TRISTAN DA CUNHA 8 Mac - Sebuah kawasan penempatan terletak di sebuah pulau di Atlantik Selatan dilabelkan sebagai lokasi penduduk paling terpencil di dunia kerana kedudukannya yang jauh dari kawasan penempatan yang lain.
Menurut laporan Mail Online, Pulau Tristan da Cunha hanya dihuni tidak melebihi 300 orang penduduk dan terletak di kaki gunung berapi yang masih aktif.
Pulau itu terletak paling hampir dengan kawasan penempatan iaitu 2,339 kilometer dari Afrika Selatan dan 3,360 kilometer dari benua Amerika Selatan.
Malah, satu-satunya jalan menghubungkan pulau tersebut dengan dunia luar adalah melalui laut dan mengambil masa enam hari dengan menaiki bot dari Afrika Selatan dan perjalanan selama berbulan-bulan jika meredah Laut Atlantik Selatan.
Keluasan Pulau Tristan da Cunha hanya 60 kilometer persegi dan satu-satunya penempatan yang wujud di situ dipanggil Edinburg Tujuh Lautan, iaitu 2,061 meter dari puncak Gunung Berapi Queen Mary.
Meski pun saiz penempatannya tidak besar dan terletak terpencil dari dunia luar, pulau itu menyimpan banyak sejarah dan memiliki terlalu banyak kehidupan liar yang unik yang menjadi tarikan pelancong untuk berkunjung ke Tristan da Cunha.
Antara haiwan yang menjadi tarikan pelancong ialah penguin yang mempunyai kening kuning, Rockhopper dan burung berparuh kuning, Albatross, manakala daripada sudut sejarah, pula pulau itu menjadi lokasi perhentian penting bagi kapal yang meredah Lautan Atlantik sejak zaman dahulu kala lagi.
Bagaimanapun, pelancongan bukan merupakan industri utama pulau tersebut kerana majoriti pendapatan penduduk adalah daripada aktiviti komersial penjualan udang kara Trista, setem yang unik dan syiling untuk pengumpul barangan lama.