Pages

Friday, December 10, 2010

Israel lancar serangan udara ke Gaza




2010/12/10

SEORANG kanak-kanak Palestin melihat kemusnahan di Gaza akibat serangan udara tentera Israel.
SEORANG kanak-kanak Palestin melihat kemusnahan di Gaza akibat serangan udara tentera Israel.
GAZA: Israel melancarkan serangan udara ke atas Semenanjung Gaza semalam, beberapa jam selepas roket dilepaskan pejuang Palestin mencederakan seorang lelaki tempatan di kawasan pertanian berhampiran sempadan antara dua jajahan, kata tentera. 

Seorang jurucakap tentera Israel berkata serangan itu disasarkan di tiga tempat berbeza di Semenanjung Gaza, dua daripadanya disahkan pejuang Palestin tapak yang digunakan untuk latihan mereka. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pejuang Palestin melepaskan kira-kira lima meriam lewat kelmarin dan serpihan satu daripadanya mencederakan seorang lelaki. Mangsa dibawa oleh helikopter ke sebuah hospital di Beersheba, namun kecederaannya tidak mengancam nyawa, kata jurucakap itu.Lelaki itu adalah mangsa pertama akibat serangan roket dilepaskan pejuang Gaza ke Israel sejak Mac lalu apabila seorang buruh tani dari Thailand terbunuh apabila terkena bedilan. 

Pejuang di jajahan perairan yang diperintah Hamas secara kerap melepaskan roket menyeberangi sempadan dan meriam ke arah Israel yang jarang menyebabkan kematian. 

Israel menggunakan serangan kereta kebal atau udara ke atas sasaran pejuang dan terowong yang digunakan untuk menyeludup barangan dan senjata ke dalam jajahan dikepung dari Mesir. – REUTERS 

Seoul bekal topeng gas hadapi serangan





2010/12/10

PANGLIMA Angkatan Tentera Korea Selatan, Han Min-koo (kanan) semalam memeriksa pangkalan meriam yang dibedil Korea Utara di pulau Yeonpyeong 23 November lalu.
PANGLIMA Angkatan Tentera Korea Selatan, Han Min-koo (kanan) semalam memeriksa pangkalan meriam yang dibedil Korea Utara di pulau Yeonpyeong 23 November lalu.
Bimbang diserang senjata kimia oleh Pyongyang 

SEOUL: Korea Selatan berkata ia akan membekalkan topeng gas kepada penduduknya di pulau sempadan bagi digunakan untuk perlindungan jika Korea Utara melancarkan serangan menggunakan senjata kimia, ketika ketegangan masih memuncak selepas kejadian pengeboman bulan lalu.
Pegawai di Agensi Pengurusan Kecemasan Nasional, berkata ia akan membekalkan 1,300 topeng lagi kepada penduduk di lima pulau sempadan hadapan termasuk Yeonpyeong, tahun depan.


Pengeboman 23 November lalu oleh Korea Utara ke atas Yeonpyeong mengorbankan dua orang awam dan dua anggota tentera laut, memusnahkan 29 rumah dan mencetuskan krisis serantau. 

“Kami akan memastikan topeng gas diperoleh semua penduduk di lima pulau terbabit,” kata pegawai yang enggan namanya didedahkan kepada AFP, menambah 87 peratus sudah menerima topeng itu. 

Agensi itu juga merancang untuk memulakan perolehan tambahan 610,000 topeng gas dalam tempoh lima tahun bermula 2012 untuk memastikan semua anggota pertahanan awam berjumlah 3.93 juta orang memilikinya. 

Agensi itu juga mengkaji cara mengubah suai ribuan pusat perlindungan kecemasan, termasuk di stesen kereta api bawah tanah atau tempat letak kereta bawah tanah untuk melindungi pengguna daripada senjata kimia. 
Kementerian pertahanan Selatan berkata Korea Utara memiliki di antara 2,500 dan 5,000 tan ejen kimia. 

Bajet tahun depan yang diluluskan kelmarin memberi peruntukan tambahan 261 bilion won (RM719.63 juta) untuk meningkatkan keupayaan dan menambah anggota tentera. 

