Militan itu juga mendakwa semua remaja terbabit sudah memeluk Islam, namun tidak akan dilepaskan sehingga semua rakan pengganas mereka - yang dipenjarakan - dibebaskan.
Rakaman video selama 17 minit itu memperlihatkan pemimpin kumpulan berkenaan, Abubakar Shekau berucap sebelum menunjukkan mangsa culik memakai telekung dan bersolat di satu lokasi tidak diketahui.
Seramai 276 remaja perempuan itu diculik di kawasan petempatan Kristian di Chibok, wilayah Borno pada 14 April lalu.
Seramai 276 remaja perempuan itu diculik di kawasan petempatan Kristian di Chibok, wilayah Borno pada 14 April lalu.
RAKAMAN video menunjukkan pelajar perempuan yang diculik bertudung dan didakwa sudah memeluk Islam.
Polis menyatakan 223 orang masih lagi belum ditemui.
Melalui rakaman semalam, 130 remaja perempuan bertudung duduk berhampiran pokok sambil membaca surah al-Fatihah dan berdoa.
Dua daripada tiga remaja yang ditemu bual berkata, mereka memang penganut Kristian, tetapi sudah memeluk Islam.
Semua mereka juga mengucap kalimah syahadah sambil kelihatan tenang dikelilingi rakan yang lain.
Seorang daripada mereka menyatakan mereka tidak dicederakan dan berada dalam keadaan baik.
Dalam rakaman itu tiada sebarang tanda yang menunjukkan bila rakaman dibuat.
Abubakar berkata, anggota Boko Haram yang dipenjarakan sejak hampir lima tahun lalu mesti dibebaskan jika Nigeria mahu kanak-kanak terbabit kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.
“Kami tidak akan membebaskan tebusan sehingga anda melakukan perkara yang sama,” katanya.
Sementara itu, kerajaan Nigeria terus dikecam kerana lambat bertindak menyelesaikan isu penculikan berkenaan.
Tindakan hanya diambil selepas tekanan demi tekanan diterima di peringkat global ekoran ancaman Abubakar untuk menjual tebusan sebagai hamba.
Presiden Goodluck Jonathan akhirnya menerima tawaran bantuan dari AS, Britain, Perancis, China dan Israel yang menghantar pasukan khas bagi membantu usaha mencari mangsa culik.- AFP