Pages

Wednesday, October 3, 2012

Doktor di Mesir adakan mogok

Doktor di Mesir adakan mogok
Doktor di Mesir mendakwa kemudahan hospital tidak mencukupi dan tidak dapat menampung jumlah pesakit. - Foto AP
KAHERAH - Sekumpulan doktor di Mesir mengadakan mogok sebagai membantah kemudahan  tidak mencukupi dan gaji yang rendah, menurut kesatuan pakar perubatan di negara itu, kelmarin.

Menurut kesatuan tersebut, doktor di negara itu hanya menerima gaji pokok kira-kira ASD$46 (RM137) sebulan dan kebanyakan daripada mereka terpaksa melakukan kerja sambilan bagi menambahkan pendapatan.

Salah seorang ahli kesatuan tersebut, Mona Mina berkata, mogok itu juga bertujuan untuk menuntut keadilan sosial dan perkhidmatan kesihatan lebih baik kerana keadaan infrastruktur hospital yang teruk menyebabkan ada pesakit yang terpaksa tidur di lantai.

"Mogok secara besar-besaran ini terpaksa dilancarkan selepas tuntutan kami berhubung penambahbaikan hospital kerajaan sejak lima tahun lalu gagal," katanya.

Kesatuan tersebut memaklumkan mogok itu disertai 70 peratus kaki tangan termasuk doktor di 520 hospital kerajaan menyertai mogok tersebut. -AP

Kanak-kanak mangsa serangan udara Syria

Kanak-kanak mangsa serangan udara Syria
Ratusan orang awam serta kanak-kanak terbunuh kerana konflik berterusan di Syria.
DAMSYIK - Serangan udara berterusan dalam tempoh sehari, membunuh berpuluh penduduk Syria termasuk kanak-kanak, kelmarin.
  
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria melaporkan, keadaan bertambah buruk apabila pertempuran di antara kumpulan pemberontak dan penyokong kerajaan terus berlaku di bandar besar Aleppo.

Di New York, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon menggesa Damsyik agar bersimpati dengan mangsa tidak berdosa itu.

Sementara itu, Menteri Luar Syria, Walid Muallem berkata, satu penyelesaian politik masih boleh digunakan jika Barat dan negara-negara Teluk tidak menyokong pemberontak.

Muallem turut menyuarakan kebimbangan terhadap Washington mengenai senjata kimia di Syria sebagai helah seperti yang pernah berlaku di Iraq.

Menurut pemerhati, serangan udara di bandar Salqeen dalam wilayah tawanan pemberontak Idlib yang bersempadan dengan Turki meragut 21 nyawa termasuk lapan budak.

Sekurang-kurangnya 18 anggota tentera terbunuh di wilayah Homs dalam satu serangan hendap oleh kumpulan pemberontak di lebuh raya Damsyik-Palmyra.

Sementara itu, kumpulan pemerhati melaporkan serangan berpeluru turut berlaku di wilayah Hama dan Daraa.

"Hasil maklumat yang dikumpulkan melalui rangkaian aktivis-aktivis dan kumpulan perubatan, kami mendapati jumlah mangsa korban semalam (kelmarin) sebanyak 160 orang, termasuk 112 orang awam di seluruh negara," kata seorang pemerhati.

Dalam pada itu, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Ander Fogh Rasmussen berkata, stok simpanan senjata kimia Syria adalah kebimbangan besar buat mereka.

Tetapi Nato masih berpendapat konflik itu boleh diselesaikan menerusi kuasa politik dan bukan tindakan ketenteraan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 30,000 orang termasuk lebih 2,000 kanak-kanak meninggal dunia dalam konflik di Syria sejak ia tercetus pada Mac 2011 lalu.  - AFP

Paku tidak habis




         
JAKARTA: Tidak dapat dijelaskan secara perubatan, mengapa dalam badan Supiati terdapat beribu-ribu paku.