Tentera juga akan memasang lebih banyak radar anti-persenjataan, pelancar roket pelbagai dan senjata pemandu tepat ke atas pulau Laut Kuning, selepas Seoul berazam untuk membuat Pyongyang menanggung ‘harga yang mahal’ terhadap sebarang serangan akan datang. 

Pyongyang mempertahankan serangannya, menyatakan Seoul yang dianggapnya ‘boneka pencetus peperangan’ memprovokasi insiden untuk mencetuskan konflik lebih besar. 

Pyongyang mengulangi dakwaan ia hanya menentang latihan ketenteraan Korea Selatan. 

Yeonpyeong di bahagian selatan sempadan Laut Kuning dikenali Garisan Had Utara, yang ditanda pasukan keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selepas perang. 

Korea Utara tidak mengiktiraf garisan itu dan berkata ia sepatutnya lebih jauh ke selatan. Dalam satu laporan semalam, ia berkata Yeonpyeong terletak ‘jauh di dalam’ jajahan perairannya. – AFP 

83 banduan maut penjara terbakar




2010/12/10


  • Foto
    ASAP tebal dan api marak dalam kebakaran di penjara San Migue Santiago, semalam.
  • Foto
    BANDUAN yang terperangkap dalam kebakaran mengibarkan bendera untuk mendapatkan bantuan.
Kejadian ketika tahanan merusuh, bergaduh dalam sel terlalu sesak

SANTIAGO: Satu kebakaran yang berlaku ketika rusuhan di sebuah penjara sesak di sini kelmarin, mengakibatkan sekurang-kurangnya 83 banduan terbunuh, dan 14 lain cedera parah.
Jeritan dapat didengar ketika seorang banduan menghubungi sebuah stesen televisyen untuk mendapatkan bantuan dengan menggunakan telefon selular secara haram.“Keadaan di penjara ini tidak masuk akal,” kata Presiden Chile, Sebatasian Pinera, yang melawat pusat kecemasan di mana banduan dirawat bagi kesan terbakar teruk dan sedutan asap. 

Pengarah polis penjara nasional, Luis Masferrer, berkata kebakaran berlaku kira-kira jam 5.30 pagi di penjara San Miguel di selatan ibu negara, dan berjaya dikawal kira-kira tiga jam kemudian.

Laporan awal menunjukkan bahawa kebakaran itu disengajakan, kata pegawai penyiasat, Alejandro Pena. Menteri Dalam Negeri, Rodrigo Hinzpeter, berkata ia bermula ketika tercetusnya pergaduhan di kalangan banduan terbabit dan ia sampai ke tahap maksimum hanya dalam tempoh tiga minit.

Pegawai penjara berkata panggilan pertama ke pihak bomba dibuat kira-kira 20 minit selepas rusuhan bermula. 
Beratus-ratus anggota keluarga yang marah berhimpun dalam suasana kecoh di luar pintu masuk ke penjara. Sesetengahnya menunggu sehingga enam jam tetapi pegawai membacakan nama banduan yang terselamat – yang disalah sangka sebagai mangsa maut. Sesetengahnya meludah atau membaling batu ke arah pengarah polis penjara berkenaan.

Pengarah operasi polis, Jaime Concha berkeras bahawa polis bertindak pantas walaupun terpaksa mengendalikan 1,900 banduan di penjara yang dibina untuk 700 orang.

Oktober lalu, Hakim Ana Maria Arratia Valdebenito memberi amaran bahawa Menara 5, di mana kebakaran bermula, menahan 484 banduan - lebih 100 orang di setiap tingkat.

Pihak bomba Chile berkata mereka dimaklumkan mengenai kebakaran itu menerusi satu panggilan telefon dari dalam penjara. 

Kebanyakan banduan maut di tingkat tiga, Menara 5. Pihak bomba terpaksa bekerjasama dengan polis bagi mengelakkan lebih banyak masalah dengan banduan di sekeliling mereka.

Beberapa anggota keluarga banduan memberitahu stesen TV kerajaan bahawa polis penjara pada mulanya menutup pintu kepada bomba, dan mengganggu usaha oleh 10 unit untuk mengawal api. – AP 

Maut bergumpal bersama dodol

DI SINI...mesin pengisar dodol terbabit.

