Pages

Wednesday, January 25, 2012

Banduan mesir dibebaskan sempena ulang tahun

KAHERAH: Mesir hari ini membebaskan kira-kira 3,000 banduan negara itu selepas mendapatkan arahan pemerintah tenteranya sempena ulang tahun penggulingan Hosni Mubarak yang pertama.

Pihak keselamatan negara itu berkata, 1,959 banduan dibebaskan selepas mendapat pengampunan daripada Fil Marsyal Hussein Tantawi, Sabtu lalu.

Calon pilihan raya Gabenor Aceh jalani ujian baca al-Quran

JAKARTA: Bagi melayakkan diri bertanding dalam pilihan raya Gabenor Aceh, tiga pasangan calon gabenor-timbalan gabenor menjalani ujian membaca al-Quran di Banda Aceh pada Selasa.

Dalam ujian yang dikendalikan Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya (KIP) di Masjid Raya Baiturrahman itu yang dilakukan di khalayak umum dan disiarkan secara langsung menerusi siaran Radio Republik Indonesia (RRI) Banda Aceh, kesemua mereka lulus.
Ketiga-tiga pasangan calon itu ialah Zaini Abdullah-Muzakir Manaf dari Parti Aceh serta Fakhrulsyah Mega-Zulfinar dan Hendra Fadli-Yuli Zuardi Rais dari parti bebas.
Hakim dalam ujian bacaan al-Quran daripada Majlis Ulama Aceh dan Lembaga Pengembangan Tilawatil Quran (LPTQ) menilai peserta daripada segi cara membaca, adab membaca dan kefasihan bacaan.

Mereka harus mendapat sekurang-kurangnya 50 markah untuk lulus.

Kemahiran membaca al-Quran adalah syarat wajib bagi calon yang akan bertanding dalam pilihan raya gabenor dan timbalan gebenor serta calon pegawai daerah dan penolong pegawai daerah, sejak Aceh melaksanakan undang-undang syariah pada tahun 2003.

Ketiga-tiga pasangan calon yang menjalani ujian bacaan al-Quran semalam adalah calon yang baru mendaftarkan diri selepas KIP membuka semula pendaftaran sebagaimana perintah Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada 17 Januari lalu.
Sebelum ini, KIP telah menerima pendaftaran empat pasangan calon untuk bertanding dalam pilihan raya itu, yang telah dijadualkan semula untuk diadakan pada 9 April.

Pasangan calon lain sudah pun lulus dalam ujian yang sama, selepas pendaftaran mereka. - BERNAMA Berita Harian Online | Calon pilihan raya Gabenor Aceh jalani ujian baca al-Quran:

'via Blog this'

Pengikut setia Gaddafi tawan semula Bani Walid

Bani Walid
TRIPOLI - Pengikut setia bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi berjaya menawan semula seluruh Bani Walid, kelmarin selepas melancarkan beberapa siri serangan di beberapa bandar dan turut menyebabkan tujuh bekas pemberontak terkorban dalam insiden itu.
Kejadian keganasan tersebut dipercayai berlaku selepas pemimpin kerajaan baru Libya berhasrat menghapuskan kuasa pro-Gaddafi untuk tujuan menyatukan negara di bawah satu pemerintahan.
Bekas ahli Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Mbarek al-Fotmani berkata, serangan itu turut menyasarkan Tripoli dan bandar timur Benghazi.
“Seramai kira-kira 150 penyokong pro-Gaddafi bertempur di jalanan. Mereka juga bertindak mengibarkan bendera rejim Gaddafi di pintu masuk di utara bandar tersebut,” menurut jurucakap kerajaan di Bani Walid, Mahmoud al-Warfali.
Dalam satu kenyataan, seorang penduduk di Bani Walid mendakwa pertempuran tersebut tercetus selepas pasukan tentera revolusi menahan seorang pengikut setia Gaddafi dan mereka nekad melancarkan serangan untuk membebaskannya.