Walaupun tiga pembedahan telah dilakukan untuk mengeluarkan objek asing dalam badannya dan keputusan imbasan X-ray mendapati ia telah bersih, masih terdapat paku dalam badan wanita itu.
Supiati, 25 yang berasal dari daerah Ogan Komering Ulu (OKU), Sumatera Selatan, dirawat di Hospital Nur Hidayah di Yogyakarta sejak 25 September lalu.

Sekumpulan doktor di hospital itu menjalankan pembedahan ke atasnya dan mengeluarkan lebih 100 paku dan pin, dan ada di antaranya sudah berkarat dan ada yang sepanjang 2.8 dan tiga sentimeter.


Ketua kumpulan ahli perubatan itu, Sagiran berkata, “Pagi ini kami menemui dan mengeluarkan tujuh lagi paku.”


Supiati menderita kesakitan sejak pertengahan 2010. Pada mulanya dia mengalami demam panas dan di bawa ke hospital tetapi tiada objek asing ditemui.

Namun begitu, apabila pulang ke rumah, dia menemui paku terlekat pada kakinya.

Keluarganya membawa dia ke beberapa tempat untuk mendapatkan rawatan dan beribu-ribu paku berjaya dikeluarkan.

Namun begitu, masih banyak paku yang ditemui dalam badan Supiati, lalu keluarganya membawanya ke Hospital Nur Hidaya.
Ibu dan bapanya berasal dari Dlinggo, Bantul, Yogyakarta dan masih mempunyai ramai saudara-mara di sana.

Suaminya, Wahyudi, tidak dapat menemankan Supiati kerana perlu bekerja untuk membayar kos perubatan.

“Dia sibuk dan perlu mencari wang untuk membayar kos perubatan,” kata bapa Supiati, Giran.

Giran berkata, keluarganya sudah tidak mempunyai wang lagi untuk membayar kos perubatan anak perempuan mereka.

“Kami sudah membelanjakan Rp15 juta (RM4,882) untuk perubatannya di OKU, apatah lagi di sini (Bantul),” katanya.

Sagiran berkata, oleh sebab keadaan Supiati dianggap istimewa, rawatan khusus diperlukan. “Memandangkanm saya doktor, prosedur perubatan yang saya lakukan adalah pembedahan,” katanya.

Pengarah hospital, Arrus Ferry berkata, pihaknya mengendalikan program rawatan Husnul Khatimah, iaitu program kaunseling cara Islam.


“Sebagai contoh, kami mengamalkan bacaan rukyah dan zikir untuk meminta bantuan Allah, kemudian menyerahkan kepadaNya,” kata Arrus. - Jakarta Post

Ikan paus terdampar dijadikan lauk




BEBERAPA penduduk melihat bangkai ikan paus pilot yang terdampar di pantai Pulau Savu di wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia semalam.


SAVU, Indonesia - Penduduk tempatan di sebuah pulau terpencil di timur Indonesia semalam melapah beberapa ekor ikan paus pilot untuk dijadikan makanan selepas 41 ekor mamalia itu mati terdampar, kata beberapa pegawai.
Sejumlah 44 ekor ikan paus pilot terdampar pada malam kelmarin di pantai Pulau Savu di wilayah Nusa Tenggara Timur, yang mengamalkan budaya memburu paus untuk dijadikan makanan.
"Penduduk tempatan telah memotong kira-kira 11 ekor ikan paus setakat ini dan mungkin dagingnya dijadikan lauk," kata ketua pejabat perikanan Savu, Dominggus Widu Hau kepada agensi berita AFP.
Ketika nelayan tempatan menjumpai paus-paus itu sebelum tengah malam kelmarin, ia masih hidup. Namun, sudah terlewat dan orang tidak cukup untuk menolaknya kembali ke laut.
Berpuluh-puluh orang termasuk nelayan, tentera laut dan pegawai polis bertungkus-lumus sehingga tengah hari semalam untuk memastikan tiga ekor paus yang terselamat terus hidup.
"Kami berjaya menolaknya kembali ke kawasan perairan, tetapi ia kembali ke pantai," tambah Hau.
Rangkaian Bantuan Haiwan Jakarta mengenal pasti mamalia yang terdampar kira-kira 150 meter dari pantai sebagai ikan paus pilot.
Kata Hau, semua ikan puas yang terdampar itu berukuran antara dua hingga lima meter panjang .- AFP

1,000 pelajar berpakaian seperti Gandhi



SEKUMPULAN pelajar India memakai pakaian menyerupai Mahatma Gandhi di Ahmedabad bagi memecahkan rekod dunia semalam.