DI SINI...mesin pengisar dodol terbabit.





POTONG...mesib pengisar yang mengorbankan mangsa selepas dipotong bomba.
POTONG...mesib pengisar yang mengorbankan mangsa selepas dipotong bomba.




TUMPAT: “Panas ni! Tolong la wei! Cepat, panas ni,” rintih seorang warga emas, Wan Zainab Wan Ali, 62, ketika ditemui bergelumang dalam mesin kawah pengacau dodol panas oleh anak saudaranya, Nik Roslan Nik Hussein, 41, di bangsalnya di Kampung Laut, di sini, petang semalam.
Kejadian jam 5 petang itu menyebabkan Nik Roslan yang mengumpulkan kayu api untuk diletakkan di bangsal itu tergamam sebelum melihat badan ibu saudaranya bergumpal bersama dodol di dalam kawah berkenaan.
Difahamkan, mangsa sudah dua hari tidak pergi ke bangsal itu bersama anak perempuannya, Zarika Mamat, 40, kerana kedua-dua mereka demam.


Bagaimanapun, Wan Zainab pergi berseorangan kira-kira jam 8 pagi semalam untuk mengacau dodol menggunakan mesin baru dibelinya Julai lalu, berikutan sambutan menggalakkan sempena musim cuti sekolah ini.




Hasrat pengusaha dodol terbabit untuk mencari pendapatan lebih, bagaimanapun tidak kesampaian apabila dia ditemui dalam keadaan menggelupur kepanasan di dalam kawah.

Harian Metro difahamkan, usaha mengeluarkan mangsa gagal dilakukan penduduk kampung kerana tubuhnya tersekat di dalam mesin berkenaan menyebabkan tugas menyelamat diserahkan kepada bomba.


Sebaik tiba, sekumpulan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat mengalihkan mesin itu sebelum mengeluarkan mangsa.


Mangsa yang mewarisi bakat mengacau dodol sejak turun-temurun dan mengusahakan perniagaan itu 50 tahun lalu, menghembuskan nafas terakhir ketika dibawa menaiki ambulans ke Hospital Tumpat dengan keadaannya berlumuran darah.


Nik Roslan berkata, dia terkejut mendengar jeritan seseorang ketika meletakkan timbunan kayu di bangsal dodol diusahakan ibu saudaranya kira-kira jam 5 petang semalam.


“Ketika itu saya kutip kayu api untuk disimpan ke dalam bangsal. Saya bergegas sebaik mendengar jeritan dan lihat mak cik sudah berpusing di dalam pengisar itu dengan keadaan tangan berputar.


“Saya segera mematikan suis mesin itu dan menjirusnya dengan air kerana keadaan terlalu panas dan mak cik meraung kesakitan,” katanya.


Nik Roslan meminta bantuan jiran untuk membantu mengeluarkan ibu saudaranya di dalam kawah dodol berkenaan.


“Saya panggil orang minta tolong, tapi mereka hanya mampu lihat sebab keadaannya mengerikan. Sebelah kakinya tersekat di batang mesin, manakala sebelah lagi terkeluar ke sebelah kiri kawah yang panas.


“Dua kali saya tengok mak cik berpusing dalam mesin. Orang kampung cuba bantu, tapi gagal menyebabkan mereka menjirusnya dengan air kerana dodol terlalu panas,” katanya.


Berikutan itu, katanya, beberapa jiran menghubungi bomba untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tidak sedarkan diri.


“Dia dibawa ke Hospital Tumpat sebelum disahkan meninggal dunia oleh ahli keluarga ketika dalam perjalanan,” katanya.


Suami mangsa, Mamat Mat Nor, 66, berkata kejadian disedari ketika dia hendak menunaikan solat Asar dan tergerak turun dari rumah untuk melihat kekecohan di bangsal itu.


“Ketika saya hendak solat Asar di rumah, saya dengar orang bising di bawah dan turun ke bangsal untuk melihat apa yang berlaku. Masa itu orang ramai tengah kerumun dan jirus air seperti nak sejukkan dodol.