PM Turki kecam Perancis rasis

Erdogan
ANKARA - Sambil mendakwa Perancis sebagai "rasis", Turki hari ini memberi presidennya amaran keras agar tidak menurunkan tanda tangan untuk mewartakan rang undang-undang baru, yang memperuntukkan sebarang bentuk penafian pembunuhan beramai-ramai rakyat Armenia oleh Empayar Turki ketika Perang Dunia Pertama, sebagai satu kesalahan.
Ankara menyifatkan langkah mewartakan undang-undang itu akan berhadapan dengan kesan buruk ke atas hubungan Turki dan Perancis. Parlimen Perancis meluluskan rang undang-undang itu lewat semalam.
Dalam reaksinya hari ini, Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan berkata, rang undang-undang itu digubal akibat sikap "rasis dan diskriminasi" terhadap Turki.
Beliau juga memberi amaran akan mengenakan sekatan-sekatan, yang belum ditetapkan, ke atas Perancis jika rang undang-undang itu diwartkan sebagai akta kelak. Ia dijangka akan menjadi satu akta secara rasmi akhir bulan depan dengan Presiden Perancis ada 15 hari untuk berbuat demikian selepas diluluskan oleh Dewan Senat semalam.
"Bagi kami ia tidak sah," kata beliau Recep Tayyip.
"Kami masih belum hilang harapan bahawa ia boleh dibetulkan," katanya lagi.
Terdahulu, Kementerian Luar Turki juga mengecam keputusan itu dengan berkata, rang undang-undang tersebut tidak harus digubal bagi mengelakkan ia dicatatkan sebagai "kesilapan-kesilapan politik, perundangan dan moral."
Pegawai-pegawai dalam kerajaan Presiden Nicolas Sarkozy terus menegaskan bahawa penggubalan undang-undang itu tidak menyasarkan Turki secara langsung.
Turki, yang melihat dakwaan pembunuhan beramai-ramai sebagai ancaman ke atas maruah kebangsaan, telah pun menggantung hubungan ketenteraan, ekonomi dan politik dengan Paris, dan telah memanggil balik dutanya buat sementara bulan lalu apabila dewan rendah Parlimen Perancis meluluskan rang undang-undang itu.
Ia menegaskan bahawa tidak ada kempen sistematik membunuh rakyat Armenia dan kebanyakan warga Turki juga terkorban ketika kehancuran empayar itu. Ia juga mendakwa jumlah kematian dibesar-besarkan.

AS nafi cuba bahagi Afghanistan

Afghanistan
KABUL – Duta Amerika Syarikat (AS) ke Afghanistan, Ryan Crocker mengutuk keras khabar angin yang mengatakan AS sedang merancang untuk mebahagi-bahagikan negara itu.
“Tuduhan ini tidak benar sedangkan lebih 1,800 askar AS telah terkorban ketika bertugas di negara yang sedang bergolak itu.
"Media memainkan peranan penting dan bebas melaporkan berita secara demokrasi  sama ada media Afghanistan ataupun jurucakap Afghanistan perlu memainkan elemen penting dalam hubungan dua hala antara dua negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam, dipetik portal msnbc.com.
Terdahulu, Crocker tampil membuat kenyataan selepas laporan di media Afghanistan bahawa New York pada Khamis minggu lalu melahirkan kerisauan ada kemungkinan Taliban mungkin mengadakan perjanjian rahsia dengan AS.
“Afganistan dan AS kedua-duanya menyokong proses damai untuk Afghanistan tetapi hanya rakyat Afganistan boleh menentukan masa depan negara mereka,” katanya.
Crocker turut menyatakan sokongan kepada Presiden Afghanistan, Hamid Karzai tentang idea untuk membuka sebuah pejabat Taliban di Qatar yang dilihat sebagai kunci rundingan perdamaian.
Sementara itu, Crocker berkata, khabar angin bahawa AS merancang membahagikan Afghanistan atau menukar kerajaan negara itu tidak benar sedangkan askar AS sendiri terkorban semasa pemerintahan kerajaan itu sendiri.
Katanya, tuduhan yang mengatakan AS mencari perjanjian rahsia urusan Taliban menaja kerajaan Afghanistan dan rakyatnya juga merupakan tuduhan yang salah dan tidak masuk akal.
Crocker turut menegaskan bahawa AS komited untuk terus menyokong usaha kerajaan persekutuan untuk membina sebuah kerajaan yang kuat, selamat, demokratik dan aman di Afghanistan.
“Kami tidak mempunyai matlamat ataupun tujuan lain. Pembayar cukai di AS telah menyediakan berbilion dolar beberapa dekad lalu untuk memberi sokongan kepada kerajaan dan rakyat Afghanistan.

