Pages

Saturday, July 26, 2014

Berkhatan kurangkan risiko AIDS


Melbourne: Kempen mempromosi amalan berkhatan di kalangan lelaki boleh memberi manfaat kepada wanita kerana ia didapati meminimumkan risiko dijangkiti virus HIV, lapor satu kajian dibentangkan di persidangan AIDS sedunia, semalam.

Kevin Jean dari Agensi Penyelidikan AIDS Kebangsaan Perancis berkata, dalam satu masyarakat di Afrika Selatan yang mempunyai ramai lelaki yang dikhatankan, wanita yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki yang dikhatan menunjukkan pengurangan risiko jangkitan sehingga 15 peratus.


Katanya, kesan positif berkhatan dialami apabila kulit yang mudah ditembusi virus HIV dibuang.



“Walaupun kecil, ia tetap bermakna dan satu permulaan yang baik,” katanya. Kajian itu dibentang pada hari terakhir Persidangan AIDS Sedunia ke-20 di Melbourne.


Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan lelaki di 14 negara sub-Sahara yang mengalami kadar tinggi virus HIV supaya berkhatan.


Garis panduan itu yang mencetuskan program bernilai jutaan dolar berasaskan bukti daripada tiga ujian yang dilakukan di Afrika Selatan, Kenya dan Uganda.

Kajian mendapati risiko jangkitan HIV pada lelaki berkhatan berkurag sehingga 50 atau 60 peratus.


Bagaimanapun, timbul pula isu kesan lelaki berkhatan terhadap wanita. Persoalan utama termasuk sama ada risiko jangkitan turut berkurangan dalam kalangan wanita jika ramai lelaki dikhatankan.

Satu lagi isu dibangkitkan adalah kebimbangan lelaki berkhatan menganggap mereka selamat sepenuhnya daripada jangkitan HIV lantas enggan menggunakan kondom.


Kajian terbaru itu dilakukan terhadap 2,452 wanita berusia antara 15 hingga 29 tahun di Orange Farm, Afrika Selatan.


Darah wanita terbabit diuji pada 2007, 2010 dan 2012 selain mereka turut ditanya mengenai aktiviti seksual. Dalam tempoh itu, lelaki yang dikhatan dalam masyarakat berkenaan menunjukkan peningkatan daripada 12 peratus kepada 53 peratus.


Lebih 30 peratus wanita terbabit dilaporkan mengadakan seks hanya dengan lelaki yang dikhatan dan 17.8 peratus dijangkiti virus berkenaan.


Bagaimanapun, jumlah jangkitan bagi wanita mengadakan seks bersama lelaki tidak berkhatan adalah 30.4 peratus.


Sementara itu, Jean mengakui keberkesanan kajian itu memerlukan masa sebelum dapat dilihat sepenuhnya.


Namun, katanya, satu kesan positif hasil kajian itu adalah lelaki yang dikhatan lebih cenderung mengamalkan seks selamat.


“Jadi secara tidak langsung itu memang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/26

Ular sawa muntahkan antelop



SEEKOR ular sawa menelan anak antelop di kampung Billa, Gujarat baru-baru ini.


GUJARAT, India - Seorang anggota peenyelamat haiwan, Nitish Bambhaniya merakamkan gambar seekor ular sawa menelan anak antelop di kampung Billa di sini baru-baru ini.
Bambhaniya menunggang sebuah motosikal bersama seorang rakannya ke tempat kejadian selepas mendapat maklumat tentang ular tersebut daripada penduduk tempatan.
Dia yang mengendalikan Kelab Alam Semula Jadi Burung Hering Berkepala Merah berkata: "Saya mendapat panggilan pada waktu pagi berhubung seekor ular sawa India.
"Apabila kami tiba di lokasi kejadian, kami melihat ular sawa gergasi tersebut. Ular itu memburu seekor anak antelop dan telah menelan sebanyak 80 peratus badannya.
"Kejadian itu berlaku di sebuah padang terbuka menyebabkan penduduk tempatan mula mengerumuni di lokasi kejadian," kata Bambhaniya.
Menurutnya, ramai penduduk mahu membunuh ular sawa itu kerana jika haiwan tersebut dibiarkan bebas , ia akan membahayakan nyawa kanak-kanak dan penduduk kampung.
Ketika ramai penduduk kampung mengerumuni ular tersebut, ia berhenti menelan antelop tersebut.
Ular itu kemudian memuntahkan kembali antelop itu.
"Haiwan itu melakukan perbuatan tersebut supaya ia menurunkan berat badan dan mudahnya untuknya melarikan diri dengan segera," kata Bambhaniya.
Menurutnya, beliau kemudian mencapai persetujuan untuk dengan penduduk kampung bagi mengelak haiwan tersebut dibunuh.
"Kami kemudian menangkap ular itu dan menyerahkannya kepada para pegawai jabatan perhutanan," katanya.
Ular itu kemudian dibebaskan di sebuah kawasan hutan berdekatan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz38WWeRl6U 
Hakcipta terpelihara