“Saya tergamam apabila melihat yang dijirus adalah isteri saya menyebabkan saya tidak mampu berkata. Sayu kerana tidak pernah kejadian ini berlaku sepanjang kami mengusahakan dodol,” katanya.


Katanya, sejak dua bulan lalu, isterinya berperangai pelik kerana terlalu sedih ketika menziarahi kakaknya yang mahu menunaikan haji.


“Isteri nampak lain ketika kakaknya nak pergi Makkah. Dia sedih nak berpisah sebab takut mereka tak berjumpa lagi,” katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi dan Penyelamat Balai Bomba Tumpat, Yaacob Abdullah, berkata pihaknya menghantar enam anggota bersama satu jentera selepas menerima panggilan, jam 5.30 petang semalam.


Katanya, sebaik tiba jam 5.39 petang, mangsa masih terbaring dalam kawah mesin dodol itu dan orang ramai berusaha mengeluarkan mangsa, tetapi tidak berjaya kerana dia terperosok di dalam mesin.


“Bomba mengambil masa enam minit untuk mengeluarkan mangsa kerana terpaksa memotong batang pengisar dodol. Kami juga terpaksa meminta bantuan orang ramai memegang kepala dan kaki mangsa ketika memotong batang besi berkenaan.


“Mangsa ketika itu separuh sedar. Badan dan kedua-dua kaki serta mukanya melecur, manakala tangan kanan remuk akibat dipulas pengisar,” katanya.


Katanya, siasatan awal mendapati kemungkinan kain tudung mangsa terlilit ke dalam pengisar menyebabkan mangsa terhumban ke dalamnya.

Wanita 317.51kg berusaha kurangkan berat badan



TERRI SMITH kini cuma berbaring di rumahnya di Shaker Heights, Ohio.


COLUMBUS, Amerika Syarikat - Seorang wanita seberat 317.51 kilogram (kg), Terri Smith mula berusaha mengurangkan berat badan supaya dia boleh menjalani pemeriksaan otak dengan menggunakan mesin imbasan bagi mengesan tumor, lapor sebuah akhbar semalam.
Terri, 49, yang dipercayai wanita paling gemuk di dunia kini hanya berbaring di rumahnya di Shaker Heights, Ohio kerana dia tidak boleh berdiri dan bergerak.
Dia bergantung kepada suaminya, Myaron, 55, dan anak perempuannya, Najah untuk membantunya mandi, memakai pakaian dan makan.
Semasa umurnya tujuh tahun beratnya ialah 50.80kg dan ketika berusia 20 tahun, berat badannya meningkat lebih 113.39kg.
Dia bekerja sebagai pekerja kesihatan mental selama 20 tahun.
Selepas berkahwin dengan suaminya pada 1986, berat badannya semakin meningkat.
Dia berasa bertuah kerana mempunyai suami yang masih mahu menjaganya.
Berat badannya perlu diturunkan kerana mesin pengimbas otak tidak sesuai untuk wanita yang memiliki saiz besar sepertinya. - Agensi

Pengantin baru berang kualiti rendah kostum Avatar



DUA pekerja perhutanan yang memakai kostum seperti watak dalam filem Avatar bergambar bersama beberapa pengantin wanita di banjaran gunung Wu Lingyuan, selatan China baru-baru ini.


BEIJING - Beberapa pengantin perempuan berasa marah selepas mendapati dua pekerja di banjaran gunung Wu Lingyuan, selatan China tidak memakai kostum sebenar watak makhluk biru dalam filemAvatar, lapor sebuah akhbar semalam.
Pengantin-pengantin perempuan itu menyangka kostum yang dipakai dua pekerja itu adalah tulen menyebabkan mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk pakej perkahwinan di kawasan tersebut.
Banjaran gunung Wu Lingyuan itu dikatakan digunakan oleh James Cameron untuk menghasilkan set planet fantasinya dalam filem arahannya, Avatar.
Seorang pengantin perempuan, Xiao Tsao berkata: "Dua Navi (lelaki yang memakai kostum watakAvatar berkualiti rendah) merupakan pekerja perhutanan yang cuma memakai seluar dalam panjang dan topeng tidak tulen. Ia amat menyedihkan."
Namun, seorang jurucakap pihak berkuasa perhutanan berkata: "Kami bukannya pakar dalam bidang kesan khas. Apa yang kami beri keutamaan ialah kecantikan lanskap keindahan kami." - Agensi