Turki kecam Perancis lulus akta pembunuhan rakyat Armenia

Armenia
ISTANBUL - Kerajaan Turki melahirkan rasa marah ke atas Perancis ekoran keputusan Senatnya meluluskan undang-undang baru, yang menyediakan peruntukan menghukum pihak yang menafikan pembunuhan dilakukan Empayar Ottoman ke atas rakyat Armenia ketika Perang Dunia Pertama.
Kementerian Luar Turki melabel keputusan itu sebagai "tidak bertanggungjawab" dan mengugut akan mengambil tindakan balas, lapor BBC.
Armenia berkata sehingga 1.5 juta orang telah terbunuh antara tahun 1915 dan 1916 selepas Empayar Ottoman berpecah.
Turki menolak terma pembunuhan yang digunakan dan menegaskan bilangan mereka yang terbunuh juga jauh lebih kecil.
Rang undang-undang itu akan dihantar kepada Presiden Nicolas Sarkozy untuk ditandatangani dan dijadikan undang-undang kelak, yang dijangka hujung bulan depan.
BBC juga melaporkan bahawa para koresponden menyifatkan langkah terbaru itu dijangka akan menjejaskan dengan teruk hubungan Perancis dan Turki, yang merupakan rakan dalam Nato.
"Perancis membuka satu halaman hitam dalam sejarah," kata Volkan Bozkir, ketua jawatankuasa hal ehwal luar Parlimen Turki menerusi Twitter.
Duta Turki ke Perancis, Tahsin Burcuoglu pula berkata, penggubalan undang-undang itu akan membawa kepada kesan buruk hubungan kedua-dua negara.
Kenyataan Kementerian Luar membayangkan keputusan meluluskan undang-undang itu dipengaruhi oleh pemilihan presiden Perancis yang bakal diadakan.
Kira-kira 500,000 orang keturunan Armenia tinggal di Perancis.
Turki kecam Perancis lulus akta pembunuhan rakyat Armenia - Global - Sinar Harian:

'via Blog this'

Iran ulang ancaman

TEHERAN: Ahli Parlimen kanan Iran meningkatkan ancaman untuk menutup laluan kapal minyak di Teluk Parsi selepas Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan ke atas eksport petroleum, sekali gus ekonomi negara terbabit.
Keputusan EU itu diambil semalam - menuruti tindakan Amerika Syarikat yang menyasarkan eksport minyak Iran yang kritikal - membuka perseteruan baru terhadap Teheran.

Tekanan turut diberi dari pelbagai arah, termasuk gesaan AS terhadap Asia supaya mengetepikan minyak mentah Iran dan kejatuhan menjunam nilai mata wang.

Sebagai tindak balas, Iran beralih kepada senjata utama mereka - Selat Hormuz yang menjadi laluan kepada satu per lima dagangan minyak dunia.

Pakar ketenteraan mempertikaikan sama ada Iran mampu menutup laluan sempit berkenaan, tetapi pada masa sama, AS dan sekutunya berikrar mengambil tindakan tegas jika ia dilaksanakan.