AHMEDABAD - Kira-kira 1,000 orang pelajar berpakaian seperti Mahatma Gandhi, mengambil bahagian sempena majlis sambutan ulang tahun kelahiran bapa pejuang kemerdekaan India itu.
Mereka berkumpul dalam majlis yang dikenali sebagai Ahinsa Dandi Yatra di bandar ini semalam.
Perhimpunan tersebut berjaya mendapat pengiktirafan Guiness World Records sebagai rekod dunia baharu untuk bilangan orang paling ramai berpakaian seperti Gandhi.
Gandhi atau nama sebenarnya Mohandas Karamchand Gandhi dilahirkan pada 2 Oktober 1869 dan meninggal dunia pada 30 Januari 1948 ketika berusia 78 tahun. - Agensi

3 kali lahir anak kembar

SARA bersama tiga pasangan kembar yang dilahirkannya.
SARA bersama tiga pasangan kembar yang dilahirkannya.
LONDON: Seorang wanita menjadi ibu pertama di Britain melahirkan anak kembar tiga kali.
Kejadian itu dianggap ganjil kerana kemungkinan ia berlaku adalah satu dalam setiap 500,000.
Keeva dan Ceira, dilahirkan Jun tahun lalu oleh Sara Jones, 33, dari Southport, Merseyside.

Kelahiran pasangan kembar itu meningkatkan jumlah anak Sara kepada 10 kerana dia juga mempunyai empat anak lain.


Keluarga itu menerima bantuan lapan pain susu dan dua buku roti sehari di samping dua bungkusan besar lampin seminggu.

Meskipun mempunyai keluarga yang besar, Sara yang mempunyai adik kembar seiras berkata, kediamannya adalah lebih daripada normal.

“Bagi kebanyakan keluarga, mempunyai anak kembar adalah sesuatu yang luar biasa. Tetapi bagi saya, adalah sesuatu yang ganjil apabila saya tidak melahirkan anak kembar,” katanya kepada akhbar Sunday Mir- ror.

Kisahnya bermula 10 tahun lalu apabila dia melahirkan Liam dan Niamh.

Sara kemudian berpisah dengan bapa kanak-kanak itu, Rhys, sebelum menjalinkan hubungan dengan teman lelakinya sekarang, Craig Morgan, 31.

Pada 2010, dia sekali lagi melahirkan anak kembar, Shay dan Aoife, yang kini berusia dua tahun.

Wanita itu juga mempunyai anak lain sebelum itu, Brogane, 16, Siobhan, 13, Calam, 12, dan Sean, empat.

“Sebahagian keluarga gagal memperoleh anak. Saya melihat setiap kelahiran anak saya itu sebagai rahmat,” katanya.

Walaupun kelahiran kembar kedua agak menyulitkan kehidupannya, tetapi menjelang kelahiran Keeva dan Cerira, Sara berkata, dia sudah tahu ‘apa yang dilakukannya.’

Namun, ia bukan tugas mudah.

Craig, pembuat perabot, tidak bekerja sementara bagi Sara, membesarkan anak adalah tugas sepenuh masa. Sudah pasti ia sesuatu yang sukar untuk mencukupkan perbelanjaan pada setiap bulan.

“Kami terpaksa berhati-hati berbelanja. Saya cuba mendapatkan semuanya dengan kira-kira �100 (RM500) seminggu. Tetapi, setiap hari saya ke pasar raya, saya terpaksa menambah �15 (RM75) dalam perbelanjaan,” kata Sara.

Menurutnya, memandangkan setiap anaknya unik, dia tidak menurunkan pakaian anaknya yang tua kepada adik mereka.

“Dan saya berharap mereka semua akan menjaga saya apabila saya tua kelak,” katanya. - DM