“Saya memasangnya sendiri dan ia dinikmati oleh ahli keluarga saya termasuk cucu-cucu saya.
“Saya tidak akan membukanya, tetapi jika mereka mahu mengusir seseorang dari rumah sendiri kerana satu set model kereta api, terpulanglah,’’ katanya, kelmarin.
Burdock tinggal bersama isterinya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), Linda, 64 tahun.
Burdock berkata, isu itu timbul selepas dia membuat laporan kepada pihak berkuasa perumahan, Teign Housing berhubung serombong rumahnya yang bocor yang dimiliki majlis perbandaran.
“Pihak berkuasa perumahan memaklumkan kepada saya jika saya tidak membukanya, mereka akan menghantar pekerja untuk merobihkan model itu sebelum membaiki loteng rumah saya.
“Saya membina lantai loteng termasuk menjadikannya kalis api, dan tindakan saya itu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan majlis perbandaran,’’ katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130517/lu_06/Kecewa-model-landasan-kereta-api-atas-loteng-diarah-buka#ixzz2TVV4axBY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Suami impian



London: Pada 2009, seorang pelukis menghasilkan karya memaparkan sepasang kekasih sedang bercinta sebagai tema kerja tangannya.

Empat tahun kemudian, Chloe Mayo, 31, benar-benar mengahwini lelaki yang mempunyai wajah mirip dengan imej khayalannya sebelum ini. Menurut Chloe, ketika dia menghasilkan lukisan itu, dia tidak mempunyai teman lelaki, sebaliknya secara spontan melakarkan imej dirinya dengan seorang lelaki yang wujud dalam khayalan. “Saya tidak memikirkan sesiapa ketika itu,” katanya.


Selepas menyiapkan lukisan berkenaan, ia kemudian dibiarkan berhabuk di sudut ruang tamu rumahnya. Untuk mencari pasangan, Chloe menyertai laman mencari jodoh yang diuruskan secara dalam talian dan akhirnya berkenalan dengan Michael Goeman.

Dua bulan kemudian, mereka bertemu dan Chloe terkejut melihat Goeman, 30, saling tidak tumpah seperti lelaki dalam lukisannya. Kata Chloe, bagi mengelak ditinggalkan Goeman, dia menyorokkan lukisan itu di bawah tilam dan hanya menunjukkannya selepas benar-benar yakin hubungan mereka akan berpanjangan. “Nasib baik Goeman tidak tawar hati dengan lukisan itu dan kami terus menjalin hubungan selama 18 bulan sebelum dia melamar saya ketika kami bercuti di selatan Perancis,” katanya. Tiga tahun selepas bertemu, Chloe dan Goeman akhirnya berkahwin dan lukisan itu mendapat tempat istimewa di ruang tamu rumah mereka di Worcester Park dekat Croydon di Surrey.


Kata Chloe, dia berpindah balik ke Britain selepas menghabiskan masa bekerja di Australia pada 2009.


“Ketika itu saya nampak rumah saya perlu diberi kesegaran baru.

Foto
LUKISAN cat minyak yang dihasilkan Chloe saling tak tumpah dengan wajah suaminya.
Foto
PASANGAN Chloe dan Goeman berkahwin selepas tiga tahun berkenalan.

“Justeru, saya mula melukis beberapa gambar untuk mencantikkan dinding dan saya ada beberapa idea untuk menjayakannya,” katanya. Menurut Chloe, dia mahu menghasilkan gambar sepasang kekasih pada waktu malam, tetapi tidak mempunyai gambaran secara khusus.


Dia kemudian mula melukis mengikut rasa hatinya.

“Saya melukis ciuman berguguran dari pokok supaya ia kelihatan romantik tetapi wajah pasangan itu saya hasilkan secara spontan,” katanya. Selepas berkenalan dengan Goeman dan keluar makan malam bersama, kata Chloe, barulah dia tersedar wujud persamaan wajah kekasihnya dengan gambar yang dilukis. Sejak berkahwin, rakan mereka menggelarkan Goeman sebagai ‘lelaki di dalam lukisan’ kerana persamaan berkenaan. - Daily Mail

Pasangan kekasih pelihara dua ekor singa




DUA ekor singa bermain di depan Basista di pekarangan rumahnya.


PRAGUE - Satu pasangan kekasih memelihara dua ekor singa di rumah mereka di Kampung Stupava, selatan Republik Czech.
Ales Basista dan kekasihnya telah tinggal bersama singa tersebut sejak haiwan tersebut masih kecil.
Basista turut mempunyai akaun Facebook yang mengandungi beberapa keping gambar yang menunjukkan dia bersama haiwan-haiwan tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2TUq0qYzX 
Hakcipta terpelihara 

Cipta robot gergasi dengan kos 150,000 yuan




XIANGLI membetulkan litar elektrik pada robot ciptaannya di dalam rumahnya di Beijing kelmarin.


BEIJING - Seorang pencipta amatur, Tao Xiangli mencipta sebuah robot yang diperbuat daripada barang-barang kitar semula dan wayar elektrik di rumahnya di sini.
Dia membelanjakan kira-kira 150,000 yuan (RM73,427) dan menghabiskan masa selama lebih 11 bulan untuk membuat robot tersebut.
Barang-barang itu dibeli dari kedai yang menjual barang-barang terpakai.
Menurut media tempatan, robot itu setinggi 2.1 meter dan seberat 480 kilogram. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2TUpeD1tO 
Hakcipta terpelihara 

Kapsul di atas kapal persiaran




IMEJ yang dihasilkan menerusi komputer menunjukkan sebuah kapsul bergerak di atas kapal Quantum of the Seas.


NEW YORK - Sebuah kapal persiaran mewah menyediakan kapsul bergerak yang membolehkan para penumpang melihat pemandangan laut.
Ia merupakan kemudahan yang akan disediakan untuk para penumpang kapal persiaran Quantum of the Seas milik syarikat perkapalan Royal Caribbean International.
Para penumpang dibenarkan berada di dalam kapsul berkaca itu jika mereka mahu melihat pemandangan pada ketinggian 91.44 meter dari permukaan laut.
Kapal tersebut akan memulakan pelayaran pada tahun depan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2TUpTNwWY 
Hakcipta terpelihara