Kelmarin, kapal pengangkut USS Abraham Lincoln serta kapal perang Britain dan Perancis memasuki laluan seluas 50 kilometer itu tanpa sebarang insiden.

Anggota Jawatankuasa Pertahanan Kebangsaan Parlimen Iran, Mohammad Ismail Kowsari, berkata selat berkenaan “pasti ditutup” jika jualan minyak diganggu dalam apa saja cara.

Seorang lagi ahli Parlimen, Heshmatollah Falahatpisheh, berkata Iran berhak menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap sekatan minyak yang dikenakan Barat.

“Setakat ini Iran belum menggunakan hak keistimewaannya itu,” katanya. Kenyataan itu tidak membayangkan pendirian kerajaan secara langsung, tetapi ia dilihat selari dengan komen komander tentera Iran sebelum ini. - AP

Pegawai polis dipecat kerana merokok di dalam pejabat


NEWBERN (Tennessee): Jabatan Polis Tennessee berkata, pihaknya memecat seorang pegawai yang sudah berkhidmat selama 17 tahun kerana dia berulang kali merokok di dalam pejabat dan melanggar polisi larangan merokok di bandar raya itu.
Sarjan James Bishop dipecat minggu lalu kerana melanggar polisi larangan merokok yang dikuat kuasa sejak 2007 di bandar raya itu, yang melarang merokok di dalam semua pejabat dan bangunan kerajaan.

Menurut surat pemecatan yang dilaporkan media, Ketua Polis, Harold Dunivant berkata, beliau mendapat aduan kakitangannya merokok di dalam pejabat dan mengeluarkan amaran tindakan disiplin akan dikenakan. Dunivant berkata, beliau terus mendapat aduan mengenai Bishop yang merokok di dalam pejabat dan terpaksa memecatnya. - AP

Israel serangan kilang senjata, terowong bawah tanah Gaza

BAITULMAQDIS: Israel melakukan serangan udara ke atas Gaza semalam, dalam tindakan didakwa sebagai balasan terhadap serangan roket ke atas rejim Zionis terbabit.
Jet tentera Israel menyasarkan kilang senjata api di tengah wilayah Palestin itu, selain tiga terowong digunakan untuk menyeludup bahan keperluan - masing-masing dua di utara dan satu di selatan Gaza.

Kenyataan tentera menyebut, sasaran itu dipilih sebagai “tindak balas terhadap serangan roket ke atas Israel beberapa hari lalu.” Sumber keselamatan Hamas pula berkata, dua serangan dilancarkan di Khan Yunis dan masing-masing satu di Beit Lahiya serta Nuseirat.

“Tiada sebarang kematian dilaporkan,” katanya.

Sepanjang bulan ini, sekurang-kurangnya lapan roket dilancarkan ke Israel dari Gaza.

Tiada kecederaan atau kerosakan besar dilaporkan.

Hamas kini terbabit dalam gencatan senjata longgar dengan Israel atas usaha Mesir.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang kumpulan lebih radikal - antaranya komuniti Salafi - daripada terus melancarkan seranga roket ke atas Israel.

Empat pejuang Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel sejak akhir Disember lalu. - AFP

Tokyo berdepan gempa bumi besar

KEADAAN loji nuklear Fukushina Daiichi yang terjejas akibat gempa bumi melanda Jepun, Mac lalu.
KEADAAN loji nuklear Fukushina Daiichi yang terjejas
akibat gempa bumi melanda Jepun, Mac lalu.

Jauh lebih awal berbanding ramalan kerajaan Jepun

TOKYO: Gempa bumi besar berkemungkinan melanda ibu kota Jepun dalam masa beberapa tahun, jauh lebih awal berbanding ramalan kerajaan, kata penyelidik di Universiti Tokyo kelmarin, sambil memberi amaran kepada syarikat dan individu supaya bersedia berdepan bencana itu.
Institut Penyelidikan Gempa Bumi universiti berkenaan berkata, bahagian selatan Tokyo berisiko 70 peratus digegarkan dengan gegaran magnitud 7.0 dalam tempoh empat tahun lagi.
Sebaliknya, kerajaan menganggarkan 70 peratus kemungkinan bencana itu berlaku dalam masa tiga dekad lagi.

Gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter, terkuat dalam sejarah Jepun dan tsunami melanda pantai timur laut negara itu Mac lalu menyebabkan 23,000 maut atau hilang dan menjejaskan loji nuklear Fukushina Daiichi, mencetuskan gangguan bekalan elektrik dan kebocoran radiasi yang memaksa kerajaan memindahkan penduduk dan selain berlaku pencemaran.

Tinjauan kerajaan menunjukkan gempa bumi kekuatan 7.3 berpusat di utara Teluk Tokyo menyebabkan 11,000 kematian dan memusnahkan sekitar 850,000 bangunan, walaupun pasukan penyelidik Universiti Tokyo berkata sukar untuk meramalkan impak gempa bumi besar di bandar raya.

“Risiko gempa bumi berukuran 7.0 akan berlaku di kawasan itu meningkat sejak kejadian Mac lalu. Buat masa ini, kerajaan, individu dan syarikat perlu bersiap sedia,” kata Profesor Madya Shinichi Sakai.
Seorang pegawai kerajaan berkata, anggaran universiti itu berasaskan model berbeza daripada digunakan kerajaan. Kiraan universiti itu mengambil kira aktiviti gempa bumi sejak Mac lalu, sedangkan kerajaan menggunakan data lama.

Pasukan penyelidik berkata, ada peningkatan lima kali ganda dalam bilangan gempa bumi di Tokyo sejak bencana Mac lalu, berdasarkan kiraan data diperoleh dari Agensi Kaji Cuaca Jepun.

Jepun, terletak dalam Lingkaran Api yang sebahagiannya mengelilingi Lautan Pasifik, dilanda kira-kira 20 peratus daripada gempa bumi berkekuatan 6.0 atau lebih.

Gempa bumi berukuran 7.3 pada skala Richter menggegarkan tengah Jepun pada tahun 1995, memusnahkan bandar raya pelabuhan Kobe, mengorbankan lebih 6,400 penduduk dan menyebabkan anggaran kerugian kira-kira AS$100 bilion (RM310 bilion). – Agensi Berita Harian Online | Tokyo berdepan gempa bumi besar:

'via Blog this'

Britain belanja RM2 juta hibur tentera di Afghanistan

LONDON 25 Jan. - Kementerian Pertahanan Britain semalam mendedahkan kerajaan memperuntukkan lebih 400,000 pound (RM2 juta) untuk menghantar artis terkenal melawat askar negara itu yang bertugas di Afghanistan sepanjang tahun lalu.
Setiausaha kementerian itu, Philip Hammond berkata, pemain bola sepak terkenal, David Beckham antara individu popular yang dihantar ke Afghanistan dengan tujuan menaikkan semangat kira-kira 9,500 askar Britain yang memerangi Taliban di wilayah selatan Helmand.
"Kos hiburan untuk askar di Afghanistan pada tahun lalu mencecah 437,637 pound (RM2.1 juta) dan kementerian menggunakan kutipan wang cukai selepas belanjawan untuk kementerian telah dipotong," katanya. - AFP