Peluang menang di YouTube

SAN FRANCISCO - Ahli-ahli muzik yang terkenal dan tidak popular kini berpeluang untuk dinobatkan sebagai artis yang paling diminati di laman web popular, YouTube.
Bagaimanapun, mereka perlu menyertai pertandingan My YouTube yang akan berlangsung selama dua bulan selepas ia dilancarkan kelmarin untuk bergelar sebagai pemenang.
Pertandingan itu boleh diakses di youtube.com/myyoutube dan pemenang dipilih berdasarkan reaksi pengguna.
Para peserta akan memperoleh mata apabila peminat melanggan saluran persembahan mereka.
Mata turut meningkat jika persembahan mereka turut diminati pengguna Facebook dan Twitter.
Antara hadiah yang ditawarkan ialah kemeja-T, cakera digital (CD), konsert tiket dan iPod.
Lima peserta terbaik akan diumumkan apabila pertandingan itu berakhir pada 5 Februari depan. - AFP

Peminat Bieber sembunyi dalam lori sampah


JUSTIN BIEBER


LOS ANGELES - Para peminat penyanyi remaja kelahiran Kanada, Justin Bieber, 16, sanggup bersembunyi di dalam lori sampah semata-mata untuk bertemu dengannya, lapor sebuah akhbar semalam.
Dalam satu temu ramah eksklusif, Bieber yang dilahirkan di Stratford, Ontario, Kanada menyatakan empat gadis remaja bersembunyi di dalam lori sampah supaya mereka boleh menyelinap ke dalam bangunan tempat dia muncul dalam satu program televisyen di Duesseldorf, Jerman pada minggu lalu.
Menurutnya, pekerja-pekerja sampah menemui gadis itu semasa mereka bekerja.
Bagaimanapun, dia terpaksa membatalkan kemunculannya dalam program televisyen pada Sabtu lalu itu selepas seorang peserta, Samuel Koch, 23, cedera ketika membuat persembahan lagak ngeri.
Beiber berkata, dia tidak pernah gementar ketika menyanyi di depan 80,000 penonton.
Selain itu, Bieber yang meminati kelab bola sepak Chelsea menganggap pemain bola sepak England, David Beckham sebagai mesra selepas menemuinya.
Bagaimanapun, dia yang meminati pemain bola sepak kelab Manchester United, Wayne Rooney berkata, dia hanya gementar ketika bertemu dengan gadis.
Bieber berkata, dia mahu menjadi ikon remaja dan akan melakukan perkara-perkara yang baik sahaja. - Agensi

Saiz harimau semakin kecil



GAMBAR fail menunjukkan seekor harimau Bengal terjun ke dalam sungai dekat kawasan hutan di Sundarban, India pada 24 Februari lalu.


KOLKATA - Saiz harimau Bengal kini didapati semakin kecil akibat perubahan persekitaran habitat haiwan itu, menurut satu kajian terbaru.
Menurut satu kajian yang dilakukan beberapa pegawai hidupan liar India, berat beberapa harimau di kawasan berpaya Sunderban di sempadan Bangladesh didapati semakin ringan berbanding sedekad lalu.
"Kami terkejut kerana harimau yang kelihatan sihat hanya seberat 98 kilogram (kg)," kata Pengarah Kawasan Simpanan Harimau di Sunderban, Subrata Mukherjee.
"Purata berat harimau dewasa sepatutnya tidak lebih 140kg," tambahnya.
Selain aktiviti pencerobohan, pakar-pakar menyalahkan peningkatan paras laut yang meningkatkan kadar garam di paya Sunderban sebagai punca berat haiwan itu berkurangan. - AFP

Perang penggodam WikiLeaks




SKRIN laman MasterCard.com yang digodam oleh penggodam kelmarin.