Bekas ejen CIA didakwa bocorkan maklumat

John Kiriakou

WASHINGTON 24 Jan. - Bekas pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang mengesahkan penggunaan kaedah penyeksaanwaterboarding ke atas anggota kanan al-Qaeda, Abu Zubaydah, didakwa membocorkan maklumat sulit kepada wartawan, termasuk mengenal pasti dua pegawai CIA, semalam.
Menurut agensi itu, John Kiriakou yang berkhidmat dengan CIA antara tahun 1990 hingga 2004, didakwa kerana melanggar peraturan yang melarang mengenal pasti pegawai dilindungi, membocorkan maklumat sulit dan menipu lembaga pemeriksa penerbitan CIA.
Dia berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika didapati bersalah atas kesemua tuduhan itu.
"Melindungi maklumat sulit dan pegawai-pegawai CIA dalam operasi sensitif sangat penting untuk memastikan keselamatan anggota perisikan dan negara.
"Dakwaan hari ini memperkuatkan lagi komitmen Jabatan Kehakiman untuk menghukum mereka yang tidak bertanggungjawab dan memberi amaran kepada semua supaya tidak mendedahkan maklumat sulit seperti itu," kata Peguam Negara, Eric Holder.
Kiriakou mendapat perhatian umum selepas satu wawancara dengan BBC News pada Disember 2007 di mana dia menjadi pegawai Amerika Syrikat pertama menceritakan mengenai kaedah penyeksaan waterboarding ke atas Abu Zubaydah.
Menurut Jabatan Kehakiman, Kiriakou turut menjadi sumber maklumat kepada berita yang disiarkan oleh New York Times pada Jun 2008 yang merujuk pegawai CIA terlibat dalam kes penyeksaan Abu Zubaydah.
Dia juga didapati menipu lembaga pemeriksa CIA untuk mendapatkan kebenaran menerbitkan buku mengenai pengalamannya yang bertajuk The Reluctant Spy: My Secret Life in the CIA's War on Terror. - AFP

Perang psikologi ke atas Iran

Menggerunkan : Kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln

TEHERAN 24 Jan. – Iran menuduh negara-negara Eropah melancarkan ‘perang psikologi’ selepas Kesatuan Eropah (EU) mengharamkan import minyak dari Iran.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam pada itu berkata, Washington akan mengenakan sekatan lanjut ke atas Teheran bagi menghadapi ‘ancaman serius daripada program nuklear Iran’.
Republik Islam itu, yang menafikan program nuklearnya bertujuan untuk membina bom nuklear, mencemuh usaha untuk menyekat eksport minyaknya, sementara negara-negara Asia bersiap sedia untuk membeli minyak yang ditolak oleh Eropah.
“Sekatan EU ke atas minyak Iran adalah perang psikologi.
“Mengenakan sekatan ekonomi ialah langkah yang tidak logik dan tidak adil tetapi tidak akan menghalang negara kami daripada mendapat haknya,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast, semalam.
Katanya, negara-negara Eropah dan negara yang ditekan Amerika patut memikirkan kepentingan mereka sendiri.
“Mana-mana negara yang menolak bekalan dari pasaran tenaga Iran akan segera mendapati negara lain telah mengambil tempatnya,” kata Mehmanparast.
Pelanggan terbesar Iran, China menolak tekanan AS supaya ia mengurangkan import minyaknya dari Teheran, begitu juga dengan negara-negara Asia yang lain.
India semalam berkata, sekatan memaksa Iran menjual minyak dengan harga lebih murah dan India merancang untuk mengambil kesempatan penuh daripada penurunan harga itu dengan membeli seberapa banyak minyak yang boleh.
Sekatan EU itu termasuk pengharaman segera ke atas semua kontrak baru bagi mengimport, membeli atau mengangkut minyak mentah dan produk petroleum Iran. – REUTERS

Calon Presiden AS dedah cukainya

MITT ROMNEY (kiri) dan Newt Gingrich mengambil bahagian dalam
 perdebatan calon Presiden Republikan di Universiti of South Florida
 di Tampa, Florida kelmarin.

WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Calon yang setakat ini menduduki tempat kedua dalam pemilihan bagi mewakili Parti Republikan pada pilihan raya Presiden 2012, Mitt Romney kelmarin menyiarkan dokumen percukaian yang mendedahkan pendapatan beliau, menurut akhbar Washington Post.

Perkara tersebut dilakukan selepas Romney seteru politik Romney meningkatkan tekanan supaya beliau berbuat demikian.
Washington Post melaporkan pemimpin berusia 64 tahun itu memiliki pendapatan AS$21.7 juta (RM67.3 juta) pada 2010 dan AS$20.9 juta (RM64.9 juta) tahun lalu dengan keseluruhannya dijana menerusi aktiviti pelaburan.
Pernah memegang jawatan Gabenor Texas antara tahun 2003 dan 2007, Romney merupakan antara individu terkaya pernah menyertai pencalonan untuk bertanding merebut jawatan Presiden AS.
Menurut akhbar sama, keluarga Romney turut menghulurkan sumbangan AS$7 juta (RM21.7 juta) kepada pelbagai badan amal sejak tahun 2010 dan membayar cukai persekutuan cuma AS$6.2 juta (RM19.2 juta) untuk tempoh sama.
Beliau sebelum ini menyelar pemenang tempat pertama pencalonan Parti Republikan bagi menyertai pilihan raya Presiden 2012, Newt Gingrich.
Calon yang dipilih anggota-anggota Parti Republikan akan menentang Brack Obama dari Parti Demokrat pada pilihan raya Presiden AS, November depan. - Agensi

Tel Aviv, destinasi popular golongan gay

SEORANG pondan membuat persembahan pada satu parti gay di Tel Aviv pada 7 Januari lalu.
TEL AVIV, Israel - Bandar raya Tel Aviv di sini menjadi antara destinasi paling popular yang dikunjungi golongan gay dari seluruh dunia.
Di bandar raya Israel ini, pasangan gay boleh berjalan sambil berpegangan tangan malah, mereka turut dibenarkan bercium di tempat awam.
Selain itu, iklimnya yang nyaman ditambah dengan pelbagai hiburan malam serta kempen berterusan oleh pemerintah banyak membantu menjadikan bandar raya ini sebagai syurga dunia gay.
Pihak dewan bandar raya di sini pula membelanjakan sekitar AS$100,000 (RM310,500) atau lebih dua pertiga bajet pemasaran antarabangsa bagi memancing kedatangan pelancong gay.
"Kami cuba menjadikan bandar raya ini bandar raya contoh dengan mengamalkan keterbukaan, pluralisme dan toleransi," kata Datuk Bandar Tel Aviv, Ron Huldai.
Menurutnya, puluhan ribu pelancong gay dari luar negara berkunjung ke bandar raya ini pada setiap tahun.
Tel Aviv juga diumumkan sebagai bandar raya gay paling terbaik di dunia pada 2011 selepas ia memenangi tempat pertama pada satu pertandingan antarabangsa. - Agensi

Menara Big Ben di London condong

Bangunan jam Big Ben (kanan) di London kelihatan dalam gambar yang dirakamkan pada Isnin lalu.
LONDON, Britain - Menara jam yang terletak di Istana Westminster dan digelar Big Ben didapati condong manakala media tempatan kelmarin melaporkan bangunan Parlimen Britain pula semakin mengelincir ke dalam Sungai Thames di sini.
Menara setinggi 96 meter itu yang menjadi mercu tanda bandar raya ini didapati condong sekitar 46 sentimeter ke kiri puncaknya.
Perkembangan membimbangkan itu mendorong suruhanjaya Dewan Perwakilan yang bertanggungjawab menyelia bangunan Parlimen dan kawasan sekitarnya sejak kurun ke-19 mengadakan satu pertemuan pada Isnin depan bagi membincangkan isu tersebut.
Media tempatan melaporkan suruhanjaya berkenaan akan membincangkan laporan juruukur yang mencadangkan anggota-anggota Parlimen berpindah manakala kerja-kerja membaiki kerosakan tersebut dianggar mencecah £1 bilion (RM4.8 bilion).
Namun, seorang jurucakap suruhanjaya itu menafikan terdapat laporan juruukur manakala pertemuan tersebut diadakan bagi menubuhkan satu kumpulan untuk menyelidik proses membaiki dan menyelia bangunan tersebut pada masa panjang.
Jurucakap berkenaan turut memberitahu, bangunan tersebut dipercayai condong sejak ia dibina pada tahun 1859.
Mengulas tentang isu sama, seorang pakar pembinaan pula berkata, perkara tersebut tidak membimbangkan kerana ia mengambil masa 1,000 tahun sebelum Big Ben condong pada sudut yang menyebabkan menara berkenaan berisiko untuk tumbang. - Reuters
-kosmo