LONDON - Perang penggodam antara kumpulan pro-WikiLeaks dengan anti-WikiLeaks semakin meluas dengan mangsa terbaru melibatkan sebuah akhbar di Lebanon semalam.
Sebelum ini, laman MasterCard dan Visa digodam oleh kumpulan pro-WikiLeaks.
Kumpulan itu menyokong pengasas laman WikiLeaks yang membocorkan lebih 250,000 kabel diplomatik Amerika Syarikat (AS) di Internet. Julian Assange kini ditahan di Britain atas dakwaan merogol dan mencabul dua wanita di Sweden.
"Kami berasa gembira untuk memberitahu anda bahawa http://www.mastercard.com/ kini tidak berfungsi dan ia disahkan," kata satu mesej di laman Twitter yang dihantar sebuh kumpulan dikenali sebagai AnonOps.
Kumpulan itu menentang sekatan dan tapisan maklumat.
Laman Visa tidak berfungsi pada Isnin lalu di AS dan kumpulan yang sama bertanggungjawan melakukan penggodaman itu.
Bagaimanapun, urusan penggunaan kedua-dua kad itu tidak terjejas.
Sumber-sumber memberitahu agensi berita Reuters bahawa WikiLeaks akan mendedahkan laporan mengenai suspek militan yang ditahan di penjara Teluk Guantanamo.
Sementara itu, pihak berkuasa pendakwa raya Sweden yang mengeluarkan waran tangkap Assange menyatakan pihaknya telah membuat aduan kepada polis berhubung serangan siber.
Sementara itu, laman web akhbar Al-Akhbar semalam turut digodam selepas ia menyiarkan maklumat rahsia kabel diplomatik AS yang dibocorkan WikiLeaks.
Akhbar itu mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan Hezbollah.
Seorang editor akhbar itu, Omar Nashabe berkata, serangan itu adalah yang paling serius sejak akhbar tersebut diwujudkan pada 2006. - Agensi

Bilik rahsia WikiLeaks seperti filem James Bond



BEBERAPA orang bekerja di bilik bawah tanah WikiLeaks di Stockholm, Sweden.


STOCKHOLM, Sweden – Bilik bawah tanah yang menempatkan pelayan-pelayan komputer milik pengasas laman web Wikileaks, Julian Assange (gambar) umpama set filem James Bond, lapor sebuah akhbar semalam.
Bilik itu menempatkan pelayan komputer mengandungi ratusan ribu e-mel dan dokumen rahsia yang menggemparkan seluruh dunia.
Sebelum ini, laman WikiLeaks mendedahkan lebih 250,000 kabel diplomatik melibatkan Amerika Syarikat (AS) yang mengandungi maklumat sulit.
Bilik bawah tanah itu merupakan bekas bilik bawah tanah nuklear sewaktu Perang Dingin.
Ia yang dibuka semula pada tahun 2008 menampilkan rekaan futuristik oleh seorang arkitek Sweden, Albert France-Lanord yang mendapat ilham daripada set filem James Bond ciptaan Sir Kenneth Adams.
PINTU masuk ke bilik bawah tanah laman WikiLeaks di Stockholm, Sweden.


Ruang yang luas itu digali di bahagian bawah Taman Vita Berg di Stockholm.
Bilik itu dilengkapi dengan sebuah bilik persidangan, koridor kaca dan perabot-perabot mahal.
Pokok-pokok juga dapat hidup kerana terdapat cahaya matahari selain wujudnya air tejun buatan.
Enjin kapal selam Jerman, U-Boat, digunakan sebagai janakuasa kecemasan.
Assange memilih Sweden kerana undang-undang negara itu melindungi kumpulan yang memperjuangkan kebebasan bersuara.
Di bawah undang-undang Sweden, WikiLeaks dan pihak yang membocorkan maklumat sulit tidak boleh didakwa.
Laman WikLeaks dibiaya menerusi sumbangan orang awam.
Assange kini ditahan di Britain selepas polis menangkapnya dengan menggunakan waran tangkap polis Sweden atas dakwaan merogol dan mencabul dua wanita. – Agensi