Bumi berdepan ribut solar terkuat

GAMBAR yang dirakamkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas
Kebangsaan pada 22 Januari lalu menunjukkan nyalaan
 solar di Hemisfera Utara di matahari.
WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Beberapa pegawai cuaca angkasa lepas menyatakan ribut solar paling kuat dalam tempoh lebih enam tahun akan mengenai Bumi dengan pancaran radiasi akan berlaku.
Sebelum ini, radiasi ribut solar cuma mengganggu satelit dan mendatangkan masalah kepada angkasawan di angkasa lepas.
Namun, ia juga boleh menyebabkan gangguan komunikasi pada pesawat yang berada di udara.
Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Lepas di negeri Colorado dalam satu kenyataan mengesahkan ribut solar itu berlaku pada pukul 11 malam (waktu AS) Ahad lalu.
Ahli fizik AS, Doug Biesecker berkata, perkara paling membimbangkan mengenai ribut solar adalah radiasi yang dilepas.
Pancaran itu ,katanya, tiba di Bumi sejam kemudian.
Hentaman radiasi itu dijangka berlarutan sehingga hari ini.
Menurut Biesecker, tahap radiasi kali ini dianggap kuat tetapi radiasi lebih dahsyat pernah dikeluarkan beberapa ribut solar sebelum ini.
Radiasi kali ini adalah yang paling kuat sejak ribut solar pada Mei 2005.
Plasma yang keluar dari matahari ekoran ribut solar berkenaan pula tiba di Bumi semalam.
Ia dijangka menyebabkan gangguan pada grid elektrik di Bumi. - Agensi

Punca jualan kereta terkecil merudum

GAMBAR fail menunjukkan sebuah kereta Nano terbakar pada 21 Mac 2010 di Mumbai, India.

NEW DELHI - Apabila Tata Motors melancarkan Nano pada 2009, kereta kompak termurah di dunia itu dijangka mencatat keuntungan besar di pasaran.
Nano dikatakan jalan penyelesaian kepada jutaan keluarga kelas pertengahan bawahan di India yang berhasrat memiliki kereta sendiri tanpa membebankan ekonomi mereka.
Namun, perkara sebaliknya telah berlaku.
Golongan terbabit meminggirkan kereta berharga AS$2,800 (RM8,694) itu dan memilih untuk membeli kereta lebih mahal atau kereta terpakai pada harga yang sama.
Perkembangan negatif itu dipercayai berpunca daripada persepsi masyarakat bahawa Nano adalah kereta orang miskin.
"Kereta Nano sentiasa dianggap kereta orang miskin. Tiada siapa mahu dilihat memandunya," kata Punnoose Tharyan, editor sebuah majalah permotoran India, Motown.
Menurut ketua perniagaan Tata Motors, jualan bulanan Nano adalah sekitar 10,000 unit, jauh tersasar daripada sasaran jualan 25,000 kenderaan sebulan.
Selain itu, beberapa tragedi kereta Nano terbakar sejak beberapa tahun lalu juga dilihat tidak membantu meningkatkan imej kereta kompak itu di mata masyarakat.
Ketua Tata, Ratan Tata mengaku bahawa kesilapan telah dibuat sehingga menyebabkan terdapat persepsi bahawa Nano ialah sebuah kereta untuk golongan miskin.
Justeru, bagi memperoleh jualan yang memberangsangkan, Tata telah memberikan pengubahsuaian dengan menyediakan lebih banyak warna termasuk warna oren betik. - AFP